Aku
rasa seperti hendak tercekik isi ayam di dalam mulut apabila Hadif tiba-tiba
menyebut ayat keramat.
“A…Apa dia?” Soalku dengan muka yang
merah.
“Abang tanya, sayang nak tambah nasi
tak?” Hadif tersenyum manis. Kalau hari-hari dia senyum macam ni kat aku, sudah
tentu aku jadi peminat nombor satu Baim Wong! Malah sanggup aku menonton setiap
sinetron lakonannya sampai tak tidur malam. Teruk betul kan?
Aku sekadar menggeleng. Kemudian aku
meneguk air oren dihadapanku sampai setengah gelas. Dengan harapan dapat
mengurangkan rasa gementar yang terasa menggila saat ini. Dia ni kenapa
agaknya? Petang tadi seingat aku kami masih dingin akibat kes penyamaran
identiti yang baru terbongkar hari ini.
“Sejuk hati mama tengok Hadif layan
isteri macam ni.” Mama mengulum senyum. Pandangan mata mama yang penuh kasih
itu tumpah di wajah anak tunggalnya.
“Papa pun bangga dengan Hadif.” Papa
pula bersuara kemudian menyuapkan nasi ke dalam mulut.
“Ye ke? Alah, Hadif layan biasa aje
seperti pasangan suami isteri yang lain.” Hadif menjawab dan mengenyitkan mata
kepadaku. Langsung tiada riak bersalah.
Dasar lelaki gatal. Aku cucuk pakai
garfu mata kau nanti. Kalau berani kenyitlah lagi! Kau jangan lupa kita
bukanlah seperti pasangan suami isteri yang lain selama ni. Malah kes menipu
tadi pun belum selesai lagi.
“Sedap tak lauk mama masak? Rasanya
ini pertama kali Aida makan masakan mama.” Mama yang cantik berbaju kaftan
memandang wajahku meminta jawapan.
“Sedap sangat. Hebat mama masak.
Nanti bolehlah Aida belajar dari mama ye.” Jawabku jujur. Ayam berempah yang
aku makan ini memang sedap macam masakan di kenduri kahwin aje. Bolehlah minta
resepi mama nanti walaupun aku tidak tahu entah bila ada masa untuk memasak.
“Tak payah belajar dari mama, Hadif
lagi pandai memasak. Sampai kadang-kadang mama yang minta resepi dia.” Bidas
mama laju kemudian memandang wajah Hadif yang tersengih macam kerang tak ada
gigi.
“Hah?!” Aku terjerit kecil. Hadif
pandai memasak? Betul ke ni atau aku silap dengar? Aku lantas menoleh Hadif
yang duduk disebelahku. Tak ada rupa macam pandai memasak pun! Nak kata rupa
macam Chef Wan lagilah jauh panggang dari api.
“Hadif tak pernah masakkan untuk
Aida ke? Kamu ni Hadif, kalau Aida tak sempat kamu aje yang masak. Kena tolak
ansur lebih lagi masing-masing masih belajar.” Papa pula mencelah dan
memberikan nasihat kepada anak lelakinya yang satu ini.
“Kami kan baru aje pindah duduk sini
seminggu lepas pa. Belum ada kesempatan. Nanti abang masakkan untuk sayang
okey.” Hadif tersengih dan menatap wajahku yang sedikit terkejut. Namun Hadif
tetap berlagak selamba. Dia ni pandainya berlakon!
Aku membalas senyumannya dan kembali
menyuap nasi yang masih berbaki di pinggan. Yelah tu En.Suami. Bila masa pula
kita duduk sini seminggu yang lepas? Aku baru angkut kain baju malam semalam
dibantu oleh Ema tanpa pengetahuan kau. Nasib baik kau bagi kunci pendua pada
‘Suha’.
“Hadif pernah marah dan pukul kamu
ke Aida?” Papa tiba-tiba menyoal.
Aku mendongak dan memandang papa.
Ternyata wajahku tiada reaksi kerana soalan itu langsung tidak terjangka oleh
akal aku. Kemudian aku menggeleng beberapa kali. Kenapa papa tanya sampai macam
tu sekali?
“Ish, papa ni. Ada pula tanya macam
tu. Takkan Hadif nak marah dan pukul isteri kesayangan Hadif ni kan sayang?”
Hadif mendekatkan badannya kearahku sehingga aroma wangian I Am King dari Sean John
menerpa rongga hidungku. Apa dia ni? Aku tak sukalah nak dekat-dekat dengan
kau.
“Hadif ni Aida, panas baran sikit.
Cepat marah orangnya. Maklumlah kamu baru aje kahwin dan nak sesuaikan diri
sebagai suami isteri makan masa. Kalau ada masalah boleh berbincang dengan mama
dan papa.” Terang mama pula dengan wajah yang sedikit risau. Kalau Hadif ni
panas baran dan suka marah-marah aku dah tahu. Tapi bab pukul-memukul tu yang
aku gerun. Betul ke boleh sampai ke tahap itu?
Aku
menganggukkan kepala. Ish, suami aku kaki pukul ke? Takutnya. Tapi nasib baik
aku ada belajar karate masa di sekolah dulu. Kalau apa-apa berlaku aku yakin
boleh selamatkan diri. Lagipun lelaki di sebelahku bukan sasa mana pun. Kalau
bagi tendangan padu mungkin boleh tumbang.
“Kalau ada apa-apa jangan segan bagi
tahu kami. Hadif, ingat jangan sampai naik kaki tangan pada isteri. Papa cukup
tak suka.” Papa berpesan lagi kemudian meneguk air di dalam gelas. Pinggan yang
sudah licin ditolak ke depan.
“Panas baran Hadif pun pa, ma, Hadif
taklah sekejam itu sampai nak belasah isteri sendiri. Percayalah pada Hadif.”
Jawab lelaki itu cuba meyakinkan papa dan mamanya.
Aku menarik nafas lega. Syukurlah
kalau betul apa yang dikatakan oleh Hadif tadi. Aku juga tidak sanggup andai
bersuamikan seorang kaki pukul. Teraniaya aku! Tapi kalau Hadif menipu di depan
papa dan mama pun aku bukannya tahu. Aku hanya mampu berharap dia berpegang
pada kata-katanya itu.
Papa dan mama tersenyum dan
menganggukkan kepala. Akhirnya kami berborak-borak kosong tentang kuliah,
peperiksaan yang bakal menjelang tak lama lagi dan cerita-cerita berkisar
tentang kehidupan baru papa dan papa di Jakarta. Setelah mengutip pinggan dan
gelas kotor untuk dicuci aku lantas ke sinki. Mama, papa dan Hadif pula
beransur ke ruang tamu. Aku segera melakukan tugas mencuci pinggan mangkuk dan
mengemas meja makan.
Aku
membawa pinggan yang berisi buah epal dan oren yang telah kupotong ke ruang
tamu. Papa dan mama sedang sibuk menonton berita di TV3. Manakala Hadif sedang
membelek majalah tentang kereta. Pinggan aku letakkan di atas meja kecil di
ruang tamu.
“Makan buah ni papa, mama.” Aku
mempelawa mereka.
“Suami kamu tak dijemput ke?” Papa
bertanya sambil mengangkat keningnya.
Aku tersengih-sengih serba salah.
“Awak, makan buah ni.” Kataku pula sambil mata mencari wajah Hadif yang sedikit
terselindung dengan majalah yang di pegangnya.
Tiga pasang mata sedang memandang
tepat ke wajahku sekarang. Aku pula terasa kekok dan menggaru kepala yang tidak
gatal.
“Ada pula panggil awak. Panggil
abang lebih manis sebagai seorang isteri hormatkan suaminya.” Mama tiba-tiba
bersuara. Oh, patutlah! Aku sendiri tidak sedar kesilapan mulut aku yang lancar
berkata-kata ini. Aku menekup mulut dan tersenyum simpul. Eh, aku pulak yang
macam salah makan ubat sekarang ni!
“Tak apalah mama. Bagi masa Aida
sesuaikan diri. Dah beribu kali Hadif ajar pun liat juga lidah dia tu. Asyik
tersasul aje.” Hadif tersengih sambil menarik lembut tanganku duduk
disebelahnya. Walaupun aku terkejut dengan perlakuan Hadif namun aku menurut
sahaja kerana mata mama dan papa sedang memandang kami.
Mama dan papa tersenyum kecil dan
kembali menonton berita sambil mengunyah epal di dalam mulut. Betul sangat apa
kau cakap Hadif. Tapi yang beribu kali kau ajar tu bukan panggil abang tapi
berkau-aku aje selama ni. Oh, baru petang tadi kau naikkan pangkat sedikit
dengan bersaya-awak dengan aku.
“Terima kasih selamatkan saya.”
Bisik aku di tepi telinga Hadif. Aku pasti akan kantoi dengan lakonan yang tak berapa mantap dihadapan mama dan
papa sebentar tadi. Aku memang bukan pelakon yang baik jika tidak memakai
purdah! Hehehe….
Hadif memandang tajam ke dalam
mataku. “Jangan nak perasan! Saya buat demi mama dan papa.” Bentak Hadif kasar
walaupun perlahan seperti berbisik.
Aku mencebikkan bibir. Waktu
sekarang pun nak ajak aku bergaduh juga. Cakap baik-baik tak boleh agaknya.
Namun aku terus memandang kearah skrin televisyen tidak mahu menambah sakit
hati lagi dengan melihat wajah si dia.
“Jangan ingat perkara petang tadi
dah selesai.” Suara Hadif pula berbisik di telinga aku. Walaupun aku tidak
menoleh namun aku dapat rasakan betapa dekatnya tubuh kami yang hampir
bersentuhan.
“Pada saya dah selesai. Awak dah
tahu saya ni Aida. Nak macam mana lagi?” Jawabku sedikit tegas. Aku bukanlah
jenis panas baran orangnya namun kalau berhadapan dengan orang seperti Hadif
siapa pun boleh hilang sabar.
“Hah, melawan! Melawan cakap suami.”
Hadif menyiku lenganku pula. Ish, apa dia ni main siku-siku pulak. Aku lantas
mengusap lembut siku kananku tanpa memandang wajah Hadif. Mesti tengah
menyinga! Mentang-mentanglah mama dan papa tak nampak.
“Sakitlah!” Aku bersuara dengan
wajah yang masam. Ini dah kira kes penderaan tahap kecil-kecilan.
“Padan muka! Lain kali jangan
melawan cakap suami.” Hadif bersuara tegas. Alah, tak aci lah guna taktik macam
tu. Aku menggigit bibir bawah. Geram dengan cara Hadif. Nasib baik mama dan
papa ada. Kalau tidak aku pun tak bagi chance.
Mahu sahaja aku ketuk kepala dia ni!
“Amboi sibuk berbisik-bisik
nampaknya anak menantu kita ni. Mesra betul mama tengok.” Mama menepuk bahu
papa yang sedang khusyuk menonton televisyen.
Papa hanya mengerling sekilas kemudian
tersenyum senang. Aku dan Hadif juga turut tersenyum tetapi entah apa maknanya
aku juga tidak tahu. Tentu plastik semata-mata gamaknya!
“Mama, nanti untuk majlis
persandingan Aida kena pakai inai semula ke ma?” Hadif tiba-tiba lari topik
saat ini. Pelik benar soalan yang diajukan oleh lelaki yang duduk rapat
disebelah aku. Penting ke benda tu?
“Eh, mestilah! Tak cantik kalau
pengantin tak pakai inai.” Mama berkata sambil menunjukkan jari-jemarinya sebagai
bayangan sahaja.
“Inai sayang tinggal kat kuku aje
lagi. Nanti masa majlis persandingan abang pun nak pakai inai jugaklah ye.”
Hadif mengambil jari-jemariku dan digenggam erat. Sejuk tanganku saat ini.
Jantung bergetar hebat sehingga kulit wajahku terasa tebal semacam. Perlu ke
main pegang-pegang bagai? Ini dah terlebih sudah….
“Masa akad nikah mama suruh kamu
pakai inai tak mahu. Sekarang dah teringin pula” Mama menyindir Hadif. Aku
tergelak kecil mendengarnya. Namun gelak itu segera mati apabila mata Hadif
memandang aku tidak berkelip.
“Manalah Hadif tahu nak dapat puteri
kayangan cantik macam ni. Kalau tahu, sepuluh jari Hadif pakai inai pun tak
apa.” Hadif tersenyum manis menampakkan barisan giginya yang putih bersih.
Betul ke? Aku cantik macam puteri
kayangan? Ada-ada aje Hadif ni. Tak payah nak beli hati aku dengan pujian
murahanlah. Selama ini jual mahal sangat dengan aku. Tetapi pasti pujian ini
juga satu babak dalam lakonan dia. Aku meyakinkan diri agar tidak mudah
perasan. Biasalah perempuan mana yang tidak suka dipuji.
“Pilihan papa is the best!” Papa pula berkata
sambil mendabik dada.
Kami semua terus tergelak melihat
aksi papa. Sesungguhnya aku selesa berkumpul bersama papa dan mama seperti
keluarga aku sendiri. Cuma dengan Hadif aje aku tetap tidak selesa. Malah
perlakuannya juga tidak dapat dijangka. Petang tadi marah aku. Malam ni
berlakon siap panggil abang sayang bagai! Ah, pusing kepala aku lama-lama macam
ni.
“Papa, boleh Aida tanya sikit?”
Soalan aku membuatkan ketiga-tiga mereka terdiam seketika. Mereka seperti dapat
merasa soalan aku mungkin agak berat sehingga perlu meminta izin untuk
bertanya.
Aku menelan liur sebelum beranikan
diri membuka mulut. “Sebenarnya Aida dah lama nak tahu kenapa kami perlu
dijodohkan.” Soalku lagi bersama getaran di hati. Aku takut andai soalan ini
membuatkan mama dan papa tidak senang.
Sebelum sempat papa menjawab aku
menyambung kata. “Yang Aida tahu papa kawan dengan ayah sejak kecil. Tapi
kenapa perlu menjodohkan kami? Maaflah Aida tanya soal ni tapi rasanya kami
berhak tahu.” Aku memandang wajah Hadif yang berkerut seribu seperti aku turut
bertanya bagi pihaknya juga. Ah, aku juga tidak pasti Hadif ingin tahu atau
tidak soal ini.
Papa mengerutkan dahi, mama pula
terdiam. Hadif makin memperkemaskan genggaman pada tanganku. Namun aku tidak
peduli lagi. Pandangan mataku kini hanya tertumpu pada wajah papa. Aku mahu
mendengar jawapan yang lahir dari mulut papa.
“Pertama sekali, papa minta maaf
andai perbuatan kami terlalu memaksa terhadap anak-anak. Tapi papa dan ayah
mahu ikatan yang sudah terjalin antara kami semakin kukuh dan berpanjangan.
Sebenarnya kami bukan setakat kawan. Papa dulu hidup sebatang kara anak yatim
piatu sejak kecil. Ibu bapa meninggal kerana mereka penagih dadah. Papa tinggal
di bawah jambatan dengan beberapa orang kanak-kanak lain. Ayah kamu selalu
datang bermain dengan papa waktu itu.” Papa meraup mukanya beberapa kali.
Kadang-kala matanya dipejamkan untuk mengingati sesuatu. Maklumlah cerita yang
berpuluh tahun lamanya.
“Apa jadi lepas tu pa?” Soal Hadif
ingin tahu. Aku sudah dapat mengagak yang Hadif langsung tidak tahu tentang
perkara ini.
“Ayah Aida akhirnya bawa papa ke rumah
dan meminta ibu bapanya mengambil papa sebagai anak angkat. Mereka keluarga
baik-baik dan melayan papa seperti anak sendiri. Papa dibesarkan oleh mereka
sehingga papa berumur tujuh belas tahun. Kemudian kampung itu mengalami
kebakaran teruk. Habis banyak rumah yang hangus. Termasuk rumah keluarga angkat
papa tu. Sedar-sedar aje papa berada di hospital. Mendengar cerita orang
kampung ayah Aida dan keluarganya tidak dapat diselamatkan. Papa pun tidak lagi
pulang ke kampung itu. Papa bekerja di merata tempat sehinggalah dipelihara
oleh Tan Sri Razak yang bersimpati terhadap papa.” Panjang lebar papa bercerita
membuatkan aku terasa sebak mendengarnya.
“Tan Sri Razak adalah tuan punya
ladang kuda tempat papa bekerja waktu itu. Dia tidak mempunyai anak lelaki jadi
dia jatuh simpati pada papa dan ambil untuk menjadi anak angkat. Dia adalah
atok Hadif sekarang dan tiga orang makcik Hadif adalah kakak angkat papa.” Mama
pula mengambil peranan untuk bercerita. Sungguh aku terdiam tanpa mampu berkata
apa-apa. Ada air jernih yang bertakung di pelupuk mata. Tidak sangka papa
mempunyai sejarah silam yang begitu tragis.
Aku memandang wajah Hadif dan
ternyata dia juga turut terkejut mendengar kisah papa. Aku menyeka sedikit air
jernih dari turun membasahi pipi. Sentimental betul aku ni. Hadif tersenyum
tawar dan menarik aku lembut bersandar ke dalam pelukannya. Tanpa sedar aku
merelakan perbuatannya itu. Malah aku rasa tenang di dalam pelukan Hadif.
“Sebab itu papa macam tak percaya
boleh jumpa ayah kamu di Pulau Langkawi dulu. Papa tak akan lupa wajah insan
mulia yang telah menyelamatkan papa dan memberikan papa perlindungan. Walaupun
ayah kamu dah tua sekarang dan wajahnya sedikit berubah. Papa bersyukur dapat
berjumpa dia semula.” Papa menyambung kata sambil menyeka air jernih yang
bergenang di pelupuk matanya. Tentu sukar menceritakan kisah silam yang pahit walaupun
setelah berpuluh tahun perkara itu berlalu.
“Betul tu Aida, sebab waktu tu papa
kecil lagi. Dalam lingkungan tujuh atau lapan tahun. Kalau ayah Aida tak bawa
papa ke rumah, tentu kamu dapat bayangkan nasib papa yang tinggal di bawah
jambatan tu kan? Entah-entah papa tak akan hidup sampai saat ini dan tak akan
ditemui oleh Tan Sri Razak. Padahal ayah kamu tu tua dua tahun aje dari papa.
Tapi mulianya hati dia Tuhan aje dapat membalasnya.” Mama menyokong kata-kata
papa tadi sambil mengusap lembut bahu papa cuba memberikan sedikit ketenangan
pada suaminya.
Tiba-tiba aku tersedar tangan yang
memelukku sejak tadi adalah tangan Hadif. Aku berada dalam dakapan Hadif. Erk!
Dah lama berpeluk baru nak tersedar. Aku terus meleraikan pelukannya dan
menjarakkan sedikit kedudukan kami. Terasa mukaku tebal berinci-inci kalah buku
teks sekolah. Hadif pula hanya memandang aku dengan pandangan yang aneh.
Matanya redup dan tenang. Tetapi aku tidak berani menatap lama seraya melarikan
wajah.
“Macam mana ye ayah dan nenek boleh
selamat dari kebakaran tu? Setahu Aida, mereka cuma pernah bercerita yang arwah
atok meninggal dalam satu kebakaran. Aida pernah tengok gambar atok aje sebab
masa Aida lahir atok dah lama tiada.” Aku mengerutkan dahi dan menggigit jari
telunjuk seakan sedang berfikir.
“Mayat memang tak dapat dikenalpasti
masa tu. Rentung habis. Lagi pula zaman kami kecik-kecik dulu mana ada nak DNA test macam sekarang. Mengikut cerita
ayah kamu, dia dan ibunya menaiki sampan ke kampung seberang ada orang
bersalin. Dia temankan nenek kamulah tu. Nenek kamu kan bidan terkenal zaman
dulu. Balik-balik aje orang kampung ramai yang dah tak ada. Mereka terus
menumpang duduk dengan adik nenek kamu sampailah ayah kamu bekerja.” Terang
papa lagi. Aku menganggukkan kepala beberapa kali dan memegang hujung baju
tidurku. Sebenarnya aku rasa bersalah membangkitkan isu ini sehingga papa
terpaksa mengingati semula kisah hitam yang berlaku semasa zaman
kanak-kanaknya. Kesian papa.
“Kenapa papa dan mama tak pernah
cerita pun pada Hadif?” Tiba-tiba Hadif pula bersuara dengan wajah yang
berkerut.
Papa dan mama saling berpandangan
untuk seketika. “Sebenarnya kami memang nak ceritakan pada Hadif sebelum
perkahwinan kamu tapi Hadif tak nak dengar masa tu. Hadif marah sebab dipaksa
berkahwin.” Jawab mama jujur.
Aku tertunduk memandang lengan baju
tidurku yang berwarna merah jambu. Aku tidak sanggup memandang Hadif. Aku tahu
dia pasti berasa terbeban dengan perkahwinan ini. Malah aku juga. Tetapi
semuanya dah berlaku. Aku perlu menjadi seorang isteri selama mana dia perlukan
aku dan aku akan pergi seandainya dia mahu melepaskan ikatan kami.
Kuasa berada
ditangan Hadif, bukan pada aku....
16 comments:
Sardisnya kisah papa Hadif. Harap2 apa yang diluahkan oleh Hadif itulah ikhlas daripada lubuk hatinya.
Semoga jodoh mereka berpanjangan!
Dan bunga-bunga cinta kian mekar.
kenapa saya rasa macam, ssuatu eh bila baca ? rinndu abah kat penang.. baikkan ayah aida tu.. hope saya dapat jadi sbaik tu satu hari nanti, insya Allah :)
Ooo begitu kisahnya ayah Hadif dan Aida....terharunya. Harap Hadiff dan Aida dapat menghilangkan kekusutan yang ada dan semoga kasih sayang wujud di antara mereka selamanya. Aida teruslah jadi isteri yang baik buat Hadiff dan begitu juga Hadiff...
Shafriza: kisah tu mmg sadis & kisah benar..akak, teruskan menulis tau..saya pun sokong akak jgk..jgn sedih2 lg..
Ikin: mulia sgt hati manusia ni kan..=)
Seri Ayu: Amin..hero & heroin harap2 dpt hidup bahagia kan..hihi
im late ...huhuhu..kisah yg sedih..
dan kenapa hadif peluk2 aida?
macam dah syg je kat aida...hehehe...
sungguh tak sabar nak baca episod yg seterusnya...cerita yg sgt2 menarik...suka sgt taw !! cepat2 wat entry next episod :)
Azian: saje la nak peluk bini sendiri haha gatal kan...hikhik
harap2 bunga2 cinta berputik dan berkembang, belajar mnghormati dan mencari bahagia, papa hadif buat pilihan yang tepat..so hadif kena hargai aida.. next please shiz
Sharifah: yup betul..orang2 tua buat sesuatu tu mereka dah fikir panjang selalunya...
salam dik.. macam mana ek si Hadiff tu boleh bertukar characternya dari ego sombong cynical boleh bertukar menjadi seorg lelaki yg romantik giler penyanyang..macam mamat stone ni mempunyai split personality pulak kan?
Apakah yg mereka akan lakukan baik Aida atau Hadiff bila mengetahui citer disebalik perkawenan mereka ini.. adakah Hadiff akan betul betul berubah dan ikhlas dalan melayari perkawenan bersama Aida dan memulakan satu perhubungan dimana dia akan menjadikan hari itu satu platform untuk dia menerima Aida dan belajar untuk mencintai gadis itu..atau terus berpura pura menjadikan dirinya seorg suami yg diharapkan didepan keluarga mereka sahaja tetapi dibelakang mereka..mereka akan tetap menjalani kehidupan yg berbeza..
Apa apa pun mmg akak rasa macam tak sabar nak tunggu next E3..
idA: wsalam kak ida..Hadif tu mmg dah tertarik kat Suha...dia rasa selesa brkwn..tp bila dpt tau tu rupanya isteri dia, mulalah nak berbunga hati..hehe tapi sbg manusia kadang2 kita pun keliru dgn rasa hati kan..berperang dgn diri sendiri yg paling sukar..apa2 pun komen kak ida mabeles! tQ
ADa brp lg bab ni?? Haha..
Haha agak byk la mohd..nape? dah tak sanggup nak baca ke? kuang2x
Sanggup, tiap2 mlm sblm tdo..bkk, baca..setia taw!
aduhaii ni yg terharu ni..tQ so much ye encik MOHD..jgn lupa smpaikan salam saya kat Siti Nurhaliza..nak jugak2 =)
sdihnye bab ni....bapa dia dulu org susah...rasa nk nangis je...ayh dia xpnh pown lupakan jasa org yg dah jga dia waluapown hnya sementara....tpkan rasanya hadif dah syg kat aida ni..heheh..cuma xnk mgaku katakn..laki kan ego....tkut sgt nk mgaku....
hhuhu.lgi satu..gram ngan hadif..pndai sgguh dia berlakon dpn mama n papa dia..huhuhu...tau x berdosa...hehhe..syurga ko kat bwah kaki mama ko..hehhe...peace kak sue...(^_^)V...jgn marah ye..
Post a Comment