Tiada
bunyi yang kedengaran selain daripada bunyi sudu dan garfu yang berlaga di
pinggan. Hidangan makan malam yang enak tetapi tidak mampu membangkitkan selera
makan di tekak. Aku hanya makan sedikit sahaja untuk mengalas perut. Itu pun
kerana terlalu sibuk pada siang hari tanpa sempat mengambil makanan berat.
“Dean ada perlukan apa-apa bantuan
lagi untuk persiapan majlis tu?” Mama Anis memecahkan tembok kebisuan di meja
makan. Pandangan anak mata kami berlaga seketika.
Aku menundukkan wajah kembali.
“Rasanya setakat ni tak ada. Semua
dah diuruskan.” Jawapan yang perlahan dan tidak bertenaga keluar dari mulut.
Mama Anis mengangguk dan tersenyum
tawar. Suasana kembali sunyi seperti sebelumnya. Daddy masih agak dingin terhadapku sejak peristiwa itu. Kadangkala
aku merasakan semakin sukar menyelami hati daddy
apabila aku meningkat dewasa. Mungkinkah kerana daddy yang semakin berusia dan berubah watak?
“Dean dah kenyang?”
Aku tersentak. “Kenyang, daddy.”
“Baguslah, daddy nak masuk dalam dulu. Nak berehat.” Daddy bingkas bangun dan berlalu untuk masuk ke dalam bilik.
Aku kembali tunduk dan menguis
lebihan nasi yang masih di dalam pinggan. Helaan nafas aku lepaskan perlahan.
Bagaimana caranya untuk aku melembutkan hati daddy kembali? Adakah dengan berhenti mencari mummy? Ya Allah, segala beban perasaan terasa memberat di dada.
Sedikit sebanyak perhatian aku tidak tertumpu pada Asmara. Doktor gigi itu juga
kadangkala berjauh hati walaupun sedaya upaya cuba memahami.
“Macam mana progress?”
“Hah?” Aku terpinga. Hilang
berserakan segala pecahan minda.
“Tentang mummy Dean tu, ada apa-apa perkembangan kes ke?” Soalan yang lebih
terperinci diajukan oleh Mama Anis.
“Ohh…” Aku mengelap mulut
menggunakan tisu.
Kemudian aku gelengkan kepala
sedikit. Berkerut wajah Mama Anis dengan respon yang aku berikan.
“Takkan tak ada apa-apa maklumat
langsung yang Dean dapat?”
“Ada tu memang ada, mama. Tapi tak
banyak yang membantu dalam masa terdekat ni. Dean pulak memang kesuntukan masa.
Apa pun hanya boleh berdoa dan pasrah.”
Jatuh pandangan simpati Mama Anis
menyapu wajahku. “Dean kena terima walau apa pun hasilnya nanti. Yang paling
penting Dean dah usahakan.”
Aku mengangguk tanda setuju.
Walaupun jauh di sudut hati harapan aku sebenarnya terlalu tinggi untuk menemui
mummy. Malas melayan otak yang
berserabut, aku bingkas bangun membawa pinggan kotor menuju ke dapur.
“Dean! Telefon berbunyi!” Laung Mama
Anis dari ruang depan.
Berlari-lari anak aku mendapatkan
telefon bimbit yang terletak di atas meja kecil. Berderau darah melihat nama si
pemanggil. Apa dia nak malam-malam buta ni?
“Assalamualaikum…” Aku memberi
salam. Akal masih cuba berfikiran positif.
“Waalaikumsalam. Belum tidur lagi
bakal pengantin ni?” Terdengar ketawa kecil memecah di hujung talian. Nakal
bunyinya namun tidak sesuai aku rasakan saat begini.
“Ada apa ye call saya malam ni?” Aku pantas ingin mengetahui tujuan si
pemanggil. Tidak mahu berlama-lama.
Bunyi ketawa manja pula yang
dihadiahkan sebagai jawapan. Aku semakin gelisah tak menentu. “Saya memang dah
mengantuk. Maklumlah terlalu penat membuat persiapan majlis. Lagi cepat awak
bagitahu, lagi awal saya boleh tidur.”
Aku masih cuba berlembut. Kedengaran
pula di hujung talian deheman beberapa kali.
“Amboi, sekarang ni tak boleh nak
bergurau senda dah. Yelah, saya faham…”
Aku menjulingkan anak mata ke atas.
Sampai bila nak berbahasa-basi ni? Ingat aku buka talian bebas tol ke? Rasa nak
tekan punat merah secepat mungkin agar talian terputus. Namun entah mengapa aku
sabarkan juga menunggu jawapan.
“Boleh tak awak…”
“Okey, okey…saya nak bagitahu. Tak
perlu awak membebel macam mak nenek comel ye.”
Aku menghela nafas sedikit rakus.
Belum sempat aku menghabiskan ayat telah dipotong serta-merta.
“Cakaplah cepat.” Aku menggesa untuk
kesekian kalinya.
“Masih berminat untuk mencari mummy awak?” Jelas ayat tersebut
menangkap pendengaran aku.
“How
do you know about that?” Aku terkejut.
Ketawa lagi. Kali ini lebih panjang.
Membuat jantung aku semakin tidak keruan.
“Small
matter dear. Saya boleh hulurkan pertolongan jika awak sudi.” Masih ingin
bermain tarik tali saat begini.
“Maksud awak?” Aku cuba mendengar dengan
lebih teliti.
“Saya boleh usahakan kehendak awak
tu. Nak jumpa dengan ibu kandung awak kan?” Suaranya agak serius.
“Ye, betul.” Jawabku pantas. Tidak
sabar menunggu lebih lama lagi.
“Tapi…tapi…” Bunyi nafas dilepaskan
perlahan.
Peluh dingin hampir keluar di dahi. “
Tapi apa?”
Harapan seakan semakin jelas
kelihatan. Aku yang telah lama berdiri, melabuhkan punggung di atas kerusi.
“Boleh atau tidak awak usahakan
kehendak saya sebagai balasannya?”
Berombak kencang dada aku saat ini.
Pertolongan apa sampai minta balasan? Sah, ini adalah bantuan yang tidak ikhlas
sama sekali.
“Bukan orang ikhlas tolong tanpa
minta balasan?” Aku seperti kanak-kanak yang naif.
Makin galak ketawa di hujung talian.
“Ikhlas tu memanglah ikhlas. Tapi, kena juga ada pertukaran agar sama adil. Bak
kata orang win-win situation. Betul
tak?”
“Apa yang awak nak sebagai balasan?”
Otak mencerna niat-niat negatif yang berkemungkinan. Ya Tuhan, tolonglah jangan
dia nak yang bukan-bukan.
“Be
my wife.”
Membulat mataku mendengarnya. “What?!”
“I
said be my wife. Take it or leave it.” Nada suaranya bertukar tegas.
“Huh?
You wish!!” Aku terus menamatkan talian. Geram dan sebal berlumba-lumba
memasuki ruang rasa.
Perlu ke Asmara tahu tentang hal
ini? Aku menekup muka. Kenapa urusanku tidak boleh menjadi semudah orang lain?
Mengorbankan cinta demi untuk bertemu mummy?
Perkara sebegitu tidak mungkin aku lakukan. Tidak sama sekali. Titik.
6 comments:
Salam... Siapakah gerangan pemanggil itu?? Dh tahu Dean akn jd istri org, tp tetap nk ganggu!! Ceehhh.... sekel kang!! - nyss
Wsalam nyss..heheh agak2 siapa yek? jeng jeng jeng
Adoiiiii... wat suspen je tau Shiz nie..!! Sabar je laaaaa... - nyss
Salam. Susah betul jodoh Dean ni. Jangan beritahu itu adalah panggilan Harraz...
Seri Ayu: wsalam..mungkinkah? ok saya akan sambung nanti ye
nyss: nak pilih mummy ke asmara?
Ngee... pilih Asmara dlu.. pastu sama2 cari mummy... hik hik hik.. (Two heads think better than 1..Leh gitu?? ) - nyss
Post a Comment