Aku
termenung setelah mendengar semua penjelasan dari mulut Anisah. Bukan aku tidak
yakin dengan cerita itu, tetapi aku tidak yakin dengan diri sendiri.
“Jadi, setelah semuanya selesai kau
dengan Izman boleh mulakan hidup baru.” Anisah menyentuh lembut bahuku.
“Aku simpati pada tunang dia.
Layakkah aku untuk Izman?”
“Itu kisah dia sebelum kau hadir
dalam kehidupan dia lagi. Jadi biar dia yang selesaikan sendiri. Layak atau
tidak, bergantung pada jodoh. Kalau dah jodoh, bermakna kau memang tercipta
untuk dia.” Anisah cuba memberikan aku keyakinan.
Izman seorang arkitek yang mempunyai
firmanya sendiri. Dia dilanggar lari oleh sebuah kereta dan orang ramai telah
membawanya ke hospital kerajaan. Disitulah detik perkenalan kami bermula
apabila aku menjaga Izman di wad 7. Apabila ibu bapanya yang kaya-raya itu
datang untuk memindahkan dia ke hospital swasta, Izman bertegas menolak.
Katanya hospital kerajaan juga memberikan perkhidmatan yang terbaik. Sepanjang
aku bertugas, ibu bapanya kelihatan seperti orang baik-baik walaupun dari
keluarga yang berada. Namun tunangnya tidak pernah datang melawat. Sebab itu
aku tidak tahu dia sudah mempunyai seseorang yang istimewa sehinggalah aku
mengekorinya pada bulan keempat perkenalan kami.
“Entahlah Nisah. Aku tak boleh fikir
lagi sekarang. Jiwa aku kacau.” Ucapku lalu menatap anak mata Anisah.
Anisah menyentuh tanganku perlahan.
“Aku tahu kau takut pada kehilangan, kan?”
“Oh, please Nisah…jangan nak mula…” Aku menekup muka dengan kedua belah
tangan.
“Mawar, dengar sini. Aku tahu apa
yang pernah kau lalui itu satu pengalaman hidup yang tak mungkin dilupakan
sampai kau mati sekalipun. Tapi, kau dah berjaya teruskan hidup seperti biasa.
Tak salah kalau kau juga menikmati kebahagiaan macam orang lain, selayaknya.”
Anisah bertindak memeluk bahuku pula.
Aku membuka tangan yang menutup
wajah dan menutup telinga pula. Aku tidak mahu mendengar apa yang akan Anisah
katakan lagi. Aku tidak sanggup. Aku tidak mampu. “Nisah, tolonglah berhenti.”
“Hadapilah dengan berani, Mawar.
Seperti seorang srikandi di medan tempur. Hidup kita ni adalah satu perjuangan.
Kau kena tabah.”
“Apa yang kau tahu tentang ketabahan
Anisah? Aku korbankan cita-cita aku kerana tak mahu membebankan mak. Aku didik
diri aku supaya cinta dalam bidang ni. Aku nak membantu orang, berbakti pada
masyarakat. Aku dengan Akid pulak dah kenal sejak zaman sekolah. Lepas dia
tamat degree kami bertunang. Selepas
setahun dia bekerja, kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Tinggal dua hari
sahaja, Nisah…hanya dua hari sebelum aku sah menjadi isteri Akid.” Tangisan
yang kian menjadi-jadi membuatkan aku tidak mampu meneruskan kata.
Hiba dan sayu menjalar di seluruh
pelosok hati. Pemergian Akid benar-benar meragut kebahagiaan aku di dunia ini.
Biar dua tahun telah berlalu, hati ini tetap tidak melepaskannya. Akid seperti
masih hidup dalam dunia kami berdua. Tidak sekali-kali aku menggantikan
kedudukan Akid di hati ini. Sehinggalah muncul lelaki bernama Izman Hakiki.
Entah bagaimana kesederhanaan dalam keperibadiannya memikat aku dalam diam.
“Akid kemalangan sewaktu mengambil
barangan hantaran yang ditempah…barang-barang hantaran habis bersepah di atas
jalan raya. Yang paling buat kau sedih apabila tiba di tempat kejadian, perut
Akid terburai. Masih ada sisa-sisa nasi goreng masakan kau yang Akid makan
sewaktu kita bersarapan bersama. Kita bersarapan pagi tu dirumah ni. Mustahil
aku lupa, Mawar.” Anisah menyeka airmata yang membasahi kelopak matanya. Dia
adalah saksi terdekat yang melihat kekecewaan dan kesedihan Mawar selama ini.
“Aku nak masuk bilik.” Aku bingkas
bangun namun pergelangan tanganku sempat dicapai oleh Anisah.
“Aku mungkin tidak tahu erti
ketabahan kerana perjalanan hidup aku tidak sepahit kau. Tetapi aku belajarnya
dari sabahat aku sendiri, iaitu kau. Dan aku rasa aku perlu mengingatkan
apabila kau berasa putus asa. Memberikan sokongan agar kau sentiasa tabah,
Mawar.” Anisah bangun dan memeluk aku yang masih berdiri kaku. Airmata yang
mengalir laju tidak aku hiraukan. Pandangan menjadi kelabu kerana dibasahi air
jernih itu.
“Maafkan aku Anisah. Aku tak
maksudkannya.” Ucapku perlahan di telinga sahabatku.
************************************
Kiriman
sebakul buah-buahan di atas meja aku belek beberapa ketika. Kad yang diselitkan
disitu aku baca.
Buat
Mawar Shampalis: Awaklah buah hati saya =)
Senyuman mekar dibibir apabila
membayangkan si pengirimnya. Kemudian aku membawa bakul buah-buhan itu ke
dapur. Sebiji demi sebiji buah itu aku basuh di sinki dan aku simpan di dalam
peti sejuk.
“Boleh tumpang sekaki ke makan buah
tu?” Anisah yang muncul dari dalam bilik tersengih macam kerang busuk.
“Tentulah boleh. Upah kau ambil
bakul ni kat depan tadi.” Aku tersenyum manis.
“Orang tu nak jumpa, kau tak nak
keluar. Terpaksalah aku selamatkan keadaan.” Anisah mencapai sebiji epal hijau
dan menggigitnya.
“Nantilah, aku belum bersedia.”
Jawabku ringkas dan berlalu menuju ke depan. Televisyen yang tadi sunyi mula
terpasang. Anisah yang mengikuti dari belakang mengambil tempat di sebelahku.
“Apa lagi nak ditunggu, Mawar. Tak
baik tolak rezeki.” Anisah tersengih buat kesekian kalinya.
“Kalau dah jodoh tak kemana, Nisah.
Biarlah reda dulu perkara ni. Malas nak fikir.” Kataku sambil menumpukan
pandangan kearah siaran televisyen.
Anisah hanya menjungkit bahu mendengar
jawapanku sebentar tadi. Beberapa ketika keadaan kembali sunyi sepi.
“Ehem.” Anisah berdehem sebelum
kembali berbicara.
“Jom temankan aku pergi rumah kawan
sekejap. Hari ni hari lahir dia. So,
dia ada buat jamuan makan sikit.”
Aku mengerutkan dahi. “Kawan yang
mana?”
Anisah tersengih lagi menampakkan
barisan gigi depannya yang sedikit berlapis. “Kawan sekolah aku dulu, kau tak
kenal. Tapi aku dah beritahu dia yang aku datang dengan housemate.”
Aku berfikir seketika. Hari ini kami
berdua cuti dan tiada pula aktiviti. Kalau luangkan masa sekejap apa salahnya.
“Nak pergi pukul berapa? Janji jangan lama-lama sangat ye.”
Mata Anisah bersinar terang. “Janji.
Jomlah bersiap sekarang.”
Kami bangun menuju ke bilik masing-masing.
Aku memilih untuk memakai dress
panjang sehingga ke buku lali. Rambutku ikat kemas dan mengenakan sedikit
solekan nipis. Setelah bersiap, kami keluar menaiki kereta Anisah. Perjalanan
mengambil masa hampir setengah jam untuk kami tiba di kawasan perumahan elit.
“Amboi, kayanya kawan kau ni.”
Ujarku apabila turun dari kereta. Rumah banglo yang tersergam indan itu
kelihatan meriah dengan kunjungan para tetamu.
“Besar juga majlis hari jadi kawan
kau ni.” Mulutku bersuara lagi apabila kami telah masuk ke perkarangan banglo.
“Ish, banyak bunyi betullah kawan
aku ni. Jom kita duduk kat sebelah sana.” Anisah menunjukkan satu meja kosong
di bahagian sudut.
“Aku ambil makanan dulu ye. Kau
tunggu meja. Nanti orang ‘kebas’.” Anisah tergelak kecil dan bangun dari
duduknya.
Aku hanya memerhatikan kelibat
Anisah yang menghilang di sebalik sekumpulan manusia. Peluang bersendirian aku
gunakan untuk melihat keadaan sekeliling. Kagum dengan senibina rumah ini yang
begitu unik dan mempersonakan. Konsepnya tidak terlalu moden dan masih
mengekalkan ciri kemelayuan.
“Hai Mawarku.” Sapaan itu
benar-benar mengejutkan aku.
“Izman?” Aku pelik bagaimana Izman
boleh berada disini dengan memakai satu sut berwarna putih. Segak tak hengat
dunia! Mulutku sedikit terlopong.
“Terima kasih kerana sudi datang ke
majlis hari lahir saya. Jom.” Tanganku ditarik oleh Izman untuk bangun. Tanpa
sempat berkata apa-apa aku terdorong mengikuti langkahnya.
“Mama, Baba, ni Mawar Shampalis.”
Izman memperkenalkan aku kepada kedua orang tuanya.
Malu-malu aku bersalaman dengan
mereka. “Apa khabar pakcik, makcik?”
“Baik, sihat. Mama masih ingat, ini nurse yang jaga Izman kat wad dulu kan?”
Soalan mama Izman membuatkan air liurku tersekat di kerongkong.
“Baba pun ingat lagi. Sedap namanya.
Mawar apa khabar?” Baba Izman tersenyum mesra.
“Baik, Alhamdulillah.” Jawabku
sopan.
“Mama, baba, jadi inilah pilihan
Izman.” Sebaris ayat itu membuatkan aku terkedu. Apa yang Izman buat ni?
“Izman…” Belum sempat aku
meneruskan, ayatku telah dipotong.
“It’s
okey, Mawar. Izman memang dah bagitahu nak kenalkan seorang yang istimewa
hari ni. Jadi, bila boleh kami masuk meminang?” Mama Izman bertutur penuh
kelembutan. Penuh dengan sifat keibuannya.
“Er…saya…kami…tak…” Aku mati kata.
Entah apa yang ingin aku sampaikan aku juga tidak tahu.
“Mawar, rileks okey. Secara rasminya
saya dah putus tunang dengan Bella. Saya nak awak jadi ibu pada anak-anak saya.
Menjadi isteri yang menyejukkan mata dan menyenangkan hati saya.” Izman
mengeluarkan sebentuk cincin dari dalam poket seluarnya.
“Izman, saya…saya…tak boleh.” Antara
dengar atau tidak sahaja suaraku ini.
“Awak boleh Mawar. Saya cintakan
awak sepenuh hati saya. Saya berjanji akan jadi suami yang baik untuk awak.”
Izman ingin menyarungkan cincin itu ke jari manisku.
“Terimalah Izman, Mawar.” Baba Izman
tersenyum penuh makna.
Aku tersenyum kelat dan mengangguk.
Cincin yang tersarung kemas di jari aku renung seketika. Semuanya berlaku
terlalu pantas sehingga aku tidak mampu menerangkan perasaanku saat ini. Pada
detik yang amat bermakna ini.
“Apa kata kita nikahkah aje terus
mereka berdua ni? Tak payahlah nak tunang-tunang lagi.” Mama Izman menepuk bahu
suaminya.
“Abang setuju sangat tu, Pah. Kami
akan datang berbincang dengan keluarga kamu Mawar. Perkara yang baik, tak elok
kita lengah-lengahkan.” Ujar Baba Izman yang beralih pandang ke wajahku.
“Pakcik, Mawar dari keluarga susah.
Boleh ke pakcik menerima Mawar?” Aku tunduk memandang lantai. Sesungguhnya aku
berasa terlalu kerdil apabila berada disini. Dirumah banglo ini, dihadapan mama
dan baba Izman.
Terdengar ketawa kecil yang memecah.
“Mawar, apalah gunanya kaya harta kalau miskin dengan budi pekerti. Keluarga
pakcik tak kisah semua tu, asalkan hati Mawar baik. Mawar akan jadi isteri yang
baik untuk Izman dan ibu yang mithali untuk cucu-cucu pakcik.”
“Betul tu Mawar. Sejak Izman
kemalangan, dia tak pernah lagi menjejakkan kaki ke kelab hiburan. Pulang ke
rumah mabuk-mabuk macam dulu jauh sekali. Izman pun dah rajin sembahyang.
Katanya Mawar yang ajarkan dia sembahyang semasa masuk hospital dulu. Bukan
kami tak nasihat, tak marah, tetapi anak lelaki ni keras. Tak sangka, Mawar
bawa sinar baru dalam hidup dia.” Mama Izman menyeka air jernih yang mula
bertakung di tubir mata. Dia menghampiri dan memelukku erat.
Ya, Allah…andai benar aku diciptakan
dari tulang rusuk kirinya yang bengkok Kau permudahkanlah jodoh kami. Kuatkan
aku untuk memberikan kebaikan dalam kehidupannya. Relakan aku untuk menerima
segala kekurangannya. Andai dia baik untuk diriku, kehidupanku dan agamaku,
berilah aku petunjukMu…doaku tidak henti di dalam hati.
************************************
Pernikahan
kami berjalan dengan lancar. Lega hati tidak terucap dengan kata-kata. Minggu
depan pula akan diadakan majlis persandingan di sebuah hotel terkemuka.
“Izman!” Tiba-tiba seorang gadis
yang memakai seluar separas peha datang menghampiri kami.
“Apa you buat kat sini Bella?” Soal Izman dengan wajah terkejut. Izman
sempat menggenggam tanganku erat.
“You
tak boleh buat I macam ni, Izman! Yes kita dah pernah putus banyak kali,
tapi I ingat you akan terima I semula
macam selalu. Tergamak you pilih
perempuan lain untuk jadi isteri you.”
Bella membentak sedikit kasar. Dijelingnya aku tajam dan sinis.
“Bella, I dah selamat bernikah dengan Mawar. Tolong lupakan I. Kita memang tak ada jodoh.” Izman
menarik tanganku untuk beredar.
Nasib baik ramai tetamu yang telah
pulang. Hanya tinggal saudara-mara terdekat. Kalau tidak, bertambah kecoh
jadinya dengan drama sebabak ini. Beberapa langkah aku menapak, lenganku
direntap kasar dari belakang.
“Hei perempuan tak sedar diri! Kau
tak laku sangat ke sampai rampas tunang orang? Kenapa? Tak ada orang nak tunang
dengan kau? Kalau ikutkan hati aku, aku langgar Izman ni biar mati.” Bella
meracau-racau macam orang hilang akal. Beberapa orang yang melihat cuba
menenangkannya.
Aku terguris dan terkesan dengan
ayat yang keluar dari mulutnya. Aku pandang dia atas dan bawah. Perempuan ini
tak tahu ke dia berada di pernikahan orang Islam? Memakai seluar sependek itu
dan datang kesini marah-marah memang menguji kesabaran aku.
“Ya, saya pernah ada tunang. Tunang
saya dah meninggal dunia dalam kemalangan dua tahun yang lalu. Saya sendiri
yang bersihkan jenazahnya semasa di hospital. Saya lap tubuhnya yang penuh
dengan darah. Jadi, kalau satu hari awak kotakan apa yang awak cakap tadi…saya
sanggup sepenuh hati untuk melakukan perkara yang sama. Saya akan bersihkan
Izman dengan penuh kasih-sayang. Itulah namanya cinta, kerana cinta itu tetap
hidup tetapi awak pula nak membunuh orang yang awak cintai.”
“Aku nak Izman balik pada aku!”
Jerkah Bella lagi.
“Bella, please…jodoh I dengan Mawar.” Izman bersuara lirih. Jatuh
simpatinya melihat Bella dalam keadaan begitu. Tetapi Bella akan lebih merana
andai berkahwin dengan lelaki yang tidak lagi mencintainya. Biarlah Bella
mencari seseorang yang mampu menjaga dan menyayanginya seikhlas hati.
“Persetankan jodoh. I tak peduli semua tu.” Bella merengus
kasar.
Aku beristighfar di dalam hati. Ada
manusia yang masih tidak menerima ketentuanNya. “Bella, jodoh itu rahsia Allah.
Sekeras mana awak bertahan, sekuat mana awak bersabar, seteguh mana awak
mencintai, kalau dia bukan jodoh awak, tidak akan mampu awak miliki. Tetapi
andai sudah ditakdirkan dia adalah jodoh awak, sehebat mana awak mengelak, sesulit
apa pun jalannya, dia tetap akan jadi milik awak tanpa siapa yang dapat
menghalangnya.”
Bella terdiam. Tangisannya yang
menggila tadi semakin perlahan. Dia terduduk di atas lantai. Tangannya melurut
kepala dengan kedua belah tangan. Aku menghampirinya perlahan-lahan. Izman
menegah tetapi aku memberikan isyarat mata agar Izman melepaskan genggaman pada tanganku.
“Maafkan saya Bella. Saya tidak
berniat melukakan hati sesiapa. Tetapi saya juga manusia biasa yang banyak
kekurangan. Ini sudah takdir dan jodoh saya bersama Izman. Saya doakan awak
bahagia dan menemui seseorang yang lebih baik.” Aku menyentuh bahunya lembut.
Cuba untuk menyalurkan ketenangan pada Bella yang hilang arah tuju.
“I
cintakan Izman…” Sendu suara Bella menahan esak.
“Saya yakin awak akan lebih
menyintai jodoh awak kelak. Dulu, saya ingat saya tak mungkin mencintai lelaki
lain selain Akid. Dia mati membawa jiwa saya bersamanya. Tetapi, kuasa Allah
itu lebih hebat. Dia meniupkan semula rasa cinta dalam hati saya. Dia berikan
Izman untuk kehidupan saya. Perasaan itu kurniaan Allah. Boleh datang dan
hilang dengan izinNya. Banyakkan berdoa.” Lembut suaraku mententeramkan Bella.
Aku juga perempuan, punya hati yang sama. Aku tidak mahu Bella hanyut dengan
rasa kecewanya.
“I
tak mampu rasa tenang. I takut
tak boleh lupakan Izman.” Bella memelukku pula. Tangisannya memenuhi ruang ini
buat kesekian kalinya.
“Yang menenangkan perasaan gelisah
itu, adalah redha…” Ucapku perlahan di telinga Bella.
************************************
“Abang
kagum dengan kepetahan sayang berhadapan dengan Bella dulu.” Izman menghirup
teh yang masih berasap nipis di dalam cawan.
Aku tersenyum. “Saya jalankan
tanggungjawab saya. Maklumlah saya dah terambil tunang dia.”
Izman membulatkan mata. “Terambil?”
Aku tergelak kecil. “Dah jodoh kita
kan bang.”
Izman menganggukkan kepala beberapa
kali. Kemudian tangannya menyentuh pula perutku yang semakin memboyot.
Kandunganku sudah mencecah hampir tujuh bulan.
“Allah telah menggerakkan hati abang
untuk menyintai sayang. Hidup abang kini lebih bermakna.”
“Semuanya dah lama berlalu. Bella
pun dah berkahwin dengan orang baik-baik. Semoga dia bahagia.” Tuturku sambil
bersandar di lengan Izman.
“Selamat ulang tahun perkahwinan
kita yang pertama sayang.” Izman mengeluarkan sejambak bunga mawar dari bawah
meja. Jambangan itu dihulurkan kepadaku.
“Terima kasih abang. Saya bersyukur
atas kurniaan terindah yang saya miliki sekarang. Setiap hari saya berdoa agar
rasa cinta ini kekal buat selamanya….”
Izman mengucup dahiku penuh kasih.
Kemudian kami saling berpandangan dan senyuman mekar di bibir.
~TAMAT~
***
Apa pun alasannya, bagaimana pun terjadinya, jodoh itu telah tertulis di loh
mahfuz. Kita sebagai manusia perlu menerima setiap ketentuan sama ada pahit
atau manis dengan hati yang terbuka. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan
kerana percaturan itu telah diatur untuk melihat sejauhmana keimanan kita
terhadap qada’ dan qadar.
6 comments:
cerita yang simple,tak serabut and tak sabar nak tunggu AKA esok,janji eik?
Ashu, tunggu tau AKA bab 5 akan dimasukkan esok..=)
Alhamdulillah, happily ever after...
Tak sabar nak n3 AKA...
Seri Ayu: AKA berbeza dari BIP sangat..hihi hope ada yang suka..
nice cerpen akak..
biarpun pendek,tapi padat dan menarik..
pendek dan sesuai bg org yg bz mcm sy ni..kalo yg byk epiosod tu,kene amik masa lame sket utk abiskan..bru berpeluang baca yg ni je dulu..
ya akak,kalo jodoh tetap tak kemana...suka ayat akak yg ni :
jodoh itu rahsia ALLAH,
SEKERAS MANA BERTAHAN,SEKUAT MANA BERSABAR,SETEGUH MANA MENCINTAI,JIKA BUKAN JODOH,TETAP TAK MAMPU DIMILIKI..
TETAPI ANDAI SUDAH DITAKDIRKAN DIA JODOH KITA,SEHEBAT MANA MENGELAK,SESULIT APA PUN JALANNYA,
DIA TETAP AKAN JADI MILIK KITA TANPA ADA SIAPA DPT MENGHALANG..
begitu mendalam maksudnya..
kena dgn sy :)
nice cerpen akak..
biarpun pendek,tapi padat dan menarik..
pendek dan sesuai bg org yg bz mcm sy ni..kalo yg byk epiosod tu,kene amik masa lame sket utk abiskan..bru berpeluang baca yg ni je dulu..
ya akak,kalo jodoh tetap tak kemana...suka ayat akak yg ni :
jodoh itu rahsia ALLAH,
SEKERAS MANA BERTAHAN,SEKUAT MANA BERSABAR,SETEGUH MANA MENCINTAI,JIKA BUKAN JODOH,TETAP TAK MAMPU DIMILIKI..
TETAPI ANDAI SUDAH DITAKDIRKAN DIA JODOH KITA,SEHEBAT MANA MENGELAK,SESULIT APA PUN JALANNYA,
DIA TETAP AKAN JADI MILIK KITA TANPA ADA SIAPA DPT MENGHALANG..
begitu mendalam maksudnya..
kena dgn sy :)
Post a Comment