“Jawablah
awak pergi mana??!”
Pucat wajah Syaza yang
terketar-ketar memasukkan anak kunci ke dalam pintu butik. Aku memegang lembut
bahu Syaza cuba menyalurkan ketenangan walaupun aku sendiri tidak tenang saat
terpandangkan Hazriq yang menanti sejak tadi di luar butik.
Sampai sahaja dihadapan pintu Hazriq
sudah menjerkah tanpa mempedulikan orang yang lalu-lalang disini. Membuatkan
Syaza mengambil masa untuk memasukkan anak kunci akibat terlalu gugup. Aku juga
terasa bergetar kepala lutut namun hanya riak tenang yang aku pamirkan.
“Syaza, masuk dulu.” Arahku setelah
pintu butik berjaya dibuka.
“Tapi Kak Dean…”
“Masuk Syaza!” Tegas alunan suaraku.
Aku tidak mahu Syaza terbabit antara hal aku dan Hazriq.
“Kita cakap kat sini aje.” Aku
berpaling pada wajah Hazriq yang sedang berang. Merah mukanya sampai ke
telinga!
“Kita cakap kat dalam!” Lenganku
dicekam kuat oleh Hazriq.
“Kita cakap kat sini. Abang tak ada
hak masuk butik saya tanpa kebenaran.” Aku memberanikan diri walaupun di dalam
dada hampir mahu pecah bergelora.
Wajah Hazriq berkerut. Cekaman
tangannya makin kuat menandakan dia semakin marah dengan aku. “Masuk dalam
kereta.”
“Saya tak nak. Kita cakap disini
saja atau baik tak payah cakap.” Aku merentap lenganku kasar. Rasa sakit sudah
tidak aku hiraukan.
“Masuk dalam kereta!” Hazriq menarik
kembali lenganku sehingga aku terdorong untuk mengikuti langkahnya.
“Lepaskan, kalau tidak saya
menjerit.” Perlahan namun cukup jelas kemahuanku itu.
Pergerakan Hazriq terhenti. Dia
memandang tajam ke dalam anak mataku. “Berani melawan abang sekarang ye? Memang
nak kena!”
Hazriq menolak kuat sehingga tubuh
aku menghentam keretanya. Sakitnya belakang aku, Tuhan saja yang tahu.
Kemudian, belum sempat aku berpusing Hazriq menyambar pergelangan tanganku
pula. Ditarik sehingga aku mendekati tubuhnya.
“Kita putus Hazriq! Sampai bila awak
nak seksa saya macam ni?” Aku menjeling tajam sambil menahan sakit di bahagian
tulang belakang.
Nafas Hazriq turun naik menahan
marah yang semakin menggila apabila ayat itu terlontar dari mulutku. “Awak yang
buat hal Dean! Kenapa suka cari pasal dengan abang?!” Tengkingan Hazriq
membuatkan ada mata-mata yang mula memandang. Mana tidaknya, sebelah butik aku
adalah kedai menjual peralatan sukan. Agak ramai pemuda-pemuda yang sudah mula
memberikan perhatian terhadap adegan ganas ini.
“Saya tak pernah curang, saya tak
pernah buat hal. Tapi awak yang berkasar dan memukul saya sesuka hati. Awak
fikirlah sendiri perempuan mana yang tahan dengan sikap awak ni? Macam mana
saya nak sayangkan tunang saya kalau dia jantan kejam yang pukul perempuan?”
Aku sudah tidak peduli lagi. Rasa sabar yang selama ini ditambak semakin
menipis. Sehingga aku terfikir biarlah aku mati di tangan Hazriq, aku sudah
tidak kisah. Apa nak jadi, jadilah!
“Kurang ajar!” Tangan Hazriq hinggap
di pipiku. Merah berbekas kesan tapak tangannya.
Dia menarik rambutku sehingga
kepalaku terdongak ke belakang sedikit. Ditamparnya aku berkali-kali sehingga
akhirnya aku lemah dan terhenyak di atas jalan. Kemudian Hazriq menyepak
perutku sebanyak dua kali. Kedengaran beberapa orang yang berbisik sesama
sendiri tetapi aku lebih tertumpu pada langkah kaki Hazriq yang berlalu masuk
ke dalam keretanya.
“Kak Dean!”
Tangisan Syaza yang beralun sebak
itu menyapa telinga. Tetapi aku sudah tidak berdaya untuk bangkit. Rasa seperti
mahu mati sekarang juga. Tidak mahu berhadapan realiti dan bangun meneruskan
hari esok. Aku terdiam kaku tanpa airmata. Suara orang berkerumun pula membuatkan
aku sesak untuk bernafas. Akhirnya mataku tertutup rapat. Melenyapkan kesakitan
yang tidak tertahan lagi.
***************************
Mataku
buka perlahan apabila terasa ada sentuhan lembut pada jari-jemari. Lampu yang
cerah berwarna putih membuatkan pandangan sedikit silau pada awalnya. Namun aku
gagahi juga sehingga wajah Syaza jelas di hadapan mata.
“Syaza…” Lemah suaraku sambil
memberikan senyuman kepadanya.
“Kak Dean, rehatlah. Akak masih
lemah.” Mata Syaza kelihatan sembap dengan hidung yang berwarna merah dan
berair.
“Jangan beritahu daddy.” Bisikku lagi.
Syaza menggeleng. “Belum kak. Saya
tunggu akak sedar dulu. Tak berani nak beritahu tanpa kebenaran akak.”
Jawapan Syaza membuatkan aku menarik
nafas lega. Aku tidak mahu membebankan daddy
dan Mama Anis dengan masalah ini. Aku juga tidak tahu bagaimana mahu
menjelaskan kepada mereka. Hazriq kaki pukul? Tak mampu aku luahkan.
“Akak rehat dulu ye. Nanti ada orang
nak jumpa. Syaza keluar sekejap.” Syaza terus bangun dari kerusi dan keluar
dari bilik. Pintu ditutupnya rapat.
Aku memandang sekeliling. Ruang
bilik yang sederhana ini membuatkan aku yakin aku ditempatkan di hospital
kerajaan. Bilik ini hanya untuk aku seorang sahaja. Kelas pertama atau kelas
kedua, barangkali. Aku tidak pasti tetapi aku bersyukur kerana Syaza membawa
aku kesini untuk mendapatkan rawatan. Mungkin tidak seteruk mana. Tetapi perit
dan pedih terasa di wajah. Belakang badan juga masih terasa sengal. Hendak
bergerak atau beralih posisi juga sedikit payah.
“Assalamualaikum Cik Dean.” Satu
suara menyapaku setelah pintu bilik dikuak.
Kelihatan dua orang anggota polis
wanita tersenyum mendekati aku. Baru sahaja terasa ketenangan, dadaku mula
berombak kencang. Polis? Apa kes ni?
“Cik Dean, kami ada beberapa soalan
untuk Cik Dean.” Salah seorang anggota polis yang memakai tag nama Hajjar
memulakan bicara.
“Pasal apa ni? Saya dalam masalah
ke?” Soalku cemas.
“Tidak cik. Kami sedang menjalankan
siasatan terhadap kes pukul pagi tadi. Ada laporan yang dibuat oleh Encik Ghani
pemilik butik pakaian sukan yang bersebelahan dengan butik pengantin Cik Dean.”
“Eh, tak ada apa-apa sebenarnya.
Cuma pergaduhan kecil antara saya dengan tunang saya.” Aku tersenyum kelat
memandang wajah kedua-dua anggota polis yang masih tegak berdiri di tepi katil.
“Encik Ghani juga ada memberikan
kami video sebagai bahan bukti. Keganasan yang dilakukan terhadap Cik Dean
adalah satu kesalahan. Saya harap Cik Dean berikan kerjasama dalam kes ini.”
Terang anggota polis itu lagi.
Aku menelan liur. Nampaknya bukan
aku atau Syaza yang membocorkan hal ini sehingga menjadi kes polis. Tetapi
orang awam atau lebih tepat lagi jiran sebelah butik. Silap Hazriq sendiri yang
berani memukul aku secara terang-terangan di tempat terbuka. Dengan rasa berat
hati, aku memberikan keterangan yang diminta secara jujur. Malah anggota polis
tersebut turut memberikan jaminan bahawa keselamatan aku akan lebih terjamin
jika Hazriq dihadapkan ke muka pengadilan.
Setelah selesai, mereka meminta diri
untuk beredar. Aku yakin Hazriq akan ditahan reman beberapa hari selepas ini
dan sementara menunggu kes ini selesai dia tidak boleh mendekati aku lagi. Itu
sudah cukup baik. Semoga semuanya dipermudahkan, doaku di dalam hati.
“Akak nak minum?” Syaza masuk semula
setelah beberapa minit polis tersebut beredar.
Aku hanya mengangguk. Syaza
menuangkan air di dalam gelas dan menyuakan ke dalam mulutku. Kepalaku di
angkatnya sedikit tinggi. Kemudian aku berbaring semula. Syaza pula duduk di
atas kerusi.
“Bila akak boleh keluar?” Soalku
sambil memandang tepat wajah Syaza yang kelihatan lesu. Kasihan aku melihatnya.
“Tak pasti lagi. Nanti Syaza
tanyakan doktor. Janganlah fikir banyak kak. Semuanya dah selesai. Dia tak
boleh ganggu akak lagi.” Syaza mengusap lembut tanganku.
Airmataku mengalir perlahan.
Lama-kelamaan menjadi semakin deras tanpa dapat dikawal. Entah mengapa aku
sebak yang teramat. Beban yang selama ini tergalas di bahu seakan terbang
meringankan tubuh yang menggendong.
“Janganlah menangis Kak Dean…” Syaza
cuba memujuk.
Semakin galak pula aku menangis
seperti anak kecil. Syaza kemudiannya bangun dan memelukku erat. Diusapnya
kepalaku berulang kali agar aku lebih tenang. Melihat aku masih tiada tanda
mahu berhenti menangis, dicapainya pula tisu diatas meja kecil. Airmataku
disapu perlahan-lahan agar tidak terkena pada kesan luka dan lebam.
“Nanti tolong telefonkan daddy ye. Bagitahu akak tidur rumah
Syaza malam ni.” Kataku dalam nada yang tersedu-sedu.
“Ya, saya akan telefonkan. Tak ada
masalah. Pandailah saya nak menjawab nanti.” Syaza mengusap lagi rambutku
lembut.
Aku mengangguk.
“Senyumlah sikit Kak Dean. Masalah
dah selesai. Syukur Alhamdulillah…”
Aku tersenyum tawar.
“Alhamdulillah…”
Aku dan Syaza saling berpelukan.
Airmataku tumpah lagi. Biarlah hari ini hari terakhir aku mengalirkan airmata
kesedihan. Aku tidak mahu menangis lagi.
******************************
“Syaza, awak masuk butik hari ni ye.
Kasihan pelanggan kita nanti. Mana yang ada dalam tempahan aje kita settle kan. Jangan ambil pelanggan lagi.
Lepas habis semua tu, akak nak berehat panjang. Tunggu sampai betul-betul
bersedia, barulah butik tu beroperasi seperti biasa.” Aku duduk bersandar di
kepala katil sambil mengunyah epal merah.
“Bercuti panjang?” Syaza mengerutkan
dahinya.
Aku mengangguk. “Tapi jangan risau.
Gaji Syaza akan dibayar seperti biasa.”
Syaza tersengih. “Maaflah akak.
Syaza faham keadaan akak. Tapi separuh duit gaji itulah yang saya kirimkan ke
kampung untuk belanja dapur mak.”
“Tak ada masalah Syaza. Akak faham.”
Aku tersenyum lebar. Pagi ini terasa indah dari hari-hari biasa.
“Senang hati saya tengok muka akak
ceria macam ni.” Syaza juga mencapai sebiji epal untuk dimakan.
“Hati akak pun rasa senang dan
lapang.” Jawabku pula.
“Sekejap lagi Syaza balik mandi dan
tukar baju. Lepas tu terus ke butik.” Terang Syaza kepadaku.
“Okey.” Tangan kiriku mencapai pula
surat khabar yang baru dibeli oleh Syaza di kedai serbaneka di tingkat bawah.
“Terima kasih Syaza, sebab selalu
tolong saya. Ada disisi saya dalam susah dan senang.” Aku memandang sekilas
wajah Syaza yang masih belum mandi itu.
“Kak Dean dah macam kakak saya
sendiri. Cemas dan sedih sangat semalam saya tengok keadaan Kak Dean macam tu.
Saya menangis tak berhenti.” Syaza mengesat matanya seakan orang sedang
menangis.
Aku ketawa kecil. “Akak tahu.
Kasihan adik akak ni sampai sembap mata menangis. Eh, cakap pasal muka, muka
akak macam mana? Dari semalam belum tengok cermin.”
Aku mencampakkan surat khabar di
atas meja kecil disebelah katil. Mula gelabah semacam apabila teringatkan
wajahku yang entah bagaimana rupanya. Syaza bangun dan mengeluarkan bedak
kompak dari dalam beg tangannya. Dihulurkan pula kepadaku secepat mungkin.
Aku membelek wajah di cermin kecil
itu. Dari dahi sehingga ke dagu. Pipi kananku lebam sedikit sehingga hampir ke
telinga. Berwarna kebiruan. Pipi kiri pula hanya ada bekas-bekas merah yang
berbentuk calar. Di tepi dagu ada lakaran panjang entah terkena kuku atau
cincin yang dipakai Hazriq. Agak pedih disitu. Perutku juga masih senak akibat
disepak terajang lelaki tidak bermoral itu.
“Nah, nasib tak teruk sangat muka
ni.” Aku menghulurkan kembali bedak kompak kepada Syaza.
“Tu lengan Kak Dean tu.” Syaza
menjuihkan mulutnya pada lenganku.
Pantas aku menyelak baju hospital
yang tersarung di badan. Lengan kiri dan kanan aku belek satu persatu. Lengan
kiri sahaja yang lebam berbekas bentuk cekaman Hazriq. Pergelangan tangan juga
turut bertanda. Aduhai, mana hendak disorokkan semua tanda ini daripada daddy dan Mama Anis?
“Belakang badan Kak Dean ada lebam
besar. Nanti Syaza tangkap gambar guna handfone
tunjukkan pada akak ye.”
“Syaza, Abang Ghani sebelah tu siap
ada rakaman video lagi kes akak ni ye? Bapak giler hot kes ni.” Aku tiba-tiba teringat akan hal itu. Agak
memeranjatkan juga apabila diberitahu hal tersebut oleh anggota polis semalam.
“Yelah kak. Tak sangka dia tolong
rakam. Lepas tu dia pergi buat report
polis. Mungkin nak masuk campur dia tak berani. Encik Hazriq semalam macam dah
naik hantu aje. Syaza baru berkira-kira nak meluru keluar bawa payung. Itu aje
yang Syaza sempat capai nak ketuk dia. Tapi tak sempat, tengok-tengok akak dah
jatuh terbaring. Maaf ye kak…” Kelihatan keruh wajah Syaza.
“Tak perlu minta maaf. Akak tahu
Syaza berusaha nak tolong akak. Tapi akak pun tak nak bahayakan Syaza dalam kes
ni. Hazriq tu memang setan!” Akhirnya terkeluar juga ayat itu dari mulut aku.
Sudah tidak sanggup menahan rasa.
Kalau boleh aku nak memaki-hamun dia macam orang hilang akal. Tetapi apalah
gunanya kalau dia tidak akan terkesan dengan cara begitu.
“Dah, jangan nak marah-marah. Nanti
lambat sembuh. Syaza nak gerak sekarang. Nanti petang lepas tutup butik, Syaza
datang sini.”
“Tak payah jaga akak malam ni Syaza.
Balik aje berehat kat rumah. Akak dah boleh bergerak sendiri.” Aku menolak.
Syaza menggeleng. “Jumpa petang
nanti. Jaga diri tau.”
Lambaian gadis itu membuatkan aku
tersenyum. Syaza memang baik. Kan?
5 comments:
Salam... Adeeehh... Dayus sungguh jantan xserupaumur31 tu!! Ceehhh!! Bagus gak En.Ghani tu rakam perbuatan keji tu.. tp sedih gak laa, naper xde seorg pun lelaki yg tmpil mmpertahankn seseorg yg d pukul?? Anyway, sronok sbb dpt baca N3 nie.. dah lama merindu penulisan puan penulis....!
Salam Shizukaz Sue, wah lega akhirnya ada orang concern dengan si Dean yang suka tanggung masalahnya sendiri.
Saya gembira Dean berani meluahkan rasa hatinya untuk putus dengan Hazriq. Seharusnya Dean beritahu Daddy dan Mama Anisnya. Dean seharusnya buka mata. Jika setakat ditinggalkan kekasih Hazriq tu boleh bertindak begini maknanya dia memang panas baran sedangkan Daddy Dean ditinggalkan isterinya tidak memperlakukan Dean sebegitu.
Harap keluarga Hazriq celik mata dengan perangai barannya.
Thanks kepada Encik Ghani, kerana melaporkan kepada pihak polis. Saya rasa ini mungkin bukan kali pertama Encik Ghani perasan perbuatan hazriq terhadap Dean. Kalau dia cuba meleraikan pergaduhan mungkin dia kena penangan Hazriq dan dia terlibat sama maka lebih baik dibuat rakaman sebagai bukti dan Hazriq tidak boleh menafikannya lagi.
Shizukaz Sue, entri kali ni semakin hot.
Suka suka!!! Mana Asmara?
pandan muka hazriq geramnya saya.
Anonymous: tQ so muchy much kerana selalu memberikan saya dorongan...=) touching!
Seri Ayu: TQ akak...amboiiii bernas sungguh komen akak ye...semangat saya nk sambung ni..hehe
Anonymous: Hero selalu dtg lambat kan? adess hehe
Baby Mio: sabar..hazriq mmg menggeramkan semua pembaca nmpaknnya..heee
Post a Comment