“Mak,
akak takut…” ujarku perlahan. Bimbang didengari oleh ayah dan saudara-mara yang berada di dalam bilik ini.
“Akak takut apa?” Soal mak pula.
Dahinya berkerut seribu.
Mungkin mak naik rimas sebab aku
sudah berapa kali menuturkan ayat yang sama sejak beberapa jam lepas. Akak
takut itu, akak takut ini. Semunya aku menggunakan perkataan takut. Memang
betul apa yang aku katakan. Aku takut dengan apa yang bakal terjadi selepas
berakhirnya hari ini. Aku takut menghadapi nasib diriku sendiri.
“Akak takut tak boleh hidup dengan
Hadif.” Balasku dengan wajah yang sugul. Tak berseri langsung. Mungkin seri
pengantin belum datang barangkali.
Mak menggelengkan kepala sambil menggenggam
tanganku yang sejuk. “Insyaallah…semuanya akan baik-baik aje. Ingat pesan mak,
dah jadi isteri nanti kena pandai jaga hati suami. Jaga dan pelihara
perkahwinan seperti kamu meletakkan seluruh nyawa kamu ke dalamnya.” Jawab mak
dengan nada yang perlahan.
Begitu sekali hebatnya tafsiran mak
mengenai sebuah perkahwinan. Seperti meletakkan seluruh nyawa kamu ke dalamnya.
Kata-kata mak bergema beberapa kali di dalam kotak hatiku. Betapa selama ini
aku masih keanak-anakan yang tidak mengenal nilai sebenar sebuah perkahwinan.
Bercinta bertahun-tahun pun aku tidak pernah terfikir sampai ke tahap itu.
Memberi perumpamaan nyawa dalam perkahwinan.
Mata aku kelipkan beberapa kali.
Seperti orang yang baru tersedar daripada koma yang panjang, kini aku bangkit.
Dengan satu perasaan baru. Semangat yang disuntik oleh mak sungguh berkesan!
“Aida, dah tiba masa untuk tukar
baju.” Kak Seha mak andam yang ditempah oleh mama menghulurkan baju kurung
moden ditaburi mutiara dan beropol ringkas kepadaku.
Aku menyambutnya. Ungu? Tidak sangka
aku akan memakai warna yang kurang aku gemari hanya kerana mengikut warna
kesukaan Hadif, bisik hatiku.
“Cepat sikit ye Aida. Nanti nak
pakaikan tudung pula. Kata nak pakai ala-ala Arabian.” Kak seha berkata lagi.
Mungkin melihatkan aku sibuk membelek baju ditangan.
Aku terus melangkah menuju ke bilik
air yang terdapat di dalam bilik hotel ini. Bilik-bilik hotel telah ditempah
oleh keluarga Hadif untuk keluargaku, kawan-kawan dan juga saudara-mara
terdekat yang dapat hadir. Beria-ia benar mereka mahu bermenantukan aku.
Semuanya diuruskan oleh pihak mereka.
“Wow! Cantiknya kau Aida!” Teriakan
Akma membuatkan Wawa dan Ema turut mendekati aku yang baru keluar dari bilik
air.
Aku tersipu-sipu malu dipuji begitu.
“Solekan Kak Seha memang meletop!” Aku pula bersuara membuatkan Kak Seha
tersengih.
Akma, Wawa dan Ema juga turut
menunjukkan tanda bagus kepada Kak Seha dengan menaikkan ibu jari. Sememangnya
aku telah dipuji tidak berhenti oleh teman-temanku ini setelah siap mendapat
sentuhan tangan Kak Seha sebentar tadi. Namun setelah menukar pakaian kepada
baju pengantin seri itu semakin menyerlah.
“Duduk sini. Kak Seha pakaikan
tudung.” Arah Kak Seha sambil menepuk-nepuk sedikit bangku solek yang terletak
dihadapan meja solek.
Lantas aku melangkah dan melabuhkan
punggung dengan berhati-hati. Tidak mahu baju ini berkedut andai tersilap cara
duduknya.
“Kenapa nak pakai purdah ala-ala
Arabian ni, Aida?” Ema membelek-belek selendang ditaburi kilauan berwarna perak
yang akan digunakan untuk menutup sebahagian wajahku.
“Aida ni tengok Lan penyanyi
kumpulan Kristal bernikah tempoh hari. Jadi masa akak call dia tanya nak pakai tudung gaya apa, dia cakap nak ala-ala
Arabian macam isteri Lan gayakan semasa hari pernikahan mereka.” Becok mulut
Kak Seha bercerita kepada rakan-rakanku. Biasalah mak andam memang terlebih
ramah selalunya.
“Cantik kan Aida pakai tudung?” Wawa
menyoal secara rambang. Entah kepada siapa soalan itu diajukan aku pun tidak
tahu.
“Yelah. Memang cantik. Aku pun tak
pernah tengok Aida pakai tudung.” Ema menjawab sambil matanya tidak lepas
memandang aku yang sedang disiapkan oleh Kak Seha.
“Ada-ada aje kau orang ni. Aku bernikah
kat masjid kan….wajib pakai tudung….” Bidasku lembut.
Mereka semua ketawa mendengar
jawapanku. Lawak ke?
“Nasib baik sesuai tudung ni dengan
Aida. Kak Seha terlupa nak pesan pada pembantu akak masa Aida datang pilih baju
tempoh hari. Nak minta Aida pilih jenis tudung sekali untuk majlis nikah.”
Terang Kak Seha. Tangannya masih lincah mencucuk jarum peniti di sana sini agar
tudung dan penutup mulut yang kupakai terletak kemas.
Setelah selesai Kak Seha meletakkan pula
juraian kristal-kristal halus yang dibiarkan tergantung dari tengah kepala
hingga ke tengah dahi. Sebiji macam penari gelek padang pasir dah!
“Okey. Dah siap.” Ujar Kak Seha dan
terus mengemaskan alatan-alatan soleknya yang bersepah di atas meja solek.
“Cantiknya anak ayah. Dah macam
orang Arab lah.” Ayah menyapa sambil menepuk lembut bahuku beberapa kali.
Aku hanya tersenyum. Nampak ke aku
tersenyum? Semasa aku melihat wajahku dihadapan cermin tadi aku hanya nampak
sedikit batang hidung dan juga sepasang mata sepet milikku. Tetapi aku tidak
nafikan Kak Seha berjaya menyerlahkan mataku yang sepet menjadi sedikit bundar
dan galak apabila mengenakan teknik solekan
smoky-eyes.
Mak tersenyum dan memimpin tanganku.
“Jom! Kita turun semua.” Mak melaungkan sedikit kuat kepada saudara-maraku yang
sibuk bersembang sesama mereka. Mereka terdiri daripada adik beradik mak dan
ayah sahaja. Saudara terdekat termasuk sepupu yang aku ada.
“Sekejap mak!” Aku tiba-tiba
teringatkan sesuatu. Lantas aku mengambil telefon bimbit di dalam beg tangan
dan menaip sesuatu.
Makcik,
aku dah nak gerak ke masjid untuk bernikah. Doakan aku walau kau tiada disini.
Aku sayangkan kau.
Telefon
bimbit aku masukkan ke dalam beg dan aku memberikan beg itu semula kepada Ema.
Dia akan menolong menyimpan barang-barang peribadiku. Takkan pakai baju
pengantin bawa beg tangan pula.
Kemudian
kami semua mula beredar turun dan menaiki kereta menuju Masjid Besar yang
terletak hanya lima minit dari hotel tempat kami menginap. Aku masih belum
merasai debaran yang menggila. Hanya sedikit gementar untuk melalui detik-detik
sebentar lagi. Semoga semuanya berjalan lancar dan selamat, doaku di dalam
hati.
Ternyata
keputusan untuk bernikah di bumi utara ini menyebabkan Fana tidak dapat ikut
serta. Awalannya aku ingatkan akan dinikahkan dirumah sahaja. Jadi Fana kembali
ke rancangan asal mengikut suaminya berkursus di Terengganu.
“Muhammad
Hadif Rizqie Bin Datok Musa.”
“Saya.”
Suaranya yang tegas dan yakin membuatkan aku memandangnya. Kacak juga Baim Wong
versi Malaysia ini ye.
“Aku
nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Aida Nasuha Binti Iskandar dengan
mas kahwinnya senaskhah Al-Quran tunai.”
“Aku
terima nikah Aida Nasuha Binti Iskandar dengan mas kahwinnya senaskhah Al-Quran
tunai.”
“Sah?”
“Sah.”
“Alhamdulillah….”
“Tahniah! Selamat pengantin baru.
Ingat syurga akak sekarang dibawah telapak kaki suami.” Kata-kata mak menyusup
lembut ke tangkai hati. Aku segera memeluk mak dengan erat. Lama. Ada air
jernih yang tidak mampu kutahan membasahi kelopak mata.
“Sudahlah tu. Tak cantik nanti
pengantin menangis.” Mak tersenyum cuba berseloroh walaupun aku lihat dia turut
mengalirkan airmata.
“Ayah doakan akak bahagia dan jadi
isteri yang solehah.” Ayah pula bersuara sebelum dia turut memelukku. Aku semakin
menangis di bahu ayah.
“Akak tetap anak ayah dan mak….”
Perlahan nada suaraku menuturkan ayat.
Kemudian aku memeluk Aini yang dari
tadi tersenyum. Gembira untukku semestinya. Aku turut bersalaman dengan mama
dan papa yang telah sah menjadi mertuaku.
“Salam dengan suami kamu.” Ayah
membisikkan ke telingaku. Segera aku mengambil tisu yang dihulurkan oleh Ema
dan menekap sedikit di bawah pelupuk mata. Ada sisa airmata disitu.
Aku duduk semula di bantal besar
yang dihias cantik untuk majlis akad nikah ini. Tanganku sedikit menggigil
semasa Hadif menghampiriku dan menyarungkan sebentuk cincin di jari manis
tangan kanan. Dadaku pula berombak turun naik tidak sekata sewaktu dia mencium
lembut dahiku. Lantas tangannya kucapai dan kucium penuh syahdu. Hati semakin
berdebar apabila mata kami bertaut untuk pertama kalinya. Segera aku tunduk
memandang lantai. Lensa kamera pula silih berganti menangkap gambar-gambar
kami. Kemudian Hadif terus berlalu untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Aku
hanya memandang setiap gerak lakunya dengan perasaan yang tidak dapat
diterjemahkan.
“Tahniah Aida!” Wawa dan Akma
terjerit kecil apabila mereka berkata serentak.
Aku tersenyum walaupun bibirku masih
ditutupi dengan selendang. “Terima kasih kerana sentiasa ada bersama aku. Kamu
bertiga sahabat aku selamanya.” Aku turut memandang kepada Ema yang sibuk
menangkap gambarku menggunakan kamera digital miliknya.
“Kami sayang sangat kat kau.” Akma
meluahkan seolah-olah mewakili suara hati mereka bertiga. Malah Wawa dan Ema turut
menganggukkan kepala mendengarnya.
“Lepas jamuan makan nanti kami baliklah
ye. Cuti pun masih berbaki seminggu lagi. Enjoy
your honeymoon.” Akma menyambung kata.
“Okey. Thanks again. Jumpa nanti kat kampus.” Aku bersalaman dengan mereka
dan berpelukan untuk seketika.
Mereka bertiga terus berlalu
menyertai sekelompok kecil manusia yang terdiri daripada keluarga dan
saudara-mara sebelah aku dan juga Hadif untuk kembali ke dewan hotel. Jamuan
makan telah disediakan sebagai meraikan para tetamu walaupun majlis akad nikah
ini diadakan secara kecil-kecilan.
“Jom.” Suara macho yang menyapa segera membuatkan aku menoleh sepantas kilat.
Aku mengangguk sebagai jawapan.
Hadif menghulurkan tangannya kepadaku. Aku mengerutkan dahi tanda tidak faham
dengan perlakuannya.
“Bagi sini tangan awak tu…” Lantas
Hadif mengambil tanganku dan diletakkan di lengannya. Mimpi ke dia sebut awak?
Rasanya telinga aku belum pekak lagi. Bukan selalu dia membahasakan aku-kau
sahaja dengan aku?
Kemudian kami menaiki kenderaan yang
telah dihias dengan reben dan bunga untuk pulang ke hotel. Alamak! Berdua
sahaja dengan dia membuatkan aku kaku.
“Kau tak nak buka ke purdah tu?!”
Jerkah Hadif membuatkan aku terkejut beruk.
“Pandai kau berlakon kan?” Soalku
sinis. Aku dah agak dah. Dia tidak bermimpi. Buktinya sekarang dia dah jadi
Hadif yang aku kenali. Walaupun tidaklah kenal sangat pun.
Terhambur gelak besar dari mulutnya.
Kemudian dia menyambung kata. “Jangan lupa depan orang kita bahasakan diri
saya-awak. Tak perlu panggil aku abang ke sayang ke sebab aku geli dengan
panggilan macam tu.”
Aku mencebikkan bibir. Eleh! Kalau
kau geli, aku lebih geli seribu kali. Aku pun tak ingin nak panggil kau macam
tu.
“Bukalah selendang tu. Aku nak
tengok muka kau.” Suaranya kedengaran tegas.
Aku menjeling sekilas. “Aku tak
nak.” Aku turut bertegas.
“Berdosa melawan cakap suami.”
Tangannya mula ingin menyentuh selendang yang menutupi mulutku.
“Janganlah!” Aku menjerit nyaring.
Alamak! Habis reputasi keayuan aku. Ah, ni semua sebab perangai kau.
“Okey! Okey…aku tak rugilah tak
tengok kau.” Bentak Hadif kasar.
Ada aku kisah? Aku menyumpah di
dalam hati. Ya Allah….belum satu jam aku bergelar isteri aku dah menghimpun dosa
melawan suami….ampuni aku….
Akhirnya kami sampai ke perkarangan
hotel. Hadif turun dan menyerahkan kunci kereta kepada car jockey dan membukakan pintu untukku. Ah, dasar suami plastik!
Apabila pintu dewan dibuka dan kami
berjalan perlahan di atas karpet merah tepukan bergema di segenap dewan. Aku
anggarkan jumlah jemputan kaum kerabat terdekat aku dan Hadif adalah seramai
seratus orang. Aku melambai-lambai kepada teman-teman dan beberapa orang
sepupuku yang turut membalas lambaianku. Kami menuju ke meja makan beradab yang
disediakan.
Setelah selesai makan dan bersalaman
dengan para tetamu yang hadir, akhirnya kami bergerak menuju ke bilik yang
ditempah khas untuk pengantin baru. Malah kami telah pun mengucapkan selamat
tinggal kepada mak, ayah, mama dan juga papa kerana mereka akan bertolak
selepas Maghrib untuk pulang ke rumah. Walaupun aku berkeras mahu menemui
mereka semula sebelum mereka pulang beberapa jam lagi namun gagal. Mereka
menyuruh kami berehat dan bersiap sedia untuk berbulan madu keesokan harinya.
“Letihnya!” Hadif menghempaskan diri
di atas katil. Songkok diletak ketepi. Letih? Letih berlakon kut, otakku
berbisik nakal.
Aku duduk di atas sofa besar dan
terus menekan punat televisyen. Tidak tahu ingin berbuat apa lagi di dalam
bilik besar ini.
“Tak panas ke pakai benda tu tak
buka-buka?” Hadif tiba-tiba mendekatiku dan menuding telunjuknya kearah mukaku.
“Yang kau sibuk sangat ni kenapa?”
Soalku dengan geram.
“Aku tak faham kenapa kau nak marah
aku. Bukan aku buat apa-apa pada kau.” Hadif membuka butang baju melayunya satu
persatu. Kemudian dia membuka sampin dan dicampakkan ke bawah. Kini dia duduk
menyandar pula di hujung sofa.
“Er…Erm…” Aku sememangnya tidak tahu
untuk menjawab. Ikutkan hati ingin sahaja aku beritahu yang aku geram dengan
sikapnya tempoh hari namun identiti aku tidak boleh terbongkar.
“Kau pernah tengok gambar aku?” Aku
menyoalnya pula.
Dia menggelengkan kepala dan
tersenyum sinis. “Tak perlu. Kau buruk macam mana pun aku tetap kena kahwin
dengan kau. Keputusan papa muktamad. Jadi aku malas nak buang masa tengok
gambar kau.”
Aduh! Pedih dan berbisa ayat yang
keluar dari mulut lelaki bernama Hadif ini. Kalau aku tak bertenang sekarang ni
tentu aku dah cekik dia hidup-hidup! Tetapi aku berasa lega dia belum tahu
siapa aku. Aku khuatir kami akan lebih bertekak apabila dia mengetahui aku
gadis yang hampir dilanggarnya tempoh hari. Sudahlah tinggal berdua dengan dia.
Mati aku kalau apa-apa berlaku. Hari itu pun dia dah tengking-tengking aku
macam orang gila.
“Esok aku hantar kau balik kolej.
Tak ada apa yang berubah. Aku dengan hidup aku, kau dengan hidup kau.”
Aku tercengang. “Honeymoon?” Aku menyoal dengan muka
serius.
“Ha ha ha!” Hadif ketawa sehingga
memegang perutnya. Ah, kenapa aku bertanya soalan itu. Bodoh!
“Kau teringin nak honeymoon dengan aku ke? Kesian isteri
aku ni. Sorry sangat ye. Aku belum
rasa nak pergi honeymoon dengan kau.”
Hadif menjawab bersama sisa ketawa yang belum reda.
Malunya! Merah padam muka aku mendengar
jawapan Hadif yang lebih berbaur sindiran. Siap kau nanti! Kau belum kenal aku
siapa. Nak main-main? Kau silap orang Hadif. Silap besar.
Akhirnya malam itu aku tidur di atas
sofa dengan memakai baju tidur serta selendang semasa majlis pernikahan siang
tadi. Aku mana ada tudung untuk dipakai kalau selama ini memang aku tidak
bertudung orangnya. Tetapi sikap Hadif yang menyakitkan hati serta tidak mahu
identiti aku terbongkar aku terpaksa dengan penyamaran ini. Walaupun ia
bukanlah dalam perancangan aku.
Hadif a.k.a En.Suami enak tidur
berdengkur di atas katil king yang
empuk. Namun aku bersyukur Hadif tidak melaksanakan malam pertama kami. Malah
tiada tanda yang dia akan melakukan apa-apa pada aku yang masih dara ini. Erk?
Ada ke seorang isteri yang bersyukur kerana tidak melalui malam pertamanya? Ah,
dalam situasi aku iye. Aku sungguh bersyukur.
***Suka tak bab ni? akhirnya kahwin jugak...eheehee
12 comments:
Suka...tapi sampai bila inche Hadif tu tak tengok muka isteri dia...
hehe akak..sabar ye..=)
Dah apply kolej maybank ka? hehehehe...
haha dorg tinggal asing2 kak...cian kat aida...
okey jugak tu. kolej maybank tu org tingkat atas sekali buat apa org tingkat bawah sekali boleh dengaq...seram aihh
haha mmg sereeem...
http://peaceder.blogspot.com/2012/09/peaceder-airpod-kereta-yang-comel-dan.html.. follow me back
done! =)
akhirnya kahwin gak..
berpurdah bagai...sampai bila laaa?
seram ja dapat suami cam ni, marah2 tak tntu psal, tampaq baru tau hahah
huhuhu...akak sue..bg la dia pkai tdung btol2..hehhe...gmbaran si aida pkai tudung n purdah 2 mcm comel je dngar..hehehhehhe
Sakityerr hati dgn hadif tuu.. smpi hati dia buat aida mcm tuu.. BEST..
Post a Comment