Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, July 30, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 3




Cuaca yang cerah membuatkan aku lebih ceria dan bersemangat untuk memulakan aktiviti sukaneka. Hari ini dalam sejarah setelah berbelas tahun aku tidak mengambil bahagian dalam sukaneka. Semua pelajar yang terlibat hanyalah kawan-kawan yang sealiran dan berada dalam bidang yang sama. Sememangnya kami menganjurkan aktiviti sukaneka ini bagi merapatkan hubungan silaturrahim antara pelajar senior dan juga pelajar junior yang baru sahaja mendaftarkan diri dua bulan yang lalu. Mungkin agak lewat tetapi akibat kesukaran menetapkan tarikh yang sesuai adalah punca utama. Maklumlah pelajar senior dan junior mempunyai jadual waktu yang berbeza.

Oleh kerana kami adalah antara batch yang awal dalam bidang kaunseling di universiti ini, kami telah menjadi pengelola kepada aktiviti yang bakal berlangsung sebentar sahaja lagi. Tahun kedua aku berada disini membuatkan aku lebih bekerja keras dalam pelajaran. Semua subjek sudah semakin mencabar dan keputusan aku setakat tiga semester ini nampaknya sangat memuaskan hati mak dan ayah. Fuh! Lega.

Aku duduk menjamah roti yang disediakan di tempat urusetia bersama rakan-rakan yang lain. Kami bergelak ketawa sibuk bercerita itu dan ini seperti kanak-kanak Ribena sahaja lagaknya. Sekali sekala berkumpul sebegini di atas padang memang seronok. Mataku memandang kompleks sukan yang besar dihadapanku. Kagum dengan senibina yang ringkas tetapi kelihatan moden dan cantik. Terdapat pelbagai kelengkapan lengkap yang disediakan bagi para pelajar seperti kolam renang, gym untuk lelaki dan wanita yang diasingkan, padang menembak, padang balapan, gelanggang tenis dan squash, malahan sauna juga turut disediakan. Terasa bertuah pula dapat belajar di salah sebuah universiti tempatan yang terbaik. Walaupun aku bukannya sering menggunakan kelengkapan tersebut akibat terlalu sibuk dengan kuliah, tutorial dan tugasan.

“Aida! Aida!” Aku terpinga-pinga apabila tiba-tiba namaku dipanggil oleh seseorang. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan mencari pemilik suara garau tersebut.

“Dekat belakang kau lah,” ujar Akma pantas menepuk bahu kiriku.

          Apabila aku menoleh kelihatan Faiz sedang melambai-lambaikan tangannya memanggilku. Ish, hendak apa pula mamat ni? Mulut aku muncungkan ke depan lantas mengangkat punggung untuk bangun. Aku berlari-lari anak mendapatkan Faiz yang akhirnya tersengih sumbing.

            “Kau panggil aku kenapa? Orang tengah sedap-sedap bersembanglah tadi,” keluhku sambil menatap wajah Faiz yang tersengih macam kerang busuk.

            “Tolong angkat hamper yang banyak ini boleh?” Soalnya sambil kepala menjenguk-jenguk ke dalam kereta yang dari tadi aku lihat sudah sedia terparkir disitu sejak aku sampai pagi tadi.

            “Yelah.” Jawabku sepatah. Kemudian aku juga turut terjenguk-jenguk di dalam kereta yang tidak tahu entah siapa pemiliknya kerana setahu aku Faiz cuma membawa motor sahaja selama ini.

            Sibuk kami berdua memindahkan beberapa buah hamper dari dalam kereta ke atas meja urusetia dalam masa beberapa minit. Nampaknya ini sahaja hadiah yang bakal diberikan kepada kumpulan yang memenangi sukaneka.

            “Ehem.”

            Aku mengangkat kepala yang tadi tertunduk untuk mengangkat satu lagi bungkusan yang berbalut cantik berisi makanan ringan itu.

            “Cepat sikit angkat barang tu. Saya nak balik. Lagi satu pastikan tempat duduk belakang tu bersih tanpa sebarang benang yang tertinggal.” Lelaki yang hanya berseluar pendek paras lutut dan memakai jersi Manchester United itu memberikan arahan.

            Mak ai! Kerek semacam sahaja mamat dihadapanku ini. Kereta dia agaknya, desis hatiku. Namun aku sempat mengamati seraut wajah miliknya. Erm, not bad. Aida Nasuha, kesitu pula kau ini. Tapi macam pernah nampak wajah ini. Siapa?

           Aku mengangguk-anggukkan kepala dan kemudian tersenyum. Selepas habis mengangkat bungkusan yang terakhir aku terus melihat tempat duduk belakang kereta tersebut. Kemudian aku tepuk-tepuk sedikit menggunakan tangan jika kelihatan terdapat sisa-sisa habuk atau serpihan kertas kecil yang mungkin terjatuh  daripada bungkusan tadi.

            “Dah bersih tempat duduk belakang tu. Terima kasih hantarkan hamper tadi,” ujarku ramah sambil tersenyum menampakkan lesung pipit di sebelah kanan pipi.

            Tanpa berkata sepatah haram pun, lelaki itu terus memasuki kereta dan beredar. Eeii…sombong betul mamat ini! Sudahlah ucap terima kasih pun tidak. Pagi-pagi sudah membuat orang lain sakit hati. Aku yang masih memandang kereta Satria Neo berwarna hitam itu sehingga hilang dari pandangan hanya mampu mengetap bibir. Geram rasa hati ini.

            “Dia memang macam tu lah Aida. Kau jangan ambil hati okey. Dia itu teman sebilik aku. Takkan aku nak naik motor angkut semua barang tadi. Itu yang aku minta tolong dia sebab dia ada kereta,” ujar Faiz apabila aku mengadu padanya tentang ketidakpuasan hati berkaitan pemuda tadi.

            Whatever! Itu sahaja otak aku dapat menyimpulkan penjelasan Faiz sebentar tadi. Kemudian sukaneka pun bermula dengan meriah sekali. Memang sakit perut sakan aku bergelak ketawa melihat pelbagai ragam dan aksi pelajar senior dan junior yang memasuki pelbagai acara. Norma kawan seangkatanku juga kelihatan lucu apabila wajahnya putih melepak bersalut tepung selepas memenangi acara mengambil gula-gula dalam tepung. Sudah seperti sotong celup tepung!

            Selepas tujuh acara besar telah selesai, kemuncak acara sukaneka ini adalah acara tarik tali. Kumpulan kami telah memenangi acara tersebut dengan jayanya. Aku juga turut menyumbangkan tenaga walaupun tidaklah sekuat mana. Akhirnya kami berehat untuk makan tengah hari sebelum acara penyampaian hadiah dijalankan.

            “Seronok sangat kan hari ini? Habis sudah kita berpeluh sakan. He he he!” Wawa melabuhkan duduk dihadapanku. Bekas makanan yang ditatangnya tadi diletakkan di atas rumput. Maklumlah kami semua duduk bersila makan di tepi padang. Nasib baik terdapat pokok-pokok besar yang menjadi tempat berteduh dari terik matahari yang sudah meninggi.

            Aku hanya tersenyum dan mengiyakan kata-kata Wawa tadi. Akma juga tergelak kecil mungkin teringat pelbagai insiden yang berlaku tadi. Setelah penat bertungkus lumus dalam pelajaran memang hilang tekanan apabila bersukan sebegini walaupun hanya sukaneka.

            “Kelakar betul tengok Azlan sampai merah-merah muka masa belon yang dia duduk tadi langsung tak ada tanda mahu pecah!” Aku berkata-kata sambil tangan mula menyudu nasi ke dalam mulut.

            “Kurus sangat Azlan tu. Itu yang belon pun tak boleh pecah,” ujar Akma. Kami semua terus tergelak sambil menikmati makan tengah hari yang agak ringkas. Nasi putih, ayam masak merah beserta sayur kobis goreng. Manakala minuman yang disediakan hanyalah sebotol air mineral setiap seorang.

*********************************************************************************


“Alamak! Hujan lagi…” Keluhan kecil terbit dari bibirku yang berwarna merah jambu akibat disapu dengan gincu Maybelline.

            “Kita lari sajalah masuk dalam tempat menunggu bas tu. Tunggu sini pun entah bila hujan nak berhenti.” Wawa mengusulkan sambil tangannya membetulkan tudung yang dipakainya akibat disapa angin yang agak kencang.

            Akhirnya kami bertiga sama-sama berlari dengan mengangkat beg di atas sekadar untuk melambatkan hujan membasahi kepala. Dewan kuliah DKG 5 sememangnya terletak jauh sedikit dengan tempat menunggu bas yang akan membawa kami pulang ke kolej kediaman masing-masing. Walaupun Wawa dan Akma berlainan kolej kediaman dengan aku yang tinggal di kolej kediaman SME Bank, namun kami sering menunggu bas bersama.

            “Splash!!!”

            “Hoi! Kurang ajar betul kereta tu. Habis baju kita kotor!” Teriak Akma sambil matanya tidak lepas memandang kereta yang baru sahaja lalu dan memercikkan air ke baju kami.

            Aku mengibaskan sedikit kain baju kurung hitam berbunga hijau yang kupakai akibat basah disimbahi air lopak. Nasib tanah kain ini warna hitam, kalau tidak sudah tentu nampak sangat kotornya. Kaki yang turut terkena air kotoran berwarna coklat tidak perlu dipertikaikan lagi kerana memang nampak sangat comot dan kotor. Ah, aku sudah seperti anak kecil yang bermain lopak air sahaja!

            Eh? Macam kenal sahaja kereta hitam itu. Mataku mencerlung tajam mengamati kereta yang sayup-sayup sudah laju menjauhi kami. Tidak syak lagi itulah kereta si mamat berlagak tempoh hari. Hati aku mula mendidih panas. Mungkin kejadian sewaktu sukaneka dulu kurasakan terlalu awal untuk menilai perilakunya namun kejadian ini membuatkan aku bertambah yakin mamat ini memang berlagak habis! Siap kau nanti.

            Setibanya kami di tempat menunggu bas, Akma dan Wawa mengambil tempat untuk duduk. Agak ramai pelajar yang menunggu disini kerana tempat duduk semua sudah penuh. Jadi aku berdiri sahaja di sebelah mereka berdua. Tiba-tiba kereta Satri Neo berwarna hitam tadi berhenti betul-betul di hadapan tempat menunggu. Cermin kereta di turunkan separuh dan pemiliknya melambai kearah aku. Aku memandang sekeliling. Takkan panggil aku kut? Aku bukan kawan dia pun. Aku hanya buat wajah selamba dan memandang kearah lain. Namun hon yang ditekan oleh pemilik kereta membuatkan banyak mata yang menoleh. Aku turut menoleh sama.

            “Kau datang sini!” Lelaki itu menunjukkan jari telunjuknya kearahku. Aku yang terpinga-pinga macam budak kecil disogokkan gula-gula terus datang menghampiri cermin tingkap keretanya. Kemudian aku menaikkan kening sedikit pelik.

            “Awak panggil saya?” Soalku sambil memandang wajah lelaki yang sama aku jumpa tempoh hari.

            “Aku tak sengaja terpercik air pada kau dengan kawan-kawan kau tadi.” Lelaki itu masih berwajah serius. Setelah dia menuturkan ayat tersebut aku diam tidak menjawab. Aku hanya menunggu kalau-kalau dia mahu mengucapkan perkataan maaf. Beberapa saat menunggu. Tak ada pun!

            “Kau dengar tak?” Lelaki itu menyoal aku. Pantas aku menganggukkan kepala.

        “Nak aku tolong hantarkan ke? Kau orang duduk kolej mana?” Lelaki itu bertanya lagi namun wajahnya langsung tiada riak mesra. Air muka macam polis yang sedang soal siasat penjenayah aje dibuatnya.

            “Saya duduk SME Bank, seorang tu YAB dan lagi seorang duduk TM,” jawabku dengan lancar. Namun aku sendiri tidak pasti sama ada kawan-kawan aku bersetuju untuk menumpang kereta lelaki ini.

            “Sorry lah. Ingatkan kau orang duduk satu kolej sekali. Aku tak ada masa nak hantar sampai tiga tempat. Aku gerak dulu.” Jawab lelaki ini dan terus menaikkan cermin tingkapnya tanpa menunggu jawapan dari mulut aku.

            Aku terdiam kaku sehinggalah kereta itu bergerak dan laju membelah hujan. Seminit kemudian aku terasa bahuku ditepuk dari belakang. Aku menoleh dan kelihatan wajah Wawa dan Akma memandang dengan seribu tanda tanya. Dah, agak dah! Mereka tentu nak cari tahu.

            “Apa mamat tu nak?” Wawa memulakan sesi soal jawab. Jelas di wajahnya perasaan ingin tahu yang meluap-luap.

            “Dia cuma beritahu yang dia tak sengaja terpercik air kat kita tadi. Dia nak cepat agaknya.” Jawabku jujur. Rambutku yang ditiup angin aku selitkan dibelakang telinga. Anak-anak rambut yang sedikit basah terkena hujan aku sapu sedikit dengan tangan.

            Akma mengangguk. “Oh, dia datang minta maaflah ye.” Kata Akma seperti membuat kesimpulan.

           Aku segera menggelengkan kepala. “Tak, dia tak minta maaf pun. Dia cuma cakap dia tak sengaja buat macam tu tadi. Tapi dia tak ada sebut perkataan maaf.” Aku masih bermuka polos sambil memandang kedua-dua wajah rakanku silih berganti.

        Mata Akma dan Wawa memandang aku seperti menuntut jawapan yang lebih lagi. Aku menganggukkan kepala beberapa kali.

            “Betul, dia langsung tak ada minta maaf.” Aku beria-ia menerangkan kepada mereka.

           Wawa tersenyum simpul memandang aku. “Samalah tu! Dia datang cakap dia tak sengaja kan? Lebih kurang minta maaf dengan kitalah jugak maksudnya.” Wawa menggelengkan kepalanya.

            “Tak sama. Dia lelaki ego yang tak nak sebut perkataan maaf.” Jawabku seraya melangkah menuju kearah bas yang baru sahaja berhenti di tempat menunggu. Pandangan mata Wawa dan Akma bersatu seperti mencari jawapan.
 *********************************************************************************

“Tok! Tok! Tok!”

            Aku bingkas bangun malas-malas menuju ke pintu. Alah, mesti tiada orang lain melainkan jiran depan bilik aku. Kalau bukan Izyan sudah tentu Fazi. Mereka berdua sahaja yang sering datang bertandang melepak dalam bilik aku yang serba kemas ini. Perasan.

            Pintu kubuka dan terus baring semula di atas katil. Kemudian mata memerhatikan gadis yang masih memakai baju tidur itu mendekati aku.

            “Kau tengah buat apa? Ada maggie tak? Aku laparlah tadi tak sempat beli makanan kat bawah.” Wajah Izyan yang berkulit sawo matang itu aku tatap seketika. Dia lantas berbaring disebelahku.

           “Ingat ini katil queen atau king ke? Ini katil bujanglah Yan oi! Sempit tau tak?” Aku menjeling berpura-pura marah dengan kelakuannya yang selamba berbaring sebelah aku.

            Izyan cuma tersengih kemudian menoleh ke kanan melihat Ema yang sedang nyenyak tidur. Siap berselimut lagi siang-siang buta ini. Izyan kemudian memuncungkan bibir memberi isyarat agar aku turut sama menoleh kearah Ema.

            “Biarlah dia penat agaknya. Malam tadi layan movie Korea entah sampai pukul berapa baru dia tertidur. Aku awal-awal lagi dah tidur dulu. Maggie ada atas rak tu. Pilihlah nak yang mana tapi ambil satu sahaja.”

            Izyan bingkas bangun menuju ke arah rak menyimpan stok makanan yang aku letak di bawah meja belajar. Selepas mendapatkan maggie yang diidamkannya dia pun meminta diri untuk pulang kebiliknya.

           Aku mula memejamkan mata. Penat menyiapkan tugasan yang bakal dihantar lagi dua hari masih bersisa. Lega rasanya dapat menyiapkan tugasan yang diberikan sebelum tarikh hantar tiba. Aku sememangnya tidak suka buat kerja di saat akhir bimbang hancur kualiti tugasan tersebut. Bunyi telefon bimbit memecah kesunyian dan kedamaian bilik ini. Aku cepat-cepat mengambil telefon bimbit yang berada di atas meja belajar. Takut-takut Ema terjaga pula mendengar lagu yang berdendang kuat dari telefon ini.
            Aku tersenyum melihat nama yang tertera di atas skrin.

            “Assalamualaikum sayang…Buat apa tu?”

           “Waalaikumsalam. Jangan panggil sayang lagilah. Kan Aida dah pesan banyak kali. Kita berkawan sahaja ye. Awak sihat?” Aku melabuhkan punggung di birai katil.

           “Ye, saya faham. Tapi apa salahnya kalau tetap panggil sayang pun kan? Memang saya sayang awak. Hehehe! Saya sihat-sihat sahaja kat sini. Bila awak nak balik cuti?” Ceria sahaja nada suara Adli. Walaupun hampir putus urat leher aku bertegang dengan dia mengenai status hubungan kami akhirnya dia mengalah dan memahami. Kami hanya teman biasa yang tidak perlu memberikan apa-apa komitmen.

          “Sayang sebagai kawan sahaja. Tak nak lebih-lebih. Nanti apa-apa terjadi kita juga yang kecewa kan? Ada jodoh…” belum sempat aku menghabiskan ayat Adli pantas memotong.

            “Kita kahwin…tiada jodoh, saya tak mahu kahwin sampai bila-bila.” Adli masih tergelak kecil. Dia ini faham ke buat-buat tidak faham? Otak aku mula berdenyut. Ah, kau ini Aida Nasuha sikit-sikit hendak berdenyut. Bukan besar macam masalah negara pun.

            “Achumm!!” Aku menutup hidung akibat bersin. Alamak! Tanda-tanda nak kena selsema lah pula.

            “Eh! Sayang tak sihat ke ni? Demam?”

           Aku cepat-cepat menggelengkan kepala. Macamlah Adli boleh nampak dari dalam telefon tu kan. “Taklah. Selsema sikit aje kut. Balik kuliah tadi kena hujan masa nak tunggu bas.” Terangku padanya.

            “Oh, jangan lupa makan ubat tau sayang…” Manjalah pula suara si Adli ni.

         Akhirnya aku menukar topik perbualan dan kami rancak bersembang mengenai perkembangan masing-masing. Hati aku tetap sayang pada Adli. Tempoh lima tahun mengenali hati budinya membuatkan aku sukar untuk melupakan dia begitu sahaja. Malah dia adalah cinta pertamaku dan begitu juga aku pada dirinya. Namun apabila memikirkan harus bercinta tujuh tahun lagi??? Oh, tidakkkkk!!! Makcik tidak sanggup.

***Bersambung... =)


3 comments:

Shizukaz Sue said...

novel ini saya copy paste dari manuskrip saya yg asal ke dlm bentuk blog..jd nampak mcm xberapa kemas kat sini..harap maklum =)

Unknown said...

akak,penulisan akak ni bagus taw..saya suka sgt..cuma geram betul lah dgn lelaki sombong tu...ego semacam aje..tak sabar nak baca yg seterusnya taw...

khadijah said...

mgada la laki 2..hehhehe...ego..berlagak sgt...mntak maaf pown mcm xikhlas kerw......tp apepown...saspen jgk kak...hahha....