Suasana
riuh-rendah dan meriah. Majlis yang dirancangkan secara kecil-kecilan pada
awalnya telah bertukar menjadi satu majlis yang agak besar. Tanpa pengetahuan
aku, daddy dan Mama Anis menjemput
ramai tetamu lebih dari yang aku rancangkan. Alasannya aku adalah anak tunggal
keluarga ini. Nasib baik aku tidak memakai baju kurung Johor yang teramat
ringkas itu. Kalau tidak, pasti daddy
turut mengamuk seperti Hazriq siang tadi.
“Cik Dean nampak cantik sangat malam
ni. Macam puteri kayangan…” Syaza tersenyum berpuas hati setelah hasil kerja
tangannya selesai di wajahku.
Aku bangkit dan berdiri di hadapan
cermin. Melihat penampilanku yang sangat berlainan. Wajah yang selalunya
bersolek nipis, kini berubah dengan solekan yang agak ‘berat’. Namun tetap
menawan dan lebih menyerlah sebagai ‘puteri’ pada malam ini. Baju kebaya labuh
berwarna kuning air yang dihiasi dengan batu-batuan berkerlipan ini terletak
elok dibadanku. Berkat kesungguhan Syaza mengubahsuai sedikit baju ini untuk
keselesaan aku. Kenapa kuning? Kalau soalan itulah yang ditanya, jawapannya
hanya satu. Kuning adalah warna kegemaran Asmara. Tak ke gila tu? Bukan kau
akan jadi tunangan Si Asmara pada malam ini!
“Cik Dean tak suka solekan saya ke?”
Syaza mengerutkan keningnya. Wajahnya serba-salah melihatkan aku hanya terdiam
memandang cermin.
Aku tersenyum tawar. “Eh, tentulah
saya suka. Sebab saya mentor awak selama ni. Tak sia-sia saya turunkan ilmu andaman
ni pada awak, Syaza. Terima kasih untuk baju dan solekan ni.”
Syaza tersengih-sengih apabila
dipuji begitu. “Cik Dean, jangan marah ye kalau saya beritahu ni.”
“Apa dia?” Soalku sambil duduk kembali di atas bangku
solek.
“Saya panggil Muaz datang untuk
ambil gambar majlis Cik Dean.” Syaza menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Terbeliak biji mataku memandang
Syaza. “Hah? Buat apa?”
Perlu ke panggil jurugambar yang
sering bekerjasama dengan butik kami untuk majlis pertunangan aku dengan
Hazriq? Aku bukan teruja dengan ikatan yang bakal terjalin ini. Aku rela dalam
terpaksa. Tak perlu beria-ia sangatlah, Syaza. Eh kau dah lupa ke pesanan
Hazriq, Dean? Nak kena marah lagi?
“Nanti boleh tunjuk album tu pada
Encik Hazriq. Mesti dia suka ada album majlis pertunangan. Bolehlah buat
kenang-kenangan.” Syaza tersengih lagi.
“Bagus juga cadangan awak tu. Nanti
dah siap, awak ajelah yang tunjuk pada dia ye.” Ujarku sambil menjeling sekilas
pada Syaza.Nampak sangat aku jenis tak makan saman kan? Takut dan agak insaf
siang tadi, entah kemana hilangnya setelah beberapa jam. Teruk betul!
“Cik Dean, toleh sini!”
“Klik! Klik! Klik!” Beberapa kali
Muaz menekan kamera ditangannya. Aksi-aksi kandid turut diabadikan.
“Muaz, tak payah banyak-banyaklah.
Saya tak suka bergambar.” Aku mengangkat tangan menyuruh Muaz berhenti dari
melakukan tugasnya.
“Perempuan secantik Cik Dean tak
suka bergambar? Ruginya. Tak apa, saya bagi diskaun hebat malam ni. Cik Dean
kan dah banyak bagi saya job.” Muaz
ketawa kecil. Kemudian tangannya ligat merakam aksiku semula. Lantaklah! Mesti
banyak gambarku berwajah masam.
“Dean, jom keluar. Dah tiba masa
untuk sarung cincin.” Mama Anis menjenguk ke dalam bilik.
Aku mengangguk dan menyusun langkah
untuk keluar. Aku duduk di pelamin ringkas yang diuruskan oleh pekerjaku petang
tadi. Kalau diikutkan rancangan asal, aku mahu duduk dibilik sahaja di atas
bangku solek. Memang koboi habis
rancangan asal aku!
Dada sedikit gementar apabila ramai
tetamu yang duduk untuk meraikan aku. Aku tersenyum manis apabila ada
saudara-mara yang menyapa. Mataku tertangkap pula pada wajah Laila yang sedang
duduk bersama sepupu-sepupuku. Sibuk mereka melayani Najmi yang agak lasak.
Laila melambai dan aku hanya tersenyum sebagai balasan.
“Silalah sarungkan cincin untuk
bakal pengantin.” Mama Anis memberikan laluan kepada Puan Jamaliah yang ditolak
kerusi rodanya oleh Aina.
Setibanya di hadapan pelamin mini
ini, Puan Jamaliah tersenyum menatap wajahku. Aina menghampiri dan menyarungkan
cincin ke jari manisku sebelah kanan. Kemudian dia memelukku erat.
“Selamat bertunang Kak Dean. Abang
kirim salam sayang.” Ucap Aina di telingaku.
Aku tersenyum membuat wajah gembira
seolah-olah aku menjadi tunangan orang yang paling aku cintai. Tetapi di dalam
hati geram masih berbuku untuk Hazriq. Kirim salam sayang konon. Siang tadi
marah bukan main lagi! Siap bagi duit dan kredit kad. Baju kurung yang aku beli
dengan harga sembilan puluh lima ringgit itu pun dicampaknya. Mengganas betul.
“Terima kasih.” Jawabku pendek.
Kemudian aku bangun dan bersalaman
dengan Puan Jamaliah. Dia mencium kedua belah pipiku dan memelukku pula.
Sungguh aku terharu dengan penerimaan wanita ini. Setelah beberapa ketika, aku
bersalam dan memeluk Mama Anis yang telah berada disisi.
“Okey, jom tangkap gambar. Senyum!”
Muaz menjalankan tugasnya dengan baik.
“Lagi satu.” Melebih pulak Si Muaz
ni.
“Jemput makan semua di khemah yang
disediakan.” Pelawa Mama Anis kepada rombongan pihak lelaki.
“Cik Dean, pose lagi kat pelamin tu.” Muaz memberikan arahan.
“Saya nak makan ni. Lapar. Cukuplah
satu gulung.” Aku menolak.
Muaz menggaru kepalanya. “Satu
gulung pun tak habis lagi ni Cik Dean!”
“Cepatlah Cik Dean, nanti saya call bagitahu Encik Hazriq baru tahu.”
Ugut Syaza.
Aik? Dah pandai main ugut-ugut pula?
Bersekongkol dengan Si Hazriq rupanya ye. Berani budak Syaza ni berpaling tadah
dari aku. Bosnya sendiri.
“Saya pecat awak Syaza.” Kataku
tidak bernada. Namun tetap naik ke atas pelamin untuk bergambar. Aksi-aksi kaku
dirakamkan juga oleh Muaz walaupun mulutnya agak becok mengomen itu ini.
Syaza hanya tergelak besar apabila
mendengar sebaris ayatku. Dia tahu aku hanya main-main. Dia nak minta cuti pun aku dah susah seorang
diri, lagi kan pula aku nak berhentikan dia kerja. Tak mungkin. Setelah selesai
sesi bergambar, aku pergi mendapatkan Laila. Tubuh Najmi aku dukung dan pipinya
aku cium geram. Comel dan montel.
“Amboi tak sabar nak ada anak
sendiri ke tu?” Usik daddy yang tadinya sibuk melayani tetamu. Aku
hanya mencebikkan bibir sebelum daddy
tersengih dan berlalu ke dapur. Sibuk betul nampaknya mengalahkan Yang
Berhormat.
“Apa kes ni Dean? Semalam kau jemput
aku pun tergesa-gesa. Tak sempat aku nak tanya. Asmara mana?” Laila menepuk
sedikit bahuku setelah aku menurunkan Najmi untuk bermain.
“Entah. Manalah aku tahu. Kalau kau
tanya tentang tunang aku Si Hazriq tahulah aku nak jawab.” Balasku selamba.
Pandangan tajam Laila tidak aku hiraukan.
“Aku tahu kau tak cintakan Hazriq.
Kan Dean? Mana Asmara? Kenapa kau tak balik pada dia?” Laila tidak mampu
bersabar. Dia memaut lenganku kemas.
“Aku tak tahu mana dia. Sampai
sekarang dia tak datang cari aku pun.” Aku membuang pandang kearah lain. Hati
aku semakin berderai. Sejak Syaza memberikan kad perniagaan kepada Asmara,
lelaki itu tidak pernah datang mencari aku. Sehinggalah terjadinya majlis
pertunangan pada malam ini.
“Okey, okey, kita tolak tepi hal
Asmara. Tapi kenapa kau terima Hazriq? Kenapa kau nak rosakkan diri kau macam
ni?” Laila masih mendesak ingin tahu. Wajahnya menggambarkan riak risau
terhadap keputusan yang telah aku ambil.
“Hazriq sayangkan aku. Takkan kau
nak sahabat kau ni jadi andartu?” Aku tersengih cuba melenyapkan suasana tegang
antara kami.
“Kalau kau dah cakap macam tu, aku
hanya mampu doakan yang terbaik untuk kau.” Laila akhirnya mengalah. Najmi yang
datang ke kakinya di dukung penuh kasih.
Aku tersenyum sambil mengusap kepala
Najmi yang sedikit merengek apabila didukung. “Pergilah makan dulu dengan Abang
Kamal.”
“Selamat bertunang sahabat.” Laila
tersenyum tawar dan berlalu untuk makan di khemah yang disediakan.
Aku tahu Laila kecewa dengan
pertunangan ini. Aku juga begitu, Laila. Mungkin inilah takdir hidup aku.
Hatiku bungkam. Malam yang indah ini sepatutnya aku raikan dengan penuh
kesyukuran.
“Cik Dean, call dari Encik Hazriq.” Gamit Syaza yang berlari anak keluar dari
bilik aku.
Pantas telefon bimbit bertukar
tangan. “Ya, Hazriq? Semuanya dah selesai, tetamu sedang makan.” Aku cuba
membuat nada suara ceria. Tidak mahu dikesan oleh Hazriq.
“Awak dah sah jadi tunang saya.
Lepas ni tak boleh nakal-nakal lagi tau. Sayang dah makan?” Lembut dan lunak
suara Hazriq menyapa telingaku. Dia telah kembali kepada Hazriq yang asal.
“Belum, belum lagi. Tetamu dah
beransur nanti, saya makanlah.”
“Okey, jaga diri baik-baik. Mulai
esok, pergi dan balik dari butik saya ambil. I love you tunangku si cantik manis.” Hazriq terus menamatkan
panggilan tanpa sempat aku menjawab apa-apa.
Pergi dan balik butik dengan Hazriq?
Oh, no!
******************************
“Kenapa
awak datang hari ni Syaza?” Soalku dengan wajah yang pelik. Buku log di tangan
aku masukkan semula ke dalam laci. Bulan hadapan hanya ada empat majlis
perkahwinan yang perlu diuruskan dan satu majlis pertunangan. Dapatlah aku dan
Syaza mengambil cuti.
“ Tak apalah Cik Dean. Saya ada
temujanji dengan pelanggan hari ni. Mereka nak datang fitting baju.” Syaza meletakkan beg tangannya di bawah meja
kaunter.
“Saya boleh uruskan semua tu.
Semalam kan saya dah bagi awak cuti untuk hari ni.” Balasku yang masih memandang
tepat wajah Syaza. Orang dah bagi cuti tak nak cuti pulak minah ni, getusku di
dalam hati.
“Tak apa, saya tak penat pun. Bukan
saya yang bertunang, patutnya Cik Dean yang bercuti hari ni.” Syaza tersengih
dan berlalu menuju ke dapur.
Aku menggelengkan kepala melihat
tubuh Syaza yang telah hilang dari pandangan. Aku tahu Syaza penat semalam
kerana terpaksa membuat kerja last minute.
Kesian dia. Malam tadi pun dia pulang agak lewat dari rumah aku. Namun waktu
malam aku tetap mengira sebagai waktunya bekerja. Maklumlah dia yang menyediakan
baju, menyolekkan wajahku dan membantu apa yang patut. Elaun tambahan akan aku
berikan.
“Cik Dean, pukul berapa budak-budak
nak pasang pelamin hari ni?” Soal Syaza sambil membawa secawan minuman.
“Dia orang dah pergi setengah jam
lepas. Petang nanti awak nak ikut sekali tak? Saya nak pantau Najwa hiaskan
bilik pengantin.”
“Tentulah saya ikut Cik Dean. Kalau
tak, Cik Dean nak pergi naik apa?” Syaza tergelak dan sudah mula menggantung
baju-baju pengantin yang baru diambil dari dobi.
“Kalau awak tak pergi, mama boleh
hantarkan saya kesana.” Jawabku sambil tangan ligat membantu Syaza. Sudahlah
aku bagi dia cuti hari ini, tak sedap pula nak memaksa dia mengikut aku ke
rumah pengantin. Esok majlis persandingan akan berlangsung. Tiada masa untuk
bersenang-lenang di hujung minggu.
“Saya tak ada hal pun petang ni.
Esok, kalau Cik Syaza nak cuti pun boleh. Saya boleh andamkan pengantin. Saya
tunggu sampai majlis selesai.” Cadang Syaza yang sesekali mengerling kearahku.
“Saya mana pernah cuti, Syaza. Sejak
butik ni dibuka sampai ke hari ni. Demam macam mana pun saya tetap terpaksa
bekerja. Lagipun esok pengantin nak salin banyak baju. Kelam-kabut awak seorang
nanti.”
Aku mengeluarkan lagi baju dari
dalam beg kertas untuk digantung. Semuanya baju pengantin yang digunakan pada
bulan lepas. Kebanyakan baju pengantin yang dipakai diberi tempoh selama tiga
hari untuk dipulangkan. Namun ada juga yang terlajak sampai seminggu. Tetapi
aku tidaklah berkira sangat asalkan baju tersebut dijaga dengan elok.
“Cik Dean tak sama macam dulu. Kan
Cik Dean dah ada tunang? Hari minggu kena luangkan masa dengan tunang
tersayang. Jangan fikir kerja memanjang. Merajuk pula Encik Hazriq nanti.”
Syaza memberikan nasihat. Aku tahu Syaza juga agak pelik dengan layanan aku
terhadap Hazriq sejak dulu lagi. Tetapi dia tidak banyak bertanya.
“Siapa suruh dia bertunang dengan
mak andam? Mak andam tentulah kena kerja hari minggu Syaza. Mana ada orang
kahwin hari biasa?” Aku tersengih menampakkan barisan gigiku yang putih bersih.
“Cik Dean bertuah dapat lelaki
sebaik Encik Hazriq tu…” Ayat Syaza cepat-cepat aku cantas. Tidak mahu dia
semakin membebel tentang Hazriq. Cukup-cukuplah aku terpaksa menghadap dia pada
waktu pagi dan petang setiap hari. Dia telah menjalankan tugasnya sebagai
pemandu tidak bergaji mulai pagi tadi.
“Syaza, saya nak keluar sekejap.
Pergi seven eleven depan tu.” Aku terus melangkah keluar membuatkan gadis
berusia dua puluh empat tahun itu terpinga-pinga.
“Butik Renjis…tak sangka…” Suara itu
menerjah setelah pintu utama aku buka.
Membuntang aku melihat tubuh sasa
dan wajah menggoda di depan mata. Kenapa sampai kini hati aku tetap mampu
ditawannya? Kenapa kasih ini tidak beralih arah sahaja? Hatiku sentiasa meronta
ingin memiliki lelaki ini.
“Ada apa encik datang sini? Nak
kahwin atau bertunang?” Soalku tanpa membuang masa. Denyut nadi semakin pantas
dirasakan. Sungguh mengada-ngada soalan itu, Dean. Kalau betul dia nak kahwin,
mampukah kau terima kenyataan? Ya, aku dah terima kenyataan sebab tu aku mampu
bangkit kembali sehingga hari ini.
“Saya tak sangka awak akan suka
bidang seni macam ni. Dulu, melukis pun tak pandai.” Lelaki ini tergelak.
Matanya menjadi lebih kecil dari biasa. How
sweet!
“Ehem. Encik nak kahwin atau
bertunang? Kalau nak tengok pakej kami, silalah masuk ke dalam. Pembantu saya
akan melayani encik.” Aku cuba beriak selamba yang boleh. Sebenarnya hati sudah
mahu menangis!
Pandangannya mengasyikkan. Dia
menundukkan sedikit wajahnya kepadaku. “Saya datang nak jumpa Asmira saya.
Boleh?”
Aku menelan liur. Tersentak dengan
jawapan berani mati yang keluar dari mulut lelaki ini. Namun hati sentiasa
berbelah-bahagi. Antara rasa dan rasional. Aku baru sehari menjadi tunangan
Hazriq tetapi berat sungguh dugaan yang menimpa. Kenapa baru hari ini kau
datang mencari aku Asmara? Kau terlewat….
“Asmira dah mati…yang berdiri kini
adalah Dean…” Jawabku perlahan. Pandanganku jatuh ke bawah. Ada garis sendu
sewaktu ayat itu aku ucapkan. Kau tahu tak semua ini perit untuk aku Asmara?
“Tolong jangan cakap macam tu.
Jangan seksa hati saya lagi.” Terdengar keluhan yang terlepas dari bibirnya.
“Siapa seksa siapa sebenarnya?! Please leave.” Aku meneruskan langkah.
Tidak mahu berlama-lama dan bercakap tentang perkara yang memedihkan.
Aku seksa hati dia? Nonsence! Aku masih disini, berpegang
dengan janji sehidup semati yang pernah dilafazkan dulu. Tapi mana dia? Mana
Asmaraku yang dulu? Tergamak membiarkan aku ditimbuni dengan harapan yang
palsu.
“Asmira, bagilah saya peluang
jelaskan dulu. Kita mula sekali lagi.” Pinta Asmara yang telah menghalang
laluanku.
“Kita dah tamat, Asmara. Tolong
jangan ganggu saya lagi.” Aku menolak kasar badannya dan berlari-lari anak
menyeberangi jalan.
Langkah kakiku semakin laju. Aku
tidak berani untuk menoleh ke belakang. Harapanku Asmara tidak terus mengejarku.
Kenapalah sukar sangat aku ingin meneka apa yang dimahukan hati? Aku sentiasa
menginginkan dia tetapi dalam masa yang sama aku takut. Takut sejarah akan
berulang semula. Walau marah dan benci macam mana sekalipun, rasa cinta juga
yang melebihi semuanya.
Hati ini degil tidak mahu bekerjasama dengan sang akal!
7 comments:
asmara dh kembali! Sayangnya terlewat sehari..1 day late! sayangnya..kesian dean..kesian HAZRIQ yg so romantic tu.hehe
Salam... Padan muka Hazriq.. Asmara muncul kembali.. huru-hara laa jdnya.. jeng jeng jeng!! Tpkn, rasa sedih & pilu sbb Dean merelakn diri jd tunangan mamat x mature tu..
Shafriza: 1 day late..makan dalam tu kak..hihi
Anonymous: wsalam..kuang2x..hihi dah suratan la kan..dah tertulis kena tunang dgn mamat tu.
Salam, baru berkesempatan nak tengok n3 ni.
Sebenarnya saya tertanya-tanya mesti ada perkara yang berlaku di antara Asmara dan Dean sehingga berlaku perpisahan. Pemikiran sebagai budak sekolah dan dewasakan tak sama. Takkan Dean masih tak boleh maafkan Asmara. Mungkin sebab kesedihan dan kesunyian juga menyebabkan Dean berkahwan dengan Hazriq.
Seri Ayu: Wsalam kak..nak maafkan camne kalau Asmara datang cari pun dah terlewat..hehe dh selamat jd tunangan org..dugaan namanya kan hehe
~NB~ asmara datang sudahhhhh........semakin menarikk semakin ingin tahu dan semakin berkobar2 utk membaca cerita seterusnya dan seterusnyaaa..... (^_*)
NB: tQ sgt ye =)
Post a Comment