Seronok
rasanya menghabiskan cuti bersama Wawa. Selain dapat berjalan-jalan dan
mengikut Makcik Azizah ke rumah saudara-mara mereka, aku gembira dilayan dengan
begitu baik. Terasa seminggu ini cepat benar berlalu dan esok aku akan
menghadiri kuliah seperti biasa. Sejak panggilan Hadif tempoh hari dia langsung
tidak menghubungi aku lagi. Mungkin tidak ada yang perlu dia risaukan kerana
aku selamat di rumah temanku ini. Lain hal nya jika aku bagi tahu yang aku
sedang bercuti dengan teman lelaki. Ah, ada-ada aje kau ni Aida.
“Dah siap berkemas Aida?” Soal
Makcik Azizah sebaik sahaja melihat aku masuk ke dapur.
“Dah, makcik. Alah, bukan bawa
banyak barang pun.” Aku tersenyum. Kemudian membantu Makcik Azizah menyusun
pinggan dan gelas di meja makan.
Sewaktu aku keluar dari bilik tadi
Wawa masih sibuk mengemas barang-barangnya. Tak lama lagi keluar lah tu.
Perutku mula terasa lapar melihat ayam masak sambal dan pucuk ubi masak lemak
yang telah tersedia di atas meja. Kecur air liur aku.
“Jom makan. Tunggu Wawa nanti lambat
pula. Makcik pun dah lapar ni.” Makcik Azizah menarik kerusi untuk duduk. Aku
turut berbuat demikian.
“Mana Shahrul dan Shamsul?” Aku bertanya
sambil melihat-lihat jika ada adik kembar Wawa berhampiran sini. Kalau ada
ingin aku ajak makan bersama.
“Si kembar dah pergi bermain dirumah
Makcik Hasnah hujung sana tu. Kawan mereka itu aje lah Firdaus anak Makcik
Hasnah. Jiran-jiran lain semua dah besar.” Jawab Makcik Azizah sambil
menyendukkan lauk ke pinggan aku.
“Dah, cukup makcik…cukup dah ni.”
Aku berkata sambil menurunkan pingganku yang ditinggikan seketika tadi.
“Hah! Makan tak tunggu pun. Sampai
hati.” Wawa seperti biasa manja dengan ibunya. Kemudian dia ke sinki membasuh
tangan dan menarik kerusi di sebelahku.
“Kami pun baru aje nak makan.” Aku
menjawab. Kemudian aku menadah tangan dan membaca doa makan perlahan.
Suasana sepi seketika apabila
masing-masing sibuk menikmati juadah yang menyelerakan ini. Setelah selesai
menjamu selera aku, Wawa dan Makcik Azizah duduk berbual kosong di ruang tamu
sambil menonton televisyen.
“Pukul berapa kamu nak bertolak Wa?”
Soal Makcik Azizah sambil menekan alat kawalan jauh mencari siaran yang menarik.
“Lepas rehat-rehat sekejap lagi ni
kami bertolak balik kolej. Petang-petang sangat nanti susah pula. Nak hantar
Aida kat kolej dia dulu. Awal sampai, awal kami dapat bersedia untuk mulakan
kuliah esok pagi.” Jawab Wawa jujur.
“Betul tu makcik. Kami selalu buat
ulangkaji sedikit bab-bab yang akan diajar oleh pensyarah sebelum masuk kuliah.
Malam nanti dapatlah siap-siap apa yang patut. Baca nota dan gosok baju.” Aku
menyokong kata-kata Wawa.
Makcik Azizah hanya menganggukkan
kepalanya beberapa kali. Berpuas hati dengan jawapan kami. “Eloklah tu. Nanti
ada masa rajin-rajinlah balik Wawa. Mak nak jenguk kamu kat sana pun nak tunggu
ayah kamu cuti. Mak ni kalau pandai bawa kereta senanglah sikit.” Luah Makcik
Azizah sambil mengusap lembut tangan anaknya.
“Insyaallah. Mak pergilah kelas
memandu. Senang mak nak bergerak.” Wawa mengusulkan bersama sengihan di bibir.
“Mak ni memang nak sangat belajar
memandu. Tapi ayah kamu tu kata tak payahlah dah tua-tua begini. Takut susah
nak di ajar pula.” Makcik Azizah tersenyum menampakkan giginya yang putih
bersih. Pandai Makcik Azizah menjaga gigi dengan elok. Seingat aku, mak ada
tiga batang gigi palsu. Tapi tak tahu pula kut-kut Makcik Azizah turut memakai
gigi palsu.
“Macam-macam aje ayah tu.
Entah-entah malas nak keluarkan duit untuk belajar memandu.” Wawa berkata
dengan nada berseloroh.
“Agaknyalah tu….” Ujar Makcik Azizah
meleret.
Kami sama-sama ketawa. Rindu pula
hati pada mak dan ayah nun jauh di selatan tanah air. Maklumlah ini pertama
kali aku menghabiskan cuti penggal tanpa mereka. Aku mengingatkan hati agar
menjadi lebih matang. Aku yakin selepas ini akan ada banyak perkara yang
berubah dalam kehidupan aku. Aku bukan lagi di bawah tanggungjawab mak dan
ayah. Tapi di bawah tanggungjawab seorang suami yang aku nikahi seminggu lalu.
Aku
meletakkan seterika di tepi papan penggosok.
Suis seterika aku matikan. Kemudian tanganku segera mencapai telefon
bimbit yang berdering. Nombor tidak dikenali. Siapa?
“Assalamualaikum.” Ucapku memberi
salam.
“Waalaikumsalam. Ini Puan Aida ye?”
Sapa suara garau dihujung sana. Macam suara orang tua aje.
“Ye saya.” Jawabku sambil berfikir
kalau-kalau suara itu aku kenali.
“Saya Pakcik Mahmod. Datok Musa
suruh saya hantar kereta puan kesini untuk kegunaan puan. Saya ada dibawah blok
puan ni.” Terang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai Pakcik Mahmod.
“Oh, ya? Tunggu sekejap ye pakcik.
Saya turun sekarang.” Aku berkata sambil tanganku menyelak langsir jendela.
Dari bilik ini memang akan nampak jelas sesiapa yang datang diruangan tempat
meletak kenderaan dibawah. Hanya satu sahaja tempat meletak kenderaan di blok
ini.
“Baik puan.” Tutur Pakcik Mahmod dan
menamatkan talian.
Dalam kesamaran cahaya aku nampak
kereta Suzuki Swift warna merah terang yang telah berada dirumahku semasa aku
pulang seminggu sebelum bernikah. Kini kereta itu sudah berada disini. Jauhnya
Pakcik Mahmod datang hantar kereta tu, kata hatiku.
Aku mengambil sweater Nike yang tergantung dan menyarung kebadan bagi menutupi
baju tidur yang kupakai. Nasib baik hari ini aku pakai seluar tidur. Kalau
pakai baju tidur paras peha leceh pula nak menyalin pakaian. Aku mengambil
kunci bilik dan terus turun ke bawah sambil berlari-lari anak.
“Saya hantar pada tuan tadi tapi dia
minta saya hantar ke kolej kediaman puan.” Pakcik Mahmod menyerahkan kunci
kereta kepadaku.
“Tuan?” Soalku dengan pandangan yang
pelik.
“Tuan Hadif.” Pakcik Mahmod
tersenyum mesra.
Nampaknya
Pakcik Mahmod muda sedikit daripada ayah. Tapi aku tetap jatuh simpati apabila
mengenangkan dia terpaksa memandu jauh untuk menghantar kereta ini kepadaku.
“Kenapa
panggil tuan?” Soalku sambil mencebikkan bibir. Berlagak tahap cipan aje
dipanggil tuan sedangkan dia hanyalah setahun lebih tua daripadaku.
“Oh,
memang semua pekerja memanggilnya tuan.” Jawab Pakcik Mahmod sopan.
“Habis
tu pakcik panggil papa apa?” Aku ni banyak pula bertanya. Mungkin kerana
dipenuhi dengan rasa ingin tahu.
“Kami
panggil Datok. Puan Aida, kalau tak ada apa-apa lagi saya minta diri dulu.”
Ujar Pakcik Mahmod lagi.
“Pakcik
balik naik apa?” Mulutku tidak boleh berhenti daripada bertanya soalan malam
ini nampaknya.
Pakcik
Mahmod tersenyum. “Saya balik dengan satu lagi kereta. Kami datang dua kereta
tadi.”
“Mana?”
Soalku lagi sepatah sambil mata melilau mencari kelibat kereta lagi satu yang dikatakan
oleh Pakcik Mahmod.
“Sekejap
lagi sampailah tu. Singgah isi minyak katanya tadi.” Pakcik Mahmod masih
tersenyum memandang aku yang dari tadi muka berkerut bertanya itu dan ini.
“Oh,
tak apalah saya belanja pakcik minum sekejap.” Aku mengajak sambil menunjukkan
kafe yang masih terang benderang. Esok kuliah akan bermula jadi hari ini kafe
telah mula beroperasi.
Pakcik
Mahmod menggeleng sambil menundukkan sedikit badannya. “Tak apa puan. Terima
kasih.”
“Jomlah
pakcik...” Aku membuat suara kebudak-budakan seperti seorang anak mengajak
ayahnya.
Akhirnya
dalam keadaan serba salah Pakcik Mahmod menuruti langkahku. Kami duduk di meja
bahagian belakang agar tidak terganggu dengan bunyi bising pelajar-pelajar yang
ramai di dalam kafe. Aku memesan jus buah untuk kami berdua setelah meminta
persetujuan Pakcik Mahmod. Aku mempelawa untuk makan tetapi dia menolak.
“Dah
lama Pakcik kerja dengan papa?” Tetap dengan soalan mulut aku ini. Rasa mahu
ditampar laju-laju.
“Saya
dah lapan belas tahun menjadi pemandu Datok.” Jawab Pakcik Mahmod sambil
tersenyum. Nasib baik lelaki ini murah dengan senyuman. Kalau orang lain tentu
dah naik angin disoal oleh wartawan tidak bergaji sepertiku.
Aku
menganggukkan kepala. Jus buah yang kami pesan telah pun sampai. Aku dan Pakcik
Mahmod menyedut minuman masing-masing untuk membasahkan tekak.
“Cantik
puan Aida ni ye. Patutlah tuan suka.” Pakcik Mahmod bersuara.
Aku
tersenyum malu. “Tak payah panggil puan. Panggil Aida aje pakcik. Saya lebih
selesa begitu.” Namun aku sempat berfikir yang Pakcik Mahmod pasti tidak
mengetahui alasan Hadif terpaksa dinikahkan dengan aku. Kalau tidak, tentu ayat
tersebut tidak terkeluar dari mulut lelaki separuh abad ini.
“Tak
boleh macam tu puan. Nanti tuan dengar saya pula kena marah.” Pakcik Mahmod
menjawab sambil mengggelengkan sedikit kepalanya.
“Macam
tu pulak?” Aku mengerutkan dahi. Serius aku tak faham apa kena dengan sikap
Hadif itu.
“Tuan
tu tegas orangnya puan. Sejak dia kecil kami semua memanggilnya tuan. Datok tu
lainlah. Dia lembut orangnya.” Ucap Pakcik Mahmod serba salah.
Aku
tersenyum. “Tak apalah. Tuan tak ada pun kat sini. Pakcik panggil Aida aje ye.”
Aku bersuara lagi.
Tiba-tiba
telefon Pakcik Mahmod berbunyi dan dia segera menjawab panggilan. Aku mendengar
setiap butir bicaranya. Kereta lagi satu yang dimaksudkan telah pun sampai.
Kemudian kami melangkah menuju ke tempat letak kenderaan.
“Siapa
yang bawa kereta tu pakcik?” Aku
menjenguk-jengukkan sedikit kepala untuk melihat. Tetapi hampa kerana cermin
kereta yang hitam itu lebih gelap pada waktu malam.
“Saya
pemandu Datok. Yang bawa kereta lagi satu tu pemandu Datin.” Balas Pakcik
Mahmod yang masih tidak jemu menjawab semua soalan-soalan aku. Terima kasih
pakcik!
Aku
menganggukkan kepala beberapa kali. Seronoknya jadi orang kaya ada pemandu
seorang satu. Tapi kalau Datok belikan aku Suzuki Swift ini mengapa anak
tunggalnya hanya memakai Satria Neo ye? Aku yakin dia pasti boleh beli kereta
yang lebih mahal dan bagus untuk anak tunggalnya. Namun soalan itu aku biarkan
sahaja berlalu bersama Pakcik Mahmod yang telah meminta diri masuk ke dalam
perut kereta.
Namun
aku sempat mengucapkan berbanyak terima kasih kerana menghantar kereta itu
kesini. Setelah memeriksa sama ada pintu kereta telah dikunci, aku terus naik
ke bilik.
“Aik?
Dah dapat kereta pun muka masam lagi?” Ema menyapa sebaik sahaja aku menutup
pintu bilik. Ema yang ada di dalam bilik tadi tahu tujuan aku turun ke bawah.
Kelihatan Ema sedang meneruskan tugas aku menggosok baju yang separuh jalan
tadi.
“Terima
kasih daun keladi tolong habiskan gosok baju aku.” Aku mengambil baju kurung
yang telah siap digosok untuk digantung di dalam almari. Ema selalu melayan aku
begitu baik semenjak kami dari semester satu lagi.
“Kenapa
muka masam?” Ema menyoal lagi tidak puas hati.
“Seronok
tu memang seronok ada kereta kat sini. Senang nak ke kuliah tak perlu berebut
naik bas. Tapi aku mana ada sticker
kereta. Susah nak dapat tau tak?” Aku menjawab bersama sebuah keluhan berat.
“Betul
juga kata kau. Terlupa pula aku.” Ema menyokong kata-kataku.
Aku
memerah otak. Cepat, fikir! Seperti otak aku ini akan mengikut arahan sahaja
lagaknya. Setelah beberapa minit terdiam, aku mencapai telefon bimbit dan jari
ligat mendail nombor seseorang.
“Aida
hargai sangat pa…tak…bukan…bukan Aida tak suka. Tapi susah nak dapat sticker kebenaran untuk bawa kenderaan
kat kampus ni pa.” Amboi senang-senang sahaja aku mengadu dengan papa. Namun
itu yang aku lakukan kepada mak dan ayah jika ada apa-apa yang tidak puas hati.
Terus-terang adalah kuncinya. Lagipun aku yakin tak mungkin papa nak marahkan
aku sebab berterus-terang dengannya.
“Aida
jangan risau. Hadif dah uruskan semuanya. Esok kamu pergi amik sticker tu pada dia. Terus lekat kat
cermin kereta. Jadi tak adalah Aida susah hati lagi.” Papa tergelak kecil. Papa
ni cakap betul ke main-main?
Aku
menggaru kepala yang tidak gatal. “Betul ke papa? Hadif dah uruskan?” Aku
bertanya kerana masih tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut papa.
“Buat
apa pula papa nak tipu….” Papa tergelak lagi. Sah! Papa memang seiras dengan
Hadif. Kalau orang tanya, dia akan gelak padahal benda yang dibualkan bukanlah
lucu. Kini aku faham dari mana datangnya sikap Hadif yang satu itu.
Aku
menggaru kepala lagi. “Okeylah kalau macam tu. Terima kasih ye papa.” Akhirnya
aku memilih untuk percaya kata-kata papa.
“Ha,
Aida sekejap! Mama nak bercakap ni.” Papa berkata lagi. Seketika kemudian
talian senyap tanpa suara.
“Aida,
ni mama.” Suara mama telah kedengaran di cuping telingaku.
Aku
tersenyum lebar. Walaupun kami belum rapat lagi tetapi mama dan papa melayan
aku dengan baik. Terasa seperti diperlakukan seperti anak mereka sendiri.
“Mama
apa khabar?” Aku menyoal mesra mertuaku ini.
“Baik.
Kamu dengan Hadif macam mana?” Soal mama pula.
Aku
menelan liur. Dada berdebar-debar tanda aku akan menipu sebentar lagi. Kalau diuji
dengan ujian poligraf sudah tentu aku kantoi.
“Macam
mana apa?” Soalanku agak canggung aku rasakan saat ini.
“Sihat
ke kamu berdua.” Balas mama lembut. Fuh,
lega hatiku mendengarnya.
“Oh,
sihat. Kami sihat ma. Tak ada apa perlu dirisaukan.” Segera aku memberikan
jawapan tidak mahu mama menghidu sesuatu yang pelik disitu.
“Mana
boleh mama tak risau. Kamu berdua tu suami isteri tapi tinggal berasingan. Mama
dah suruh Hadif pindah bawa kamu tinggal menyewa diluar. Kamu pilih aje rumah
yang kamu berkenan. Nanti cepat-cepat bagi tahu mama. Bukan mama tak mahu
belikan rumah, tapi lepas tamat belajar nanti kamu belum tahu lagi nak kerja
dimana. Lepas belajar nanti mama belikan rumah ye sayang.” Panjang lebar
bebelan mama.
Aku
cuba menyedut oksigen sebanyak mungkin yang dirasakan semakin berkurangan dalam
bilik ini walaupun hanya dikongsi bersama Ema. Malah Ema memandang pelik
kelakuan aku yang pelbagai aksi bercakap di telefon.
“Nantilah
mama. Lepas majlis sanding ke baru kami tinggal bersama.” Jawabku perlahan.
Tidak pasti apa alasan untuk ayat tersebut jika ditanya oleh mama.
“Ada
pula macam tu. Dah jadi suami isteri kena saling menjaga pasangan.
Belajar-belajar juga tapi rumahtangga pun penting. Jangan lupa survey rumah cepat-cepat dengan Hadif.”
Kedengaran tegas suara mama menuturkan kata.
“Baik
ma. Insyaallah.” Aku mengalah. Kalau dibangkang kemahuan mama nanti timbul isu
lain pula.
“Bagus.
Bagi tahu mama as soon as possible
okey sayang. Selamat malam.” Mama kembali melembutkan nada suaranya. “Eh, lupa
mama nak bagitahu esok kami akan berangkat ke Jakarta. Tapi Insyaallah mama dan
papa akan balik melawat kamu dan Hadif nanti.” Sambung mama lagi.
“Esok?
Tak sempat Aida nak jumpa mama dan papa sebelum pergi. Mama jaga diri baik-baik
kat sana ye. Jangan lupa kirim salam Baim Wong dan Marshanda kalau mama
terjumpa mereka nanti.” Pesanku sambil melawak dengan mama. Aku tergelak kecil
dengan ayatku sendiri.
“Ada-ada
aje menantu mama ni. Baim Wong kamu tu jaga elok-elok kat sini. Jangan
gaduh-gaduh selalu tau. Okey sayang, love
you.” Mama turut tertawa kelucuan.
“Love you too…selamat malam mama.
Assalamualaikum.” Setelah mama menjawab salam aku mematikan talian.
“Ema
aku nak tidur dulu ye. Mengantuklah. Mulai esok aku tumpangkan kau pergi
kuliah. Tak payah bayar duit bas lagi.” Aku tersenyum tawar pada Ema.
Mata
Ema bercahaya. “Betul ni? Wah, ni yang sayang kat kau. Okey aku tutup lampu. Good night Aida.” Ema bangun menekan
suis lampu. Suasana bertukar menjadi gelap. Hanya sinaran lampu jalan sahaja
yang mencuri masuk ke dalam bilik ini.
5 comments:
Maknanya Hadif akan jumpa dgn Aida secara live lah kan...:)
Haaa pandai akak..tp itulah cabarannya..camne Aida nak menyorok ye? hihi
Itulah..UUM x leh pakai purdah..hehe.melainkan dia mintak wawa tolong amikkan.
wah makin best nih...
tak rindu ke hadif pada isterinya tu?
nak mak mentua cam tu jugakla.. nge ngeh :) (pikiranmlayangdah)
Post a Comment