**Kisah kahwin paksa?? Oh no, no...AKA berbeza dari BIP yek. Malas nak kena kahwin paksa lagi...cewah! Bagi sesiapa yang masih demam BIP, relax kerana Aida dan Hadif dah bahagia...Jom kita masuk dalam dunia DEANDRA ASMIRA BINTI MOHAMAD (hah nama penuh lagi!) untuk menyelami kisah hidupnya. Bagi yang baru mengikuti AKA, boleh baca bab 1-4 yang telah sedia ada. Enjoy! ^_*
“Kita
nak kemana?” Soalku setelah berada di dalam kereta hampir lima minit yang lalu.
Hazriq menoleh sekilas dan tersenyum
menawan. Senyumannya yang agak comel itu sekali pandang seperti Yusry KRU pun
ada jugak. Tetapi didagunya terdapat janggut ‘sejemput’ yang tersimpan kemas
membuatkan dia sedikit berbeza dari suami Lisa Surihani itu. Tanganku yang
terletak elok diatas riba disentuh oleh Hazriq.
“Surprise!”
Ucapnya sedikit teruja. Kemudian dia kembali menumpukan terhadap pemanduan.
“Awak tahu saya tak suka surprise kan? Cakaplah…” Gesaku masih
mencuba nasib. Aku malas hendak berteka-teki tentang kemana hala tuju kami
malam ini. Sudahlah badan ini sangat penat dan lesu. Tiada mood untuk dating apatah
lagi dating terpaksa sebegini.
“Saya tahu, tapi malam ni awak
terpaksa juga terima surprise dari
saya.” Hazriq nampaknya masih tidak mahu memberitahu. Degil sungguh.
Aku menarik nafas dan melepaskannya
berat. Memang berat kepala otak aku sejak mengenali lelaki ini. Pertemuan kami
berlaku sewaktu aku menguruskan majlis pertunangan adik perempuannya, Aina.
Bermula dengan bertukar-tukar kad nama, Hazriq sering menelefon dan menghantar
pesanan ringkas.
Kemudian
dia mengorak langkah kedua apabila sering berkunjung ke butik aku dan akhirnya
berupaya memaksa aku keluar bersamanya. Begitulah kehidupan aku yang terpaksa
melayani Hazriq walaupun tidak sepenuh hati. Daddy dan Mama Anis menyokong aku bersama dengan Hazriq, seorang
arkitek yang berusia tiga puluh satu tahun ini.
“Hazriq, kalau surprise awak ialah candle
light dinner macam yang awak buat dua bulan lalu, saya betul-betul tak nak.
I’m serious. Saya penat sangat malam ni,
esok saya kena bangun awal sebab banyak kerja nak buat, saya pakai baju tak
sesuai sebab ini aje baju yang saya bawa untuk mandi kat butik, saya mana tahu
awak nak ajak saya keluar malam ni…” Aku membebel panjang lebar sedaya-upaya
untuk menolak jika itulah yang ingin Hazriq lakukan malam ini.
Hazriq masih kelihatan tenang.
Telinganya sedikit pun tidak terjejas dengan bebelan aku. Dia ni orang atau
robot? Sengaja aku menunjukkan sikap yang bukan-bukan dimatanya tetapi dia
masih sabar dengan kerenah aku. Entah-entah dia tahu yang aku ni berlakon aje
tak? Mana mungkin ada lelaki sesabar ini berhadapan dengan aku.
“Hazriq! Please say something.” Aku pula yang menjadi tidak sabar dengan
sikap berdiam dirinya.
Hazriq tersengih dan masih tekun
memandu. “Don’t worry Dean. Surprise malam ni lebih bermakna dari
itu. Awak kelihatan cantik dimata saya tak kira apa pun yang awak pakai. Jadi,
duduk diam-diam okey. Wait and see.”
Aku memeluk tubuh dan membuang
pandang ke luar tingkap. Tubuhku pula aku sandarkan agar berasa lebih relax. Tiada gunanya memaksa Hazriq
kerana dia tidak akan memberitahu. Kalau hitam katanya, hitamlah. Kalau putih
yang dia nak, putihlah jadinya. Itulah Hazriq Akid. Ewah, baru sepuluh bulan
kenal aku dah bercakap seolah-olah dia ini suami aku pula. Eeeii…tak nak!
Setelah hampir setengah jam
perjalanan, akhirnya kami tiba di hadapan sebuah banglo tiga tingkat. Banglo
mewah di lereng bukit. Eh, aku kenal rumah ini. Walaupun kali terakhir aku
menjejakkan kaki kesini adalah sepuluh bulan yang lalu.
“Rumah awak?” Soalku seakan tidak
percaya. Aku mengerutkan dahi memandang wajah Hazriq untuk meminta jawapan. Nak
buat apa dia bawa aku ke rumah dia? Aina adiknya hendak berkahwin dan
memerlukan perkhidmatan butik aku ke?
Hazriq mematikan enjin kereta dan
membukakan seat belt di badanku.
Kemudian dia turun dan membukakan pintu kereta. Aku masih berdiam diri tanda
tidak mahu turun selagi tidak mendapatkan jawapan bagi soalan tadi.
“Come,
Dean. Turunlah.” Hazriq memaut lenganku.
Aku menggeleng laju. “Tak naklah.
Buat apa kita ke rumah awak?”
“Masuk dulu. Awak akan tahu nanti. Please jangan kecewakan saya kali ni.”
Hazriq bersuara mengharap. Hish, rimas! Boleh tak buat nada suara yang lain?
Lambat-lambat aku turun juga
akhirnya. Lebih lama aku berkeras, lagi lambat aku dapat pulang berehat. Waktu
semakin lama terasa semakin pantas berdetik. Yelah tu, padahal waktu itu
bergerak seperti biasa aje. Perasaan aku yang aneh-aneh saat ini. Melangkah
masuk ke dalam banglo tiga tingkat ini menjadikan peluh dingin membasahi tubuh.
Kenapa gelap?
“Hazriq, tak ada orang ke kat rumah
awak ni? Kenapa gelap aje? Saya nak baliklah.” Aku pantas berpaling untuk
melangkah pergi setelah menjejakkan kaki ke ruang tamu. Jangan kata Hazriq nak
buat perkara tak senonoh pada aku. Memang jadi ‘lauk’ aku malam ni.
“Papp!!” Tiba-tiba lampu terpasang
dan menjadikan suasana terang-benderang. Seperti ada majlis sahaja di rumah
banglo ini.
Aku berpatah balik setelah dua
langkah kehadapan. Mak oi! Ramainya orang. Siapa mereka semua ni? Aku
terkulat-kulat seperti orang kebodohan baru bangun tidur.
“Surprise!!”
Teriakan semua yang ada disini sambil membawa belon dan meletupkan mercun
mainan seakan sambutan majlis hari jadi kanak-kanak.
Semua orang meluru kearah aku dan
bersalaman sambil mengucapkan tahniah. Aku masih terpinga-pinga namun membalas
salam mereka. Sesekali aku mencari kelibat Hazriq yang hilang entah kemana.
Tiba-tiba aku menjadi sedar semula. Tahniah? Tahniah untuk apa?
“Er…maaf semua. Hari ini bukan hari
lahir saya.” Ragu-ragu aku menuturkan sebaris ayat itu tetapi dengan suara yang
sedikit kuat. Harapanku suara ini dapat menamatkan tanda tanya yang masih
bermain di minda.
Kedengaran mereka semua tertawa geli
hati. Aik? Dah tersilap buat majlis hari jadi pun masih boleh bergelak-ketawa? Adakah
mereka ini spesis robot seperti Hazriq? Mungkin Hazriq nak buat eksperimen pada
tubuhku juga untuk menjadikan aku sebahagian daripada mereka. Aku mesti lari
dari sini.
“Terima kasih Dean. Terima kasih banyak-banyak.”
Tiba-tiba muncul Puan Jamaliah yang berkerusi roda ditolak oleh Hazriq.
Aku terkedu. Sebentar tadi ucapan
tahniah. Kini, ucapan terima kasih pula yang diberikan kepadaku. Apa semua ini?
Aku memandang wajah tenang Hazriq yang tersenyum memandangku. Disisinya ada
Aina yang turut tersenyum gembira. Belum sempat aku membuka mulut untuk
bertanya, Aina menerpa dan memelukku erat. Dakapannya penuh kasih. Pipiku
dicium berkali-kali. Aduh, aku bingung!
“Tahniah Dean.” Aina berbisik di
telingaku penuh kegembiraan. Suaranya ceria dan terharu. Penuh rasa yang
membuatkan aku bertambah ‘bodoh’ antara semua yang ada disini.
“Untuk apa semua ini?” Suaraku yang
sedikit tersekat-sekat antara dengar dengan tidak sahaja. Namun Aina tersenyum
lagi menandakan dia dapat mendengarnya.
“Tak lama lagi awak akan jadi kakak
saya. Walaupun awak muda dua tahun dari saya, tapi never mind. Saya akan biasakan panggil awak Kak Dean, okey?” Aina
memelukku sekali lagi sebelum meleraikan dan kembali berdiri disisi Hazriq.
“Okey, semua tetamu dijemput untuk
menjamu selera dengan jamuan yang disediakan. Sebentar lagi saya akan bawa Cik
Dean kita ni, untuk diperkenalkan kepada saudara-mara semua. Silakan.” Hazriq
yang sejak tadi mengunci mulut mempelawa semua tetamu untuk makan.
Oh, rupanya mereka semua ini adalah
saudara-mara Hazriq. Namun jumlahnya aku anggarkan lebih kurang lima puluh
orang. Pasti saudara-mara terdekat, barangkali. Aku masih berdiri kaku apabila
Puan Jamaliah ditolak menghampiri aku. Dia memegang tanganku mesra membuatkan
aku duduk melutut untuk bercakap dengannya.
“Ada apa malam ini puan? Saya tak
faham.” Kataku jujur. Lebih baik aku berterus-terang agar tanda tanya di
benakku ini segera tamat.
“Maaflah, Dean. Saya teruja sangat
lepas Hazriq bagitahu siang tadi. Terus saya telefon saudara-mara terdekat
suruh datang untuk memperkenalkan Dean pada mereka.” Puan Jamaliah menyapu
tubir mata yang digenangi air jernih.
Aku mengerutkan kening.
“Memperkenalkan saya? Apa yang Hazriq dah beritahu?” Soalku tidak sabar. Kes
apa lagi yang dilakukan Hazriq kali ini sehingga Puan Jamaliah bertindak
sedemikian rupa. Aku mengangkat wajah untuk mencari jawapan di sebalik riak
Hazriq. Namun dia seperti biasa berlagak selamba dan tenang-setenangnya!
“Dean dah bersetuju untuk berkahwin
dengan Hazriq kan? Saya nak majlisnya diadakan sebelum perkahwinan Aina. Jadi
tak adalah Aina kena langkah bendul.” Mata Puan Jamaliah bersinar cerah.
Namun mata aku pula merudum kelabu!
Seperti terbang melayang semangatku yang memang gentayangan sejak masuk ke
rumah ini. Bersetuju kahwin dengan Hazriq? Bila? Melamar aku pun Hazriq belum
pernah!
“Ka…kah…win?”
Mataku menghala kearah sepasang mata Hazriq yang cantik terbentuk. Namun
keindahan itu tidak mampu meredakan rasa terkejut yang aku alami saat ini.
“Sayang dah terima lamaran saya kan
siang tadi. Terus saya beritahu ibu tidak mahu tangguh lama-lama. Ibu pun
setuju kalau kita percepatkan.”
Hazriq
merapati aku dan membantu aku untuk berdiri. Kaki yang lenguh akibat berlutut
tadi langsung tidak terasa. Getaran hebat didada lebih dari segalanya. Terasa
pucat wajahku tidak berdarah. Amboi, bukan main lancang mulut Si Hazriq ini
berdusta. Aku pasti ini semua rancangan jahat Hazriq untuk mendapatkan aku
setelah usahanya selama ini tidak menampakkan apa-apa perkembangan. Tidak
mungkin kerana terlalu penat aku menjadi hilang ingatan apa yang aku lalui di
siang hari. Ya, Hazriq datang ke butik semasa daddy dan Mama Anis ada. Tetapi tiada unsur-unsur lamaran yang
dilakukan apatah lagi aku membuat persetujuan segila ini! Memang tidak benar
sama sekali.
“Er…Hazriq…mana
ada…kita…” Ayat aku tergantung disitu setelah sepantas kilat Hazriq
memotongnya.
“Sayang,
please. Jangan malu-malu lagi kali
ini. Kita masing-masing dah dewasa untuk berumahtangga. Saya mampu untuk
menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan menjaga anak dara orang.
Lagipun, I love you so much.” Hazriq
memaut pinggangku erat. Pandangan matanya tajam seakan memberi aku amaran agar
tidak memberitahu perkara yang sebenarnya.
“Betul
tu Dean. Hazriq ni hari-hari sebut nama Dean sejak dia berkenalan dengan Dean.
Sampai saya pun naik pening tengok anak teruna yang dah jadi angau macam ni.
Bila saya suruh cepat masuk meminang, dia kata Dean ni liat nak tackle. Kena makan masa. Akhirnya cair
juga Dean dengan Hazriq ye.” Puan Jamaliah tersenyum penuh makna sambil
memandang aku dan Hazriq silih berganti.
Aku
cair dengan Hazriq? Ya, aku memang dah cair sangat sekarang ni. Rasa tertipu
dan dipermainkan oleh anak teruna Puan Jamaliah. Hal kahwin bukan perkara
main-main walaupun aku berhadapan dengan banyak perkahwinan sepanjang kerjaya
aku menjadi pengusaha butik pengantin. Lebih-lebih lagi melibatkan perasaan
keluarganya iaitu Puan Jamaliah yang berkerusi roda, Aina adik kepada Hazriq
serta berpuluh saudara-maranya yang hadir pada malam ini. Ya, Allah aku rasa
mahu pengsan sekarang juga. Biar Hazriq lalui malam ini tanpa aku.
“Dean!
Eh, Kak Dean!” Teriakan Aina yang baru muncul mematikan perbualan kami.
“Abang,
jom kenalkan Kak Dean pada saudara-mara kita. Abang kata Kak Dean tak boleh
lama malam ni. Esok Kak Dean banyak kerja kan?” Aina tersenyum manis memaut
bahuku untuk dibawa pergi.
“Okey,
jom Dean. Saya kenalkan awak pada mereka semua. Lepas makan nanti, saya hantar
awak balik terus.” Hazriq bersedia untuk melangkah meninggalkan aku berjalan
beriringan bersama Aina.
“Dean
tinggalkan puan dulu ye. Nak kesana sekejap.” Aku meminta diri penuh sopan.
Walaupun aku ada masalah yang perlu dibuat perhitungan dengan anaknya tetapi aku
tetap melayan Puan Jamaliah dengan baik. Wanita tua ini tidak tahu apa-apa
tentang kami. Dia langsung tidak bersalah dalam hal ini.
Tebal
juga kulit mukaku apabila diperkenalkan sebagai bakal isteri Hazriq.
Riuh-rendah suara nakal yang mengusik kami lebih lagi apabila Hazriq memegang
tanganku dan sesekali tangannya memeluk pinggangku kemas. Tiada daya lagi dapat
aku lakukan kerana aku telah terjebak dalam permainan gila Si Hazriq. Senyuman
manis aku pamirkan jua ketika melayani saudara-maranya yang ramah dan tidak
sombong walaupun kebanyakannya datang dari keluarga berada sepertinya.
“Okey,
Hazriq nak bawa Dean makan ye. Esok mak andam kita ni banyak kerja katanya.
Kalau tak siap, habislah pengantin-pengantin yang nak kahwin hujung minggu
nanti.” Hazriq membuat lawak sambil disambut dengan gelak tawa mereka semua.
Aku
masih tersenyum manis disisi Hazriq. Tetapi di dalam hati hanya Tuhan sahaja
yang tahu berapa banyak dosa aku menyumpah lelaki ini. Bukan lagi
berbakul-bakul seperti selalu, tetapi malam ini sudah berlori-lori! Geramnya
tidak terkata. Kalau dapat, memang aku nak karate mamat ni. Biar dia tahu Dean
bukan gadis yang boleh diperkotak-katikkan.
“Minta
diri dulu ye.” Aku berkata penuh sopan seakan-akan sedang melakonkan watak
perempuan Melayu terakhir. Padahal, akulah orang terakhir yang masuk dalam
senarai untuk menjadi perempuan!
Kami beredar ke meja makan. Terdapat hidangan
yang serba ringkas tetapi cukup menyelerakan. Namun aku kesini bukan untuk
makan. Aku nak ‘makan’ manusia disisiku ini.
“Apa
yang awak dah buat ni Hazriq?!” Suaraku perlahan namun cukup tegas. Hendak
disorokkan lebih lama, aku sudah tidak mampu menahan. Biar Hazriq tahu aku
sedang marah dengan apa yang berlaku.
Hazriq
tenang. Tangannya mencedok spageti dan dimasukkan ke dalam pinggan. Kuah pula
dituang ke atasnya dan Hazriq mencapai garfu. Setelah selesai, dia menghulurkan
pinggan kepadaku. Mahu tidak mahu, aku menyambutnya juga. Takut ada mata-mata
yang memandang perlakuan kami yang menjadi hero dan heroin pada malam ini.
Yelah sangat! Heroin filem Hindustan dengan wajah separuh mat saleh ini?
“This way, kita makan kat tepi kolam.”
Hazriq mendahului langkahku untuk membawa aku ke tempat yang dimaksudkan.
Terdapat
dua buah meja bulat yang mempunyai empat bangku kayu bagi setiap meja. Diletakkan
betul-betul di tepi kolam renang sederhana besar ini. Hazriq melabuhkan
punggung dan aku menurutinya.
“Hazriq
tolong jelaskan pada saya sekarang, apa semua ni? Awak jangan ingat dengan cara
paksa begini awak boleh dapatkan saya!” Luahku sedikit kasar. Ingin sahaja aku
ungkapkan ayat keramat saya tak cintakan awak tetapi terasa kejam sangat pulak.
Nantilah dulu. Bawa bersabar sedikit lagi, pujuk hati kecilku.
Hazriq
beralih pandang. Matanya memandang wajahku tepat dan renungannya menjalar ke
dalam anak mataku. Mungkin cuba mencari dan meraih sekeping hatiku yang
diinginkan olehnya. Aku juga dengan beraninya menatap sepasang mata itu. Ada
garis duka di dalam mata Hazriq. Kenapa? Aku yang sepatutnya terluka, bukan
dia. Jangan kata ini semua taktik kau, Hazriq!
Wajah
Hazriq yang berubah mendung membuatkan aku semakin resah menanti jawapan yang
bakal lahir dari mulutnya. “Betul saya tak pernah berbohong apabila saya kata
saya sukakan awak, Dean. Saya memang cintakan awak sejak kita bertemu dulu.
Tetapi saya buat begini bukan untuk memaksa awak. Saya masih mampu menunggu
dengan sabar untuk awak membalas cinta saya. Tetapi…” Hazriq meraup rambutnya
ke belakang dengan tangan.
“Tapi
apa? Cakap Hazriq! Hal nikah kahwin ni saya tak suka dibuat main-main. Ini soal
hati dan perasaan. Soal masa depan!” Suaraku sudah sedikit meninggi. Aku meraup
wajah berulang kali. Kenapalah semua lelaki perlu membawa masalah dalam hidup
aku?
“Syyy…jangan
tinggikan suara awak. Nanti ada orang dengar.” Tegah Hazriq sambil merapati
aku. Dia mengelus rambutku perlahan untuk menenangkan perasaan aku saat ini.
Aku sudah tidak peduli apa yang mahu dilakukan oleh Hazriq. Dia mahu membelai,
mahu menyentuh, bulu roma aku tidak kisah lagi. Walaupun selama ini kami bukan
pasangan kekasih tetapi layanan Hazriq menggambarkan sebaliknya. Namun waktu
ini hati dan mindaku lebih terbeban dengan permasalahan yang dicipta oleh
lelaki ini.
“Ini
soal masa depan saya, Hazriq. Awak tak boleh buat keputusan suka-suka hati
tanpa berbincang dengan saya. Memang saya tahu awak sukakan saya, tapi bukan
begini caranya.” Suaraku mulai kendur. Airmata setitik demi setitik mula
menuruni pipiku yang licin dan gebu.
“Jangan
menangis sayang…” Lembut suara Hazriq sambil menyeka airmata ini.
“Stop calling me sayang!” Bentakku sambil
menolak tangan Hazriq dari terus menyentuh pipiku. Biarlah aku menangis
dihadapan matanya setelah sepuluh bulan aku menanggung semua ini.
Ah,
silap aku juga yang turut melayan pada awal perkenalan. Tetapi aku memang
sentiasa ramah dan mudah didekati oleh sesiapa sahaja. Kalau berkelakuan
sombong, boleh lingkup butik pengantin aku tiada pelanggan. Tidak aku sangka,
akan bertemu dengan lelaki obses seperti Hazriq. Lama-kelamaan aku sendiri
sudah tidak terlayan dengan sikapnya.
“Okey,
okey. Maafkan saya.” Hazriq mengangkat tangan tanda menyerah.
Dia
menarik nafas dalam-dalam sebelum menyambung bicara. “Ibu nak sangat tengok
saya kahwin sebelum apa-apa terjadi pada dia. Ibu juga kalau boleh tak nak Aina
langkah bendul. Awak tahu ibu saya tu sakit kan? Kaki dia baru aje dipotong
akibat penyakit kencing manis. Lepas tu ibu memang dah ada sakit jantung sejak
dulu.”
“Hazriq,
itu tak bermakna awak perlu menjebakkan saya dalam masalah ni. Saya tiada
kena-mengena langsung dengan semua tu. Selama ni saya anggap awak hanya kawan.”
Aku membuang pandang ke kolam renang. Air yang berkocak ditiup angin malam
nampaknya tidak sekencang hati aku yang berkocak hebat. Semuanya kerana Hazriq
Akid!
Hazriq
mengeluh lemah. “Dean, maafkan saya andai mencintai awak satu kesalahan.
Ampunkan saya andai menginginkan awak itu satu dosa. Tetapi siapalah saya yang
mampu menolak perasaan sehebat ini? Cinta saya istimewa hanya untuk awak, Dean.
Saya tidak mahu kehilangan awak dan dalam masa yang sama saya ingin memenuhi
permintaan ibu. Salahkah saya, Dean?”
Hazriq
tunduk memandang lantai. Lidahku kelu seribu bahasa. Terpempam dengan pengakuan
jujur dari mulut lelaki ini. Terbayang pula rentetan Puan Jamaliah yang
mengeluarkan air mata kerana terlalu gembira. Kemudian aku seakan terasa pula
pelukan kasih seseorang yang bakal bergelar adik iparku. Aku tidak punya
adik-beradik didunia ini. Harapan untuk mempunyai adik setelah daddy berkahwin juga punah apabila
pilihannya bukanlah wanita muda yang mampu melahirkan zuriat. Semua
bayang-bayang itu menyesakkan lagi kepalaku. Tetapi hati masih kosong. Tiada
cinta buat Hazriq.
“Apa
perancangan awak selepas ni? Saya bukan anak ayam yang boleh diambil begitu
saja. Saya masih dibawah tanggungjawab ibu bapa saya.” Soalan itu yang aku
tujukan kepada Hazriq. Walaupun masih marah dan bengang dengan semua ini, aku
masih punya sifat kemanusiaan.
Mata
Hazriq kembali mencari anak mataku. Ditatap penuh bercahaya. Segaris senyuman
menghiasi bibir mekar Hazriq. “Kalau awak setuju, esok juga saya suruh ibu
masuk meminang. Kita kahwin secepat mungkin ye sayang.”
Hazriq
mencapai tanganku dan dikucup lembut. Namun perlahan aku menariknya kembali.
Tidak selesa diperlakukan begitu. Kemudian aku berdehem beberapa kali untuk
mencari kekuatan dan ayat yang sesuai untuk diungkapkan.
“Hazriq,
sebenarnya saya patut berterus-terang dengan awak. Saya belum bersedia nak
kahwin dan tak pernah terfikir pun kearah itu. Tetapi demi ibu awak, why don’t kita bertunang aje dulu?
Mungkin itu dah cukup memuaskan hati ibu. Saya rasa mungkin saya patut beri
awak peluang dalam hidup saya. Untuk kita lebih mengenali. Tak nak
terburu-buru.”
Cadangku
setelah berfikir mengenai situasi kami sekarang. Adakah kerana penantian selama
lima tahun akan aku tamatkan pada malam ini? Adakah aku telah berhenti
berharap? Meletakkan harapan pada sesuatu yang tidak pasti. Menunggu untuk
dipertemukan dengannya semula. Mampukah aku mengusir mimpi-mimpi yang menghiasi
tidur malamku selama ini?
“Dean
sayang, ibu tu makin lama makin teruk sakitnya. Saya takut ibu tak sempat…”
“Jangan
cakap macam tu, Hazriq. Awak bincang dulu dengan ibu awak. Saya pun perlu masa
untuk terangkan pada daddy dan mama.
Kita berdoa yang terbaik.” Aku memotong kata-kata Hazriq.
Hanya
anggukan yang diberikan sebagai jawapan. Aku melepaskan nafas yang pincang
ritmanya. Begitulah pincangnya harapan dan impian aku yang bersandar pada
sebuah kenangan.
Mungkin Hazriq adalah penutup bagi setiap mimpiku yang tak
sudah….
9 comments:
Salam, nampaknya dalam hati Dean ni masih ada ingatan terhadap Asmara tapi dia sendiri tak pasti dengan perasaannya. Tapi sanggup bekorban untuk Hazriq untuk bertunang kerana kesian dengan ibu Hazriq. Akak rasa demi persahabatan dan simpati...tapi tunang saja tau Dean pls jangan kahwin...mcm rasa kejam plak...
adoiii, dean, wat istiqarah dulu deannnnn
Seri Ayu: hehe of coz tunang saja kak..boring kahwin paksa dah hihi
Nurul: adess ikin, lupa nk pesan kat Dean..dah terlajak perahu dia..hee
Salam... Tetiba rasa sgt2 x suka kat Hazriq... Eeeuuuwww!! Walau apa pun alasan yg dberi, dia xde hak utk wat sesuka hati... Bertunang bukan perkara yg patut d pandang remeh.. sbb ianya adalah satu jangka masa utk persedian ke alam perkahwinan. Adeeehh... x suka.. x suka...!!
Anonymous: =) mmg akan ramai yg tak sukakan Hazriq dlm citer ni..sabar, sabar..hehe
go hazriq,go hazriq pikat hati dean,eh?hahahaha :)
Ashu: tetiba plak kan..haha Hazriq akan dibenci tak lama lagi...ececeh..
~NB~ Ermmm haziq nie mcm terlalu mendesakkk.....adesss sgt tak gemar bila berhadapan dgn manusia yg suka mendesak ni...kita ckp sejuta kali pun dia x faham.....ahahahaha berbicara melalui pgalaman....
NB: betul setuju...mmg wujud manusia mcm ni...hehe
Post a Comment