Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, August 11, 2014

Bukan Isteri Pilihan Bab 38



            Setelah menaiki feri selama hampir satu jam, akhirnya aku dan Hadif menjejakkan kaki di Jeti Pekan Kuah. Jeti Pulau Langkawi yang ternyata jauh lebih besar dan maju daripada Jeti Kuala Perlis tadi. Orang ramai berpusu-pusu keluar dari kawasan jeti dan Hadif menarik pinggangku agar berjalan rapat dengannya. Walaupun aku tidak mabuk laut tetapi ombak kuat yang sesekali membadai feri membuatkan kepalaku sedikit pusing. Rasa melayang juga jejak kaki ini memijak tanah. 

            “Sayang okey tak ni? Pening eh?” Hadif memandang kepadaku sambil memberhentikan langkah. Mukanya berkerut seribu melihat aku yang seperti baru lepas keluar dari kelab malam.

            “Pening sikit. Ombak kuat kut tadi.” Aku menyentuh sedikit kepalaku sambil tersenyum tawar. Hadif mengeratkan pelukannya di pinggangku bimbang kalau aku tidak dapat menstabilkan diri.

            “Boleh tahan tak? Kalau nak muntah, kita pergi tandas dulu.” Hadif sudah mempamerkan riak risau dimatanya. Dia memandang aku tidak berkelip.

            Aku menggelengkan kepala. “Tak rasa nak muntah. Cuma berpusing aje kepala ni. Jomlah kita terus ambil kereta sewa. Boleh cepat sampai hotel.” Kataku sambil memulakan langkah.

            Hadif menurut dan kami berjalan menuju ke sebelah jeti. Di seberang jalan ternampak kawasan kereta sewa yang agak besar. Kami melintas jalan dan menuju ke kaunter yang hanya beratapkan payung besar itu.

            “Abang, saya nak ambil kereta. Ni resitnya.” Hadif memberikan resit kepada penjaga kaunter dan tanpa banyak soal kunci yang diambil di dalam laci diberikan kepada Hadif.

            “Kereta Kia Rio yang warna biru muda hujung sana.” Penjaga kaunter menunjukkan jarinya kearah kereta yang dimaksudkan.

            Aku dan Hadif berjalan menuju ke kereta dan setelah kunci ditekan aku terus meloloskan diri ke dalam perut kereta. Leganya dapat bersandar dan memejamkan mata. Hadif menghidupkan enjin dan penghawa dingin. Cuaca nampaknya agak terik di sini berbanding di Perlis pagi tadi.

            “Sayang, buka beg ni. Abang letak kat belakang.” Hadif memegang tali beg sandang dan aku hanya melepaskan tangan hingga ke bahu. Mata masih terpejam tidak larat untuk dibuka. Hadif meletakkan begnya juga di tempat duduk belakang dan terus kembali duduk di tempat pemandu.

            Kereta mula bergerak keluar ke jalan raya. “Lalu mana ni eh?” Hadif menggumam perlahan lebih kepada dirinya sendiri.

            Aku membuka mata perlahan dan membetulkan duduk. “Kananlah kut. Ada tulis nak ke Pantai Cenang.” Aku menunjukkan papan tanda kepada Hadif. Nasib aku sempat melihat alamat hotel yang tertulis di dalam pakej tadi semasa Hadif berurusan dengan ajen tersebut.

            Setelah beberapa minit memandu, Hadif singgah di stesen minyak. Tanda minyak kat kereta ni pun dah berkelip-kelip dari tadi. “Sayang nak minum apa? Abang belikan.” Hadif mengusap pipiku lembut.

            “Nak air kotak laici.” Jawabku ringkas. Kemudian Hadif menghilang dan kembali semula menyerahkan air kotak yang dipesan sebelum mengisi minyak kereta sehingga penuh.

            “Abang ambil peta Pulau Langkawi ni kat dalam tadi. Sayang boleh tolong tengok? Abang bab peta-peta ni memang failed.” Hadif tersenyum kecil. Segan barangkali menyatakan kelemahannya dihadapan isteri.

            Hadif terus memandu dengan tenang dan menunggu arahan dari mulutku. Aku membelek seketika peta di tangan dan dengan cepat dapat menangkap lokasi kami sekarang. Yelah, belum jauh lagi dari Pekan Kuah. Kalau tengok dalam peta nampak jauh juga Pantai Cenang dari sini. Ingatkan dekat aje. Jakun betul Aida Nasuha ni!

            “Terus aje sampai jumpa traffic light yang kedua, baru belok kiri. Jauh juga ye hotel kita dari jeti tadi. Tapi tengok kat internet memang Pantai Cenang antara yang paling meriah kat Langkawi ni untuk pelancong.” Aku masih membelek-belek peta untuk melihat destinasi lain yang akan kami kunjungi selama berada disini. Wah, semuanya agak jauh kedudukannya kecuali Underwater World yang memang berada di Pantai Cenang. Harapnya kami tak sesat berpandukan peta dan aku sebagai tukang tunjuknya!  

            Kepala yang tadinya berpusing mula beransur kurang. Mungkin setelah duduk di dalam kereta yang berpenghawa dingin membuatkan aku lebih selesa. Malah tekak yang kering tadi pun telah dibasahkan dengan sekotak air laici kegemaranku. Dapatlah aku menarik nafas lega sedikit. Muka pun lebih cerah berbanding tadi.

            “Pandainya sayang abang ni baca peta. Jangan sesat pulak.” Hadif tersenyum kecil sambil menjeling aku sekilas. Pantas tanganku menghadiahkan cubitan lembut di lengannya. Dah minta tolong orang tapi ada hati lagi nak perli ye!

            “Tahulah. Tak sesat punya.” Aku memuncungkan sedikit bibir tanda merajuk. Hadif hanya mengenyitkan matanya nakal dan terus memandu dengan tenang mengikut arahan yang aku berikan. 

            Setelah hampir dua puluh minit perjalanan yang turut melalui jalan berbukit berbelok-belok akhirnya tiba di kawasan yang landai dan lurus. Kelihatan di kiri kanan penuh dengan gerai-gerai cenderahati dan juga hotel di sepanjang jalan Pantai Cenang. Meriah juga nampaknya walaupun cuaca di luar terik disimbahi mentari. Ramai pengunjung termasuk pelancong asing yang berjalan-jalan di sepanjang pantai.

            “Ha ini Hotel Langkawi Boutique! Sebelah kanan ni.” Laungan Hadif membuat aku tersentak lantas menoleh kearah yang dimaksudkan.

            Hadif memarkir kereta di tempat yang disediakan dan turun untuk check-in di kaunter. Aku hanya menunggu di dalam kereta sambil menikmati penghawa dingin yang menyamankan. Tidak lama kemudian Hadif muncul dengan senyuman yang manis terukir di bibir.

            “Jom sayang. Bilik kita blok sebelah sana. Kalau tak larat, biar abang aje bawa beg sayang okey.” Hadif terlebih dahulu membuka pintu belakang tanpa menunggu jawapanku. Beg sandangnya di sangkut di belakang manakala beg aku pula di sangkut di bahagian depan. Dah macam pakcik jual kain pun ada penuh dengan beg depan belakang badan.

            Aku sembunyi senyum dan berjalan mengikuti langkah Hadif dari belakang. Ah, dalam waktu macam ini aku ingin melihat sejauh mana kesanggupan Hadif melayanku. Biarlah dia angkat semua beg tu. Kejamkan aku?

            Apabila pintu dibuka, aku terus masuk meninjau bilik yang luas ini. Cantik bilik dan susun atur perabotnya. Bilik air juga dihias indah seperti di rumah mewah. Kemudian aku berdiri di jendela melihat keindahan laut yang terbentang luas, saujana mata memandang. Terasa tenang dan damai disapa bayu laut apabila jendela ini kubuka seluasnya. Dah lama juga aku tidak bercuti di pulau seperti ini. Seronoknya!

            “Sayang suka bilik ni?” Hadif datang menghampiri.

            “Suka. Cantik dan selesa. Lepas ni kita nak kemana?” Aku menoleh wajah Hadif sambil tanganku memintal hujung rambut yang ditiup angin.

            “Kita rehat sekejaplah ye sayang. Bagi kepala sayang tu stabil sikit. Then kita keluar makan dan jalan-jalan pergi naik cabel car.” 

            “Okey.” Aku tersenyum dan menganggukkan kepala. Terasa senang dan indah bersama dengan Hadif. Walaupun selama ini kami memang tinggal berdua di rumah tetapi suasana disini membuatkan aku lebih teruja dan bahagia. Mungkin beginilah mood berbulan madu yang dialami oleh setiap pengantin baru, fikirku.
 
            Aku dan Hadif akhirnya berlalu ke katil dan merehatkan diri. Kami terlena untuk seketika sebelum bangun satu jam kemudian setelah bunyi jam loceng yang dikunci pada telefon bimbit Blackberry mengejutkan kami. Aku bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Setelah selesai membersihkan diri aku memakai baju dan membentangkan sejadah menghala kearah kiblat yang ditunjukkan oleh anak panah di siling. Hadif masih bermalasan di atas katil tetapi turut bangun selepas aku siap bersolat. Sementara menunggu Hadif bersiap aku duduk di meja solek untuk berdandan.

            “Cantiknya sayang ni! Perempuan paling cantik dan manis yang abang pernah jumpa.” Hadif merapati dan memeluk aku erat. Senyumannya lebar dan menggoda. Sudah! Jangan nak yang bukan-bukan pula saat ini setelah kami siap untuk keluar.

            Aku hanya tersenyum manis tanpa membalas pujian Hadif. Walaupun pujian itu seringkali aku dengar dari mulut Adli dan juga rakan-rakan lelaki yang aku kenal tetapi bukan bermakna aku tidak menghargainya. Sebenarnya aku segan untuk menerima pujian seumpama itu kerana kecantikan luaran bukanlah bermakna aku sempurna segalanya. Aku tetap manusia biasa yang punya banyak kelemahan. Harapan aku Hadif mampu menerima dan bertahan dengan setiap kelemahan aku sebagai seorang isteri.

            “Jom turun. Lapar dah perut ni.” Aku meminta Hadif melepaskan pelukannya. Hadif masih lagi tersenyum melihat diriku dihadapan cermin. Mungkin dress separas buku lali warna kuning air dan berbunga coklat yang kupakai ini menarik minatnya untuk terus memandang.

            “Abang tak pernah puas tengok sayang. Hari-hari tetap nampak cantik selalu. Tengah tidur pun cantik.” Hadif masih berdiri dan memeluk aku bersama pujiannya.

            Aku menggelengkan kepala bersama senyuman kecil. “Terima kasih suamiku yang tercinta. Tak payah puji lebih-lebih nanti sayang kembang macam belon. Boleh meletup tau!” 

            Hadif ketawa kelucuan. “Nakal betul sayang abang ni.” Hadif mencuit hidungku kemudian meleraikan pelukan. Tanganku ditarik perlahan dan kami sama-sama keluar dari bilik menuju ke kafe untuk menikmati makan tengahari. Di dalam hati masing-masing berbunga riang untuk menjelajah pulau ini bersama. Maklumlah pada usia semuda ini aku tidak pernah ada pengalaman bercuti dengan mana-mana lelaki sekalipun. 

          Kalau kawan perempuan tu dah selalu...

No comments: