Malam itu aku duduk di atas buaian gantung yang berada di balkoni. Hati terasa resah gelisah mengingatkan kejadian petang tadi. Kenapa Vickness masih memburu aku setelah apa yang terjadi? Tiada perempuan lain ke yang dia nak jadikan mangsa? Arghhhh!! Tak mungkin lelaki itu terlalu kejam hingga ingin mempermainkan aku yang sudah punya Althea. Hati manusia siapa yang dapat membacanya Adani? Hati semakin berbisik mengocak emosi.
Pelik tapi benar, lelaki itu kini
muncul kembali. Malah mendampingi aku hampir setiap hari. Apa yang dia nak
sebenarnya? I nak kahwin you. Aku tersenyum sumbing mengingatkan
ayat yang sering Vickness ucapkan. Kahwin? Seingat aku yang belum pernah lagi
diserang amnesia, kami tidak pernah menyebut soal kahwin satu ketika dulu. Aku
sendiri tidak yakin yang lelaki tidak ‘bersunat’ itu mahu memeluk Islam. Waktu
itu aku sibuk dengan latihan praktikum dan soal jodoh bukanlah keutamaan yang
patut aku runsingkan. Bohonglah kalau aku tidak pernah terbawa emosi. Semua
yang terjadi sememangnya mengubah perasaan dan fikiran, tetapi tidak mengubah
takdir.
Bodoh sangat ke aku sewaktu kami
berkenalan aku tidak pernah bertanya apakah bangsa dan agamanya? Tak! Aku tak
bodoh. Aku hanya tertipu dengan rupa luarannya yang mirip melayu dan bahasa
melayunya yang sangat fasih. Apabila aku mendapat tahu hal sebenar, kami sudah
saling tertarik dan aku hanya berserah pada nasib. Vick? Aku rasa biasa-biasa
saja dengan sepotong nama itu. Malah kawan aku yang melayu tulen juga
menggunakan nama Shawn, Jay, Billy dan seangkatan dengannya. Namun perkenalan
kami singkat dan hubungan itu tidaklah semekar mana. Namun harus aku akui
Vickness berjaya meniupkan rasa indah itu sekali lagi. Oh, no!
Hidup ini memang begitu. Keindahan
dan kepahitan kadangkala menjadi satu rasa yang sukar dimengerti. Aku tersenyum
memandang awan kelabu yang berarak perlahan. Satu nikmat yang tidak mungkin
terpadam selagi aku masih bernyawa. Senyuman. Ramai yang kata senyuman aku
manis menawan sejak dari zaman sekolah sampailah sekarang. Aduh! Usah tersasar
dari landasan cerita sebenar. Aku makin giat tersenyum. Ternyata senyuman saat
dilanda kesulitan, menandakan aku semakin dewasa. Atau mungkin menunjukkan aku
sudah tidak punya rasa? Oh, silap! Rasa ini kepunyaan aku dan akan aku simpan
selama-lamanya………
*****************************
Aku berlari laju seakan pelari pecut
yang akan menang pingat Olimpik.
“Prapp!” Langkah kaki aku terhenti tiba-tiba.
Aku menunduk melihat ke bawah. Ternyata sangkaan aku benar. Tumit kasut aku
patah lagi buat kali yang kesebelas. Andai berlaku sekali lagi, genap sedozen
kasut aku yang patah tumitnya! Harus catat dalam diari ni…hehehe
“Muka
ketat aje, apahal? Rezeki belum masuk pagi-pagi ni.” Kak Shila merangkap ‘radio
pagi’ di pejabat ini sudah mula ke udara.
“Rezeki
memang belum masuk, tapi petanda duit nak kena keluar.” Aku menunjukkan kasut
tumit tinggi yang telah bertukar menjadi rendah. Gelak sakan nampaknya Kak
Shila melihat kasut berjenama Sembonia berwarna coklat muda itu.
“Itulah,
akak dah pesan tak perlu pakai tumit tinggi. Lainlah kalau Adani sanggup bangun
awal hari-hari.” Gelak Kak Shila makin gamat pagi-pagi ini mengundang
teman-teman lain untuk memanjangkan leher melihat ke arah kami.
Aku
membuat isyarat tangan agar Kak Shila memperlahankan suaranya. “Shhhh…akak ni
kalau ketawa tu perlahanlah sikit.”
“Selamat
pagi Adani!”
Erk!
“Pagi bos…” Aku tersengih macam kerang tertelan ubat gigi.
“Patah
tumit kasut lagi ke tu? Hai, kayalah pakcik Jaafar tu lama-lama.” Perli Encik
Kefli sambil menyebut nama pakcik Jaafar si tukang kasut yang bekerja di seberang
bangunan ini.
Muka
aku merah padam. Kasut yang berada di tangan aku pakai semula sambil berjalan
terhencut-hencut ke meja kerjaku. Encik Kefli terus masuk ke dalam biliknya.
Aku meletakkan beg tangan ke dalam laci dan suis komputer aku hidupkan.
“Nasib
baik ada kau wahai si buruk.” Aku memandang selipar berwarna merah jambu di
bawah meja. Selipar ini sering aku gunakan apabila hendak ke tandas atau
mengambil wuduk ketika di pejabat.
“Yang
buruklah kadangkala selalu berguna Adani.”
“Hai,
ada jugak jin yang menyampuk ye?” Aku tergelak melihat Azmi yang baru duduk di
meja sebelah kiriku.
“Bos
dah datang, baru kau sampai. Nahaslah…” Aku sengaja mengusik.
Azmi
menggelengkan kepalanya sambil mengesat peluh di dahi. “Motor aku buat hal lagi
pagi-pagi. Dahlah belum gaji lagi bulan ni.”
“Sabar
ajelah ye. Kena banyak berdoa agar urusan kita dipermudahkan.” Ujarku sambil
mengurut dada tanda bersabar.
“Amin…”
Kak Shila turut ‘mengaminkan’ sambil menaikkan ibu jarinya sebagai tanda bagus.
Suasana
bertukar sunyi seketika apabila masing-masing mula fokus membuat kerja. Namun
sesekali pasti terdengar suara-suara berbual itu dan ini. Aku hanya memasang
telinga apabila ada cerita-cerita yang menarik. Contohnya cerita Haji Norman
ketua di bahagian kewangan yang sudah mula mengedarkan kad jemputan perkahwinan.
Semua orang berfikir mungkin Haji Norman bakal menerima menantu walaupun anak
sulungnya baru sahaja tamat SPM. Rupa-rupanya Haji Norman yang bakal berbini
dua. Kelasss kau jahhh!
Aku
tersenyum-senyum macam perempuan angau sendirian mendengar perbualan tersebut.
Akhirnya aku bangun menuju ke pantri untuk membancuh teh panas. Althea sedikit
meragam pagi tadi apabila disuruh mandi dan bersiap ke taska. Akibatnya aku
lewat dan tidak sempat bersarapan apabila sibuk memujuk dia.
“Tahun
depan kau dah boleh tukar ke Adani?”
“Eh,
mak kau!!” Aku terperanjat sambil menoleh ke arah suara itu.
“Apa
hal terkejut beruk ni?” Raihan melabuhkan punggungnya dan meletakkan bungkusan
plastik di atas meja.
“Bagilah
salam dulu. Ini main sergah aje. Jangankan aku, beruk pun terkejut tau!” Aku
menutup suis cerek elektrik dan mula menuang air panas ke dalam gelas.
Raihan
menjelirkan lidah tanpa rasa bersalah langsung. Makcik seorang ni memang nak
kena cekik pagi-pagi. Ishhh!
“Apa
kau cakap tadi?” Aku mengacau teh di dalam gelas bersama gula.
“Tahun
depan kau dah boleh tukar belum? Bos dah sign?”
Raihan memandang muka aku dengan penuh minat.
“Ermm…belum
lagi. Dia suruh aku tunggu Kak Suhaila naik cuti bersalin. Lepas tu baru boleh decide.” Ujarku sambil melabuhkan
punggung berhadapan dengan Raihan.
“Sayanglah
kalau jurutera cuma duduk bahagian pentadbiran kan? Apa kes?” Raihan
menjungkitkan sebelah keningnya.
Aku
tergelak kecil. Teh panas didalam gelas aku hirup penuh nikmat. Leganya tekak
yang kering ini setelah dibasahkan sedikit.
“Tak
kisahlah jurutera ke, apa ke, aku faham kalau dah kerja dengan kerajaan ni kena
ikutlah dimana pengarah nak kita berkhidmat. Lagipun Bahagian Penyelenggaraan
Aset dan Pengurusan Sumber memang perlukan aku untuk deal dengan kontraktor. Banyak lagi kerja yang berkaitan ilmu
kejuruteraan aku gunakan dalam unit tu.” Aku memberi jawapan yang ikhlas dari
hati.
Sejujurnya
aku memang tidak kisah jika bidang tugas aku berlainan sedikit seperti
kebanyakan jurutera. Asalkan dapat memberikan perkhidmatan dalam sektor awam
dan berbakti untuk masyarakat sudah memadai. Itu yang arwah mak inginkan sejak
dulu.
“Aku
buat semua ni demi arwah mak…” Suaraku sedikit mendatar.
“Sudah…aku
faham Adani. Jangan teruskan atau kau akan menangis kat sini.” Raihan mengusik.
“Aku
okeylah. Ehem, ehem.” Aku membetulkan suara sebelum menyambung kata.
“Kan
arwah mak nak sangat tengok salah seorang anak dia kerja kerajaan. Along memang
tak nak sebab kerja kerajaan gaji kecik, katanya. Angah pula dah buat keputusan
nak tinggal kat Labuan tu ikut Kak Ena. So,
the one and only akulah orangnya yang perlu memenuhi impian mak.” Aku
melepaskan nafas perlahan.
“Aku
tau Adani. Sebab tu kau tak kisah kerja kerajaan walaupun kau boleh dapat gaji
berlipat kali ganda jika kerja swasta. Murni niat kau tu, insyaallah berkat.
Dah, jom makan.” Raihan tersenyum dan menyuakan aku sebungkus mee yang diambilnya
dari dalam beg plastik.
Mak,
kalau mak ada betul ke mak akan bangga dengan Dani? Dani berkhidmat dengan
kerajaan macam mak. Walaupun Dani bukan cikgu, tetapi Dani akan menaburkan
khidmat bakti sebanyak mungkin untuk masyarakat. Sama macam mak yang tidak jemu
mendidik anak bangsa. Aku termenung jauh. Teringat kesedihan mak selama ini. Mana
tidaknya, sewaktu di universiti dulu aku langsung tak rupa macam anak seorang
cikgu. Bebas dan gemar bersosial. Aku leka dengan kehidupan remaja yang
kononnya indah belaka. Maafkan Dani untuk setiap perbuatan yang membuatkan
airmata mak mengalir. Ya, Allah…semoga roh mak ditempatkan bersama orang-orang
yang beriman...amin.
4 comments:
Salam Shiz... Every entry from u is always anticipated with much appreciation... Keep on writing!! - nyss
best...
Always love ur karya my bff!- kinu-
Nyss: Wsalam..harap suka dgn bab baru..ehehe
Baby mio: tq ya!
Kinu: so sweet my bff..thanks for ur support
Post a Comment