Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, April 15, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 26


             “Siapa yang nak kahwin ni? Asmira ke Asmara?” Itulah soalan cepu emas yang ditujukan oleh rakan-rakan sekelas kami dulu apabila aku dan Asmara datang menghantar kad undangan perkawinan.

                   “Dua-dua!” Jawab kami serentak. Pecah berderai tawa dari rakan-rakan lama.

            “Dulu zaman sekolah, suka bergaduh. Sekarang, nak buat isteri.” Sindir Zulhilmi dalam gelak tawanya.

            “Akhirnya bersatu jua kamu berdua ni!” Laila antara insan yang paling gembira mendengarnya.

            “Mak Asmira, ayah Asmara, jangan bagi nama anak Asmoro sudahlah!” Usik Fikah.

            “Tahniah! Bergaduh selalu pun, boleh jatuh cinta. Insyaallah saya datang nanti.” Cikgu Sharifudin yang pernah menjadi guru kelas kami dahulu, dapat juga dihubungi berkat usaha rakan-rakan lama.

            Itulah antara reaksi mereka sewaktu kami mengedarkan kad undangan perkahwinan. Tak sangka, masih ramai yang mengingati kisah antara Asmira dan Asmara. Dua orang pelajar yang sering bergaduh di dalam kelas. Malah hubungan cinta kami dulu pun, cuma Laila yang tahu. Kami terpisah pun, Laila juga yang tahu. Indahnya rasa apabila kami akan mendirikan rumahtangga dan semua orang dah tahu!

             “Maafkan auntie ye Asmira. Masa tu auntie ingatkan kamu berdua hanya cinta monyet.”

            Aku tersenyum memandang wajah Puan Rohana yang masih rasa bersalah atas perkara yang terjadi terhadap kami dulu. “Saya faham. Lagipun kalau tak ada jodoh, tak ada jugaklah kan?”

            “Bertahun Asmara terpisah dengan Asmira semuanya gara-gara mama. Akhirnya berjodoh jugak. Mama doakan yang terbaik untuk kalian berdua.” Puan Rohana memeluk bahu anak terunanya.

            “Asmara tak salahkan mama pun. Mak mana yang tak nak tengok anaknya berjaya? Asmara tahu mama tak nak Asmara hanyut dalam cinta yang belum pasti. Betul tak?” Asmara memandang wajah mamanya yang masih kelihatan anggun walaupun telah berusia.

            Puan Rohana hanya mengangguk sebagai jawapan. Kemudian memerhatikan aku yang menulis nama rakan-rakan dan saudara-mara di atas kad undangan.

            “Terima kasih auntie kerana sudi menerima saya.” Aku terasa sebak tiba-tiba.

            “Auntie akan terima siapa sahaja pilihan Asmara asalkan perempuan yang baik-baik.” Puan Rohana tersenyum lagi.

            “Dah rancang nak tinggal kat mana lepas kahwin?” Pertanyaan Puan Rohana membuatkan aku dan Asmara saling berpandangan.

            “Er…belum lagilah mama. Sementara waktu mungkin kami tinggal kat sini. Asmara akan cari rumah secepat mungkin.” Jawab Asmara dengan mata masih memandang aku.

            Secara jujurnya perkara ini belum pernah kami bincangkan. Terlalu sibuk membuat persiapan majlis perkahwinan sampai perancangan selepas kahwin pula terlepas pandang. Namun aku tidak kisah duduk dimana-mana pun asalkan Asmara ada bersama.

            “Sayang tak kisah kan, kalau kita tumpang duduk sini dulu dengan mama?” Asmara menyentuh lembut tanganku yang masih memegang pen. Alamak! Malunya dipanggil sayang depan bakal mak mertua. Asmara ni memang tak pandai cover line betul.

            Aku tersipu-sipu dan menggeleng perlahan. “Mana-mana pun sama aje.”

            “Saya janji tak lama. Nanti lepas kahwin, kita cari rumah sama-sama okey.” Asmara menggenggam pula tanganku.

            Aku mengangguk. “Don’t worry. Saya faham.”

            “Tak sabar pula mama nak dapat cucu. Mesti comel sebab ada campuran mat saleh.” Mama tergelak selepas menuturkan ayat tersebut.

            Gulp! Air liur tersekat di kerongkong. Bukan sebab cucu yang mengganggu fikiran. Tetapi kerana perkataan mat saleh itu. Aku akan menjadi isteri orang tak lama lagi. Tetapi sehingga kini aku masih belum pernah melihat wajah ibu kandungku sendiri.

            “Ish, mama ni. Belum apa-apa dah cakap soal cucu. Asmara ni dah cukup handsome dah mama oi. Kalau tak kacuk pun, cucu mama confirm comel semuanya.” Asmara pula tergelak besar.

            “Sayang nak berapa orang anak?” Asmara beralih pandang pada wajahku yang suram.

            “Sayang? Sayang?” Asmara menyentuh bahuku melihat aku hanya terdiam tidak berkutik.

            “Eh, ye. Apa dia?” Soalku terkulat-kulat.

            “Berangan sampai kemana sayang ni? Saya tanya, nak berapa orang anak?” Asmara menjungkitkan keningnya.

            Aku tersenyum tawar. “Tak kisah.”

            “Asmara ni pun satu. Asmira malulah tu agaknya. Tanya pula depan-depan mama.” Puan Rohana menggelengkan kepalanya beberapa kali. Telatah anak bujangnya yang kemaruk nak berbini membuatkan dia geli hati.

            “Maaf sayang.” Asmara tersenyum kelat.

            Aku tersenyum sahaja sebagai jawapan. Kemudian meneruskan kerja yang tertangguh sebentar tadi. Senarai nama tetamu aku pandang. Tetapi terasa sesuatu pula apabila nama Deanna Drawson tiada dalam senarai sedangkan yang berkahwin ini adalah anak kandungnya.

            “Mama nak ke depan dulu ye. Nak siram pokok-pokok bunga mama tu.” Puan Rohana menepuk bahu Asmara sebelum berlalu.

            “Sayang marah? Maaf ye, saya tak sengaja.” Asmara mendekatkan diri kepadaku.

            “Taklah. Saya tak marah.” Jawabku tanpa memandang wajah Asmara disisi.

            “Kenapa lain aje ni?” Asmara memeluk bahuku pula.

            Aku menghulurkan senarai nama tetamu kepadanya. Asmara membuat muka pelik tetapi tetap menyambut huluranku.

               “Kenapa dengan list ni? Tak lengkap lagi ke?” Soalnya ragu-ragu.

            “Memang tak lengkap sebab nama mummy tak ada dalam tu.” Keluhku perlahan sambil tangan menggoyangkan pen.

            Asmara menatap mataku lama. “Sayang nak dia datang? Bukan sayang benci dia ke?”

            Keluhan terlepas dari bibirku lagi. “Bohonglah kalau saya tak teringin nak jumpa dia, nak tengok rupa dia…lebih-lebih lagi saya dah nak kahwin tak lama lagi.”

            Asmara memeluk erat bahuku. “Serius saya tak kisah. Saya sokong aje apa yang sayang nak. Cuba tanya daddy kat mana dia sekarang. Mana tahu kita dapat jemput dia datang ke majlis kita nanti.”

            “Saya takut.”

            Dahi Asmara berkerut. “Takut apa?”

            “Takut lukakan hati daddy. Dah berpuluh tahun dia tinggalkan kami, sekarang saya pula yang nak cari dia.” Aku tunduk menahan sendu. Perasaan bercampur-baur menyesakkan dada.

            “Daddy pasti faham. Mesti sayang nak ibu kandung ada untuk menyaksikan hari bersejarah kita kan?” Asmara cuba menyedapkan hati aku.

            “Walaupun dia tak layak untuk berkongsi kegembiraan ini? Dia tak pernah ada saat suka dan duka sepanjang kehidupan saya. Dia tak pernah datang cari saya, Asmara.” Mataku mula berkaca. Air jernih yang bertakung mula menuruni pipi.

            “Syyy…please don’t cry…kita tak tahu apa jadi dengan dia, sayang. Bukan dia tak nak, tapi mungkin dia tak dapat cari sayang.” Pujuk Asmara sambil mengusap kepalaku penuh kasih.

            “Seteruk apa pun, dia tetap ibu yang melahirkan sayang. Dah, jangan banyak fikir. Kita akan cuba cari dia ye.” Sambung Asmara lagi.

            Aku hanya diam melayan sendu. Apa yang menggusarkan hati, adalah penerimaan daddy.


                                                *********************************


Asmara tidak bersetuju pada awalnya tetapi aku yang mendesak. Akhirnya dia mengalah dan menunggu di dalam kereta dengan wajah yang mencuka. Namun dia masih boleh melihat aku dari dalam kereta. Yelah, aku berbual pun hanya di pintu pagar.

            “Jangan lupa datang ye.” Senyuman manis aku berikan.

            “Insyaallah Aina datang dengan Syamsul nanti. Tahniah!” Aina memeluk aku erat. Walaupun aku tidak menjadi kakak iparnya, hubungan kami tetap mesra.

            “Kad untuk saya tak ada?” Hazriq yang muncul dengan memakai t-shirt dan tuala mengejutkan aku.

            “Baru lepas mandi.” Sengihan Hazriq aku sambut dengan anggukan.

            “Sekali dengan Aina aje. Kan duduk satu rumah.” Jawabku bersahaja.

            “Tahniah Dean.” Hazriq menghulurkan tangan kepadaku.

            Lambat-lambat aku sambut jua. Pasti adegan ini dapat disaksikan oleh Asmara dari dalam kereta.

            “Terima kasih. Jemput datang tau. Saya balik dulu.” Kataku melepaskan tangannya.

            “Aina, saya balik dulu ye. Assalamualaikum.” Ucapku dan terus melangkah untuk masuk ke dalam kereta.

            “Sukalah tu dapat bersalam dengan bekas tunang.”

            Belum sempat melabuhkan punggung, mulut Asmara telah mengeluarkan kata-kata sinis. Aku duduk dan menutup pintu kereta. Aku hanya diam tidak menjawab sehinggalah Asmara memecut laju membelah jalanraya.

            “Tak lama lagi saya akan jadi isteri awak. Masih nak cemburu lagi?”

            Asmara mencebikkan bibir. “Patutlah tak bagi saya turun. Hazriq ada kat rumah rupanya.”

            Aku menggelengkan kepala. Asmara ni boleh tahan juga ye angin kus-kus! Masa zaman sekolah dulu, taklah sangat. “Saya tak bagi awak turun, sebab saya tak nak Aina rasa tak sedap aje. Maklumlah, kami masih rapat macam dulu walaupun saya dah berpisah dengan abang dia.”

            “Hazriq cakap apa?” Soal Asmara laju.

            “Cuma ucapan tahniah. Itu aje.” Balasku yakin.

            “Dia dah ada pengganti?” Asmara menjeling aku sekilas.

            Aku menjungkitkan bahu. “Manalah saya tahu. Itu hal peribadi dia. Saya tak masuk campur.”

            Asmara diam seribu bahasa. Suasana sunyi menyelubungi perjalanan kami sehingga tiba ke destinasi.

            “Saya turun dulu.” Ucapku sambil cuba menyentuh tangan Asmara yang masih berkelakuan dingin.

            “Saya tak suka perasaan cemburu ni, Asmira. Tolong jangan buat saya rasa macam ni lagi.” Perlahan nada suara Asmara meluahkan rasa. Dulu zaman sekolah, bukan main keras lagi. Sekarang, dalam hati ada taman. Aku menyembunyikan senyum.

            “Maafkan saya ye. Saya janji akan jaga hati awak sebaik mungkin. Lagipun, tak ada apa yang nak dicemburukan. Saya dah nak jadi isteri awaklah.” Lembut aku memegang pipi Asmara.

            Asmara menarik nafas dan menghela panjang. “Nak buat macam mana kalau hati tetap rasa cemburu?”

            Aku tergelak kecil. “Okey, okey. Lepas ni tak buat dah.”

            “I love you so much, Asmira.” Ucap Asmara penuh perasaan.

            “I love you too, Asmara.” Percaya atau tidak, apabila bersama dengan orang yang tepat tekak ini langsung tidak berasa geli untuk menyebutnya.

               Cewah!

4 comments:

Anonymous said...

thnx cik writer..
terubat rindu..
wah dah nak kawin ye asmira n asmara..
arap2 hazriq xwat onar kat asmira..
bkn blh caya sgt hazriq 2..pepun thnx ye cik writer..
next n3 akan saya tunggguuuuuu..
-eil-

Shizukaz Sue said...

Thanks a lot eil...insyaallah next month mgkin akan lebih konsisten selepas smua kesibukan reda sedikit hehe bolehlah mengarang kan..=)

Unknown said...

best...

Shizukaz Sue said...

thanks baby mio =)