Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Monday, September 3, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 9


           Peluh membasahi belakang T-Shirt Giordano yang aku pakai. Seluar pendek separas peha berwarna merah jambu ini juga kelihatan lembap dibasahi air. Setelah hampir setengah jam aku membanting tulang membasuh baju menggunakan tanganku yang mulus ini akhirnya hasil basuhan tadi dapatku sidai pada ampaian di belakang bilik mandi. Ini yang paling aku tidak suka lakukan sendiri setelah hidup berjauhan dengan mak. Membasuh bukan dalam bidang kepakaran aku. Hal lain? Memasak bolehlah setakat mengisi perut sendiri tetapi bab mengemas dan menghias rumah memang aku pakar.

            “Belum siap membasuh ke kak?” Pertanyaan seorang pelajar junior yang berkongsi tandas paras empat ini menegurku.

            “Dah siap. Akak tengah sidai kain kat belakang ni. Berus, sabun dengan softlan akak tu kamu masukkan dalam baldi merah. Letak dulu kat tepi kalau kamu nak basuh kain.” Aku memberikan arahan.

Hanya di dalam tandas dan bilik mandi sahajalah masa yang ada untuk bertegur sapa dengan penghuni lain di paras empat ini. Nak harap berborak panjang masing-masing sibuk kuliah. Selepas habis kuliah, pasti berehat dalam bilik dan membuat tugasan. Jarang sekali dapat bersua muka.

            “Okey. Kenapa akak tak guna mesin basuh aje? Nanti tak lembut lagi tapak tangan akak tu…” Pelajar junior yang bernama Siti ini mengusikku. Mungkin pernah melihat aku menggunakan mesin basuh yang berada di paras dua sebelum ini.

            “Alah, malaslah nak tunggu turn lambat. Mana tidaknya, sebiji mesin basuh tu aje untuk satu bangunan. Kita ada empat paras. Bayangkanlah berapa ramai yang nak guna mesin tu.” Bidasku sambil menggelengkan kepala walaupun tidak dapat dilihat oleh Siti. Yelah, aku berada di ampaian bahagian belakang manakala Siti disinki tempat membasuh baju.

            “Saya pula jimat duit kak. Sekali basuh aje dah tiga ringgit duit syiling masuk dalam mesin basuh. Kalau basuh seminggu sekali, sebulan dah dua belas ringgit. Baik buat beli makanan duit tu daripada membazir kat mesin. Saya bukan orang senang.” Luah siti pula. Kata-katanya membuatkan aku mati akal untuk menjawab. Aku bukan boleh dengar orang bercerita tentang kesusahan, mula emosi nak sedih.

            “Tak ape Siti. Basuh baju pakai tangan pun boleh dikira exercise jugak. Boleh lebih sihat dan kuat!” Aku cuba berseloroh sambil tanganku ligat menyidai kain yang separuh berbaki di dalam bakul.

Hambik kau! Suka sangat mengumpul baju kotor banyak-banyak kemudian apabila tiba waktu membasuh dan menyidai mengambil masa yang lama untuk dilaksanakan. Penatnya.

            Siti tergelak kecil menandakan lawak yang aku ucapkan tadi menjadi. “Akak balik bila? Esok dah mula cuti.” Soal Siti lagi kepadaku.

            Kedengaran bunyi air dan berus menandakan dia sudah mula melakukan tugas-tugas membasuh di sinki. Mungkin tadi dia mula merendam pakaian sebelum menyentalnya.

            “Esok malam naik bas kat Changlon. Esok pagi sempatlah berkemas. Malam ni nak lepak dengan kawan-kawan sebelum semua balik bercuti.” Jawabku lembut. Tanganku pula mengibarkan baju kurung sebelum digantungkan pada hanger. Tujuannya adalah tidak mahu terlalu berkedut dan susah digosok apabila sudah kering nanti.

            “Sama lah. Siti pun balik esok malam. Rindu dengan keluarga…tak sabar nak sampai rumah.”

            Kata-kata Siti membuatkan aku tersenyum sendirian. Itulah ayat yang sering aku ucapkan apabila musim cuti hampir tiba. Namun itu hampir dua tahun yang lalu. Kini aku lebih bersikap tenang dan tidak terlalu mengikut perasaan rindu. Tidak lari gunung dikejar. Balik rumah tetap ada mak, ayah dan Aini yang menanti. Tempoh bercuti pula tidak sesekali kurang sehari mahupun lewat sehari dari tarikh yang telah digariskan. Semuanya berjalan mengikut paksinya walau sedalam laut pun rindu yang menggamit untuk segera pulang ke rumah.

            Aku mengangkat bakul apabila baju yang terakhir telah selesai digantung. Aku menuju kearah sinki untuk mengambil baldi dan kelengkapan membasuh yang aku tinggalkan sebentar tadi.

            “Okey lah Siti. Akak dah selesai ni. Masuk bilik dulu. Selamat bercuti and take care.” Aku tersenyum memandangnya yang sedang sibuk memberus ‘baju kecil’. He he he….

            Siti mengangkat wajah dan membalas senyumanku. “Akak pun sama. Jumpa lagi nanti.”

            Tiba-tiba hatiku dipagut sayu. Selepas pulang dari dua minggu bercuti kelak, aku bukan lagi Cik Aida Nasuha. Aku adalah Puan Aida Nasuha. Isteri yang sah kepada lelaki misteri yang bernama Hadif. Lelaki atau gelaran yang sering aku gelarkan untuk dia iaitu En.Tunang yang langsung aku tidak pernah nampak batang hidungnya. Mancung ke tidak hidungnya itu pun aku tidak tahu!

            Jumpa lagi nanti….

            Kata-kata Siti tadi telah membuat otakku ligat berfikir. Adakah selepas pernikahan nanti aku masih dibenarkan tinggal disini? Atau akan membuat permohonan tinggal di kolej kelamin untuk pasangan yang sudah berkahwin di kolej Maybank? Atau mama dengan papa akan minta kami tinggal menyewa di luar? Siti….akak tak tahu kita dapat jumpa lagi atau tidak….

Lantas aku berlalu menuju ke dalam bilikku yang terletak di hujung paras berhampiran dengan balkoni. Kunci pintu aku keluarkan dari dalam poket seluar pendek dan aku cucuk ke dalam tempat kunci. Tombol pintu kupulas.

            “Sekejap lagi kita turun makan ye?” Ema menegurku sambil melihat aku meletakkan kelengkapan membasuh tadi di ruang bersebelahan almari.

            Aku sekadar mengangguk dan terus menghempaskan badan di atas katil. Jari jemari aku patah-patahkan untuk melegakan sedikit rasa lenguh yang menjalar.

            “Penat ye? Aku suruh basuh dari semalam kau tak nak.” Ema tersenyum sumbing. Matanya masih lekat menonton drama Korea di skrin komputer riba miliknya.

            “Tak sempatlah. Lagi pun semalam aku sakit kepala.” Bidasku jujur. Mata aku pejam untuk mendapatkan rasa lega berbaring di atas katil.

            “Leceh kolej kita ni pakai pintu automatik macam kat hotel. Keluar masuk kena bawa kunci kemana-mana.” Keluhku pula.

            “Baguslah, itu selamat namanya. Bila pintu tertutup dari luar bermakna pintu automatik terkunci. Tak macam kolej lain yang masih gunakan pintu bilik biasa.” Ema menjawab dengan penuh yakin.

            “Yelah, kalau kita dua-dua keluar tak bawa kunci satu hal pula nak turun pergi office pinjam kunci. Kalau buatnya masa aku pakai macam ni, mampus nak turun macam mana?” Kataku lagi walaupun mata masih tertutup.

            Ema ketawa. “Pergi bilik yan pinjam baju lah. Tak kan itu pun aku nak ajar…”

            Belum sempat aku membalas kenyataan Ema itu dia mula membuka mulut.

            “Lagi lawak aku tengok budak-budak junior gantung kunci kat leher masa nak pergi toilet. Takut benar budak-budak tu tertinggal kunci dalam bilik.”

            Aku pula tersenyum lantas membuka mata dan memandang Ema.

            “Betul ke? Aku tak pernah nampak pun.” Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

            Ema menganggukkan kepalanya. “Yelah. Selalu aje aku perasan bila bertembung dengan mereka kat tandas.”

            “Sampai macam tu sekali…” Aku menggelengkan kepala pula. Memang mencuit hati betul perlakuan budak-budak junior jika diperhatikan. Seingatnya masa aku freshie dulu tidak pula melakukan perkara-perkara lucu dan pelik.

            “Kolej YAB still guna pintu biasa. Ada dengar cerita nak tukar pintu macam kolej kita ni tapi sampai sekarang belum tukar. Kesian hari tu aku dengar Wawa cerita ada budak hilang duit. Padahal dia keluar sekejap aje pergi tandas. Malas nak kunci pintu agaknya.” Aku mula bercerita pada Ema tentang peristiwa yang diceritakan oleh Wawa tempoh hari. Kalau sikit tak apalah juga, ini melibatkan kecurian sebanyak tiga ratus ringgit. Jumlah sebesar itu cukup bermakna dalam hidup pelajar sepertinya.

            Kolej YAB adalah singkatan daripada nama Yayasan Al-Bukhary. Nama-nama kolej kediaman dalam universiti ini adalah diberikan atas nama penaja kepada setiap kolej berkenaan. Mengikut ceritanya dulu, kolej yang aku duduki sekarang pernah ingin ditaja oleh Pos Malaysia. Tetapi entah macam mana kolej ini ditaja oleh SME Bank pula.

Setiap pelajar yang masuk menduduki sesebuah kolej kediaman akan diberi cenderahati berbentuk sehelai T-shirt mengikut nama penaja. Siap boleh pilih saiz lagi. T-Shirt SME Bank berwarna hitam yang aku miliki memang cantik dan seringkali aku memakainya. Namun hati ini lebih terpikat pada T-Shirt YAB yang dipakai Wawa warna kuning berbelang hitam seperti harimau Maybank itu.

            “Yeke? Teruk betul belajar kat universiti pun masih nak buat perangai mencuri tu kat sini. Ishh…” Ema memandang aku sambil mencebikkan bibirnya.

            Aku sekadar menjongket bahu dan bangun mencapai tuala untuk pergi ke bilik mandi. Kemudian kucapai juga bakul comel berisi kelengkapan untuk mandi. Terasa melekit badan dengan peluh yang sudah kering dan aku ingin segera menyegarkan badan.

            “Jangan lupa gantung kunci kat leher kau Aida!” Sempat lagi Ema bergurau dengan aku.

            Aku menghadiahkan Ema isyarat tangan yang berbentuk penumpuk. Ketawa besar nampaknya Ema menerima isyarat tersebut. Aku turut geli hati melihat telatah Ema lalu tersenyum. Kemudian daun pintu kututup rapat dan kaki mula melangkah menuju ke bilik mandi.

                                            ***********************************

Entah untuk keberapa kali aku menggaru kepala yang tidak gatal. Kemudian aku mencebikkan bibir pula tanda tidak berpuas hati. “Yelah mak. Berapa ratus kali mak nak pesan?” Aku akhirnya meluahkan rasa.

            “Kamu tu bukan betul sangat Aida. Nanti lain yang mak pesan, lain pula yang kamu buat!” Tegas kata-kata mak dihujung talian.

            Eleh, tak betul konon! Habis tu kalau dah tahu Aida ni tak betul sangat, buat apa mak nak kahwinkan Aida?! Bentakku di dalam hati. Bibirku ketap geram. Lantas tanganku menolak pinggan yang berisi Nasi Pattaya ke tepi. Hilang selera makan.

            “Tapi akak dah cakap yang tiket bas tu akak dah beli dari minggu sudah lagi. Tujuh puluh ringgit tau dari sini balik Batu Pahat tu!” Terangku sedikit kasar. Mungkin benteng kesabaran sudah semakin nipis dengan sikap mak.

            “Mak boleh ganti balik berapa kali ganda kamu nak duit kamu tu. Asalkan esok kamu balik dengan Hadif. Dia dah janji dengan mak nak tumpangkan kamu esok. Lagipun keluarga mereka memang nak datang hantar duit hantaran kamu seminggu sebelum akad nikah.” Terang mak lagi.

            Nampaknya mak memang tak nak faham. Cakap banyak pun buat kering tekak sahaja. Aku menarik nafas dalam-dalam.

            “Keluarga dia aje yang datang kan? Takkan dia tu muka tak malu nak datang jugak tunjuk muka sebelum nikah. Apalah mak ni…” Suaraku sedikit kendur. Aku mahu berlembut agar mak termakan dengan kata-kataku ini.

            “Apa salahnya? Bukan ada siapa pun masa mereka nak datang tu. Cuma mak jemput nenek kamu aje. Lagipun Hadif tu selalu call bersembang dengan mak. Jadi mak nak juga tengok dia secara empat mata sebelum kamu bernikah.” Bidas mak laju.

            Aku tergamam. Hadif selalu berhubung dengan mak? Kenapa dengan mak saja dia mahu berbaik-baik. Namun dengan aku langsung tak pernah cuba nak berhubung langsung! Bukan ke sepatutnya dia cuba berkenalan dan mengambil hati aku sebelum kami bernikah? Ah, dia ni nak bernikah dengan mak atau dengan aku? Sakit hati pula memikirkan sikap Hadif yang langsung tidak berniat untuk mendekati aku padahal dia ada sahaja dalam universiti ini.

            “Whatever!” Dengan rasa yang bercampur-baur aku menjawab. Lagipun aku tahu mak cukup kenal dengan sikap aku yang suka berterus-terang dan kadangkala memberontak.

            Terdengar keluhan mak. “Akak ni susah sangat nak dengar cakap mak. Percayalah mak dan ayah mana yang tidak mahu lihat anak mereka bahagia dan berjaya.”

            “So?” Dengan rasa tidak puas hati yang masih bersisa aku menyoal.

            “Percaya dengan pilihan kami. Selama ini akak bercinta dengan Adli dari zaman sekolah lagi mak dengan ayah restu. Kami layan Adli macam anak sendiri. Tapi dah begini jadinya…”

            Belum sempat mak menghabiskan ayat aku terlebih dulu memotong tanda tidak mahu mendengar bebelan mak lebih lama lagi.

            “Cut it short mak…” Bukan aku bersikap kurang ajar dengan mak tapi aku memang dibesarkan dalam suasana yang berterus-terang. Mak dan ayah memberi kebebasan kami adik beradik untuk bersuara. Tapi aku sebagai anak tahu batas-batas yang perlu dipatuhi.

            “Mak dan ayah yakin ini pilihan yang tepat buat kamu. Sebagai seorang mak pun, mak dah buat solat istikharah dan gerak hati mak yakin ini jalan terbaik untuk kamu. Mereka orang baik-baik nak.” Terasa nada suara mak bergetar semasa menuturkan ayat tersebut. Mak sebak, mungkin.

            Hati aku juga turut terasa sebak. Kedengaran suara mak begitu tulus dari hati kecil seorang mak kepada anak gadisnya. Mungkin mak benar dalam perkara ini.

            “Erm…nampaknya akak memang tiada pilihan lain selain percaya sepenuhnya pada mak. Yelah, akak ikut cakap mak.” Aku menjawab perlahan. Menahan rasa getar yang semakin tidak dapat ditahan. Aku ingin menangis saat ini! Cuma aku tidak pasti untuk apa tangisan itu. Tangisan kerana aku dikahwinkan dengan pilihan mereka tanpa aku dapat menolak atau tangisan syukur kerana hati aku telah semakin redha dengan ketentuan ini?

            Setelah meneruskan perbualan tentang perkara-perkara yang tidak berapa penting, akhirnya aku menamatkan talian setelah menjawab salam yang diberikan oleh mak. Telefon bimbit aku letak di atas meja. Air neslo yang berada di hadapan aku sedut sampai berbaki setengah gelas. Membasahkan tekak yang kering akibat bertegang urat seketika dengan mak sebentar tadi.

            “Dah tu apa keputusan kau?” Ema seperti dapat meneka topik perbualan antara aku dengan mak tadi bertanya. Dia masih lagi selera menghabiskan bihun lagna di dalam pinggan.

            Aku mengangkat bahu. Sekilas aku membuang pandang ke segenap kafe yang terletak bersebelahan pejabat kolej kediamanku ini. Kafe yang luas ini dirasakan semakin sempit ingin menghimpit aku.

            “Wait and see,” ujarku kepada Ema tanpa memberikan dia sebarang jawapan.

            “Macam tu pulak?” Soal Ema lagi tidak puas hati dengan jawapan yang aku berikan.

            Aku menyedut lagi air neslo sehingga habis sebelum membuka mulut. “Mak aku kata dah buat solat istikharah dan gerak hati dia yakin ini pilihan yang tepat untuk aku.”

            Ema berhenti menyuap makanan dan membetulkan duduk menghadap aku. “Serius? Kalau macam tu baik kau ikut aje. Insyaallah pasti kau akan bahagia dan berkat.” Mata Ema bercahaya seperti memberikan satu harapan buat aku.

            “Amin…aku akan cuba. Redha dan menerima semua ni dengan hati yang terbuka.” Aku tersenyum tawar.

            Nampaknya Ema tidak pula bertanya tentang aku yang bertekak dengan mak soal balik kampung. Mak menyuruh aku menumpang kereta Hadif untuk pulang ke rumah esok pagi. Gila! Barang satu apa pun belum kemas lagi kerana tiket bas aku untuk perjalanan waktu malam.

            “Dah habis makan kan? Jom! Aku nak balik bilik packing barang-barang.” Aku bingkas bangun dari kerusi plastik ini dan berjalan untuk naik ke bilik.

            Ema pula berlari-lari anak untuk menyaingi langkah kakiku yang semakin meninggalkan dia. “Tunggulah! Jangan jalan cepat-cepat!” Teriakan Ema hanya membuahkan senyuman dibibir.

1 comment:

Unknown said...

erm nice lah...makin lama baca,makin tak sabar nak taw last2 mcm mne...