“Kau
ni sumbing ke?” Soal lelaki disebelahku sinis. Pandangannya tetap menghala ke
hadapan menumpukan kearah pemanduan.
Aku seperti hendak tergelak
mendengar soalan bodoh itu. Tentu Hadif berasa pelik kerana aku tidak pernah
membuka selendang penutup mulut sejak dari semalam lagi. Ah, lantak lah! Aku
tidak mahu kau kenal muka aku.
“Hei! Aku tanya kau tak dengar ke?”
Bentak Hadif geram. Dia kemudian merengus kasar. Dia ni cepat marah betullah.
“Tak…tak…saya cuma selesa pakai ni.”
Segera aku membalas sambil memegang selendang yang menutupi mulut. Plastik
betul kau Aida. Berdosa menipu tau tak. Selama ni selamba aje kau tidak
bertudung menutup aurat.
“Suka hati kau lah.” Hadif menjawab
acuh tidak acuh.
Aku menjungkit bahu. Whatever! Aku memang sudah berfikir
malam tadi sebelum tidur. Aku akan teruskan penyamaran ini di hadapan Hadif.
Lagi selesa kalau dia tidak mengenali wajahku. Terserempak di dalam kampus
nanti tidaklah kekok. Buat tidak tahu sahaja.
“Kau duduk kolej mana?” Soalan Hadif
menerbangkan pemikiran aku sebentar tadi.
“SME Bank.” Jawabku segera. Nanti dia
marah lagi kalau soalannya lambat dijawab.
Kereta dibelokkkan menghala kearah
kolej kediaman yang aku sebutkan tadi. Dia ini memang menjengkelkan. Semua
tentang aku dia tidak tahu.
“Aku tak tahu apa-apa tentang kau.
Selain daripada nama penuh kau yang aku kena sebut semasa akad nikah semalam,
aku tahu kau budak Sains Kaunseling.” Seperti dapat meneka apa yang aku
fikirkan Hadif bersuara.
Ish! Dia pandai baca fikiran orang
ke? Takutnya. Kebetulan aje kut, bisikku di dalam hati. “Kau amik bidang apa?” Giliran aku pula
menyoal. Dua kali lima sahaja. Aku pun bukan tahu sangat tentang dia. Nama
penuh pun baru tahu semalam.
“Kau cari sendiri.” Jawabnya
ringkas. Langsung tidak memandang aku sejak kami berada di dalam kereta satu
jam yang lalu.
Aku kerling sekilas mencuri pandang
ke wajahnya yang terselindung dengan kaca mata hitam yang dipakai. Mataku melirik
pula kepada pakaiannya dari atas ke bawah. Bergaya sangat nak kemana agaknya?
Kan tak jadi honeymoon. Eleh! Aku pun
bukan teringin nak bulan madu dengan kau. Tapi aku nak pergi Pulau Langkawi.
Sejak hampir dua tahun aku belajar disini belum berkesempatan aku menjejakkan
kaki ke pulau itu. Padahal tidaklah jauh dari kampus ke jeti Kuala Perlis.
Hanya mengambil masa empat puluh minit sahaja.
“Dah sampai. Kau angkat barang
sendiri kat belakang.” Kata-kata Hadif aku biarkan sepi sahaja.
Lantas aku turun dari perut kereta
dan membuka pintu belakang. Bagasi sederhana besar aku turunkan perlahan. Berat
juga ni. Hadif bawa beg lagi besar daripada aku sebab itulah bonet kereta comel
ini tidak muat untuk beg aku. Terpaksa diletakkan di bahagian penumpang belakang.
“Terima kasih,” sempat aku
mengucapkannya sebelum melangkah meninggalkan lelaki itu.
Aku terus mendaki menuju ke paras
empat dimana bilik aku dan Ema berada. Pasti bosan duduk seorang diri kerana
Ema tentu masih bercuti di kampung. Cuti penggal semester masih ada seminggu
lagi dan aku terpaksa menghabiskan cuti tersebut dengan cara yang tidak wajar.
Alangkah seronoknya bercuti duduk di rumah bersama keluarga. Keluar bersama
teman-teman lama. Melawat nenek dan bergosip dengan makcik-makcikku pasti menceriakan.
Nasib….nasib….
Pintu kubuka perlahan. Aku menarik
bagasi ke dalam dan menutup pintu bilik. Seperti sudah kujangka, bilik ini
kosong tidak berpenghuni. Malah suasana kolej kediaman juga sunyi sepi kerana
hanya pelajar yang berasal dari Sabah dan Sarawak sahaja yang tidak pulang apabila
cuti penggal. Bagi yang berkemampuan mungkin tidak menjadi masalah tapi bagi
yang kurang mampu untuk ‘terbang’ selalunya akan pulang setahun sekali sahaja.
Apa aku nak buat ni ye? Fikirku
sejenak. Tak boleh jadi aku duduk terperap seorang diri kat sini. Malam-malam
nanti tentu aku takut. Lantas aku keluarkan telefon bimbit yang ada di dalam
beg tangan.
“Kau jangan lewat sangat. Cepat
sikit tau kalau kau tak nak tengok kawan kau mati kebosanan kat sini. He he
he!” Aku ketawa besar. Terlupa seketika masalah yang melanda aku sejak semalam.
Masalah aku yang telah menjadi isteri kepada lelaki yang tidak tahu menghargai.
“Okey. Kau tunggu aje. Dah sampai
kat bawah blok kau nanti aku mesej.” Wawa menjawab.
Aku telah menerangkan serba ringkas
tentang hubungan aku dengan Hadif. Lelaki itu tidak mahu membawa aku berbulan
madu dan telah menghantarku ke kolej kediaman. Jadi aku meminta untuk menumpang
dirumah Wawa yang berada di Jitra. Tidak jauh sangat daripada kampus dalam
setengah jam perjalanan. Dia sahaja harapanku saat ini kerana rakan-rakan lain
tinggal agak jauh dari sini.
Lagipun aku pernah beberapa kali
bermalam dirumahnya terutama pada hujung minggu. Jadi tidaklah berasa kekok.
Tapi kali ini aku ingin duduk seminggu. Wawa tergelak masa aku bertanyakan akan
hal ini.
“Betul ke aku boleh tumpang seminggu
kat rumah kau?”
“Kenapa pula tak boleh. Apalah kau
ni…Nanti kita boleh balik kampus sama-sama. Jangan risaulah.”
“Aku tak mahu menyusahkan kau dan
keluarga.” Balasku perlahan. Serba salah.
“Tak menyusahkan apa pun. Tentu mak
aku suka kau datang. Lagipun ayah aku kursus seminggu kat Kuala Lumpur.
Adik-adik aku ada lah…” Bidas Wawa tenang.
“Thanks
Wawa.” Ucapku sambil tersenyum.
“Kau kan kawan baik aku. Tak perlu
ucap terima kasih. Perkara kecil aje.” Wawa membalas. Bertuah aku mempunyai
kawan seperti Wawa. Dia baik dan memahami. Tidak berkira untuk membantu apabila
aku memerlukan.
Aku berbaring memandang kipas yang
berputar. Begitu juga otak aku turut ligat berputar. Memikirkan apa yang bakal
terjadi selepas ini antara aku dengan Hadif. Kalau mengikut cerita-cerita yang
pernah aku tonton, orang yang berkahwin tanpa kerelaan pasti merancang untuk
berpisah tidak lama nanti. Adakah Hadif berniat untuk menceraikan aku dalam
tempoh waktu tertentu? Aku tidak mempunyai jawapan. Tetapi mengikut cara
layanannya kepadaku mungkin juga. Setelah dia mendapat semua harta papa tentu
dia akan berpisah dengan aku. Ada logik juga apa yang aku fikirkan ini.
Tetapi perasaan sebak tetap muncul
perlahan-lahan meresap ke tangkai hati. Umur muda lagi aku dah dicemari dengan
gelaran janda agaknya. Walaupun janda berhias ke tetapi aku tetap akan digelar
seorang janda. Aku meraup muka beberapa kali. Sudahlah, aku tidak mahu
memikirkan lebih jauh lagi. Biarlah masa yang menentukannya. Aku sendirian
berfikir sampai nak pecah kepala tetapi lelaki itu tentu sekarang sedang
bersenang-lenang barangkali. Entah-entah pergi Pulau Langkawi seorang diri.
Mungkin juga membawa kekasih hati! Ah, makin berbelit otak aku jadinya.
Empat puluh minit kemudian aku telah
pun berada di dalam kereta Wawa. Aku hanya membawa bagasi yang aku bawa dari
hotel pagi tadi. Wawa sejak tadi asik mengerling melihat aku namun aku diam seribu
bahasa. Aku hanya melihat ke luar dan kereta yang banyak di jalan raya.
“Kau tahu kan, yang kau boleh cerita
apa saja dengan aku….” Perlahan suara Wawa memulakan bicara.
Aku lantas menoleh. “Aku rasa macam
nak menangis. Tapi tak tahu untuk apa….” Jawabku segera tanpa membuang masa.
Makin lama dipendam makin menghimpit jiwa. Selama ini aku tidak pernah
mengalami masalah yang besar dalam hidup. Semuanya seperti cerita dongeng yang
banyak kenangan indah di dalam jalan ceritanya. Dasar aku sering dimanjakan
sampaikan masalah aku pun kadang-kadang mak yang selesaikan.
“Apa salahnya. Menangislah kalau itu
dapat melegakan hati kau. Menangis bukan bererti kita lemah, tetapi bermakna
kita telah terlalu lama menjadi seorang yang tabah.” Lembut jawapan Wawa menyapa
telingaku.
Aku terdiam dan kelu untuk berkata-kata.
Aku memandang ke luar cermin kereta di sebelah kiriku. Air jernih mula turun
perlahan. Setitis demi setitis seperti hujan yang seringkali membasahi bumi
apabila tiba waktunya.
Wawa menepuk sedikit bahu kananku.
“Aku harap kau bersabar dengan ujian Allah ini. Bagi aku apabila telah selamat
diijabkabulkan bermakna dia adalah jodoh yang tertulis untuk kau.” Wawa tidak
memerlukan khidmat tukang tilik untuk mengetahui perasaan aku. Sememangnya dia
mengetahui cerita ini daripada awal lagi.
“Cuma aku sendiri tidak tahu sampai
bila jodoh itu dipinjamkan untuk aku.” Lemah suaraku yang sedikit serak akibat
menangis. Merah mata dan hidungku saat ini.
“Kau berdoa minta dipermudahkan
semua ini. Ketentuan takdir kita tak berupaya nak halang. Tapi at least kau dah buat yang terbaik dan
jika ada apa-apa jadi sekalipun kau tak menyesal.” Wawa masih memberikan
nasihat agar dapat memberi sedikit kekuatan untuk aku.
“Betul cakap kau tu Wa. Tapi aku
sedih Hadif layan aku macam tu. Aku cuba buka hati aku untuk dia dan berazam
akan menjayakan hubungan ni. Tapi ada dia kisah?” Aku melepaskan geram.
“Awal lagi Aida. Kau kena banyak
bersabar. Kita pun tak tahu posisi sebenar dia macam mana kan. Apa yang dia
rasa apabila terpaksa kahwin dengan orang yang dia tak cinta. Dia juga mangsa
keadaan sama macam kau. Ambil masa untuk kau berbaik-baik dengan dia.” Wawa
tersenyum manis memandangku seketika kemudian kembali menghadap jalan raya di
hadapan.
“Cinta…” Aku memetik jari. Tersenyum
besar.
“Kenapa dengan cinta?” Soal Wawa
pula.
“Aku akan buat dia jatuh cinta
dengan aku! Tapi aku tak nak dia jatuh cinta kerana aku ini isteri dia.”
Terangku pada Wawa.
Wawa mengerutkan dahi. Nampak sangat
dia tidak faham dengan kenyataan aku.
“Habis tu?” Wawa bertanya lagi
inginkan kepastian.
“Aku nak dia jatuh cinta sebab aku.
Untuk diri aku yang sebenar. Bukan sebab status aku sebagai isteri dia.”
Balasku segera cuba memberikan Wawa gambaran yang sebenar.
“Serius tak faham.” Wawa menjawab
sambil menggelengkan kepalanya sedikit.
Aku tergelak kecil melihat muka Wawa
yang blur. “Nantilah sampai rumah aku
cerita apa rancangan aku ye.” Aku mengenyitkan mata kepadanya.
Wawa tersenyum sambil menggeleng
lagi. “Ada-ada aje kau ni kan. Tapi aku happy
tengok kau dah okey macam sekarang. Tak nak sedih lagi tau.”
“Okey.” Jawabku sepatah turut
tersenyum senang.
“Macam ni lah sahabat aku!” Wawa menjerit
kecil dan kami sama-sama ketawa.
6 comments:
tk sbr nk tggu n3 baru....marathon bc..besttttt!! mabeles cik writer...
>MyHaNeZa<
TQ myhaneza kerana mluangkan masa mbaca karya saya..=) happy reading dan bersantai di sini..
kesian aida nasuha...simpati kat dia
kalau saya yg kna kawen paksa cam ni mau saya larik g mana2.. :) jahat tak haahaa
Haaa...sy suka idea "cinta" tu..
Haaa...sy suka idea "cinta" tu..
Post a Comment