Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Saturday, August 25, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 7




            Hati aku sangat gementar saat ini. Jantung memainkan irama yang tidak menentu dan lebih lama lagi penantian ini akan membuatkan aku pengsan tidak bernafas! Ema yang berada di sebelahku turut seperti tidak tenang. Sekejap dia bangun mengintai dari cermin tingkap bilik kearah tempat meletak kenderaan yang dapat dilihat dari dalam bilik ini. Sekejap pula dia duduk sambil menggenggam tangan aku. Walaupun kami membisu seribu bahasa sejak lima belas minit yang lalu namun melalui pandangan mata aku yakin dia memahami perasaanku ketika ini.

            “Ehem…” Aku membetulkan suara untuk meneruskan bicara.

            “Kejap lagi sampai lah kut.” Aku tersenyum tawar. Pucat dibibir dan sejuk seluruh badan kurasakan. Nasib baik aku mencalit sedikit solekan tipis diwajah agar nampak lebih segar.

            “Apa-apa nanti call aku. Hari ini aku tak ada pergi mana-mana duduk melepak dalam bilik aje.” Ema turut tersenyum. Namun tentunya senyuman dia lebih manis daripada aku yang seperti ayam berak kapur.

            Mana tidaknya, sejak mendapat panggilan awal pagi tadi aku terus tidak senang duduk.

       “Assalamualaikum Aida…” Suara lembut wanita ditalian membuatkan wajahku berkerut seribu. Walaupun ketika melihat nombor tidak dikenali yang terpapar pada skrin telefon bimbitku tadi aku jawab dengan rasa tenang pada mulanya.

            “Waalaikumsalam. Ye saya Aida. Siapa ni?”

           “Ni mama Hadif. Kami nak datang jemput Aida jam sebelas pagi. Hari ni cuti kan? Aida siap-siap lah ye. Nanti kami sampai.” Lunak dan lembut suara itu penuh dengan sifat keibuannya.

            Aku telan liur yang terasa tersekat di kerongkong. Pahit dan kelat. Macam nak terkencing dalam seluar pun ada! Pengecut betul lah kau Aida.

            “Er…erm…baiklah…” Itu sahaja yang kau mampu jawab Aida? Hishh….

            “Great! See you. Assalamualaikum.”

            “Waalaikumsalam.” Aku terus mematikan talian.

            Kemudian bermulalah babak aku mengadu kepada Ema dan meminta pelbagai pendapat walaupun Ema cuma mampu menyuruh aku bertenang. Hal pernikahan yang bakal berlangsung pada tarikh hari lahirku yang kedua puluh satu tahun hanya Ema, Akma serta Wawa sahaja yang mengetahuinya. Oh, ya! Fana baru sahaja mengetahuinya beberapa hari lalu. Biarpun agak lewat aku memaklumkan namun dia sanggup menangguhkan rancangan mengikut suaminya berkursus semata-mata mahu disisi aku pada hari pernikahan. Malah tekaanku juga ternyata benar apabila makcik itu terkejut beruk mendengar perkhabaran ini.

            Ema menggerakkan bahuku perlahan lantas mematikan lamunanku. “Mereka dah sampai.” Bisik Ema perlahan.

            Aku memejam celik kan mataku beberapa kali. Kemudian aku memandang Ema dan dia sekadar mengangguk dan tersenyum. Aku bingkas bangun dan beg tangan aku sandang di bahu. Aku keluarkan kasut dari dalam rak dan aku menoleh sekilas pada Ema sebelum tangan mencapai tombol pintu.

            “Doakan aku…” Itu sahaja ayat yang keluar dari mulutku saat ini. Ema sekadar tersenyum dan melambaikan tangan. Aku membalas semula lambaiannya dan turut tersenyum walaupun terasa hambar.

            Aku menuruni anak tangga agak gopoh kerana tidak mahu mereka menunggu terlalu lama dibawah. Mereka? Adakah hanya mama dan papa Hadif atau lelaki yang bernama Hadif itu akan turut serta bersama? Adakah selepas hari ini aku, Wawa dan Akma tidak perlu lagi menjalankan misi untuk menyiasat siapakah En.Tunang yang sebenarnya? Jawapannya hanya ada apabila aku menemui mereka sebentar lagi.

            Aku merapati kereta mewah BMW putih itu perlahan. Tak nampak pula siapa di dalamnya kerana cermin kereta terlalu gelap. Kemudian keluar seorang wanita lebih kurang sebaya dengan mak dari tempat duduk penumpang bahagian hadapan. Namun nampak lebih jauh bergaya daripada mak. Dia menanggalkan kaca mata hitamnya dan tersenyum padaku.

            “Aida. Seronoknya dapat bertentang mata. Jom masuk dalam kereta! Panas kat luar ni.” Dia memelukku erat kemudian membukakan pintu bahagian belakang untuk aku. Baiknya dia, desis hatiku. Namun bibirku hanya tersenyum tawar dan perlahan-lahan masuk ke dalam kereta.

            “Apa khabar Aida?” Sapa seorang lelaki separuh abad yang memandu kereta mewah ini sambil melihat aku melalui cermin pandang belakang.

            Aku sedikit gugup. Menarik nafas dalam-dalam agar tidak dapat dihidu gementar yang melanda seluruh jiwa raga saat ini.

            “Baik, Alhamdulillah.” Jawabku sambil menundukkan sedikit kepala kepadanya.

            “Amboi cantik dan sopan Aida ni kan, bang?” Wanita tadi menepuk bahu lelaki disebelahnya mesra. Aku sekadar tersenyum sumbing dan menyelesakan duduk. Nampaknya aku seorang sahaja duduk di tempat duduk belakang ini. Mana Hadif?

            “Mestilah sebab ayah dia pun seorang yang baik sangat. Mana tumpahnya kalau tidak pada anak dia.” Lelaki itu menjawab dengan diiringi ketawa kecil dari bibirnya.

            “Tapi tak sangka Aida lebih cantik apabila mama tengok orangnya berbanding dalam gambar. Jom bang. Lambat pula kita nanti.”

          Mama? Aik?! Aku rasa tidak salah dengar wanita itu membahasakan dirinya mama kepadaku. Walaupun aku telah ditunangkan tanpa tuan punya badan, namun aku yakin aku tidak boleh dinikahkan tanpa kehadiran aku. Sejak bila pula aku ada mama lain ni?

            “Yelah Aida. Tadi kamu turun papa ingatkan kamu ni gadis cina mana yang menuju kearah kami. Kamu ni Chinese look seperti mak kamu.” Lelaki tersebut berkata lagi sambil tangannya mula menurunkan brek tangan dan memusingkan stereng kereta untuk membelok keluar dari kolej kediaman ini.

            Papa? Ah, sudah! Seorang lagi membuatkan aku pening kepala. Kereta mewah yang sewajarnya sejuk dan selesa namun sebaliknya pula yang aku rasai.

            Setelah sepuluh minit berlalu namun aku masih tidak tahu kemana arah hendak dituju. Bukan takut sebab aku yakin tak mungkin mereka mahu menculik aku. Cuma aku ingin tahu apakah tujuan mereka menjemput aku hari ini.

            “Kita nak kemana ni auntie?” Akhirnya terpacul juga soalan itu walaupun aku rasa seperti antara dengar dengan tidak sahaja pada pendengaranku. Short circuit ke telinga aku?

            “Eh, ada pulak panggil auntie! Panggil mama…kan tinggal berapa minggu aje lagi nak jadi menantu mama. Biasa-biasakan lah ye.” Wanita itu menjawab lembut.

            “Ha, betul apa yang mama cakapkan tu Aida! Panggil mama dengan papa sahaja okey?” Lelaki yang sedang tekun memandu itu pula menambah. Belum sempat aku berkata dia sudah menyambung ayatnya.

            “Kita nak ke butik pengantin di Alor Star. Cari baju nikah untuk kamu dan Hadif.”

           “Hah?! Bu…butik…pengantin?” Ternyata aku sudah tidak mampu berlagak tenang seperti awal-awal tadi. Jantungku seakan berhenti mengepam darah. Boleh kena strok aku macam ni.

            “Kita ambil mak andam kat sini ajelah ye sayang. Mama dah bincang dengan keluarga kamu hari tu. Memandangkan kamu berdua cuti pertengahan semester dua minggu saja, lebih baik nikah disini. Kemudian kamu boleh pre-honeymoon ke Langkawi dulu. Lagipun majlis nikah ni kecil-kecilan. Majlis persandingan awal tahun hadapan tentu kita buat di Johor dan Ipoh okey.” Penjelasan wanita yang menggelar dirinya mama itu aku telan sebiji-biji walaupun setiap biji ibarat sebesar buah tembikai.

         “Nikah kat sini? Dua minggu sempat rasanya nikah kat rumah aje…” Aku mengeluh perlahan walaupun aku sedar mereka pasti dapat menangkap butir bicaraku itu.

            “Kami tak mahu membebankan kamu berdua. Lepas majlis nikah selesai kami boleh pulang dan kamu berdua boleh honeymoon dulu. Nanti majlis persandingan kita boleh buat besar-besaran dan kamu boleh honeymoon ke luar negara pula. Kan masa tu cuti semester dua bulan.” Papa pula mencelah untuk menerangkan duduk letaknya perkara ini. Papa? Kekoknya nak sebut…kalau ayah tu aku biasalah….

            Aku mengetap bibir. Geram dan sebal pula rasanya. Tidak mahu membebankan? Kalau betul tidak mahu membebankan, untuk apa pernikahan ini? Sudah pastinya untuk membebankan aku yang sudah sedia terbeban dengan gelaran mahasiswi ini. Bergelumang dengan kuliah yang padat, tugasan yang banyak dan buku atau tesis yang tebal.

            Akhirnya perjalanan kami dihiasi bibit kesunyian. Malah aku juga tidak sedar sejak bila mata aku tertutup dan terlena sepanjang perjalanan yang hanya mengambil masa selama satu jam. Itu pun kalau jalan tidak sesak pada hari cuti begini.

            “Aida, bangun sayang. Kita dah sampai.” Lembut suara itu menyapa telingaku.

           Aku membuka mata perlahan-lahan dan aku tidak memerlukan masa yang lama untuk melihat dengan jelas muka mama yang sedang tersenyum.

     “Oh…” ujarku sepatah. Kemudian aku terus turun dan berdiri tegak disebelah kereta sambil memperkemaskan sedikit rambutku yang dilepas bebas.

      Kami berjalan memasuki sebuah butik pengantin yang sederhana besar luasnya. Aku kemudian dipersilakan duduk oleh pekerja butik di sebuah sofa yang berada ditengah-tengah butik. Manakala mama dan papa sibuk meneliti dan memilih baju-baju yang terdapat di sini. Lama juga aku sekadar menjadi pemerhati atau kata yang lebih sesuai ialah ‘pak pacak’.

            “Yang ni cantik tak?” Mama datang menayangkan sepasang baju kebaya labuh berwarna putih yang penuh dengan kilauan manik-manik indah.

            Aku mengangguk perlahan.

           “Ni pun cantik juga Aida. Sesuai dengan kulit kamu yang putih bersih.” Papa pula datang dengan baju kurung moden bersulam mutiara warna ungu muda.

            Aku mengangguk lagi.

          Mama yang kelihatan bingung terus mencapai telefon dari dalam beg tangannya. Kelihatan dia mendail nombor seseorang.

            “Hadif, mama dengan Aida ada kat butik pengantin sekarang ni. Banyak sangat yang cantik sampai tak tahu nak pilih mana satu. Hadif nak warna apa?” Mama galak bercerita kepada anak lelaki tunggalnya. Kemudian dia menghampiriku dan telefon bimbit tersebut dihulurkan kepadaku pula.

           Aku cemas dan terkejut. Namun mama memberi isyarat agar aku bercakap dengan orang yang berada di talian sekarang. Orang itu sudah tentunya Hadif!

            “Assalamualaikum.” Ucapku sepatah.Perlahan sahaja nada suaraku tidak pasti kerana malu atau gugup yang amat sangat.

            “Aku nak warna ungu. Ikut pilihan aku.” Talian dimatikan.

            Aku terpinga-pinga sebentar seolah-olah otakku tidak dapat mencerna ayat tadi dengan baik.

            “Macam mana Aida?” Mama mengambil telefon bimbitnya ditanganku.

           Aku tersenyum cuba memaniskan wajah. “Hadif nak warna ungu,” ujarku. Tapi Aida tak minat warna ungulah mama! Namun teriakan itu hanya lahir didalam hati sahaja.

            “Kalau macam tu, Aida pergi cuba baju ni. Papa dah tengok warna ungu ni yang paling cantik kat sini.”

Baju kurung moden bersulam mutiara dan beropol ringkas warna ungu muda itu tadi bertukar tangan. Aku terus berlalu ke bilik persalinan. Dalam hati aku turut memuji sikap papa yang pandai memilih baju tidak seperti lelaki lain yang tidak ambil tahu hal sebegini.

“Wah, cantiknya bakal menantu mama ni!” Ayat yang keluar daripada mulut mama tadi membuatkan aku tersenyum malu dipuji begitu. Badanku dipusing-pusingkan oleh mama beberapa kali.

“Okey kita ambil yang ini lah ye.” Papa merapati dan turut melihat dengan lebih dekat. Kemudian dia menganggukkan kepalanya beberapa kali kepada pekerja butik yang sedia melayan kami sejak tadi.

Nampaknya memang tiada apa yang perlu diubah atau dibetulkan lagi baju pengantin itu. Memang muat dan melekap elok pada badanku. Aku yang duduk semula di sofa selepas membuka baju tadi menunggu mama dan papa berbincang dengan pekerja butik. Kelihatan pekerja perempuan yang berusia lewat dua puluhan itu sedang menulis sesuatu dan kadangkala dahinya berkerut-kerut. Mesti mama dengan papa Hadif ni cerewet barangkali, dugaku di dalam hati. Namun aku dapat melihat mama menunjukkan baju melayu cekak musang warna ungu muda dengan sulaman halus berwarna perak untuk dipadankan dengan baju yang aku pakai tadi.

Setelah selesai urusan di butik pengantin kami singgah di sebuah restoran untuk mengisi perut dan membasahkan tekak sebelum aku dihantar pulang. Aku memesan nasi goreng kerabu dan jus tembikai. Walaupun hari ini aku hanya mencuba sepasang baju pengantin tetapi terasa penat sungguh badan. Otak lagilah berkali ganda penatnya. Ikutkan hati aku malas mahu mengambil bahagian dalam persiapan pernikahan ini. Kalau ambil tahu pun bukan boleh mendatangkan perasaan bahagia.

“Aida tinggal berapa semester lagi?” Soalan papa memecahkan kesunyian sementara menunggu makanan yang dipesan sampai.

“Ikutkan empat semester lagi. Tapi berada di U untuk tiga semester sahaja. Semester lapan yang terakhir tu Aida praktikal dan buat tesis.” Aku menjawab sambil mata memandang wajah papa dan mama.

“Hadif akan habis awal dari kamu lah ye. Dia tinggal satu semester lagi kat sini. Kemudian praktikal. Kenapalah kamu ambil bidang yang lama sangat belajarnya tu…” Papa tergelak kecil cuba berseloroh.

Mama turut tergelak mendengarkan kata-kata suaminya. “Yelah Aida. Hadif kan semester keempat sama dengan kamu sekarang ni. Cuma bidang dia tu tiga tahun sahaja kursusnya. Kamu pilih yang lama-lama pula.”

Oh…dia sama semester dengan aku rupanya. Selama ini aku menjangkakan yang dia tu senior daripadaku. Aku tersenyum manis sebelum membuka mulut. “Dah tu yang Aida minat, nak buat macam mana…dah nasib badan…” Aku pula cuba berseloroh. Mama dan papa ketawa geli hati mendengar jawapanku.

Tidak lama kemudian makanan yang kami pesan tadi telah pun terhidang di atas meja. Kami menikmati makanan sambil berbual kosong. Sesekali ketawa memecah perbualan kami. Nampaknya aku senang dan mulai mesra dengan mama dan papa. Sedikit sebanyak perkara ini membuatkan aku mampu menarik nafas lega. Tentang lelaki yang bernama Hadif pula? Entahlah…mendengarkan suaranya yang langsung tidak mesra tengah hari tadi sudah cukup membuatkan aku lemah semangat dengan pernikahan ini. Nak bertanya dengan mama dan papa mengapa anak tunggalnya itu tidak ikut sekali pun aku tidak berdaya.

3 comments:

Shizukaz Sue said...

spt biasa, di copy paste dr manuskrip asal ke bentuk blog..jadi ada la lari2 skit perenggannya..harap ampun =)

Unknown said...

adoi la lealki ni..germa betul perangainya..sabar aje la kan :)

khadijah said...

huhu..baiknye bkal mentua aida..bestnye...blom kawin lagi dah suh pggil mama..heheh...tp ank dia..haish.....