Keheningan
Subuh membuatkan hatiku sebak. Airmata menitis laju sewaktu aku berdoa di tikar
sejadah. Kenapa hati aku boleh serapuh ini? Aku sangka aku telah cukup kuat
untuk menghadapi setiap dugaan. Tetapi ternyata aku masih insan yang lemah.
Hamba yang banyak kekurangan. Hanya perlindungan dari yang Maha Esa aku
pohonkan agar kami sekeluarga sentiasa selamat dan diberkati. Setelah selesai,
telekung di badan aku buka. Tikar sejadah aku lipat dan letak di atas penyidai.
“Dah selesai solat, Cik Dean?”
Aku mengangguk dan tersenyum. “Apa
kata awak panggil saya Dean aje?”
“Eh, mana boleh. Cik Dean bos saya.
Mestilah saya kena hormat orang yang beri rezeki pada saya.” Syaza yang baru
terbangun dari tidur menggosok mata.
“Bukan saya yang beri rezeki, tapi
Allah. Saya bagi awak pekerjaan aje.” Aku naik ke atas katil dan kembali
berbaring di sisi Syaza.
“Silap…” Syaza tersengih.
“Mulai sekarang panggil saya Dean
ye?” Aku mengiring menghadap Syaza. Dia masih bermalas-malas di atas katil
kerana dalam keadaan uzur. Jadi tidak perlu menunaikan solat.
“Kak Dean elok sikit, kut. Kan Cik
Dean lebih tua dari saya. Eh, kak Dean lagi tua.” Syaza tersasul-sasul ingin
menukar panggilan namaku.
Aku menggelengkan kepala. Kelakar
melihatkan Syaza dengan wajah baru bangun dari tidur. Anak dara seorang ni….
“Okey, akak pun akaakkk…saya tak
kisah. Lagipun saya tak ada adik.” Aku ketawa kecil.
“Saya pula tak ada kakak. Semuanya
abang-abang yang kuat membuli. Kak Dean jadi kakak sayalah ye.” Syaza
melentokkan kepalanya ke bahuku. Adegan manjalah kononnya.
Aku ketawa lagi. “Memang dah lama saya
anggap awak macam adik saya. Tapi, kerja tetap kerja. Waktu kerja, kita kena
kerja sungguh-sungguh. Apabila waktu bersuka-ria, kita kena main
sungguh-sungguh.”
Meletus ketawa besar dari mulut
Syaza mendengarkan ayatku sebentar tadi. Apa yang lucunya? Ayat tu ayat yang
selalu daddy ucapkan sejak aku di
bangku sekolah lagi. Jadi kalau rasa lucu, ketawakan daddy ye. Not me!
“Baik bos! Jangan risau. Saya akan
bekerja dengan bersungguh-sungguh.” Syaza semakin mendekatkan wajahnya ke
bahuku.
“Gelilah Syaza! Adik ke kucing ni?”
“Kak Dean ni, orang baru nak rasa ada
kakak. Potong betul.” Syaza memuncungkan bibirnya. Namun belum sempat kepalanya
di alihkan aku telah menahannya.
“Okey, manjalah ye adikku sayang.
Kak Dean gurau aje.”
Akhirnya kami berdua ketawa geli
hati dengan sikap masing-masing. Suasana di kampung ini memberikan kelainan
padaku. Aku berasa damai dan tenteram. Tanpa telefon bimbit, tanpa butik, tanpa
pelanggan, tiada hiruk-pikuk kota dan paling penting tanpa Hazriq!
Semuanya aku tinggalkan di bandar
raya Johor Bahru kesayanganku. Tanah tempat tumpah darahku. Cewah! Patriotik
pula aku walaupun belum bulan kemerdekaan. Tak apa, semangat itu mesti ada
dalam diri setiap warganegara. Tak gitu? Namun kemerdekaan jiwa yang aku rasai
kini terasa nikmat. Aku bebas. Bebas dari komunis bernama Hazriq.
“Dah bangun ke Syaza?” Suara Puan
Hasmah mematikan gelak-tawa kami.
“Dah mak.” Syaza bangkit dari
pembaringannya.
“Jom tolong mak buat sarapan kat
dapur.” Laung Puan Hasmah dan bunyi derapan tapak kaki berlalu pergi.
“Kak Dean rehat-rehat dulu ye. Saya
nak tolong mak sekejap.” Syaza bingkas turun dari katil. Syaza memang anak yang
baik, desis hatiku.
Aku juga ikut turun dari katil.
“Rehat apanya? Bukan akak yang memandu malam tadi. Jom, akak tolong sama.”
Syaza melebarkan sengih dihujung
bibir. “Susah-susah aje Kak Dean. Duduk aje dalam bilik. Nanti dah siap, saya
panggil makan.”
Aku menggeleng. “Tak ada susahnya.
Jomlah cepat!”
Aku membuka pintu kayu di bilik
Syaza dan mengatur langkah menuju ke dapur. Rumah kampung sederhana besar ini
nampak kemas dan bersih. Terletak di kawasan Felda di Kota Tinggi yang
mengambil masa hampir dua jam perjalanan untuk kami sampai ke sini.
“Masak apa tu makcik?” Sapaku ramah.
“Makcik nak masak nasi lemak pagi
ni. Cik Dean duduklah atas. Buat apa turun ke dapur ni ha…” Puan Hasmah riuh
berbicara sambil membasuh beras di sinki.
“Syaza dah suruh tunggu atas, tapi
degil juga nak tolong mak.” Syaza mencebikkan bibir memandang aku.
“Panggil Dean ajelah makcik. Tak
payah bercik-cik.” Jawabku yang masih tersenyum.
“Tak payah tolong, Syaza ada dah
cukup. Dean pergi tengok televisyen kat atas.” Puan Hasmah menyukat santan
untuk dimasukkan ke dalam periuk nasi. Bukan main berhati-hati sukatannya.
Kalah Chef Wan. Aku mengulum senyum.
“Tak apalah makcik. Ha, Dean tolong
masak sambal tumis ikan bilis boleh?” Soalku yag masih berdiri di belakang Puan
Hasmah.
Syaza mengecilkan matanya memandang
aku tajam. Dahinya berkerut seribu. “Biar betul Kak Dean? Tak sakit perut ke
kalau saya makan?”
Membulat biji mataku membalas
renungan Syaza. Cis! Pandang rendah pada bos sendiri budak ni. Nanti, aku akan
buktikan kehebatanku di dapur. “Amboi-amboi Syaza…jangan ingat akak pandai
andam pengantin aje ye. Masak-memasak pun boleh walaupun tak selalu turun ke
dapur.”
Syaza tergelak besar mendengar
sindiranku sebentar tadi. Sampai menekan perut lagi. Amboi sedap benar
ketawakan aku. Jangan sampai termimpi-mimpi sambal tumis aku pulak nanti. Pujuk
macam mana pun, aku tak nak buatkan lagi. Baru tau mengidam bagai nak rak!
“Boleh juga nak merasa air tangan
orang bandar. Kalau sedap, makcik masuk meminang.” Puan Hasmah pula yang
tersenyum-senyum menjeling kearah aku.
“Tak boleh mak. Kak Dean ni dah
berpunya. Melepaslah nak jadikan kakak ipar.” Syaza menghabiskan sisa-sisa
tawanya.
Aku tersengih. “Makcik ni ada-ada
aje tau. Syaza, tolong akak kupas bawang dan gunting lada kering ye.”
Syaza mengangguk dan mengeluarkan
bahan-bahan yang diperlukan. Aku mengambil tempat di kerusi makan dan bersedia
untuk memulakan tugas menyediakan bahan. Selesai menanak nasi, Puan Hasmah
menggoreng ikan bilis dan kacang tanah pula. Kedengaran sekali-sekala riuh Syaza
bertempik apabila diusik olek maknya. Ada sahaja adegan usik-mengusik antara
mereka. Patutlah Syaza selalu rindu nak balik kampung. Hubungan mereka sangat
rapat dan mesra. Kejamnya aku susah nak beri cuti pada Syaza selama ini….
*****************************
“Airnya
jernih sangat Syaza!” Kuat suaraku berteriak akibat teruja melihat anak sungai
yang mengalir perlahan di bawah kaki.
Syaza mengangguk beberapa kali.
“Bersih airnya Kak Dean. Nak turun berendam pun boleh.”
Aku memandang wajah Syaza. Boleh
turun berendam? Aduh, macam seronok aje bunyinya di pendengaranku saat ini.
Walaupun air sungainya tidaklah sedalam mana namun aku masih teringin untuk
turun ke bawah.
“Syaza menoleh. “Jangan kata Kak
Dean nak terjun sekarang.”
“Jomlah Syaza…berendam
seorang-seorang nampak macam budak-budak pula. Jomlah temankan akak.” Aku
menarik tangan Syaza yang sudah mengangkat tangan untuk berkata tidak.
“Sekarang tak bawa tuala.
Petang-petang nantilah kita datang balik.” Syaza menggelengkan kepalanya.
“Tak apa. Balik aje basah-basah.”
Aku menarik kuat tangan Syaza dan
tanpa imbangan yang stabil aku hampir tergelincir jatuh dari titi kayu tempat
kami berdiri. Syaza cuba untuk bangun tetapi dia pula yang terdorong ke hadapan
dan jatuh terus ke dalam anak sungai. Aku yang jatuh terduduk di atas titi
ketawa geli hati.
“Apa ni Kak Dean! Syaza pulak yang
jatuh berendam dalam ni.” Syaza mengibas-ngibas seluarnya yang telah dipenuhi
pasir-pasir halus. Memberatkan lagi untuk dia melangkah.
Aku ketawa terbahak-bahak. Tidak
tahan melihat keadaan Syaza yang muncung sedepa. Namun setelah ketawaku reda,
aku turun perlahan-lahan ke dalam anak sungai.
“Ala Syaza, tadi akak ajak elok-elok
jual mahal. Sekarang dah terjatuh sendiri, nak buat macam mana…” Aku tersengih merapatinya.
“Duduklah berendam. Nanti pasir tu
hilanglah dalam air.” Aku menarik tangan Syaza untuk merendahkan badan dan
berendam di dalam anak sungai yang airnya hanya separas pinggang.
“Kak Dean ni teringin nak jadi
budak-budak semula ke?” Syaza yang sudah berendam hingga separas leher
menepuk-nepuk permukaan air sengaja untuk membasahkan aku.
Tanpa dapat mengelak, habis aku
basah sehingga ke rambut. Kemudian giliran aku pula mengocakkan air sehingga
basah muka Syaza. Sempat juga dia menjauhkan diri daripada aku. Kami berkejaran
seperti kanak-kanak riang. Kalau orang-orang tua tengok, pasti panjang
gelengannya.
“Akak mana ada kampung macam ni
Syaza. Bagilah chance.” Aku ketawa
mengekek apabila Syaza datang untuk menyerang balas.
“Splash!” Basah satu kepala.
“Eh, sambal tumis Kak Dean tadi ada
lagi kan?” Syaza tiba-tiba lari topik.
“Ada lagi. Akak buat lebih tadi
dalam kuali.” Jawabku sambil mengerutkan kening.
“Syaza nak makan lagi tengahari
karang. Sedap betul macam beli kat restoran!” Syaza membuat aksi menjilat jari.
Aku mencebikkan bibir memandangnya.
“Itulah, lain kali jangan pandang rendah pada orang. Belum cuba, belum tahu.”
“Manalah Syaza tahu masakan Kak Dean
ni sedap. Masak dalam setahun pun boleh dikira dengan jari.” Syaza menjelirkan
lidahnya kearahku.
Aku menggelengkan kepala melihat
aksi Syaza. Namun dalam hati dah terasa kembang semacam. Malah Puan Hasmah juga
turut memberikan pujian terhadap sambal tumis ikan bilis buatan tanganku pagi
tadi. Katanya dah boleh buka kedai jual nasi lemak. Kesedapan nasi lemak turut
bergantung pada sambalnya. Barulah ada umppph!
“Eleh, senyum-senyum pulak! Mesti
tengah kembang setaman kan?” Syaza memercikkan lagi air ke wajahku yang putih
mulus tanpa solekan.
“Oit! Terkejutlah.” Aku meraup wajah
untuk menghilangkan sisa-sisa air yang mengaburi pandangan.
Syaza tersengih sumbing. “Cepatlah
mandi Kak Dean. Sejuk dah ni.”
“Alahai Syaza, baru sekejap dah
sejuk. Apa kes?” Aku memuncungkan bibir tanda protes.
“Nak terken…” Syaza sengih lagi.
Kali ini semakin lebar apabila dia berdiri diam membatu untuk beberapa saat.
“Syaza!! Eeiii teruk perangai…” Aku
menjerit sambil berlari menjauhi Syaza yang semakin galak mengekek tawanya.
Apa lagi yang dibuat oleh Syaza?
Pastinya dapat meneka Syaza sedang melakukan proses tabiinya di dalam air.
Nasib baik air sungai ini sentiasa mengalir walaupun tidaklah deras.
Harap-harap sisa buangan Syaza segera mengalir agar kami boleh bermandi-manda
dengan enaknya.
“Kak Dean…”
“Hmmm…”
“Balik nanti macam mana?”
“Macam mana apa?” Pandangan mata
yang sedang menikmati keindahan pokok-pokok di sekitar anak sungai ini beralih
ke muka Syaza.
“Syaza risaukan akak.”
“Risau?” Kerutan di dahi menandakan
aku masih belum faham maksudnya.
Syaza mengeluh lemah. “Nak menjawab
dengan Encik Hazriq. Kalau dia puk…”
Belum sempat Syaza menghabiskan
ayat, aku segera memotong. “Tak apa Syaza. Jangan risau. Mudah-mudahan tak ada
apa-apa.”
Syaza menelan liur. Aku juga
sebenarnya berdebar menanti reaksi lelaki itu. Setelah beria-ia mendaftar dan
membuat pembayaran untuk kursus perkahwinan, aku tiba-tiba menghilangkan diri
pada tarikh yang ditetapkan. Daddy
dan Mama Anis pula tiada dirumah selama dua hari kerana menghadiri majlis perkahwinan saudara sebelah Mama Anis di Selangor. Jadi, Hazriq memang tidak
dapat menjejaki aku buat masa ini.
Daddy dan
Mama Anis pasti tidak akan menjawab panggilannya kerana aku telah berpesan
awal-awal lagi.
2 comments:
Salam Puan penulis... thx for the N3.. Cuba membayangkn apa tindakan `umurxserupa31' tu pd Dean nnti!! Adeehh.. Mahu je buka langkah Tun Teja ku... haiyaaakkkk... hik hik hik!! Anyway, all the best in ur life.. smoga Allah melindungi diri mu sekeluarga... Amin!!
Wsalam...terima kasih kerana tidak jemu memberika sokongan ye..terharuuu hehe amin =)
Post a Comment