Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Sunday, February 15, 2015

Bila Bulan Berwarna Biru Bab 9




Alunan bacaan yasin memenuhi segenap ruang rumah. Terdengar juga esakan-esakan  hiba dari pelbagai sudut. Aku masih meneruskan bacaan sehingga ayat yang terakhir. Setelah selesai, aku bingkas bangun menuju ke bahagian depan rumah. Tercari-cari kelibat Salwa yang tadinya berjubah biru gelap.

“Wa, semoga kau tabah!” Ucapku sambil memaut bahunya kemas. Mataku turut berkaca.

Masih dapat aku rasa saat menghadapi kehilangan arwah mak dulu. Perit. Pedih. Hampir semua perasaan yang boleh memecahkan dada. Walaupun pada awalnya aku rasa perasaan itu akan semakin pulih ditelan masa, namun aku silap besar. Semakin pantas masa bergerak, semakin rindu aku dibuatnya. Seringkali aku memutar setiap kenangan, airmukanya, gelak tawanya, kerana aku bimbang akan terlupa. Akan terlupa bagaimana nada suaranya, akan terlupa bagaimana bunyi marahnya, suara bebelannya....arghh sampai begitu sekali obsesnya aku!

“Insyaallah...thanks datang menziarah.” Salwa memelukku erat. Tanganku mengusap perlahan belakangnya.

“Kalau ada apa-apa kau call je aku.” Aku meleraikan pelukan dan bersalam dengannya sebelum beredar pulang.

“Okey Dani. Malam ni jangan lupa datang kenduri arwah.” Pesan Salwa sambil melambai tangan menghantarku ke kereta.

Nasib Salwa tertulis begitu. Ayah dan ibu pergi serentak akibat kemalangan jalanraya. Dah berkali-kali dipesan jangan memandu ke luar daerah kerana ayahnya sudah tidak jelas penglihatan. Tetapi hati tua masih kental. Masih mampu memandu jauh katanya. Mereka yang baru pulang dari mengikut rombongan meminang untuk anak saudara sebelah ibunya, kemalangan kerana mengelak kenderaan berat yang baru keluar simpang.

“Ayah masih belum sempat mewalikan aku...” Kata-kata Salwa bergema diruang minda.

Ya Allah, tabahkan hati sahabatku dan keluarganya untuk menerima ketentuanMu...aku yakin kau kuat Wa...

Aku terus memandu menuju ke rumah Along untuk mengambil Althea. Kelam-kabut aku pagi tadi apabila mendapat panggilan dari Salwa. Althea yang belum sempat mandi aku tinggalkan di rumah Along. Memang aku tidak biasa membawa Althea menziarah sewaktu kematian.

Sampai sahaja di perkarangan rumah Along, aku memarkir kereta diseberang jalan. Sebelum turun sempat aku memerhatikan kereta mewah yang betul-betul dihadapan pintu pagar. Plat nombor dari Singapura. Siapa?? Kawan Along atau Kak Long barangkali. Kaya betul nampaknya kalau orang kita mampu beli kereta macam ni kat Singapura, tekaku.

Jubah hitam dibadan aku betulkan dan selendang dikepala aku kemaskan. Malu juga kalau tetamu Along nampak aku yang serba tak bersiap. Dari luar terdengar suara Althea dan Damia bermain. Bukan main gelak tawa mereka.

“Assalamualaikum...Dani dah balik.” Aku melangkah masuk ke ruang tamu.

“Waalaikumsalam...” Jawapan Along dan beberapa orang lagi.

Aku melemparkan senyum sumbing dan terus bergerak tanpa melihat tetamu-tetamu Along.

“Dani!” Panggilan itu mematikan langkah. Mematikan nafas. Mematikan seluruh tenaga yang ada.

Aku menoleh pantas. “Abang...” Hanya itu yang mampu terluah perlahan. Entah dengar atau pun tidak dipendengaran mereka.

Kakiku lemah. Gigil seluruh tubuh. Aku kebelakang sedikit memegang bucu meja makan yang gah untuk meminjam kekuatan untuk terus berdiri.

“Adani, okey tak ni?” Along segera bangun mendapatkan aku.

“Okey..okey..” Jawabku lemah dengan mata masih bertentang mata.

Perlahan tubuh itu menghampiriku. Aku semakin kaku walau ada tangan Along yang memaut.

“Adani sihat? Lama dah abang tunggu dari tadi.” Lembut. Tidak seperti dulu.

Aku mengangguk. Mata masih tidak mahu berkedip memandang setiap inci tubuh dihadapan mata. Lama tidak bertemu. Kali terakhir dalam keadaan yang tidak sewajarnya.

“Apa abang buat kat sini?” Soalku sambil Along menarik kerusi untuk aku duduk.

“Dani, dengar dulu. Dia datang cara baik, kita layan cara baik.” Bisik Along.

“Betul Dani. Niat abang datang cari Dani dengan anak kita. Abang takda niat buruk.” Lelaki itu melutut dihadapanku. Biar betul?? Kalau dulu, akulah hamba abdi yang harus menyembah dikakinya.

“Lama abang tunggu Dani balik Malaysia. Abang tau Dani dah lama balik. Cuma Dani tak pergi rumah ayah dan Along. Macam mana abang nak jumpa...” Fauzan ingin meneruskan kata.

“Konco-konco abang kan ramai...masih tak dapat cari Dani?” Sinis suaraku yang masih tenggelam timbul.

“Abang dah tak sama macam dulu.” Fauzan meletakkan dahinya diatas lututku.

Ingin saja aku tepis. Namun tiada kudrat untuk berbuat apa-apa. Semuanya seakan mimpi. Ingin sahaja aku tampar pipi sendiri dihadapan mereka tapi nanti aku pula yang nampak macam orang tak betul.

“Along...” Mataku mencari mata Along meminta bantuan. Namun Along hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja mengiakan kata-kata Fauzan.

“Sedih sangat abang rasa Dani. Althea langsung tak kenal abang. Padahal abang ni ayah kandung dia.” Fauzan meluah rasa. Naik geli aku dibuatnya. Drama apa yang dia lakonkan sekarang ini?

“Jangan cari Dani lagi. Tolonglah kita dah tak ada apa-apa ikatan lagi.” Aku bangun cuba menapak dengan kaki yang lemah.

“Abang ni ayah Althea. Abang ni yang akan walikan dia bila dia nak kahwin nanti.”

“Ayah?? Cermin dulu diri tu layak ke dipanggil ayah??” Aku terus berjalan untuk naik ke tingkat atas.

“Dani, tunggu. Bagilah peluang Fauzan nak jelaskan.” Along menegah.

“Cukuplah Along. Dani bahagia dengan kehidupan sekarang. Nak jelaskan apa lagi? Tolonglah jangan bagi dia kacau hidup Dani dengan Thea. Dani merayu sangat-sangat.” Ujarku tanpa menoleh ke belakang.

Aku tak sanggup. Walaupun kemungkinan ini telah banyak kali aku fikirkan. Setiap hari doaku agar dijauhkan dari hari seperti ini. Hari dimana Khairul Fauzan mencari aku dan Althea semula. Atas apa sebab sekalipun!

“Fauzan baliklah dulu...bagi Adani masa. Apa-apa nanti Along telefon.” Along cuba memujuk Fauzan yang dari tadi memanggil-manggil namaku.

Lebih kurang lima minit aku mengintai dari tingkap di bilik atas. Akhirnya nampak kelibat Fauzan dan empat orang pengawal peribadinya keluar dari rumah Along. Mereka berbual seketika dihadapan pagar sebelum Along menghantar mereka ke kereta.

“Dani okey tak? Fauzan dah balik...” Kak Long masuk tanpa mengetuk pintu.

“Ermm...tak okey. Dani takutlah kak. Apa dia nak buat pada Dani dengan Thea?” Aku duduk disisi Kak Long. Tiada airmata untuk aku tangiskan lagi. Aku tidak sedih. Aku hanya takut apa nasib yang bakal menimpa kami dua beranak selepas kemunculan Fauzan.

“Insyaallah tak ada apa-apa Dani. Itu kan darah daging dia jugak.” Kak Long menyedapkan rasa.

“Ishhh Kak Long tak kenal perangai sebenar Fauzan tu! Dia tu lagi jahat dari binatang.” Aku menghambur kemarahan.

“Dani...tu dulu. Kak Long tengok dia dah banyak berubah. Dah empat tahun pun berlalu. Manusia boleh berubah kan?” Kak Long menggenggam tanganku.

Aku tunduk memandang lantai. Menggelengkan kepala. Aku takkan percaya walau Fauzan datang memakai serban dan jubah sekalipun. Biarlah apa orang nak kata. Dia berubah jadi alim ke, jadi warak ke, terpulang. Aku cuma tak mahu dia ganggu hidup aku dan Althea.

“Maafkan Along ye Dani. Fauzan dah datang dari bulan lepas. Tapi Dani pun jarang kemari. Along tak nak dia tahu rumah Dani. Tu yang Along cakap kalau nak jumpa Dani, datang rumah Along aje.” Along masuk dan duduk disebelah Kak Long.

“Dah empat tahun Along. Dia nak apa lagi?” Soalku acuh tidak acuh.

“Dia baru setengah tahun keluar dari penjara.” Kata Along perlahan.

“Hahhhh?? Penjara??” Terbeliak biji mata aku. Setahu aku kes kami melibatkan mahkamah syariah. Tidak pula aku buat laporan polis bagai. Kes apa ni?

Along mengangguk beberapa kali. “Syarikat dia disabitkan dalam kes penipuan. Kes sivil dan jenayah. Fauzan dipenjarakan selepas hampir setahun kamu lari. Masa kamu bercerai tu pun, Fauzan dah turun naik mahkamah. Pasport dia kena tahan. Sebab tu tak boleh nak cari kamu kat oversea tu.”

Barulah aku faham kedudukan sebenar. Patutlah hidup aku aman selama ni. Rupanya Fauzan tak boleh keluar dari Malaysia. Kalau tidak, tentu awal-awal lagi dia dah mampu menjejaki aku.

“Dia duduk Singapura?” Soalku ingin tahu.

Business partner dia dari sana. Buat masa sekarang ni dia menetap kat sana. Nak mula kehidupan baru.” Jawab Along. Bukan main banyak maklumat yang Along tahu nampaknya.

Aku mencebik. Kehidupan baru kau kat tujuh kaki bawah tanah tu patutnya Khairul Fauzan!

“Entah-entah bisnes jual perempuan. Bukan boleh percaya dia tu.”

“Ishh..kamu ni Dani. Dia kan baru keluar penjara. Bodoh sangat ke nak masuk kedalam balik? Sia-siakan kehidupan kat dunia ni untuk apa...” Along menjawab dan bingkas bangun untuk keluar.

“Betul cakap Along tu. Dani janganlah fikir buruk aje. Ingat, semua manusia boleh berubah.” Kak Long pula menyokong dan berlalu bersama suaminya.

Aku terdiam. Jadi? Khairul Fauzan dah jadi orang baik-baik? Dia dah insaf lepas keluar penjara? Aku dengan Althea ke kehidupan baru yang dicarinya? Arghhh!! Serabut betul otak aku. Kalau ayah tahu Fauzan datang, apa reaksi orang tua tu agaknya.....

“Mama, siapa yang datang tadi tu? Lelaki tu cakap dia papa Thea...” Suara kecil itu menjengah telinga.

Lantas aku peluk dan cium pipi bulatnya bertalu-talu. Althea satu-satunya harta dunia akhirat yang aku ada.

“Thea tengok muka dia ada macam muka Thea ke?” Aku cuba untuk senyum.

Althea menggeleng. “Thea kan macam muka D”

Tersedak aku dibuatnya! “Eh! Siapa yang cakap macam tu?”

“Ramai...kawan-kawan kat sekolah, Acik Wa pun cakap macam tu.” Balas Althea selamba. Apalah si kecil ni tahu. Aku menggelengkan kepala.

“Pakcik tadi tu bergurau. Mungkin dia tengok Thea comel sangat kot!” Aku mencium pipinya lagi.

Althea tersengih. “Tapi memang best kalau Thea ada papa kan mama? Thea dah ada D, ada papa...nanti Thea nak ada ayah pulak.”

Aku tersenyum lucu. “Okey Thea. Nanti Thea ada semua ya. Lepas tu tak boleh nakal. Kena jadi good girl okey?”

“Okey mama. Sayang mama...” Kali ini giliran Althea pula memeluk dan mencium pipiku bertalu-talu.

Mama lagilah sayang Thea banyak-banyak...sampai syurga nak... :')

2 comments:

Anonymous said...

Best. Nk lagi kak..

Anonymous said...

Terimakasih diatas sambungan cerita ini. Lama sungguh akak tunggu...