“Baik-baik
tinggal bersama ni. Jangan gaduh-gaduh. Kalau ada masalah selesai dengan cara
baik.” Mama memberikan pesanan terakhir sebelum pulang.
“Insyaallah ma. Jangan risau.” Aku
memeluk lengan mama manja. Aku juga agak sedih kerana entah bila dapat berjumpa
dengan mama dan papa. Rumah mereka pun aku belum pernah menjejakkan kaki ke
sana. Kalau Hadif ingin membawa aku pulang ke rumah mama dan papa aku pasti
akan berbesar hati.
“Hadif jaga Aida elok-elok. Jangan
abaikan tanggungjawab sebagai suami walaupun kamu masih belajar. Aida pun jaga
suami ye.” Papa menepuk bahu Hadif berkali-kali dan tersenyum padaku. Papa
masih kelihatan tampan walaupun sudah separuh abad umurnya. Tentu Hadif dah tua
nanti rupa lebih kurang dengan papa.
“Baik pa. Hadif janji jadi suami
yang baik dan bertanggungjawab.” Hadif bersalaman dengan papa sebelum mendekati
mama pula. Kemudian Hadif mencium pipi mamanya penuh kasih sayang. Sejuk hati
aku melihat anak lelaki yang menghormati orang tuanya. Satu markah untuk Hadif.
Kedekutnya aku!
Namun hati aku turut terharu
mendengar janji Hadif kepada papa. Hadif memang seorang lelaki yang baik. Aku
tidak ragu terhadap itu sejak cuba mendekatinya sebagai seorang kawan. Tetapi
kadangkala sikapnya agak memeningkan terutama apabila dia marah-marah. Kalau
dia adik aku memang dah lama aku ketuk kepala dia!
“Kami dah kena masuk ni. Cuti jangan
lupa datang rumah mama kat Jakarta.” Mama menghulurkan tangan untuk kucium. Kemudian
kami berpeluk seketika. Mama mengusap belakangku perlahan.
“Baik ma. Jaga diri.” Aku berbisik pada
mama perlahan. Ada sendu di dalam nada suaraku saat ini. Walaupun ini kali
ketiga aku berjumpa dengannya selain daripada ke butik pengantin dan hari akad
nikah, aku sememangnya telah jatuh sayang kepada mertuaku.
Kemudian aku melihat Hadif pula
memeluk mama manakala aku bersalaman dengan papa. Akhirnya kami melambai mama
dan papa sebelum mereka masuk ke balai berlepas. Setelah tiga hari mama dan
papa bertandang ke rumah, mereka perlu balik kerana papa mempunyai urusan yang
perlu diselesaikan. Walaupun mereka sebenarnya ingin tinggal untuk beberapa
hari lagi bersama kami.
“Jom sayang.” Hadif menarik lembut
tanganku. Aku tak salah dengar kan? Mama dan papa dah jauh. Tak perlulah kau
berlakon lagi Hadif.
Tetapi hati aku aje berkata begitu.
Fizikalnya aku segera mengangguk dan menuruti langkahnya. Kami berjalan
beriringan menuju ke tempat meletak kenderaan dengan masih berpegangan tangan.
Aku tersenyum sendiri apabila pandangan mataku jatuh pada tangan kami yang
bertaut erat. Getaran di dada sudah tidak aku hiraukan lagi. Tetapi aku lebih
mengulit rasa tunas bahagia yang semakin bertandang.
“Kenapa senyum seorang-seorang?”
Tiba-tiba Hadif menoleh kearahku seraya memberhentikan langkah. Aku yang tidak
sempat berhenti terlanggar badan Hadif. Aroma wangian yang dipakainya menusuk
kuat ke hidungku. Aku segera mendongak dan melihat mata Hadif yang redup itu.
Namun tindakan Hadif melepaskan tanganku dan terus melangkah pergi membuatkan
aku terpinga-pinga. Baru aje nak layan feeling
Hadif dah rosakkan mood.
“Nak balik atau awak nak tidur
sini?” Hadif yang sudah meninggalkan aku beberapa langkah menoleh lagi. Dahinya
dikerutkan melihat aku hanya berdiri terpacak disitu tidak bergerak.
Aku mengeluh lemah kemudian terus
mengatur langkah mengikuti Hadif dari belakang. Tak layak rasanya untuk
berjalan seiringan di sisi Hadif. Dia pun agaknya tak suka nak berjalan dengan
aku. Mataku kini tertumpu pada susuk tubuh Hadif dari belakang. Aku mengikuti langkahnya yang agak laju dengan anak mata kerana bimbang akan kehilangan
jejaknya. Maklumlah orang ramai di sekeliling membuatkan semua orang nampak
sama aje. Dah macam semut.
Tiba-tiba aku terasa tubuhku
dilanggar oleh seseorang. Beg tangan yang kusangkut dibahu melorot jatuh hingga
ke paras lengan sempat aku tarik pantas. Kemudian kedua bahuku dipegang oleh
seorang lelaki yang tidak dikenali. Aku sekadar memandang tanpa reaksi.
“Awak tak apa-apa? Maaf saya tak
sengaja. Sakit ke?” Lelaki itu bertanya cemas. Dasar lelaki! Kalau langgar
perempuan cemas bukan main lagi. Tapi kalau terlanggar kaum sejenis tentu dia
tidak kisah.
Tangannya yang memegang bahuku
melorot pula ke lengan untuk melihat kesan langgarannya tadi. Aku yang memakai
baju berlengan pendek berasa tidak selesa dipegang begitu. Belum sempat aku
menarik tanganku dari dibelek oleh lelaki yang berusia dalam pertengahan dua
puluhan itu, tanganku telah ditarik dari arah tepi. Aku menoleh dan sedikit
terkejut. Hadif merenung wajahku tajam. Namun tanganku telah digenggam kemas
olehnya.
“Maaf, aku terlanggar awek lu lah bro!” Lelaki tadi kelihatan serba salah melihatkan Hadif yang
memandang tajam kepada kami berdua.
“Dia isteri aku. Lain kali jalan
hati-hati bro.” Hadif berkata tegas.
Lelaki dihadapan kami hanya tersengih sambil menaikkan dua jari tanda peace.
Kemudian Hadif menarik tanganku
untuk beredar dari situ. Setelah beberapa langkah Hadif melepaskan tangan aku
tetapi pinggangku pula dirangkul kemas. Apabila berselisih dengan sekumpulan
orang ramai dia menjadi pelindung agar tubuhku tidak dilanggar lagi. Aku
sekadar mengikuti rentaknya agar tidak terlepas dari rangkulan.
“Boleh jalan cepat sikit tak?” Soal
Hadif sambil menjeling kepadaku. Pinggangku yang telah dipeluk kemas semakin
didekatkan ke tubuhnya.
Aku mengetap bibir. “Macam mana nak
cepat kalau jalan berkepit macam ni?” Aku mengeluh perlahan. Tangan Hadif yang
melingkar di pinggangku di longgarkan sedikit.
Kami berjalan agak pantas melalui
kawasan yang sesak dan akhirnya sampai di tempat meletak kenderaan. Aku
memperlahankan sedikit langkah kerana terasa mengah akibat berjalan laju.
Lagipun kawasan parkir kereta ini tidak terlalu ramai orang seperti di dalam
tadi. Aku merungkai lengan Hadif agar tidak lagi memeluk pinggangku. Hadif
berhenti dan aku turut sama berhenti. Aku menaikkan keningku sedikit apabila
menoleh kearahnya.
“Kenapa?” Soalku polos. Aku sekadar
memerhati wajahnya yang belum menunjukkan sebarang reaksi.
“Kenapa tolak tangan saya?” Soalanku
dibalas dengan soalan juga oleh Hadif. Walaupun aku masih belum menjawab
soalannya Hadif memaut semula pinggangku agar rapat dengan dirinya. Dada aku
berombak kencang apabila tubuh kami berdekatan. Mungkin kerana saat
ini suasana lebih tenang berbanding hiruk-pikuk di dalam. Sempat juga nak berdebar-debar.
“Kat sini dah tak ramai orang kan.”
Jawabku jujur. Sememangnya aku rasa tidak perlu kami berjalan berpelukan begitu
apabila tiada lagi suasana yang sesak dengan manusia. Kami bukannya pasangan
kekasih pun, tingkahku di dalam hati.
“Sukalah kalau lelaki lain yang
pegang-pegang? Saya ni halal untuk awak tak kira tempat ramai orang ke, tak
ramai orang ke faham?! Saya boleh pegang bila-bila masa saya nak.” Hadif
menarik aku untuk terus berjalan sehingga kami sampai ke kereta.
Satu tangan Hadif menyeluk poket
seluar jeans mengeluarkan kunci
kereta manakala satu tangan lagi masih tidak lepas memeluk aku. Bilalah dia nak
lepaskan aku ni? Terasa lenguh pinggang aku berjalan mengikut rentak dia.
Sudahlah dia lebih tinggi daripada aku. Pastinya langkah kaki kami tidak sekata
kerana aku perlu melangkah lebih banyak daripada Hadif.
Setelah kunci kereta ditekan, Hadif
melepaskan tangannya. Kemudian aku terus berlalu membuka pintu dan membolos
masuk ke dalam perut kereta. Aku menarik tali pinggang keledar dan memakainya
di badan. Hadif yang sudah duduk di kerusi pemandu sekadar memerhatikan
gerak-geri aku.
“Status isteri orang bermakna awak
tak boleh disentuh oleh lelaki lain selain suami awak. Takkan itu pun awak tak
belajar?” Hadif bersuara memecahkan suasana. Matanya yang semakin tajam
memandang aku boleh membelah hati aku menjadi dua! Aku hanya tertunduk
bermain-main dengan tali beg tangan di atas riba. Tidak mampu menjawab.
Tangan aku dipegang kemas oleh Hadif
serta-merta memberhentikan pergerakan jari yang melilit tali beg tangan.
Nampaknya Hadif benar-benar mahu menuntut jawapan.
“Dia tak sengaja. Lelaki tadi
terlanggar saya, jadi dia tanya tangan saya sakit ke tak. Itu aje.” Aku
menjawab perlahan tetapi masih tidak berani menatap mata Hadif. Manalah aku
pernah bercinta dengan lelaki segarang ini? Dahulu sewaktu Adli dengan aku,
sudah tentu aku ketua dalam hubungan kami. Apabila bersama Hadif mati kutu aku
dibuatnya!
“Membela lelaki lain dihadapan suami
juga merupakan satu kesalahan.” Hadif bersuara tegas. Aku menelan liur. Kalau
macam tu, baik aku tak payah jawab apa-apa. Nak bertikam lidah sampai tahun
depan pun belum tentu ada pemenangnya.
“Lepas ni hati-hati. Jangan sesuka
hati biarkan mana-mana lelaki pegang awak. Faham apa saya cakap ni?” Hadif
menggoncang sedikit tangannya yang berada di atas tanganku.
Aku mengangguk perlahan dan membuang
pandang ke cermin sisi. Kenapa pula soal ini perlu Hadif perbesarkan? Terang
dan nyata kejadian tadi tidak disengajakan. Malah bukan silap aku sama sekali.
Lelaki tadi yang langgar aku, nampaknya aku pula yang menanggung akibatnya
sekarang iaitu terpaksa berhadapan dengan angin Hadif. Bibirku ketap menahan
geram.
Hadif menghidupkan enjin kereta dan
kereta mula bergerak untuk keluar dari sini. Aku bersandar dan cuba memejamkan
mata. Dalam keadaan tegang sebegini tiada apa yang hendak diborakkan dengan
Hadif. Lebih baik aku tutup mata cuba untuk tidur. Dapat tidur sekejap pun
jadilah untuk meredakan stress.
“Aida,
bangun! Kita dah sampai rumah.” Hadif menggoncang bahuku lembut. Dengan
perasaan malas aku membuka mata perlahan. Kemudian tangan aku naikkan sedikit
untuk mengeliat. Aku menoleh ke sebelah kanan kelihatan Hadif menggelengkan
kepalanya kepada aku. Namun aku hanya tersengih macam kerang busuk.
Aku bingkas membuka pintu kereta dan
melangkah masuk ke dalam rumah. Apabila masuk ke dalam bilik, katil yang kelihatan
empuk itu seperti menggamit aku. Maklumlah sejak aku duduk dirumah ni aku hanya
tidur di atas karpet bulu tanpa bertilam. Sakit-sakit juga tulang belakang aku
ni. Aku meletakkan beg tangan di atas meja belajar. Belum sempat aku berbaring
di atas katil, Hadif terlebih dahulu menghempaskan dirinya kesitu. Aku menarik
muka masam tanda kecewa.
Kemudian aku mengambil bantal dan
terus berbaring di atas karpet bulu. Nampaknya aku kena redha ajelah tidur atas
karpet ni. Agaknya kalau sebulan duduk sini boleh bengkok tulang belakang aku
tidur di bawah. Aku berpusing ke kiri, tidak selesa. Aku berpusing ke kanan
juga tidak selesa. Kemudian aku mengambil bantal di kepala untuk menekup muka
pula.
“Awak ni kenapa? Tidurlah elok-elok
pakai bantal.” Hadif membalingkan satu lagi bantal ke bawah. Ah, aku tak mahu
bantal! Aku mahu tilam….rintih hatiku sayu. Ikutkan hati mahu sahaja aku
mengadu pada mak yang Hadif mendera aku sampai tulang aku sakit.
“Mama dan papa dah balik. Saya ingat
sekejap lagi saya nak balik duduk kat kolej.” Tiba-tiba lain yang dirancang,
lain pula yang keluar dimulut. Semuanya berpunca dari rasa tidak selesa yang
sungguh menjerat perasaan aku sekarang.
Hadif bingkas bangun dan duduk
memandang aku dari atas. Bantal yang berada di atas mukaku diangkatnya. Aku
tersenyum tawar memandang wajahnya yang kelat itu. Kalau kau jadi buah tentu
kau tak laku Hadif. Kelat memanjang!
“Siapa kata awak boleh keluar dari
rumah ni?” Soalan Hadif membuatkan air liur tersekat dikerongkongku. Aku
menepuk dada beberapa kali seperti orang tercekik semasa makan.
“Setahu saya kita kena tinggal
bersama sebab mama dan papa nak datang. Lepas mereka balik saya rasa hidup kita
kembali normal macam dulu lah.” Balasku setelah mendapat sedikit kekuatan. Aku
menggaru kepala yang tidak gatal.
“Kita tak akan hidup normal macam
dulu sebab sekarang kita suami isteri. Dan hidup normal bagi suami isteri ialah
tinggal bersama.” Hadif bersuara lembut tetapi tetap ada nilai ketegasannya.
Dia menaikkan sedikit keningnya melihat aku yang masih berbaring dengan wajah
kerut seribu.
“Dulu lepas nikah boleh aje saya
duduk kat kolej. Saya rasa lagi mudah saya duduk sana aje.” Aku masih mahu
mencuba nasib. Memang tak logik kenyataan Hadif sebentar tadi. Dia nak kami
tinggal bersama? Tapi sampai bila? Untuk apa? Sesi lakonan kami selama tiga
hari telah pun tamat.
“Masa tu saya pun tak tahu siapa
isteri saya, sebab ada orang tu menipu! Macam mana nak ajak tinggal bersama
kalau rupa pun tak nak tunjuk? Kalau nak hidup mudah, lebih baik dari dulu awak
cakap tak setuju aje nak kahwin. Sekarang tanggungjawab awak kena jaga makan
pakai saya, jaga rumah ni, semua urusan rumahtangga awak kena buat.” Hadif
menjawab dengan wajah yang serius. Tiada sedikit pun riak mesra yang
ditonjolkannya. Macam tu ke caranya ajak isteri tinggal bersama? Makan hati
berulam jantunglah aku gamaknya dengan sikap Hadif.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Otak
aku cuba memproses sejenak maklumat yang keluar dari mulut Hadif. Nampaknya
tanggungjawab aku mulai hari ini sangat berat. Selain menjadi mahasiswi aku
juga perlu menjaga makan pakai Hadif, menjaga rumah dan menguruskan hal
rumahtangga. Mampu ke aku lakukan? Silap-silap aku kena ngap dengan si Hadif ni! Apatah lagi kami tinggal berdua aje.
“Awak perlu menjalankan
tanggungjawab mulai hari ini. Malam nanti masak makan malam, lepas tu gosok
pakaian untuk saya ke kuliah esok. Kerja-kerja basuh baju semua hujung minggu, hari cuti awak boleh buat. Tapi sebelum awak keluar pergi kuliah pastikan rumah
kena bersih dan kemas, tolong sapu sampah setiap pagi dan mop dua hari sekali.”
Lancar dan tenang sahaja Hadif memberikan arahan seperti aku ini bibik yang
baru datang dari negara seberang.
“Saya nak cakap sikit boleh?” Aku
bertanya dengan rasa ragu-ragu. Kemudian aku bangun dari berbaring dan duduk di
atas karpet.
“Hmm,” Jawab Hadif sepatah. Dia
mengerutkan dahi sementara menunggu aku meneruskan kata.
Aku tersengih. “Sebenarnya saya tak
biasa tidur bawah. Badan saya sakit-sakitlah. Boleh ke saya tidur atas katil
mulai malam ni?” Aku terasa malu pula berkata begitu. Tetapi jika aku pendam
pun tiada gunanya. Lebih baik aku luahkan aje.
Hadif tergelak kecil sambil
memerhati seraut wajah milikku. “Kalau awak tidur atas katil, saya nak tidur
mana?” Hadif masih tersenyum lebar. Kalau macam ni selalu kan bagus. Tidaklah
aku rasa tertekan aje duduk kat rumah ni.
“Er…erm…macam tu saya tidur bilik
belakang ajelah ye. Bilik yang mama dan papa gunakan hari tu pun ada katil
jugak.” Aku menjawab teragak-agak. Tetapi aku berharap Hadif akan memberi
keizinan atas cadangan aku.
“Tak apalah. Awak tidur bilik ni,
saya ambil bilik belakang tu. Nanti saya pindahkan barang-barang saya tapi meja
belajar saya biar kat sini. Belajar ada teman seronok sikit dari belajar
seorang-seorang. Boleh?” Hadif tersenyum manis. Aku menikmati senyuman yang
terukir sepuasnya kerana entah bila dia akan tersenyum lagi pada aku. Wajah
serius atau kelat memang selalu aku dapat.
Aku mengangguk. “Terpulanglah. Saya
ikut aje.” Jawabku dengan senang hati. Aku menarik nafas lega kerana saat ini
aku dapat berbincang secara aman dengan Hadif. Selalunya tiada istilah
berbincang antara kami kerana setiap perbincangan akan berakhir dengan
pergaduhan.
Hadif bingkas bangun dan menuju ke
bilik air. Tidak lama kemudian dia sudah mula memindahkan kain bajunya ke bilik
belakang. Aku turut membantu mengangkat apa-apa yang patut dan termampu untuk
aku lakukan. Dalam masa satu jam bilik belakang dapat disiapkan menjadi bilik
rasmi Hadif mulai hari ini. Kalau mama dan papa datang lain kali, tentu jenuh
juga kami terpaksa memindahkan semula kepada keadaan asal.
Tetapi yang penting,
malam ini aku akan tidur di atas katil dengan gembiranya! ^_*
17 comments:
Salam, nampaknya Hadiff dan mula nak bertolak ansur dengan Aida, walaupun nampak macam Aida kena buli dengan kerja rumah tapi ni adalah peluang untuk dapatkan cinta Hadiff..
alahai, kena tidur bilik asing2 lah pulak...
waaaa suka giler entry ni kak..
ade bunga2 cinta gitu..
kan bagus hadif cakap baik2...
aarr sy pon dah tersenyum sendiri dah ni...hahahaha :)
Seri Puteri: Betul..peluang jgn dilepaskan hehe
Shafriza: take time kak..hihi naya je kalau kena paksa kuang2x
Azian: Sabar ye..nanti dorang jatuh cinta la tu =)
hati saya bunga2 bila baca bab kali ni hehe, sukaaa :) hadif mula blembut dah tu :D
Nurul: harap lembut la kan..hehe
Alah dia orang tidur asing-asing sebab masing-masing malu jer...tapi study still sama-sama kat bilik Aidakan
Seri Ayu: yup! pandai Seri ayu..hihi =)
hadif da mule syg kat aida ke?
Kak Sue...cite nie ada brpa episode/bab?
Eunhae Diela: hihi dah bunga2 la tu..
Anonymous: ni baru separuh la dik..
huhuhu...wahhhh..akak...sukanya....hadif dah baik ckit ngan aida....wahhhh.......suka2...heheheheh.....lpas ni msti hadif lagi jatuh cinta terus + syang sgt kat aida...hehehe
hhuhu..lupa lak kan..hadif 2 saje je nk blaja skali kat bilik 2...sbb nk tgk aida jerw..hheheheh....
Khadijah: eheh tau xpe..
salam dik..E3 yg sungguh teruja bila akak membacanya..
Yes..nampaknya perhubungan mereka ini nampak telah maju setapak lagi..dan..Hadiff akak rasa sdg mencuba untuk mengubah hidupnya untuk menerima kenyataan yg dia sudah berkawen dan mempunyai isteri..suka atau tidak dengan perkawenan nya itu walaupun atas dasar pilihan keluarga dia kena menggalas tanggung jawab sebagai seorg suami dan ketua keluarga..
Akak dapat rasakan sudah ada bimbit bimbit sayang Hadiff dan cemburu pada Aida dengan perlakuannya semasa di airport bila isterinya dilanggar tanpa sengaja oleh jejaka yg cuba mencari kesempatan keatas diri isterinya..
Akak tergelak bila dia bagi takzirah kat Aida..berkenaan dengan status dan tingkah laku seorg isteri semasa didalam kereta sedangkan mamat poyo tu tau bukan Aida yg pergi mengurat lelaki itu.Mungkin hendak memberitau Aida secara advance ..yg dia adalah suaminya dan jgn cuba hendak bermain cinta atau berkawan dengan lelaki lain dan dia tidak suka isterinya lepas laku..
Part yg mmg akak suka..bila Hadiff tidak membenarkan Aida keluar dari rumah itu dan menyuruh dia melalkukan tanggung jawab dia sebagai surinya..
Teruja pulak akak nak tahu.. apa pulak reaksi Aida bila Hadiff berjumpa dengan mak wenya si Zati tu..sedangkan dia Hadiff telah meletakkan peraturan agar dia tidak boleh berkawan dengan lelaki lain..dan apa pulak tindakan minah tu bila dia mendapat tahu yg hadiff masih berhubungan dengan Zati..
Ida: tQ kak..hihi komen2 akak selalunya memang mabeles! muah2...
hehehe..terbaik lah...mcm mane la akhirnya tajuk ni..
Post a Comment