BAB
32
Selepas
selesai makan malam aku duduk menonton televisyen sambil berbual-bual dengan
mak. Lama tidak berjumpa banyak perkara yang ingin dikongsikan. Apa pun bukan
tentang cerita aku dengan Hadif. Aku masih ingat pesan Hadif rahsia rumahtangga
kami jangan sampai ke pengetahuan keluarga. Lagipun lebih elok mak anggap
perkahwinan kami baik-baik saja sebab aku memang sedang berusaha. Tidak mahu
mak susah hati dan mendapat darah tinggi pula nanti.
Hadif duduk di atas sofa sambil
membaca akhbar hari ini. Hadif memang rajin membaca akhbar namun kerana kami
bertolak selepas subuh, tidak sempat dia nak membeli akhbar pagi tadi. Lelaki itu
juga sebenarnya sedang menunggu jam menunjukkan angka sembilan setengah malam
kerana dia perlu menjemput Aini pulang dari pusat tuisyen.
“Kenapa dengan kamu berdua ni? Yang
seorang menjeling tengok wajah isteri dia. Yang depan mak ni pula kejap-kejap curi
pandang suami dia. Lain macam aje mak tengok.”
Malunya muka. Merah padam tentunya
wajahku saat ini. Kenapalah mak boleh terkeluar ayat macam tu? Sah! Hadif akan
perasan yang aku memang curi-curi pandang pada dia. Bukannya apa, aku memang
agak terpesona sejak dilayan baik oleh Hadif sepanjang hari ini. Kalau Hadif
mahu berdamai, aku tentu menerimanya dengan hati yang terbuka. Tiada gunanya
kami berseteru sedangkan tinggal sebumbung dan mempunyai ikatan yang sah. Lagipun
tiada yang lain dihati saat ini kecuali suamiku seorang. Lebih baik aku
berharap satu hari nanti aku akan mendapat kasih sayangnya.
“Tak adalah mak. Akak pelik kenapa
Hadif pakai baju melayu dan kain pelekat ayah.” Pantas aku menafikan kata-kata
mak tadi. Sebenarnya aku benar-benar malu ditegur begitu didepan Hadif. Kalau
boleh nak menyorok bawah meja muka aku ni.
“Ish, akak ni. Jangan panggil nama.
Tak manis telinga mak ni mendengarnya. Panggil abang. Tanda kita hormat dengan
suami.” Ah, mak! Dah nak mulalah tu membebel. Melihatkan aku yang mengorek
telinga menggunakan hujung jari, Hadif tergelak kecil. Mesti dia tahu aku malas
mendengar mak membebel sampai cair tahi telinga.
“Aida memang panggil saya abang.
Mungkin dia nak bahasakan depan mak aje tadi tu yang dia panggil saya Hadif,”
ujar Hadif penuh sopan. Patutlah mak berkenan sangat. Kalau depan mak,
sopan-santun kalah lelaki melayu terakhir. Kalaulah mak tengok perangai dia
yang selalunya, tentu mak teragak-agak nak kahwinkan aku dengan Hadif.
“Oh, macam tu.” Mak tersenyum
sumbing. Hah, malulah tu dia dah tuduh melulu tadi! Aci tak kalau aku nak
gelakkan mak sekarang? Mak aku sporting aje.
“Tadi Hadif nak solat. Tu yang mak
bagi baju melayu dan kain pelekat ayah kamu. Tak payah dia susah-susah punggah
beg. Muat elok aje dengan badan dia, mak tengok.” Mak menyambung kata sambil
bibir masih tersengih. Malu tak hilang lagilah tu.
Aku hanya diam tidak menjawab. Namun
mataku masih mencuri pandang dan apabila mata kami bertaut Hadif tersenyum
menggoda. Aku tetap dengan muka selamba badak! Kadang-kadang aku mengetap bibir
bila Hadif dah berbuat begitu beberapa kali. Kalau nak menggoda aku pun, jangan
dihadapan mak. Nanti orang tua ni ingat kita tak sabar-sabar nak masuk tidur!
“Akak tak boleh solat ye? Mak tengok
akak bangun tidur tadi pun dah terlepas mahgrib.” Soal mak sambil menaikkan
sedikit keningnya. Wajah tua mak memandang aku penuh kasih.
Alat kawalan jauh ditekan untuk mencari siaran
lain. Berita telah pun tamat dan tentu mak nak tengok sinetron Indonesia. Itu
pun kalau mak belum berubah! Aku menganggukkan kepala perlahan sambil
tersenyum. Aku perhatikan Hadif juga mencuri pandang perlakuanku. Sibuk aje nak
tahu! Bukannya penting untuk dia.
Hah,
aku dah kata dah! Mak nak tengok Baim Wong dalam sinetron Indonesia. Siap
melanggan saluran Indo Pek lagi di chanel Astro. Maknanya mak masih belum
berubah. Masih mak yang aku kenali sejak dulu. Mak, Baim Wong versi Malaysia
ada kat sinilah!
Tapi
manalah tahu lepas ni mak minat tengok drama Korea pula. Apa salahnya. Mungkin
Aini adikku akan bernasib baik dikahwinkan dengan lelaki yang mirip bintang
Korea kegemaran mak. Macam aku yang telah dikahwinkan dengan Baim Wong versi
Malaysia ini. Kalau betul begitu, tentu mak akan jadi ajen pencari jodoh yang
terlaris nanti. Siapa yang tak nak berkahwin dengan wajah mirip pelakon pujaan
mereka? Mak, kalau akak boleh memilih akak nak wajah mirip Aaron Aziz boleh?
Tapi yang versi KL Gangster….toing toing!
“Hadif, boleh mak tanya kamu sikit?”
Mak tiba-tiba bersuara dan mematikan lamunan nakalku sebentar tadi. Mak memang
suka kacau daun. Kacau dodol tak pernah pulak aku tengok mak buat.
Hadif menutup surat khabar di tangan
dan datang duduk bersama kami di hadapan televisyen. Alahai, suami siapa yang
sopan sangat ni? Ingin aku angkat tangan segera untuk memberitahu dia adalah
suami aku!
“Kalau untuk mak, banyak pun boleh…”
jawab Hadif manja.
Eeee…tak cukup dengan mama dia, mak aku pun
dia nak sapu sekali. Dasar anak tunggal betul. Aku mengejek di dalam hati. Aku
sendiri tidak pernah nampak lelaki bermanja dengan mak begitu selain ayah. Itu
pun ayah bukan jenis yang manja. Dalam bilik tak tahulah pulak aku! Selama ni
pun mak tiada anak lain selain aku dan Aini. Apatah lagi anak lelaki.
Cemburukah aku melihat ada orang lain bermanja dengan mak? Ish, Aida…itukan
menantu dia.
“Dah
masuk tiga bulan kamu kahwin dengan Aida. Mak bukan nak masuk campur tapi mak
nak tahu aje.” Mak membuka mulut berbahasa-basi.
“Mak
nak tanya apa tu tanya ajelah mak. Tak payah mukadimah segala bagai.” Aku
bersuara menyindir namun sekadar untuk mengusik mak. Hadif menjegilkan biji
matanya kepadaku. Namun aku hanya menjelirkan lidah dan berbaring di riba mak.
Nak manja puas-puas selama kami pulang bercuti.
“Biarlah
Hadif, Aida ni memang macam ni lah perangai dia. Mak dengan dia dah macam kawan
dibuatnya.” Mak ketawa kecil dan menggelengkan kepala melihatkan telatah kami.
“Kamu
suami isteri dah bincang soal anak?” Soal mak menyambung kata.
“Anak?!”
Aku terjerit kuat dan sepantas kilat bangun dari riba mak.
Mata
mak aku tatap penuh tanda tanya. Jangan mak mengada-ngada nak minta cucu pulak
dalam keadaan sekarang. Akan aku tentang bermati-matian sehingga titis darah
yang penghabisan! Wah, darah pahlawan seperti mengalir ke dalam tubuhku saat
ini. Aku berbaik dengan Hadif pun baru satu hari tiba-tiba perkataan anak pula
yang timbul. Mengarut!
“Dah
mak. Hadif dan Aida serah pada rezeki Allah aje. Mak janganlah bimbang andai
Aida mengandung pun saya tetap akan tunggu dia walaupun saya habis setahun awal
dari dia.” Jawapan Hadif ibarat halilintar membelah bumi.
Air
liur di mulut sudah tidak tertelan aku rasakan. Biar betul?! Hadif ni jangan
pandai berjanji yang bukan-bukan dengan mak. Aku tak mahu mak kecewa andai
perkahwinan kami tidak mampu bertahan lama. Malah bukan mak aje, tetapi aku!
Aku juga tak mahu kecewa dengan janji palsu Hadif.
“Abang…”
Satu perkataan yang berjaya aku ucapkan namun antara dengar dengan tidak
sahaja. Nasib baik aku tak tersasul dalam keadaan gawat sebegini. Nanti jadi
cerita lain pula.
Seingat
aku tidak pernah kami berbincang soal sedalam itu. Anak. Satu perkataan yang
sukar untuk aku ertikan saat ini. Menjalankan tanggungjawab mutlak sebagai
seorang isteri pun aku belum pernah apatah lagi untuk mengandung. Perlu ke isu
ini dibahaskan sekarang? Kepala aku mula berdenyut.
“Mak
dan ayah tak kisah asalkan kamu pandai-pandai bahagikan masa. Kamu suami dia,
kamu berhak tentukan masa depan keluarga kamu. Dah habis belajar nanti pun,
kalau suami tak izinkan akak kerja akak kena taat. Selagi dia mampu menanggung
keluarga…” Mak memandang wajah Hadif dan
aku silih berganti.
Hadif
hanya menganggukan kepalanya beberapa kali. Seperti seorang anak yang sangat
patuh. Aku malas hendak berlama-lama disini. Kalau bertekak dengan Hadif
sekarang, apa pula kata mak. Silap-silap rahsia aku tidak memberi nafkah batin
terhadap suami boleh terbongkar!
“Eh,
dah pukul sembilan dua puluh! Akak nak pergi ambil Aini lah ye.” Aku yang
menjeling sekilas jam di dinding terus bangun masuk ke dalam bilik.
Aku
menukar pakaian tidur dengan seluar jeans
separas lutut dan menyarung sweater
Adidas warna merah jambu berbelang putih. Setelah menyikat rambut, menyapu
sedikit bedak dan lip balm aku
membuka pintu bilik yang aku kunci tadi. Aik? Hadif berdiri betul-betul di muka
pintu seperti sudah lama menanti pintu ini dibuka.
Matanya
merenung aku tajam atas bawah. Kemudian dia menolak sedikit bahuku ke belakang
dan pintu bilik ditutup. Aku tidak dapat memikirkan apa yang ingin dilakukan
oleh suamiku ini. Zip sweater aku
terus tarik sehingga ke paras leher. Menutupi semua kulitku yang kelihatan.
Tiba-tiba otak aku berprasangka buruk terhadap Hadif.
“Apa
awak nak buat ni?” Soalku dalam keadaan cemas. Rasanya Hadif tak pernah ingin
mengambil kesempatan pada aku selama ini. Biarpun kami hanya tinggal berdua di
rumah sewa tu. Hadif mendekati aku sehingga aku semakin berundur dan akhirnya
tangan aku sandarkan pada meja solek. Jalan mati.
“Saya
tahu awak cantik, bergaya dan seksi orangnya. Tapi saya tak benarkan awak
keluar dari rumah dengan pakai macam ni.” Hadif berbisik rapat di telinga aku. Jantungku
seperti mahu melompat keluar dari badan. Perasaanku bercampur-baur tidak
bernama.
Namun
ketegasan nada suaranya membuatkan aku sedikit gerun. Aku tidak berani menatap
matanya walaupun aku tidak nampak dimana silapnya aku dalam berpakaian. Aku
berpusing dan membelek tubuh di cermin. Biasa aje aku tengok.
“Saya
tak faham. Kenapa tak boleh pakai macam ni?” Aku bertanya perlahan. Tidak mahu
Hadif semakin tegas dengan aku. Kalau sudah bertekak, suara aku dan Hadif pasti
boleh didengari oleh mak.
“Saya
tahulah kaki awak tu putih melepak. Tapi saya tak suka awak tunjuk kat orang
lain! Awak tu isteri saya.” Hadif merenung tajam menikam anak mataku. Aduh,
tajamnya macam pisau kat dapur. Tetapi hati aku menjerit riang. Walaupun
caranya sedikit kasar tetapi nampaknya Hadif ambil berat dan menjaga aku.
“Lah….macam
ni pun kata tak boleh. Kolot betul!” Aku mendengus perlahan namun aku sedar
Hadif dapat menangkap ayat yang keluar dari mulutku. Sengaja aku ingin menduga.
Seronok rasanya mendapat perhatian Hadif.
“Saya
lagi rela awak pakai kain batik daripada pakai seluar separas lutut ini. Tukar
sekarang!” Bentak Hadif kasar. Dah mulalah tu nak jadi Hadif yang dulu! Suka
marah-marah aku. Tetapi kali ini aku dapat merasakan yang marah Hadif adalah
marah-marah sayang. Dia ambil peduli tentang diri aku dan apa yang aku pakai.
Itu bukan tandanya sayang ke?
BAB
33
“Apa khabar kak Aida?” Soal Fatin
ramah. Aku menghulurkan tangan dan dia mencium tanganku penuh rasa hormat.
“Baik. Dah lama tak jumpa Fatin,”
jawabku kemudian memeluk bahunya.
“Akak makin cantiklah! Fesyen apa
akak pakai ni?” Fatin tersenyum sumbing kemudian dia dan Aini sama-sama ketawa.
Aini dari tadi mengulum senyum
melihat aku namun dia hanya memberikan ruang untuk Fatin berbual denganku.
Fatin adalah sahabat baik Aini sejak dari sekolah rendah lagi. Malah hujung
minggu dia rajin bermalam di rumah jika mereka ingin sama-sama belajar dan
membuat kerja sekolah. Jadi secara tidak langsung aku telah menganggap Fatin
seperti adikku sendiri.
“Alah, dah malam ni. Bukan orang
kisah pun kan?” Aku menjeling sinis kepada Hadif yang berdiri di tepi pintu
kereta.
Aku sendiri segan sebenarnya memakai
sweater dan berkain batik macam orang
baru lepas bersalin. Namun aku sengaja mahu menunjukkan tanda protes. Niatku
memang mahu menduga Hadif. Aku masih tidak tahu mengapa dia melayanku dengan
baik dan sampaikan hal pakaian aku pun diambil kira. Tadi dia juga yang kata
lebih rela aku pakai kain batik dari seluar separas lutut. Jadi aku pakai aje
kain batik yang aku ambil dari dalam almari mak!
“Nanti ada masa datanglah rumah.
Boleh kita sembang lagi. Akak balik dulu ye.” Kataku lagi kepada Fatin. Dia
tersenyum dan kadangkala menutup mulut menahan tawa. Alah, aku tak kisah pun
kalau nak ketawa depan-depan.
“Okey kak. Erm, tapi Fatin nak puji
selain fesyen akak yang cantik ni, suami akak handsome macam Baim Wong! Bertuahnya akak.” Fatin berbisik di
telingaku.
Aku hanya tersengih dan menggelengkan
kepala. “Ada-ada aje Fatin ni tau!”
Aku memandang Hadif yang semakin
rapat mendekati aku. Mesti nak curi dengar sebenarnya. Alah, taktik lama! Aku
menghadiahkan senyuman manis buat Hadif. Namun dia hanya menjelingkan mata.
Geramlah tu sebab aku betul-betul pakai kain batik! Cantik tak?
“Jom Aini. Kesian mak tinggal
seorang kat rumah.” Akhirnya Hadif bersuara sambil memeluk pinggangku. Aduh!
Depan Aini tak perlu berlakon pun tak apa. Dia budak lagi. Tak mungkin dia nak
syak yang bukan-bukan.
Aini dan Fatin tersenyum penuh
makna. Fatin kemudian melambaikan tangan sebelum berjalan menuju kearah kereta
ayahnya yang sedia menunggu. Kami bertiga terus masuk ke dalam perut kereta.
“Sejak bila akak pandai pakai kain
batik ni?” Aini yang menjengukkan kepala dari tempat duduk belakang berbisik di
telingaku. Tetapi suaranya turut sama didengari oleh Hadif. Maklumlah suasana
sunyi sepi kerana radio pun tidak terpasang.
“Abang Hadif yang suruh.” Jawabku
acuh tidak acuh.
“Abang tak suruh tapi akak sengaja
nak tunjuk protes!” Eh, membalas pula lelaki disebelahku ini. Mana perginya
sikap baik siang tadi? Entah-entah berlakon aje buat baik dengan aku.
Kecewanya!
“Pandu ajelah elok-elok. Tak payah
nak bercakap.” Aku bercakap tanpa nada. Malas nak melayan. Nanti ada juga yang
bergaduh dalam kereta.
“Mulut kita, suka hatilah nak
cakap.” Hadif turut sama meniru gaya aku bercakap tanpa nada. Amboi, pandai
buat serangan balas.
“Geramnya!” Aku mengeluh sebal.
“Saya lagi geram!” Hadif menekan
sedikit nada suaranya pula.
Aini menggelengkan kepala beberapa
kali. “Sudahlah tu. Aini tanya sepatah, akak dengan abang nak menjawab beribu
patah pula.” Aini tergelak kecil.
Aku dan Hadif saling menjeling tajam
dan akhirnya kami berdiam diri. Suasana di dalam kereta menjadi sunyi.
Pandangan aku halakan ke luar cermin kereta manakala Hadif memandang tegak ke
hadapan seperti pemandu yang berhemah.
“Aini turun dulu ye. Akak ada hal
nak cakap dengan abang.” Aku memberikan arahan setelah kereta Hadif terparkir
di hadapan rumah.
“Okey, nampaknya gunung berapi nak
meletup.” Aini menekup mulut. Belum sempat tangannya membuka pintu kereta Hadif
pula bersuara.
“Akak kesayangan Aini ni memang
garang ye? Abang takutlah…” Hadif menoleh untuk memandang wajah Aini.
“Hehehe! Nasib badanlah abang Hadif…good luck!” Jawab Aini kemudian terus
mencicit masuk ke dalam rumah.
Aku merenung tajam ke mata Hadif.
Perasaan yang dari tadi aku tahan sudah membuak-buak kini. Betul kata Aini.
Gunung berapi memang nak meletup!
“Bila masa kita bincang soal anak?”
Soalku sambil mengiringkan badan agar dapat berhadapan dengan Hadif. Hadif
menjungkitkan bahu. Kemudian tangannya ingin membuka pintu kereta. Segera aku
menahan dan memaut lengannya.
“Awak, jawablah!” Bentak aku marah.
Isu anak bukan boleh dibuat main-main. Apatah lagi Hadif sudah berjanji di
depan mak. Aku tak kisah kalau Hadif menipu atau berlakon di depan aku, tetapi
tidak dengan mak. Aku tak nak Hadif pandang remeh hal sebegini.
Hadif membalas pandangan mataku
dengan pandangan yang redup. Sukar untuk aku tafsirkan erti pandangan itu. “Itu
keputusan saya untuk family kita.
Kalau boleh soal anak saya nak berserah aje pada Allah. Cepat atau lambat saya
terima dengan hati terbuka.” Hadif menyentuh lembut tanganku yang memaut
lengannya. Betul ke apa yang aku dengar ni? Aku menampar pipi perlahan.
“Apa
semuanya ni? Sejak pagi tadi awak baik dengan saya. Sekarang awak cakap soal
anak pula. Keputusan untuk family
kita? Bukan awak kahwin dengan saya sebab harta warisan tu? Saya yakin selepas
semuanya selesai awak tak perlukan saya lagi.” Aku menjatuhkan pandang ke
bawah. Hati aku sebak apabila menyebut tentang harta warisan dari papa
sedangkan bukan itu yang aku harapkan. Tetapi harta itu penting untuk Hadif
sehingga dia sanggup menerima syarat papa.
“Aida, saya akui harta warisan papa
menjadi sebab kenapa saya terima untuk berkahwin dengan awak. Kalau tidak, papa
bercadang meletakkan nama awak sebagai pewaris tunggal.” Lancar sahaja Hadif
menjawab.
Aku mengerutkan dahi. “Kenapa macam
tu pulak?” Sungguh aku memang tidak faham tindakan yang ingin papa lakukan.
Perlu ke membalas budi sampai begitu sekali?
“Nenek
dan ayah awak tidak mahu terima walau sesen pun duit papa jadi sebagai anak
sulung ayah, awak berhak terima semua tu sebagai membalas budi baik ayah selama
ni. Tentu awak akan gunakan duit tu untuk keluarga awak juga kan? Jadi secara
tak langsung nenek dan keluarga awak dapatlah merasa pemberian ikhlas dari papa
tu.” Hadif menarik nafas perlahan-lahan sebelum menyambung kata.
“Saya sebagai anak tunggal papa rasa
tercabar. Malah saya langsung tak pernah dengar dan kenal tentang kamu semua.
Jadi saya baik dengan mak awak semasa bertunang dulu kerana saya ingin
mendekati keluarga awak. Saya takut harta papa akan jatuh ke tangan manusia
yang tidak bertanggungjawab atau tamakkan harta. Sedangkan apa yang papa dapat
sekarang ni atas hasil titik peluh dia sendiri.” Terang Hadif panjang lebar.
Aku hanya terdiam dan terpaku mendengar cerita Hadif.
“Awak kan tak tahu kisah silam papa
tu. Kita sama-sama dengar cerita dari mulut papa masa dia datang melawat kita
tempoh hari,” ujarku pula. Tetapi aku faham perasaan Hadif dan kenapa dia
bertindak begitu. Mungkin aku juga akan melakukan hal yang sama andai aku
berada di tempatnya.
“Sebab saya tak tahulah saya berfikir
yang bukan-bukan. Papa cuma beritahu mereka banyak membantu papa masa kecil.
Tapi kisah betul-betulnya saya tak tahu langsung. Jadi bila saya dah tahu dan
kenal dengan kamu semua saya yakin pilihan papa tepat. Papa berharap sangat
perkahwinan kita menjadi penyambung hubungan mereka.” Hadif tersenyum manis.
“Oh, maknanya semua ni awak lakukan
demi papa lah ye.” Lirih suaraku perlahan.
Hadif pantas menggeleng. “Saya
memang dah mula sayangkan awak Aida. Saya marah-marah selama ni pun sebab saya
cuba menidakkan perasaan saya. Awak faham kan, saya dah ada Zati. Tetapi tu
dulu. Sekarang saya dah bebas.” Hadif meraih tanganku lembut dan menggenggamnya
erat.
Kata-kata Hadif kedengaran sangat
syahdu di telingaku. Ada suatu getaran hebat yang melanda jiwa saat ini.
Ketulusan dan keikhlasan Hadif telah berjaya meresap masuk ke dalam lubuk hati
aku yang paling dalam. Aura Hadif sebagai seorang suami tidak aku nafikan lagi.
Aku tertarik pada auranya yang seperti magnet menarikku.
“Bebas?” Soalku sepatah dengan nada
ingin tahu. Adakah ini bermakna tiada penghalang lagi untuk aku mendapatkan
cinta Hadif?
Hadif mengangguk sambil tersenyum.
Kepalaku diusap perlahan. “Saya dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan Zati.
Mulai hari ini saya hanya nak tumpukan perhatian pada awak. Berikan sepenuh
kasih sayang saya pada seorang isteri yang layak menerima cinta saya.” Ucap
Hadif senafas. Lancar dan yakin. Aku memandang wajahnya dan rasa kasih mula
membelit jiwa.
Pandangan mata kami bertaut lama.
Aku merasakan seperti didunia ini hanya ada aku dan Hadif. Perlahan Hadif mengucup
dahiku. Aku hanya mampu memejamkan mata. Lama kucupan itu mendarat lembut.
Terbayang saat akad nikah kami dahulu apabila buat pertama kalinya dahi ini
dikucup seseorang yang bernama suami.
“Tok! Tok!”
Kedengaran seperti cermin kereta
diketuk dari luar. Aku terus menolak badan Hadif menjauhi aku dan segera
menurunkan cermin disisiku.
“Ye ayah, ada apa?” Soalku dengan
muka yang merah. Nasib baik malam, kalau siang tentu ayah dah nampak apa yang
kami lakukan sebentar tadi.
“Aini kata kamu bergaduh dalam
kereta ye?” Ayah menyoal dengan muka yang serius.
Aku menggaru kepala yang tidak
gatal. Aini, siap kau!
“Eh,
tak adalah ayah. Kami berbincang aje tadi. Mana ada gaduh, kan sayang?” Hadif memeluk
bahuku mesra. Dia mendekatkan sedikit badannya untuk bercakap dengan ayah yang
berdiri tegak di sisi cermin kereta.
“Oh, ayah ingat kamu bergaduh tadi.
Tu yang ayah datang nak leraikan.” Ayah menganggukkan kepala beberapa kali.
Aku dan Hadif hanya tersengih
malu-malu memandang ayah yang masih memerhatikan reaksi kami.
“Dah, jom masuk. Walaupun kamu
berdua suami isteri, tak manis kalau jiran-jiran tengok kamu duduk lama dalam
kereta. Malam-malam macam ni pulak tu. Nanti mereka salah faham.” Ayah berkata
dan terus berlalu masuk ke dalam rumah tanpa menunggu jawapan.
Aku menaikkan cermin dan hanya
tunduk membisu. Sesungguhnya selepas apa yang berlaku tadi aku malu untuk
menatap wajah Hadif. Tangan aku ramas-ramas sendiri untuk mententeramkan
perasaan yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Satu perasaan aneh yang
membuatkan hati semakin berbunga.
“Makin berserilah wajah awak…” Hadif
tersenyum simpul.
“Eeii tak sukalah!” Tebalnya muka aku terasa
berinci-inci dari biasa. Satu cubitan aku hadiahkan di lengan suamiku. Kemudian
aku membuka pintu kereta dan terus meluru masuk ke dalam rumah.
Aku melangkah masuk ke dalam bilik
dan pintu kututup rapat. Aku menutup muka dengan kedua belah tangan. Masih
terasa tebal muka aku ini. Tidak cukup dengan itu aku tekapkan muka ke bantal
pula. Apa dah aku buat tadi dengan Hadif?
Malunya!
**istimewa untuk pengikut setia BIP dan pembaca baru...harap dua bab ni dapat menceriakan hari-hari anda...enjoy! ^_*
12 comments:
mama nabila heran,kenapa nabila gelak2 sambil menghadap laptop? Best! Good job,akak. :D
Salam, seronok bila baca balik. Rindulah kat novel ni.
Yeeaa..... ada update...errrr ..tapi mana bab 31???
terubat rindu kt BIP.... suke nye hanif dh luahkan perasaan kt aida.... bile novel nye nk kuar,,, dh x sabo nk tau kesudahannye....
bestnya dpt bc BIP!!! :) bila nk publish ne?xsbr nk beli baca :)klu mintak bab 34 & 35 blh x?hehehe
Cerita ni best lah.Novel syarikat mana ni?
BIP lambat sikit kuar sebab kena ikut scedule dari publisher kan..lagi2 kita ni novelis baru..sabor jelah hehe novel ni akan diterbitkan oleh kaki novel =)
Bestnyer cite ni...
Emmm..best sgt rase mcm jam ni nk beli novel dielah...nk buat koleksi..
best tpi kasih lh sikit lgi smbungnnya,,
penasaran kelnjutannya..
saya dari aceh, tak dapt nak beli novelnya..
Best dik .. keep it up .. ^_^
Post a Comment