Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, November 15, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 15


                Dua minggu telah berlalu. Hubungan aku dengan Hazriq bertambah baik. Dalam erti kata sebenar dia tidak lagi memukul aku. Semua ini kerana aku mengikuti rentaknya dan terlalu menjaga hati lelaki itu. Apa sahaja permintaannya aku turutkan. Tidak pernah lagi aku menolak atau berkata tidak. Perubahan ini membuatkan Hazriq senang dan bahagia. Tetapi aku tetap menjerat rasa!

            “Sayang, hari ni abang sibuk sikit. Tak dapat nak lunch sama. Nanti makan dengan Syaza ye.” Hazriq memang baik, penyayang dan pencinta wanita apabila anginnya elok.

            Hati aku berbunga riang. Setelah dua minggu, akhirnya aku dapat bernafas sedikit dari cengkaman Hazriq. “Oh, okey. Boleh saya makan kat luar?”

            Betapa aku menjaga perasaannya. Perkara sekecil itu pun perlu untuk mendapatkan keizinan. Kini, kemana sahaja aku menguruskan sesebuah majlis Hazriq turut menemani. Sanggup dia menunggu aku walaupun sampai lewat malam. Apatah lagi Puan Jamaliah telah dibenarkan pulang dari hospital. Masa Hazriq lebih tertumpu buat aku.

            “Kenapa tak bungkus aje?” Hazriq mengangkat kening.

            “Boring pula makan kat butik. Saya janji tak pandang lelaki lain. Boleh ye.” Aku membuat memek muka kesian.

            Hazriq mengangguk. “Kalau ada orang kacau, jangan layan. If jadi apa-apa cepat call abang.”

            “Janganlah risau.” Aku segera bersalam dan mencium tangan Hazriq.

            “Mestilah risau. You’re mine!” Hazriq mengingatkan. Huh! Boleh blah.

            Aku tersenyum dan terus turun dari kereta dengan hati yang sedikit tenang. Dapatlah mata aku berehat beberapa jam daripada menatap wajah lelaki itu. Apabila kami keluar makan bersama, banyak juga mata-mata perempuan yang mencuri pandang pada Hazriq. Tetapi aku tahu, mereka semua seperti aku yang tertipu dengan penampilan luarannya. Apa guna wajah yang kacak, kereta yang mewah dan kerja yang bagus kalau perangai dayus sanggup memukul perempuan. Kalau tinggal Hazriq satu-satunya lelaki di dunia ini pun aku tidak akan memilihnya!

            “Morning Cik Dean! Ceria aje pagi ni?” Syaza yang sedang membersihkan permaidani menggunakan penyedut hampagas menyapaku.

            “Morning! Hari ni kita keluar makan sama ye. Hazriq sibuk.” Perkataan sibuk itu aku tekan sedikit membuatkan Syaza tersengih.

            “Sibuk? Baru dua minggu dia dah berani lepaskan Cik Dean. Ayat power apa Cik Dean guna?” Syaza masih berdiri menghadap aku. Berminat benar hendak tahu.

            Aku mengangkat bahu. “Nasib saya masih dalam bahaya Syaza. Kita tak boleh terlalu selesa. Saya kena cepat cari jalan untuk berpisah dengan dia.” Aku mengingatkan.

            “Apa kata Cik Dean kahwin aje dengan orang lain?”

            Aku tergelak besar. “Awak ingat senang ke nak kahwin? Saya tak ada orang lain selain tunang saya yang kejam tu.”

            Syaza menggaru kepalanya. “Kita beritahu pada ibu dia nak? Tanya sikap dia yang sebenar. Mana tahu dari situ dapat idea lain pula?”

            Aku terdiam dan berfikir sejenak. “Mungkin boleh pakai cadangan tu. Lepas makan nanti kita singgah rumah dia. Saya dah dua hari tak melawat Puan Jamaliah. Ini aje peluang untuk berbual tanpa Hazriq.” Aku terus berlalu menuju ke kaunter.

            “Hari ini juga kita nak pergi?” Soal Syaza lagi.

            “Yelah. Awak nak tunggu Hazriq belasah saya sampai mati ke? Lagi cepat kami berpisah, lagi bagus.” Aku menguatkan sedikit suara agar dapat didengari oleh Syaza di bahagian depan.

            Eh, kenapa senyap aje Si Syaza ni? Terasa hati ke aku jawab macam tu? Aku berasa aneh dan tidak sedap hati. Setelah meletakkan beg tangan aku mengatur langkah menuju ke depan semula. Tiba-tiba kaki aku terpasak tidak berganjak. Mata bertentang mata. Hati menjadi tidak keruan. Tubuh tegap Asmara sedang berdiri sambil memegang hamper sederhana besar yang berisi pelbagai jenis coklat. Dia masih ingat kegemaran aku?

            “Ada apa awak datang sini Asmara?” Soalku setelah kami bertiga terdiam untuk beberapa ketika.

            Aku memberi isyarat mata kepada Syaza agar dia meneruskan kerjanya. Syaza yang masih berdiri kaku terus menyambung tugasnya membersihkan permaidani. Aku mempelawa Asmara duduk di meja bulat yang disediakan.

            “Awak nak berpisah dengan tunang awak?” Mata Asmara menikam tepat anak mataku.

          “Awak datang sini untuk apa? Saya sibuk sikit ni.” Aku melarikan pandangan. Tidak sanggup menatap matanya yang sedang membaca riak wajahku saat ini.

            “Saya dengar dengan jelas Asmira. Awak nak berpisah dengan lelaki tu. Dia belasah awak ke?” Wajah Asmara serius dan tegang.

            “Eh, awak silap dengar kut. Saya cakap pasal orang lain. Awak nak minum? Saya buatkan air.” Aku segera bangun untuk beredar ke dapur. Kedatangan Asmara kali ini aku sambut sebagai seorang kawan lama. Dia sendiri tahu aku telah menjadi tunang orang.

            “Saya masih ingat muka dan nama dia. Hazriq…Lelaki yang berjaya mendapatkan awak.” Tiba-tiba Asmara muncul di dapur kecil ini.

            Tanganku ligat membancuh Nescafe panas buat Asmara. Jantung mengalunkan irama yang tidak sekata. Lebih hebat lagi apabila Asmara merapati aku.

            “Anyway, ada apa awak datang sini?” Soalku lagi setelah soalan tersebut masih belum berjawab.

            “Saya datang melawat awak. Maaf datang tak beritahu. Tapi apa yang saya dengar sebentar tadi membuka harapan saya semula.” Asmara berdiri betul-betul di belakang tubuhku.

            “Jangan merepeklah. Saya akan berkahwin tak lama lagi.” Aku memejam mata. Mencari kekuatan yang mula rapuh sejak Asmara muncul kembali dalam kehidupan aku.

            “Hazriq pukul awak? Sebab tu awak nak berpisah dengan dia kan?” Asmara masih mendesak jawapan dari bibirku.

            Aku menarik nafas dalam-dalam sebelum memusingkan tubuh memandangnya. “Nah, minumlah.”

            Huluran cawan dari tanganku disambut oleh Asmara. Tetapi pandangannya masih tajam dan meneliti setiap inci wajahku. “Jawab Asmira! Saya boleh terima kalau kita memang tiada jodoh. Tapi saya berhak tahu.”

            “Berhak?” Soalku mencebikkan bibir. Luka lama masih berdarah, Asmara!

            Asmara meletakkan cawan di atas kabinet. “Tolonglah, Asmira. Sekurang-kurangnya biarlah saya lega awak dimiliki oleh lelaki yang baik.”

            “Awak pun bukan baik seperti yang disangka!” Bentakku sedikit kasar.

            “Sebab tu saya tak dapat memiliki awak. Tapi kalau betul Hazriq pernah pukul awak, tinggalkan dia Asmira. Balik pada saya.” Asmara memaut bahuku dengan kedua belah tangannya.

            “Itu urusan saya. Tolong jangan masuk campur.” Aku menepis tangannya dari menyentuh aku lagi.

            Asmara melepaskan keluhan berat. “Saya berhak masuk campur sebagai kawan. Saya tak nak kawan saya kahwin dengan lelaki yang pukul perempuan.”

            Asmara memaut lagi bahuku erat. Dia menggocangkan sedikit bahuku beberapa kali. “Cakap Asmira! Kalau perkara ni tak besar, tak kan awak sampai nak berpisah dengan dia?”

            Aku menelan liur. Mata kami yang bertemu rapat membuatkan aku mengelipkan mata berkali-kali. Puas aku tahan tetapi airmata ini gugur satu-persatu. Bermakna aku memang tidak mampu bertahan lagi. Menjadi boneka simpanan Hazriq yang dikawal dan dibuat mengikut kemahuannya.

            “Asmira, saya ada untuk tolong awak. Awak kena ceritakan perkara sebenarnya pada saya.” Suara Asmara kembali kendur.

            “Lepaskan…nanti pembantu saya nampak.” Perlahan aku bersuara dan bergegas kembali semula ke depan. Airmata aku seka dengan hujung jari.

            “Cik Dean, ingatkan tak ada kat butik tadi.” Rafizah menghulurkan salam.

            “Saya kat dapur. Erm, macam mana? Ada yang berkenan?” Aku menyambut huluran salamnya.

            “Tengah tengok-tengok dulu. Masa bertunang dulu, memang saya puas hati sangat. Tu yang nak kahwin saya ajak tunang saya datang sini semula.” Rafizah yang manis bertudung litup tersenyum.

            Aku mengangguk. “Boleh, silalah tengok dulu ye.”

            Rafizah berlalu mendapatkan tunangnya yang sedang membelek pakej yang disediakan. Syaza pula sedang memberikan penerangan serba sedikit kepada pasangan tersebut. Aku mengambil peluang untuk menoleh kelibat Asmara.

            “Asmara, saya sibuk sekarang ni.” Ujarku kepada Asmara yang masih berdiri di tepi meja.

            “Coklat ni semua saya bawa untuk awak. Makanlah. Kalau awak dah bersedia, telefon saya bila-bila masa. Jangan seksa diri awak sendiri walaupun awak bencikan saya.” Asmara meletakkan sekeping kad di tepi hamper yang berada di atas meja bulat. Kemudian dia berlalu keluar dari butik ini.

            Aku memandang kad dan hamper yang berisi coklat itu dengan rasa yang berbelah-bahagi.


                                                *******************************


Rumah banglo tiga tingkat ini sunyi sepi. Apabila Hazriq dan Aina keluar bekerja, Puan Jamaliah tinggal berdua bersama pembantu rumahnya. Aku duduk di sisi katil memegang tangan Puan Jamaliah. Manakala Syaza duduk di atas kerusi berhampiran denganku. Kedatangan kami melawat Puan Jamaliah dengan niat yang terselindung. Tetapi sejak tadi aku masih tidak berani membuka mulut bertanya tentang Hazriq.

            “Encik Hazriq tu baik dan sopan orangnya. Saya kagum dengan cara puan mendidik dia.” Syaza tiba-tiba mengubah topik setelah berbual-bual kosong.

            Syaza memberi isyarat mata dan aku mengangguk sedikit. “Betul tu puan. Dia layan saya dengan baik. Dia seorang lelaki yang penyayang.” Aku menambah ‘lauk’.

            Puan Jamaliah yang sedang bersandar di kepala katil tersenyum senang. “Syukurlah, Hazriq tu memang budak yang baik sejak kecil.”

            “Pelik kan dia tak pernah ada kekasih sebelum ni? Dahlah kacak, bergaya, kerja pun bagus. Bertuah Cik Dean kita ni dapat lelaki macam tu.” Syaza tersengih.

            “Jangan nak puji lebih-lebih Syaza. Saya belum jadi isteri dia lagi. Ramai perempuan kat luar sana yang nak dapatkan dia.” Aku menepuk sedikit peha Syaza.

            “Jangan risau Dean. Hazriq tu setia sangat orangnya. Dulu dia pernah ada teman wanita waktu dia baru mula bekerja.” Puan Jamaliah terbatuk-batuk kecil. Aku dan Syaza saling berpandangan. Ah, silap aku juga kerana selama ini tidak mahu mengambil tahu kisah lelaki itu. Segalanya aku buat tidak peduli.

            “Kenapa mereka berpisah?” Soalku ingin tahu.

            “Perempuan tu tinggalkan dia untuk berkahwin dengan orang lain. Selama mereka bercinta, Hazriq tanggung hidup perempuan tu. Dia belikan kereta, bagi duit belanja, kirim wang pada mak ayah perempuan tu di kampung. Waktu tu Hazriq sekadar arkitek junior aje.” Cerita Puan Jamaliah.

            Aku tidak terkejut. Patutlah Hazriq paling pantang dengan perempuan yang curang. Dia takut sangat aku akan curang dan tinggalkan dia.

            “Sampai macam tu dia bela kekasih dia? Baiknya…” Kata Syaza yang tekun mendengar cerita Puan Jamaliah.

            Puan Jamaliah mengangguk. “Hazriq kalau dah sayang seseorang, nyawa dia pun sanggup dikorbankan.”

            Aku juga turut mengangguk mengiyakan kata-kata Puan Jamaliah. “Kesian Hazriq dapat kekasih yang tak tahu menghargai.”

            “Perempuan tu bekerja sebagai kerani aje di tempat kerja Hazriq. Lepas dah tangkap ‘ikan besar’, dia tinggalkan Hazriq macam tu aje.” Sambung Puan Jamaliah lagi.

            “Ikan besar?” Hampir serentak aku dan Syaza membuka mulut.

            “Dia kahwin dengan bos Hazriq. Pemilik syarikat tu. Sejak itu Hazriq berhenti kerja dan buka company sendiri. Sejak itu juga Hazriq tak percayakan mana-mana perempuan.”

            “Sampailah dia jumpa dengan mak andam ni kan?” Kataku sengaja berjenaka. Puan Jamaliah tersenyum manakala Syaza tergelak kecil mendengarnya.

            “Betul, sampai dia ternampak Dean waktu majlis pertunangan Aina.” Puan Jamaliah mengusap lembut tanganku yang berada di dalam genggamannya.

            “Sekarang ni puan, susah nak cari lelaki macam Encik Hazriq. Lelaki hidung belang dan lelaki yang pukul perempuan ramailah.” Syaza memandang aku sekilas sebelum kembali memandang wajah Puan Jamaliah.

            Aku menelan liur. Janganlah sinis sangat Syaza oi. Puan Jamaliah ni masih belum sihat sepenuhnya. Kalau kena serangan jantung nanti, kita juga yang susah. Tetapi kata-kata itu hanya bergema di dalam hati.

            “Nasib baik Hazriq tak macam tu. Dean pun takut kalau dapat suami kaki pukul.” Kataku lembut. Tidak mahu dihidu oleh Puan Jamaliah tentang maksud tersirat kami ke sini.

            “Insyaallah…Hazriq tak pernah pukul perempuan. Dulu masa mereka bercinta bertahun-tahun, Hazriq tak pernah bawa ke rumah kenalkan dengan keluarga. Cuma Aina yang banyak bercerita tentang mereka. Saya setakat terserempak dengan mereka kat luar tu ada juga. Tapi dengan Dean, tak sampai setahun dia dah nak kahwin.” Puan Jamaliah membetulkan duduknya.

            “Mungkin dah sampai masa. Umur dia pun bukan muda lagi.” Aku tersengih menampakkan gigi yang berbaris cantik.

            Syaza turut mengangguk dan meneguk baki minuman yang berada di atas meja kecil. Aku sekadar memerhati dengan perasaan hampa. Nampaknya Puan Jamaliah tidak tahu tentang sikap Hazriq yang mempu mencederakan aku. Mungkin Hazriq trauma, fobia, atau apa saja yang membuatkan dia jadi begitu. Masalah ini tidak akan timbul jika Hazriq bertemu dengan gadis yang benar-benar mencintainya.

             Aku sekadar hadir pada waktu yang salah.
            

6 comments:

kak ida said...

salam dik..

Serasanya siHazriq tu trauma dengan apa yg berlaku kepada dirinya..mungkin Dean dapat membantu dengn memahami jiwanya yg curiga dengan mengajaknya bercerita mengenai masa silam nya yg terjebak dengan ketidak sempurnaan seorg wanita dan tidak semua wanita yg boleh Hazriq labelkan seperti bekas GFnya yg lalu...

Kak Sue said...

tugas untuk hilangkan trauma Hazriq adalah Dean sendiri.... cubalah bercerita dan memahami masalah Hazriq selama ni... sebab Hazriq bukan kaki pukul wanita sebenarnya.... fahami masalah dan janganlah Dean tambah masalah lagi.... kasihan.... Insayallah semuanya akan berjalan dengan lancar....

Shizukaz Sue said...

Terima kasih banyak untuk pandangan bernas kak ida dan kak sue..=)

Anonymous said...

trauma ke tak..xsyok kalu dh smpi pukul2 org..hope dean dpt lepaskan diri dri tunang dia tu..huhu..

Shizukaz Sue said...

ctrain7474: betul..setuju sgt! =) mmg xsyok pun if kita dpt partner yg problem kan..

Anonymous said...

Apa kata, penulis cuba buat kelainan. Cuba ubah hazriq jadi lelaki yang baik, dan insaf. Ubahkan hazriq hingga menghormati dean dan memahami perasaan dean. Dan akhirnya dean fall in luv with him. Sekadar pandangan saja, not more than that