Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, September 12, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 13


         “Mak, akak takut…” ujarku perlahan. Bimbang didengari oleh ayah dan saudara-mara  yang berada di dalam bilik ini.

            “Akak takut apa?” Soal mak pula. Dahinya berkerut seribu.

            Mungkin mak naik rimas sebab aku sudah berapa kali menuturkan ayat yang sama sejak beberapa jam lepas. Akak takut itu, akak takut ini. Semunya aku menggunakan perkataan takut. Memang betul apa yang aku katakan. Aku takut dengan apa yang bakal terjadi selepas berakhirnya hari ini. Aku takut menghadapi nasib diriku sendiri.

            “Akak takut tak boleh hidup dengan Hadif.” Balasku dengan wajah yang sugul. Tak berseri langsung. Mungkin seri pengantin belum datang barangkali.

            Mak menggelengkan kepala sambil menggenggam tanganku yang sejuk. “Insyaallah…semuanya akan baik-baik aje. Ingat pesan mak, dah jadi isteri nanti kena pandai jaga hati suami. Jaga dan pelihara perkahwinan seperti kamu meletakkan seluruh nyawa kamu ke dalamnya.” Jawab mak dengan nada yang perlahan.

            Begitu sekali hebatnya tafsiran mak mengenai sebuah perkahwinan. Seperti meletakkan seluruh nyawa kamu ke dalamnya. Kata-kata mak bergema beberapa kali di dalam kotak hatiku. Betapa selama ini aku masih keanak-anakan yang tidak mengenal nilai sebenar sebuah perkahwinan. Bercinta bertahun-tahun pun aku tidak pernah terfikir sampai ke tahap itu. Memberi perumpamaan nyawa dalam perkahwinan.

            Mata aku kelipkan beberapa kali. Seperti orang yang baru tersedar daripada koma yang panjang, kini aku bangkit. Dengan satu perasaan baru. Semangat yang disuntik oleh mak sungguh berkesan!

            “Aida, dah tiba masa untuk tukar baju.” Kak Seha mak andam yang ditempah oleh mama menghulurkan baju kurung moden ditaburi mutiara dan beropol ringkas kepadaku.

            Aku menyambutnya. Ungu? Tidak sangka aku akan memakai warna yang kurang aku gemari hanya kerana mengikut warna kesukaan Hadif, bisik hatiku.

            “Cepat sikit ye Aida. Nanti nak pakaikan tudung pula. Kata nak pakai ala-ala Arabian.” Kak seha berkata lagi. Mungkin melihatkan aku sibuk membelek baju ditangan.

            Aku terus melangkah menuju ke bilik air yang terdapat di dalam bilik hotel ini. Bilik-bilik hotel telah ditempah oleh keluarga Hadif untuk keluargaku, kawan-kawan dan juga saudara-mara terdekat yang dapat hadir. Beria-ia benar mereka mahu bermenantukan aku. Semuanya diuruskan oleh pihak mereka.

            “Wow! Cantiknya kau Aida!” Teriakan Akma membuatkan Wawa dan Ema turut mendekati aku yang baru keluar dari bilik air.

            Aku tersipu-sipu malu dipuji begitu. “Solekan Kak Seha memang meletop!” Aku pula bersuara membuatkan Kak Seha tersengih.

            Akma, Wawa dan Ema juga turut menunjukkan tanda bagus kepada Kak Seha dengan menaikkan ibu jari. Sememangnya aku telah dipuji tidak berhenti oleh teman-temanku ini setelah siap mendapat sentuhan tangan Kak Seha sebentar tadi. Namun setelah menukar pakaian kepada baju pengantin seri itu semakin menyerlah.

            “Duduk sini. Kak Seha pakaikan tudung.” Arah Kak Seha sambil menepuk-nepuk sedikit bangku solek yang terletak dihadapan meja solek.

            Lantas aku melangkah dan melabuhkan punggung dengan berhati-hati. Tidak mahu baju ini berkedut andai tersilap cara duduknya.

            “Kenapa nak pakai purdah ala-ala Arabian ni, Aida?” Ema membelek-belek selendang ditaburi kilauan berwarna perak yang akan digunakan untuk menutup sebahagian wajahku.

            “Aida ni tengok Lan penyanyi kumpulan Kristal bernikah tempoh hari. Jadi masa akak call dia tanya nak pakai tudung gaya apa, dia cakap nak ala-ala Arabian macam isteri Lan gayakan semasa hari pernikahan mereka.” Becok mulut Kak Seha bercerita kepada rakan-rakanku. Biasalah mak andam memang terlebih ramah selalunya.

            “Cantik kan Aida pakai tudung?” Wawa menyoal secara rambang. Entah kepada siapa soalan itu diajukan aku pun tidak tahu.

            “Yelah. Memang cantik. Aku pun tak pernah tengok Aida pakai tudung.” Ema menjawab sambil matanya tidak lepas memandang aku yang sedang disiapkan oleh Kak Seha.

            “Ada-ada aje kau orang ni. Aku bernikah kat masjid kan….wajib pakai tudung….” Bidasku lembut.

            Mereka semua ketawa mendengar jawapanku. Lawak ke?

            “Nasib baik sesuai tudung ni dengan Aida. Kak Seha terlupa nak pesan pada pembantu akak masa Aida datang pilih baju tempoh hari. Nak minta Aida pilih jenis tudung sekali untuk majlis nikah.” Terang Kak Seha. Tangannya masih lincah mencucuk jarum peniti di sana sini agar tudung dan penutup mulut yang kupakai terletak kemas.

            Setelah selesai Kak Seha meletakkan pula juraian kristal-kristal halus yang dibiarkan tergantung dari tengah kepala hingga ke tengah dahi. Sebiji macam penari gelek padang pasir dah!

            “Okey. Dah siap.” Ujar Kak Seha dan terus mengemaskan alatan-alatan soleknya yang bersepah di atas meja solek.

            “Cantiknya anak ayah. Dah macam orang Arab lah.” Ayah menyapa sambil menepuk lembut bahuku beberapa kali.

            Aku hanya tersenyum. Nampak ke aku tersenyum? Semasa aku melihat wajahku dihadapan cermin tadi aku hanya nampak sedikit batang hidung dan juga sepasang mata sepet milikku. Tetapi aku tidak nafikan Kak Seha berjaya menyerlahkan mataku yang sepet menjadi sedikit bundar dan galak apabila mengenakan  teknik solekan smoky-eyes.

            Mak tersenyum dan memimpin tanganku. “Jom! Kita turun semua.” Mak melaungkan sedikit kuat kepada saudara-maraku yang sibuk bersembang sesama mereka. Mereka terdiri daripada adik beradik mak dan ayah sahaja. Saudara terdekat termasuk sepupu yang aku ada.

            “Sekejap mak!” Aku tiba-tiba teringatkan sesuatu. Lantas aku mengambil telefon bimbit di dalam beg tangan dan menaip sesuatu.


Makcik, aku dah nak gerak ke masjid untuk bernikah. Doakan aku walau kau tiada disini. Aku sayangkan kau.


Telefon bimbit aku masukkan ke dalam beg dan aku memberikan beg itu semula kepada Ema. Dia akan menolong menyimpan barang-barang peribadiku. Takkan pakai baju pengantin bawa beg tangan pula.

Kemudian kami semua mula beredar turun dan menaiki kereta menuju Masjid Besar yang terletak hanya lima minit dari hotel tempat kami menginap. Aku masih belum merasai debaran yang menggila. Hanya sedikit gementar untuk melalui detik-detik sebentar lagi. Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat, doaku di dalam hati.

Ternyata keputusan untuk bernikah di bumi utara ini menyebabkan Fana tidak dapat ikut serta. Awalannya aku ingatkan akan dinikahkan dirumah sahaja. Jadi Fana kembali ke rancangan asal mengikut suaminya berkursus di Terengganu.

“Muhammad Hadif Rizqie Bin Datok Musa.”

“Saya.” Suaranya yang tegas dan yakin membuatkan aku memandangnya. Kacak juga Baim Wong versi Malaysia ini ye.

“Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Aida Nasuha Binti Iskandar dengan mas kahwinnya senaskhah Al-Quran tunai.”

“Aku terima nikah Aida Nasuha Binti Iskandar dengan mas kahwinnya senaskhah Al-Quran tunai.”

“Sah?”

“Sah.”

“Alhamdulillah….”

            “Tahniah! Selamat pengantin baru. Ingat syurga akak sekarang dibawah telapak kaki suami.” Kata-kata mak menyusup lembut ke tangkai hati. Aku segera memeluk mak dengan erat. Lama. Ada air jernih yang tidak mampu kutahan membasahi kelopak mata.

            “Sudahlah tu. Tak cantik nanti pengantin menangis.” Mak tersenyum cuba berseloroh walaupun aku lihat dia turut mengalirkan airmata.

            “Ayah doakan akak bahagia dan jadi isteri yang solehah.” Ayah pula bersuara sebelum dia turut memelukku. Aku semakin menangis di bahu ayah.

            “Akak tetap anak ayah dan mak….” Perlahan nada suaraku menuturkan ayat.

            Kemudian aku memeluk Aini yang dari tadi tersenyum. Gembira untukku semestinya. Aku turut bersalaman dengan mama dan papa yang telah sah menjadi mertuaku.

            “Salam dengan suami kamu.” Ayah membisikkan ke telingaku. Segera aku mengambil tisu yang dihulurkan oleh Ema dan menekap sedikit di bawah pelupuk mata. Ada sisa airmata disitu.

            Aku duduk semula di bantal besar yang dihias cantik untuk majlis akad nikah ini. Tanganku sedikit menggigil semasa Hadif menghampiriku dan menyarungkan sebentuk cincin di jari manis tangan kanan. Dadaku pula berombak turun naik tidak sekata sewaktu dia mencium lembut dahiku. Lantas tangannya kucapai dan kucium penuh syahdu. Hati semakin berdebar apabila mata kami bertaut untuk pertama kalinya. Segera aku tunduk memandang lantai. Lensa kamera pula silih berganti menangkap gambar-gambar kami. Kemudian Hadif terus berlalu untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Aku hanya memandang setiap gerak lakunya dengan perasaan yang tidak dapat diterjemahkan.

            “Tahniah Aida!” Wawa dan Akma terjerit kecil apabila mereka berkata serentak.

            Aku tersenyum walaupun bibirku masih ditutupi dengan selendang. “Terima kasih kerana sentiasa ada bersama aku. Kamu bertiga sahabat aku selamanya.” Aku turut memandang kepada Ema yang sibuk menangkap gambarku menggunakan kamera digital miliknya.

            “Kami sayang sangat kat kau.” Akma meluahkan seolah-olah mewakili suara hati mereka bertiga. Malah Wawa dan Ema turut menganggukkan kepala mendengarnya.

            “Lepas jamuan makan nanti kami baliklah ye. Cuti pun masih berbaki seminggu lagi. Enjoy your honeymoon.” Akma menyambung kata.

            “Okey. Thanks again. Jumpa nanti kat kampus.” Aku bersalaman dengan mereka dan berpelukan untuk seketika.

            Mereka bertiga terus berlalu menyertai sekelompok kecil manusia yang terdiri daripada keluarga dan saudara-mara sebelah aku dan juga Hadif untuk kembali ke dewan hotel. Jamuan makan telah disediakan sebagai meraikan para tetamu walaupun majlis akad nikah ini diadakan secara kecil-kecilan.

            “Jom.” Suara macho yang menyapa segera membuatkan aku menoleh sepantas kilat.

            Aku mengangguk sebagai jawapan. Hadif menghulurkan tangannya kepadaku. Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham dengan perlakuannya.

            “Bagi sini tangan awak tu…” Lantas Hadif mengambil tanganku dan diletakkan di lengannya. Mimpi ke dia sebut awak? Rasanya telinga aku belum pekak lagi. Bukan selalu dia membahasakan aku-kau sahaja dengan aku?

            Kemudian kami menaiki kenderaan yang telah dihias dengan reben dan bunga untuk pulang ke hotel. Alamak! Berdua sahaja dengan dia membuatkan aku kaku.

            “Kau tak nak buka ke purdah tu?!” Jerkah Hadif membuatkan aku terkejut beruk.

            “Pandai kau berlakon kan?” Soalku sinis. Aku dah agak dah. Dia tidak bermimpi. Buktinya sekarang dia dah jadi Hadif yang aku kenali. Walaupun tidaklah kenal sangat pun.

            Terhambur gelak besar dari mulutnya. Kemudian dia menyambung kata. “Jangan lupa depan orang kita bahasakan diri saya-awak. Tak perlu panggil aku abang ke sayang ke sebab aku geli dengan panggilan macam tu.”

            Aku mencebikkan bibir. Eleh! Kalau kau geli, aku lebih geli seribu kali. Aku pun tak ingin nak panggil kau macam tu.

            “Bukalah selendang tu. Aku nak tengok muka kau.” Suaranya kedengaran tegas.

            Aku menjeling sekilas. “Aku tak nak.” Aku turut bertegas.

            “Berdosa melawan cakap suami.” Tangannya mula ingin menyentuh selendang yang menutupi mulutku.

            “Janganlah!” Aku menjerit nyaring. Alamak! Habis reputasi keayuan aku. Ah, ni semua sebab perangai kau.

            “Okey! Okey…aku tak rugilah tak tengok kau.” Bentak Hadif kasar.

            Ada aku kisah? Aku menyumpah di dalam hati. Ya Allah….belum satu jam aku bergelar isteri aku dah menghimpun dosa melawan suami….ampuni aku….

            Akhirnya kami sampai ke perkarangan hotel. Hadif turun dan menyerahkan kunci kereta kepada car jockey dan membukakan pintu untukku. Ah, dasar suami plastik!

            Apabila pintu dewan dibuka dan kami berjalan perlahan di atas karpet merah tepukan bergema di segenap dewan. Aku anggarkan jumlah jemputan kaum kerabat terdekat aku dan Hadif adalah seramai seratus orang. Aku melambai-lambai kepada teman-teman dan beberapa orang sepupuku yang turut membalas lambaianku. Kami menuju ke meja makan beradab yang disediakan.

            Setelah selesai makan dan bersalaman dengan para tetamu yang hadir, akhirnya kami bergerak menuju ke bilik yang ditempah khas untuk pengantin baru. Malah kami telah pun mengucapkan selamat tinggal kepada mak, ayah, mama dan juga papa kerana mereka akan bertolak selepas Maghrib untuk pulang ke rumah. Walaupun aku berkeras mahu menemui mereka semula sebelum mereka pulang beberapa jam lagi namun gagal. Mereka menyuruh kami berehat dan bersiap sedia untuk berbulan madu keesokan harinya.

            “Letihnya!” Hadif menghempaskan diri di atas katil. Songkok diletak ketepi. Letih? Letih berlakon kut, otakku berbisik nakal.

            Aku duduk di atas sofa besar dan terus menekan punat televisyen. Tidak tahu ingin berbuat apa lagi di dalam bilik besar ini.

            “Tak panas ke pakai benda tu tak buka-buka?” Hadif tiba-tiba mendekatiku dan menuding telunjuknya kearah mukaku.

            “Yang kau sibuk sangat ni kenapa?” Soalku dengan geram.

            “Aku tak faham kenapa kau nak marah aku. Bukan aku buat apa-apa pada kau.” Hadif membuka butang baju melayunya satu persatu. Kemudian dia membuka sampin dan dicampakkan ke bawah. Kini dia duduk menyandar pula di hujung sofa.

            “Er…Erm…” Aku sememangnya tidak tahu untuk menjawab. Ikutkan hati ingin sahaja aku beritahu yang aku geram dengan sikapnya tempoh hari namun identiti aku tidak boleh terbongkar.

            “Kau pernah tengok gambar aku?” Aku menyoalnya pula.

            Dia menggelengkan kepala dan tersenyum sinis. “Tak perlu. Kau buruk macam mana pun aku tetap kena kahwin dengan kau. Keputusan papa muktamad. Jadi aku malas nak buang masa tengok gambar kau.”

            Aduh! Pedih dan berbisa ayat yang keluar dari mulut lelaki bernama Hadif ini. Kalau aku tak bertenang sekarang ni tentu aku dah cekik dia hidup-hidup! Tetapi aku berasa lega dia belum tahu siapa aku. Aku khuatir kami akan lebih bertekak apabila dia mengetahui aku gadis yang hampir dilanggarnya tempoh hari. Sudahlah tinggal berdua dengan dia. Mati aku kalau apa-apa berlaku. Hari itu pun dia dah tengking-tengking aku macam orang gila.

            “Esok aku hantar kau balik kolej. Tak ada apa yang berubah. Aku dengan hidup aku, kau dengan hidup kau.”

            Aku tercengang. “Honeymoon?” Aku menyoal dengan muka serius.

            “Ha ha ha!” Hadif ketawa sehingga memegang perutnya. Ah, kenapa aku bertanya soalan itu. Bodoh!

            “Kau teringin nak honeymoon dengan aku ke? Kesian isteri aku ni. Sorry sangat ye. Aku belum rasa nak pergi honeymoon dengan kau.” Hadif menjawab bersama sisa ketawa yang belum reda.

            Malunya! Merah padam muka aku mendengar jawapan Hadif yang lebih berbaur sindiran. Siap kau nanti! Kau belum kenal aku siapa. Nak main-main? Kau silap orang Hadif. Silap besar.

            Akhirnya malam itu aku tidur di atas sofa dengan memakai baju tidur serta selendang semasa majlis pernikahan siang tadi. Aku mana ada tudung untuk dipakai kalau selama ini memang aku tidak bertudung orangnya. Tetapi sikap Hadif yang menyakitkan hati serta tidak mahu identiti aku terbongkar aku terpaksa dengan penyamaran ini. Walaupun ia bukanlah dalam perancangan aku.

            Hadif a.k.a En.Suami enak tidur berdengkur di atas katil king yang empuk. Namun aku bersyukur Hadif tidak melaksanakan malam pertama kami. Malah tiada tanda yang dia akan melakukan apa-apa pada aku yang masih dara ini. Erk? Ada ke seorang isteri yang bersyukur kerana tidak melalui malam pertamanya? Ah, dalam situasi aku iye. Aku sungguh bersyukur.

***Suka tak bab ni? akhirnya kahwin jugak...eheehee

12 comments:

Yin Areesa said...

Suka...tapi sampai bila inche Hadif tu tak tengok muka isteri dia...

Shizukaz Sue said...

hehe akak..sabar ye..=)

Yin Areesa said...

Dah apply kolej maybank ka? hehehehe...

Shizukaz Sue said...

haha dorg tinggal asing2 kak...cian kat aida...

Yin Areesa said...

okey jugak tu. kolej maybank tu org tingkat atas sekali buat apa org tingkat bawah sekali boleh dengaq...seram aihh

Shizukaz Sue said...

haha mmg sereeem...

huahua said...

http://peaceder.blogspot.com/2012/09/peaceder-airpod-kereta-yang-comel-dan.html.. follow me back

Shizukaz Sue said...

done! =)

Unknown said...

akhirnya kahwin gak..
berpurdah bagai...sampai bila laaa?

Anonymous said...

seram ja dapat suami cam ni, marah2 tak tntu psal, tampaq baru tau hahah

khadijah said...

huhuhu...akak sue..bg la dia pkai tdung btol2..hehhe...gmbaran si aida pkai tudung n purdah 2 mcm comel je dngar..hehehhehhe

Unknown said...

Sakityerr hati dgn hadif tuu.. smpi hati dia buat aida mcm tuu.. BEST..