Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Thursday, October 18, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 9


          Suasana riuh-rendah dan meriah. Majlis yang dirancangkan secara kecil-kecilan pada awalnya telah bertukar menjadi satu majlis yang agak besar. Tanpa pengetahuan aku, daddy dan Mama Anis menjemput ramai tetamu lebih dari yang aku rancangkan. Alasannya aku adalah anak tunggal keluarga ini. Nasib baik aku tidak memakai baju kurung Johor yang teramat ringkas itu. Kalau tidak, pasti daddy turut mengamuk seperti Hazriq siang tadi.

            “Cik Dean nampak cantik sangat malam ni. Macam puteri kayangan…” Syaza tersenyum berpuas hati setelah hasil kerja tangannya selesai di wajahku.

            Aku bangkit dan berdiri di hadapan cermin. Melihat penampilanku yang sangat berlainan. Wajah yang selalunya bersolek nipis, kini berubah dengan solekan yang agak ‘berat’. Namun tetap menawan dan lebih menyerlah sebagai ‘puteri’ pada malam ini. Baju kebaya labuh berwarna kuning air yang dihiasi dengan batu-batuan berkerlipan ini terletak elok dibadanku. Berkat kesungguhan Syaza mengubahsuai sedikit baju ini untuk keselesaan aku. Kenapa kuning? Kalau soalan itulah yang ditanya, jawapannya hanya satu. Kuning adalah warna kegemaran Asmara. Tak ke gila tu? Bukan kau akan jadi tunangan Si Asmara pada malam ini!

            “Cik Dean tak suka solekan saya ke?” Syaza mengerutkan keningnya. Wajahnya serba-salah melihatkan aku hanya terdiam memandang cermin.

            Aku tersenyum tawar. “Eh, tentulah saya suka. Sebab saya mentor awak selama ni. Tak sia-sia saya turunkan ilmu andaman ni pada awak, Syaza. Terima kasih untuk baju dan solekan ni.”

            Syaza tersengih-sengih apabila dipuji begitu. “Cik Dean, jangan marah ye kalau saya beritahu ni.”

            “Apa dia?”  Soalku sambil duduk kembali di atas bangku solek.

            “Saya panggil Muaz datang untuk ambil gambar majlis Cik Dean.” Syaza menggaru kepalanya yang tidak gatal.

            Terbeliak biji mataku memandang Syaza. “Hah? Buat apa?”

            Perlu ke panggil jurugambar yang sering bekerjasama dengan butik kami untuk majlis pertunangan aku dengan Hazriq? Aku bukan teruja dengan ikatan yang bakal terjalin ini. Aku rela dalam terpaksa. Tak perlu beria-ia sangatlah, Syaza. Eh kau dah lupa ke pesanan Hazriq, Dean? Nak kena marah lagi?

            “Nanti boleh tunjuk album tu pada Encik Hazriq. Mesti dia suka ada album majlis pertunangan. Bolehlah buat kenang-kenangan.” Syaza tersengih lagi.

            “Bagus juga cadangan awak tu. Nanti dah siap, awak ajelah yang tunjuk pada dia ye.” Ujarku sambil menjeling sekilas pada Syaza.Nampak sangat aku jenis tak makan saman kan? Takut dan agak insaf siang tadi, entah kemana hilangnya setelah beberapa jam. Teruk betul!

            “Cik Dean, toleh sini!”

       “Klik! Klik! Klik!” Beberapa kali Muaz menekan kamera ditangannya. Aksi-aksi kandid turut diabadikan.

            “Muaz, tak payah banyak-banyaklah. Saya tak suka bergambar.” Aku mengangkat tangan menyuruh Muaz berhenti dari melakukan tugasnya.

            “Perempuan secantik Cik Dean tak suka bergambar? Ruginya. Tak apa, saya bagi diskaun hebat malam ni. Cik Dean kan dah banyak bagi saya job.” Muaz ketawa kecil. Kemudian tangannya ligat merakam aksiku semula. Lantaklah! Mesti banyak gambarku berwajah masam.

            “Dean, jom keluar. Dah tiba masa untuk sarung cincin.” Mama Anis menjenguk ke dalam bilik.

            Aku mengangguk dan menyusun langkah untuk keluar. Aku duduk di pelamin ringkas yang diuruskan oleh pekerjaku petang tadi. Kalau diikutkan rancangan asal, aku mahu duduk dibilik sahaja di atas bangku solek. Memang koboi habis rancangan asal aku!

            Dada sedikit gementar apabila ramai tetamu yang duduk untuk meraikan aku. Aku tersenyum manis apabila ada saudara-mara yang menyapa. Mataku tertangkap pula pada wajah Laila yang sedang duduk bersama sepupu-sepupuku. Sibuk mereka melayani Najmi yang agak lasak. Laila melambai dan aku hanya tersenyum sebagai balasan.

            “Silalah sarungkan cincin untuk bakal pengantin.” Mama Anis memberikan laluan kepada Puan Jamaliah yang ditolak kerusi rodanya oleh Aina.

            Setibanya di hadapan pelamin mini ini, Puan Jamaliah tersenyum menatap wajahku. Aina menghampiri dan menyarungkan cincin ke jari manisku sebelah kanan. Kemudian dia memelukku erat.

            “Selamat bertunang Kak Dean. Abang kirim salam sayang.” Ucap Aina di telingaku.

            Aku tersenyum membuat wajah gembira seolah-olah aku menjadi tunangan orang yang paling aku cintai. Tetapi di dalam hati geram masih berbuku untuk Hazriq. Kirim salam sayang konon. Siang tadi marah bukan main lagi! Siap bagi duit dan kredit kad. Baju kurung yang aku beli dengan harga sembilan puluh lima ringgit itu pun dicampaknya. Mengganas betul.

            “Terima kasih.” Jawabku pendek.

            Kemudian aku bangun dan bersalaman dengan Puan Jamaliah. Dia mencium kedua belah pipiku dan memelukku pula. Sungguh aku terharu dengan penerimaan wanita ini. Setelah beberapa ketika, aku bersalam dan memeluk Mama Anis yang telah berada disisi.

            “Okey, jom tangkap gambar. Senyum!” Muaz menjalankan tugasnya dengan baik.

            “Lagi satu.” Melebih pulak Si Muaz ni.

            “Jemput makan semua di khemah yang disediakan.” Pelawa Mama Anis kepada rombongan pihak lelaki.

            “Cik Dean, pose lagi kat pelamin tu.” Muaz memberikan arahan.

            “Saya nak makan ni. Lapar. Cukuplah satu gulung.” Aku menolak.

            Muaz menggaru kepalanya. “Satu gulung pun tak habis lagi ni Cik Dean!”

            “Cepatlah Cik Dean, nanti saya call bagitahu Encik Hazriq baru tahu.” Ugut Syaza.

            Aik? Dah pandai main ugut-ugut pula? Bersekongkol dengan Si Hazriq rupanya ye. Berani budak Syaza ni berpaling tadah dari aku. Bosnya sendiri.

            “Saya pecat awak Syaza.” Kataku tidak bernada. Namun tetap naik ke atas pelamin untuk bergambar. Aksi-aksi kaku dirakamkan juga oleh Muaz walaupun mulutnya agak becok mengomen itu ini.

            Syaza hanya tergelak besar apabila mendengar sebaris ayatku. Dia tahu aku hanya main-main. Dia  nak minta cuti pun aku dah susah seorang diri, lagi kan pula aku nak berhentikan dia kerja. Tak mungkin. Setelah selesai sesi bergambar, aku pergi mendapatkan Laila. Tubuh Najmi aku dukung dan pipinya aku cium geram. Comel dan montel.

            “Amboi tak sabar nak ada anak sendiri ke tu?” Usik daddy yang tadinya sibuk melayani tetamu. Aku hanya mencebikkan bibir sebelum daddy tersengih dan berlalu ke dapur. Sibuk betul nampaknya mengalahkan Yang Berhormat.

            “Apa kes ni Dean? Semalam kau jemput aku pun tergesa-gesa. Tak sempat aku nak tanya. Asmara mana?” Laila menepuk sedikit bahuku setelah aku menurunkan Najmi untuk bermain.

            “Entah. Manalah aku tahu. Kalau kau tanya tentang tunang aku Si Hazriq tahulah aku nak jawab.” Balasku selamba. Pandangan tajam Laila tidak aku hiraukan.

            “Aku tahu kau tak cintakan Hazriq. Kan Dean? Mana Asmara? Kenapa kau tak balik pada dia?” Laila tidak mampu bersabar. Dia memaut lenganku kemas.

            “Aku tak tahu mana dia. Sampai sekarang dia tak datang cari aku pun.” Aku membuang pandang kearah lain. Hati aku semakin berderai. Sejak Syaza memberikan kad perniagaan kepada Asmara, lelaki itu tidak pernah datang mencari aku. Sehinggalah terjadinya majlis pertunangan pada malam ini.

            “Okey, okey, kita tolak tepi hal Asmara. Tapi kenapa kau terima Hazriq? Kenapa kau nak rosakkan diri kau macam ni?” Laila masih mendesak ingin tahu. Wajahnya menggambarkan riak risau terhadap keputusan yang telah aku ambil.

            “Hazriq sayangkan aku. Takkan kau nak sahabat kau ni jadi andartu?” Aku tersengih cuba melenyapkan suasana tegang antara kami.

            “Kalau kau dah cakap macam tu, aku hanya mampu doakan yang terbaik untuk kau.” Laila akhirnya mengalah. Najmi yang datang ke kakinya di dukung penuh kasih.

            Aku tersenyum sambil mengusap kepala Najmi yang sedikit merengek apabila didukung. “Pergilah makan dulu dengan Abang Kamal.”

            “Selamat bertunang sahabat.” Laila tersenyum tawar dan berlalu untuk makan di khemah yang disediakan.

            Aku tahu Laila kecewa dengan pertunangan ini. Aku juga begitu, Laila. Mungkin inilah takdir hidup aku. Hatiku bungkam. Malam yang indah ini sepatutnya aku raikan dengan penuh kesyukuran.

            “Cik Dean, call dari Encik Hazriq.” Gamit Syaza yang berlari anak keluar dari bilik aku.

            Pantas telefon bimbit bertukar tangan. “Ya, Hazriq? Semuanya dah selesai, tetamu sedang makan.” Aku cuba membuat nada suara ceria. Tidak mahu dikesan oleh Hazriq.

            “Awak dah sah jadi tunang saya. Lepas ni tak boleh nakal-nakal lagi tau. Sayang dah makan?” Lembut dan lunak suara Hazriq menyapa telingaku. Dia telah kembali kepada Hazriq yang asal.

            “Belum, belum lagi. Tetamu dah beransur nanti, saya makanlah.”

            “Okey, jaga diri baik-baik. Mulai esok, pergi dan balik dari butik saya ambil. I love you tunangku si cantik manis.” Hazriq terus menamatkan panggilan tanpa sempat aku menjawab apa-apa.

            Pergi dan balik butik dengan Hazriq? Oh, no!


                                                ******************************

“Kenapa awak datang hari ni Syaza?” Soalku dengan wajah yang pelik. Buku log di tangan aku masukkan semula ke dalam laci. Bulan hadapan hanya ada empat majlis perkahwinan yang perlu diuruskan dan satu majlis pertunangan. Dapatlah aku dan Syaza mengambil cuti.

            “ Tak apalah Cik Dean. Saya ada temujanji dengan pelanggan hari ni. Mereka nak datang fitting baju.” Syaza meletakkan beg tangannya di bawah meja kaunter.

            “Saya boleh uruskan semua tu. Semalam kan saya dah bagi awak cuti untuk hari ni.” Balasku yang masih memandang tepat wajah Syaza. Orang dah bagi cuti tak nak cuti pulak minah ni, getusku di dalam hati.

            “Tak apa, saya tak penat pun. Bukan saya yang bertunang, patutnya Cik Dean yang bercuti hari ni.” Syaza tersengih dan berlalu menuju ke dapur.

            Aku menggelengkan kepala melihat tubuh Syaza yang telah hilang dari pandangan. Aku tahu Syaza penat semalam kerana terpaksa membuat kerja last minute. Kesian dia. Malam tadi pun dia pulang agak lewat dari rumah aku. Namun waktu malam aku tetap mengira sebagai waktunya bekerja. Maklumlah dia yang menyediakan baju, menyolekkan wajahku dan membantu apa yang patut. Elaun tambahan akan aku berikan.

            “Cik Dean, pukul berapa budak-budak nak pasang pelamin hari ni?” Soal Syaza sambil membawa secawan minuman.

            “Dia orang dah pergi setengah jam lepas. Petang nanti awak nak ikut sekali tak? Saya nak pantau Najwa hiaskan bilik pengantin.”

            “Tentulah saya ikut Cik Dean. Kalau tak, Cik Dean nak pergi naik apa?” Syaza tergelak dan sudah mula menggantung baju-baju pengantin yang baru diambil dari dobi.

            “Kalau awak tak pergi, mama boleh hantarkan saya kesana.” Jawabku sambil tangan ligat membantu Syaza. Sudahlah aku bagi dia cuti hari ini, tak sedap pula nak memaksa dia mengikut aku ke rumah pengantin. Esok majlis persandingan akan berlangsung. Tiada masa untuk bersenang-lenang di hujung minggu.

            “Saya tak ada hal pun petang ni. Esok, kalau Cik Syaza nak cuti pun boleh. Saya boleh andamkan pengantin. Saya tunggu sampai majlis selesai.” Cadang Syaza yang sesekali mengerling kearahku.

            “Saya mana pernah cuti, Syaza. Sejak butik ni dibuka sampai ke hari ni. Demam macam mana pun saya tetap terpaksa bekerja. Lagipun esok pengantin nak salin banyak baju. Kelam-kabut awak seorang nanti.”

            Aku mengeluarkan lagi baju dari dalam beg kertas untuk digantung. Semuanya baju pengantin yang digunakan pada bulan lepas. Kebanyakan baju pengantin yang dipakai diberi tempoh selama tiga hari untuk dipulangkan. Namun ada juga yang terlajak sampai seminggu. Tetapi aku tidaklah berkira sangat asalkan baju tersebut dijaga dengan elok.

            “Cik Dean tak sama macam dulu. Kan Cik Dean dah ada tunang? Hari minggu kena luangkan masa dengan tunang tersayang. Jangan fikir kerja memanjang. Merajuk pula Encik Hazriq nanti.” Syaza memberikan nasihat. Aku tahu Syaza juga agak pelik dengan layanan aku terhadap Hazriq sejak dulu lagi. Tetapi dia tidak banyak bertanya.

            “Siapa suruh dia bertunang dengan mak andam? Mak andam tentulah kena kerja hari minggu Syaza. Mana ada orang kahwin hari biasa?” Aku tersengih menampakkan barisan gigiku yang putih bersih.

            “Cik Dean bertuah dapat lelaki sebaik Encik Hazriq tu…” Ayat Syaza cepat-cepat aku cantas. Tidak mahu dia semakin membebel tentang Hazriq. Cukup-cukuplah aku terpaksa menghadap dia pada waktu pagi dan petang setiap hari. Dia telah menjalankan tugasnya sebagai pemandu tidak bergaji mulai pagi tadi.

            “Syaza, saya nak keluar sekejap. Pergi seven eleven depan tu.” Aku terus melangkah keluar membuatkan gadis berusia dua puluh empat tahun itu terpinga-pinga.

            “Butik Renjis…tak sangka…” Suara itu menerjah setelah pintu utama aku buka.

            Membuntang aku melihat tubuh sasa dan wajah menggoda di depan mata. Kenapa sampai kini hati aku tetap mampu ditawannya? Kenapa kasih ini tidak beralih arah sahaja? Hatiku sentiasa meronta ingin memiliki lelaki ini.

            “Ada apa encik datang sini? Nak kahwin atau bertunang?” Soalku tanpa membuang masa. Denyut nadi semakin pantas dirasakan. Sungguh mengada-ngada soalan itu, Dean. Kalau betul dia nak kahwin, mampukah kau terima kenyataan? Ya, aku dah terima kenyataan sebab tu aku mampu bangkit kembali sehingga hari ini.

            “Saya tak sangka awak akan suka bidang seni macam ni. Dulu, melukis pun tak pandai.” Lelaki ini tergelak. Matanya menjadi lebih kecil dari biasa. How sweet!

            “Ehem. Encik nak kahwin atau bertunang? Kalau nak tengok pakej kami, silalah masuk ke dalam. Pembantu saya akan melayani encik.” Aku cuba beriak selamba yang boleh. Sebenarnya hati sudah mahu menangis!

            Pandangannya mengasyikkan. Dia menundukkan sedikit wajahnya kepadaku. “Saya datang nak jumpa Asmira saya. Boleh?”

            Aku menelan liur. Tersentak dengan jawapan berani mati yang keluar dari mulut lelaki ini. Namun hati sentiasa berbelah-bahagi. Antara rasa dan rasional. Aku baru sehari menjadi tunangan Hazriq tetapi berat sungguh dugaan yang menimpa. Kenapa baru hari ini kau datang mencari aku Asmara? Kau terlewat….

            “Asmira dah mati…yang berdiri kini adalah Dean…” Jawabku perlahan. Pandanganku jatuh ke bawah. Ada garis sendu sewaktu ayat itu aku ucapkan. Kau tahu tak semua ini perit untuk aku Asmara?

            “Tolong jangan cakap macam tu. Jangan seksa hati saya lagi.” Terdengar keluhan yang terlepas dari bibirnya.

            “Siapa seksa siapa sebenarnya?! Please leave.” Aku meneruskan langkah. Tidak mahu berlama-lama dan bercakap tentang perkara yang memedihkan.

            Aku seksa hati dia? Nonsence! Aku masih disini, berpegang dengan janji sehidup semati yang pernah dilafazkan dulu. Tapi mana dia? Mana Asmaraku yang dulu? Tergamak membiarkan aku ditimbuni dengan harapan yang palsu.

            “Asmira, bagilah saya peluang jelaskan dulu. Kita mula sekali lagi.” Pinta Asmara yang telah menghalang laluanku.

            “Kita dah tamat, Asmara. Tolong jangan ganggu saya lagi.” Aku menolak kasar badannya dan berlari-lari anak menyeberangi jalan.

            Langkah kakiku semakin laju. Aku tidak berani untuk menoleh ke belakang. Harapanku Asmara tidak terus mengejarku. Kenapalah sukar sangat aku ingin meneka apa yang dimahukan hati? Aku sentiasa menginginkan dia tetapi dalam masa yang sama aku takut. Takut sejarah akan berulang semula. Walau marah dan benci macam mana sekalipun, rasa cinta juga yang melebihi semuanya. 

              Hati ini degil tidak mahu bekerjasama dengan sang akal!

            

7 comments:

Yin Areesa said...

asmara dh kembali! Sayangnya terlewat sehari..1 day late! sayangnya..kesian dean..kesian HAZRIQ yg so romantic tu.hehe

Anonymous said...

Salam... Padan muka Hazriq.. Asmara muncul kembali.. huru-hara laa jdnya.. jeng jeng jeng!! Tpkn, rasa sedih & pilu sbb Dean merelakn diri jd tunangan mamat x mature tu..

Shizukaz Sue said...

Shafriza: 1 day late..makan dalam tu kak..hihi

Anonymous: wsalam..kuang2x..hihi dah suratan la kan..dah tertulis kena tunang dgn mamat tu.

Unknown said...

Salam, baru berkesempatan nak tengok n3 ni.

Sebenarnya saya tertanya-tanya mesti ada perkara yang berlaku di antara Asmara dan Dean sehingga berlaku perpisahan. Pemikiran sebagai budak sekolah dan dewasakan tak sama. Takkan Dean masih tak boleh maafkan Asmara. Mungkin sebab kesedihan dan kesunyian juga menyebabkan Dean berkahwan dengan Hazriq.

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: Wsalam kak..nak maafkan camne kalau Asmara datang cari pun dah terlewat..hehe dh selamat jd tunangan org..dugaan namanya kan hehe

Anonymous said...

~NB~ asmara datang sudahhhhh........semakin menarikk semakin ingin tahu dan semakin berkobar2 utk membaca cerita seterusnya dan seterusnyaaa..... (^_*)

Shizukaz Sue said...

NB: tQ sgt ye =)