“Morning,” Aku menyapa Wawa apabila aku
melihat dia baru keluar dari bilik air. Rambutnya yang basah digosok perlahan
dengan tuala.
Wawa tersenyum. “Morning. Pergilah mandi lepas tu kita
sarapan sama.”
Aku menggeliat beberapa kali.
Kemudian bangun dari katil dan melangkah malas menuju ke bilik air. Tuala yang
berada di penyangkut besi aku capai.
Selepas membersihkan diri, aku
keluar dan memakai baju. Kemudian duduk di meja solek untuk berbedak dan
merapikan diri serba ringkas. Mata Wawa tidak lepas memandang setiap
pergerakanku sejak tadi.
“Dia ada hubungi kau?” Wawa
tiba-tiba menyoal.
“Siapa?” Aku mengangkat kening
sambil tangan menyapu sedikit lip balm
di bibir mungilku.
“En.Suami lah. Siapa lagi.” Wawa
menjawab. Mukanya serius mungkin kerana aku tidak dapat meneka soalannya tadi.
“En.Suami? He he he!”
“Kenapa pula kau gelak? Orang tanya
betul-betul lah.” Wawa menarik muncung. Tidak berpuas hati dengan sikapku.
“Dulu kita panggil dia En.Tunang
kan.” Aku menghabiskan ketawa yang masih bersisa.
“Sekarang kan dia dah naik pangkat
jadi En.Suami.” Balas Wawa selamba sambil muka masih masam mencuka.
“Tak ada pun. Buat apa dia nak ingat
aku.” Balasku pula agar Wawa berpuas hati. Tidak mahu aku melihat muncungnya
lebih lama. Bukannya cantik muncung sebegitu.
“Dia tak takut kau bagi tahu mak kau
ke...mama dia ke…” Soal Wawa lagi.
Aku menggarukan kepala yang tidak
gatal sebelum membuka mulut. “Tak kut. Sebab mereka semua ingat kami pergi honeymoon. Tentu mereka tak nak ganggu.
Jadi buat seminggu ni aku rasa keadaan terkawal.” Jawabku jujur. Itu memang
jawapan terbaik yang aku rasa buat masa ini.
“Dah start kuliah nanti tentu mak kau call. Tanya itu ini. Confirm!”
Balas Wawa yakin.
“Nanti aje lah fikir. Jom kita
sarapan.” Aku bangun dari meja solek dan menuju ke muka pintu. Baru hendak
membuka pintu, terdengar telefon bimbitku berbunyi menandakan ada mesej masuk.
“Nah!” Wawa dengan pantas
menghulurkan telefon bimbit yang berada di bawah bantal.
Aku kalau tidur memang suka letak
telefon bimbit di bawah bantal. Senang rasanya hendak dicapai untuk melihat jam
atau apabila telefon itu berbakti sebagai jam loceng. Pantas tanganku menekan
punat mesej dan membaca ayat yang tertera di skrin.
Jaga diri baik-baik tinggal sendiri
kat kolej. Jaga juga rahsia kita dari keluarga.
“Hish!! Geram betul aku dengan dia
ni. Suka sangat menyakitkan hati.” Aku merengus marah. Dadaku mula bergelora
dibadai perasaan yang tidak tahu dimana patut aku lepaskan.
Sudahlah
semalam dia langsung tidak kisah tinggalkan aku di kolej kediaman yang sunyi
sepi. Musim cuti juga tiada satu kafe pun beroperasi di dalam kampus. Bukan dia
tidak tahu aku tidak mempunyai kereta yang mudah untuk bergerak seperti dia.
Memang dia sengaja menyusahkan hidup aku. Langsung tidak fikir macam mana aku
nak makan, aku tinggal seorang-seorang. Ah, kejam sungguh lelaki yang telah
dinaikkan pangkat menjadi En.Suami itu!
Wawa
mengambil telefon bimbit dari tanganku. Kemudian anak matanya menari ke kiri
dan ke kanan membaca mesej itu beberapa kali.
“Jangan
ambil hati sangat lah Aida. Perang psikologi aje ni.” Wawa meletakkan telefon
itu di atas meja solek.
“Jom
sarapan. Aku lapar ni.” Rengek Wawa pula membuat mimik muka comel dihadapanku.
Matanya dikelip-kelipkan beberapa kali.
“Comel sangatlah konon.” Aku
mengejek sambil beriringan melangkah keluar dari bilik menuju ke dapur.
“Cantik inai dan corak henna yang
Aida pakai ni. Buat kat mana?” Makcik Azizah ibu kepada Wawa bertanya sambil
menuangkan air teh panas ke dalam cawan.
“Kat butik pengantin. Memang dah
termasuk dalam pakej yang mertua Aida pilih hari tu.” Aku tersenyum sambil
menyambut huluran cawan berisi teh yang berasap nipis.
“Yelah. Orang putih melepak pakai
inai memang cantik. Nampak berseri makcik tengok.” Makcik Azizah mengambil
tempat duduk di sebelah Wawa.
“Alah, mak ni. Wawa pun putih
melepak jugak tapi Aida sekarang kan lain. Dia ada seri pengantin baru.” Wawa
mengusikku sambil mengenyitkan matanya.
Aku turut tersenyum tawar.
Sememangnya Makcik Azizah mengetahui yang aku baru sahaja bernikah dua hari
lepas. Tetapi Wawa memberitahuku bahawa ibunya menganggap perkahwinan aku
adalah seperti orang lain. Berkahwin atas dasar suka sama suka.
“Maaf ye makcik, tak dapat Aida nak jemput dua hari lepas. Kami
buat kecil-kecilan aje. Tapi untuk majlis persandingan nanti makcik kena datang
tau.” Aku bersuara lagi sambil memasukkan karipap ke dalam mulut.
Betul ke akan berlangsung majlis
persandingan yang dirancangkan oleh keluarga kami awal tahun hadapan? Aku
sendiri tidak pasti sebenarnya. Entah-entah masa itu kami sudah berpisah, siapa
yang tahu.
Makcik Azizah kelihatan
menganggukkan kepalanya beberapa kali. “Tak apa Aida. Makcik faham. Wawa pun
dah bagi tahu makcik awal-awal. Lepas ni kamu duduk sekali dengan suami kamu
lah ye?” Soal Makcik Azizah lagi.
Aku menelan liur. Kemudian aku
memandang wajah Wawa seperti meminta pertolongan. Otak, cepat fikir! Arahku
keras. Namun idea masih belum datang.
“Er…Aida duduk macam biasa kat kolej
rasanya. Family planning…” Wawa menjawab
sambil tersengih-sengih.
Puihhh!! Wawa ni apa punya jawapanlah
yang dia bagi pada mak dia. Buat merah muka aku sahaja. Aku mengutuk di dalam
hati.
Makcik Azizah turut tersengih
memandang aku sebelum membuka mulut untuk bersuara lagi. “Bagus lah Aida dah
pun selamat jadi isteri orang. Wawa ni yang makcik risaukan.”
“Eh, kenapa pulak Wawa masuk dalam
ini cerita?” Wawa menyoal dengan pandangan yang pelik. Nampak sangat riak
wajahnya yang terkejut.
“Menjaga anak dara ni tak sama
dengan anak teruna. Simpan lama-lama jadi buah mulut orang. Silap-silap boleh
menconteng arang ke muka keluarga.” Terang Makcik Azizah.
Gulp! Aku dan Wawa saling
berpandangan. Terkejut dan mati kata. Serius sahaja topik yang dikeluarkan oleh
Makcik Azizah saat ini.
“Tak baik mak cakap macam tu. Wawa
tak mungkin buat benda-benda tak senonohlah mak…” Rengek Wawa manja. Kemudian
dia meneguk sedikit air teh yang sudah mulai sejuk.
“Mak yakin anak dara mak ni pandai
jaga diri. Tapi sekarang ni macam-macam kes. Rogol lah, bunuh lah, culik, jual.
Eeeiii risau dibuatnya!” Makcik Azizah menggelengkan kepala beberapa kali. Riak
risau di wajahnya tidak mampu disembunyikan lagi.
Aku sekadar menjadi pendengar dan
pemerhati sahaja. Tidak tahu untuk mencelah. Biarlah mereka anak-beranak
berbual, fikirku.
“Insyaallah tak ada benda buruk yang
berlaku. Mak doakan selalu ye.” Wawa melentokkan kepala ke bahu Makcik Azizah.
“Mak selalu doakan. Tapi kamu jangan
suka merayap tak tentu hala. Dating
pun jangan kerap sangat. Lebih elok keluar beramai-ramai. Tak ada jadi fitnah
esok-esok hari.” Pesan Makcik Azizah lembut tetapi terselit ketegasannya dalam
mendidik anak.
“Yes
bos!” Wawa memberikan tabik kepada ibunya sambil bibir mengulum senyum.
“Bertuah Aida ada orang nak jaga
dia. Nak harapkan teman lelaki Wawa memang makcik tak harap sangat! Nanti lain
pula jadinya. Hah, nanti kalau dah cukup duit suruh Alif tu datang meminang.
Tak payah tunggu kamu habis belajar. Mak setuju aje.” Makcik Azizah terus
bangkit mengangkat cawan ke dapur.
Wawa mencebikkan bibir. “Mak aku tu
mulalah nak merepek.” Dia berbisik perlahan.
Aku tersenyum sebelum menjawab. “Tak
apalah Wawa. Apa yang dia risaukan tu berasas. Dah dapat green light okeylah tu kan? Lepas ni turn kau pulak.”
Wawa tersipu malu-malu. Aku pula
terus mencapai bungkusan nasi lemak dan membukanya. Pantas tangan menyudu nasi
ke dalam mulut. Wawa juga melakukan perkara yang sama setelah habis sebiji
karipap ditelannya.
Rancangan
televisyen sudah tidak menarik perhatianku lagi. Mataku mula layu dan tertutup
perlahan-lahan. Mimpi-mimpi indah tidak pernah muncul lagi di malam hari mahu
pun di siang hari. Hanya igauan ngeri yang sesekali mengganggu lenaku.
“Aida! Bangun.” Wawa menggoncangkan
bahuku beberapa kali.
Aku terkejut dan membuka mata.
“Hah?” Itu sahaja yang keluar dari mulutku sambil tangan menggosok-gosok mata.
“Ni! Hadif call kau dah tiga kali tak berjawab. Aku pun baru terperasan masa
masuk bilik tadi.” Wawa memberikan telefon bimbitku di atas tapak tangan.
Aku masih berbaring di atas sofa
seperti tidak mahu melakukan apa-apa tindakan. Wawa pula duduk di bawah dan
bersandar pada sofa.
“Call
back. Mungkin penting.” Kata Wawa sambil menatap mataku yang masih kuyu.
“Telefon aje Aida. Suami kamu rindu
agaknya. Yelah, baru dua hari menikah dah terpaksa berjauhan.” Makcik Azizah
pula mencelah dari sebalik dinding yang memisahkan ruang tamu dan juga ruang
tengah.
Kelihatan Makcik Azizah keluar dari
ruang tengah dengan membawa bakul baju yang telah siap dilipat. Wawa ada
memaklumkan pada aku yang dia terpaksa menipu mengatakan Hadif mengikuti
lawatan wajib untuk subjek semester ini. Perkara itu juga bukanlah luar biasa
kerana sudah dua semester kami turut terpaksa mengikuti lawatan wajib untuk
mendapatkan markah kerja kursus bagi sesuatu subjek yang diambil.
Perlahan aku bangun dengan rasa
malas. Aku menunjukkan isyarat tangan kepada Wawa bahawa aku mahu masuk ke
dalam bilik untuk membuat panggilan. Wawa sekadar mengangguk sebagai jawapan.
“Tutt! Tutt!”
Ah, mengarut! Orang sekarang dah
pakai caller ringtone kau masih pakai
bunyi tut tut. Boring betul. Dalam
debaran yang semakin kencang untuk menunggu panggilan berjawab sempat lagi aku
mengutuk di dalam hati.
“Hei kau pergi mana hah?!” Satu
jeritan bingit menusuk ke telinga aku.
Sah! Dah lah biadab tak pandai bagi
salam. Ada hati pula nak tengking aku. Otak tiga suku punya Hadif.
“Assalamualaikum.” Aku memberi salam
namun nada suara aku tekankan sedikit agar memberi kesedaran pada tuan punya
badan di hujung talian.
“Waalaikumsalam. Aku tanya kau pergi
mana?” Soal Hadif dengan suara sedikit kendur namun masih dalam nada yang
tegas.
Aku menarik nafas dalam-dalam. “Nak
marah-marah ni kenapa sayang?” Soalku pula sengaja memanjakan suara. Aku
sengaja mahu mengusik Hadif. Wekk! Aku sendiri geli tekak menyebutnya.
“Tak payah nak bersayang dengan aku!
Aku tanya kau pergi mana?!” Hadif mula meninggikan suara semula. Bengang kerana
aku masih belum menjawab soalannya dari tadi.
“Tak kemana-mana.” Jawabku pendek.
“Kau jangan bohong. Aku datang tadi
kau tak ada kat bilik kan? Lama aku tunggu kau tak balik-balik.” Bentak Hadif
kasar. Nampaknya marah Hadif benar-benar serius.
“Kau naik bilik aku ke?!” Aku
terjerit kecil. Mana boleh lelaki naik blok perempuan. Tak kan itu pun aku nak
ajar?
Terdengar ketawa bernada menyindir.
“Kau ingat aku bodoh ke? Aku suruh kerani pejabat kolej kau naik check lah. Dia kata bilik kau kosong.
Memang tak ada tanda kau balik bilik tu.”
Mati aku! Aku telan liur yang terasa
kering di tekak. Eh, buat apa pula nak takut? Aku bukan buat salah apa pun. “Aku
tidur rumah kawan.” Akhirnya ayat itu yang keluar tanpa aku berfikir panjang.
Buat pening kepala aje nak corner
sana sini.
“Kau patut bagi tahu aku mana kau
pergi! Menyusahkan orang aje yang kau tahu.” Bentak Hadif lagi.
Eh! Ni dah melebih-lebih nampaknya.
Aku tidak boleh berdiam lagi. Jangan ingat senang aje nak pijak kepala aku.
“Kau pesan semalam kata aku dengan
hidup aku, kau dengan hidup kau. Rasanya apa aku buat sekarang ni tak salah.
Aku tengah buat hidup aku lah ni.” Aku berkata dengan sinis. Darah mula
mendidih membakar segenap pembuluh darah.
“Hal-hal penting kau kena bagi tahu.
Ingat tu!” Pesan Hadif.
Aku mengerutkan dahi. Pulak! “Mana
aku tahu hal ni hal penting.” Laju aku membidas kata-katanya. Ah, Aida Nasuha
kau memang kuat menjawab dari dulu. Tak nak kalah.
“Ada apa kau datang cari aku?”
Segera aku bertanya soalan yang bermain di fikiran aku dari tadi. Tidak mahu
berlama-lama bertekak dengan lelaki ini.
“Aku datang hantar makanan kat kau.”
Jawapan Hadif membuatkan aku menutup mulut. Biar betul? Aku tak salah dengar?
“Buat apa?” Aku bertanya. Nada
suaraku mulai kendur.
“Mana ada kafe buka musim cuti.”
Hadif menjawab pendek. Tanpa dapat ditahan bibirku mengulum senyum mendengar
jawapannya. Pandai juga lelaki sombong ni mahu mengambil berat.
“Kenapa kau tak hantar makanan untuk
aku malam tadi?” Aku mencuba nasib untuk melihat reaksinya.
“Aku hantar kereta kat bengkel tadi
jadi aku hantar makan tengah hari aje. Bila kau nak balik?” Eeeiii….risau kat
aku ke? Aku sudah tersenyum lebar. Darah yang tadi mendidih serta-merta turun
suhunya.
Walaupun dia tak hantar makan untuk
malam tadi, sarapan untuk pagi tadi tapi sekurang-kurangnya dia hantar makan
tengah hari untuk aku. Maknanya dia tidaklah seburuk yang aku sangkakan, betul
tak?
“Erm…terima kasih ye. Tak perlu
susah-susah. Aku duduk sini sampai habis cuti. Duduk seorang kat sana pun buat
apa.” Aku menjawab sambil tersenyum manis. Walaupun aku tahu bukan Hadif boleh
nampak pun senyuman aku ni. Lainlah kalau dia nak 3G dengan aku. Sudi ke?
“Kat mana rumah kawan kau?” Hadif
bertanya lagi. Aku rasa gelaran En.Suami sudah boleh ditukar kepada En.Soal.
Banyak sangat soalan dia bertubi-tubi.
“Jitra.” Jawabku sepatah.
“Ikut suka kau lah.” Talian
dimatikan tanpa sempat aku berkata apa-apa.
Aku terus menghempas badan di atas
katil. Mata ku pejamkan rapat-rapat. Ada bunga-bunga meresap ke dalam hati.
Ingatkan dia tak kisahkan aku langsung. Rupanya baik juga hantarkan makanan
untuk aku. Kalau layan elok-elok tak adalah aku ni stress memanjang. Aku tersenyum senang.
***Pecah kaca pecah simen,
Sudah baca harap komen =)
9 comments:
En. Suami ter, pasni En. Soal... Pehtu En. Sayang lah pulak...
Tadi akak terjumpa PM Asmeh Bee kat Alamanda, dgn anak dia. Tak sempat nak tegur, kenal kan makchik tu?
kenal..pernah ada paper dgn dia..very strict bab markah..tp cara mngajar mmg mabeles..mudah faham hihi
kesiannya seorg anak yg bernama Aida..berkahwin dengan pilihan keluarga tapi bukan pilihan si teruna..Jahatnya suaminya meninggalkan nya dikolej sudah tentu tidak berpenghuni sedangkan dia mungkin sdg berjimba jimba dengan kawan kawan dia dan mungkin duduk dihotel.. Kemana kah nanti hala tuju perkahwinan mereka ini..
Memang ramai yang simpati pada nasib Aida Nasuha ni..terima kasih meluangkan masa membaca novel saya..nak tahu kemana hala tuju perkahwinan mereka, ikuti kisah ini sehingga tamat =)
Suka citer ni....xsabar nk tggu nest n3... :)
tQ anna kerana mbaca novel saya..=) teruskan myokong dan mngikuti cerita ni..hihi
baik jugak en suami ni yek..
ada bunga2 cinta dah tu..makin lama makin best cerita ni lah..hehehe..
suami dia ni egoo. nak2 tapi marah2 haha
cite yg menarik..apa kata jdkan aida seorg yg lembut plak..kot2 bole hadif tangkap cintun..heh..
Post a Comment