Pandangan
mata daddy dan aku bersatu. Bibir daddy bergerak-gerak seperti ingin
meluahkan sesuatu tetapi suaranya tidak kedengaran. Aku menahan getaran dada
yang semakin berkecamuk. Rasa ingin tahu yang terlalu tinggi membuatkan aku
tekad menyatakan hasrat kepada daddy.
Namun inilah yang terjadi apabila daddy
terdiam setelah aku selesai berbicara.
“Maafkan Dean daddy. Dean harap sangat dapat jemput dia ke majlis perkahwinan tu
nanti. Walaupun itu mungkin kali pertama dan terakhir Dean melihat dia. Itu aje
permintaan Dean…” Aku bersuara lirih. Tidak sanggup menatap sepasang mata yang
duka, akhirnya aku tertunduk memandang lantai.
Nasib baik Mama Anis keluar bersama
temannya dan masih belum pulang. Kalau tidak, mungkin aku tidak dapat
berterus-terang dengan daddy tentang
hasrat di hati pada hari ini. Aku rasa masanya telah cukup sesuai untuk
menghadapi kenyataan. Aku telah dewasa dan bakal berumahtangga.
“Jadi memang selama ni Dean tahu mummy masih hidup?” Daddy menanggalkan kaca matanya perlahan dan diletakkan di meja
sisi.
Aku mengangguk lemah. “Macam yang
Dean ceritakan tadi. Dean terbaca diari lama daddy. Tapi Dean terpaksa berpura-pura tak tahu. Dean tak nak
lukakan hati daddy. Bagilah Dean
jumpa dia sekali aje, please…”
Daddy
meraup wajah yang kelihatan kusut. Permintaan aku nampaknya berat untuknya.
Namun semakin lama dipendam, semakin tak tenang aku jadinya. Aku perlu berjumpa
dengan mummy setelah berpuluh tahun
dia meninggalkan kami dua beranak. Bukan penjelasan yang aku pinta, cukuplah
sekadar mengenali wajah yang melahirkan aku ke dunia ini.
“Dia tak pernah cari kita Dean. Dia
bahagia dengan hidup dia, dengan jalan yang dia nak. Tak perlu kita datang
dalam hidup dia. Tak cukup ke kasih sayang daddy
selama ni?”
Soalan daddy menghenyak aku. Perasaan serba salah mula bertandang. “Bukan
macam tu. Sekali ni aje Dean nak jumpa dia, nak tengok muka dia. Dean memang
membenci dia tapi, dia tetap ibu yang melahirkan Dean ke dunia ni.”
Air jernih mula bergenang di pelupuk
mata. Pada siapa aku ingin meminta bantuan kalau tidak pada daddy? Arwah nenek pula sudah lama
tiada. Aku tersedu menahan tangis. Perkara ini telah banyak mengganggu perasaan
aku sejak kebelakangan ini. Kadangkala aku sukar melelapkan mata memikirkan
dimana agaknya mummy sekarang. Masih
hidupkah dia? Kalau sudah meninggal, siapa yang tahu kuburnya?
“Baik. Dean boleh cari dia tapi daddy tak akan bantu. Sewaktu kami
berpisah dulu, dia lari ke Singapura untuk bekerja disana. Sekarang, entahlah.
Mungkin dah balik ke Australia tempat asalnya.” Daddy memakai semula kaca mata dan terus beredar masuk ke dalam
bilik.
Aku memandang sepi kelibat daddy dari belakang. Ternyata hati daddy masih tidak dapat menerima
perbuatan mummy. Aku bersandar ke
belakang. Nafas panjang aku lepaskan perlahan untuk meredakan esakan yang
semakin menjadi-jadi. Kenapa baru sekarang pintu hati aku terbuka untuk mencari
perempuan itu? Setelah berpuluh tahun berlalu…dimana hendak aku mulakan
pencarian? Fikiran aku buntu!
“Assalamualaikum.”
Aku pantas menyeka airmata yang
turun laju. “Waalaikumsalam.”
“Eh, kenapa Dean menangis ni sayang?
Masalah dengan Asmara ke?” Mama Anis terus meluru kearahku dan meletakkan
bungkusan-bungkusan beg plastik diatas lantai.
Pantas aku menggeleng dan bibir
mengukir senyuman tawar. Di dalam otak ligat berfikir alasan yang hendak
diberitahu kepada Mama Anis. Aku tidak mahu Mama Anis terasa hati apabila hal mummy berbangkit di dalam rumah ini.
“Dean dengan Asmara okey aje.” Jawabku
perlahan.
“Then?
Masalah apa kali ni?” Mama Anis mengerutkan keningnya. Wajahku ditatap penuh
prihatin.
“Er…tak ada apa-apalah. Mama tak
perlu risau.” Aku tunduk dengan kedua-dua belah tangan memeluk tubuh.
Serba-salah aku jadinya.
“Dean teringin nak jumpa mummy dia!” Suara daddy yang tiba-tiba muncul dari muka pintu bilik mengejutkan kami.
“Mummy?”
Mama Anis terpinga-pinga.
“Abang dan Deanna
sebenarnya…bercerai hidup. Dia tak meninggal seperti yang abang ceritakan.”
Mulut Mama Anis terlopong. Wajah
suaminya dan wajah aku ditatap silih berganti. “Kenapa abang tipu selama ni?”
Aku mengeluh lemah. Kan aku dah
agak, pasti timbul soal lain. Kenapalah daddy
dengan yakinnya berkata begitu tadi? Argh….
“Maafkan abang. Memang kami berpisah
sejak Dean berusia lapan bulan lagi. Dan sejak itu Dean juga diberitahu bahawa mummy telah meninggal dunia.
Rupa-rupanya selama ni Dean tahu perempuan tu masih hidup.” Daddy melangkah dan berdiri di hadapan
aku.
“Mana dia sekarang?” Mama Anis
bangun merapati tubuh suaminya.
Daddy
menjungkit bahu dan memandang tajam kearahku yang masih membisu seribu bahasa.
“I don’t know. Dia nak cari, carilah
sendiri. Jujurnya kami tak pernah berhubung sejak berpisah. Dah dapat apa yang
dia nak, buat apa lagi dia nak tunjuk muka.”
“Dapat apa daddy?” Aku juga bingkas bangun.
Daddy
menghela nafas keras. Dia memusingkan tubuh untuk segera beredar. Aku pantas
memegang lengan daddy agar tidak jadi
untuk melangkah.
“Cakap daddy. Apa yang dia dapat?!” Suaraku tinggi tiba-tiba. Kerutan di
wajah daddy dan Mama Anis menunjukkan
mereka terkejut dengan reaksiku sebentar tadi.
Sebenarnya aku tidak sedar bahawa
intonasiku berubah menjadi nyaring. Sifat ingin tahu telah membuat aku mendesak
daddy. Tapi itu bukan sikap aku yang
biasa.
“Seratus ribu sebagai harga untuk
berikan Dean pada daddy.”
Ayat itu umpama halilintar membelah
bumi. Ya, bumi hatiku yang terasa terbakar hangus! Itukah nilainya yang mummy letakkan untuk aku? Airmata
kembali menitis membasahi pipi.
“Daddy
tipu!” Jeritku sambil menutup telinga dengan tapak tangan.
Mama Anis segera memelukku. Mungkin
Mama Anis tahu bagaimana perasaan aku apabila mengetahui hal yang sebenarnya.
“Dia minta duit tu sebagai
pertukaran. Bermakna dia lebih pentingkan duit daripada zuriat dia sendiri.
Sebab tu daddy tak setuju Dean cari
dia. Sekarang Dean faham kan?”
Aku menangis teresak di dalam
pelukan Mama Anis. Pertanyaan daddy
terbiar sepi tanpa jawapan. Siapa yang tidak berasa hancur hati apabila ibu
kandung sendiri sanggup meletakkan harga untuk anaknya? Tergamak mummy….
“Daddy
tanya ni, Dean dah faham?” Soalan itu berulang lagi.
Tangisan aku semakin kuat kedengaran
sehingga bahuku turut terhinjut-hinjut. Aku bangun dan terus berlari masuk
kedalam bilik. Pintu bilik aku kunci dari dalam. Aku tidak mahu diganggu oleh
sesiapa buat masa ini. Walaupun ada ketukan beberapa kali diselangi suara Mama
Anis, aku masih diam membatu.
Aku duduk menghadap cermin solek
dengan tangisan yang masih belum reda. Aku renung dalam-dalam seraut wajahku.
Setiap inci aku perhatikan. Apa salah Dean, mummy?
Kenapa mummy tak pernah cari Dean?
Untuk apa mummy letak harga pada diri
Dean? Pelbagai persoalan mengasak fikiran. Aku yakin benar daddy tidak akan memberikan jawapan untuk setiap persoalan ini.
Cara daddy sebentar tadi pun lain
macam. Daddy tak pernah sebegitu
rupa. Teruk sangatkah perempuan bernama Deanna Drawson? Mengapa mereka boleh
berpisah pada usia anak baru lapan bulan?
Aku tunduk melurut rambut dengan
kedua belah tangan. Semakin jauh aku berfikir, semakin tersesat aku dalam
permainan minda yang bercelaru. Akhirnya kaki aku hala menuju ke bilik air. Aku
mengambil wuduk dan bersolat. Setelah selesai, aku duduk berteleku di atas
tikar sejadah. Doa aku panjatkan agar ketenangan meresap dalam jiwa. Biarlah
segala simpulan dapat dirungkai dengan petunjuk-Nya. Airmata menitis lagi. Aku
sebak kerana buat pertama kalinya aku mendoakan untuk insan yang melahirkan
aku. Walau dimana dia berada, biar seburuk apa pun dia, lindungilah dia Ya
Allah….Berkatilah hidupnya….Ampunkan semua dosa-dosanya….kerana dia adalah
ibuku, yang bersusah payah mengandungkanku selama sembilan bulan sepuluh hari
dan menahan derita untuk melahirkan satu nyawa kedunia ini.
Setelah aku meraup wajah, tangan
membuka telekung perlahan-lahan. Kemudian aku melangkah merapati jendela kaca
bilik ini. Mata aku tatap ke langit. Aku yakin, andai dia masih hidup kami melihat
langit yang sama. Masih berdiri di bumi Allah yang luas ini. Aku menutup mata
dan menarik nafas dalam-dalam. Terasa sesak dada dengan bermacam rasa. Dalam
menghitung hari bahagia bersama Asmara, perkara ini pula muncul mengganggu
jiwa. Hidup sentiasa ada pasang dan surut, bahagia dan duka. Aku redha.
*****************************
“Makanlah sikit lagi. Muka tu dah pucat
semacam.” Sudu disua lagi mendekati bibir.
Aku menggeleng. “Dah kenyang.”
“Kenyang? Makan dua tiga suap boleh
kenyang ke? Please sayang…makan sikit
lagi okey.” Asmara masih bersabar memujuk. Sejak tadi drama sebabak untuk
menyuapkan aku makan masih belum selesai. Nasiblah dapat bakal suami yang
penyabar.
“Saya tak ada selera, sebenarnya.”
Aku tersenyum tawar sambil membetulkan duduk. Sejak semalam aku tidak keluar
dari bilik. Baru hari ini menjamah sedikit nasi. Mana tak lemah badan tu.
Asmara menjeling sekilas wajahku
sebelum meletakkan pinggan disisinya. Kemudian lengan baju kemeja dilipat
sedikit tinggi. Aku sekadar memerhati perbuatannya. Tak ada yang pelik pun. Aku
bersandar di kepala katil. Kelihatan bersahaja dan santai walaupun terasa
lemah.
“Okey, saya faham. Mula-mula sayang
kata tak lapar. Kemudian mulut malas nak mengunyah, dah kenyang dan last sekali tak ada selera.” Tiba-tiba
wajah Asmara bertukar riak. Menjadi serius semacam.
Aku mengerutkan kening. “So?” Soalku yang agak terpinga-pinga
dengan ayat penyata tersebut.
Kening Asmara terjungkit sedikit.
“Saya nak cabut gigi sayang. Dapat sebatang pun jadilah. Nanti dah sakit, baru
tahu macam mana rasanya tak boleh makan. Sihat walafiat macam ni ngada-ngada
tak nak makan.”
Aku tercengang dengan kata-kata yang
keluar dari mulut bakal suamiku ini. Biar betul? Sanggup dia nak cabut gigi aku
hanya kerana tak nak makan?
“Eh, janganlah!” Aku menekup mulut.
Mataku membulat melihat Asmara sudah semakin mendekati.
“Kenapa pula jangan? Biar tahu macam
mana rasanya sakit gigi.” Katanya tanpa nada. Asmara benar-benar serius?
Langsung tiada segaris senyuman di wajahnya saat ini.
Aku pantas menggeleng laju. Bayangan
ngeri terasa menyapa di depan mata. Situasinya aku bersanding di atas
singgahsana nan indah. Aku terasa bahagia yang amat lalu tersenyum penuh yakin.
Tiba-tiba teringat bahawa aku tiada satu batang gigi! “Macam mana nak naik pelamin kalau hilang satu
gigi?”
“Dan macam mana nak naik pelamin
kalau tak nak makan? Berat badan turun, kesihatan terjejas, muka cengkung…”
Belum sempat Asmara membebel panjang lebar aku terus menekup mulutnya dengan
tangan.
“Okey, okey saya makan.” Kataku
sambil tersengih dengan muka tak bersalah.
Asmara mengambil tanganku dan
digenggam erat. “Good girl. Jangan
buat saya risau tengok keadaan sayang macam ni. Apa pun masalah dalam hidup
kita, makan tetap wajib makan. Masalah tu tak akan selesai kalau kita mogok
lapar sekalipun.”
“Yelah tu. Masalah pun tak akan
selesai kalau awak cabut gigi saya!” Aku mencebikkan bibir. Mentang-mentanglah
dia doktor gigi, kerjanya asyik nak cabut gigi orang. Eeeii….geram tau!
Asmara tergelak kecil. Hilang wajah
serius yang dipamirkan seketika tadi. Tangannya kembali mencapai pinggan yang
terletak di sisi. “Sayang ni kelakarlah. Mana boleh cabut gigi kat sini. Saya
mana ada peralatan.”
Asmara menggelengkan kepalanya
beberapa kali sambil menghabiskan sisa-sisa gelak. Aku masih mencebikkan bibir.
Di dalam hati terasa malu yang amat sangat. Melayan perasaan yang gundah aje
sampai berfikir logik pun tak boleh. Betul juga, mana boleh cabut gigi kat
rumah. Ah, manalah aku tahu kut-kut Asmara nak kapak gigi aku. Ketuk guna
lesung batu ke?
“Sudah, sudah! Buka mulut sekarang.
Cepat habiskan nasi dalam pinggan ni. Tak payah nak berfikir yang bukan-bukan.
Otak sayang tu bukan boleh percaya. Saya tak guna kapak atau lesung batu untuk
patahkan gigi orang. Paling dahsyat pun saya guna playar aje.”
Gulp. Aku menelan liur yang terasa
seperti berpasir. Aku ada terlepas cakap ke tadi? Mungkin otak aku ada pembesar
suara yang orang luar boleh dengar? Apabila sudu disua, aku segera membuka
mulut. Aku perlu menghabiskan sepinggan nasi untuk menyelamatkan sebatang gigi.
Kesimpulannya jangan ingat doktor
tak berbahaya! ^_*
2 comments:
Salam... adehh.. lama benar saya x online utk baca N3 dari Shiz..Anyway, saya fhm perasaan Dean utk mncari seorg ibu yg xprnah dia tatap.. pd saya, apa pun yg prnah terjadi, ibu tetap ibu.. walaupun kekadang apa yg prnah d laku kn x melambang kn `keibuan'nya... PS... Shiz, all the best for your future.. smoga d permudahkn segalanya.. Amin!! ~nyss
Wsalam nyss..hehe alhamdulillah so far so good..=) thanks masih mengikuti entry blog ni..kalau boleh mmg hari2 nk update tp masa terlalu padat..teruskan bg sokongan ye
Post a Comment