Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, January 8, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 20


                  “Jawablah awak pergi mana??!”

            Pucat wajah Syaza yang terketar-ketar memasukkan anak kunci ke dalam pintu butik. Aku memegang lembut bahu Syaza cuba menyalurkan ketenangan walaupun aku sendiri tidak tenang saat terpandangkan Hazriq yang menanti sejak tadi di luar butik.

            Sampai sahaja dihadapan pintu Hazriq sudah menjerkah tanpa mempedulikan orang yang lalu-lalang disini. Membuatkan Syaza mengambil masa untuk memasukkan anak kunci akibat terlalu gugup. Aku juga terasa bergetar kepala lutut namun hanya riak tenang yang aku pamirkan.

            “Syaza, masuk dulu.” Arahku setelah pintu butik berjaya dibuka.

            “Tapi Kak Dean…”

            “Masuk Syaza!” Tegas alunan suaraku. Aku tidak mahu Syaza terbabit antara hal aku dan Hazriq.

            “Kita cakap kat sini aje.” Aku berpaling pada wajah Hazriq yang sedang berang. Merah mukanya sampai ke telinga!

            “Kita cakap kat dalam!” Lenganku dicekam kuat oleh Hazriq.

            “Kita cakap kat sini. Abang tak ada hak masuk butik saya tanpa kebenaran.” Aku memberanikan diri walaupun di dalam dada hampir mahu pecah bergelora.

            Wajah Hazriq berkerut. Cekaman tangannya makin kuat menandakan dia semakin marah dengan aku. “Masuk dalam kereta.”

            “Saya tak nak. Kita cakap disini saja atau baik tak payah cakap.” Aku merentap lenganku kasar. Rasa sakit sudah tidak aku hiraukan.

            “Masuk dalam kereta!” Hazriq menarik kembali lenganku sehingga aku terdorong untuk mengikuti langkahnya.

            “Lepaskan, kalau tidak saya menjerit.” Perlahan namun cukup jelas kemahuanku itu.

            Pergerakan Hazriq terhenti. Dia memandang tajam ke dalam anak mataku. “Berani melawan abang sekarang ye? Memang nak kena!”

            Hazriq menolak kuat sehingga tubuh aku menghentam keretanya. Sakitnya belakang aku, Tuhan saja yang tahu. Kemudian, belum sempat aku berpusing Hazriq menyambar pergelangan tanganku pula. Ditarik sehingga aku mendekati tubuhnya.

            “Kita putus Hazriq! Sampai bila awak nak seksa saya macam ni?” Aku menjeling tajam sambil menahan sakit di bahagian tulang belakang.

            Nafas Hazriq turun naik menahan marah yang semakin menggila apabila ayat itu terlontar dari mulutku. “Awak yang buat hal Dean! Kenapa suka cari pasal dengan abang?!” Tengkingan Hazriq membuatkan ada mata-mata yang mula memandang. Mana tidaknya, sebelah butik aku adalah kedai menjual peralatan sukan. Agak ramai pemuda-pemuda yang sudah mula memberikan perhatian terhadap adegan ganas ini.

            “Saya tak pernah curang, saya tak pernah buat hal. Tapi awak yang berkasar dan memukul saya sesuka hati. Awak fikirlah sendiri perempuan mana yang tahan dengan sikap awak ni? Macam mana saya nak sayangkan tunang saya kalau dia jantan kejam yang pukul perempuan?” Aku sudah tidak peduli lagi. Rasa sabar yang selama ini ditambak semakin menipis. Sehingga aku terfikir biarlah aku mati di tangan Hazriq, aku sudah tidak kisah. Apa nak jadi, jadilah!

            “Kurang ajar!” Tangan Hazriq hinggap di pipiku. Merah berbekas kesan tapak tangannya.

            Dia menarik rambutku sehingga kepalaku terdongak ke belakang sedikit. Ditamparnya aku berkali-kali sehingga akhirnya aku lemah dan terhenyak di atas jalan. Kemudian Hazriq menyepak perutku sebanyak dua kali. Kedengaran beberapa orang yang berbisik sesama sendiri tetapi aku lebih tertumpu pada langkah kaki Hazriq yang berlalu masuk ke dalam keretanya.

            “Kak Dean!”

         Tangisan Syaza yang beralun sebak itu menyapa telinga. Tetapi aku sudah tidak berdaya untuk bangkit. Rasa seperti mahu mati sekarang juga. Tidak mahu berhadapan realiti dan bangun meneruskan hari esok. Aku terdiam kaku tanpa airmata. Suara orang berkerumun pula membuatkan aku sesak untuk bernafas. Akhirnya mataku tertutup rapat. Melenyapkan kesakitan yang tidak tertahan lagi.


                                                ***************************


Mataku buka perlahan apabila terasa ada sentuhan lembut pada jari-jemari. Lampu yang cerah berwarna putih membuatkan pandangan sedikit silau pada awalnya. Namun aku gagahi juga sehingga wajah Syaza jelas di hadapan mata.

            “Syaza…” Lemah suaraku sambil memberikan senyuman kepadanya.

         “Kak Dean, rehatlah. Akak masih lemah.” Mata Syaza kelihatan sembap dengan hidung yang berwarna merah dan berair.

            “Jangan beritahu daddy.” Bisikku lagi.

            Syaza menggeleng. “Belum kak. Saya tunggu akak sedar dulu. Tak berani nak beritahu tanpa kebenaran akak.”

            Jawapan Syaza membuatkan aku menarik nafas lega. Aku tidak mahu membebankan daddy dan Mama Anis dengan masalah ini. Aku juga tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan kepada mereka. Hazriq kaki pukul? Tak mampu aku luahkan.

            “Akak rehat dulu ye. Nanti ada orang nak jumpa. Syaza keluar sekejap.” Syaza terus bangun dari kerusi dan keluar dari bilik. Pintu ditutupnya rapat.

            Aku memandang sekeliling. Ruang bilik yang sederhana ini membuatkan aku yakin aku ditempatkan di hospital kerajaan. Bilik ini hanya untuk aku seorang sahaja. Kelas pertama atau kelas kedua, barangkali. Aku tidak pasti tetapi aku bersyukur kerana Syaza membawa aku kesini untuk mendapatkan rawatan. Mungkin tidak seteruk mana. Tetapi perit dan pedih terasa di wajah. Belakang badan juga masih terasa sengal. Hendak bergerak atau beralih posisi juga sedikit payah.

            “Assalamualaikum Cik Dean.” Satu suara menyapaku setelah pintu bilik dikuak.

            Kelihatan dua orang anggota polis wanita tersenyum mendekati aku. Baru sahaja terasa ketenangan, dadaku mula berombak kencang. Polis? Apa kes ni?

            “Cik Dean, kami ada beberapa soalan untuk Cik Dean.” Salah seorang anggota polis yang memakai tag nama Hajjar memulakan bicara.

            “Pasal apa ni? Saya dalam masalah ke?” Soalku cemas.

            “Tidak cik. Kami sedang menjalankan siasatan terhadap kes pukul pagi tadi. Ada laporan yang dibuat oleh Encik Ghani pemilik butik pakaian sukan yang bersebelahan dengan butik pengantin Cik Dean.”

            “Eh, tak ada apa-apa sebenarnya. Cuma pergaduhan kecil antara saya dengan tunang saya.” Aku tersenyum kelat memandang wajah kedua-dua anggota polis yang masih tegak berdiri di tepi katil.

            “Encik Ghani juga ada memberikan kami video sebagai bahan bukti. Keganasan yang dilakukan terhadap Cik Dean adalah satu kesalahan. Saya harap Cik Dean berikan kerjasama dalam kes ini.” Terang anggota polis itu lagi.

            Aku menelan liur. Nampaknya bukan aku atau Syaza yang membocorkan hal ini sehingga menjadi kes polis. Tetapi orang awam atau lebih tepat lagi jiran sebelah butik. Silap Hazriq sendiri yang berani memukul aku secara terang-terangan di tempat terbuka. Dengan rasa berat hati, aku memberikan keterangan yang diminta secara jujur. Malah anggota polis tersebut turut memberikan jaminan bahawa keselamatan aku akan lebih terjamin jika Hazriq dihadapkan ke muka pengadilan.

            Setelah selesai, mereka meminta diri untuk beredar. Aku yakin Hazriq akan ditahan reman beberapa hari selepas ini dan sementara menunggu kes ini selesai dia tidak boleh mendekati aku lagi. Itu sudah cukup baik. Semoga semuanya dipermudahkan, doaku di dalam hati.

            “Akak nak minum?” Syaza masuk semula setelah beberapa minit polis tersebut beredar.

            Aku hanya mengangguk. Syaza menuangkan air di dalam gelas dan menyuakan ke dalam mulutku. Kepalaku di angkatnya sedikit tinggi. Kemudian aku berbaring semula. Syaza pula duduk di atas kerusi.

            “Bila akak boleh keluar?” Soalku sambil memandang tepat wajah Syaza yang kelihatan lesu. Kasihan aku melihatnya.

            “Tak pasti lagi. Nanti Syaza tanyakan doktor. Janganlah fikir banyak kak. Semuanya dah selesai. Dia tak boleh ganggu akak lagi.” Syaza mengusap lembut tanganku.

            Airmataku mengalir perlahan. Lama-kelamaan menjadi semakin deras tanpa dapat dikawal. Entah mengapa aku sebak yang teramat. Beban yang selama ini tergalas di bahu seakan terbang meringankan tubuh yang menggendong.

            “Janganlah menangis Kak Dean…” Syaza cuba memujuk.

            Semakin galak pula aku menangis seperti anak kecil. Syaza kemudiannya bangun dan memelukku erat. Diusapnya kepalaku berulang kali agar aku lebih tenang. Melihat aku masih tiada tanda mahu berhenti menangis, dicapainya pula tisu diatas meja kecil. Airmataku disapu perlahan-lahan agar tidak terkena pada kesan luka dan lebam.

            “Nanti tolong telefonkan daddy ye. Bagitahu akak tidur rumah Syaza malam ni.” Kataku dalam nada yang tersedu-sedu.

            “Ya, saya akan telefonkan. Tak ada masalah. Pandailah saya nak menjawab nanti.” Syaza mengusap lagi rambutku lembut.

            Aku mengangguk.

            “Senyumlah sikit Kak Dean. Masalah dah selesai. Syukur Alhamdulillah…”

            Aku tersenyum tawar. “Alhamdulillah…”

            Aku dan Syaza saling berpelukan. Airmataku tumpah lagi. Biarlah hari ini hari terakhir aku mengalirkan airmata kesedihan. Aku tidak mahu menangis lagi.


                                                ******************************


 “Syaza, awak masuk butik hari ni ye. Kasihan pelanggan kita nanti. Mana yang ada dalam tempahan aje kita settle kan. Jangan ambil pelanggan lagi. Lepas habis semua tu, akak nak berehat panjang. Tunggu sampai betul-betul bersedia, barulah butik tu beroperasi seperti biasa.” Aku duduk bersandar di kepala katil sambil mengunyah epal merah.

            “Bercuti panjang?” Syaza mengerutkan dahinya.

            Aku mengangguk. “Tapi jangan risau. Gaji Syaza akan dibayar seperti biasa.”

            Syaza tersengih. “Maaflah akak. Syaza faham keadaan akak. Tapi separuh duit gaji itulah yang saya kirimkan ke kampung untuk belanja dapur mak.”

            “Tak ada masalah Syaza. Akak faham.” Aku tersenyum lebar. Pagi ini terasa indah dari hari-hari biasa.

            “Senang hati saya tengok muka akak ceria macam ni.” Syaza juga mencapai sebiji epal untuk dimakan.

            “Hati akak pun rasa senang dan lapang.” Jawabku pula.

            “Sekejap lagi Syaza balik mandi dan tukar baju. Lepas tu terus ke butik.” Terang Syaza kepadaku.

            “Okey.” Tangan kiriku mencapai pula surat khabar yang baru dibeli oleh Syaza di kedai serbaneka di tingkat bawah.

            “Terima kasih Syaza, sebab selalu tolong saya. Ada disisi saya dalam susah dan senang.” Aku memandang sekilas wajah Syaza yang masih belum mandi itu.

            “Kak Dean dah macam kakak saya sendiri. Cemas dan sedih sangat semalam saya tengok keadaan Kak Dean macam tu. Saya menangis tak berhenti.” Syaza mengesat matanya seakan orang sedang menangis.

            Aku ketawa kecil. “Akak tahu. Kasihan adik akak ni sampai sembap mata menangis. Eh, cakap pasal muka, muka akak macam mana? Dari semalam belum tengok cermin.”

            Aku mencampakkan surat khabar di atas meja kecil disebelah katil. Mula gelabah semacam apabila teringatkan wajahku yang entah bagaimana rupanya. Syaza bangun dan mengeluarkan bedak kompak dari dalam beg tangannya. Dihulurkan pula kepadaku secepat mungkin.

            Aku membelek wajah di cermin kecil itu. Dari dahi sehingga ke dagu. Pipi kananku lebam sedikit sehingga hampir ke telinga. Berwarna kebiruan. Pipi kiri pula hanya ada bekas-bekas merah yang berbentuk calar. Di tepi dagu ada lakaran panjang entah terkena kuku atau cincin yang dipakai Hazriq. Agak pedih disitu. Perutku juga masih senak akibat disepak terajang lelaki tidak bermoral itu.

            “Nah, nasib tak teruk sangat muka ni.” Aku menghulurkan kembali bedak kompak kepada Syaza.

            “Tu lengan Kak Dean tu.” Syaza menjuihkan mulutnya pada lenganku.

            Pantas aku menyelak baju hospital yang tersarung di badan. Lengan kiri dan kanan aku belek satu persatu. Lengan kiri sahaja yang lebam berbekas bentuk cekaman Hazriq. Pergelangan tangan juga turut bertanda. Aduhai, mana hendak disorokkan semua tanda ini daripada daddy dan Mama Anis?

            “Belakang badan Kak Dean ada lebam besar. Nanti Syaza tangkap gambar guna handfone tunjukkan pada akak ye.”

            “Syaza, Abang Ghani sebelah tu siap ada rakaman video lagi kes akak ni ye? Bapak giler hot kes ni.” Aku tiba-tiba teringat akan hal itu. Agak memeranjatkan juga apabila diberitahu hal tersebut oleh anggota polis semalam.

            “Yelah kak. Tak sangka dia tolong rakam. Lepas tu dia pergi buat report polis. Mungkin nak masuk campur dia tak berani. Encik Hazriq semalam macam dah naik hantu aje. Syaza baru berkira-kira nak meluru keluar bawa payung. Itu aje yang Syaza sempat capai nak ketuk dia. Tapi tak sempat, tengok-tengok akak dah jatuh terbaring. Maaf ye kak…” Kelihatan keruh wajah Syaza.

         “Tak perlu minta maaf. Akak tahu Syaza berusaha nak tolong akak. Tapi akak pun tak nak bahayakan Syaza dalam kes ni. Hazriq tu memang setan!” Akhirnya terkeluar juga ayat itu dari mulut aku.

            Sudah tidak sanggup menahan rasa. Kalau boleh aku nak memaki-hamun dia macam orang hilang akal. Tetapi apalah gunanya kalau dia tidak akan terkesan dengan cara begitu.

            “Dah, jangan nak marah-marah. Nanti lambat sembuh. Syaza nak gerak sekarang. Nanti petang lepas tutup butik, Syaza datang sini.”

            “Tak payah jaga akak malam ni Syaza. Balik aje berehat kat rumah. Akak dah boleh bergerak sendiri.” Aku menolak.

            Syaza menggeleng. “Jumpa petang nanti. Jaga diri tau.”

            Lambaian gadis itu membuatkan aku tersenyum. Syaza memang baik. Kan?

5 comments:

Anonymous said...

Salam... Adeeehh... Dayus sungguh jantan xserupaumur31 tu!! Ceehhh!! Bagus gak En.Ghani tu rakam perbuatan keji tu.. tp sedih gak laa, naper xde seorg pun lelaki yg tmpil mmpertahankn seseorg yg d pukul?? Anyway, sronok sbb dpt baca N3 nie.. dah lama merindu penulisan puan penulis....!

Unknown said...

Salam Shizukaz Sue, wah lega akhirnya ada orang concern dengan si Dean yang suka tanggung masalahnya sendiri.

Saya gembira Dean berani meluahkan rasa hatinya untuk putus dengan Hazriq. Seharusnya Dean beritahu Daddy dan Mama Anisnya. Dean seharusnya buka mata. Jika setakat ditinggalkan kekasih Hazriq tu boleh bertindak begini maknanya dia memang panas baran sedangkan Daddy Dean ditinggalkan isterinya tidak memperlakukan Dean sebegitu.

Harap keluarga Hazriq celik mata dengan perangai barannya.

Thanks kepada Encik Ghani, kerana melaporkan kepada pihak polis. Saya rasa ini mungkin bukan kali pertama Encik Ghani perasan perbuatan hazriq terhadap Dean. Kalau dia cuba meleraikan pergaduhan mungkin dia kena penangan Hazriq dan dia terlibat sama maka lebih baik dibuat rakaman sebagai bukti dan Hazriq tidak boleh menafikannya lagi.

Shizukaz Sue, entri kali ni semakin hot.

Anonymous said...

Suka suka!!! Mana Asmara?

Unknown said...

pandan muka hazriq geramnya saya.

Shizukaz Sue said...

Anonymous: tQ so muchy much kerana selalu memberikan saya dorongan...=) touching!

Seri Ayu: TQ akak...amboiiii bernas sungguh komen akak ye...semangat saya nk sambung ni..hehe

Anonymous: Hero selalu dtg lambat kan? adess hehe

Baby Mio: sabar..hazriq mmg menggeramkan semua pembaca nmpaknnya..heee