Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, October 4, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 27


        “Baik-baik tinggal bersama ni. Jangan gaduh-gaduh. Kalau ada masalah selesai dengan cara baik.” Mama memberikan pesanan terakhir sebelum pulang.

            “Insyaallah ma. Jangan risau.” Aku memeluk lengan mama manja. Aku juga agak sedih kerana entah bila dapat berjumpa dengan mama dan papa. Rumah mereka pun aku belum pernah menjejakkan kaki ke sana. Kalau Hadif ingin membawa aku pulang ke rumah mama dan papa aku pasti akan berbesar hati.

            “Hadif jaga Aida elok-elok. Jangan abaikan tanggungjawab sebagai suami walaupun kamu masih belajar. Aida pun jaga suami ye.” Papa menepuk bahu Hadif berkali-kali dan tersenyum padaku. Papa masih kelihatan tampan walaupun sudah separuh abad umurnya. Tentu Hadif dah tua nanti rupa lebih kurang dengan papa.

            “Baik pa. Hadif janji jadi suami yang baik dan bertanggungjawab.” Hadif bersalaman dengan papa sebelum mendekati mama pula. Kemudian Hadif mencium pipi mamanya penuh kasih sayang. Sejuk hati aku melihat anak lelaki yang menghormati orang tuanya. Satu markah untuk Hadif. Kedekutnya aku!

            Namun hati aku turut terharu mendengar janji Hadif kepada papa. Hadif memang seorang lelaki yang baik. Aku tidak ragu terhadap itu sejak cuba mendekatinya sebagai seorang kawan. Tetapi kadangkala sikapnya agak memeningkan terutama apabila dia marah-marah. Kalau dia adik aku memang dah lama aku ketuk kepala dia!

            “Kami dah kena masuk ni. Cuti jangan lupa datang rumah mama kat Jakarta.” Mama menghulurkan tangan untuk kucium. Kemudian kami berpeluk seketika. Mama mengusap belakangku perlahan.

            “Baik ma. Jaga diri.” Aku berbisik pada mama perlahan. Ada sendu di dalam nada suaraku saat ini. Walaupun ini kali ketiga aku berjumpa dengannya selain daripada ke butik pengantin dan hari akad nikah, aku sememangnya telah jatuh sayang kepada mertuaku.

            Kemudian aku melihat Hadif pula memeluk mama manakala aku bersalaman dengan papa. Akhirnya kami melambai mama dan papa sebelum mereka masuk ke balai berlepas. Setelah tiga hari mama dan papa bertandang ke rumah, mereka perlu balik kerana papa mempunyai urusan yang perlu diselesaikan. Walaupun mereka sebenarnya ingin tinggal untuk beberapa hari lagi bersama kami.

            “Jom sayang.” Hadif menarik lembut tanganku. Aku tak salah dengar kan? Mama dan papa dah jauh. Tak perlulah kau berlakon lagi Hadif.

            Tetapi hati aku aje berkata begitu. Fizikalnya aku segera mengangguk dan menuruti langkahnya. Kami berjalan beriringan menuju ke tempat meletak kenderaan dengan masih berpegangan tangan. Aku tersenyum sendiri apabila pandangan mataku jatuh pada tangan kami yang bertaut erat. Getaran di dada sudah tidak aku hiraukan lagi. Tetapi aku lebih mengulit rasa tunas bahagia yang semakin bertandang.

            “Kenapa senyum seorang-seorang?” Tiba-tiba Hadif menoleh kearahku seraya memberhentikan langkah. Aku yang tidak sempat berhenti terlanggar badan Hadif. Aroma wangian yang dipakainya menusuk kuat ke hidungku. Aku segera mendongak dan melihat mata Hadif yang redup itu. Namun tindakan Hadif melepaskan tanganku dan terus melangkah pergi membuatkan aku terpinga-pinga. Baru aje nak layan feeling Hadif dah rosakkan mood.

            “Nak balik atau awak nak tidur sini?” Hadif yang sudah meninggalkan aku beberapa langkah menoleh lagi. Dahinya dikerutkan melihat aku hanya berdiri terpacak disitu tidak bergerak.

            Aku mengeluh lemah kemudian terus mengatur langkah mengikuti Hadif dari belakang. Tak layak rasanya untuk berjalan seiringan di sisi Hadif. Dia pun agaknya tak suka nak berjalan dengan aku. Mataku kini tertumpu pada susuk tubuh Hadif dari belakang. Aku mengikuti langkahnya yang agak laju dengan anak mata kerana bimbang akan kehilangan jejaknya. Maklumlah orang ramai di sekeliling membuatkan semua orang nampak sama aje. Dah macam semut.

            Tiba-tiba aku terasa tubuhku dilanggar oleh seseorang. Beg tangan yang kusangkut dibahu melorot jatuh hingga ke paras lengan sempat aku tarik pantas. Kemudian kedua bahuku dipegang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Aku sekadar memandang tanpa reaksi.

            “Awak tak apa-apa? Maaf saya tak sengaja. Sakit ke?” Lelaki itu bertanya cemas. Dasar lelaki! Kalau langgar perempuan cemas bukan main lagi. Tapi kalau terlanggar kaum sejenis tentu dia tidak kisah.

            Tangannya yang memegang bahuku melorot pula ke lengan untuk melihat kesan langgarannya tadi. Aku yang memakai baju berlengan pendek berasa tidak selesa dipegang begitu. Belum sempat aku menarik tanganku dari dibelek oleh lelaki yang berusia dalam pertengahan dua puluhan itu, tanganku telah ditarik dari arah tepi. Aku menoleh dan sedikit terkejut. Hadif merenung wajahku tajam. Namun tanganku telah digenggam kemas olehnya.

            “Maaf, aku terlanggar awek lu lah bro!” Lelaki tadi kelihatan serba salah melihatkan Hadif yang memandang tajam kepada kami berdua.

            “Dia isteri aku. Lain kali jalan hati-hati bro.” Hadif berkata tegas. Lelaki dihadapan kami hanya tersengih sambil menaikkan dua jari tanda peace.

            Kemudian Hadif menarik tanganku untuk beredar dari situ. Setelah beberapa langkah Hadif melepaskan tangan aku tetapi pinggangku pula dirangkul kemas. Apabila berselisih dengan sekumpulan orang ramai dia menjadi pelindung agar tubuhku tidak dilanggar lagi. Aku sekadar mengikuti rentaknya agar tidak terlepas dari rangkulan.

            “Boleh jalan cepat sikit tak?” Soal Hadif sambil menjeling kepadaku. Pinggangku yang telah dipeluk kemas semakin didekatkan ke tubuhnya.

            Aku mengetap bibir. “Macam mana nak cepat kalau jalan berkepit macam ni?” Aku mengeluh perlahan. Tangan Hadif yang melingkar di pinggangku di longgarkan sedikit.

            Kami berjalan agak pantas melalui kawasan yang sesak dan akhirnya sampai di tempat meletak kenderaan. Aku memperlahankan sedikit langkah kerana terasa mengah akibat berjalan laju. Lagipun kawasan parkir kereta ini tidak terlalu ramai orang seperti di dalam tadi. Aku merungkai lengan Hadif agar tidak lagi memeluk pinggangku. Hadif berhenti dan aku turut sama berhenti. Aku menaikkan keningku sedikit apabila menoleh kearahnya.

            “Kenapa?” Soalku polos. Aku sekadar memerhati wajahnya yang belum menunjukkan sebarang reaksi.

            “Kenapa tolak tangan saya?” Soalanku dibalas dengan soalan juga oleh Hadif. Walaupun aku masih belum menjawab soalannya Hadif memaut semula pinggangku agar rapat dengan dirinya. Dada aku berombak kencang apabila tubuh kami berdekatan. Mungkin kerana saat ini suasana lebih tenang berbanding hiruk-pikuk di dalam. Sempat juga nak berdebar-debar.

            “Kat sini dah tak ramai orang kan.” Jawabku jujur. Sememangnya aku rasa tidak perlu kami berjalan berpelukan begitu apabila tiada lagi suasana yang sesak dengan manusia. Kami bukannya pasangan kekasih pun, tingkahku di dalam hati.

            “Sukalah kalau lelaki lain yang pegang-pegang? Saya ni halal untuk awak tak kira tempat ramai orang ke, tak ramai orang ke faham?! Saya boleh pegang bila-bila masa saya nak.” Hadif menarik aku untuk terus berjalan sehingga kami sampai ke kereta.

            Satu tangan Hadif menyeluk poket seluar jeans mengeluarkan kunci kereta manakala satu tangan lagi masih tidak lepas memeluk aku. Bilalah dia nak lepaskan aku ni? Terasa lenguh pinggang aku berjalan mengikut rentak dia. Sudahlah dia lebih tinggi daripada aku. Pastinya langkah kaki kami tidak sekata kerana aku perlu melangkah lebih banyak daripada Hadif.

            Setelah kunci kereta ditekan, Hadif melepaskan tangannya. Kemudian aku terus berlalu membuka pintu dan membolos masuk ke dalam perut kereta. Aku menarik tali pinggang keledar dan memakainya di badan. Hadif yang sudah duduk di kerusi pemandu sekadar memerhatikan gerak-geri aku.

            “Status isteri orang bermakna awak tak boleh disentuh oleh lelaki lain selain suami awak. Takkan itu pun awak tak belajar?” Hadif bersuara memecahkan suasana. Matanya yang semakin tajam memandang aku boleh membelah hati aku menjadi dua! Aku hanya tertunduk bermain-main dengan tali beg tangan di atas riba. Tidak mampu menjawab.

            Tangan aku dipegang kemas oleh Hadif serta-merta memberhentikan pergerakan jari yang melilit tali beg tangan. Nampaknya Hadif benar-benar mahu menuntut jawapan.

            “Dia tak sengaja. Lelaki tadi terlanggar saya, jadi dia tanya tangan saya sakit ke tak. Itu aje.” Aku menjawab perlahan tetapi masih tidak berani menatap mata Hadif. Manalah aku pernah bercinta dengan lelaki segarang ini? Dahulu sewaktu Adli dengan aku, sudah tentu aku ketua dalam hubungan kami. Apabila bersama Hadif mati kutu aku dibuatnya!

            “Membela lelaki lain dihadapan suami juga merupakan satu kesalahan.” Hadif bersuara tegas. Aku menelan liur. Kalau macam tu, baik aku tak payah jawab apa-apa. Nak bertikam lidah sampai tahun depan pun belum tentu ada pemenangnya.

            “Lepas ni hati-hati. Jangan sesuka hati biarkan mana-mana lelaki pegang awak. Faham apa saya cakap ni?” Hadif menggoncang sedikit tangannya yang berada di atas tanganku.

            Aku mengangguk perlahan dan membuang pandang ke cermin sisi. Kenapa pula soal ini perlu Hadif perbesarkan? Terang dan nyata kejadian tadi tidak disengajakan. Malah bukan silap aku sama sekali. Lelaki tadi yang langgar aku, nampaknya aku pula yang menanggung akibatnya sekarang iaitu terpaksa berhadapan dengan angin Hadif. Bibirku ketap menahan geram.

            Hadif menghidupkan enjin kereta dan kereta mula bergerak untuk keluar dari sini. Aku bersandar dan cuba memejamkan mata. Dalam keadaan tegang sebegini tiada apa yang hendak diborakkan dengan Hadif. Lebih baik aku tutup mata cuba untuk tidur. Dapat tidur sekejap pun jadilah untuk meredakan stress.
           



“Aida, bangun! Kita dah sampai rumah.” Hadif menggoncang bahuku lembut. Dengan perasaan malas aku membuka mata perlahan. Kemudian tangan aku naikkan sedikit untuk mengeliat. Aku menoleh ke sebelah kanan kelihatan Hadif menggelengkan kepalanya kepada aku. Namun aku hanya tersengih macam kerang busuk.

            Aku bingkas membuka pintu kereta dan melangkah masuk ke dalam rumah. Apabila masuk ke dalam bilik, katil yang kelihatan empuk itu seperti menggamit aku. Maklumlah sejak aku duduk dirumah ni aku hanya tidur di atas karpet bulu tanpa bertilam. Sakit-sakit juga tulang belakang aku ni. Aku meletakkan beg tangan di atas meja belajar. Belum sempat aku berbaring di atas katil, Hadif terlebih dahulu menghempaskan dirinya kesitu. Aku menarik muka masam tanda kecewa.

            Kemudian aku mengambil bantal dan terus berbaring di atas karpet bulu. Nampaknya aku kena redha ajelah tidur atas karpet ni. Agaknya kalau sebulan duduk sini boleh bengkok tulang belakang aku tidur di bawah. Aku berpusing ke kiri, tidak selesa. Aku berpusing ke kanan juga tidak selesa. Kemudian aku mengambil bantal di kepala untuk menekup muka pula.

            “Awak ni kenapa? Tidurlah elok-elok pakai bantal.” Hadif membalingkan satu lagi bantal ke bawah. Ah, aku tak mahu bantal! Aku mahu tilam….rintih hatiku sayu. Ikutkan hati mahu sahaja aku mengadu pada mak yang Hadif mendera aku sampai tulang aku sakit.

            “Mama dan papa dah balik. Saya ingat sekejap lagi saya nak balik duduk kat kolej.” Tiba-tiba lain yang dirancang, lain pula yang keluar dimulut. Semuanya berpunca dari rasa tidak selesa yang sungguh menjerat perasaan aku sekarang.

            Hadif bingkas bangun dan duduk memandang aku dari atas. Bantal yang berada di atas mukaku diangkatnya. Aku tersenyum tawar memandang wajahnya yang kelat itu. Kalau kau jadi buah tentu kau tak laku Hadif. Kelat memanjang!

            “Siapa kata awak boleh keluar dari rumah ni?” Soalan Hadif membuatkan air liur tersekat dikerongkongku. Aku menepuk dada beberapa kali seperti orang tercekik semasa makan.

            “Setahu saya kita kena tinggal bersama sebab mama dan papa nak datang. Lepas mereka balik saya rasa hidup kita kembali normal macam dulu lah.” Balasku setelah mendapat sedikit kekuatan. Aku menggaru kepala yang tidak gatal.

            “Kita tak akan hidup normal macam dulu sebab sekarang kita suami isteri. Dan hidup normal bagi suami isteri ialah tinggal bersama.” Hadif bersuara lembut tetapi tetap ada nilai ketegasannya. Dia menaikkan sedikit keningnya melihat aku yang masih berbaring dengan wajah kerut seribu.

            “Dulu lepas nikah boleh aje saya duduk kat kolej. Saya rasa lagi mudah saya duduk sana aje.” Aku masih mahu mencuba nasib. Memang tak logik kenyataan Hadif sebentar tadi. Dia nak kami tinggal bersama? Tapi sampai bila? Untuk apa? Sesi lakonan kami selama tiga hari telah pun tamat.

            “Masa tu saya pun tak tahu siapa isteri saya, sebab ada orang tu menipu! Macam mana nak ajak tinggal bersama kalau rupa pun tak nak tunjuk? Kalau nak hidup mudah, lebih baik dari dulu awak cakap tak setuju aje nak kahwin. Sekarang tanggungjawab awak kena jaga makan pakai saya, jaga rumah ni, semua urusan rumahtangga awak kena buat.” Hadif menjawab dengan wajah yang serius. Tiada sedikit pun riak mesra yang ditonjolkannya. Macam tu ke caranya ajak isteri tinggal bersama? Makan hati berulam jantunglah aku gamaknya dengan sikap Hadif.

            Aku menarik nafas dalam-dalam. Otak aku cuba memproses sejenak maklumat yang keluar dari mulut Hadif. Nampaknya tanggungjawab aku mulai hari ini sangat berat. Selain menjadi mahasiswi aku juga perlu menjaga makan pakai Hadif, menjaga rumah dan menguruskan hal rumahtangga. Mampu ke aku lakukan? Silap-silap aku kena ngap dengan si Hadif ni! Apatah lagi kami tinggal berdua aje.

            “Awak perlu menjalankan tanggungjawab mulai hari ini. Malam nanti masak makan malam, lepas tu gosok pakaian untuk saya ke kuliah esok. Kerja-kerja basuh baju semua hujung minggu, hari cuti awak boleh buat. Tapi sebelum awak keluar pergi kuliah pastikan rumah kena bersih dan kemas, tolong sapu sampah setiap pagi dan mop dua hari sekali.” Lancar dan tenang sahaja Hadif memberikan arahan seperti aku ini bibik yang baru datang dari negara seberang.

            “Saya nak cakap sikit boleh?” Aku bertanya dengan rasa ragu-ragu. Kemudian aku bangun dari berbaring dan duduk di atas karpet.

              “Hmm,” Jawab Hadif sepatah. Dia mengerutkan dahi sementara menunggu aku meneruskan kata.

            Aku tersengih. “Sebenarnya saya tak biasa tidur bawah. Badan saya sakit-sakitlah. Boleh ke saya tidur atas katil mulai malam ni?” Aku terasa malu pula berkata begitu. Tetapi jika aku pendam pun tiada gunanya. Lebih baik aku luahkan aje.

            Hadif tergelak kecil sambil memerhati seraut wajah milikku. “Kalau awak tidur atas katil, saya nak tidur mana?” Hadif masih tersenyum lebar. Kalau macam ni selalu kan bagus. Tidaklah aku rasa tertekan aje duduk kat rumah ni.

            “Er…erm…macam tu saya tidur bilik belakang ajelah ye. Bilik yang mama dan papa gunakan hari tu pun ada katil jugak.” Aku menjawab teragak-agak. Tetapi aku berharap Hadif akan memberi keizinan atas cadangan aku.

            “Tak apalah. Awak tidur bilik ni, saya ambil bilik belakang tu. Nanti saya pindahkan barang-barang saya tapi meja belajar saya biar kat sini. Belajar ada teman seronok sikit dari belajar seorang-seorang. Boleh?” Hadif tersenyum manis. Aku menikmati senyuman yang terukir sepuasnya kerana entah bila dia akan tersenyum lagi pada aku. Wajah serius atau kelat memang selalu aku dapat.

            Aku mengangguk. “Terpulanglah. Saya ikut aje.” Jawabku dengan senang hati. Aku menarik nafas lega kerana saat ini aku dapat berbincang secara aman dengan Hadif. Selalunya tiada istilah berbincang antara kami kerana setiap perbincangan akan berakhir dengan pergaduhan.

            Hadif bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Tidak lama kemudian dia sudah mula memindahkan kain bajunya ke bilik belakang. Aku turut membantu mengangkat apa-apa yang patut dan termampu untuk aku lakukan. Dalam masa satu jam bilik belakang dapat disiapkan menjadi bilik rasmi Hadif mulai hari ini. Kalau mama dan papa datang lain kali, tentu jenuh juga kami terpaksa memindahkan semula kepada keadaan asal. 

             Tetapi yang penting, malam ini aku akan tidur di atas katil dengan gembiranya! ^_*

17 comments:

Seri Puteri said...

Salam, nampaknya Hadiff dan mula nak bertolak ansur dengan Aida, walaupun nampak macam Aida kena buli dengan kerja rumah tapi ni adalah peluang untuk dapatkan cinta Hadiff..

shafriza said...

alahai, kena tidur bilik asing2 lah pulak...

nur azian said...

waaaa suka giler entry ni kak..
ade bunga2 cinta gitu..
kan bagus hadif cakap baik2...
aarr sy pon dah tersenyum sendiri dah ni...hahahaha :)

Shizukaz Sue said...

Seri Puteri: Betul..peluang jgn dilepaskan hehe

Shafriza: take time kak..hihi naya je kalau kena paksa kuang2x

Azian: Sabar ye..nanti dorang jatuh cinta la tu =)

Nurul said...

hati saya bunga2 bila baca bab kali ni hehe, sukaaa :) hadif mula blembut dah tu :D

Shizukaz Sue said...

Nurul: harap lembut la kan..hehe

Seri Ayu said...

Alah dia orang tidur asing-asing sebab masing-masing malu jer...tapi study still sama-sama kat bilik Aidakan

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: yup! pandai Seri ayu..hihi =)

Eunhae DieLa said...

hadif da mule syg kat aida ke?

Anonymous said...

Kak Sue...cite nie ada brpa episode/bab?

Shizukaz Sue said...

Eunhae Diela: hihi dah bunga2 la tu..

Anonymous: ni baru separuh la dik..

khadijah said...

huhuhu...wahhhh..akak...sukanya....hadif dah baik ckit ngan aida....wahhhh.......suka2...heheheheh.....lpas ni msti hadif lagi jatuh cinta terus + syang sgt kat aida...hehehe

khadijah said...

hhuhu..lupa lak kan..hadif 2 saje je nk blaja skali kat bilik 2...sbb nk tgk aida jerw..hheheheh....

Shizukaz Sue said...

Khadijah: eheh tau xpe..

idA said...

salam dik..E3 yg sungguh teruja bila akak membacanya..

Yes..nampaknya perhubungan mereka ini nampak telah maju setapak lagi..dan..Hadiff akak rasa sdg mencuba untuk mengubah hidupnya untuk menerima kenyataan yg dia sudah berkawen dan mempunyai isteri..suka atau tidak dengan perkawenan nya itu walaupun atas dasar pilihan keluarga dia kena menggalas tanggung jawab sebagai seorg suami dan ketua keluarga..

Akak dapat rasakan sudah ada bimbit bimbit sayang Hadiff dan cemburu pada Aida dengan perlakuannya semasa di airport bila isterinya dilanggar tanpa sengaja oleh jejaka yg cuba mencari kesempatan keatas diri isterinya..

Akak tergelak bila dia bagi takzirah kat Aida..berkenaan dengan status dan tingkah laku seorg isteri semasa didalam kereta sedangkan mamat poyo tu tau bukan Aida yg pergi mengurat lelaki itu.Mungkin hendak memberitau Aida secara advance ..yg dia adalah suaminya dan jgn cuba hendak bermain cinta atau berkawan dengan lelaki lain dan dia tidak suka isterinya lepas laku..

Part yg mmg akak suka..bila Hadiff tidak membenarkan Aida keluar dari rumah itu dan menyuruh dia melalkukan tanggung jawab dia sebagai surinya..

Teruja pulak akak nak tahu.. apa pulak reaksi Aida bila Hadiff berjumpa dengan mak wenya si Zati tu..sedangkan dia Hadiff telah meletakkan peraturan agar dia tidak boleh berkawan dengan lelaki lain..dan apa pulak tindakan minah tu bila dia mendapat tahu yg hadiff masih berhubungan dengan Zati..

Shizukaz Sue said...

Ida: tQ kak..hihi komen2 akak selalunya memang mabeles! muah2...

nur azian said...

hehehe..terbaik lah...mcm mane la akhirnya tajuk ni..