Kepala
yang terasa berdenyut-denyut aku picit menggunakan tangan kiri. Manakala tangan
kanan pula masih sibuk menyelak helaian demi helaian tesis dihadapanku.
Sesekali aku melipat sedikit hujung kertas untuk ditandakan. Sungguh aku tidak
mampu memberikan fokus yang sepenuhnya dalam mencari bahan untuk tugasan berkumpulan
yang bakal dihantar sebelum cuti pertengahan semester ini. Kebiasaannya minggu
akhir sebelum cuti adalah minggu yang paling sibuk bagi aku. Semua tugasan,
pembentangan dan kuiz perlu dilangsaikan sebelum cuti pertengahan semester
manakala peperiksaan akhir pula perlu ditempuh sebelum dapat bercuti panjang
pada hujung semester.
“Aku
rasa bahan aku dah cukup ni. Aku turun fotokopi sekejap.” Aku terus melangkah
tanpa memandang teman-temanku. Langkah kaki kuhayun menuju ke tingkat bawah
untuk ke kaunter fotokopi. Tesis di pepustakaan Sultanah Bahiyah ini tidak
boleh dipinjam keluar. Hanya boleh difotokopi helaian yang diperlukan oleh
pelajar. Kalau buku rujukan bolehlah dipinjam selama seminggu.
“Kesian
Aida kan? Makin kurus aku tengok dia…” Wawa memandang Akma mendapatkan
kepastian.
Akma
mengangguk lemah. Matanya dipandang sekilas kepada tesis dihadapannya kemudian
ditutup perlahan. “En.Tunang pun kita tak dapat cari lagi. Kalau dah tengok
orangnya tentu lega sikit Aida tu,” ujar Akma.
“Minggu
hadapan dah cuti. Memang tak sempatlah nak tengok En.Tunang tu. Nampaknya Aida
akan kenal dia masa hari akad nikah mereka nanti.” Wawa pula berkata sambil
tangannya mula menyalin sesuatu daripada tesis dihadapannya.
“Kita
berdoa saja semuanya baik-baik. Jangan spesis ‘sotong’ sudahlah!” Akma tergelak
kecil sambil menuturkan ayat tersebut.
Pantas
tangan Wawa memukul lengannya lembut sambil menggelengkan kepala. Malah dia
turut teringat kata-kata seorang pensyarah sewaktu mereka pertama kali
menghadiri kuliah selepas tamat minggu orientasi.
Jumlah
pelajar di UUM adalah dua puluh ribu orang semuanya. Pelajar lelaki anggarannya
hanyalah lima ribu orang sahaja. Satu ribu ditolak kerana mereka adalah pelajar
‘sotong’. Satu ribu lagi ditolak kerana tidak kacak. Satu ribu lagi ditolak
kerana tidak mendapat keputusan yang cemerlang. Kemudian satu ribu ditolak
kerana sudah mempunyai kekasih. Jadi hanya tinggal seribu sahaja lelaki di UUM
ini untuk direbut oleh pelajar perempuan yang berjumlah lima belas ribu orang!
Kalau sesiapa dapat teman lelaki mahu pun berkahwin dengan pelajar lelaki di
UUM ini anda adalah insan yang bertuah.
Wawa tergelak besar. Kemudian segera
menutup mulutnya dengan tangan kerana ada mata- mata sekeliling yang mula
memerhati. Walaupun kata-kata Dr. Azemi Shaari itu sekadar gurauan dan
perumpamaan sahaja sebagai mukadimah sesi pengenalan di dalam dewan kuliah,
namun ada benarnya juga kata-kata itu. Sungguh!
Akma memandang pelik Wawa yang duduk
disisinya. “Kenapa kau gelak?” Soal Akma sambil menaikkan sedikit keningnya.
Hairan dengan sikap Wawa yang tiba-tiba ketawa tanpa sebab.
“Teringat kata-kata keramat Dr.
Azemi Shaari,” bisiknya perlahan di telinga Akma. Lantas mereka berdua ketawa
sambil menutup mulut. Takut menjadi perhatian pula akibat bunyi deraian ketawa
yang seakan tidak mampu ditahan.
“Semoga Aida menjadi salah seorang
insan yang bertuah itu…” Bisik Wawa lagi setelah ketawa mereka reda. Akma
mengangguk-angguk tanda setuju.
***********************************
Lambat
betullah budak ni! Bukan main banyak nak fotokopi macam buat assignment untuk bertahun-tahun,
gerutuku di dalam hati. Wajah yang sedia masam aku masamkan lagi dua kali
ganda. Sebal. Sudahlah kepala ini berdenyut dari tadi. Aku ingatkan bila selesai
fotokopi ini dapatlah segera pulang berehat di dalam bilik sebelum memulakan
tugasan malam nanti.
“Auchh!” Tiba-tiba aku terdorong ke
hadapan setelah terasa seperti ditolak dari arah belakang. Segera aku menoleh.
“Sorry...”
ucapnya sepatah. Kemudian mata kami bertaut seketika.
Aku menundukkan wajah yang terasa
merah. “It’s okay.” Tuturku sambil
membetulkan sedikit baju kurung kuning yang tersarung dibadan.
“Boleh tak saya fotokopi dulu? Saya
betul-betul nak cepat.” Pinta lelaki tadi dengan wajah yang penuh mengharap. Aku
terdiam seketika. Berfikir sejenak dan kemudian aku menganggukkan kepala.
Lelaki tersebut tersenyum. Manisnya!
Boleh sakit kencing manis aku melihatnya walaupun buat pertama kali. Sudahlah
tu Aida Nasuha. Tidak sedarkah kau tu bakal jadi isteri orang! Akalku
mengingatkan. Segera aku membuang pandang ke arah foyer perpustakaan yang dapat
dilihat dengan jelas dari cermin kaca. Kelihatan ramai pelajar sedang duduk
menghadap laptop masing-masing. Ada
yang sendirian dan tidak kurang juga yang berteman. Ah, pelajar begitulah
selalunya. Tidak berenggang dengan laptop
walau dimana mereka pergi.
Setelah memberikan laluan kepada
lelaki itu untuk mengambil giliranku, aku sekadar menjadi pemerhati sahaja. Dia
menunjukkan helaian-helaian yang dia mahukan kepada kakak yang bekerja di
kaunter fotokopi ini. Kemudian sementara menunggu kakak tersebut membuat
kerjanya, lelaki itu menoleh kepadaku.
“Awak ni cik…” Dia menghulurkan
tangan untuk bersalam.
“Aida.” Jawabku sepatah dan
menyambut huluran salamnya. Lembutnya tangan dia…Ah, dasar kau Aida…dasar….
“Nampaknya ada masa nanti saya harus
belanja Cik Aida makan ni.” Tutur lelaki itu sambil tersenyum lagi. Mungkin dia
tahu yang senyumannya cukup manis dan tidak mampu ditolak oleh mana-mana
perempuan sekalipun.
“Eh, tak perlu sampai belanja makan.
Cuma awak hutang saya ucapan terima kasih sahaja.” Aku mengusiknya. Tetapi
memang seingat aku dia masih belum mengucapkan terima kasih setelah aku setuju
memberikan giliran aku tadi.
Dia mengangguk-anggukkan kepalanya.
“Oh, ya?! He he he…maaf Aida, saya terlupa sebab nak cepat sangat. Terima kasih
daun keladi, ada masa kita jumpa lagi!” Jawabnya siap ada pantun dua kerat
lagi. Kelass gitu.
Aku tergelak kecil. “Sama-sama,”
balasku pula.
Terdengar pula kakak yang sibuk
membuat salinan tesis untuk lelaki itu memanggilnya. Setelah membuat bayaran
dia mendekatiku semula.
“Saya pergi dulu ye. Jumpa lagi.” Dia
menunjukkan tanda mahu melangkah.
“Er…erm…siapa nama awak?” Aku
tiba-tiba bertanya. Biasalah dalam universiti ini aku ramai juga kawan lelaki.
Tidak salah rasanya berkawan. Bukan ke pepatah ada mengatakan berkawan biar
seribu, berkasih biar satu.
“Fayyad” Jawabnya sambil tersenyum.
Kemudian dia terus melangkah dan sempat lagi dia melambaikan tangan kepadaku.
Fayyad…Aku menyebutnya di dalam
hati. Sedap dan unik. Pasti mempunyai maksud yang elok-elok.
Aku pula meneruskan urusanku disini
yang tertangguh sebentar tadi. Tidaklah lama kerana jumlah yang ingin
difotokopi sedikit sahaja. Selesai urusan di tingkat dua ini, aku naik semula
ke tingkat empat dimana rakan-rakanku sedang menanti.
“Lamanya kau pergi fotokopi. Ramai
orang ke?” Soal Akma secara berbisik-bisik. Tidak mahu ada yang mengadu kami
membuat bising pula di perpustakaan ini.
“Bolehlah…” ujarku perlahan.
Tanganku pula cekap mengemas alat tulis yang bersepah di atas meja untuk
dimasukkan ke dalam kotak pensil.
“Dah siap belum? Aku ingat nak balik
dulu. Sakit kepala lah.” Aku menyambung bicara dan memandang ke wajah Akma dan
Wawa.
“Sikit aje lagi ni. Kalau kau nak
balik dulu, baliklah. Ahad ni jangan lupa bagi tugasan yang dah siap print ye. Nanti aku pergi binding.” Kata-kata Wawa membuatkan aku
mati kata. Terharu.
Kemudian aku tersenyum menampakkan
barisan gigi yang tersusun cantik. “Thanks
a lot my besties…sayang kau orang ketat-ketat.” Aku menghulurkan tangan
untuk bersalaman dengan mereka. Kemudian langkah aku atur untuk pulang.
Setelah mengambil beg dari rak
simpanan barang, aku terus berjalan menuju ke tempat perhentian bas. Dari jauh
aku lihat tidak ramai pelajar yang sedang menunggu. Fuh, lega. Tidak perlulah
aku berebut dan bertolak-tolak untuk menaiki bas ke kolej kediaman. Perasaan
lega itu membuatkan aku tidak sabar-sabar untuk duduk dibawah perhentian bas
yang berbumbung itu. Melihatkan manik-manik halus juga mula membasahi dahi
akibat berjalan kaki dari perpustakaan yang agak jauh.
“Ponnn!!! Ponnn!!!”
Aku terkejut. Kaku. Otak berhenti
berfikir.
“Tak pandai lintas jalan ke hah?!
Nak mati jangan kat sini lah!” Teriakan yang keluar dari cermin tingkap yang
diturunkan itu membuatkan aku menoleh. Menyirap darah ke segenap lubuk hati
yang sememangnya panas dibakar oleh mentari sejak tadi.
“Ini universiti lah! Kau mana boleh
bawa kereta laju-laju! Tak pakai otak ke?” Aku pula meninggikan suara setelah
melihat muka yang sedang merah didalam kereta tersebut. Lantak kau lah!
“Kau yang lintas tak tengok kiri
kanan, kau nak salahkan aku pulak!” Jerkah lelaki itu. Menerusi pandangan
matanya aku yakin dia masih ingat dan kenal wajahku ini. Bukan sekali kami
pernah bertentang mata. Tapi dua kali!
Belum sempat aku membidas ayat yang
meluncur laju dari mulutnya itu, kereta dibelakang keretanya telah membunyikan
hon beberapa kali. Lantas lelaki yang berada di dalam perut Satria Neo berwarna
hitam itu menaikkan semula cermin tingkap. Terus meluncur laju bersama
keretanya.
Aku yang tidak betah lagi berdiri
disisi jalan bersama bahang cuaca yang terik terus meneruskan perjalanan untuk
melintas menuju ke perhentian bas. Alhamdulillah, selamat sampai kesini, kata
hatiku lega. Aku terus duduk di bangku batu yang disediakan. Kalau dilanggar
oleh jantan berlagak itu tadi, entah apalah nasibku. Silap haribulan dia
biarkan sahaja aku terlantar di atas jalanraya tanpa membantu. Macam kes
langgar lari yang biasa aku tengok dalam televisyen. Melihatkan cara dia
berbicara saja sudah cukup untuk aku membuat kesimpulan akan sikapnya yang
tidak beradab itu. Geramnya!
Nasib dia tidak turun dari dalam
perut kereta tadi. Kalau tidak, nahas dia aku cekik kuat-kuat. Kenapalah setiap
kali bertembung dengan dia ada sahaja perkara yang menyakitkan hati? Kesian
Faiz terpaksa duduk sebilik dengan lelaki kerek
seperti itu. Teringatkan Faiz aku terus mengeluarkan telefon bimbit dari dalam
beg tangan. Nombor-nombor telefon yang tertera aku amati satu persatu. Aku
menekan punat yang mempunyai huruf F lantas meneliti lagi nombor yang terpapar
pada skrin.
Ah, kenapa aku tidak mempunyai nombor si Faiz
ni, bentak hatiku. Rasanya kebanyakan nombor teman sekuliah dalam bidang yang
sama ada aku simpan. Mudah untuk urusan yang melibatkan aktiviti kaunseling.
Maklumlah bidang kami tidak seperti bidang yang lain dalam UUM. Kami kerap
berkumpul dan melakukan pelbagai aktiviti luar seperti menjadi sukarelawan di
rumah orang-orang tua, menjadi fasilitator untuk kem bina diri, menghadiri
bengkel-bengkel kaunseling yang dianjurkan dan sebagainya.
Perasaan
yang membahang tadi perlahan-lahan pergi apabila bas yang ditunggu berhenti di
hadapan perhentian. Aku cepat-cepat memasukkan telefon bimbit di dalam beg dan
terus bergegas untuk menaiki bas bersama beberapa orang pelajar lain. Kemudian
bas bergerak laju membawa kami ke kolej kediaman masing-masing. Aku yang duduk
bersendirian memejamkan mata. Seakan sukar untuk merasai kedamaian dihati sejak
dua menjak ini. Ya Allah, bantulah hambaMu ini melalui hari-hari yang
mendatang….pinta hatiku sayu….
8 comments:
Fayyad-maknanya pemurah...
Anak saya nama Fayyadh, memang pemurah dengan senyuman. Senyum je, sampaikan bangun tido pun senyum dulu...
Nice story, terus teringat UUM.
Thanks 4 d info =) sedap nama Fayyadh tu...
UUM tetap dlm hati hehe
Betul, UUM tetap di hati...:)
Bila baca novellog ni memang blh bayang UUM..
akk amik kos ape dulu kat UUM? walaupun jauh tersorok, uum ada keistimewaan tersendiri kan? =)
Amik ekonomi. dulu dok kat kolej muamalat, taktau lani dah tukaq nama ka dak lagi. dulu nama dia aseana.
betullah, rindu dgn uum. rindu melepak di perpustakaan...
aduhai...kenapalah sombong sgt laki tuh?
btw ingatkan lelaki yg die jumpa kat perpustakaan tu,tunang die..kalo ye,mmg lagi kuat jodohnye..hehe..
saperw la laki yg tgur 2....hehhehe.....
tensionnye dgn laki 2..suka suki jerw marah2...sian aida dah la tgh xshat....wat u 2 mcm u sendiri..haishhhh
Post a Comment