Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, December 24, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 32 & Bab 33 (PENGUBAT RINDU) =)


BAB 32

Selepas selesai makan malam aku duduk menonton televisyen sambil berbual-bual dengan mak. Lama tidak berjumpa banyak perkara yang ingin dikongsikan. Apa pun bukan tentang cerita aku dengan Hadif. Aku masih ingat pesan Hadif rahsia rumahtangga kami jangan sampai ke pengetahuan keluarga. Lagipun lebih elok mak anggap perkahwinan kami baik-baik saja sebab aku memang sedang berusaha. Tidak mahu mak susah hati dan mendapat darah tinggi pula nanti.

            Hadif duduk di atas sofa sambil membaca akhbar hari ini. Hadif memang rajin membaca akhbar namun kerana kami bertolak selepas subuh, tidak sempat dia nak membeli akhbar pagi tadi. Lelaki itu juga sebenarnya sedang menunggu jam menunjukkan angka sembilan setengah malam kerana dia perlu menjemput Aini pulang dari pusat tuisyen.

            “Kenapa dengan kamu berdua ni? Yang seorang menjeling tengok wajah isteri dia. Yang depan mak ni pula kejap-kejap curi pandang suami dia. Lain macam aje mak tengok.”

            Malunya muka. Merah padam tentunya wajahku saat ini. Kenapalah mak boleh terkeluar ayat macam tu? Sah! Hadif akan perasan yang aku memang curi-curi pandang pada dia. Bukannya apa, aku memang agak terpesona sejak dilayan baik oleh Hadif sepanjang hari ini. Kalau Hadif mahu berdamai, aku tentu menerimanya dengan hati yang terbuka. Tiada gunanya kami berseteru sedangkan tinggal sebumbung dan mempunyai ikatan yang sah. Lagipun tiada yang lain dihati saat ini kecuali suamiku seorang. Lebih baik aku berharap satu hari nanti aku akan mendapat kasih sayangnya.

            “Tak adalah mak. Akak pelik kenapa Hadif pakai baju melayu dan kain pelekat ayah.” Pantas aku menafikan kata-kata mak tadi. Sebenarnya aku benar-benar malu ditegur begitu didepan Hadif. Kalau boleh nak menyorok bawah meja muka aku ni.

            “Ish, akak ni. Jangan panggil nama. Tak manis telinga mak ni mendengarnya. Panggil abang. Tanda kita hormat dengan suami.” Ah, mak! Dah nak mulalah tu membebel. Melihatkan aku yang mengorek telinga menggunakan hujung jari, Hadif tergelak kecil. Mesti dia tahu aku malas mendengar mak membebel sampai cair tahi telinga.

            “Aida memang panggil saya abang. Mungkin dia nak bahasakan depan mak aje tadi tu yang dia panggil saya Hadif,” ujar Hadif penuh sopan. Patutlah mak berkenan sangat. Kalau depan mak, sopan-santun kalah lelaki melayu terakhir. Kalaulah mak tengok perangai dia yang selalunya, tentu mak teragak-agak nak kahwinkan aku dengan Hadif.

            “Oh, macam tu.” Mak tersenyum sumbing. Hah, malulah tu dia dah tuduh melulu tadi! Aci tak kalau aku nak gelakkan mak sekarang? Mak aku sporting aje.

            “Tadi Hadif nak solat. Tu yang mak bagi baju melayu dan kain pelekat ayah kamu. Tak payah dia susah-susah punggah beg. Muat elok aje dengan badan dia, mak tengok.” Mak menyambung kata sambil bibir masih tersengih. Malu tak hilang lagilah tu.

            Aku hanya diam tidak menjawab. Namun mataku masih mencuri pandang dan apabila mata kami bertaut Hadif tersenyum menggoda. Aku tetap dengan muka selamba badak! Kadang-kadang aku mengetap bibir bila Hadif dah berbuat begitu beberapa kali. Kalau nak menggoda aku pun, jangan dihadapan mak. Nanti orang tua ni ingat kita tak sabar-sabar nak masuk tidur!

            “Akak tak boleh solat ye? Mak tengok akak bangun tidur tadi pun dah terlepas mahgrib.” Soal mak sambil menaikkan sedikit keningnya. Wajah tua mak memandang aku penuh kasih.

 Alat kawalan jauh ditekan untuk mencari siaran lain. Berita telah pun tamat dan tentu mak nak tengok sinetron Indonesia. Itu pun kalau mak belum berubah! Aku menganggukkan kepala perlahan sambil tersenyum. Aku perhatikan Hadif juga mencuri pandang perlakuanku. Sibuk aje nak tahu! Bukannya penting untuk dia.

Hah, aku dah kata dah! Mak nak tengok Baim Wong dalam sinetron Indonesia. Siap melanggan saluran Indo Pek lagi di chanel Astro. Maknanya mak masih belum berubah. Masih mak yang aku kenali sejak dulu. Mak, Baim Wong versi Malaysia ada kat sinilah!  

Tapi manalah tahu lepas ni mak minat tengok drama Korea pula. Apa salahnya. Mungkin Aini adikku akan bernasib baik dikahwinkan dengan lelaki yang mirip bintang Korea kegemaran mak. Macam aku yang telah dikahwinkan dengan Baim Wong versi Malaysia ini. Kalau betul begitu, tentu mak akan jadi ajen pencari jodoh yang terlaris nanti. Siapa yang tak nak berkahwin dengan wajah mirip pelakon pujaan mereka? Mak, kalau akak boleh memilih akak nak wajah mirip Aaron Aziz boleh? Tapi yang versi KL Gangster….toing toing!

            “Hadif, boleh mak tanya kamu sikit?” Mak tiba-tiba bersuara dan mematikan lamunan nakalku sebentar tadi. Mak memang suka kacau daun. Kacau dodol tak pernah pulak aku tengok mak buat.

            Hadif menutup surat khabar di tangan dan datang duduk bersama kami di hadapan televisyen. Alahai, suami siapa yang sopan sangat ni? Ingin aku angkat tangan segera untuk memberitahu dia adalah suami aku!

            “Kalau untuk mak, banyak pun boleh…” jawab Hadif manja.

 Eeee…tak cukup dengan mama dia, mak aku pun dia nak sapu sekali. Dasar anak tunggal betul. Aku mengejek di dalam hati. Aku sendiri tidak pernah nampak lelaki bermanja dengan mak begitu selain ayah. Itu pun ayah bukan jenis yang manja. Dalam bilik tak tahulah pulak aku! Selama ni pun mak tiada anak lain selain aku dan Aini. Apatah lagi anak lelaki. Cemburukah aku melihat ada orang lain bermanja dengan mak? Ish, Aida…itukan menantu dia.

“Dah masuk tiga bulan kamu kahwin dengan Aida. Mak bukan nak masuk campur tapi mak nak tahu aje.” Mak membuka mulut berbahasa-basi.

“Mak nak tanya apa tu tanya ajelah mak. Tak payah mukadimah segala bagai.” Aku bersuara menyindir namun sekadar untuk mengusik mak. Hadif menjegilkan biji matanya kepadaku. Namun aku hanya menjelirkan lidah dan berbaring di riba mak. Nak manja puas-puas selama kami pulang bercuti.

“Biarlah Hadif, Aida ni memang macam ni lah perangai dia. Mak dengan dia dah macam kawan dibuatnya.” Mak ketawa kecil dan menggelengkan kepala melihatkan telatah kami.

“Kamu suami isteri dah bincang soal anak?” Soal mak menyambung kata.

“Anak?!” Aku terjerit kuat dan sepantas kilat bangun dari riba mak.

Mata mak aku tatap penuh tanda tanya. Jangan mak mengada-ngada nak minta cucu pulak dalam keadaan sekarang. Akan aku tentang bermati-matian sehingga titis darah yang penghabisan! Wah, darah pahlawan seperti mengalir ke dalam tubuhku saat ini. Aku berbaik dengan Hadif pun baru satu hari tiba-tiba perkataan anak pula yang timbul. Mengarut!

“Dah mak. Hadif dan Aida serah pada rezeki Allah aje. Mak janganlah bimbang andai Aida mengandung pun saya tetap akan tunggu dia walaupun saya habis setahun awal dari dia.” Jawapan Hadif ibarat halilintar membelah bumi.

Air liur di mulut sudah tidak tertelan aku rasakan. Biar betul?! Hadif ni jangan pandai berjanji yang bukan-bukan dengan mak. Aku tak mahu mak kecewa andai perkahwinan kami tidak mampu bertahan lama. Malah bukan mak aje, tetapi aku! Aku juga tak mahu kecewa dengan janji palsu Hadif.

“Abang…” Satu perkataan yang berjaya aku ucapkan namun antara dengar dengan tidak sahaja. Nasib baik aku tak tersasul dalam keadaan gawat sebegini. Nanti jadi cerita lain pula.

Seingat aku tidak pernah kami berbincang soal sedalam itu. Anak. Satu perkataan yang sukar untuk aku ertikan saat ini. Menjalankan tanggungjawab mutlak sebagai seorang isteri pun aku belum pernah apatah lagi untuk mengandung. Perlu ke isu ini dibahaskan sekarang? Kepala aku mula berdenyut.

“Mak dan ayah tak kisah asalkan kamu pandai-pandai bahagikan masa. Kamu suami dia, kamu berhak tentukan masa depan keluarga kamu. Dah habis belajar nanti pun, kalau suami tak izinkan akak kerja akak kena taat. Selagi dia mampu menanggung keluarga…” Mak memandang wajah  Hadif dan aku silih berganti.

Hadif hanya menganggukan kepalanya beberapa kali. Seperti seorang anak yang sangat patuh. Aku malas hendak berlama-lama disini. Kalau bertekak dengan Hadif sekarang, apa pula kata mak. Silap-silap rahsia aku tidak memberi nafkah batin terhadap suami boleh terbongkar!

“Eh, dah pukul sembilan dua puluh! Akak nak pergi ambil Aini lah ye.” Aku yang menjeling sekilas jam di dinding terus bangun masuk ke dalam bilik.

Aku menukar pakaian tidur dengan seluar jeans separas lutut dan menyarung sweater Adidas warna merah jambu berbelang putih. Setelah menyikat rambut, menyapu sedikit bedak dan lip balm aku membuka pintu bilik yang aku kunci tadi. Aik? Hadif berdiri betul-betul di muka pintu seperti sudah lama menanti pintu ini dibuka.

Matanya merenung aku tajam atas bawah. Kemudian dia menolak sedikit bahuku ke belakang dan pintu bilik ditutup. Aku tidak dapat memikirkan apa yang ingin dilakukan oleh suamiku ini. Zip sweater aku terus tarik sehingga ke paras leher. Menutupi semua kulitku yang kelihatan. Tiba-tiba otak aku berprasangka buruk terhadap Hadif.

“Apa awak nak buat ni?” Soalku dalam keadaan cemas. Rasanya Hadif tak pernah ingin mengambil kesempatan pada aku selama ini. Biarpun kami hanya tinggal berdua di rumah sewa tu. Hadif mendekati aku sehingga aku semakin berundur dan akhirnya tangan aku sandarkan pada meja solek. Jalan mati.

“Saya tahu awak cantik, bergaya dan seksi orangnya. Tapi saya tak benarkan awak keluar dari rumah dengan pakai macam ni.” Hadif berbisik rapat di telinga aku. Jantungku seperti mahu melompat keluar dari badan. Perasaanku bercampur-baur tidak bernama.

Namun ketegasan nada suaranya membuatkan aku sedikit gerun. Aku tidak berani menatap matanya walaupun aku tidak nampak dimana silapnya aku dalam berpakaian. Aku berpusing dan membelek tubuh di cermin. Biasa aje aku tengok.

“Saya tak faham. Kenapa tak boleh pakai macam ni?” Aku bertanya perlahan. Tidak mahu Hadif semakin tegas dengan aku. Kalau sudah bertekak, suara aku dan Hadif pasti boleh didengari oleh mak.

“Saya tahulah kaki awak tu putih melepak. Tapi saya tak suka awak tunjuk kat orang lain! Awak tu isteri saya.” Hadif merenung tajam menikam anak mataku. Aduh, tajamnya macam pisau kat dapur. Tetapi hati aku menjerit riang. Walaupun caranya sedikit kasar tetapi nampaknya Hadif ambil berat dan menjaga aku.

“Lah….macam ni pun kata tak boleh. Kolot betul!” Aku mendengus perlahan namun aku sedar Hadif dapat menangkap ayat yang keluar dari mulutku. Sengaja aku ingin menduga. Seronok rasanya mendapat perhatian Hadif.

“Saya lagi rela awak pakai kain batik daripada pakai seluar separas lutut ini. Tukar sekarang!” Bentak Hadif kasar. Dah mulalah tu nak jadi Hadif yang dulu! Suka marah-marah aku. Tetapi kali ini aku dapat merasakan yang marah Hadif adalah marah-marah sayang. Dia ambil peduli tentang diri aku dan apa yang aku pakai. 

Itu bukan tandanya sayang ke?



BAB 33

            “Apa khabar kak Aida?” Soal Fatin ramah. Aku menghulurkan tangan dan dia mencium tanganku penuh rasa hormat.

            “Baik. Dah lama tak jumpa Fatin,” jawabku kemudian memeluk bahunya.

            “Akak makin cantiklah! Fesyen apa akak pakai ni?” Fatin tersenyum sumbing kemudian dia dan Aini sama-sama ketawa.

            Aini dari tadi mengulum senyum melihat aku namun dia hanya memberikan ruang untuk Fatin berbual denganku. Fatin adalah sahabat baik Aini sejak dari sekolah rendah lagi. Malah hujung minggu dia rajin bermalam di rumah jika mereka ingin sama-sama belajar dan membuat kerja sekolah. Jadi secara tidak langsung aku telah menganggap Fatin seperti adikku sendiri.

            “Alah, dah malam ni. Bukan orang kisah pun kan?” Aku menjeling sinis kepada Hadif yang berdiri di tepi pintu kereta.

            Aku sendiri segan sebenarnya memakai sweater dan berkain batik macam orang baru lepas bersalin. Namun aku sengaja mahu menunjukkan tanda protes. Niatku memang mahu menduga Hadif. Aku masih tidak tahu mengapa dia melayanku dengan baik dan sampaikan hal pakaian aku pun diambil kira. Tadi dia juga yang kata lebih rela aku pakai kain batik dari seluar separas lutut. Jadi aku pakai aje kain batik yang aku ambil dari dalam almari mak!

            “Nanti ada masa datanglah rumah. Boleh kita sembang lagi. Akak balik dulu ye.” Kataku lagi kepada Fatin. Dia tersenyum dan kadangkala menutup mulut menahan tawa. Alah, aku tak kisah pun kalau nak ketawa depan-depan.

            “Okey kak. Erm, tapi Fatin nak puji selain fesyen akak yang cantik ni, suami akak handsome macam Baim Wong! Bertuahnya akak.” Fatin berbisik di telingaku.

            Aku hanya tersengih dan menggelengkan kepala. “Ada-ada aje Fatin ni tau!”

            Aku memandang Hadif yang semakin rapat mendekati aku. Mesti nak curi dengar sebenarnya. Alah, taktik lama! Aku menghadiahkan senyuman manis buat Hadif. Namun dia hanya menjelingkan mata. Geramlah tu sebab aku betul-betul pakai kain batik! Cantik tak?

            “Jom Aini. Kesian mak tinggal seorang kat rumah.” Akhirnya Hadif bersuara sambil memeluk pinggangku. Aduh! Depan Aini tak perlu berlakon pun tak apa. Dia budak lagi. Tak mungkin dia nak syak yang bukan-bukan.

            Aini dan Fatin tersenyum penuh makna. Fatin kemudian melambaikan tangan sebelum berjalan menuju kearah kereta ayahnya yang sedia menunggu. Kami bertiga terus masuk ke dalam perut kereta.

            “Sejak bila akak pandai pakai kain batik ni?” Aini yang menjengukkan kepala dari tempat duduk belakang berbisik di telingaku. Tetapi suaranya turut sama didengari oleh Hadif. Maklumlah suasana sunyi sepi kerana radio pun tidak terpasang.

            “Abang Hadif yang suruh.” Jawabku acuh tidak acuh.

            “Abang tak suruh tapi akak sengaja nak tunjuk protes!” Eh, membalas pula lelaki disebelahku ini. Mana perginya sikap baik siang tadi? Entah-entah berlakon aje buat baik dengan aku. Kecewanya!

            “Pandu ajelah elok-elok. Tak payah nak bercakap.” Aku bercakap tanpa nada. Malas nak melayan. Nanti ada juga yang bergaduh dalam kereta.

            “Mulut kita, suka hatilah nak cakap.” Hadif turut sama meniru gaya aku bercakap tanpa nada. Amboi, pandai buat serangan balas.

            “Geramnya!” Aku mengeluh sebal.

            “Saya lagi geram!” Hadif menekan sedikit nada suaranya pula.

            Aini menggelengkan kepala beberapa kali. “Sudahlah tu. Aini tanya sepatah, akak dengan abang nak menjawab beribu patah pula.” Aini tergelak kecil.

            Aku dan Hadif saling menjeling tajam dan akhirnya kami berdiam diri. Suasana di dalam kereta menjadi sunyi. Pandangan aku halakan ke luar cermin kereta manakala Hadif memandang tegak ke hadapan seperti pemandu yang berhemah.

            “Aini turun dulu ye. Akak ada hal nak cakap dengan abang.” Aku memberikan arahan setelah kereta Hadif terparkir di hadapan rumah.

            “Okey, nampaknya gunung berapi nak meletup.” Aini menekup mulut. Belum sempat tangannya membuka pintu kereta Hadif pula bersuara.

            “Akak kesayangan Aini ni memang garang ye? Abang takutlah…” Hadif menoleh untuk memandang wajah Aini.

            “Hehehe! Nasib badanlah abang Hadif…good luck!” Jawab Aini kemudian terus mencicit masuk ke dalam rumah.

            Aku merenung tajam ke mata Hadif. Perasaan yang dari tadi aku tahan sudah membuak-buak kini. Betul kata Aini. Gunung berapi memang nak meletup!

            “Bila masa kita bincang soal anak?” Soalku sambil mengiringkan badan agar dapat berhadapan dengan Hadif. Hadif menjungkitkan bahu. Kemudian tangannya ingin membuka pintu kereta. Segera aku menahan dan memaut lengannya.

            “Awak, jawablah!” Bentak aku marah. Isu anak bukan boleh dibuat main-main. Apatah lagi Hadif sudah berjanji di depan mak. Aku tak kisah kalau Hadif menipu atau berlakon di depan aku, tetapi tidak dengan mak. Aku tak nak Hadif pandang remeh hal sebegini.

            Hadif membalas pandangan mataku dengan pandangan yang redup. Sukar untuk aku tafsirkan erti pandangan itu. “Itu keputusan saya untuk family kita. Kalau boleh soal anak saya nak berserah aje pada Allah. Cepat atau lambat saya terima dengan hati terbuka.” Hadif menyentuh lembut tanganku yang memaut lengannya. Betul ke apa yang aku dengar ni? Aku menampar pipi perlahan.

            “Apa semuanya ni? Sejak pagi tadi awak baik dengan saya. Sekarang awak cakap soal anak pula. Keputusan untuk family kita? Bukan awak kahwin dengan saya sebab harta warisan tu? Saya yakin selepas semuanya selesai awak tak perlukan saya lagi.” Aku menjatuhkan pandang ke bawah. Hati aku sebak apabila menyebut tentang harta warisan dari papa sedangkan bukan itu yang aku harapkan. Tetapi harta itu penting untuk Hadif sehingga dia sanggup menerima syarat papa.

            “Aida, saya akui harta warisan papa menjadi sebab kenapa saya terima untuk berkahwin dengan awak. Kalau tidak, papa bercadang meletakkan nama awak sebagai pewaris tunggal.” Lancar sahaja Hadif menjawab.

            Aku mengerutkan dahi. “Kenapa macam tu pulak?” Sungguh aku memang tidak faham tindakan yang ingin papa lakukan. Perlu ke membalas budi sampai begitu sekali?

            “Nenek dan ayah awak tidak mahu terima walau sesen pun duit papa jadi sebagai anak sulung ayah, awak berhak terima semua tu sebagai membalas budi baik ayah selama ni. Tentu awak akan gunakan duit tu untuk keluarga awak juga kan? Jadi secara tak langsung nenek dan keluarga awak dapatlah merasa pemberian ikhlas dari papa tu.” Hadif menarik nafas perlahan-lahan sebelum menyambung kata.

            “Saya sebagai anak tunggal papa rasa tercabar. Malah saya langsung tak pernah dengar dan kenal tentang kamu semua. Jadi saya baik dengan mak awak semasa bertunang dulu kerana saya ingin mendekati keluarga awak. Saya takut harta papa akan jatuh ke tangan manusia yang tidak bertanggungjawab atau tamakkan harta. Sedangkan apa yang papa dapat sekarang ni atas hasil titik peluh dia sendiri.” Terang Hadif panjang lebar. Aku hanya terdiam dan terpaku mendengar cerita Hadif.

            “Awak kan tak tahu kisah silam papa tu. Kita sama-sama dengar cerita dari mulut papa masa dia datang melawat kita tempoh hari,” ujarku pula. Tetapi aku faham perasaan Hadif dan kenapa dia bertindak begitu. Mungkin aku juga akan melakukan hal yang sama andai aku berada di tempatnya.

            “Sebab saya tak tahulah saya berfikir yang bukan-bukan. Papa cuma beritahu mereka banyak membantu papa masa kecil. Tapi kisah betul-betulnya saya tak tahu langsung. Jadi bila saya dah tahu dan kenal dengan kamu semua saya yakin pilihan papa tepat. Papa berharap sangat perkahwinan kita menjadi penyambung hubungan mereka.” Hadif tersenyum manis.

            “Oh, maknanya semua ni awak lakukan demi papa lah ye.” Lirih suaraku perlahan.

            Hadif pantas menggeleng. “Saya memang dah mula sayangkan awak Aida. Saya marah-marah selama ni pun sebab saya cuba menidakkan perasaan saya. Awak faham kan, saya dah ada Zati. Tetapi tu dulu. Sekarang saya dah bebas.” Hadif meraih tanganku lembut dan menggenggamnya erat.

            Kata-kata Hadif kedengaran sangat syahdu di telingaku. Ada suatu getaran hebat yang melanda jiwa saat ini. Ketulusan dan keikhlasan Hadif telah berjaya meresap masuk ke dalam lubuk hati aku yang paling dalam. Aura Hadif sebagai seorang suami tidak aku nafikan lagi. Aku tertarik pada auranya yang seperti magnet menarikku.

            “Bebas?” Soalku sepatah dengan nada ingin tahu. Adakah ini bermakna tiada penghalang lagi untuk aku mendapatkan cinta Hadif?

            Hadif mengangguk sambil tersenyum. Kepalaku diusap perlahan. “Saya dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Zati. Mulai hari ini saya hanya nak tumpukan perhatian pada awak. Berikan sepenuh kasih sayang saya pada seorang isteri yang layak menerima cinta saya.” Ucap Hadif senafas. Lancar dan yakin. Aku memandang wajahnya dan rasa kasih mula membelit jiwa.

            Pandangan mata kami bertaut lama. Aku merasakan seperti didunia ini hanya ada aku dan Hadif. Perlahan Hadif mengucup dahiku. Aku hanya mampu memejamkan mata. Lama kucupan itu mendarat lembut. Terbayang saat akad nikah kami dahulu apabila buat pertama kalinya dahi ini dikucup seseorang yang bernama suami.

            “Tok! Tok!”

            Kedengaran seperti cermin kereta diketuk dari luar. Aku terus menolak badan Hadif menjauhi aku dan segera menurunkan cermin disisiku.

            “Ye ayah, ada apa?” Soalku dengan muka yang merah. Nasib baik malam, kalau siang tentu ayah dah nampak apa yang kami lakukan sebentar tadi.

            “Aini kata kamu bergaduh dalam kereta ye?” Ayah menyoal dengan muka yang serius.

            Aku menggaru kepala yang tidak gatal. Aini, siap kau!

“Eh, tak adalah ayah. Kami berbincang aje tadi. Mana ada gaduh, kan sayang?” Hadif memeluk bahuku mesra. Dia mendekatkan sedikit badannya untuk bercakap dengan ayah yang berdiri tegak di sisi cermin kereta.

            “Oh, ayah ingat kamu bergaduh tadi. Tu yang ayah datang nak leraikan.” Ayah menganggukkan kepala beberapa kali.

            Aku dan Hadif hanya tersengih malu-malu memandang ayah yang masih memerhatikan reaksi kami.

            “Dah, jom masuk. Walaupun kamu berdua suami isteri, tak manis kalau jiran-jiran tengok kamu duduk lama dalam kereta. Malam-malam macam ni pulak tu. Nanti mereka salah faham.” Ayah berkata dan terus berlalu masuk ke dalam rumah tanpa menunggu jawapan.

            Aku menaikkan cermin dan hanya tunduk membisu. Sesungguhnya selepas apa yang berlaku tadi aku malu untuk menatap wajah Hadif. Tangan aku ramas-ramas sendiri untuk mententeramkan perasaan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Satu perasaan aneh yang membuatkan hati semakin berbunga.

            “Makin berserilah wajah awak…” Hadif tersenyum simpul.

 “Eeii tak sukalah!” Tebalnya muka aku terasa berinci-inci dari biasa. Satu cubitan aku hadiahkan di lengan suamiku. Kemudian aku membuka pintu kereta dan terus meluru masuk ke dalam rumah.

            Aku melangkah masuk ke dalam bilik dan pintu kututup rapat. Aku menutup muka dengan kedua belah tangan. Masih terasa tebal muka aku ini. Tidak cukup dengan itu aku tekapkan muka ke bantal pula. Apa dah aku buat tadi dengan Hadif?

              Malunya!

**istimewa untuk pengikut setia BIP dan pembaca baru...harap dua bab ni dapat menceriakan hari-hari anda...enjoy! ^_*

12 comments:

nabila said...

mama nabila heran,kenapa nabila gelak2 sambil menghadap laptop? Best! Good job,akak. :D

Seri Ayu said...

Salam, seronok bila baca balik. Rindulah kat novel ni.

Anonymous said...

Yeeaa..... ada update...errrr ..tapi mana bab 31???

Jamilah Hasan said...

terubat rindu kt BIP.... suke nye hanif dh luahkan perasaan kt aida.... bile novel nye nk kuar,,, dh x sabo nk tau kesudahannye....

Anonymous said...

bestnya dpt bc BIP!!! :) bila nk publish ne?xsbr nk beli baca :)klu mintak bab 34 & 35 blh x?hehehe

adha syakila said...

Cerita ni best lah.Novel syarikat mana ni?

Shizukaz Sue said...

BIP lambat sikit kuar sebab kena ikut scedule dari publisher kan..lagi2 kita ni novelis baru..sabor jelah hehe novel ni akan diterbitkan oleh kaki novel =)

ainarah eiana said...

Bestnyer cite ni...

ainarah eiana said...

Emmm..best sgt rase mcm jam ni nk beli novel dielah...nk buat koleksi..

danisya el-zara said...

best tpi kasih lh sikit lgi smbungnnya,,
penasaran kelnjutannya..

danisya el-zara said...

saya dari aceh, tak dapt nak beli novelnya..

Anonymous said...

Best dik .. keep it up .. ^_^