“Seronok
tak cerita tadi?” Soalku sambil memasukkan pizza ke dalam mulut.
Hazriq menjeling tajam. “Saya bawa
tengok wayang, suruh awak tonton cerita tu. Bukan tidur dalam panggung wayang.”
Dia menggelengkan kepalanya beberapa kali. Geram dengan sikapku yang masih
tidak berubah.
Aku ketawa mengekek membuatkan
pandangan Hazriq semakin tajam. Alah, rilekslah. Aku penat sangat hari ni. Dari
pagi sampai pukul lima petang berada kat butik macam biasa. Kemudian Hazriq
datang menjemput dan mengajak aku untuk menonton wayang pula. Selalunya jam
enam petang pasti aku sudah berada di rumah. Jam di tangan aku kerlis sekilas.
Tengok! Sekarang jam sembilan setengah malam tetapi aku masih berada di Jusco
sambil makan pizza. Setelah terjaga dari tidur tadi, memang perutku berasa
lapar. Jadi aku mengajak Hazriq untuk makan sebelum dihantar pulang.
“Maaflah. Saya letih sangat. Banyak
kerja tadi.” Aku masih beriak selamba dan meneruskan suapan.
“Hari-hari awak cakap ayat yang
sama. Awak letih, banyak kerja kat butik. Tapi satu hari pun tak pernah cuti.
Mesin pun boleh rosak kalau hari-hari kerjalah, sayang oi. Esok kita ambil cuti
ye? Saya nak bawa awak ke satu tempat.”
Aku mengerutkan dahi. “Cuti? Mana
boleh, saya banyak kerja. Kesian nanti pengantin tak boleh kahwin kalau
hantaran diaorang tak siap, baju tak siap, kasut tak siap…” Belum habis cakap,
ayatku telah dipotong.
“Satu hari sahaja cuti dalam
setahun. Tak kan tak boleh? Kalau awak sayangkan tunang awak ni, please kali ni aje. Saya janji lepas ni
tak suruh awak cuti melainkan pada hari perkahwinan kita.” Rayu Hazriq lembut.
Matanya penuh pengharapan daripadaku.
Ingin sekali mulut cabul aku ini
menjawab bahawa aku tidak sayangkan Hazriq. Tetapi tak sampai hati pula.
“Serius saya tak boleh, Hazriq. Maybe
next time.”
“Macam tu saya akan percepatkan
perkahwinan kita. Susah sangatlah jaga tunang yang degil dan workaholic macam awak ni. Kalau dah
kahwin, dah jadi isteri saya, senanglah sikit. Hendak tak hendak, awak kena
ikut juga cakap suami. Saya boleh gunakan kuasa veto saya masa tu.” Hazriq
menarik muka masam. Merajuk pula? Aduh, main ugut-ugut tak pernah habis. Macam
budak-budak sekolah aje.
“Amboi, belum kahwin dah cakap nak
gunakan kuasa veto ye? Ada niat nak control
saya.” Aku menyindirnya pula.
“Yelah, dah susah sangat nak dengar
cakap saya ni. Saya bagitahu ibu, kita nak kahwin bulan depan.” Tegas suara
Hazriq menuturkan ayat tersebut.
Aku menutup mulut. Hazriq tidak
pernah bercakap kosong. Kalau itu yang dia katakan, memang ‘masak’ aku!
“Eh, okey saya cuti esok. Kita nak
pergi mana?” Pantas aku menyoal.
Senyuman lebar mekar di bibir lelaki
ini. “That’s my girl. Esok saya
jemput awak jam lapan pagi. Don’t be late.”
Aku mengangguk lemah. Namun di dalam
hati aku berdoa, agar Hazriq tidak membawa aku ke taman bunga. Yelah, dia kan
mamat jiwang karat. Entah-entah nak ajak aku bercengkerama di taman bunga
pagi-pagi buta. Oh, no!
******************************
Sangkaan
aku ternyata meleset jauh. Teruk betul tanggapan aku terhadap Hazriq malam
tadi. Rupanya dia membawa aku ke negeri Melaka, Bandaraya Bersejarah. Destinasi
pertama yang dikunjungi ialah Zoo Melaka. Lawak tak? Hazriq seorang arkitek
berusia tiga puluh satu tahun ini membawa tunangnya berdating di zoo? Dia ingat aku nak jumpa saudara-mara ke kat sini?
“Seronok kan? Dapat jalan-jalan
macam ni. Hilang tekanan kerja.” Hazriq melabuhkan punggung di atas kerusi batu
yang disediakan untuk para pengunjung.
Aku tersenyum tawar. “Saya pun dah
bertahun tak pergi zoo. Erm, kenapa awak nak datang sini? Ada nak kena buat
rumah untuk buaya atau harimau ke?”
Hazriq ketawa kecil. “Perli ye? Tak
adalah macam tu. Saja saya suka tengok haiwan. Saya ni animal lover.”
Alah, Hazriq. Kau bukan sahaja
pencinta haiwan, tetapi kau juga pencinta wanita yang over. Ayat itu bergema di dalam kotak fikiran. Aku tersenyum
sendiri.
“Kenapa senyum?” Soalnya yang
memandang aku pelik.
Pantas aku menggeleng. Tidak sedar
pemikiranku terluah secara fizikal pula. “Awak sedang buat projek apa sekarang
ni?” Soalku cuba mengalihkan topik.
“Saya tengah siapkan pelan untuk
projek rumah kos rendah kat area
Masai. Diaorang nak buat kawasan perumahan baru. Anyway thanks sebab ambil tahu tentang saya.” Hazriq merapatiku
dan membelai rambutku mesra.
Aku yang berasa tidak selesa, segera
meneguk air mineral di dalam botol.
“Tumpah sikitlah sayang.” Tangan
Hazriq pantas menyapu sisa air di hujung bibir bawahku. Aduh, dia main
sentuh-sentuh bibir pulak!
“Er…jom kita jalan lagi. Saya dah
hilang penat ni.” Aku bingkas bangun dan mengatur langkah untuk meneruskan
lawatan ini. Hazriq mengikuti dari belakang.
Kami berjalan kaki melihat
haiwan-haiwan yang terdapat di zoo ini. Setelah agak lenguh kaki berjalan, kami
menunggu tramp di perhentian yang disediakan. Namun rasanya tidak puas seperti
melihat haiwan-haiwan ini dengan lebih dekat apabila berjalan kaki. Aduh, aku
pula yang terlebih sudah! Okey, hakikatnya aku seronok juga dapat menghabiskan
masa dengan aktiviti yang sangat berbeza dari rutin harianku.
“Hari ini tiada baju pengantin,
tiada solekan, tiada hantaran. Yang ada hanya haiwan!” Hazriq tergelak besar
sewaktu menuturkan ayat tersebut.
Aku membulatkan mata memandangnya.
“Hari ini pun tiada pelan bangunan, pelan rumah, komputer, pejabat, semua
tinggal kat JB.”
Kami sama-sama tergelak. Sepanjang
mengenali Hazriq hari ini merupakan hari yang aku mampu tergelak besar ketika
bersamanya. Satu perkembangan yang sihat! Setelah seluruh kawasan ini kami jelajahi,
aku dan Hazriq beredar dari Ayer Keroh ke Mahkota Parade pula. Disana kami
makan tengah hari dan berjalan-jalan melihat pelbagai barangan.
Kemudian, kami berjalan kaki pula
melintas jalan raya menuju ke seberang jalan. Kereta dibiarkan di dalam tempat
letak kenderaan Mahkota Parade sahaja. Kami menuju ke Kubu A Famosa yang dibina
oleh kerajaan Portugis pada tahun 1511. Kubu ini dibina daripada blok-blok batu
merah yang tidak seragam bentuknya dan di hadapan kubu pengunjung boleh
bergambar bersama meriam besi. Terdapat juga pelukis-pelukis jalanan yang
sedang melakar wajah pelanggan mereka di sekitar kubu ini.
“Jom kita naik beca pulak. Mesti dah
lenguh kaki sayang tu.” Hazriq menunjukkan tangannya kearah sekumpulan penarik
beca yang sedang bersidai menunggu pelanggan.
“Erm…boleh juga. Kalau dah sampai
kat Bandar Hilir ni tak merasa naik beca, memang tak sahlah kunjungan kita ke
Melaka.” Kataku sambil memerhatikan beca-beca yang terhias indah. Penuh dengan
bunga-bunga dan radio yang dipasang kuat untuk menarik pelanggan.
“Jom!” Hazriq yang begitu teruja menarik
tanganku dan setelah memilih beca yang disukai, kami dibawa mengelilingi A
Famosa sehingga ke Dutch Square.
Sempat juga tanganku mengambil gambar-gambar yang menarik melalui telefon
bimbit kesayangan.
Setelah tiba semula ke destinasi,
kami berjalan kaki menyusuri kedai-kedai yang menjual cenderamata di sini. Aku
membeli beberapa barangan untuk dijadikan hadiah kepada Syaza, daddy dan Mama Anis. Aku perhatikan
Hazriq juga turut membeli cenderamata di kedai ini. Mungkin untuk Puan Jamaliah
dan Aina.
Selesai berbelanja, perut pula
memainkan lagu keroncong. Hilang sudah irama zapin kerana kami berada di luar
negeri Johor. “Dah lapar lah…” Aku menayang muka seposen.
Hazriq menggelengkan kepalanya.
“Kesian, kesian. Rasanya baru lagi kita makan tadi.”
“Dah lapar nak buat macam mana?
Kenalah makan.” Kataku bersahaja.
“Kita melawat Muzium Samudera kat
depan ni sekejaplah. Lepas tu baru pergi makan.” Cadang Hazriq pula.
Perut aku minta diisi, Hazriq nak
pergi melawat muzium dulu? Apa-apa ajelah Hazriq, oi. Aku mengangguk dan
menyerah kalah. Muzium yang berbentuk kapal kayu besar ini kami jelajahi.
Mendalam juga minat Hazriq pada sejarah. Bukan main lagi dia membaca
kisah-kisah sejarah yang terdapat di dalam muzium. Aku seperti biasa, hanya
mengikutinya dari belakang dan sesekali menangkap gambar sendiri buat kenangan.
“Sayang…” Lembut Hazriq memanggil.
Aku pantas menoleh dan mengerutkan
dahi. “Yes?”
“Tangkap gambar sendiri aje? Jom
tangkap gambar berdua pulak.”
Tanpa menunggu jawapan daripada aku
yang terkulat-kulat, Hazriq menyerahkan telefon bimbitnya kepada salah seorang
pelancong yang berhampiran kami. Dua keping gambar ditangkap dengan gaya
berbeza. Setelah mengucapkan terima kasih kami terus beredar. Nampak dari luar
memang besar muzium ini tetapi dalam masa yang singkat, kami telah selesai
melawatnya.
Aku menyarungkan semula kasut ke
kaki. “Kita nak makan kat mana?”
Hazriq yang juga sedang memakai
kasut memandang aku sekilas. “Kita ambil kereta dulu. Makan kat tempat lainlah.
Tahan sekejap ye.”
Segaris senyuman terukir dibibir dan
aku mengangguk. Lagipun perut ini bukanlah lapar tahap gaban. Sekadar ingin
menjamah sesuatu bagi mengisi perut. Makan tengahari tadi telah habis dijadikan
tenaga untuk berjalan-jalan.
“Hazriq, saya nak naik menara ni
boleh?” Soalku sambil memandang tinggi keatas.
“Tadi kata lapar? Boleh tahan lagi?”
Soalnya dengan prihatin.
Aku tersengih-sengih. “Sekejap aje
naik ni. Tak sampai setengah jam, kut.”
Amboi, bab-bab macam ni bukan main
pandai lagi aku kan? Sudahlah semuanya ditanggung oleh poket Hazriq. Siapa
suruh dia ajak aku berjalan? Memang kenalah tanggung Deandra si mak andam ni!
“It’s
up to you, sayang. Saya ikut aje. Lagi suka tengok awak ceria dan seronok
hari ni.” Hazriq memberikan persetujuan.
Kami sama-sama beratur untuk membeli
tiket menaiki Menara Taming Sari. Menara pandang ini setinggi 110 meter dan
terletak bersebelahan dengan Dataran Pahlawan. Setelah menunggu giliran,
akhirnya tibalah masa untuk kami menaikinya. Ia boleh memuatkan seramai 66
orang dalam satu-satu masa. Memang satu pengalaman yang menyeronokkan kerana
menara ini berputar 360 darjah untuk para pelawat melihat panorama Bandar
Melaka secara keseluruhan. Tidak puas rasanya berada di atas kerana satu sesi
putaran hanya mengambil masa kira-kira 7 minit sahaja. Menara ini merupakan
menara berputar jenis Gyro yang pertama di Malaysia. Rugi kalau dah datang sini
tak mencubanya sendiri.
“Best?”
Hazriq memimpin tanganku untuk melintas jalan menuju semula ke tempat letak
kenderaan Mahkota Parade.
Aku mengangguk beberapa kali dan
tersenyum senang. “Terima kasih untuk hari ni. Pengalaman yang menyeronokkan
walaupun tak dapat nak pergi semua tempat menarik kat sini.”
Jawapanku jujur dari hati. Aku gembira
mengikuti Hazriq sehingga ke mari. Tidak sia-sia aku mengambil cuti sehari
walaupun berat hati pada mulanya. Berbaloi. Itulah satu perkataan yang sesuai
untuk aku ucapkan saat ini. Aku dengan Hazriq bergembira bersama? Macam tak
percaya pun ada.
“Next
time ada masa kita pergi lagi.” Hazriq tersenyum puas hati.
Seharian suntuk menghabiskan waktu
bersama adalah sebagai satu titik tolak untuk aku lebih mengenali Hazriq.
Pepatah ada mengatakan tak kenal, maka tak cinta.
Harap-harap boleh pakai
pepatah itu untuk kamus hidup aku....
6 comments:
~NB~ alaa x sukelah asmira dgn haziq nie...akk x naik lg menara taming sari nie...gayat sehhhh...hehehe
Wallah, sudah berbaik. Cuma, kena bataskan sikit..baru tunang kan? :)
NB: hihi ni dorang tgh happy2...xpe kita tgok bab seterusnya...haha gayat ek? sekejap je naiknya kak...
Salam,baru berkesempatan baca n3 ni.
Walaupun Hazriq cintakan Dean begitu mendalam, tepuk sebelah tangan takkan menjadi... Asmira adalah untuk Asamara...huhuhu
Salam... Oh tidaaaakkkkkk!!! Dean makin lembut hati ngan `umurxserupa31'... Adeeehhhh.. dunia ku tetiba mnjadi `gelapgelita' (melodramatik skejap.. hik hik hik)
Shafriza: tu la kak..Hazriq lebih2 kalahkan Dean yg muka mat saleh perangainya..huhu
Seri Ayu: wsalam..betulllll hikhik
Anonymous: wsalam..xpe2 tunggu bab 12..sure lg xsuka mamat tu..haha
Post a Comment