Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 15, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 1




            Deandra Asmira Binti Mohamad. Aku membelek kad pengenalan yang baru aku keluarkan dari dalam dompet. Terasa sangat lama aku tidak mendengar sebutan nama penuhku sendiri. Semuanya sebab dia! Perempuan yang paling aku benci. Perempuan yang melukakan hati daddy dan sanggup meninggalkan aku yang masih bayi. Siapa dia dalam hidup aku? Dia adalah perempuan yang telah melahirkan aku kedunia ini tetapi aku tidak pernah menatap wajahnya. Malah sekeping gambar juga tiada dalam simpanan daddy untuk aku melihatnya. Apa yang dia tinggalkan untuk aku hanyalah nama Deandra berasal dari namanya iaitu Deanna Drawson.

            Aku telah terjumpa diari lama daddy di dalam setor sewaktu aku mencari barang permainan yang hilang. Ketika itu aku berusia sebelas tahun. Apa yang sering disogokkan kepadaku sebelum itu ialah mummy sudah lama tiada akibat kemalangan jalan raya. Oleh sebab itu aku hanya dibesarkan oleh daddy seorang diri. Namun sejak aku terbaca diari tersebut, hati aku hancur berkecai. Ternyata semua cerita yang aku dengar adalah rekaan semata-mata. Malah sejak saat itu juga aku tidak pernah memperkenalkan namaku sebagai Deandra Asmira. Cukuplah sekadar namaku Asmira Binti Mohamad biarpun aku tidak dapat membuang darah perempuan mat saleh itu dalam badan ini. Betapa aku terlalu bencikan dia!

            “Asmira, buat apa tu sayang?” Daddy menjengah ke dalam bilikku yang bersepah ini. Sememangnya aku tidak suka mengemas, mungkin kerana tiada wanita bergelar ibu yang patut aku contohi. Aku membesar mengikut acuan daddy yang sebenarnya terlalu sibuk dan jarang berada dirumah. Siapalah yang akan aku contohi atau dijadikan role-model? Akibatnya inilah diri aku yang tidak berapa hendak menjadi perempuan sejati.

            Aku segera menyimpan kad pengenalan yang aku pegang ke dalam dompet. “Tak ada apa-apalah daddy. Asmira tengah belek-belek dompet ni. Macam dah tak cantik aje, sebab dah lama pakai.” Aku tersenyum dan mengusap-usap dompet di genggaman.

            Daddy melangkah masuk dan duduk disebelahku. “Yeke? Tak apalah. Nanti daddy bagi duit, Asmira beli yang baru okey.” Daddy membelai kepalaku penuh kasih.

            Mataku mula bersinar gembira. “Betul ni? Asmira memang nak keluar shopping esok dengan Laila. Daddy bagi duit lebih sikit ye.” Aku tersengih-sengih macam kerang busuk. Daddy memang tak pernah mengecewakan apabila aku berbicara soal wang. Mungkin dia merasakan itu salah satu cara untuk membuktikan kasih sayang terhadap puteri tunggalnya ini.

            Pantas Daddy mengangguk sambil tersenyum. “No problem, Asmira. Anything for you. Dah, jom keluar makan. Daddy lapar ni.” Daddy menarik tanganku untuk bangun dari atas katil.

            “Okey, tapi daddy tunggu luar sekejap. Asmira nak tukar baju.” Kataku sambil memandang wajah daddy yang masih segak walaupun berusia dalam lingkungan empat puluhan. Sekali imbas aku tengok dah macam rupa Datok K pula daddy aku ni. Kalau Siti Nurhaliza terjumpa daddy sebelum penyanyi nombor satu negara itu berkahwin, tentu boleh tangkap cintan punya! Kan seronok kalau dapat mak tiri secantik dan sebaik Siti….

            “Okeylah. Tapi jangan lama-lama. Daddy lapar sangat dah ni. Bilik yang bersepah ni nanti esok Ibu Zai datang kemas.” Ujar Daddy dan terus keluar dari bilik anak daranya ini. Kalau berlama-lama memang daddy akan melihat ‘cermin mata’ yang bertaburan di bawah timbunan baju kotor di atas permaidani. Pendek kata kalau ada sesiapa yang datang nak meminang aku, pasti akan cabut lari setelah melihat keadaan dalam bilik ini. Hehehe!

            Aku segera menyalin pakaian kepada seluar jeans separas lutut dan t-shirt sendat berwarna putih. Kemudian aku menggeledah laci almari untuk mengambil stoking Nike dan terus berlalu keluar mendapatkan daddy.

            “Jom, daddy! Asmira dah siap ni.” Ajakku sambil mengerling sekilas kearah daddy yang duduk membaca surat khabar di ruang tamu.

            Tanpa menunggu daddy, aku duduk di muka pintu untuk memakai stoking dan kasut Nike kegemaranku. Setelah siap, aku beredar menuju ke garaj dan berdiri disisi kereta Toyota Estima kepunyaan daddy.

            “Hish, anak dara bertuah ni. Bukan pandai nak tutup kipas, kunci pintu semua. Ini dah siap berdiri tunggu tepi kereta. Kalau dapat perempuan macam ni, memang sah daddy tak ajak dating.” Omel daddy sayup-sayup ditelingaku sambil melakukan tugas yang dia sebutkan sebentar tadi.

            “Alah, daddy boleh buat sendiri semua tu. Asmira pun tak nak dating dengan lelaki tua macam daddy! Kuat membebel pulak tu.” Aku memekik agar dapat didengari dengan jelas oleh daddy. Kemudian setelah terlihat kelibat daddy muncul berhampiran garaj, aku sengaja mencebikkan bibir tanda mengejek.

            Seperti biasa, daddy hanya tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali. Itulah sikap daddy yang tidak pernah marah-marah, jauh sekali untuk memukul aku. Daddy adalah lelaki terbaik yang pernah aku kenali selama aku hidup lapan belas tahun didunia ini. Selain daripada tahap kekacakan yang aku sebutkan tadi, daddy banyak duit, daddy pencinta setia dan daddy romantik. Walaupun aku dah promosi daddy setinggi itu, tetapi maaflah kepada wanita-wanita yang tertelan liur terhadap daddy kerana sehingga kini dia tetap tidak mahu berkahwin lagi. Melepaslah kau orang!

                                                *******************************

“Asmira sayang, nak makan apa?” Hah, kan aku dah kata daddy atau Encik Mohamad ini sangat romantik orangnya! Soalan yang keluar dari mulut dia sangat sweet sehingga ada mata-mata nakal yang menjeling kearah kami.

            “Asmira nak makan…erm…Zinger Burger satu set. Lepas tu, air nak tukar kepada ice lemon tea. Jangan lupa order aiskrim sekali tau!” Jawabku sambil memandang wajah daddy yang masih memakai kaca mata hitam.

            “Okey sayang. Pergi duduk sana dulu, nanti semuanya akan patik belikan ye.” Daddy menunjukkan kearah meja kosong di bahagian hujung Restoran KFC ini.

            Aku mengangguk dan tergelak kecil. Geli hati melihat telatah daddy yang sengaja mengada-ngada apabila mata-mata disekeliling kami memandang pelik. Aku sudah biasa dengan situasi begini. Maklumlah wajah aku dan daddy tidak seperti seorang anak dengan ayahnya kerana aku berdarah kacukan Melayu-Inggeris manakala daddy pula Melayu tulen. Jawa mariii! Lebih-lebih lagi kami sering berjalan berpegangan tangan tidak kira kemana sahaja. Sekali tengok, dah macam pasangan kekasih pula. Mungkin kerana itu daddy sukar didekati oleh wanita lain selama ini.

            Aku melepaskan genggaman tangan daddy, kemudian melangkah untuk duduk dimeja yang ditunjukkan. Masih tidak dapat menahan senyum akibat dipandang serong oleh beberapa orang pelanggan yang turut sama beratur di belakang daddy. Mesti mereka fikir daddy tu adalah sugar-daddy aku kan. Alah, apa ada hal? Itu bapak akulah.

            Hampir sepuluh minit menunggu barulah kelihatan daddy menuju kearahku sambil menatang dulang yang berisi makanan segera.

            “Daddy esok lepas keluar shopping dengan Laila, Asmira nak ajak dia tidur rumah kita tau. Mak dengan ayah dia tak ada balik kampung. Kita orang pulak ada kerja seni yang perlu disiapkan atas kanvas tu. Jadi tak dapatlah Laila ikut balik kampung.” Aku meminta keizinan dari daddy walaupun sebenarnya hanyalah sebagai pemberitahuan sahaja. Apa yang ingin aku lakukan tidak pernah dibantah oleh daddy dan pastinya sentiasa mendapat keizinan. Syok kan?

            Kelihatan daddy mengangguk-angguk dan menyedut minumannya. Kemudian mula menjamah ayam goreng yang berada di dalam pinggan dengan penuh berselera. Aku juga turut melakukan perkara yang sama dan suasana menjadi sunyi seketika. Hanya sesekali terbit ketawa kecil antara kami apabila daddy mengelap bahagian tepi mulutku yang agak comot terkena sos.

            “Macam mana dengan sekolah baru? Asmira suka?” Soal daddy setelah habis seketul ayam dipinggannya. Matanya sesekali menyapa wajahku sambil tangannya lincah mencubit seketul lagi ayam goreng untuk dimasukkan ke dalam mulut.

            Aku mengangkat kening. “Bolehlah…cuma Asmira still rasa janggal sebab ada kaum lelaki sebagai rakan sekelas. Tapi apabila memikirkan duduk kat sekolah tu tak lama, Asmira buat-buat biasa aje.” Jawabku jujur. Sememangnya aku tidak biasa berhadapan dengan kaum lelaki biarpun yang telah membela aku sehingga besar panjang selama ini adalah seorang lelaki.

            “Kenalah biasakan diri, sayang. Dari sekolah rendah sampailah tamat SPM Asmira berada di girls school. Sebab tu untuk tingkatan enam ni daddy nak Asmira masuk sekolah campur. Kalau langsung tak jumpa lelaki, memang sampai matilah daddy tak merasa dapat menantu.” Selamba sahaja daddy mengusik aku sambil mengulum senyum penuh makna.

            Aku menjegilkan mata kepadanya. “Tak ada maknanya daddy nak fikirkan pasal menantu sedangkan Asmira baru aje lapan belas tahun. Sepatutnya daddy tu fikirkan untuk cari calon mummy untuk Asmira. Sunyilah rumah kita tu, selagi daddy tak kahwin-kahwin.” Bidasku pula.  

            “Kesitu pulak anak dara daddy ni. Dah berbelas tahun daddy hidup sendiri dengan Asmira, dah tak ada rasa nak cari pasangan hidup. Daddy bahagia macam ni. Kalau tak nak sunyi, Asmira kahwinlah cepat-cepat lepas tu bagi daddy cucu. Tentu meriah rumah kita.” Daddy tersenyum lebar. Sengaja dia mengenyitkan matanya kepadaku untuk menyakat. Daddy kalau bab mengusik dan menyakat orang memang tak nak kalah. Sampai letih melayannya.

            Aku menjeling tajam. Kemudian aku menyedut air sehingga berbaki separuh. Tiada gunanya berlawan cakap tentang hal ini dengan daddy. Apabila aku suruh dia berkahwin, dia pula yang menyuruh aku berkahwin. Aku menggelengkan kepala. Daddy tetap tidak berubah dengan pendiriannya.

Mungkin luka dihati daddy terlalu dalam sampai masih terasa sehingga kini. Arghh, perempuan mat saleh itu memang kejam!

6 comments:

Yin Areesa said...

Saya suka baca semua karya awak. Bahasa yang pro. UUM yer dulu? Sama la...Slam kenal yer.

Shizukaz Sue said...

Terima kasih Shafriza.. =) sy penulis beginner yg masih blajar unt menulis dgn baik..owh uum thn bila? selamat berkenalan..

Anonymous said...

apa la yang daddy dia tulis dalam dairi tu ya, sampai anak dia betul2 bnci kan mummy dia. tapi betul, laki kalau da tluka, sukar dia nak cari pgganti :)

Shizukaz Sue said...

Nurul: hehe ikin nnt akak fotostat diari tu bagi baca ek..kihkih orang lelaki ni kadang2 lagi sentap dr pompuan..heee

Unknown said...

erm best jugak cerita nih...romantik lah ayah dia..boley men2 syg dgn anak dia..kelas gitu :)

Anonymous said...

NB - permulaan yang menarikk...sukar nak jumpa lelaki yg terlalu pecinta setia...kalau perempuan kita dah biasa dgr...
(^_^)