Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, August 12, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 43



              Perjalanan pulang dari Pulau Langkawi berjalan lancar. Tepat jam lima setengah petang kami tiba di Jeti Kuala Perlis untuk mengambil semula kereta yang ditinggalkan disitu sejak empat hari yang lalu. Aku memandang sekilas Hadif yang berjalan di sebelahku sambil menggalas beg serta membimbit beberapa beg plastik di tangan hasil membeli-belah di Pulau Langkawi sebelum bertolak pulang. Muka aku dan Hadif sama-sama kelihatan sedikit memerah kesan daripada mandi-manda di pantai tempoh hari. Alahai, makan masa juga nak kembali seperti sediakala. Malu pula memikirkan bagaimana keadaan muka aku apabila kulit kering ini mengelupas sedikit demi sedikit tidak lama lagi. Apatah lagi aku sentiasa nampak cantik di hadapan Hadif sebelum ini. 

            “Kita balik rumah teruslah sayang ye. Malam nanti kita keluar makan atau sayang dah lapar sekarang ni?” Soalan Hadif mematikan lamunan aku berkaitan kecantikan dan kondisi kulit aku saat ini.

            Aku menggelengkan kepala. “Belum lapar lagi. Tadi makan tengahari banyak.” Jawabku sambil memasukkan beg-beg plastik di tempat duduk belakang. Kemudian beg galas aku berikan kepada Hadif untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta.

            “Okey. Kita keluar makan malam nanti. Sayang nak makan apa?” Hadif tersenyum memandang aku untuk meminta jawapan.

            “Apa-apa pun boleh. Tak kisah.” Aku juga turut membalas senyuman Hadif dan berlalu masuk ke dalam perut kereta.

            “Senangnya jaga sayang ni kan? Apa pun boleh. Tak kisah. Ok aje. Itu je yang sayang suka jawab.” Hadif yang baru masuk ke dalam kereta mencuit hidungku sambil tergelak kecil. Pandangan matanya yang memukau membuatkan aku selalu merasa tenang. Hilang semua kepenatan yang terasa di badan. Kenapa aku tak pernah rasa sebegini sebelum ini? Berbezakah cinta monyet dengan cinta sejati? Mungkin.

            “Mana ada. Sayang ni degil dan keras kepala tau.” Aku menggelengkan kepala beberapa kali. Memang betul pun. Aku sendiri sedar diri tentang hal itu. Namun aku akan cuba untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik.

            “Abang boleh handle sayang.” Jari Hadif naik menyepit pipiku. Aku tersenyum malu-malu. Terasa macam budak tadika aje kena cubit pipi. 

            Hadif tergelak lucu melihat air muka aku yang segera berubah. Kemudian dia menggosok lembut kepalaku sebelum memandu keluar dari perkarangan tempat parkir kereta. Satria Neo hitam milik Hadif terus memecut laju membelah jalan raya menuju ke destinasi iaitu ke teratak kasih kami.



“Sayang dah siap?” Hadif menjengukkan sedikit kepalanya ke dalam bilik untuk melihat. Kemudian perlahan dia masuk dan duduk dibirai katil apabila melihat aku telah siap berdandan.

            “Abang selalu nampak orang lelaki bawakan beg tangan girlfriend atau wife dia. Tapi sayang tak pernah pun suruh abang tolong bawakan. Meh sini abang pakai.” Hadif mengambil beg tangan berjenama Coach yang aku terima semasa hantaran perkahwinan kami dari atas meja solek. Kemudian dia menggayakannya dengan menyarung ke bahu sambil membelek diri di cermin. Membulat mataku memerhatikan tingkahnya.

            “Ishh, abang ni! Tak naklah. Buat apa abang nak pakai atau tolong bawakan beg tangan perempuan. Geli aje sayang tengok.” Aku menggelengkan kepala dan mengambil beg tangan tersebut dari Hadif. Tergelak besar dia melihat aku mencebikkan bibir dengan perlakuannya sebentar tadi.

Memang aku tak suka melihat lelaki tolong membawakan beg tangan perempuan. Kalau malas nak bawa, baik tak payah pakai beg tangan. Tapi kalau untuk keselamatan, lelaki pakai pun rasanya masih boleh kena ragut. Jadi apa logiknya untuk kaum adam membantu dari sudut sebegitu? 

“Dah, dah…kita nak keluar makan kan? Jangan kata abang kenyang pulak.” Aku memuncungkan bibir sengaja menunjukkan reaksi protes. Perut dah mula memainkan irama keroncong jadi eloklah kami bertolak segera. 

“Abang tak kenyang lagilah…sebab…” Hadif tergelak lagi sebelum mematikan kata. Dia sengaja membiarkan ayatnya tergantung untuk menyakat aku.

Aku mengerutkan kening. “Sebab apa? Main-main pula abang ni.” Soalku dengan rasa ingin tahu. Tetapi hati sebenarnya berbunga bahagia dengan sikap Hadif yang gemar bergurau-senda. Bukankah sikap seperti ini penting untuk menceriakan hubungan? 

“Sebab…abang…belum dapat kiss.” Jawapan Hadif diselangi dengan gelak tawanya yang nakal sambil menunjukkan pipinya kepadaku.

“Abang, nakal tau!” Aku menjerit kecil kerana terkejut dengan jawapan Hadif yang tidak diduga itu. Lantas aku menghadiahkannya cubitan kecil di lengan. Namun Hadif masih ketawa besar dengan reaksi aku. Aku menggigit bibir bawah. Geram dan malu dipermainkan begitu. Namun akhirnya aku juga tersenyum kelucuan melihat tingkah Hadif yang mencuit hati.

“Dahlah tu ketawa. Jom kita gerak sekarang. Sayang lapar. Abang kalau dah kenyang nanti kat sana tak payah makan tau.” Sempat lagi aku memerli Hadif yang masih bersisa ketawanya. 

“Eh, kalau tak payah makan nanti abang makan sayang baru tahu.” Hadif masih mengusik nakal. Namun tanganku dipimpin juga keluar setelah dia mencapai kunci kereta di atas meja kecil.

Aku hanya menjeling tajam melihat Hadif yang tidak puas-puas mengusik. Amboi bukan maik galak lagi dia gelakkan aku dari tadi. Aku menggelengkan kepala sebelum berlalu masuk ke dalam perut kereta. Aku membiarkan Hadif yang mengunci pintu rumah dan pintu pagar walaupun selalunya itu adalah skop tugas aku. Biarlah dia yang buat sebab sibuk bergelak sakan mengenakan aku. Senyuman nakal pula yang terbit di bibir aku saat ini.

Setelah Hadif membolos masuk ke dalam kereta, dia terus memandu menghala ke Alor Star. Eh, Hadif ni biar betul? Makan malam pun nak pergi jauh-jauh. Dekat-dekat sudahlah.

“Kita nak pergi makan kat mana ni?” Aku bertanya sambil menjeling sekilas wajah Hadif yang tekun memandu.

“Kan sayang kata tak kisah nak makan kat mana pun?” Hadif menjawab sambil menaikkan sedikit keningnya memandang aku.

“Memanglah tak kisah. Tapi saja tanya nak tahu.” Jawabku jujur. Memang aku tidak kisah tetapi tak perlulah sampai ke bandar semata-mata mahu menikmati makan malam. Lainlah kalau kami memang tinggal di tengah-tengah bandar. Ini nak ke Alor Star pun makan masa.

“Abang nak bawa sayang makan kat Menara Berputar Alor Star.” 

Terbeliak biji mata aku mendengarnya. Nak makan kat Menara Berputar Alor Star? Bukan sebab aku tak pernah makan kat situ atau makanannya mahal-mahal. Tapi memikirkan kami baru saja pulang dari berbulan madu. Jadi aku tidak mahu Hadif menyusahkan diri untuk membuat sesuatu yang istimewa lagi. Satu jam perjalanan kesana sudah cukup membuatkan gastrik aku menyerang.

“Eh, tak payahlah makan jauh-jauh. Kita makan kat Jitra aje nak? Nanti kat susur keluar depan tu abang menghala ke Jitra. Kita makan char kueteow kat depan Pasaraya Aneka tu. Lagi best.” 

Selepas memberikan cadangan aku meniup perlahan ke wajah Hadif. Pantas Hadif menoleh dan mengerutkan dahinya. Muka aku dipandang dengan rasa pelik. “Sayang buat apa tiup-tiup ni?” 

“Biar lembut sikit hati abang dengar cadangan sayang.” Aku tersengih macam kerang busuk. Kemudian menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Sebenarnya bukan aku baca jampi serapah pun. Aku cuma membaca selawat nabi tiga kali kemudian tiup aje kat muka Hadif tu. Dengan perut yang lapar tahap gaban, harap-harap Hadif setuju untuk makan di Jitra. Aku tiada niat jahat terhadap suami sendiri. Peace!

“Sayang ni buat suspen aje tau.” Hadif tersenyum dan menggelengkan kepalanya beberapa kali. Kemudian kereta dihalakan menuju ke susur keluar arah Jitra. 

Aku menarik nafas lega. Menjadi juga tiup-tiup aku sebentar tadi. Sekejap lagi bolehlah perut aku menjamu selera dengan char kueteow kerang yang terkenal di daerah ini. Membayangkan makanan tersebut kecur air liur aku. Perut pula semakin berbunyi minta diisi. Agak lama juga aku tidak kesana untuk menjamu selera.

Selepas memarkirkan kereta di bahu jalan, aku dan Hadif beriringan keluar menuju ke gerai yang dimaksudkan. Seperti biasa gerai ini memang sentiasa penuh dengan pengunjung yang mahukan suasana santai serta makanan yang lazat. Apatah lagi kedudukan gerai yang berdekatan dengan pasaraya Aneka menjadikan tempat ini tumpuan orang ramai.

Hadif memilih meja kosong yang berada di belakang sedikit. Dia tidak mahu duduk di meja yang berhampiran bahu jalan kerana penuh dengan mat-mat motor. Sejurus kami mengambil tempat untuk duduk, pelayan segera datang mengambil pesanan.

            “Char kueteow dua, air sirap bandung dua.” Hadif membuat pesanan tanpa perlu bertanya kepadaku. Sememangnya dia sedia maklum air kegemaranku apabila berada di gerai sebegini. Nak order jus buah memang terang-terang tak ada dijual. Lainlah kalau makan di restoran.

            Pelayan tersebut menulis sesuatu di atas buku kecil dan terus berlalu. Aku pula memandang ke sekeliling melihat manusia yang pelbagai ragam. Selalunya apabila berada di tempat awam aku tidak melepaskan peluang memerhatikan gelagat manusia. Ada yang kelihatan pelik, lucu dan tidak kurang juga yang menjengkelkan. Mana tidaknya, ada sekumpulan gadis-gadis sunti bawah umur yang berpakaian seperti mahu ke kelab malam tetapi duduk bersidang di gerai seperti ini. Pak haji pun boleh tergugat iman melihat aksi-aksi mereka itu.

            “Sayang…” Terasa tanganku disentuh dan diramas lembut. Aku pantas memandang Hadif yang duduk berhadapan denganku. Senyuman manis aku berikan kepadanya.

            “Hmm…ada apa abang?” 

            Hadif merenung anak mataku dalam-dalam. Alamak! Kita kat gerai jual char kueteow ajelah Hadif. Nak romantik pun tengok tempatlah sikit. Aku mula gelabah tak tentu pasal. Lain macam aje aku rasakan renungan Hadif saat ini sehingga menggegarkan jiwa nuraniku.

            “Kenapa sayang tak nak makan kat Menara Berputar?” Soalan Hadif membuatkan gegaran yang aku rasakan tadi terhenti. Ingatkan nak tanya apa tadi. Buat suspen betul main renung-renung macam tu.

            “Bukan tak nak. Tapi kita nak makan malam aje kan? Bukan nak sambut apa-apa yang special. Kat sini pun okey. Janji kenyang.” Terangku pada Hadif. Bibirku mengukir senyuman kecil melihat riak wajah Hadif yang masih tidak berpuas hati.

            “Kalau tak sambut apa-apa pun abang mampu bawa sayang makan kat sana tiap-tiap malam.” Nada suara Hadif dialunkan seperti berjauh hati. Kesitu pulak dia ni.

            Aku tergelak kecil. “Oh, tak puas hatilah ni ye? Bukan soal duitlah abang sayang oi…Janji kita happy kat mana-mana pun. Lagipun tak perlu makan jauh-jauh sampai kesana. Lain kali kita pergilah ye.” Pujukku sambil menggenggam tangan Hadif yang sedikit dingin disapa angin malam.

            “Sayang ni lain dari yang lain. Tak macam perempuan lain yang abang kenal. Selalunya perempuan suka tempat yang special, makan makanan mahal, semuanya nak yang best dan bagus. Tapi abang nak bawa, sayang pula yang tak nak.” Luah Hadif dengan wajah yang berkerut. Mungkin masih memikirkan kenapa aku menolak ajakannya tetapi lebih memilih untuk makan di gerai sederhana seperti ini.

            “Lain kali kita pergilah. Bukan sayang tak suka tapi tengok keadaan jugak. Sekali-sekala okey. Tapi kalau dah selalu nanti tak ada rasa special pun. Lagi sempoi kita makan sambil borak-borak kat gerai macam ni. Sayang kan tak bercinta dengan abang sebelum kahwin. So sekarang sayang nak rasa kita lepak-lepak macam pasangan bercinta. Tak salahkan?” Aku masih berusaha memujuk Hadif yang seperti anak kecil ragamnya. Tetapi semakin comel aku melihat wajah tampan lelaki ini apabila merajuk. Rasa nak cubit-cubit aje pipi dia kuat-kuat!

Hadif kembali merenung aku seperti yang dilakukannya sebentar tadi. Naik meremang aku menatap matanya. Namun akhirnya aku mengalah dan pandangan aku larikan kearah lain. Jantung aku berdetak kencang. Walaupun bersama suami sendiri tetapi getaran hebat yang sering melanda sukar untuk aku tangkis. Selagi ada cinta dihati ini mungkin selagi itulah debaran cinta Hadif akan membadai jiwa aku.

“Okey, apa saja asalkan sayang happy. Abang bertuah sebab sayang tak cintakan abang kerana duit. Terima kasih sayang.”  Hadif tunduk mengucup tanganku. 

“Kasih diterima. Cintakan seseorang kerana hartanya, harta akan habis. Cintakan seseorang kerana paras rupanya, nanti kita akan tua juga. Tetapi cintakan seseorang kerana hati budinya, cinta itu akan sentiasa hidup dalam jiwa hingga hujung nyawa.” Ujarku penuh perasaan. Alamak! Tadi aku cakap Hadif, tapi sekarang ni aku pula yang jiwang tak kena tempat.

“Wow! Sayang ni pandai bermadahlah. Cair hati abang dengar. Jatuh cinta bergolek-golek kat sayang.” Hadif tergelak sambil menggenggam erat jari-jemariku. Begitulah Hadif, layanannya sentiasa membuat hati aku berbunga-bunga. Jalan nak berkepit, duduk nak dekat-dekat, cakap pun kalau boleh nak bisik-bisik selalu. Sebenarnya aku yang dah lama cair dengan dia.

            Ketawa besar terlepas dari bibir mungilku. Aku manusia yang tidak romantik ini tiba-tiba pandai bermadah pula malam-malam begini. Itu pun di gerai char kueteow yang sememangnya tidak sesuai menjadi saksi madah jiwangku sebentar tadi. Tak kisahlah, Aida Nasuha. Janji ikhlas lahir dari hati kan?

            Pelayan yang datang menghantar makanan yang dipesan sebentar tadi membuatkan suasana sunyi seketika. Aku dan Hadif melepaskan pegangan tangan untuk masing-masing menjamu makanan yang telah terhidang. Aku menyedut sedikit air sirap bandung di dalam gelas. Manis, lemak dan enak. Lega tekak aku yang sedikit kering sejak keluar dari rumah tadi.

            “Abang, cuti kita masih panjang lagi. Abang nak duduk sini aje atau nak balik rumah mak?” Aku yang sedang mengunyah char kueteow bertanya sambil menjeling Hadif sekilas. Berselera juga nampaknya Hadif menikmati makan malam ini.

            Hadif mengangkat wajah untuk menatap mataku. “Terlanjur sayang dah tanya ni baru abang teringat. Sebenarnya abang nak ajak sayang balik Ipoh. Kita duduk rumah mama dan papa. Lama dah abang tak balik tengok rumah, kedai dobi dengan syarikat papa tu. Tapi abang promise nanti sebelum habis cuti kita balik jenguk mak dan ayah juga okey.” 

            Aku mengangguk-angguk beberapa kali. Faham dengan permintaan Hadif. Alah, bukan susah pun nak dituruti. Aku akan sentiasa berada disampingnya walau kemana dia pergi. Tempat seorang isteri adalah disisi suaminya. Lagipun aku belum pernah menjejakkan kaki ke rumah mertuaku itu. Teringin juga hati ini untuk melihat tempat dimana suamiku membesar walaupun mama dan papa tiada disini kerana telah berpindah ke Jakarta beberapa bulan yang lalu. 

            No problem. Sayang tak kisah. Sayang ikut aje, mana-mana pun okey. Teringin juga nak balik rumah abang, nak tengok kedai dobi kesayangan abang tu. Tapi sayangnya mama dan papa tak ada. Kalau mereka ada mesti lagi best kan? Rindu pula sayang pada mama dan papa. Entah apa khabar mereka kat Jakarta tu.” Luahku pada Hadif. Sememangnya akibat terlalu sibuk dengan bulan peperiksaan agak lama aku tidak menghubungi mereka. Mama dan papa juga tidak cuba untuk menghubungi aku mahu pun Hadif. Mungkin mereka juga sibuk atau tidak mahu mengganggu kami yang berperang dengan exam.

Hadif tersenyum dan meletakkan sudu serta garfu di atas pinggan. Tangannya menyentuh lembut kepalaku dan membelai seketika. Aku terdiam dan hanya membiarkan tindakan Hadif yang menunjukkan kemesraan kasih sayangnya. Kelu lidah untuk bertanya mengapa dia membelai aku secara tiba-tiba.

“Sayang ni kan, pandai sangat ambil hati buat abang semakin hari semakin sayaaaaang… sangat kat sayang. Sayang buat abang senang berdampingan dengan sayang. Sayang pandai ikut rentak abang. Abang paling bersyukur sebab sayang terima dan sayang mama dan papa macam mak ayah sayang juga. Thanks a lot sayangku.” Pengakuan Hadif membuatkan dadaku dihimpit perasaan sebak. Hati isteri mana yang tidak tersentuh dengan pengakuan jujur sebegitu oleh suaminya. Betul ke aku ni pandai mengambil hati? Alhamdulillah kalau sungguh bagai dikata. 

Aku yang sedikit terharu merasa ada air membasahi tubir mata. Lantas jari aku menyeka air itu dari turun. Buat malu aje nanti kalau orang sekeliling tengok. Berdrama swasta pula kami suami isteri di gerai ini. Tetapi hati aku tidak mampu membendung perasaan sebak yang bertamu. Sungguh tidak dijangkakan aku dan Hadif akan berada di alam percintaan yang tersangat indah untuk diungkapkan dengan kata-kata. Bertuahnya aku kerana dikurniakan perasaan dan peluang ini walaupun berkahwin bukan atas pilihan aku sendiri.

“Eh, abang bukan marah sayanglah. Janganlah menangis…” Hadif cuak dengan respon yang tergambar diwajahku. Malah melihat air jernih yang membasahi mata juga membuatkan Hadif berasa cemas.

“Bukan…Sayang tiba-tiba sebak dengar abang cakap macam tu. Sayang bersyukur sangat kalau itu yang abang rasakan terhadap sayang. Maknanya perkahwinan kita bukan satu kesilapan tetapi satu rahmat untuk kedua-dua belah family kita.” Pantas aku menjawab tidak mahu Hadif menjadi cemas tidak keruan tanpa jawapan. Kemudian aku tersenyum kecil cuba untuk menenangkan diri. Tidak mahu perasaan sebak ini terover pula. 

Hadif tersenyum kelegaan mendengar jawapan dari mulutku. “Tentulah…rahmat yang tidak terhingga dalam perjalanan hidup abang apabila sayang muncul. Apalagi dengan restu dan doa dari keluarga kita. Abang nak ada keluarga besar dengan sayang. Abang ni anak tunggal rasa sunyi aje tau.” Hadif tergelak semasa menuturkan ayatnya yang terakhir.

“Amboi, nak keluarga besar pula sekarang. Berapa besar abang nak?” Saja aku mengusik Hadif sambil kembali menyudu char kueteow yang masih berbaki di dalam pinggan.

Hadif menaikkan jarinya menunjukkan angka empat. “Empat orang eh?” Hadif tersengih menunjukkan barisan giginya yang cantik tersusun kemas.

Aku menggelengkan kepala. “Banyaknya. Boleh ke kita jaga? Sayang ni bukan biasa dengan budak-budak. Abang lagilah kan? Tengok gaya pun dah tahu tak biasa dengan budak.” Aku mencebikkan bibir sambil memandang Hadif sekilas. Memang aku rasa tidak yakin dengan kemampuan aku dalam hal-hal sebegini.

“Insyaallah sayang. Kata orang, bila kita dah jadi ayah dan ibu nanti automatik akan pandai menjaga anak. Kita pun boleh belajar sama-sama. Sayang jangan risau eh.” Pujuk Hadif untuk mematikan kerisauan aku. Ayat itu jugalah yang Hadif ucapkan sewaktu kami berbulan madu tempoh hari apabila soal anak ini timbul.

Aku menganggukkan kepala dan menarik nafas dalam-dalam. Insyaallah, kataku di dalam hati. Kalau itu yang Hadif mahukan, akan aku turuti asalkan dia bahagia. Kerana dia telah memberikan aku sebuah erti kehidupan yang tidak terfikir olehku sebelum ini. 

Aku cintakan kau Hadif, sepenuh jiwa dan raga!

No comments: