Barang-barang
hantaran aku susun kemas di atas meja panjang yang terletak di sudut butik.
Pakaian pula aku gantungkan di rak yang berdekatan. Apa lagi ya? Aku mengurut
dagu cuba berfikir. Malam tadi aku tidak mampu melelapkan mata setelah dihantar
pulang oleh Hazriq. Semuanya bermain-main di dalam minda yang semakin sempit
dengan pelbagai bayangan. Antara realiti dan juga impian. Mana satu harus aku
pilih?
Aku
sedar untuk mencari lelaki yang baik zaman sekarang ini merupakan satu cabaran
yang hebat. Tapi kalau mencari si hidung belang memang mudah. Entah berapa kali
aku menolak lamaran Datok tua yang menginginkan aku menjadi yang kedua, ketiga,
cuma yang keempat belum pernah. Tan Sri pun ada juga seorang dua yang aku
kenali melalui majlis perkahwinan yang dikendalikan. Mentang-mentanglah aku
berwajah pan asia, mereka ingat aku
gadis tipikal yang mengejar kemewahan.
“Ha, payung. Syaza, bawa payung
warna silver!” Teriakku sedikit kuat.
Bimbang tidak didengari oleh pembantuku itu.
“Okey! Selendang yang Cik Dean jahit
manik semalam tu mana? Dah letak dalam kotak belum?” Syaza menyahut dari
belakang. Kasut pengantin di tangannya diletakkan di dalam kotak dan dibawa ke
meja panjang.
Aku menepuk dahi. “Nasib baik awak
ingatkan saya. Kalau tidak, habislah pengantin bernikah tak pakai selendang!”
Aku berlari anak mendapatkan
selendang yang telah siap dijahit manik. Selendang yang aku letakkan di atas
penyangkut kayu itu aku capai dan diberikan kepada Syaza. “Nah, tolong letakkan
dalam kotak ye. Saya nak salin baju sekejap. Lepas tu kita dah boleh gerak.”
Aku berlalu ke bilik persalinan
untuk menukar pakaian. Seluar jeans
dan kemeja yang aku pakai aku gantikan dengan sepasang baju kurung moden
berwarna coklat tua. Setelah berpuas hati dengan penampilanku di hadapan
cermin, aku keluar mendapatkan Syaza.
“Jom, barang-barang tu sekejap lagi
Fizal ambil untuk dibawa ke rumah pengantin. Kita gerak dululah. Nanti lambat
pula nak make up pengantin.” Arahku
sambil mencapai beg solekan yang besar ini.
“Okey, saya tunggu dalam kereta.”
Jawab Syaza yang ayu berbaju kebaya merah jambu.
Dia
kemudian melangkah keluar dari butik untuk masuk ke dalam kereta. Aku telah
beberapa tahun mempunyai lesen memandu tetapi masih tidak berani untuk memandu
kereta. Pergi dan balik dari butik dihantar oleh daddy atau Mama Anis dan kadangkala pula oleh Syaza. Terasa
menyusahkan semua orang di sekelilingku tetapi aku betul-betul takut untuk
memandu. Mungkin sikap aku yang agak kelam-kabut ini membuatkan aku tidak yakin
untuk memandu sendiri.
Setelah menutup suis lampu dan alat
penghawa dingin, aku terus keluar dan mengunci pintu butik. Fizal pembantu
lelaki yang sering membantu pada hujung minggu mempunyai kunci pendua bagi
butik ini. Dia yang akan membawa van syarikat untuk membawa barang-barang ke
rumah pengantin. Hari-hari biasa pula dia bekerja sebagai pemandu van rokok.
Kami bergerak ke rumah pengantin
perempuan dengan menaiki kereta Syaza. Lebih kurang empat puluh lima minit
perjalanan akhirnya kami tiba ke destinasi. Perkarangan rumah yang agak sibuk
dan penuh, membuatkan Syaza terpaksa meletakkan kereta dihujung jalan. Agak
jauh juga untuk berjalan kaki. Namun demi tugas, aku dan Syaza tetap memberikan
khidmat terbaik kepada pelanggan.
“Assalamualaikum.” Ucapku ketika
menjenguk ke dalam bilik pengantin.
“Ha, dah sampai pun mak andam.
Masuk, masuk! Budak-budak tunggu kat luar ye. Pengantin nak bersiap.” Riuh ibu
pengantin selaku tuan rumah yang turut berada di dalam bilik.
“Farah pakai inner ni dulu ye. Lepas siap disolek baru pakai baju pengantin.
Lagipun baju tak sampai lagi. Nanti pembantu saya hantarkan.” Kataku sambil
mengeluarkan inner dari dalam beg
kertas yang kubawa.
“Cantik hiasan bilik pengantin ni,
Dean! Makcik suka betul. Nanti ada saudara-mara nak kahwin makcik rekomen
datang butik Dean ye.” Ramah ibu pengantin yang bernama Makcik Fauziah ini.
Aku tersenyum senang. “Terima kasih
makcik. Semalam Dean sibuk sangat tak dapat tengokkan budak-budak tu hias bilik
pengantin. Jangan lupa rekomen ye. Dean bagi harga special jugak kalau saudara-mara makcik nak buat majlis kahwin.”
“Alah, budak-budak tu bagus semuanya
buat kerja. Cekap aje makcik tengok. Tapi masih muda lagi ye?”
“Budak-budak tu baru lepas SPM
makcik. Dean ambil mereka untuk bantu hias bilik pengantin dan meja makan
beradab aje.” Terangku lagi. Empat orang gadis sunti itu adalah anak-anak jiran
aku yang berminat untuk bekerja separuh masa. Setelah dilatih dan diajar,
mereka mampu menjalankan tugas dengan baik mengikut kehendak pelanggan.
Makcik Fauziah mengangguk beberapa
kali. “Tinggal dulu ye Dean. Makcik nak ke dapur ada kerja nak buat. Siapkanlah
pengantin tu.” Makcik Fauziah meminta diri.
Aku tersenyum dan mengangguk.
Kemudian beralih pandang kepada Farah yang telah sedia menanti untuk disiapkan.
Aku membuka beg solekanku dan dengan lafaz Bismillah, aku melakar seni ke wajah
Farah untuk menaikkan seri pengantinnya.
******************************
“Akhirnya
selesai majlis nikah ni.” Syaza mengemas bantal besar yang dihias indah untuk
upacara akad nikah sebentar tadi.
“Bantal tu letak dalam kereta ye.
Jangan macam hari tu termasuk sekali dalam van habis ditindih.” Arahku kepada
Syaza. Bantal yang seringkali disewa oleh pengantin untuk duduk sewaktu akad
nikah ini perlu dijaga dengan elok. Maklumlah, sarungnya berwarna putih bersih
dan sangat mudah dicemari oleh kotoran.
“Kita kena tambah lagi bantal ni Cik
Dean. Bulan ni ada majlis pernikahan yang bertindih.” Beritahu Syaza sambil
mengelap dahinya dengan tisu.
“Yeke? Nantilah awak beritahu saya
pelanggan nak warna apa. Esok ingatkan saya semula.” Aku duduk di atas kerusi
di bawah khemah. Memantau Syaza dan Fizal yang sedang memasukkan peralatan
kami.
“Saya masuk dalam sekejap. Jumpa
Farah dengan Fuad. Nak ingatkan mereka perancangan majlis persandingan esok.”
Ucapku sambil terus berlalu masuk ke dalam rumah.
Kelihatan Farah dan Fuad sedang
bersalaman dengan tetamu yang masih tinggal. Aku menghampiri mereka. Tiba-tiba
aku terlanggar seseorang yang sedang meluru keluar dari arah dapur dengan
membawa segelas minuman.
“Oppss!” Aku mengelak air minuman
yang tertumpah dari terkena kakiku.
“Maaf, maaf! Saya nak cepat, tak
perasan awak.” Suara itu berkata sambil memandang tepat ke wajahku.
Aku terdiam. Kaku tidak berkutik.
Mata bertentang mata. Hati di dalam celaru bagai nak gila. Betulkah si dia?
Entah-entah aku silap orang. Tapi rasanya aku masih ingat lagi sepasang mata
itu. Rambutnya yang sedikit berubah, begitu juga wajahnya yang nampak matang,
tetapi tubuhnya tetap macho seperti
dulu. Asmaraku?
“Excuse
me, awak ni Asmira kan?” Soal lelaki itu yang juga kelihatan terkejut
sepertiku.
Aku menelan liur. Asmira. Sepotong
nama yang telah aku tinggalkan sejak lima tahun lalu. Sejak aku tamat STPM dan
menuntut di IPTA. Aku tinggalkan nama itu bersama hatiku. Bersama Asmaraku.
Betapa aku rela menggunakan nama Dean walaupun nama ini dibenci olehku sebelum
ini. Benci aku terhadap perempuan Inggeris itu dan namanya tidak sedalam apa
yang dilakukan oleh Asmara. Mungkin kerana aku tidak pernah mengenali ibu
kandungku itu tetapi Asmara adalah lelaki yang wujud dalam diari hati ini.
“Maaf, awak salah orang. Saya Dean.”
Jawabku dan terus berlalu mendapatkan Farah dan Fuad.
“Guys,
esok saya datang jam dua belas tengahari. Kalau ada apa-apa lagi yang tak
cukup, call saya awal-awal ye. Malam
ni rehat cukup, tidur cukup, nanti esok nak bersanding kena segar.” Kataku
sambil tersenyum kecil. Sedangkan di dalam hati tidak sabar ingin melihat
kembali seraut wajah tadi. Macam mana dia boleh ada kat sini?
“Thanks
Dean. Jangan risau, rasanya setakat ni semua berjalan lancar atas bantuan your team. Jumpa esok mak andam cun melecun!” Fuad berjenaka dan
disambut gelak tawa oleh orang yang ada disekelilingnya.
“Awak tu dah selamat jadi suami
orang, Fuad. Jangan nakal-nakal lagi. Jumpa esok, goodnight. Tahniah dan selamat pengantin baru Farah dan Fuad.”
Ucapku sambil bersalaman dengan kedua mempelai.
Setelah melambai kepada mereka, aku
terus melangkah keluar. Namun mataku melilau kekiri dan kanan tercari-cari
kelibat yang dirindui selama ini. Tetapi mengapa aku tidak mahu mengaku sahaja
tadi? Adakah aku malu? Sedih? Kecewa? Tertipu? Hati ini meronta masih
mahukannya tetapi akalku menegah untuk berbuat begitu.
Mataku akhirnya dapat menangkap
sesusuk tubuh yang sedang bersandar pada pintu pagar utama yang terbuka luas
itu. Buat apa dia berdiri kat situ? Tunggu aku ke? Hatiku bergelut dengan
pelbagai rasa.
“Asmira.” Walau hanya sepatah. Walau
hanya menyebut sepotong nama. Tetapi hatiku bergetar hebat. Benih cinta yang tersimpan
jauh di dasar hati seakan menggelegak menjadi gunung berapi. Hidup dan hangat
semula.
“Maaf, encik. Saya Dean. Encik salah
orang.” Aku terus melangkah laju untuk pergi. Selama ini aku mengharapkan detik
pertemuan yang kedua kali. Tetapi apabila doaku telah termakbul, aku menjadi
sasau tidak keruan. Apa yang aku inginkan saat ini sebenarnya?
“Tunggu!” Langkahku terhenti.
Degupan jantung juga terasa ingin berhenti.
“Jangan tipu saya Asmira. Walaupun
awak dah jauh berubah, tetapi saya yakin saya tak silap. Wajah anak mat saleh
yang awak miliki membuatkan awak tidak mudah dilupakan oleh sesiapa yang
memandang.” Suara yang telah lama hilang, kini menyapa lagi ke dalam telingaku.
Penuh nostalgia antara pahit dan
indah. Aku dah jauh berubah? Apalah maknanya perubahan kalau setakat rambutku
yang dulu pendek kini panjang separas pinggang, wajahku yang makin dewasa,
sikapku yang lebih feminin dan aku meminati kerja seni berbanding dulu. Tetapi
perubahan Asmara lebih menyakitkan. Meninggalkan kesan sehingga bertahun
lamanya.
Aku menutup mata seketika. Ada air
jernih yang ingin berlumba turun. Aku langsung tidak mampu menoleh ke belakang
lagi. Aku yakin aku pasti akan berlari mendakap Asmaraku. Erat dan jitu. Tak
mungkin dilepaskan lagi. Tetapi perlukah aku buat begitu setelah apa yang
dilakukan Asmara terhadapku? Berfikir menggunakan akal, Dean. Jangan turutkan
rasa hati yang menggila. Kerana rasa itu yang telah menjerat kau selama ini.
Terhenti dalam kenangan yang tiada kesudahan!
Derapan langkah kaki dari arah
belakang semakin menghampiri. Aku menarik nafas dalam-dalam. Mataku buka
semula. Kemudian aku berjalan sepantas yang boleh untuk menjauhi lelaki itu.
Setibanya di kereta, aku terus membolos masuk tanpa berlengah. Syaza yang
terpinga dan terkejut memandang pelik.
“Eh, kenapa ni Cik Dean? Kenapa Cik
Dean menangis?” Syaza cemas melihat pipiku basah dilinangi air mata.
“Jalan cepat Syaza.” Kataku tidak
bernada.
Mengikut arahan, Syaza terus memandu
meninggalkan rumah yang telah melakar sejarahnya malam ini. Menjadi tempat
pertemuan antara jasad Asmira dan Asmara, tetapi bukan perasaan mereka. Kerana
masing-masing mempunyai rasa yang berbeza.
Perjalanan pulang hanya ditemani
suasana sunyi sepi. Syaza seakan memahami aku tidak mahu diganggu saat ini, dia
juga turut mendiamkan diri. Radio juga tidak dipasangnya. Aku menatap langit
malam. Perkara yang aku sering lakukan selepas ketiadaan Asmara. Menghitung
jumlah bintang dengan harapan penantian aku akan segera berakhir. Akan lena
tidurku diulit wajah Asmara. Tetapi semua itu satu kebodohan yang tidak mampu
ditebus kembali.
Aku
menyeka air mata yang masih turun laju. Syaza yang sesekali mencuri pandang
tidak aku pedulikan. Biarlah apa yang difikirkan Syaza apabila melihat aku
menangis seteruk ini. Aku tidak kisah. Biar habis airmataku malam ini juga
tidak mengapa.
Asalkan segala rasa yang menjerut perasaan ini pergi!
4 comments:
Salam, ni post yang barukan, tapi macam pernah terbacalah bab ni sebelum ni dik.
Dean, dalam hati ada Asmara tekadkanlah hati untuk memaafkan antara satu sama lain...
Seri Ayu: wsalam a'ah kak bab 6 ni pernah dipost tapi salah tulis bab 5. Pastu saya delete dan bagi BIP jalan dulu...heee ingatan akk mmg kuat =)
Hehehe....ingat saya peminat AKA...=)
~NB~ wahhhh dan2 terjumpa semula yea.....hehehe like it..
Post a Comment