Aku duduk di sudut belakang bersama
Asmara. Setelah menjamu selera, kami berbual kosong sambil memantau perjalanan
majlis persandingan Datok Husin dan Syikin. Syaza yang sesekali menjenguk ke
luar dewan melaporkan keadaan tenang dan terkawal. Tiada tanda-tanda kelibat
Datin Kalsom berada disini. Mungkin kedatangannya siang tadi hanya untuk
menghalang pernikahan suaminya. Tetapi, takdir telah tersurat bahawa mereka
telah selamat mendirikan masjid.
Jadi, apa lagi yang mampu dilakukan
oleh Datin Kalsom? Aku yakin, dia juga mempunyai harga diri yang tinggi. Siapa
pun mesti malu untuk berkelakuan begitu tetapi emosi telah melebihi akal. Aku
hanya mampu berdoa Datin Kalsom mampu bertenang dan berbincang dengan suaminya
secara aman. Yang pasti biarlah setelah semuanya selesai.
“Tak dapatlah tengok drama sebabak
malam ni.” Asmara menyiku sedikit lenganku.
“Ish, tak baiklah cakap macam tu.”
Aku menggoyangkan jari telunjuk kepadanya.
Asmara tergelak lucu. “Kalau saya
kahwin lain nanti, sayang serang macam Datin tu ke?”
Tengok! Belum apa-apa lelaki dah
tanya soalan cepu emas mereka. “Tak kuasa.”
“Eh, pendek aje jawab? Habis tu
sayang buat apa?” Asmara menyembunyikan senyum. Memang suka mengusik orang dia
ni. Nasib larat tak larat aje nak melayannya.
“Cari orang lain.” Selamba aku
menjawab tanpa reaksi.
“Menggatal ye? Jangan nak mengada.”
Asmara menyiku lagi lenganku. Kali ini sedikit kasar. Aku tetap dengan muka
selamba. Dia yang mulakan, lepas tu ada hati nak merajuk. Tak senonoh betul.
“Awak menggatal boleh pula? Kenapa
saya tak boleh?” Aku tidak mahu beralah.
“Kak Dean, apa ni? Nampak tu
pengantin tengah potong kek. Akak boleh bergaduh macam suami isteri kat
belakang ni.” Syaza menggelengkan kepalanya melihat aksi kami berdua.
“Asmara ni buat hal.” Aku menuduh
Asmara.
Asmara segera menggeleng. “Akak ni
yang nak menggatal.”
“Sudahlah tu, akak dengan abang sama
aje. Boleh tak bercinta elok-elok, jangan gaduh-gaduh?” Syaza membuat muka
seposen.
Aku dan Asmara saling berpandangan
kemudian masing-masing tersengih macam kerang busuk. Saling tak ubah seperti
zaman remaja dulu. Kami jarang sependapat, tetapi dua individu yang saling
memerlukan. Cinta memang aneh dan misteri. Kan?
“Amboi, senyum-senyum pula selepas
bergaduh. Tak fahamlah Syaza dengan akak dan abang ni.” Syaza mengomel macam
nenek kebayan. Kemudian berlalu untuk memantau apa yang patut.
Majlis berakhir dengan aman.
Senyuman yang terhias di wajah Datok Husin dan Syikin menggambarkan mereka
bahagia malam ini. Tetamu sudah beransur pulang dan pasangan mempelai juga akan
naik ke bilik setelah selesai sesi bergambar. Aku memerhatikan para pekerja
yang sedang bersiap sedia untuk berkemas.
“Awak baliklah dulu. Dah lewat ni.” Kataku
setelah melihat Asmara turut menolong mengumpulkan sedikit barang di suatu
tempat.
“Saya tunggu awak, nak balik
sekali.” Asmara membetulkan lengan baju kemejanya yang sedikit terangkat.
“Saya boleh balik dengan Syaza. Esok
kan awak kerja, baliklah berehat.” Mataku membelek telefon bimbit untuk
membalas pesanan ringkas dari Daddy.
Sejak kejadian dulu, Daddy memang
selalu menghubungi untuk memastikan aku berada dalam keadaan baik. Kebimbangan
dia berganda terhadap aku berbanding sebelum ini.
Asmara memegang tanganku untuk
menghentikan pergerakan. “Kerja tetap kerja, tanggungjawab juga tetap
tanggungjawab.”
Aku terkedu. Tersentuh dengan Asmara
yang bersifat melindungi. “Tapi saya belum jadi tanggungjawab awak lagi.”
Aku mengalihkan pandangan kearah
lain. Tercakaplah pulak! Mulut aku memang tak ada insurans. Asmara tersenyum
dan renungan matanya menjadi lebih redup. “Sekarang kita kan berpasangan, awak
memang tanggungjawab sayalah.”
“Eeii…mentang-mentanglah dulu study kat negara seberang, cakap pun guna
ayat skema. Berpasangan? Mak ai, gelilah!” Aku ketawa terbahak-bahak. Itu
kelebihannya apabila aku bersama dengan Asmara. Aku tidak perlu control cun dan bebas menjadi diri
sendiri.
Asmara membuat memek muka mengejek.
“Iya dong! Kita kan berpacaran, ngapain geli-gelian.”
Ayat yang keluar dari mulut Asmara
membuatkan ketawaku semakin kuat meletus. Tetapi apabila terlintas sesuatu di
fikiran, ketawaku tiba-tiba mati. Wajah Asmara aku tatap dengan kening yang
terjungking sedikit.
“Kat sana dulu, awak ‘pasang’ minah
Indon ke?”
Asmara pantas menggeleng laju. “Mana
ada. Saya setia pada yang satu.”
Aku menaikkan jari telunjuk tepat ke
mukanya. “Baik cakap betul-betul Asmara…”
Api cemburu menyala. Boleh tahan
juga cemburu aku kalau tak kena gaya. Rasa malu aku tolak ketepi, yang penting jawapan
jujur aku inginkan. Asmara mengangkat tangan seperti bersumpah.
“Betul, tak pernah ada orang lain
selain awak. Siapa bilang gadis Melayu tak menawan, tak menarik hati tiada
memikat…” Asmara siap menyanyikan lagu Gadis Melayu segala bagai.
Aku mencebikkan bibir. Tangan aku
silangkan kedada memeluk tubuh. “Saya bukan gadis Melayu tulen.”
Perlahan nada suaraku yang sedikit
bergetar. Entah mengapa malam ini ayat itu boleh aku ucapkan. Aku mengaku
asal-usulku yang sebenar? Aku bukan gadis Melayu tulen kerana ada darah
Inggeris dalam tubuh ini. Malah wajahku juga mencerminkan itu.
“Asmira, dengar sini sayang.” Asmara
memegang kedua belah bahuku.
“Saya tak menilai sesuatu dari
luaran. Biarlah rupa awak tak macam Melayu, darah yang ada dalam tubuh awak
juga bukan seratus peratus Melayu, tetapi hati dan jiwa awak penuh kemelayuan.
Awak hidup dengan adat budaya orang Melayu. Tak guna kalau lahir sebagai Melayu
tulen, wajah Melayu tapi gaya hidup kebaratan. Berapa ramai anak Melayu kita
yang lupa mereka adalah orang Melayu?” Tegas Asmara menerangkan kepadaku.
Aku terdiam. Pandanganku tertunduk
ke lantai. Dalam hati aku bersetuju dengan kata-kata Asmara itu. Nilai-nilai
kemelayuan memang nampak pudarnya terhadap anak-anak muda masa kini. Semua nak
jadi macam orang Barat, kalau boleh.
“Awak tetap gadis Melayu dimata
saya.” Asmara menggenggam tanganku erat. Masih cuba mencari riak diwajahku yang
menunduk.
“Terima kasih, Asmara. Memang hati
dan jiwa saya Melayu. Cuma jasad aje nampak berbeza.” Aku mengangkat wajah dan
tersenyum tawar.
“Dah, jangan sedih ye sayang. Saya
minta maaf kalau buat awak terasa hati. Saya tolong-tolong sikit nanti sekejap
lagi kita balik. Okey?” Asmara mencuit hujung hidungku.
Aku tersenyum dan mengangguk.
Kemudian memerhati kosong Asmara berlalu untuk membantu pekerjaku yang lain.
Tiba-tiba satu perasaan aneh menyelubungi diri. Hakikat yang selama ini aku
cuba padamkan kenyataannya. Dimana perempuan itu saat ini? Masih hidupkah dia?
Adakah rupanya seperti rupa aku? Persoalan demi persoalan menerjah ruang
fikiran yang selama ini langsung tiada ruang untuknya.
********************************
“Daddy tak benarkan Dean pergi.” Wajah
tegang Daddy aku pandang tanpa
berkelip. Mama Anis yang duduk di sebelahnya hanya mengusap-usap belakang daddy.
“Dean serba-salah. Puan Jamaliah nak
sangat Dean melawat dia kat hospital. Tolonglah daddy.” Aku merayu sambil melutut di hadapan daddy.
“Tidak sekali-kali Dean. Remuk hati daddy atas perbuatan Hazriq pada Dean.
Sedangkan sebagai seorang ayah pun daddy
tak pernah jentik, lagi pulak nak pukul-memukul! Daddy tak nak Dean ada kena-mengena lagi dengan keluarga dia.” Daddy merengus kasar. Jarang sekali daddy marah-marah sebegini, mungkin dia
benar-benar terkesan atas apa yang berlaku.
Aku juga menerima kesannya. Baik
secara fizikal mahupun mental. Bohonglah kalau aku tidak takut akan bertembung
dengan Hazriq jika aku menjejakkan kaki ke hospital. Rasa trauma itu masih ada.
Tetapi aku tidak sampai hati untuk menghampakan permintaan Puan Jamaliah. Mana
tahu kalau-kalau ini permintaan terakhirnya? Aku jadi resah sendiri.
“Ibu dia sakit daddy, bukan perkara main-main. Kalau daddy nak ikut sekali pun boleh. Dapat jumpa sekejap pun tak
apalah, asalkan Dean tak hampakan permintaannya.” Aku masih cuba memujuk hati daddy yang seperti tidak mahu berganjak
dengan keputusannya.
“Kalau Dean berkeras juga, daddy dan mama akan ikut sekali. Tapi daddy cuma bagi masa sepuluh minit sahaja.
Daddy tak nak ibu dia buat Dean
terima Hazriq balik.”
Aku menggeleng. “Walau apa pun Dean
tak mungkin balik pada Hazriq.”
Daddy
merenung aku dalam-dalam. Mungkin sebagai seorang ayah, daddy terbatas untuk menyelami perasaan aku. Kalaulah Daddy tahu sejak dulu hanya ada satu
nama sahaja yang bertakhta di hati ini….siapa lagi kalau bukan Asmara. Daddy tak perlu bimbang.
Setibanya kami di hospital, tekaanku
benar. Hazriq dan Aina ada menemani Puan Jamaliah yang terbaring memakai alat
bantuan pernafasan. Pertama kali bertentang mata sejak kes tersebut, hati aku
jadi gentar. Pandangan tajam Hazriq seakan mahu melapah aku hidup-hidup.
“Hazriq, kau keluar dulu. Aku tak
nak kau dekat dengan anak aku.” Tegas dan keras arahan daddy membuatkan aku tersentak.
Hazriq merengus dan terus keluar
sambil menghempas pintu. Aina pula bersalaman denganku dan Mama Anis sebelum
turut beredar. Setelah aku duduk disisi Puan Jamaliah, daddy dan Mama Anis juga keluar meninggalkan kami berdua.
“Puan, Dean datang ni.” Bisikku
lembut di telinga Puan Jamaliah yang masih lemah.
Perlahan-lahan mata tuanya dibuka.
Tangannya meraba-raba cuba mencari tanganku untuk disentuh. “Dean…”
“Ya, puan. Dean kat sini. Dean minta
maaf sebab tak dapat terus bersama Hazriq. Dean…Dean tak sanggup lagi…” Ucapku
tersekat-sekat menahan sendu. Hati aku sangat mudah berasa simpati. Kelemahan
terbesar yang memakan diri.
“Sa…ya…minta…maaf. Haz…riq
kejam…pa…da…Dean.” Amat payah untuk Puan Jamaliah menuturkan kata. Namun aku
amati juga satu persatu kata yang diucapkannya.
“Tak apa, bukan salah puan. Saya dan
Hazriq tak ada jodoh. Dean dah maafkan dia.” Aku mengelus perlahan tangan Puan
Jamaliah yang dingin.
“Kalau saya…tak ada…siapa…nak
jaga…Aina…” Puan Jamaliah memandang tepat anak mataku. Anak matanya
bergerak-gerak seperti ingin menyampaikan sesuatu.
Dahiku berkerut. “Jangan cakap macam
tu. Puan akan sihat, insyaallah.”
“Saya…min…ta…maaf sangat. Dean
to…long…tarik balik report tu.”
Sepotong ayat itu menggoncangkan
dada. Kalau aku tarik balik, Hazriq akan terlepas dari undang-undang. Malah
keselamatan aku dan keluarga akan terancam. Tanganku yang menyentuh tangan Puan
Jamaliah aku tarik perlahan. Berkira-kira untuk beredar. Aku pasti beralah
kalau lebih lama disini.
“Sa…ya…merayu. Sa…ya…janji…Hazriq
tak…apa-apakan…Dean lagi.” Puan Jamaliah ingin membuka alat bantuan
pernafasannya untuk bangun.
“Baik, puan. Dean akan lakukan.” Aku
pantas menghalang dan membaringkannya semula.
Puan Jamaliah tersenyum kelat.
“Ter…rima…kasih. Semoga…Dean hi…dup…bahagia.”
Aku membalas senyumannya walaupun
lebih kurang sama kelatnya. Aku tahu aku akan dimarahi daddy, merisikokan semula keselamatan kami, tetapi aku harap Hazriq
telah sedar kesalahannya. Mungkin Hazriq tidak sekejam yang disangka? Ah, hati
sebenarnya rasa berbelah-bahagi.
“Puan cepat sembuh ye. Saya balik
dulu. Assalamualaikum.” Aku mencium tangannya dan Puan Jamaliah mengangguk
lemah. Pandangan matanya sukar untuk dimengertikan tetapi ada rasa kasih di
situ. Aku mampu merasakannya.
Setelah beberapa langkah, aku
berpatah balik. Aku renung wajah Puan Jamaliah yang pucat. Matanya sudah
tertutup rapat. Nafasnya turun naik perlahan. Aku menunduk sedikit dan mencium
dahinya. Mata itu kembali terbuka.
“Biarpun Dean tak ada jodoh dengan
Hazriq, Dean nak puan tahu satu perkara. Dean tetap sayangkan puan macam
seorang ibu.” Aku menggigit bibir menahan rasa sendu. Aku tidak mahu airmata
ini tumpah dihadapan Puan Jamaliah yang sedang sakit.
Puan Jamaliah tersenyum. Kemudian
aku melambaikan tangan kepadanya sebelum tangan membuka pintu. Aku keluar tanpa
menoleh lagi. Daddy dan Mama Anis
yang menunggu di luar bilik terus mendapatkan aku. Hazriq dan Aina yang duduk
jauh sedikit di hujung sudut hanya memerhati.
“Jom kita balik.” Aku terus
melangkah.
Aku mahu segera keluar dari bangunan
hospital ini. Mahu segera pulang ke rumah dan mengambil masa untuk berfikir
seketika.
6 comments:
Salam, apa khabar? hari-hari terintai-intai blog nie.
Saya rasa sudah masanya Dean menurut kata daddy n mama anis dalam menentukan corak kehidupannya. Memang Puan Jamilah tu bakal mentua tak jadi tapi tak seharusnya Dean menarik balik repot tu. Ini bukan bertujuan untuk mendera Hazriq tapi memberi pengajaran. Dean boleh boleh menegakkan keadilan dan memohon supaya hukuman yang diberikan kepada Hazriq tu bukan penjara tetapi mungkin kaunseling keagamaan misalnya. Apa-apa pun sebarang keputusan Dean diharapkan tidak terburu-buru kerana hati. Dengan Puan Jamilah boleh berlembut dengan Asmara kenapa berdendam plak. Itulah rahsia hati Dean yang sendiri tak kenal.
Seri Ayu: wsalam kak seri..thanks la mengintai je kejenya hehe fizikal khabar baik, hati je kurang sihat hee
komen yg sgt3 membina..btul..kadang2 manusia ni tak kenal rahsia hati sendiri..thanks akak..
jangan tarik balik report, biar dapat mengajar hazrik
nani comel: tulah, shiz dh bgtau Dean tp mcm degil je budak tu..kihkihkih
Salam.... Adeehh.. nmpak sgt kn.. mamat umurxserupa31 tu, jenis yg x blajar dari kesilapan... Puan Jamilah plak yg minta maaf bagi pihak dia Cehhh...!! Anyway, cepat2 update jalan citer seterusnya ek.. x sabar nie.. hik hik hik
Anonymous: tq ye sentiasa support umurxserupa31! eh silap pulaak..hehe support cerita ni kihkihkih
Post a Comment