Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Friday, October 19, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 10


            Aku masuk ke dalam perut kereta dengan wajah yang masam mencuka. Sudah puas aku menolak tetapi Hazriq datang juga menjemputku di butik. Semua ini pasti gara-gara Syaza yang terlepas cakap aku berada di butik sehingga malam. Padahal aku bukanlah ada kerja yang tertangguh disini. Sejak kemunculan Asmara tempoh hari jiwa aku menjadi bertambah kacau.

             Jiwa ini kadangkala tidak mampu ditahan-tahan. Aku boleh jadi gila jika sentiasa berperang dengan perasaan sendiri. Itulah penyebabnya aku banyak menghabiskan masa di butik berbanding di rumah. Apabila aku melakukan kerja-kerja berseni ini, mampu membuat aku terleka dan melupakannya seketika. Walaupun sebenarnya seni itu sendiri berkait rapat dengan diri lelaki itu.

            “Buat apa sayang kat butik sampai ke malam? Bahaya tahu tak duduk seorang-seorang?” Hazriq memulakan bicara setelah hampir beberapa minit kereta bergerak.

            “Ada kerja sikit. Saya kunci pintu dari dalam. Taklah bahaya.” Balasku sambil membuang pandang ke luar tingkap. Hujan rintik mulai turun membasahi bumi Allah ini.

            “Sayang, awak tu tunang saya.  Boleh tak selepas ni awak dengar nasihat saya? Janganlah degil sangat.” Bebel Hazriq yang nyata tidak senang dengan tindakanku.

            “Degil? Saya degil? Hazriq, apa lagi yang awak nak? Pergi dan balik kerja saya terpaksa naik kereta awak. Kemana saya pergi, apa saya buat, semua saya terpaksa inform pada awak. Itu pun awak masih nak kata saya degil?” Aku sudah mula marah-marah. Sejak jiwa aku menjadi kacau, mudah sangat aku naik marah. Perubahan ini juga turut ditegur oleh Syaza.

            “Terpaksa? Yes itulah masalahnya sekarang. Awak sentiasa terpaksa dalam hubungan kita. Apa lagi yang kurang? Saya ni tak cukup baik untuk awak ke?” Hazriq melepaskan nafas berat. Dia menjeling aku tajam.

            Aku memejamkan mata. Menambak benteng kesabaran yang semakin berkurangan. Aku juga yang bersetuju dengan ikatan pertunangan ini. Walaupun kadangkala aku ragu dan terasa seperti membuat keputusan yang salah. Apabila membayangkan wajah Puan Jamaliah, hati aku dipagut sayu. Semua ini untuk wanita tua itu. Wanita yang entah hidup berapa lama lagi untuk merasai nikmati dunia. Keadaan kesihatannya semakin buruk apabila kaki yang telah dipotong masih bernanah dan tidak kering daripada luka. Setiap dua hari dia terpaksa ke hospital untuk mencuci lukanya dan menggantikan balutan.

            “Hazriq, saya minta maaf. Saya tak berniat nak cakap macam tu.” Aku menoleh dan memandang raut wajah Hazriq yang masih kelihatan tegang.

            “Saya maafkan. Tapi saya nak minta sesuatu dari awak.”

            “Apa dia?”

            “Kita cuma bertunang selama enam bulan, sayang. Tolonglah buka pintu hati awak untuk menerima saya. Saya pun teringin juga menjadi seorang suami yang dicintai isterinya kelak.”

            Kata-kata Hazriq bagai anak panah yang menikam jantung aku. Kejamkah aku? Aku benci pada lelaki kejam seperti Asmara tetapi aku sendiri telah berbuat kekejaman terhadap Hazriq. Tiba-tiba rasa berdosa menyelinap perlahan. Membuatkan aku sedar diri dengan status kami sekarang.

            “Insyaallah. Saya akan belajar untuk mencintai bakal suami saya.” Jawabku perlahan tetapi mampu menguntumkan senyuman di dua ulas bibir Hazriq.

            “Terima kasih sayang. Saya janji akan bahagiakan awak.” Ikrar lelaki itu.

            Aku tersenyum dan mengangguk. Ah, itulah juga yang diucapkan oleh Asmara sebelum hubungan kami jadi berantakan. Lelaki hanya pandai bermain kata dan mengikat janji tetapi tidak mampu untuk menunaikannya. Adakah Hazriq juga begitu? Aku masih belum ada jawapannya.

            “Sayang, kita singgah makan dulu ye. Saya lapar ni.” Cadang Hazriq sambil tangannya mencari tanganku untuk diraih.

            “Okey.” Sepatah jawabku. Senyuman Hazriq semakin lebar dan kereta terus dipandu semakin laju membelah kepekatan malam.


                                                *******************************


Aku membelek baju di badan. Kenapa rasa macam dah ketat aje baju blaus ni? Aku dah gemuk ke? Eh, tak mungkin! Sejak dua-menjak ini aku kurang selera makan. Tidur pun selalu aje tak cukup. Walaupun badan terasa penat, mata tetap tidak mahu terlena. Apabila situasi itu berlaku, pasti aku akan habiskan waktu dengan menconteng lukisan di atas kanvas. Pelbagai lakaran yang terhasil menerusi luahan rasa yang aku alami. Ada suka, ada duka, ada pelbagai perasaan yang terpendam di benak ini. Aku puas dapat mewarna di atas kanvas putih mengikut kehendak aku sendiri. Alah, baju blaus ni aje yang dah kecik. Bukan aku yang dah gemuk.

            “Pon! Pon! Pon!” Hon yang berbunyi dari luar rumah membingitkan suasana pagi yang hening.

            Aku segera menyemburkan minyak wangi Coach Summer Edition ke tubuh dan mengambil beg tangan. Bergegas aku keluar dari bilik. Tidak mahu membiarkan pemilik kereta itu menunggu lebih lama.

            “Mama, Dean pergi butik dulu ye.” Aku bersalaman dengan Mama Anis yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu.

            “Okey, take care.” Mama Anis mencium pipiku.

            Setelah keluar dari rumah, aku menyarungkan sandal dan terus membuka pintu pagar. Eh, kenapa lain aje kereta ni? Siapa pula yang datang rumah aku? Alamak, malunya tersilap orang! Aku tersengih serba salah sambil berdiri di hadapan pagar.

            “Sayang, jomlah naik! Saya dah lambat ni.” Hazriq memanggil setelah cermin diturunkan.

            Aku tersengih lagi. Hazriq rupanya. Ingatkan aku tersilap orang tadi. Aku terus membolos masuk ke dalam kereta tanpa berlengah.

            “Kereta siapa ni?” Soalku yang baru sahaja bersalaman mencium tangan tunangku ini. Itulah rutin yang diingini oleh Hazriq pada waktu pagi dan petang apabila dia menjemput serta menghantarku ke butik.

            “Saya baru beli. Dah tempah sebulan lepas tapi baru semalam sampai. Sayang suka?” Hazriq yang segak berbaju kemeja lengan panjang berwarna merah hati ini tersenyum menawan.

            Bibirnya yang kemerahan menandakan dia bukan seorang perokok menambahkan lagi seri wajahnya. Amboi mentang-mentanglah kau ni mak andam, asyik nak bercakap pasal seri muka orang lain aje. Hatiku mengejek diri sendiri.

            “Suka. Saya tak kisah pun.” Jawabku acuh tidak acuh. Aku bukannya berani memandu kereta. Jadi kereta apa yang Hazriq pakai, langsung aku tidak kisah. Asalkan boleh membawa kami dengan selamat.

            “Awak kena kisahlah sayang. Nanti kereta ni juga nak bawa awak dan anak-anak kita.” Hazriq menggenggam erat tanganku. Eh, bukan tadi kata dah lambat ke? Ada hati pula nak berdrama romantik di hadapan rumah aku.

            Anak-anak kita? Aku menelan liur. Sejauh itu yang telah Hazriq fikirkan. Tetapi aku? Hanya untuk hari demi hari. Selesai hari ini, barulah aku memikirkan hari esok. Jangan kata anak-anak, majlis perkahwinan kami pun aku tidak pernah lagi membayangkannya. Teruk betul dapat tunang macam aku ni!

            Aku tersenyum cuba menyembunyikan perasaan sebenar di mata Hazriq. “Jom, tadi kata dah lambat. Saya pun ada temujanji dengan pelanggan kat butik sekejap lagi.”

            “Okey, jom.” Hazriq masih ceria. Mungkin kerana mood membawa kereta baru.

            Kereta Toyota Alphard berwarna putih ini mula bergerak menuju ke destinasi. Aku juga tiada hati ingin bertanya kemana perginya Hyundai Sonata milik Hazriq selama ini. Adakah telah dijual atau dijadikan kereta keduanya. Biarlah, usah nak menyibuk. Lainlah kalau dah jadi suami isteri nanti.

            Setelah hampir dua puluh minit melalui kesesakan jalan raya, aku akhirnya tiba di hadapan butik. Hazriq pula terus memecut menuju pejabatnya yang tidak jauh dari sini. Lebih kurang sepuluh minit sampailah jika tiada kesesakan.

            “Cik Dean, Nelly dah tunggu dari tadi. Katanya ada hal penting. Tapi nak cakap sendiri dengan Cik Dean.” Syaza yang tergesa-gesa mendapatkan aku di muka pintu kelihatan cemas.

            Aku mengerutkan kening. Nelly yang mana satu? Terlalu ramai pelanggan yang menggunakan khidmat butik ini, mana aku mampu ingat semua nama. Tapi pagi ini aku ada temujanji dengan Datok Husin. Bukan dengan Nelly.

            “Nelly mana?” Soalku seperti berbisik.

            “Nelly, tunang Yazid yang bekerja kat wisma depan ni.” Terang Syaza.

            “Oh, okey. Mana dia?”

            Syaza hanya menjuihkan bibir ke meja bulat yang terletak berhampiran kaunter. Namun tidak dapat dilihat dari bahagian depan kerana dipisahkan oleh bidai yang diperbuat daripada buluh.

            Aku terus berlalu ke bahagian kaunter. Beg tangan aku simpan di bahagian bawah dan aku mengambil buku log di dalam laci. Langkah aku atur menuju ke meja bulat. Kelihatan gadis yang bernama Nelly ini sedang menunggu dengan wajah yang resah.

            “Assalamualaikum Nelly. Ada yang saya boleh bantu?” Tegurku ramah. Senyuman manis aku hadiahkan buatnya.

            “Waalaikumsalam. Saya ada hal nak cakap sikit.” Nelly menoleh dan bertentang mata denganku. Dapat aku lihat matanya yang sedikit sembap. Mungkin kerana gadis ini baru lepas menangis.

            Aku duduk berhadapan dengannya. “Ada masalah ke dengan pengurusan kami? Majlis Nelly sebulan lagi kan?”

            Pantas gadis itu menggeleng. “Bukan soal tu. Saya datang sini nak beritahu yang majlis saya dibatalkan. Saya dan Yazid dan putus tunang beberapa hari lepas.” Airmata Nelly mengalir deras. Semakin tidak mampu dibendung.

            “Sabar Nelly. Sabar. Bawa bertenang.” Pujukku yang agak panik melihat gadis ini terlalu hiba. Aku bangun dan mengambil kotak tisu di atas kaunter.

            “Jodoh itu ditangan Tuhan, bukan di tangan manusia seperti kita. Saya harap Nelly dapat bersabar dengan ujian ini.” Aku menghulurkan kotak tisu itu di hadapannya.

            Tangan Nelly pantas mencapai sehelai tisu dan dia mengelap mata dan hidungnya yang sedikit kemerahan.

            “Kami dah tak sehaluan lagi. Peritnya kami boleh berpisah walaupun majlis kahwin dah makin hampir.” Nelly bersuara lirih. Wajahnya ditundukkan menghadap lantai.

            Aku jatuh simpati melihat keadaan Nelly. Mungkin hati Nelly lebih sakit berbanding aku yang ditinggalkan oleh Asmara dulu. Maklumlah mereka telah hampir membina rumahtangga.

            “Saya faham perasaan awak, Nelly. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.” Aku menyentuh tangan Nelly tanda simpati dengan nasibnya.

            “Terima kasih Cik Dean. Saya datang sini nak bagitahu tentang majlis saya yang tak jadi tu. Okeylah, saya minta diri dulu.” Nelly bangun untuk beredar.

            “Nelly.” Panggilku cuba menahan.

            Nelly memandang aku dengan mata yang masih basah. “Ye, Cik Dean?”

            “Hari tu awak dah bayar penuh kan? Berapa jumlahnya keseluruhan majlis awak tu?” Soalku yang terus membuka buku log untuk melihat semua butiran pelanggan kami di dalamnya.

             Walaupun zaman semakin canggih dan Butik Renjis ini menyediakan keseluruhan perancangan perkahwinan, tetapi aku lebih suka menggunakan sistem manual berbanding merekodnya di dalam komputer. Tradisional sangatlah aku ni pun!

            “Dua puluh ribu.” Jawab Nelly tanpa berfikir panjang. Duit dia yang keluar, tentulah dia ingat.

            Aku masih mencari butiran mengenai Nelly. “Ha, ya dua puluh ribu. Erm…walaupun dalam resit dah tertulis duit deposit tidak akan dikembalikan jika berlaku pembatalan majlis, tetapi majlis tu sebulan lagi.”

            “Maksud Cik Dean?” Soal Nelly yang tidak faham.

            “Macam ni lah ye, saya akan pulangkan lima puluh peratus duit awak tu sebab awak dah bayar penuh. Barang-barang hantaran, awak boleh bawa balik. Baju pengantin awak yang ditempah khas tu masih belum siap. Jadi kalau dah siap nanti, awak boleh datang ambil baju tu.” Aku menerangkan satu persatu kepada Nelly.

            Kemudian aku mencatat sedikit apa yang patut di halaman buku log yang berada di atas meja. Nasib baik duit catering dan jurugambar untuk majlis Nelly masih belum dibayar lagi. Jadi dapatlah aku meringankan sedikit beban kesedihan gadis ini.

            “Saya tak nak simpan baju tu. Boleh tak kalau Cik Dean ambil aje baju tu? Saya tolak kat butik ni.” Soal Nelly lagi.

            Aku berfikir sebentar. Boleh tu memanglah boleh. Ramai juga pengantin yang lebih gemar menyewa pakaian pengantin berbanding menempahnya secara eksklusif. Lebih menjimatkan.

            “Baik, saya ambil baju awak tu. Harga baju tu RM4000 tapi saya boleh ambil dengan harga RM3500 sahaja. Boleh?” Kataku setelah habis berfikir. Baju itu tentu tidak mendatangkan banyak keuntungan kerana saiz dan ukurannya telah dibuat mengikut keselesaan Nelly. Tidak dapat banyak yang boleh diubahsuai dengan baju tersebut.

            “Saya setujulah Cik Dean. Saya nak simpan baju tu pun buat apa. Buat sakit hati, bolehlah.” Nelly mengesat lagi tubir matanya.

            “Saya bagi awak cek RM13500. Barang-barang hantaran awak boleh ambil hari ni.” Aku terus menuju ke kaunter untuk menulis cek.

            “Syaza, Syaza!” Aku memanggil Syaza yang sibuk membuat kerja di bahagian hadapan.

            “Ada apa Cik Dean?” Syaza segera mendapatkan aku dengan memegang payung yang baru siap dihiasnya.

            “Barang-barang hantaran Nelly, awak turunkan dari atas rak. Nanti awak tolong masukkan dalam kereta dia ye.” Aku memberikan arahan sambil mata tertumpu pada buku cek yag sedang ditulis.

            “Baik bos.” Syaza segera berlalu untuk melakukan tugasan yang diarahkan.

            “Nah, ini ceknya. Awak jangan putus asa Nelly. Jodoh itu dah ditetapkan oleh Allah untuk kita cuma lambat atau cepat aje. Kalau ada berita gembira, jangan lupa datang ke butik saya ye. Saya sedia bekerjasama dengan awak lagi.” Aku menghulurkan cek tersebut dan bersalaman dengan Nelly.

            Gadis itu tersenyum tawar. “Insyaallah. Terima kasih Cik Dean. Saya tak harap pun dapat duit saya semula. Tapi saya bernasib baik atas budi bicara Cik Dean.”

            “Jaga diri.” Ucapku sambil melambaikan tangan.

            Aku terus duduk di kaunter untuk membuat akaun bulan lepas. Walaupun hari ini seorang pelanggan tidak dapat mengambil perkhidmatan kami, aku tetap rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya kami tidaklah rugi dan aku dapat membantu Nelly dengan memulangkan separuh daripada bayarannya.

            “Cik Dean, kenapa pulangkan separuh duit tu?” Syaza yang baru masuk ke dalam butik setelah selesai membantu Nelly bertanya.

            Aku mengangkat wajah. “Majlis dia sebulan lagi. Duit dia baru digunakan untuk tempah baju dan barang hantaran. Selebihnya saya belum bayar. Duit pelamin pun saya belum usik.”

            “Tapi kan dah tertulis kat resit kita tak akan pulangkan duit jika berlaku pembatalan majlis?” Soal Syaza lagi.

            “Tak apa Syaza. Kita tak rugi pun hari ni. Lagipun Nelly dah bayar semua, bukannya deposit. Saya kesian dengan dia. Mudah-mudahan rezeki kita lagi murah lepas ni. Amin…” Aku meraup wajah selepas berdoa.

            “Amin…” Syaza menyahut perlahan dan terus berlalu.

            Aku tersenyum dan terus menumpukan perhatian kepada buku akaun di atas meja. Ada-ada saja Si Syaza ni. Jangan risau Syaza. Butik ni tak akan lingkup kalau niat kita ikhlas nak membantu orang. Awak akan terus dapat mencari rezeki di butik ini. 

            Insyaallah….

6 comments:

Unknown said...

Salam, semoga Dean bukakan hatinya untuk cinta yang baru...

Yin Areesa said...

Putus tunang?
Waaa, peritnya. Mmg hati retak berkecai.
Adeh! Mata panas pulak tiba-tiba.End.

Anonymous said...

Salam... Kali nie, x byk sentuh tntng `umurxserupa31'.. i like..ahahahaa...
Xsabar nk tunggu citer selanjutnya... Caiyok!! Caiyok puan penulis....

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: wsalam..hihi itu pasti..amboi cantik pic akak..

Shafriza: alamak! ada kenangan la kan..

Anonymous: wsalam hihi hazriq dah ada nama gelaran ek..komersil tu kihkih tQ selalu support me =)

Anonymous said...

~NB~ assalam'mualaikum puan penulis...hmm sy cm tertunggu kisah seterusnya...slmt menulis moga idea melimpah ruah...Aamiin...

Shizukaz Sue said...

NB: wsalam..hihi tu la..skang ni agak sibuk..idea pun mcm out..terima kasih unt doa akak..=)