“Eeeiii sakitnya hati…” Keluhku
perlahan sambil mata menoleh ke kiri dan ke kanan mencari-cari kelibat yang
telah hilang dari pandangan. Tak kan lah
aku cubit sedikit pun hendak merajuk sampai tinggalkan aku seorang diri disini.
Tiket wayang yang berada ditangan aku pandang sekilas. Nafas turun naik menahan
rasa geram yang terbuku di dada. Nampaknya sama ada aku akan menonton wayang
seorang diri atau balik ke rumah tidur lebih baik.
Keriuhan di pusat membeli-belah
Summit Parade ini langsung tidak menarik minatku lagi. Kepalaku ligat berfikir
untuk membuat pilihan antara kedua-dua pilihan yang ada. Lantas aku mencapai
telefon bimbit yang berada di dalam beg dan mendail nombor seseorang. Nampaknya
aku perlukan pilihan yang ketiga saat ini.
“ Fana kau ada kat mana? Jom tengok
wayang aku belanja,” ujarku kepada Fana rakan baik yang aku kenali dari sekolah
tadika lagi.
“Ok. Aku tunggu kau dekat depan wayang
ni. Jangan lambat sangat tau!” Aku menamatkan talian.
Adli entah kemana menghilang setelah
terjadinya pertengkaran kecil tadi. Setelah menghadiahkannya sebuah cubitan
kecil di lengan terus dia bangun dan beredar tanpa mempedulikan launganku. Hati
manalah yang tidak berasa sakit jika sudah hampir empat tahun menyulam cinta
tetapi apabila aku mengajaknya bertunang dia tidak mahu pula.
Walaupun dia hanya lepasan diploma
sahaja tetapi bagi kami yang berasal dari keluarga sederhana, pekerjaan Adli
sekarang sudah cukup bagus. Gaji mencecah RM6000 sebulan dengan hanya menjadi
juruteknik mesin di sebuah kilang. Kereta pun baru dibelinya tiga bulan yang
lalu. Jadi pada pendapat aku, memang tidak ada silap dan salah jika kami
bertunang sebelum aku melanjutkan pelajaran ke salah sebuah universiti di utara
tanah air. Bukan nak kahwin terus pun kan? Aku sudah berkira-kira mungkin kalau
tidak tunggu habis belajar, aku setuju berkahwin pada tahun akhir semasa di
universiti kelak. Namun itu cuma tinggal
angan-angan semata sekarang ini apabila mentah-mentah cadangan aku ditolak oleh
lelaki itu.
“Hoi!” Satu sergahan mengejutkan aku
dari lamunan.
“Eh, mak kau!” Aku seperti mahu
melompat mendengar sergahan yang datangnya dari arah belakangku. Terus aku
menoleh sepantas kilat. Terlihat Fana berdiri tegak dengan sengihan lebar di
bibir.
“Lain kali bagi lah salam. Bukan
main sergah sahaja makcik. Aku sudahlah tengah frust ni…” Layu sahaja suaraku ketika ini. Fana sememangnya selalu
cepat sahaja sampai ke pusat membeli belah ini kerana taman perumahannya
betul-betul berada di belakang kompleks tersebut. Jadi tidak susah untuk aku
mengajak dia menjadi teman pengganti untuk menonton wayang.
“Ok, ok…sorry lah makcik. Aku tak sengaja. He he he!” Fana menyeringai
sambil tergelak kecil. Dia melabuhkan punggung disebelahku sambil meletakkan
beg diatas ribanya. Kemudian dia menoleh kepadaku dengan mata yang penuh tanda
tanya.
“Apa hal pula makcik nak sedih-sedih
ni ha? Bukan tadi mesej kata mahu dating
dengan buah hati ke? Nak melamar buah hati awak tu kan?” Fana menyoal sudah
seperti polis pencen lagaknya. Aku menghembus nafas berat. Sesak dada mungkin
kerana kecewa akibat ditolak permintaanku tadi atau aku bingung tentang status
hubungan aku dengan Adli ketika ini.
Aku
tarik nafas dalam-dalam. Membetulkan duduk untuk menghadap Fana yang kulihat
seperti tidak sabar untuk mendapatkan jawapan.
“Dia
dah tolak aku.” Aku menelan liur perlahan. Mata terus kularikan ke lantai.
Menyembunyikan perasaan yang kecewa mungkin. Terlihat ada sedikit air jernih
yang bertakung di kelopak mata. Namun aku sedaya upaya menahannya agar tidak
berjuraian membasahi pipi.
Membuntang
mata Fana melihatku. Terkejut beruk agaknya dia. Mana tidaknya, aku dan Adli
ibarat merpati dua sejoli dan merupakan pasangan paling popular dikalangan
kawan-kawan. Sejak aku di tingkatan empat lagi kami memadu kasih dan mampu
bertahan sehingga kini walaupun kebanyakan kawan-kawan lain sudah beberapa kali
bertukar pasangan.
“Eh, kau ni biar betul!! Nak buat
apa pula si Adli tolak kau? Bercinta sampai empat tahun kut…sentiasa ada depan
mata…hendak kata dia ada orang lain lagi lah merepek!” Selamba sahaja Fana
memetir di tepi telinga aku ini. Berdesing lah makcik! Aku dengan Fana dari
dulu lagi memanggil gelaran makcik sesama sendiri. Alasan kukuh memang tidak
ada dan tidak pula kami ambil peduli. Cuma lebih selesa dan santai kut
gamaknya. Penting ke? Arghhh…saat ini hal aku dengan Adli lebih penting dari
semuanya. Dua minggu lagi aku dah pun diminta mendaftar diri di Universiti
Utara Malaysia dan itu bererti aku perlu meninggalkan bumi selatan yang sangat
aku cintai ini.
Aku mengeluh lagi. Lemah dan layu.
“Entahlah Fana. Aku serius tak boleh blah
dengan alasan dia. Adli kata belum bersedialah…muda lagilah…tak terfikir
lagilah…habis tu yang dia bercinta bagai nak rak dengan aku sampai
bertahun-tahun buat apa? Umur tiga puluh baru nak kahwin agaknya kut…” Aku mula
membebel melepaskan rasa di jiwa. Walaupun aku bukan jenis yang suka membebel
tapi mungkin penangan ditolak mentah-mentah oleh Adli tadi membuatkan wayar
otak aku sedikit bergegar. Itu yang lain jadinya. Alah, usah mengada sangat lah
Aida Nasuha. Umur baru dua puluh tahun dah pandai nak melamar anak teruna orang
bertunang. He he he….
“Bangun
pagi, gosok gigi…cuci muka dan mandi…bangun pagi minum kopi, rasa enak sekali!”
Nyaring suaraku menyanyi-nyanyi di dalam bilik air.
“Bertuah punya budak, cepat lah
sikit mandi tu! Tak payah nak bersiram pun pakai muzik segala. Lambat kita
nanti, bising ayah kamu tu,” Mak telah melancarkan serangan pagi kepadaku. Alah
biasalah namanya pun mak…ada ke dalam dunia ini mak yang tidak suka melakukan
serangan mulut kepada anaknya? Kalau ada boleh juga aku memohon untuk jadi anak
angkat dia. Hati aku berbisik nakal.
Setelah siap berdandan dan
bersarapan, aku mengangkut sendiri beg-beg besar yang berada dimuka pintu ke
dalam bonet kereta. Banyak juga barang yang aku bawa. Lagak macam sudah tidak
mahu pulang ke rumah sahaja. Kesekian kalinya lagi kau over lah Aida Nasuha. Pergi belajar sahaja pun, bukan hendak pindah
rumah mertua!
Mata aku buka perlahan. Aku
tenyeh-tenyeh dengan jari agar lebih jelas pandanganku ini. Mana tidaknya tidur
macam orang penat baru balik berperang. Padahal buat kerja berat pun tidak
pernah aku sentuh. Aku membetulkan duduk dan lengan baju kurung merah jambu
yang kupakai dibetulkan sedikit dibahagian bahu. Habis renyuk baju kurung
dibuat bantai tidur tidak sedar diri
semasa dalam perjalanan tadi.
Aku mengambil fail yang terselit
dibahagian belakang kerusi tempat duduk hadapan. Perlahan aku membuka pintu
kereta dan melangkah keluar dengan rasa berat hati. Mak dan ayah serta Aini
Nazihah satu-satunya adik yang aku ada dalam dunia ini sudah berdiri terpacak
sambil memerhatikan aku dari tadi. Pelik semacam sahaja pandangan mereka.
“Pergilah daftar dulu di khemah sana
tu. Ayah dengan mak nak masuk ke dalam dewan sebelah kiri ini sebab tadi mereka
minta ibu bapa mendengar taklimat ringkas. Sudah dapat kunci bilik nanti
masuklah dulu dengan Aini. Kemudian kami menyusul.” Ayat ayah yang teratur dan
tenang itu aku amati satu persatu agar dapat diproses dengan baik oleh otak
orang yang baru bangun dari tidur. Kemudian lambat-lambat kepalaku mengangguk
tanda faham dengan arahan ayah.
Setelah selesai proses pendaftaran,
aku akhirnya naik ke bilik yang berada di tingkat atas bangunan bersebelahan
dengan khemah pendaftaran tadi. Erm, not
bad juga bilik ini. Setiap bilik adalah untuk dua orang pelajar. Namun
masih belum kelihatan lagi teman sebilik yang bakal berkongsi bilik ini bersama
aku. Harap-harap dapat teman yang sekepala. Berasal daripada negeri mana pun
aku tidak kisah asalkan orangnya baik.
“Apalah akak ini, mak dengan ayah
tadi siap borak lama dekat luar. Pergi dapatkan maklumat apa yang perlu
dilakukan sebelum mereka balik tinggalkan akak kat sini. Tapi akak tidur tak
bangun-bangun. Orang lain semua excited
masuk U, akak buat selamba badak jek!”
Aku buat muka selamba sahaja tanpa
perasaan. Beg-beg baju yang kubawa naik tadi aku buka. Selepas mengeluarkan
cadar dan sarung bantal, aku pakaikan pula ke katil dan bantal yang sudah tersedia.
Aini hanya duduk di meja belajar tanpa ada tanda-tanda mahu membantu. Mungkin
tidak puas hati kerana aku buat tidak tahu sahaja apa yang dikatakannya
sebentar tadi.
“Tolonglah sikit. Datang semata-mata
nak hantar akak baik tak payah.” Aku menjeling tajam kearahnya. Dia bingkas
bangun dan mengambil baju-baju di dalam beg untuk digantung kedalam almari
sederhana besar yang terdapat di hujung katil. Bilik ini menempatkan dua katil
bujang, dua almari kayu, dua meja belajar serta satu telefon yang perlu menggunakan
kad prabayar untuk menggunakannya. Selain langsir yang tebal seperti bilik
hotel yang membolehkan aku tidur tanpa mengetahui matahari telah tinggi di
langit, nampaknya tiada apa lagi yang menarik dengan cat putih semata-mata.
Tiada variasi langsung.
“Akak ni kenapa? Lain macam sahaja
sejak kebelakangan ini…” Aini bertanya perlahan. Tangannya masih ligat mengemas
baju-baju yang berbaki sedikit sahaja lagi untuk digantung. Bagus! Adik aku
memang rajin dua kali ganda dari kakaknya.
Aku duduk di atas katil sambil
memerhatikan pergerakannya. Mata Aini sekejap memandang ke arah kerja yang
sedang dilakukan, sekejap menoleh kearahku pula menanti jawapan.
“Akak dah clash dengan Adli.” Jawabku ringkas. Kemudian aku berbaring sambil
mata meneliti setiap penjuru bilik ini. Nasib bilik ini bersih kalau tidak…aku
ni sudahlah cerewet bab-bab kebersihan walaupun malas. Tapi semua benda
perlulah bersih. Tinggal dengan mak bolehlah Aida Nasuha oi! Tinggal sendiri
mulai hari ini mampukah kau menjadi si cerewet sangat pembersih lagi? Otak aku
ke lain pula lari topik.
“Hah?!” Aini menutup mulutnya yang
terlampau terkejut lantas duduk di birai katil memandang aku dengan muka yang
berkerut.
“Kenapa pula ni? Dah empat tahun couple takkan lah senang-senang sahaja
hendak putus. Akak nak cari lain dekat U ni ke?” Soal Aini sambil menaikkan
keningnya.
“Akak cakap kat Adli, kalau tidak
mahu bertunang kita putus saja. Alah, kalau betul-betul sayangkan akak kenapa
pula dia nak menolak kan? Patutnya dia lega sebab akak minta bertunang sebelum
berjauhan lama dengan dia. Ini tidak, macam-macam pula alasan dia bagi. Baik
putus sajalah malas hendak sakit hati.” Aku menjawab sambil mendongak menatap
syiling. Cuba mencari ketenangan mungkin daripada syiling putih bersih yang
tiada sedikit pun sawang.
Aini
mengeluh perlahan. Dia memang jarang sekali ingin menasihati aku mungkin kerana
hormat atau takut aku akan berkecil hati. Maklumlah walaupun aku kakak kepada
dia tetapi aku lebih kuat merajuk berbanding dia. Silap cakap sikit mulalah aku
merajuk mogok tidak mahu bercakap dengan dia mahupun mak yang sering menjadi
mangsa. Ayah lainlah sebab dia sibuk bekerja dan tidak banyak masa dirumah.
Lambat-lambat
dia membuka mulut. “Aini rasa Abang Adli tu nak bantu keluarga dia dulu baru
fikir soal kahwin. Dia pun bukan orang senang. Adik beradik ramai kan…akak
janganlah terburu-buru buat keputusan sendiri sahaja. Kesian dia tau.” Satu
keluhan kecil terlepas dari mulutnya.
Aku tersenyum sumbing mendengar
nasihat adik yang enam tahun lebih muda daripada aku itu. “Yelah, kita ni
sahaja yang selalu salah. Dia pun tidak patut buat keputusan terburu-buru tolak
permintaan akak hari itu. Sekarang ini, rasakan! Langsung tidak mahu fikir
perasaan orang. Akak cuma nak bertunang sahaja dulu, bukan kahwin terus lah.”
Luahku dengan rasa tidak puas hati.
Kecil
hati yang dirasakan sejak kejadian itu usah diceritakan lagi. Sampai semua
panggilan dan mesej daripadanya langsung aku tidak peduli. Dia datang sehari
sebelum kami berangkat ke sini pun aku tidak mahu keluar bilik. Mak sahaja yang
layankan dia duduk diruang tamu. Sudahnya hanya titipan patung beruang besar
berwarna coklat yang aku terima apabila mak memberikannya kepadaku selepas Adli
pulang. Sekeping kad yang bercorak hati diselitkan pada ketiak patung beruang
besar itu. Masih terbayang kata-kata yang tertera diatas kad tersebut walaupun
hati sebenarnya benci tapi rindu ini. Mana tidaknya, aku belum pernah berjauhan
dengan dia selama tempoh empat tahun kami bercinta.
Walau
apa pun jadi, saya tetap sayang awak. Belajar rajin-rajin dan pulang dengan
segulung ijazah. Saya tunggu awak ye sayang.
LOTS
OF LOVE,
-Adli-
Pintu
bilik yang terkuak dari luar membuatkan aku bingkas bangun dan membetulkan baju
kurung di badan.
“Assalamualaikum,”
ujar seorang gadis yang manis bertudung. Huluran salamnya aku sambut dengan
senyuman.
“Waalaikumsalam.
Saya Aida Nasuha. Panggil Aida sahaja boleh. Ini adik saya Aini Nazihah.” Aku
memperkenalkan diri kepadanya lantas menoleh sekilas kepada Aini yang baru
ingin bersalam dengan gadis tersebut. Dari raut wajahnya dapat kuteka yang umur
kami lebih kurang sebaya.
“Oh,
saya Ermalina. Panggil Ema sahaja ye…Nampaknya kita akan jadi teman sebilik
untuk tempoh empat tahun akan datang. He he he! Selamat berkenalan roommate,” ujar gadis itu sambil
meletakkan fail diatas meja belajar miliknya. Beg-beg besar yang berada di luar
pintu pula ditariknya masuk kedalam. Aku dan Aini turut sama membantu menolak
beg tersebut yang kelihatan sarat dan berat. Macam tidak bergerak sahaja masa
gadis itu menariknya. Kurus sangat kut fikirku.
Oleh
kerana barang-barangku telah siap dikemas bersama Aini tadi, kami hanya duduk
berbual kosong bersama dengan Ema sambil memerhatikan dia mengemas pula.
Sementara menunggu kedatangan ibu bapa kami yang sedang mendengar taklimat
ringkas katanya tadi. Tapi aku rasa sudah tidak seringkas mana kerana sampai
sekarang mereka masih belum muncul walaupun sudah hampir dua jam aku menjadi
penghuni bilik baruku ini.
Setengah
jam kemudian ibu bapa masing-masing sudah kedengaran riuh rendah bersembang
sesama mereka. Bertanya itu ini serta bermacam pesanan serta nasihat yang
diberikan kepada kami. Baik mak dan ayahku, begitu juga dengan mama serta abah
kepada Ema. Sama naiknya dalam menghitung berapa bakul lagi pesanan yang mahu
diberikan. Adoi…Saya sudah dua puluh tahun okey! Berlagak dewasa lah kau ni
Aida Nasuha, kena tinggal hidup berdikari nanti jangan nak menangis dan homesick pula ye.
Penat
menadah telinga dan lenguh mulut tersenyum manis sambil kepala
mengangguk-angguk dihadapan mak dan ayah tadi, akhirnya tiba masa untuk berehat
dengan tenang. Setelah menghantar mereka ke kereta tadi, ayah memberikan duit
belanja bulanan sebanyak seribu ringgit. Memang kami bukan keluarga yang kaya
raya tapi oleh kerana kami hanya berdua beradik sahaja, semua keperluan dan
kehendak kami jarang ditolak. Semuanya mencukupi dan berlebih-lebih bagiku
mungkin berbeza jika kami mempunyai adik beradik yang ramai seperti orang lain.
Oleh kerana baru lagi disini, aku minta duit cash sahaja dengan alasan malas hendak pergi ke mesin ATM untuk
mengeluarkan duit apabila perlu. Apa punya alasan lah kan? Hilang duit sebanyak
itu tidak disimpan didalam bank tidak ke teraniaya aku?
Sendu
juga perasaan ini semasa bersalaman dan berpeluk dengan mak, ayah dan Aini
tadi. Ini kali pertama aku berjauhan dengan keluarga dan tentunya mereka agak
risau kalau-kalau aku tidak betah tinggal disini. Tetapi aku sebenarnya jenis
hati yang kental walaupun luaran nampak macam gadis ayu lemah lembut. Airmata
memang mudah mengalir tetapi hati aku sukar untuk berputus asa. Oleh itu aku
yakin mampu berdikari tinggal di universiti idamanku ini. Termakbul juga doa
aku untuk diterima belajar disini mengambil jurusan yang sangat aku minati
sejak kecil iaitu Sains Kaunseling. Ilmu yang melibatkan emosi, tindakan dan
perhubungan dalam kemanusiaan ini memang
menarik untuk diterokai dengan lebih mendalam.
“Aida,
awak budak dip ke STPM?” Soal Ema tiba-tiba memecah lamunanku.
Aku
menoleh kearahnya sambil tersenyum. “Aida budak STPM, dapat masuk U pun umur
sudah dua puluh tahun. Untung kalau budak matrikulasi umur sembilan belas dah
dapat sambung degree kan?” Ujarku
penuh hemah.
Ema
mengangguk-anggukkan kepalanya macam burung belatuk sedang mematuk batang
pokok. “Betul lah tu Aida. Ema pun budak STPM jugak. Jadi kita sebaya
nampaknya…ambil bidang apa?” Ema menyoal balas.
“Sains
Kaunseling, Fakulti Pembangunan dan Sosial Manusia,” Aku menjawab yakin kerana
rasanya aku sudah hafal nama fakulti yang akan aku bernaung semasa membaca
surat tawaran kemasukan ke universiti tiga minggu sudah.
“Eh!
Best lah fakulti kita sama! Boleh
pergi sama-sama nanti bila dah start
kuliah. Saya ambil bidang Pendidikan Moral dan minor Bahasa Malaysia.” Ema tersenyum senang. Nampaknya kami ada
keserasian dan tanggapan pertamaku pada Ema, dia okey. Aku suka berkawan
dengannya.
“Oh…bakal
cikgu lah ni ye Cikgu Ema?” Aku mengusiknya. Dia tersenyum simpul.
“Lambat
lagilah Aida. Empat tahun akan datang…”Kata Ema lagi sambil memandangku.
“Aida
orang Johor. Nun jauh diselatan tanah air. Jauhnya nanti cuti nak balik kampung
naik bas.” Keluhku berat. Itu antara perkara yang aku paling runsing sebab
tentunya aku belum pernah naik bas berjam-jam lamanya. Apatah lagi seorang diri
pula nanti. Kadang-kadang nasib tidak baik aku akan mabuk apabila berjalan
jauh. Dalam masa empat tahun belajar disini berapa puluh kali agaknya aku akan
melalui pengalaman itu apabila naik bas?
Ema
senyum sumbing macam kambing tertelan bunga ros. “Ema orang Perak. Tak lah jauh
sangat dari sini. Tiga hingga empat jam rasanya kalau naik bas kut! Ema harap
tak mabuklah naik bas nanti sebab tak pernah naik bas ekspres!”
Akhirnya
kami sama-sama ketawa. Selain perasaan lucu mendengar luahan Ema tadi, rasa
gembira dapat bergelar mahasiswi tetap ada. Malah bangga kerana ayah dan mak
sangat bersyukur aku dapat melanjutkan pelajaran sampai ke peringkat Ijazah
Sarjana Muda walaupun aku jenis malas belajar. Eh! Cikgu kata aku malas tapi
bijak okey! Okey, okey teruskanlah dengan sikap itu Aida Nasuha oi….
6 comments:
done follow you kakak ! follow me back keyh ! nice blog and that story too.. :D this is my blog link and dont forget to become my follower taw :) http://aydaapanda.blogspot.com
nice lahh
baru abis baca bab satuu
masih byk lagi BIP yg akan dibaca :)
huhuh..nice intro..akak sue..mcm mna nk wat intro novel ke cerpen...huhuhu....sya teringin nk wat..tp xtau nk start mcm mna....heheh
couplenye lama2 pown xkawin lagi..huhuhu..kalo saya seksa..hehhe...kalo sya xnk couple..trus kawin..hahhahahah
best...boleh follow blog ni.. :)
lama tak baca penulisan akak rindu !
Post a Comment