Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, November 7, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 14


               Darah yang meleleh dari hidung aku kesat dengan hujung jari. Bibir bawahku yang sedikit pecah tidak aku hiraukan. Aku tunduk mengutip kanvas yang dilontar oleh Hazriq sebentar tadi. Kanvas misteri yang tiada nama pengirimnya. Namun hanya aku yang tahu siapa pemiliknya. Lakaran pada kanvas ini serupa seperti kanvas yang telah aku hantar untuk kerja kursus tingkatan enam. Setahu aku, kanvas ini telah diabadikan di dalam studio seni kami selepas mendapat markah penilaian. Mungkin pengirimnya melukis semula lukisan ini, lukisan yang sama seperti itu.

            Sejak Hazriq ternampak aku bersama Asmara di kafe hospital, dia mula mengupah penyiasat peribadi semula. Kalau tidak, bagaimana Hazriq tahu ada seseorang mengirimkan lukisan kanvas untuk aku hari ini? Aku terkejut apabila Hazriq datang ke butik secara tiba-tiba. Kebetulan Syaza keluar sebentar untuk menghantar pakaian pengantin ke kedai dobi. Hazriq menarik aku ke bahagian belakang sehingga ke dapur. Dia menanyakan tentang kiriman lukisan kanvas tersebut.

            Sedaya upaya aku meyakinkan bahawa aku langsung tidak tahu siapa pengirimnya. Memang tiada kad dan juga nama yang tertulis di situ. Hazriq mengasak aku dengan pelbagai soalan. Apabila dia yakin aku bercakap jujur, Hazriq ingin mengambil lukisan itu dan membuangnya. Entah dirasuk oleh hantu mana, aku menegah Hazriq untuk berbuat demikian. Padahnya, Hazriq mengesyaki sesuatu dan mula naik berang. Apabila jawapan yang keluar dari mulutku tidak memuaskan hatinya, aku ditampar berkali-kali.

            Hazriq mahukan lukisan itu. Aku berkeras dan mendakap lukisan itu erat. Dapat aku merasakan seperti aku mendakap Asmara ke dalam pelukan. Aku bertindak gila di depan Hazriq. Satu tumbukan hinggap menyebabkan hidungku berdarah. Aku terpelanting ke belakang. Lukisan itu diambil dan dicampak sehingga menghentam tubuhku.

            “Kalau awak masih nak simpan lukisan ni, teruskan. Pengirimnya pasti seorang yang istimewa di hati awak sehingga awak sanggup bermati-matian menyelamatkan lukisan ini. Saya tak tahu kenapa awak bertunang dengan saya, bukan dengan pengirimnya. Tapi sekali awak dah jadi hak saya, selamanya awak tak akan lepas Dean. Kalau awak berani tinggalkan saya, jangan terkejut kalau saya sanggup bunuh daddy awak dan awak sekali!” Suara Hazriq perlahan, tegas dan keras.

            Dia terus berlalu meninggalkan aku yang terperosok di sudut dapur. Tiada airmata yang menitis. Hanya hati yang merintih. Aku rasa mahu menjerit dan berlari ke balai polis. Tetapi aku akan lebih membahayakan diri sendiri dan keluargaku. Aku tidak mampu berfikir panjang kerana terasa sakit di seluruh muka.

            “Ya, Allah! Kenapa ni Cik Dean?!” Syaza yang baru pulang membantu aku untuk ke depan. Aku didudukkan di meja kaunter sebelum Syaza ke dapur mengambil tuala kecil dan ais.

            “Siapa yang buat ni Cik Dean? Kedai kita kena rompak ke?” Syaza mengamati setiap inci wajahku yang sedikit luka dan bengkak. Riak wajahnya cemas.

            Aku menggeleng perlahan. “Saya, saya terjatuh kat belakang tu. Saya tersembam muka ni.”

            “Astaghfirullahalazim…Cik Dean tak tengok cermin ke sebelum menipu? Muka ni nampak sangat kena pukul. Tak mungkin jatuh boleh teruk macam ni. Dapur kita tu bukan ada benda yang bahaya pun. Baik Cik Dean cakap betul-betul!” Syaza masih tidak putus asa mendesak aku.

            Aku mencapai tuala kecil yang membalut ais dan ditekapkan di bawah bibir. Aku tidak tahu untuk menjawab soalan itu. Perlu ke aku berterus-terang? Aku takut. Benar-benar takut memikirkan apa yang mampu dilakukan oleh Hazriq. Dia seorang yang sukar diramal.

            “Kalau Cik Dean tak nak cakap, saya call Encik Hazriq.” Syaza sudah mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poketnya.

            “Jangan!” Aku menjerit kuat sehingga Syaza terkejut.

            “Saya tak apa-apa. Tak perlu beritahu dia. Temankan saya ke klinik.” Aku bangun dan mencapai beg tangan sebelum Syaza membuka mulut.

            Akhirnya gadis itu diam dan menuruti langkahku. Kami ke klinik yang berhampiran untuk menjalankan pemeriksaan dan rawatan. Aku tidak mahu luka dan bengkak ini lambat sembuh sehingga menyukarkan aku untuk berhadapan dengan orang terutamanya daddy dan Mama Anis.

            “Syaza, boleh saya tumpang bermalam kat rumah awak malam ni?” Soalku selepas pulang dari klinik.

            Syaza mengerutkan muka. “Pelik. Kenapa Cik Dean nak tak balik rumah?”

            Aku menghirup sedikit Nescafe panas di dalam cawan. “Nanti saya ceritakan. Tapi boleh ke tidak saya tumpang rumah awak?”

            Syaza segera mengangguk. “Boleh, tak ada hal. Saya pun memang duduk seorang. Rumah kecil aje Cik Dean.”

            “Kalau macam tu, jomlah kita balik sekarang.” Ajakku dengan wajah yang serius. Bengkak dan luka kecil yang ada membuatkan aku kelihatan tidak bermaya.

            “Sekarang? Baru jam tiga lima puluh minit, Cik Dean.” Syaza mendekati aku dan melihat mataku dengan lebih dekat.

            “Apa awak buat ni, Syaza?” Aku menjauhkan sedikit wajahku dari wajahnya.

           “Saya risau mata Cik Dean ada masalah lepas ‘terjatuh’.” Sengaja Syaza menekan perkataan terjatuh itu sedikit. Dia tahu aku berbohong. Tidak mungkin aku boleh terjatuh seteruk itu di dalam butik.

           Aku mengeluh perlahan. Masa semakin pantas. Lebih baik aku cepat beredar sebelum Hazriq datang menjemputku seperti selalu. Aku tidak sanggup berdepan dengannya lagi. Aku mesti segera mencari jalan penyelesaian. Kalau tidak, aku mungkin boleh mati katak di tangannya!

        “Mata saya masih elok lagi. Jomlah, cepat! Kita tutup butik awal hari ni. Jangan banyak cakap.” Kataku yang merenung kearah Syaza.

            Gadis itu terus diam tanpa suara. Dia mengemas serba-sedikit peralatan yang telah digunakan pagi tadi. Kemudian dia membawa aku pulang ke rumahnya. Semasa dalam perjalanan aku sempat menelefon daddy untuk memberitahu aku akan bermalam di rumah Syaza. Aku juga berpesan agar daddy tidak memberitahu Hazriq hal ini. Walaupun daddy tidak banyak bertanya, aku yakin daddy akan menjaga amanatku dengan baik.

            Namun apabila teringat tentang penyiasat peribadi yang diupah oleh Hazriq, hati aku jadi tidak tentu arah. Aku menoleh ke belakang namun tiada apa yang mencurigakan. Tidak kelihatan ada kereta yang mengikuti kami sehingga ke kawasan perumahan ini. Jantung aku tetap berdebar kencang. Risau, gelisah dan takut menjadi satu. Kalau Hazriq jumpa aku kat sini, memang nahaslah jawabnya.



                                                *****************************


“Keluarlah sayang…please…awak tak nak saya pecah masuk rumah Syaza kan?” Suara Hazriq mengugut. Berpuluh panggilannya tidak aku jawab. Pesanan ringkasnya juga tidak aku baca. Tetapi apabila kelibat keretanya terletak elok dihadapan pagar, aku mula mengalah. Panggilan terakhirnya aku jawab dengan rasa ragu-ragu.

            “Hazriq, tolonglah saya merayu. Jangan buat saya macam ni.” Aku yang kebingungan menangis teresak-esak.

            Syaza duduk disisiku sambil tangannya memeluk tubuh. Cerita sebenarnya telah diketahui. Dia juga terkejut dan simpati terhadap nasib yang menimpa aku saat ini. Syaza juga sama seperti aku yang takutkan Hazriq. Lelaki yang selama ini berpewatakan baik.

            “Kita bincang dalam kereta.” Tegas nada suara Hazriq membuatkan aku hampir terkencing!

            “Tolonglah Hazriq, jangan berkasar dan pukul saya lagi…” Airmataku tidak mampu ditahan walau dengan tembok besar China sekalipun.

            “Okey, sayang. Jangan takut…sayang keluar dan kita bincang baik-baik. Saya tunggu kat luar ni.” Hazriq menamatkan panggilan.

            Syaza menegah tetapi aku tiada pilihan lain. Aku tidak mahu membahayakan Syaza dengan masalah aku sendiri. “Maafkan saya Syaza, dah buat awak takut.”

            “Jangan cakap macam tu, Cik Dean. Kalau dalam masa lima belas minit Cik Dean tak masuk semula, saya telefon polis.” Syaza memelukku. Airmatanya tumpah kerana aku.

            Aku mengangguk dan segera keluar mendapatkan lelaki syaitan itu. Setelah membolos masuk ke dalam kereta, Hazriq mengunci pintu.

            “Hazriq, saya tak pernah curang dengan awak. Sumpah! Saya kesini sebab wajah saya bengkak dan luka sana sini. Kalau saya balik rumah, takut daddy syak yang bukan-bukan.” Aku segera memainkan peranan untuk menerangkan segalanya.

            Hazriq memandang tajam. “Kenapa tak minta izin saya dulu?”

            Aku menelan liur. Seluruh tubuh menggigil ketakutan apabila berdepan dengan lelaki ini. “Saya minta maaf sangat. Jujurnya saya takut…saya tak nak jumpa awak lagi.” Entah macam mana ayat itu boleh terkeluar.

            “Awak tak nak jumpa saya lagi…” Perlahan dan keras Hazriq mengulang semula ayat itu.

            “Tak, tak! Bukan macam tu maksud saya. Hazriq, saya tak nak dipukul lagi. Tolonglah saya merayu. Awak sayangkan saya kan? Tolong ye jangan buat macam ni pada saya. Saya…saya sakit Hazriq…” Aku tunduk dan menangis. Perempuan mana yang tidak merasa sakit apabila ditampar dan ditumbuk oleh seorang lelaki. Wajah ini telah mencerminkan kesakitan itu.

            Tiba-tiba terasa tanganku disentuh dan diramas perlahan. Aku masih tunduk dan menangis. Takut untuk mengangkat wajah.

            “Dean, saya terlalu sayangkan awak. Tapi apa balasan awak untuk kasih sayang saya?” Tangannya mencapai daguku dan dihalakan agar mata kami bertemu. Benar, aku melihat sinar cinta dalam matanya. Tetapi dia tetap lelaki syaitan yang bertopengkan manusia. Tergamak dia mengasari aku sehingga cedera begini.

            “Balasannya saya…saya dah jadi tunang awak.” Jawabku teragak-agak. Aku berhati-hati tidak mahu tersilap kata dan membangkitkan amarah Hazriq.

            Hazriq tersenyum puas. “Betul, awak dah jadi tunang saya. Kita kahwin secepat mungkin ye sayang.”

            “Kalau awak betul-betul sayangkan saya, boleh tak awak janji satu perkara?” Aku memberanikan diri untuk bertanya.

            Hazriq mengangkat keningnya sedikit. “Janji apa sayang?”

            Aku memejam mata. Biarlah kalau usaha kali ini gagal, akan aku usaha dengan cara lain pula. Aku bertekad di dalam hati. “Tolong jangan pukul saya lagi. Saya tak akan buat perkara yang awak tak suka. Saya janji.”

            Setelah beberapa ketika aku menanti tetapi masih tiada jawapan. Perlahan aku membuka mata. Pandangan kami bertaut. Agak lama. Kemudian tangan Hazriq menyentuh luka dan bengkak di wajahku. Walaupun sedikit pedih, aku tahankan juga.

            “Saya minta maaf sayang. Tak sedar teruk macam ni sekali saya pukul awak siang tadi.” Hazriq memujukku penuh perasaan. Dibelek dan ditatap setiap inci kesan perbuatannya itu.

            “Please abang…janji tak pukul saya lagi.” Walaupun geli tekak aku menyebutnya aku gagahkan juga. Hati Hazriq perlu dicairkan agar aku mampu mengawal dirinya. Aku perlu menarik rambut di dalam tepung tetapi rambut jangan sampai putus, tepung jangan sampai berserakan!

            Mata Hazriq bercahaya. Wajahnya kelihatan sangat bahagia. Jarum dah mengena! “Sayang panggil saya abang?! Wow, I’m so happy.”

            Hazriq merangkul aku ke dalam pelukannya. “Abang tak akan pukul sayang lagi, abang janji. Tapi sayang jangan buat perkara yang abang tak suka okey?”

            Aku tersenyum kemenangan. Pantas aku mengangguk beberapa kali. “Janji. Abang, macam mana kita nak kahwin kalau abang tak percayakan saya?” Pancingku lagi.

            Hazriq meleraikan pelukan dan memandang aku. “Maksud sayang?”

            “Setiap pasangan kena saling mempercayai, barulah hubungan tu akan harmoni. Abang tak perlu upah penyiasat lagi untuk ekori saya. Pergi dan balik kerja saya dengan abang kan? Mulai esok, saya nak kita makan tengahari bersama ye. Tak cukup lagi ke untuk abang percayakan bakal isteri abang ni?” Pandai sungguh dalam keadaan terdesak lidahku mengucapkan kata-kata manis. Biar Hazriq tertawan dengan sikap aku. Biar dia cair dengan layanan aku.

            Hazriq tersenyum lebar menandakan umpan aku sudah mengena! “Baiklah sayangku intan payung. Abang percayakan sayang. Tapi kalau sayang main kayu tiga belakang abang, tahulah nanti langit tu tinggi ke rendah.”

            Pesanan Hazriq aku telan bulat-bulat. Tak apa, Hazriq. Kita tengok langit siapa yang tinggi dan langit siapa pula yang rendah nanti. Aku akan tetap mencari jalan untuk lepas dari cengkaman kau. Masa yang akan menjadi penentu.

            “Dah dapat tunang sempurna macam abang, buat apa saya nak main kayu tiga pula? Saya tak akan buat benda bukan-bukan. Trust me. Lepas ni tiada penyiasat lagi okey?” Aku mengingatkan.

            “Okey sayang. Abang ikut cakap sayang tu. Esok pagi abang datang jemput kat sini.”

            “Abang datang awal sikit ye. Nak sarapan dulu dengan abang sebelum pergi butik.” Aku masih memainkan peranan untuk menundukkan Hazriq.

            “No problem.” Lelaki ini mengucup tanganku.

            “Saya masuk dulu ye. Jumpa esok. Selamat malam.” Aku bersalam mencium tangan Hazriq walau dihati makin berganda-ganda bencinya terhadap lelaki ini.

            “Sekali lagi abang nak minta maaf. Esok kalau tak sembuh lagi, kita pergi klinik.” Hazriq membelek sekali lagi wajahku. Aku sedar dia memang ambil berat dan sayangkan aku. Cuma sikap cemburu buta dan barannya melampau.

            Aku sekadar mengangguk. Malas mahu berlama-lama. Nanti Syaza dah telefon polis, habislah jadi kes besar.

            “Harap esok dah tak teruk macam ni. Saya nak balik rumah.” Sengaja aku merengek manja.

            Hazriq membelai rambutku mesra. “Kesian sayang sampai kena tumpang tidur sini. Maafkan abang ye.”

            Aku tersenyum dan mengangguk. Kemudian aku turun dari kereta dan terus masuk ke dalam rumah bagi mendapatkan Syaza. Rupanya Syaza sedang berdiri di tepi tingkap untuk mengintai aku yang berada di luar. Pasti Syaza tidak nampak apa-apa kerana cermin kereta Hazriq yang gelap.

            “Cik Dean okey? Dia pukul lagi?” Syaza terkocoh-kocoh mendekati aku.

            Aku segera menggeleng dan tersenyum. Syaza yang tadinya cemas memandang aku dengan pandangan pelik.

            “Kenapa Cik Dean senyum pula?” Syaza menggaru kepalanya.

            “Saya dah dapat cara untuk cairkan Hazriq. Tapi, ada satu lagi masalah.” Balasku dan terus melabuhkan punggung ke sofa. Syaza mengikuti aku dari belakang.

            “Masalah apa? Cik Dean tak perlu nak cairkan Encik Hazriq tu. Dia dah gila sampai boleh pukul tunang dia teruk macam ni! Untuk perkara kecil pula tu. Kalau Cik Dean kahwin dengan dia, entah macam mana nasib Cik Dean nanti. Dengarlah cakap saya, Cik Dean. Bagitahu daddy Cik Dean tentang Hazriq.” Syaza menggenggam tanganku. Matanya penuh dengan rasa simpati dan bimbang.

            “Sabar Syaza. Saya nak cairkan Hazriq untuk sementara waktu ni. Saya kena layan dia dengan baik dan ikut kemahuan dia. Dalam waktu yang sama saya akan cari jalan untuk berpisah. Kalau bagitahu daddy pun, Hazriq tetap boleh bertindak gila. Dia ugut nak bunuh saya dan daddy saya.” Terangku pada Syaza satu-persatu.

            “Biar betul?! Gilanya dia.” Syaza menutup mulut tidak percaya. Matanya membulat memandang wajahku.

            Aku mengangguk lemah. “Betul, Syaza. Sebab tu saya kena rancang elok-elok macam mana nak lepas dari dia.”

            “Macam mana?” Laju sahaja soalan itu meluncur dari bibirnya.

            “Sekarang saya cuma boleh bertahan. Kalau saya ikut kehendak dia, mungkin saya tak akan dipukul lagi. Tetapi yang lain saya belum mampu berfikir sekarang. Kita akan sama-sama cari jalan. Awak kena tolong saya ye, Syaza.” Mataku penuh mengharap. Kalau ada dua otak yang berfikir tentu lebih bernas.

            Syaza mengangguk dan lantas memelukku. “Saya pasti akan tolong. Cik Dean jangan risau. Cik Dean tak keseorangan.”

      Hari ini telah berakhir. Bagaimana dengan hari mendatang? Berilah aku kekuatan untuk menempuhinya….

13 comments:

Yin Areesa said...

Assalamualaikum
Baru terfikir kan sue tadi..
Kesian Dean..awat jahat sgt itu haziq?

Shizukaz Sue said...

Waalaikumsalam kak shaf..eheh alhmdlh ada org ingat kt saya =)mmg wujud jantan camtu kak..ni nak kena bagi karate sikit hehe

coretanku said...

kan... hmmm kalau saya ... dia upah penyiasat kita upah bodyguard... cipta la kata ada org ganggu... then pasang cctv kat butik... bleh je kasi kat polis nanti sbg bukti... apa2 jadi kali kedu kene hentam bikin panas hati je... upah bodyguad jaga familly dean tak pun bg tahu polis ...situ je la pun kalau tuk keselanatn .. melampau sgt

Anonymous said...

Salam... Adehhh... Luruh hati mngenangkn nasib Dean.. Eeeeeuuuuwww.. makin mnyampah ngan `umurxserupa31' tu..(xleh sebut nama, dah mcm alergik!!) Tetiba rasa bersyukur sgt kerana lelaki d sekeliling ku bukan dayus!!

Anonymous said...

jgn buat pompuan ni lemah sgt sampai kene pukul bagai..daddy dia ada dan polis pon ada leh bantu..kalu org tu cerdik sure leh pk nyer..ehhe

Anonymous said...

~NB~ hmmmmmmm.....no komen sbb nak tau kisah seterusnya...(sebenarnya terkesima dgn kezaliman Hazriq)

Shizukaz Sue said...

coretanku: tQ bagi pandangan =)

Anonymous: syukurlah kita x kena kan..tp mmg wujud org camtu..

ctrain7474: kadang2 org yg cerdik dan berjayalah xmampu atasi masalah peribadi dgn baik..hehe dean masih buntu + terkejut tu..nanti dia fikirkan strategi akan dtg..

NB: terkesima ek? mmg kejam mamat tu..puihhh

kak ida said...

pergh..sakit mental ke si Hazriq tu..jiwa yg bercelaru dan tidak dapat mengawal perasaan marah yg membelit jiwanya..akak rasa Dean patut pujuk mamat mental ni jumpa Dr psychologists untuk mengubatinya kerana kalau melihat akan dirinya dia seorg yg penyayang cuma dia tak boleh nak kawal dirinya bila dia marah dan cemburu..
Melarikan diri ..bukanlah cara yg terbaik buat Dean ..dalam realiti kehidupan kini..bila kita bersemuka dengan orang seperti Haziq ini..kita kan melarikan diri ..sepatutnya kita cuba berdiri bersama dengannya dan memahami dirinya...What say U writer?

AsHu ManCis :) said...

argh,magrin saya,jahatnya..akak cepat matikan watak hazriq tu.tak mau tak mau..

Unknown said...

Salam, kesihan Dean, sebab kesihan badan merana. Apa lagi Dean, upah jugalah penyiasat peribadi untuk siasat siapa Hazriq sebenarnya.

Shizukaz Sue said...

idA: Betul tu kak..tp prob nya Dean tak cintakan dia..kalau cinta sure dah bantu..

Ashu mancis: heheh migrain ek? tarik nafas...hembus...

Seri Ayu: Wsalam kak..hihi idea bagus tu!

Anonymous said...

tak masuk akal langsung, baru jadi tunang dah main pukul. Tak ada polis kah?

Shizukaz Sue said...

Anonymous: kena buka hati dan minda untuk terima..banyak lagi kehidupan orang lain yang kita tak tahu..=)