Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, October 15, 2012

Asmira Ke Asmara? Bab 7


                “Minumlah dulu Cik Dean. Panas ni.” Syaza meletakkan segelas air mata kucing di atas meja. Aku menoleh dan tersenyum kepadanya. Syaza memang sentiasa boleh diharap.

            “Terima kasih, Syaza.” Aku meneguk sedikit air di dalam gelas. Leganya tekak apabila dapat dibasahkan dengan air sesejuk ini.

            Aku menebarkan pandang kearah pengantin yang sedang enak menjamu selera di meja makan beradab. Kecantikan Farah hasil solekan tanganku menaikkan lagi serinya. Fuad pula kelihatan seperti seorang pahlawan Melayu dengan busana yang direka khas untuknya. Aku menarik nafas lega. Persandingan mereka berjalan dengan lancar sebentar tadi. Selepas makan beradab acara memotong kek pula akan menyusul.

            “Alhamdulillah, satu lagi perkahwinan berjaya kita kendalikan. Tugas kita dah selesai untuk hari ini.” Aku tersenyum dan menoleh Syaza yang duduk disisiku.

            “Syukurlah majlis hari ini berjalan lancar.” Sambut Syaza pula yang turut tersenyum.

            “Najwa tinggal sini untuk bantu pengantin. Kita boleh balik sekarang. Saya penat sangatlah sejak semalam.” Kataku yang kemudiannya meneguk air sehingga habis.

            “Najwa nak balik dengan siapa nanti, Cik Dean?” Syaza bertanya sambil mengerutkan kening.

            “Fizal akan hantarkan dia balik petang nanti. Lagipun Fizal nak uruskan barangan catering.” Balasku sambil menyangkut beg tangan ke bahu. Bersiap sedia untuk beredar.

            “Okey, jom!” Syaza bangun dari kerusi dan kami sama-sama melangkah menuju ke kereta.

            “Asmira!” Laungan yang mematikan langkahku. Syaza yang laju melangkah berpaling melihat wajahku yang berkerut seribu.

            “Kenapa Cik Dean berhenti?” Soalnya tanda tidak mengerti.

            “Asmira, tunggu sekejap. Saya nak bercakap dengan awak.” Belum sempat aku menjawab pertanyaan Syaza, Asmara telah sampai mendapatkan aku. Kini tubuh macho itu berdiri betul-betul dihadapanku seperti lima tahun yang lalu.

            “Maaflah, saya tak kenal awak.” Aku bergerak ke tepi dan berjalan melepasinya.

            “Tolonglah Asmira, sekejap pun jadilah. Bagi saya peluang.” Asmara pantas menangkap pergelangan tanganku.

            Aku terkejut. Begitu juga dengan Syaza. “Awak tak dengar ke yang dia tak kenal awak? Ini bos saya Cik Dean. Bukan Asmira. Maaf awak salah orang.”

            Pergelangan tanganku ditarik oleh Syaza sehingga terlerai dari pegangan Asmara. Aku terdiam dan meneruskan langkah. Tidak berani menatap sepasang mata miliknya. Itulah sikap Syaza yang melindungi. Ada juga beberapa kali berlaku kejadian yang tidak diingini dan Syaza menjadi penyelamat. Menjadi mak andam muda sepertiku bukanlah tugas yang mudah. Ramai yang ingin mengambil kesempatan.

            Aku berdiri di tepi kereta. Aku menoleh dan kelihatan Syaza sedang bercakap dengan Asmara. Aduh, apa lagi yang diborakkan kat situ? Kunci kereta tak ditekannya, aku berdiri kepanasan disini. Bebelku di dalam hati. Namun aku memandang juga wajah Asmara yang sesekali melihat sekilas kepadaku. Dia semakin matang dan tampan. Adakah dia masih membujang seperti aku? Atau mungkin telah berkahwin dan beranak-pinak? Entah-entah dah bawa pulang minah indon dari seberang!

            Syaza berjalan menghampiriku sambil tersenyum sumbing. Apa kes pula Si Syaza ni? Takkan dah terpikat pada Asmaradana tu? Jangan Syaza, kau akan merana nanti.

            “Apahal senyum-senyum? Cepatlah buka kunci.” Aku mengerutkan dahi dan menggelengkan kepala.

            Selepas kunci dibuka, aku terus membolos masuk. Aku cuba melihat kelibat Asmara namun telah hilang entah kemana.

            “Awak borak apa dengan mamat tu?” Aku bertanya tidak sabar. Memang aku nak tahu sangat apa yang dikatakan oleh Asmara.

            Syaza masih tersenyum dan terus menghidupkan enjin kereta. Butang penghawa dingin ditekannya. Udara sejuk yang menerobos masuk membuatkan aku sedikit lega setelah kepanasan di luar tadi.

            “Cik Dean ni ada kembar ke?” Soalan aku dibalas dengan soalan juga oleh Syaza.

            Aku mengerutkan kening tanda pelik. Soalan jenis apa pula ni? Pantas aku menggeleng laju.

            “Betul tak ada?” Syaza masih inginkan kepastian.

            Aku mengangguk pula. “Saya ni kan anak tunggal. Takkan itu pun awak tak tahu?” Jawabku acuh tidak acuh. Geram pula dengan soalan aneh yang dilemparkan oleh Syaza.

            Syaza menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Tapi Asmara tu kata nama Cik Dean ni Asmira.”

            “Saya dah kata tadi dia salah orang. Saya tak kenal dia.” Tingkahku pula. Syaza ni lain yang orang tanya, lain pula dia merapu. Aku mengetap bibir bawah.

            “Eh tapi kan Cik Dean, apa yang Asmara cakap tu semuanya betul. Ayah Cik Dean nama Mohamad, Cik Dean panggil ayah dengan panggilan daddy, rumah keluarga Cik Dean kat Permas Jaya dan Cik Dean ni berumur dua puluh lima tahun.” Panjang lebar penerangan Syaza sampai terbeliak biji mata aku.

            “Dia cakap macam tu?” Soalku tidak percaya. Hish, buat apa dia nak umpan Si Syaza ni pula.

            Syaza mengangguk. “Dia minta kad butik kita. Katanya senang kalau nak kahwin nanti. Saya ingatkan dia nak kacau Cik Dean tadi. Buat malu aje marah-marah dia.” Syaza ketawa kecil mengingatkan peristiwa tadi.

            “Dia belum kahwin?! Awak bagi ke kad butik kita tu?” Aku terjerit kecil. Amboi Dean, bawa bertenang sikit. Jangan gelojoh sangat!

            Mata Syaza mengecil melihat aku. “Rasa macam sesuatulah…Cik Dean kenal Asmara tu kan?” Bingo! Syaza memang bijak menghidu.

            Aku menarik nafas dalam-dalam. Perlu ke aku buka kembali lembaran lima tahun lalu? “Awak bagi kad kita?” Soalku lagi.

            “Ye Cik Dean, jangan risau. Customer minta saya mestilah bagi. Cakaplah kenapa dia panggil Cik Dean ni Asmira? Dia kata dia tak mungkin silap orang. Sebab tu dia tanya saya baik-baik dan ceritakan apa yang dia tahu tentang diri Cik Dean.” Jawab Syaza bersungguh-sungguh.

            Aduh, masalah akan berpanjangan. Kad telah berada di tangan Asmara. Pasti selepas ini lelaki itu akan datang mencariku. Untuk apa, Asmara? Kenapa tidak dari dulu lagi? Andai benar perasaan itu milik kita berdua. Kau yang memberikan aku harapan, namun kau jua yang memusnahkannya. Kau kejam Asmara!

            “Kebetulan aje kut sama. Awak jangan terpedaya dengan tipu helah lelaki macam tu. Jomlah, gerak.” Aku bersandar dan menutup mata. Tidak mahu isu ini diperbahaskan lagi dengan Syaza. Lebih tepat lagi, aku tidak mahu Syaza mengorek rahsia antara aku dengan Asmara.

            Syaza menukar gear dan kereta mula bergerak perlahan sebelum semakin laju membelah jalan raya. “Tapi, Asmara tu handsome lah Cik Dean. Sayangnya Cik Dean dah ada Encik Hazriq!”

            Hazriq! Alamak, aku hampir terlupa masalah aku dengan Hazriq yang masih belum selesai. Sejak dihantar pulang pada malam itu, sudah dua hari kami tidak berhubung. Walaupun Hazriq ada menghantar pesanan ringkas tetapi aku tiada masa untuk membalasnya. Menguruskan pernikahan dan perkahwinan Farah dan Fuad dua hari ini membuatkan aku kepenatan. Belum dapat memikirkan soal Hazriq.

            “Kalau awak nak, awak ajelah ambil Asmara tu.” Balasku sinis tanpa membuka mata. Aku mahu berehat dari semua ini. Ingat aku ni tiada kerja lain ke daripada memikirkan soal lelaki?!
            Kedengaran Syaza hanya tertawa lucu mendengar ayat dari mulutku itu.


                                                ******************************

Aku duduk termenung di atas buaian. Sesekali kakiku menginjak agar buaian ini bergerak sedikit laju. Angin malam yang dingin langsung tidak aku hiraukan walaupun aku hanya memakai gaun tidur separas lutut. Saat-saat sunyi begini aku teringatkan Laila. Sahabat karibku itu lebih bernasib baik dalam percintaan. Dia berkenalan dengan seorang guru sekolah rendah dan akhirnya berumahtangga. Kini telah mempunyai seorang cahaya mata lelaki. Tetapi masa itu aku belum lagi bergelar mak andam. Kalau tidak pasti Laila akan bangga dengan hasil tanganku yang pernah dikatanya ‘kerosakan seni’ suatu waktu dulu.

            Aku tersenyum dan telefon di tanganku tekan perlahan. “Hai Lailaku sayang!”

            “Hai Dean! Lama tak call aku, apa mimpi kau malam ni?” Suaranya ceria seperti biasa.

            “Aku sibuk sikitlah. Najmi sihat?”

            “Sihat. Najmi baru nak pandai berjalan. Tapi still jalan jatuh. Teruja aku tengok!” Suara Laila menggambarkan betapa indahnya alam keibuan yang sedang dilaluinya sekarang.

            “Yeke? Nanti senang-senang aku singgah rumah kau. Erm…Laila…”

            “Kenapa ni Dean? Kau ada masalah? Ceritalah pada aku. Jangan risau, Najmi dah tidur tadi. Abang Kamal pula tengah menanda buku murid.” Biar datang seribu sahabat, tiada sahabat setanding Laila dihatiku. Dia sangat memahami walaupun dia tahu sejak berumahtangga aku jarang mengganggunya. Kehidupan kami sudah berbeza. Aku bujang, dia pula berkeluarga. Seorang isteri dan ibu. Tentu banyak komitmen dan tanggungjawab.

            Aku menarik nafas perlahan. Kemudian aku lepaskan sepenuh hati. “Dia dah balik. Dia dah ada kat sini, Laila.”

            “Maksud kau, Asmara? Betul ke? Kau jumpa dia?” Suara Laila sedikit cemas.

            Aku mengangguk lemah. “Ye, Laila. Dia dah balik sini. Aku terjumpa dia masa uruskan wedding pelanggan. Dia masih kenal aku, Laila.” Ucapku penuh sayu dan perlahan.

            “Gila kalau dia tak kenal kau, Dean! Tentulah dia kenal kau. Ada dia jelaskan kenapa dia buat kau macam tu?”

            “Aku tak bercakap dengan dia pun. Entahlah, aku takut. Aku keliru sekarang ni Laila.”

            “Dean sayang, dengar sini. Cinta itu tak semuanya indah macam fairy tales. Kadangkala terlalu pahit untuk ditelan. Kalau ada jalannya untuk bersama, kau terimalah dia seadanya. Yang lepas tu jadikan pengajaran.” Ayat Laila memang tak boleh blah. Sahabatku ini memang bertukar watak menjadi mak-mak setelah melahirkan anak.

            “Doakan yang terbaik untuk aku. Okeylah, kirim salam Abang Kamal dan peluk cium untuk Najmi.”

            “Insyaallah…jaga diri baik-baik, Dean. Ada masa datang rumah aku. Assalamualaikum.”

            “Okey, waalaikumsalam.”

            Jalan untuk bersama yang bagaimana? Tak semena-mena aku dah terjebak dengan Hazriq. Lelaki romantik tak hingat dunia itu! Marah macam mana sekalipun nasi dah jadi bubur. Setiap kali wajah Puan Jamaliah menerpa ruangan mata, aku jadi serba-salah. Apatah lagi keadaannya yang berkerusi roda dan tidak sihat itu. Aku sendiri tidak pernah merasai nikmatnya kasih sayang seorang ibu. Mungkin terlalu dalam sehingga Hazriq akan melakukan apa sahaja demi membahagiakan ibunya.

            Aku tunduk meraup wajah berkali-kali. Pesanan ringkas dari Hazriq yang memenuhi ruangan telefon bimbitku masih belum satu pun berbalas. Pasti lelaki itu risau aku akan menarik diri dari semua ini. Ya, dia takut aku lari dari dirinya.

            “Apa anak mama buat kat sini seorang-seorang? Teringat buah hati ke?” Tiba-tiba Mama Anis datang menyapaku.

            Aku mengangkat wajah dan tersenyum tawar. “Duduklah mama.” Pelawaku setelah menghentikan buaian yang bergerak perlahan sejak tadi.

            Mama Anis melabuhkan punggung di sisiku. Bahuku dipeluknya mesra. “Kenapa ni sayang? Jarang mama tengok Dean muram macam ni. Butik ada masalah ke?”

            Aku menggelengkan kepala. “Butik okey. Tapi tuan punya butik yang K.O” Jawabku lambat-lambat.

            “Kongsilah dengan mama. Dean ada masalah apa?” Soal Mama Anis penuh prihatin.

            Aku memandang wajahnya yang kuning langsat. “Hazriq ajak Dean kahwin.” Akhirnya terluah juga sebaris ayat itu.

            “Congratulation sayang!” Mama Anis teruja sehingga memelukku erat.

            Aku terdiam tanpa membalas pelukannya. “Mama, mama dengar dulu.” Kataku sambil meleraikan pelukan tahniah dari Mama Anis.

            Mama Anis mengerutkan keningnya. “Dean tolak lamaran Hazriq ke?” Mama Anis menutup mulutnya dengan tangan tanda tidak percaya. Maklumlah daddy dan Mama Anis selalu mengandaikan bahawa aku memang sedang bercinta dengan Hazriq selama ini.

            Aku menggeleng lagi. “Dean tak boleh tolak sebab ini juga keinginan ibu Hazriq. Ibu dia tu sakit jantung dan kencing manis. Sekarang ni berkerusi roda sebab kakinya baru dipotong. Dean tengok dia gembira sampai mengalirkan airmata. Dean tak sampai hati pula jadinya.” Luahku satu-persatu agar Mama Anis faham.

            “Mama tak faham. Kenapa Dean cakap macam tu? Dean tak sukakan Hazriq?” Soal Mama Anis dengan rasa ingin tahu yang membuak-buak. Matanya tidak mampu menipu.

            Aku mengeluh lemah sebelum menyambung kata. “Dean sukakan Hazriq. Tapi Dean tak cintakan dia.”

            Mama Anis tergelak besar. Sampai terhinjut-hinjut bahunya membuatkan aku memandang pelik. “Ish, mama ni boleh ketawa pula.”

            Aku menarik muka masam. Mulutku muncung sedikit ke hadapan tanda merajuk. Kita ni separuh nyawa fikirkan masalah yang melanda, Mama Anis boleh gelakkan pula. Baik aku tak payah cerita tadi. Buat sakit hati. Aku mengetap gigi.

            “Maafkan mama sayang. Mama ni dah tua-tua baru bertemu jodoh dan pandai bercinta. Mama tak fahamlah cara orang muda ni bercinta. Kehulu kehilir Dean dengan Hazriq, selalu keluar berdua, kerap telefon, mesra-mesra macam tu pun Dean boleh kata tak cintakan Hazriq? Pelik sungguhlah Dean.” Mama menggelengkan kepalanya. Ketawanya masih bersisa.

            Aku mengeluh lagi. “Mama, Dean anggap dia macam kawan aje. Tapi selama ni Hazriq tu yang lebih-lebih layan Dean. Eeeii…susahlah nak terangkan.”

            Aku menekup muka dengan kedua belah tapak tangan. Rasa nak menjerit sekuat hati biar resah-gelisah ini cepat hilang. Aku mahu ketenangan yang dulu. Aku mahu jalani kehidupan seperti selalu. Mama Anis mengusap lembut belakang badanku. Penuh kasih dan bersifat keibuan. Walaupun Mama Anis tidak pernah melahirkan anak tetapi padaku dia seorang ibu yang baik.

            “Okey, sekarang apa keputusan Dean?”

            “Keputusan apa? Memang tak boleh lari dah sebab Hazriq bagitahu kat ibu dia yang Dean setuju. Dia pun dah lama berusaha kan, jadi memang tunggu peluang ajelah nak perangkap Dean.”

            “Tak baik cakap macam tu sayang. Hazriq tu pada pandangan mama, seorang lelaki yang baik. Dia matang dan nampak bertanggungjawab. Ekonominya pun stabil. Apa tunggu lagi Dean? Lelaki macam tu dah datang menyerah depan mata. Sambar ajelah!” Mama Anis tersenyum lagi. Mama Anis ni suka betul bergurau. Kita serius, dia masih nak main-main.

            “Boleh ke Dean bahagia dengan orang yang Dean tak cinta?” Soalan itu terasa bodoh pula setelah aku lontarkan. Ikut logik akal memang tidaklah jawabnya.

            “Insyaallah kalau Dean ikhlas membina keluarga bersama dia. Tapi kalau dalam hati Dean ada orang lain, mungkin susah…” Jawab Mama Anis yang terasa sayup menyentuh tangkai hati.

            Orang lain? Ya, dalam hati ini ada orang lain mama. Orang lain itu yang membuatkan Dean merana sehingga lima tahun. Orang lain itu yang menjadikan Dean nekad menukar nama agar Dean tidak teringatkan dia lagi. Tetapi selalunya apa yang kita nak buang jauh-jauh itulah yang datang semakin dekat. Dia tetap hadir dalam setiap mimpi-mimpi Dean.

             Namanya tetap subur dalam hati Dean biar Dean tukar nama menjadi apa sekalipun!

5 comments:

Unknown said...

Salam, bab ni ada skit boring nak baca, mungkin sebab jalan citernya slow... nampaknya Dean masih memendam perasaan pada Asmara dalam pada masa yang sama berkorban utk bertunang dengan Hazriq...selain dari sebab emak Hazriq sakit, Dean ada terhutang budi dengan Hazriq ke?

Anonymous said...

Salam... Masih tetap x suka pd hazriq.. Hehehe. Anyway, tahniah puan penulis, sbb sntiasa buat saya ternanti2 arah tuju jlan citer... love u!!

Shizukaz Sue said...

Seri Ayu: wsalam kak..betul mmg slow sikit citer ni..lepas rombak BIP otak saya pun slow kihkih Dean dgn Hazriq ada 'sesuatu' kot =)

Anonymous: wsalam hihi hazriq mmg bukan hero pun..tQ love u 2!!

Anonymous said...

~NB~ akk harap bab2 seterusnya mampu mengkaburi jln cerita yg slow skt ni...teruskan berkarya...akk tunggu cerita seterusnya....<3

Shizukaz Sue said...

NB: tQ so much kak..hihi mudah2an..sindrom otak serabut skang ni..adess haha