Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, August 14, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 55



         Kandunganku telah menginjak ke usia hampir empat bulan. Perutku kelihatan sedikit membukit namun apabila memakai pakaian yang longgar sebenarnya tidaklah nampak sangat. Alhamdulillah mabuk atau muntah yang aku alami sebelum ini telah pun beransur hilang. Selera pula semakin bertambah dan aku juga cergas untuk menghadiri kuliah. Teman-temanku banyak membantu dalam tugasan seperti mencarikan bahan rujukan di perpustakaan tanpa aku perlu melakukannya sendiri. Aku bersyukur kerana dikelilingi oleh insan-insan yang menyayangi aku.

            “Hah, termenung kenapa pula? Makanlah sup sayur tu. Baru baby kau cukup khasiat.” Akma menyergah dan membuatkan lamunanku pecah berserakan. Ish, baru nak layan feeling dah kena cantas.

            Aku tersengih kemudian menghirup lagi sup sayur yang masih berbaki di dalam mangkuk. “Kenapa dengan kau Wawa? Dari pagi monyok aje muka tu.” Aku melemparkan pandang ke wajah Wawa yang hari ini pucat tanpa solekan. 

            Aku memandang Akma pula meminta jawapan namun gadis itu hanya menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Kenapa dengan Wawa  hari ini? Selalu suka aje dia bersolek tapi hari ini lain pula. Macam tak ada semangat aku melihatnya. Lesu. Ada masalahkah sahabatku ini?

            “Tak ada apa-apalah Aida. Aku okey aje.” Jawapan ringkas Wawa semakin membuatkan mindaku penuh tanda tanya. 

            “Cakaplah Wa kalau kau ada masalah. Jangan pendam aje macam ni. Aku kenal kau bukan sehari dua.” Aku memaut bahunya cuba memujuk. Jatuh simpati aku melihat keadaan Wawa yang kebiasaannya ceria apabila berkumpul bersama.

            “Wawa putus dengan Alif.” Selamba Akma mencelah kemudian kembali menghadap Nasi Goreng Ayam di pinggan. Wawa pula merengus dan menjegilkan matanya memandang perlakuan Akma.

            “Hah?! Bila? Kenapa?” Soalku bertalu-talu tidak sabar. 

            “Malam tadi.” Wawa mengeluh perlahan sambil memicit kepalanya yang kusut barangkali.

            “Apa puncanya sampai boleh putus ni? Setahu aku, kau sayang sangat pada Alif tu. Sabarlah Wa, mana tahu ada jalan nak bersama semula.” Pujukku lembut sambil mengusap belakangnya. Bukan aku tak pernah melihat keadaan Wawa apabila putus cinta sebelum ini. Alamatnya mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak nyenyaklah sahabatku ini. Menangis boleh sampai berbaldi-baldi pula tu. Risau aku dibuatnya.

            “Sebenarnya aku tak nak bagitau kau. Tak eloklah nak bebankan kau dengan masalah aku ni. Lebih-lebih lagi keadaan kau yang berbadan dua. Mulut tempayan ni dah pecah, tak boleh buat apalah kan?” Sindir Wawa sambil menjeling tajam pada Akma. Namun jelingan itu hanya dibalas dengan sengihan kerang busuk sahaja. Kemudian Akma meneruskan suapan.

            “Janganlah fikir macam tu. Kau orang sahabat aku. Tak ada membebankan apa-apa. Macamlah orang kalau mengandung langsung tak boleh berfikir.” Aku sengaja berjenaka untuk memecahkan suasana tegang.

            “Alif minta putus dengan aku sebab dia dah ada orang lain.” Wawa menjatuhkan wajahnya ke lengan yang berada di atas meja. Menangiskah dia?

            “Wa…Wa sabar ye. Mesti ada hikmah atas apa yang terjadi. Jangan ikutkan perasaan sedih tu sangat. Aku yakin kau boleh hadapi dugaan ni.” Simpatiku pada Wawa semakin melimpah. Entah apa kurangnya Wawa dimata Alif? Sedangkan selama ini aku dan Akma berpendapat bahawa Alif yang tidak sepadan dengan Wawa. Kulit Wawa putih mulus tetapi Alif agak gelap orangnya. Wawa cantik dan bergaya tetapi Alif berpakaian biasa-biasa sahaja. Cuma satu kelebihan Alif, dia bijak orangnya berbanding Wawa. Tetapi kalau dah tuan punya diri suka, aku dan Akma menyokong sahaja. Tidak mahu banyak bunyi.

            “Kau cantik Wa. Ramai lagi lebih baik kau boleh dapat. Tak payah pening-pening fikirkan si sengal tu.” Nasihat Akma yang agak kasar itu dipandang sepi. Wawa masih menundukkan wajahnya. Aku pula memberi isyarat agar Akma jangan bercakap lagi. Nanti makin sedih pula hati Wawa dengan kata-kata Akma.

            Setelah beberapa ketika aku menggosok lembut belakang Wawa, akhirnya dia mengangkat wajah yang agak basah dilinangi air mata. Namun tiada suara esakan. Hanya titisan jernih yang keluar perlahan. Sebak aku melihatnya. “Aku akan cuba untuk lupakan dia, mulakan hidup baru. Semoga dia bahagia dengan pilihannya.” Luah Wawa penuh hiba. 

Aku dan Akma saling berpandangan seketika. Aku tahu Akma kadangkala terlalu jujur dalam meluahkan rasa tanpa mengambil kira sensitiviti perasaan orang lain. Namun dia juga simpati dan sayang pada Wawa sama seperti aku. Sabarlah wahai sahabat. Salah satu cabaran dalam dunia ini adalah kerana CINTA. Manusia hidup kerana cinta, dan ramai yang mati juga kerana cinta. Ada yang sengsara kerana cinta, dan tidak kurangnya yang bahagia bersama cinta.
  


Hari ini aku pulang dengan memandu sendiri seperti seminggu yang lalu. Hadif terlalu banyak tugasan yang ingin diselesaikan dan aku pula tidak mahu menunggu lama. Lebih baik aku pulang awal dan berehat di rumah. Janji Hadif hanya dua minggu sahaja. Kemudian setelah keadaan kembali reda, dia akan mengambil dan menjemputku seperti biasa.

            Namun dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba tekak ini terasa pula ingin menjamah cendol pulut. Mengidamkah aku? Selama ini cendol bukanlah sesuatu yang boleh membuatkan aku terliur. Tetapi hari ini dan lebih tepat lagi saat ini, aku benar-benar mahukan cendol! Ini tak boleh jadi ni. Aku teruskan memandu sehingga ke simpang masuk taman perumahan. Waktu-waktu petang begini memang gerai Joe Cendol agak penuh. Walaupun kelihatan tiada tempat untuk meletak kenderaan, aku sanggup melakukan pusingan U dan memarkir kereta di seberang jalan.

            Aku turun dari kereta dengan senyuman terhias di bibir. Sekejap lagi cendol pulut yang lemak manis itu akan masuk ke dalam mulut. Aduhai…tidak sabar rasa hati. Aku tergelak sendiri. Hal sekecil ini pun boleh jadi teruja berlebihan. Hormon ibu mengandung memang merubah aku menjadi lain berbanding diriku yang sebelum ini. 

Baby sabar ye sayang. Sekejap lagi kita makan cendol.” Ucapku perlahan sambil tunduk memandang perut. 

Kemeja longgar yang aku gayakan sama sekali tidak menampakkan bahawa aku kini berbadan dua. Ah, pasti tidak lama lagi kemeja ini juga tidak muat seperti beberapa baju yang lain. Ada beberapa helai seluar juga sudah tidak boleh dibutang lagi. Nampaknya aku memang perlu membeli-belah dalam waktu terdekat.

            Aku menoleh kekiri dan kanan sebelum segera melintas jalan. Dari kejauhan kelihatan Abang Joe sedang melayan pelanggannya yang memenuhi ruang gerai. Sudah terbayang juga di ruangan mata cendol pulut yang berwarna kecoklatan dengan isi pulut yang lembut. Aku menelan liur. Akibat tidak sabar, aku menghayun langkah kaki semakin pantas.  Namun tidak terjangka bahawa ada sebuah kereta yang sedang meluru laju….semakin dekat menghampiri….sehingga akhirnya….

No comments: