Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 13, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 49



        Dua minggu berlalu sejak hari pertama aku bekerja di pejabat ini. Aku semakin mahir melakukan pelbagai tugasan yang diberikan dan semuanya berjalan dengan lancar. Hari-hari aku sibuk dengan tugasan pejabat dan di rumah pula sibuk melayan suami. Tetapi jadual baru ini membuatkan masa untuk aku berjumpa Mak Dian menjadi singkat. Awal pagi sahaja aku dapat berbual-bual dengan Mak Dian sebelum pergi kerja dan petang pula Mak Dian telah pulang apabila aku tiba di rumah. Hanya hari Sabtu sahaja aku dapat meluangkan masa bersama Mak Dian dengan lebih lama jika tiada apa-apa urusan, kerana hari Ahad adalah hari cuti untuk Mak Dian.

            Rutin aku juga sedikit berubah selepas pergi dan balik kerja kami dihantar dan dijemput oleh Pakcik Mahmod. Pada waktu makan tengah hari juga kami akan dijemput oleh pemandu itu. Pendek kata kemana-mana sahaja aku dan Hadif pergi pasti akan dihantar oleh Pakcik Mahmod. Rimas pula aku dibuatnya. Hari Ahad yang lalu aku keluar bersama Hadif untuk menonton wayang dan membeli-belah juga ditunggu oleh Pakcik Mahmod. Nak berdating pun rasa menyusahkan orang. Aku tidak selesa begitu. Setiap kali aku mengeluh tentang hal itu, Hadif pasti akan memujukku. Katanya, itu aje pilihan yang ada setelah cadangannya untuk mengupah pengawal peribadi aku tolak mentah-mentah. Ish, papa tak risaukan keselamatan kami ke? Yang bagi duit banyak-banyak tu buat ape? Kan ke pening hidup aku sekarang ni. 

            Walaupun aku sangat seronok tinggal di rumah papa dan mama, bekerja di syarikat ini, senang dengan Mak Dian dan macam-macam perkara lagi yang aku suka disini tetapi kadangkala hati aku tidak sabar untuk pulang ke kampus. Kehidupan disana lebih normal dan tenang. Aku dan Hadif bebas ke kuliah seperti insan biasa. Disana tiada siapa mengetahui jumlah aset yang kami miliki sekarang. Mudah-mudahan tiada perkara-perkara buruk yang berlaku, pintaku di dalam hati.

            “Tok! Tok!” Ketukan di pintu mengejutkan aku dari lamunan. Segera aku membetulkan duduk dan kembali menghadap skrin komputer.

            “Masuk.” Kataku sepatah.

            Pintu bilik dikuak dan terpacul wajah Nurul Ain setiausaha kepada Hadif sambil tersenyum manis. Aku juga membalas senyumannya sementara menunggu dia membuka mulut tentang hajat dia datang ke bilikku.

            “Puan Aida, ni ada memo.” Kata Nurul Ain sambil meletakkan sekeping kertas ke atas mejaku.

            “Duduklah dulu Ain. Memo apa ni?” Tanganku pantas mengambil kertas tersebut dan membaca seimbas lalu.

            “Pihak syarikat akan adakan family day hujung minggu ni. Encik Wahab sendiri yang bagi tarikh. Saya kena dapatkan jawapan staff yang dapat turut serta, selewatnya esok pagi.” Terang Nurul Ain sambil menarik kerusi untuk duduk.

            Aku terdiam belum memberikan sebarang respon. Memo di tangan aku baca sehingga selesai. Kemudian aku kembali menatap wajah Nurul Ain yang berada dihadapanku.

            “Pulau Pangkor? Dekat aje. Ramai ke yang dah bagi jawapan?” Soalku pula sambil mengetuk-ngetuk pen di atas meja.

            “Ramai juga yang dah bagi jawapan terus pada saya. Semuanya saya dah catatkan. Puan Aida kan orang penting dalam syarikat ni, tentulah kena pergi.” Nurul Ain tersengih sambil membetulkan tudung yang menutupi kepalanya.

            “Tuan dah tahu? Kalau dia cakap okey, saya ikut aje.” Jawabku sambil bersandar ke kerusi empuk ini. Seronok juga kalau dapat ikut serta walaupun lokasinya tidaklah jauh dari sini. Yang penting kami dapat bersama-sama memeriahkan suasana dan semakin rapat dengan kakitangan syarikat.

            Nurul Ain menganggukkan kepalanya. “Tuan dah bagi jawapan nak pergi. Jadi tuan dengan puan nak bawa siapa lagi? Berapa orang?” Tanya Nurul Ain sambil membuka buku nota ditangannya bersedia untuk mencatat sesuatu.

            “Saya dan Tuan Hadif berdua ajelah. Rasanya tak ada nak bawa sesiapa lagi.” Aku menjawab dengan yakin.

            “Okey, kalau tak ada apa-apa lagi saya keluar dulu ye.” Nurul Ain tersenyum dan bangkit dari kerusi setelah mencatat di bukunya.

            “Okey. Terima kasih Ain.” Ucapku sambil melambaikan tangan kepada Nurul Ain yang membalas lambaianku.

            Sememangnya dalam tempoh dua minggu ini aku semakin rapat dengan Nurul Ain, Kak Awin dan Abang Nizam. Oh, tak lupa juga dengan Nageshwari yang sering menjadi tempat rujukanku apabila melakukan tugasan. Selebihnya, aku sekadar tersenyum dan bertegur sapa sahaja kepada kakitangan lain.

            Setelah Nurul Ain menutup pintu bilik, aku kembali menghadap skrin komputer. Tanganku ligat menaip dan sesekali aku menyemak fail yang berada di atas meja. Semua kerja ini aku perlu siapkan sebelum jam tiga petang kerana selepas itu aku perlu bertemu dengan beberapa orang pekerja yang mempunyai masalah disiplin. Walaupun nama mereka dirujuk sendiri oleh ketua unit untuk datang ke bilikku, aku tidak berniat memberikan apa-apa hukuman terhadap perkara ini. Mungkin sesi petang nanti akan lebih kepada perbincangan dan peluang yang diberikan untuk mereka memperbaiki prestasi kerja pada masa akan datang.

            Aku leka membuat kerja sehingga perut mula berkeroncong minta diisi. Aku melihat jam tangan Esprit yang terpakai kemas di pergelangan tangan. Erm, jam dua belas empat puluh minit tengah hari. Patutlah pandai aje perut ni berasa lapar. Namun aku meneruskan sedikit lagi kerja untuk menunggu jam menginjak ke angka satu.

            “Sayang! Jom makan, abang belanja.” Pintu bilikku tiba-tiba dibuka dari luar.

            “Eh, mak kau!” Aku melatah tak tentu arah.

            Meletus ketawa besar dari mulut Hadif. Ish, datang sudahlah main ‘redah’ aje tak ketuk pintu, tak beri salam kemudian sergah orang macam tu. Protokol mana yang dia belajar agaknya?

            “Abang ni, jahat tau! Buat terkejut orang aje.” Aku memuncungkan bibir sambil menaip ayat yang terakhir sebelum shut down komputer di atas meja. Rambut yang terjurai di dahi aku kemaskan sedikit dan aku sepit di sebelah kiri. 

            Hadif masih menutup mulut menahan tawa yang mungkin boleh meledak lagi. Geram aku melihat riak wajahnya itu. Rasa nak cubit-cubit biar padan muka dia. Suka betul mengenakan aku. Silap-silap aku akan melatah lebih teruk daripada nenek di kampung.

            Sorry sayang. Saja aje nak buat surprise.” Hadif tersengih-sengih sambil berdiri menunggu aku yang masih terbongkok-bongkok menyarungkan kasut. Di dalam bilik selalunya aku hanya memakai selipar dan apabila hendak keluar dari bilik ini barulah aku memakai kembali kasut tumit tinggi.

            “Banyaklah abang punya surprise. Memang setiap masa abang belanja sayang pun kan?” Aku menyindir sambil bangun dan menyangkut beg tangan ke bahu. 

            Hadif hanya tersenyum dan meraih tanganku erat. Kemudian kami berjalan beriringan untuk keluar makan tengah hari. Keluar sahaja dari lif, kelihatan kereta yang dipandu oleh Pakcik Mahmod telah sedia menunggu di hadapan pintu utama. Setelah aku dan Hadif membolos masuk, kereta BMW yang ditinggalkan oleh papa dirumah meluncur laju menuju ke destinasi.

            “Nak makan kat mana hari ini?” Soalku memulakan bicara setelah selesa duduk di dalam kereta.

            Hadif menoleh. “Makan kat Secret Recipe. Abang dah lama tak makan Secret Recipe Fried Rice with Satay. Ermmm, sedapnya.” Hadif menelan liur. Aku ketawa mengekek melihat telatah Hadif. Ada-ada sahaja suamiku ini.

            “Oh, lupa nak tanya. Kenapa family day dibuat hujung minggu ni? Bukan sepatutnya mereka beritahu sebulan lebih awal?” Aku mengubah posisi untuk menghadapkan badan ke arah Hadif. Memang aku pelik juga kenapa last minute baru keluar memo.

            “Ini bukan family day tahunan sayang. Uncle Wahab adakan sempena pertukaran pemilikan syarikat dan sebagai menghargai kakitangan yang setia berkhidmat. Lagipun kita ada kat sini tinggal seminggu lebih aje.” Hadif melonggarkan tali leher yang dipakainya. Wajahnya juga nampak letih. Walaupun kami baru dua minggu bekerja di pejabat, tetapi aku tahu Hadif juga bertungkus lumus melakukan banyak kerja. Kami tidak mahu mengecewakan papa dan mempersia-siakan amanah yang digalaskan ke bahu kami berdua. 

            “Sekejap aje masa berlalu kan? Sayang rasa seronok bekerja kat sini. Lepas ni kita ‘berperang’ semula dengan buku, tesis, assignment, kuliah…hmmm…” Aku mula mengomel. Alangkah bagus kalau diri aku mampu dibahagi dua? Sebelah bekerja disini, sebelah lagi pulang ke kampus. Hehehe!

            “Itu memang hidup kita sayang. Kat sini sementara aje. Lagipun bila dah balik nanti, kita akan jadi manusia normal seperti yang sayang mahukan. Nak pergi pasar malam pun tak payah ada driver.” Hadif bersuara perlahan. Tidak mahu didengari oleh Pakcik Mahmod yang sedang tekun memandu.

            Aku tersenyum dan menganggukkan kepala beberapa kali. Nafas aku tarik dalam-dalam. Tarik…hembus! Tarik…hembus! Ah, rindu pula apabila terbayangkan keadaan rumah sewa kami yang serba sederhana dan hidup sebagai seorang pelajar yang dikelilingi teman-teman seangkatan. Benarlah bak kata orang, bila tengah belajar fikir nak kerja. Tapi bila dah kerja, terfikir nak balik zaman belajar. Mengada-ngada betul!



Aku memicit-micit kepala yang terasa pening. Kenapa selepas pulang dari makan tengah hari tadi aku rasa lain macam? Kepala rasa berpusing-pusing dan kaki yang melangkah juga terasa tidak berpijak di bumi. Melayang-layang sahaja jasadku tanpa paksi yang kukuh. Apa masalahnya? Aku silap makan ke tadi? Tapi perutku tidak pula meragam. Aduh, apa yang tak kena dengan tubuhku ini? 

            “Puan kenapa ni? Sakit ke?” Nageshwari yang kebetulan lalu dihadapan bilik pantri menjenguk aku seketika.

            “Tak tahulah sakit apa. Kepala saya berpusing-pusing sejak balik lunch tadi. Dah makan panadol, baik sekejap aje lepas tu datang balik. Peninglah…” Aku bersuara lemah. Sesungguhnya sakit kepala yang berpusing dan berpinar ini membuatkan peluh dingin membasahi tapak tanganku. Berperang menahan sakit sejak tadi membuatkan aku menjadi pucat dan lemah.

            Nageshwari merapati dan duduk disebelahku. Bahuku dipicit lembut. Terasa sedikit kelegaan menjalar di setiap sendi. “Puan dah datang period bulan ni?” Soalan itu membuatkan wajahku yang tertunduk tadi mendongak menatap matanya. Soalan jenis apa ini? Aku tak nampak apa-apa kaitan langsung.

            Aku mengerutkan dahi. “Belum lagi. Tapi kalau setakat lewat seminggu tu biasalah. Saya pernah tak datang bulan selama dua bulan sebab stress dengan study. Tapi tu masa bujang dululah.” Ketawa kecil mengiringi kata-kataku. Erk! Masa bujang? Baru aku teringat sekarang aku dah kahwin. Malah period aku tak pernah lewat sebelum ini semenjak aku berkahwin. Kenapa bulan ini lewat pula? 

            Wait a minute! You rasa saya…erm…ni?” Aku membulatkan mata dan jari aku menuding ke arah perutku yang ramping. 

            Nageshwari tersenyum dan mengangguk. “Puan Aida try check dulu. I tak rasa puan salah makan sebab I tahu Tuan Hadif memang jaga sangat bab-bab makan ni. Lagipun kalau ‘mabuk’ memang telan panadol pun tak jalan.” Senyuman Nageshwari semakin lebar memandangku.

            Yeke? Aduh, mabuk ke aku saat ini? Parah, parah. Apa aku nak buat sekarang? Hish, bertenang Aida Nasuha. Belum pasti lagi tekaan wanita India ini betul. Lagipun apa salahnya kalau betul pun, bukannya kau mengandung tanpa suami. Mindaku cuba memberikan jawapan logik agar aku lebih bertenang.

            “Tapi saya tak ada rasa nak muntah pun.” Aku kembali memicit-micit kepala yang pening.  Masih ragu-ragu dengan tekaan tadi.

            “Tak semestinya muntah-muntah. Adakalanya pening-pening aje. Semua orang tak sama pengalamannya. Tapi I dah ada tiga orang anak dan I rasa I tak silap.” Nageshwari masih cuba meyakinkan aku mengenai hal ini. Betul juga, dia lebih berpengalaman dan telah melaluinya sebanyak tiga kali. Erk? Aku mula gelabah.

            “Okey, saya perlu buat apa sekarang? Saya betul-betul tak tahu.” Keluhku lemah. Aku menghela nafas berat kerana tidak mampu berfikir dengan baik sekarang. Bodohnya!

            Nageshwari memaut lenganku cuba untuk membantu aku berdiri. “I bawa puan balik bilik dulu ye. Nanti I bagitahu tuan suruh bawa puan pergi klinik. Sekarang ni puan nak buat kerja pun tak boleh. Better rehat kat rumah okey.” 

            Aku mengangguk dan keluar dari bilik pantri dengan bantuan Nageshwari. Nasib baiklah ada wanita itu yang prihatin dan sedia membantu. Selepas memaklumkan perkara ini pada Hadif, tidak sampai lima minit Hadif telah sampai ke dalam bilikku. Cemas dan risau terpeta diwajahnya. Yelah, tadi masa keluar makan aku baik-baik sahaja. Tidak sampai satu jam aku dah menjadi lemah dan sakit sebegini. Hati suami mana yang tidak bimbang.

            Kami ke klinik yang berhampiran dengan pejabat sahaja dan ditunggu oleh Pakcik Mahmod. Setelah mendaftarkan namaku di kaunter, Hadif kembali duduk disisiku. Dia melentokkan kepalaku dibahunya serta mengambil alih tugas memicit kepalaku menggunakan tangannya pula.

            “Sayang boleh tahan lagi tak? Sekejap aje lagi, kita tunggu nama sayang dipanggil ye.” Hadif cuba memberikan aku kekuatan untuk bertahan.

            Aku tersenyum tawar. “Bukan sakit nak mati pun. Tentulah boleh tahan lagi.” 

            “Hish, janganlah cakap macam tu. Tak baik tau.” Hadif meletakkan jari telunjuknya di bibirku. Wajahnya sengaja berubah menjadi serius dan tegas sedangkan aku tahu dia tak mungkin marah ketika aku sedang sakit begini.

            “Puan Aida Nasuha!” Laungan itu kedengaran dan Hadif memaut lenganku untuk berjalan masuk ke dalam bilik rawatan.

            Setelah penerangan mengenai keadaanku daripada mulut Hadif tanpa perlu aku berkata walau sepatah, doktor wanita yang memakai tag nama Rusnah ini meminta aku memberikan sampel air kencing. Aku kemudian berlalu ke bilik air dengan ditemani oleh Hadif.

            “Mengikut apa yang dikatakan oleh Encik Hadif tadi, puan dah lewat datang bulan selama seminggu kan?” Doktor Rusnah bertanya sambil memegang sekeping kertas keras berbentuk bulat yang terdapat angka-angka di atasnya. Benda alah apa pulak tu?

            Aku dan Hadif mengangguk serentak. Aik? Siapa yang datang bulan sebenarnya ni? Aku atau Hadif? Namun Hadif tenang sahaja memberitahu Doktor Rusnah tentang hal itu. Hish….

            “Tahniah, puan mengandung hampir tiga minggu.” Ayat keramat yang keluar dari mulut Doktor Rusnah membuatkan aku terlopong seketika. Kemudian aku menutup mulut dan saling berpandangan dengan Hadif. Biar betul?! Alhamdulillah…atas kurniaan rezeki ini Ya Allah….

            “Betul ke ni doktor?” Soal Hadif dengan wajah tidak percaya. Namun aku lihat matanya mula berkaca. 

            Doktor Rusnah mengangguk dan tersenyum. “Betul, mengikut kiraan saya kandungannya dah nak masuk tiga minggu. Ujian air kencing juga positif menunjukkan Puan Aida hamil. Rasa pening kepala atau muntah-muntah itu biasa bagi waktu awal kandungan. Kalau teruk sangat, saya akan bekalkan ubat untuk puan. Takut tak boleh bekerja pula nanti.” Penerangan yang diberikan membuatkan aku dan Hadif sama-sama berpegangan tangan.

            “Baiklah, terima kasih doktor.” Ucap Hadif dan aku hanya menganggukkan kepala sebelum keluar dari bilik tersebut setelah menerima sedikit nasihat kesihatan daripadanya.

            “Terima kasih sayang! Terima kasih sebab mengandungkan zuriat abang. Benih cinta kita.” Sebuah kucupan hangat singgah di pipi dan dahiku. Hadif menyeka airmata yang terbit dari hujung matanya. Ternyata dia tidak mampu menyembunyikan perasaan segembira ini.

            “Terima kasih kat abang juga sebab bakal jadikan sayang seorang ibu. Erm, tepat tekaan Nagesh tadi rupanya. Esok pergi pejabat sayang nak hadiahkan dia kek.” Aku tersenyum senang. Perasaan takut, gementar dan sebagainya yang timbul tadi lenyap entah kemana setelah mendapat kesahihan berita gembira ini. Aku tiba-tiba bersedia seratus peratus untuk melalui proses kehamilan dan kehidupan seterusnya. Indahnya dunia!

            “Pergi pejabat? No, sayang. Abang pecat sayang mulai hari ni. Sayang duduk rumah rehat aje. Jangan nak buat kerja berat-berat. Kan doktor dah pesan awal kandungan ni kena berjaga-jaga. Belum sampai sebulan pun lagi usianya.” Hadif mula membebel seperti ‘mak nenek’. Sejak bila pula dia bertukar profesion ni?

            Aku memuncungkan bibir tanda tidak berpuas hati. Amboi, sesedap rasa pecat aku ye. “Kerja pejabat tu mana ada berat. Duduk kat kerusi empuk dan menaip gunakan komputer. Tak ada yang memudaratkan pun. Sayang tak nak terperap aje kat rumah tu. Biarlah otak ni buat kerja, nanti otak baby pun cerdik sama.” Tegasku kepada Hadif.

            Hadif menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Kalau ibu dia degil, nanti baby pun ikut sama. Nak?” Main ugut-ugut nampaknya. Aduh!

            Please abang, sayang janji tak buat kerja penat-penat sangat. Asalkan tak duduk terperap kat rumah. Sayang janji jaga diri baik-baik. Insyaallah tak ada apa-apa.” Aku masih cuba menjalankan politik memujuk Hadif. Lembutlah Hadif, lembutlah…fuh! Perlu ke aku main tiup-tiup sekarang ni? Tak aci betul.

            “Erm, tapi make sure sayang duduk-duduk aje kat pejabat tu. Tak payah buat kerja sangat. Jaga diri dan kandungan elok-elok, jangan bagi abang risau.” Hadif menyentuh lembut perutku yang masih ramping tanpa apa-apa tanda. 

            Aku mengangguk dan tersenyum lagi. Tidak kusangka pening kepala yang aku alami memberi petanda bahawa ada nyawa kecil yang sedang hidup di dalam rahimku. Mak, ayah, papa, mama, anda semua akan jadi atok dan nenek! 

                Tidak sabar rasanya hendak memberitahu mereka.

No comments: