Hati aku sangat gementar saat ini.
Jantung memainkan irama yang tidak menentu dan lebih lama lagi penantian ini
akan membuatkan aku pengsan tidak bernafas! Ema yang berada di sebelahku turut
seperti tidak tenang. Sekejap dia bangun mengintai dari cermin tingkap bilik kearah
tempat meletak kenderaan yang dapat dilihat dari dalam bilik ini. Sekejap pula
dia duduk sambil menggenggam tangan aku. Walaupun kami membisu seribu bahasa
sejak lima belas minit yang lalu namun melalui pandangan mata aku yakin dia
memahami perasaanku ketika ini.
“Ehem…” Aku membetulkan suara untuk
meneruskan bicara.
“Kejap lagi sampai lah kut.” Aku
tersenyum tawar. Pucat dibibir dan sejuk seluruh badan kurasakan. Nasib baik
aku mencalit sedikit solekan tipis diwajah agar nampak lebih segar.
“Apa-apa nanti call aku. Hari ini aku tak ada pergi mana-mana duduk melepak dalam
bilik aje.” Ema turut tersenyum. Namun tentunya senyuman dia lebih manis
daripada aku yang seperti ayam berak kapur.
Mana tidaknya, sejak mendapat
panggilan awal pagi tadi aku terus tidak senang duduk.
“Assalamualaikum Aida…” Suara lembut
wanita ditalian membuatkan wajahku berkerut seribu. Walaupun ketika melihat
nombor tidak dikenali yang terpapar pada skrin telefon bimbitku tadi aku jawab
dengan rasa tenang pada mulanya.
“Waalaikumsalam. Ye saya Aida. Siapa
ni?”
“Ni mama Hadif. Kami nak datang
jemput Aida jam sebelas pagi. Hari ni cuti kan? Aida siap-siap lah ye. Nanti
kami sampai.” Lunak dan lembut suara itu penuh dengan sifat keibuannya.
Aku telan liur yang terasa tersekat
di kerongkong. Pahit dan kelat. Macam nak terkencing dalam seluar pun ada!
Pengecut betul lah kau Aida.
“Er…erm…baiklah…” Itu sahaja yang
kau mampu jawab Aida? Hishh….
“Great!
See you. Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.” Aku terus
mematikan talian.
Kemudian bermulalah babak aku
mengadu kepada Ema dan meminta pelbagai pendapat walaupun Ema cuma mampu
menyuruh aku bertenang. Hal pernikahan yang bakal berlangsung pada tarikh hari
lahirku yang kedua puluh satu tahun hanya Ema, Akma serta Wawa sahaja yang
mengetahuinya. Oh, ya! Fana baru sahaja mengetahuinya beberapa hari lalu.
Biarpun agak lewat aku memaklumkan namun dia sanggup menangguhkan rancangan
mengikut suaminya berkursus semata-mata mahu disisi aku pada hari pernikahan.
Malah tekaanku juga ternyata benar apabila makcik itu terkejut beruk mendengar
perkhabaran ini.
Ema menggerakkan bahuku perlahan
lantas mematikan lamunanku. “Mereka dah sampai.” Bisik Ema perlahan.
Aku memejam celik kan mataku
beberapa kali. Kemudian aku memandang Ema dan dia sekadar mengangguk dan
tersenyum. Aku bingkas bangun dan beg tangan aku sandang di bahu. Aku keluarkan
kasut dari dalam rak dan aku menoleh sekilas pada Ema sebelum tangan mencapai
tombol pintu.
“Doakan aku…” Itu sahaja ayat yang
keluar dari mulutku saat ini. Ema sekadar tersenyum dan melambaikan tangan. Aku
membalas semula lambaiannya dan turut tersenyum walaupun terasa hambar.
Aku menuruni anak tangga agak gopoh
kerana tidak mahu mereka menunggu terlalu lama dibawah. Mereka? Adakah hanya
mama dan papa Hadif atau lelaki yang bernama Hadif itu akan turut serta
bersama? Adakah selepas hari ini aku, Wawa dan Akma tidak perlu lagi
menjalankan misi untuk menyiasat siapakah En.Tunang yang sebenarnya? Jawapannya
hanya ada apabila aku menemui mereka sebentar lagi.
Aku merapati kereta mewah BMW putih
itu perlahan. Tak nampak pula siapa di dalamnya kerana cermin kereta terlalu
gelap. Kemudian keluar seorang wanita lebih kurang sebaya dengan mak dari
tempat duduk penumpang bahagian hadapan. Namun nampak lebih jauh bergaya
daripada mak. Dia menanggalkan kaca mata hitamnya dan tersenyum padaku.
“Aida. Seronoknya dapat bertentang
mata. Jom masuk dalam kereta! Panas kat luar ni.” Dia memelukku erat kemudian
membukakan pintu bahagian belakang untuk aku. Baiknya dia, desis hatiku. Namun
bibirku hanya tersenyum tawar dan perlahan-lahan masuk ke dalam kereta.
“Apa khabar Aida?” Sapa seorang
lelaki separuh abad yang memandu kereta mewah ini sambil melihat aku melalui
cermin pandang belakang.
Aku sedikit gugup. Menarik nafas
dalam-dalam agar tidak dapat dihidu gementar yang melanda seluruh jiwa raga
saat ini.
“Baik, Alhamdulillah.” Jawabku
sambil menundukkan sedikit kepala kepadanya.
“Amboi cantik dan sopan Aida ni kan,
bang?” Wanita tadi menepuk bahu lelaki disebelahnya mesra. Aku sekadar
tersenyum sumbing dan menyelesakan duduk. Nampaknya aku seorang sahaja duduk di
tempat duduk belakang ini. Mana Hadif?
“Mestilah sebab ayah dia pun seorang
yang baik sangat. Mana tumpahnya kalau tidak pada anak dia.” Lelaki itu
menjawab dengan diiringi ketawa kecil dari bibirnya.
“Tapi tak sangka Aida lebih cantik
apabila mama tengok orangnya berbanding dalam gambar. Jom bang. Lambat pula
kita nanti.”
Mama? Aik?! Aku rasa tidak salah
dengar wanita itu membahasakan dirinya mama kepadaku. Walaupun aku telah
ditunangkan tanpa tuan punya badan, namun aku yakin aku tidak boleh dinikahkan
tanpa kehadiran aku. Sejak bila pula aku ada mama lain ni?
“Yelah Aida. Tadi kamu turun papa
ingatkan kamu ni gadis cina mana yang menuju kearah kami. Kamu ni Chinese look seperti mak kamu.” Lelaki
tersebut berkata lagi sambil tangannya mula menurunkan brek tangan dan memusingkan
stereng kereta untuk membelok keluar dari kolej kediaman ini.
Papa?
Ah, sudah! Seorang lagi membuatkan aku pening kepala. Kereta mewah yang
sewajarnya sejuk dan selesa namun sebaliknya pula yang aku rasai.
Setelah sepuluh minit berlalu namun
aku masih tidak tahu kemana arah hendak dituju. Bukan takut sebab aku yakin tak
mungkin mereka mahu menculik aku. Cuma aku ingin tahu apakah tujuan mereka
menjemput aku hari ini.
“Kita nak kemana ni auntie?” Akhirnya terpacul juga soalan
itu walaupun aku rasa seperti antara dengar dengan tidak sahaja pada
pendengaranku. Short circuit ke
telinga aku?
“Eh, ada pulak panggil auntie! Panggil mama…kan tinggal berapa
minggu aje lagi nak jadi menantu mama. Biasa-biasakan lah ye.” Wanita itu
menjawab lembut.
“Ha, betul apa yang mama cakapkan tu
Aida! Panggil mama dengan papa sahaja okey?” Lelaki yang sedang tekun memandu
itu pula menambah. Belum sempat aku berkata dia sudah menyambung ayatnya.
“Kita nak ke butik pengantin di Alor
Star. Cari baju nikah untuk kamu dan Hadif.”
“Hah?! Bu…butik…pengantin?” Ternyata
aku sudah tidak mampu berlagak tenang seperti awal-awal tadi. Jantungku seakan
berhenti mengepam darah. Boleh kena strok aku macam ni.
“Kita ambil mak andam kat sini ajelah
ye sayang. Mama dah bincang dengan keluarga kamu hari tu. Memandangkan kamu
berdua cuti pertengahan semester dua minggu saja, lebih baik nikah disini.
Kemudian kamu boleh pre-honeymoon ke
Langkawi dulu. Lagipun majlis nikah ni kecil-kecilan. Majlis persandingan awal
tahun hadapan tentu kita buat di Johor dan Ipoh okey.” Penjelasan wanita yang
menggelar dirinya mama itu aku telan sebiji-biji walaupun setiap biji ibarat
sebesar buah tembikai.
“Nikah kat sini? Dua minggu sempat
rasanya nikah kat rumah aje…” Aku mengeluh perlahan walaupun aku sedar mereka
pasti dapat menangkap butir bicaraku itu.
“Kami tak mahu membebankan kamu
berdua. Lepas majlis nikah selesai kami boleh pulang dan kamu berdua boleh honeymoon dulu. Nanti majlis
persandingan kita boleh buat besar-besaran dan kamu boleh honeymoon ke luar negara pula. Kan masa tu cuti semester dua
bulan.” Papa pula mencelah untuk menerangkan duduk letaknya perkara ini. Papa?
Kekoknya nak sebut…kalau ayah tu aku biasalah….
Aku mengetap bibir. Geram dan sebal
pula rasanya. Tidak mahu membebankan? Kalau betul tidak mahu membebankan, untuk
apa pernikahan ini? Sudah pastinya untuk membebankan aku yang sudah sedia
terbeban dengan gelaran mahasiswi ini. Bergelumang dengan kuliah yang padat,
tugasan yang banyak dan buku atau tesis yang tebal.
Akhirnya perjalanan kami dihiasi
bibit kesunyian. Malah aku juga tidak sedar sejak bila mata aku tertutup dan
terlena sepanjang perjalanan yang hanya mengambil masa selama satu jam. Itu pun
kalau jalan tidak sesak pada hari cuti begini.
“Aida, bangun sayang. Kita dah
sampai.” Lembut suara itu menyapa telingaku.
Aku membuka mata perlahan-lahan dan
aku tidak memerlukan masa yang lama untuk melihat dengan jelas muka mama yang
sedang tersenyum.
“Oh…” ujarku sepatah. Kemudian aku
terus turun dan berdiri tegak disebelah kereta sambil memperkemaskan sedikit
rambutku yang dilepas bebas.
Kami berjalan memasuki sebuah butik
pengantin yang sederhana besar luasnya. Aku kemudian dipersilakan duduk oleh
pekerja butik di sebuah sofa yang berada ditengah-tengah butik. Manakala mama
dan papa sibuk meneliti dan memilih baju-baju yang terdapat di sini. Lama juga
aku sekadar menjadi pemerhati atau kata yang lebih sesuai ialah ‘pak pacak’.
“Yang ni cantik tak?” Mama datang
menayangkan sepasang baju kebaya labuh berwarna putih yang penuh dengan kilauan
manik-manik indah.
Aku mengangguk perlahan.
“Ni pun cantik juga Aida. Sesuai
dengan kulit kamu yang putih bersih.” Papa pula datang dengan baju kurung moden
bersulam mutiara warna ungu muda.
Aku mengangguk lagi.
Mama yang kelihatan bingung terus
mencapai telefon dari dalam beg tangannya. Kelihatan dia mendail nombor
seseorang.
“Hadif, mama dengan Aida ada kat
butik pengantin sekarang ni. Banyak sangat yang cantik sampai tak tahu nak
pilih mana satu. Hadif nak warna apa?” Mama galak bercerita kepada anak lelaki
tunggalnya. Kemudian dia menghampiriku dan telefon bimbit tersebut dihulurkan
kepadaku pula.
Aku cemas dan terkejut. Namun mama
memberi isyarat agar aku bercakap dengan orang yang berada di talian sekarang.
Orang itu sudah tentunya Hadif!
“Assalamualaikum.” Ucapku
sepatah.Perlahan sahaja nada suaraku tidak pasti kerana malu atau gugup yang
amat sangat.
“Aku nak warna ungu. Ikut pilihan
aku.” Talian dimatikan.
Aku terpinga-pinga sebentar
seolah-olah otakku tidak dapat mencerna ayat tadi dengan baik.
“Macam mana Aida?” Mama mengambil
telefon bimbitnya ditanganku.
Aku tersenyum cuba memaniskan wajah.
“Hadif nak warna ungu,” ujarku. Tapi Aida tak minat warna ungulah mama! Namun
teriakan itu hanya lahir didalam hati sahaja.
“Kalau macam tu, Aida pergi cuba
baju ni. Papa dah tengok warna ungu ni yang paling cantik kat sini.”
Baju
kurung moden bersulam mutiara dan beropol ringkas warna ungu muda itu tadi
bertukar tangan. Aku terus berlalu ke bilik persalinan. Dalam hati aku turut
memuji sikap papa yang pandai memilih baju tidak seperti lelaki lain yang tidak
ambil tahu hal sebegini.
“Wah,
cantiknya bakal menantu mama ni!” Ayat yang keluar daripada mulut mama tadi
membuatkan aku tersenyum malu dipuji begitu. Badanku dipusing-pusingkan oleh
mama beberapa kali.
“Okey
kita ambil yang ini lah ye.” Papa merapati dan turut melihat dengan lebih
dekat. Kemudian dia menganggukkan kepalanya beberapa kali kepada pekerja butik
yang sedia melayan kami sejak tadi.
Nampaknya
memang tiada apa yang perlu diubah atau dibetulkan lagi baju pengantin itu.
Memang muat dan melekap elok pada badanku. Aku yang duduk semula di sofa
selepas membuka baju tadi menunggu mama dan papa berbincang dengan pekerja
butik. Kelihatan pekerja perempuan yang berusia lewat dua puluhan itu sedang
menulis sesuatu dan kadangkala dahinya berkerut-kerut. Mesti mama dengan papa
Hadif ni cerewet barangkali, dugaku di dalam hati. Namun aku dapat melihat mama
menunjukkan baju melayu cekak musang warna ungu muda dengan sulaman halus
berwarna perak untuk dipadankan dengan baju yang aku pakai tadi.
Setelah
selesai urusan di butik pengantin kami singgah di sebuah restoran untuk mengisi
perut dan membasahkan tekak sebelum aku dihantar pulang. Aku memesan nasi
goreng kerabu dan jus tembikai. Walaupun hari ini aku hanya mencuba sepasang
baju pengantin tetapi terasa penat sungguh badan. Otak lagilah berkali ganda
penatnya. Ikutkan hati aku malas mahu mengambil bahagian dalam persiapan
pernikahan ini. Kalau ambil tahu pun bukan boleh mendatangkan perasaan bahagia.
“Aida
tinggal berapa semester lagi?” Soalan papa memecahkan kesunyian sementara
menunggu makanan yang dipesan sampai.
“Ikutkan
empat semester lagi. Tapi berada di U untuk tiga semester sahaja. Semester
lapan yang terakhir tu Aida praktikal dan buat tesis.” Aku menjawab sambil mata
memandang wajah papa dan mama.
“Hadif
akan habis awal dari kamu lah ye. Dia tinggal satu semester lagi kat sini.
Kemudian praktikal. Kenapalah kamu ambil bidang yang lama sangat belajarnya
tu…” Papa tergelak kecil cuba berseloroh.
Mama
turut tergelak mendengarkan kata-kata suaminya. “Yelah Aida. Hadif kan semester
keempat sama dengan kamu sekarang ni. Cuma bidang dia tu tiga tahun sahaja
kursusnya. Kamu pilih yang lama-lama pula.”
Oh…dia
sama semester dengan aku rupanya. Selama ini aku menjangkakan yang dia tu
senior daripadaku. Aku tersenyum manis sebelum membuka mulut. “Dah tu yang Aida
minat, nak buat macam mana…dah nasib badan…” Aku pula cuba berseloroh. Mama dan
papa ketawa geli hati mendengar jawapanku.
Tidak
lama kemudian makanan yang kami pesan tadi telah pun terhidang di atas meja.
Kami menikmati makanan sambil berbual kosong. Sesekali ketawa memecah perbualan
kami. Nampaknya aku senang dan mulai mesra dengan mama dan papa. Sedikit
sebanyak perkara ini membuatkan aku mampu menarik nafas lega. Tentang lelaki
yang bernama Hadif pula? Entahlah…mendengarkan suaranya yang langsung tidak
mesra tengah hari tadi sudah cukup membuatkan aku lemah semangat dengan
pernikahan ini. Nak bertanya dengan mama dan papa mengapa anak tunggalnya itu
tidak ikut sekali pun aku tidak berdaya.
3 comments:
spt biasa, di copy paste dr manuskrip asal ke bentuk blog..jadi ada la lari2 skit perenggannya..harap ampun =)
adoi la lealki ni..germa betul perangainya..sabar aje la kan :)
huhu..baiknye bkal mentua aida..bestnye...blom kawin lagi dah suh pggil mama..heheh...tp ank dia..haish.....
Post a Comment