Mulut
aku tidak habis-habis menyumpah sejak pagi tadi. Kalau dihitung entah berapa
bakul dosa kering yang dicatat untukku hari ini. Aku duduk sambil membelek
majalah yang baru dibeli bersama sebotol air mineral dan sepapan coklat Cadbury. Itulah selalunya bekalan yang aku
bawa untuk dimakan di dalam bas kerana perjalanan yang panjang untuk sampai ke
kampung. Makan berat-berat seperti nasi atau burger tidak sesuai pula rasanya
dengan keadaan perutku. Takut jika terasa ingin membuang air besar lambat pula
bas sampai ke perhentian R&R.
Aku mengeluarkan telefon bimbit dari
dalam beg tangan. Sudah tiga kali panggilan mak tidakku jawab. Nantilah aku
mesej mak bila dah selamat naik bas, desis hatiku. Kemudian aku membaca kembali
mesej yang masuk kedalam telefon bimbitku pada jam tujuh setengah pagi tadi.
Jangan
harap aku nak tumpangkan kau balik. Pandai-pandailah kau balik sendiri. Bukan
budak kecik pun. Tapi ingat, jangan bagi tahu parents kita! Kalau tidak, siaplah kau!
Aku terkebil-kebil semasa membaca
mesej tersebut buat pertama kali. Walaupun nombor itu tidak aku kenali tetapi
aku yakin itu pasti dari Hadif. Sudahlah aku tidak tidur selepas solat subuh
semata-mata melayan perasaan gusar untuk bertentang mata dengan dia, ini pula
balasan yang dia hadiahkan buat aku. Lantas jari aku ligat menaip sesuatu.
Parents
kita? Wekk nak muntah aku. Aku belum jadi isteri kau okey! Aku pun tak kempunan
nak tumpang kereta kau. Tapi maaf aku tak nak bersubahat jadi penipu macam kau.
Selang beberapa minit kemudian
sampai satu mesej lagi ke dalam telefon bimbitku. Cepat-cepat aku buka kerana
aku memang tidak sabar untuk membaca balasan daripada En.Tunang yang ‘poyo’
itu.
Kau
bagi tahu aku tumpangkan kau sampai Batu Pahat. Kemudian aku balik hotel tempat
family aku menginap. Kalau maklumat
yang keluar dari mulut kau lain dari apa yang aku tulis ni, aku pastikan kau
menyesal bila dah jadi isteri aku nanti!
Aku menahan nafas. Ada air jernih
yang mengalir di pipi segera aku seka dengan jari. Hati aku memang terguris dan
kecewa dengan mesej yang datangnya dari lelaki bernama Hadif. Namun aku bukan
jenis yang mudah dipermainkan. Aku tidak mahu membazir air mata polos aku ini
untuk lelaki yang tidak tahu menghargai.
“Muar, Batu Pahat, Johor Bahru!!”
Teriakan yang bergema itu mencecah telingaku.
Lantas aku bangun dan menarik bagasi
menuju ke arah bas KKKL dua tingkat itu. Aku turut beratur untuk memasukkan
bagasi ke dalam ruang bawah. Sekelilingku sesak dengan manusia yang semuanya
sudah tentu pelajar UUM yang turut pulang bercuti. Kemudian aku memberikan
tiket kepada pemandu bas yang sedia menunggu di hadapan pintu bas.
Aku merenung ke luar tingkap.
Kelihatan langit malam hitam dan gelap tanpa ada sebutir bintang. Begitulah
yang aku rasai di dalam hati saat ini. Bukan! Sebenarnya sejak aku membaca
mesej puaka itu awal pagi tadi. Perbualan malam semalam dengan mak membuatkan
aku membuka hati untuk redha atas semua ini. Namun mampukah aku redha jika
lelaki yang bernama Hadif a.k.a En.Tunang melayan aku seteruk itu? Itukah yang
dinamakan pilihan terbaik mak dan ayah?
Sungguh aku runsing dan buntu. Aku
tekad akan memberitahu mak tentang hal ini apabila sampai di rumah kelak. Mak
berhak tahu siapa Hadif sebenarnya dan bagaimana dia melayan aku. Aku mengikut
kata mak kerana jauh di dasar hati aku sedar permintaan mak ada benarnya.
Bersama dengan Adli untuk berapa puluh tahun lagi belum tentu ke jinjang
pelamin. Tanggungjawab dia terhadap keluarganya sangat besar.
Menerima pilihan mak bermakna aku tak perlu
bersusah-payah mencari cinta yang belum pasti. Aku pernah berdoa agar pilihan
mak tepat dan aku mempunyai seorang lelaki yang bakal melindungi dan menjagaku
dengan baik. Rupa paras bukanlah perkara besar buat aku walaupun Wawa dan Akma
seringkali tidak percaya akan hal ini. Aku pasti akan suka pada lelaki yang
baik. Lelaki yang pandai menjaga hati. Kalau kacak sangat pun susah nak jaga
lah! Tapi Hadif ternyata tidak layak untuk menikahi aku. Awal-awal lagi
perangai nak tunjuk samseng.
Mak,
akak dalam perjalanan dengan Hadif. Maaf tak sempat bagi tahu yang Hadif ada
hal siang tadi. Jadi kami bertolak malam. Esok subuh akak sampai. Love you mak.
No problem.
Hadif ada call bagi tahu mak petang
tadi yang malam ni baru bertolak dengan kamu. Pesan pada Hadif pandu hati-hati.
Kalau mengantuk gilir aje memandu dengan kamu. Take care, love both of you.
Kesian mak. Dia betul ke sayang si
Hadif tu? Naik berbulu pula tekak aku ni apabila mendapat tahu Hadif menelefon
mak untuk memaklumkan perkara yang pastinya dusta semata. Pandainya kau
berlakon Hadif sampai mak aku pun boleh jatuh sayang pada kau. Sepandai-pandai
tupai melompat, pasti jatuh ke tanah jua. Aku akan bongkarkan siapa kau
sebenarnya pada mak. Bibirku ketap geram. Tangan aku kepal-kepalkan menjadi
penumbuk.
Akhirnya entah jam berapa aku
tertidur. Single seat memang selesa
untuk perjalanan jauh. Lebih-lebih lagi naik bas VIP macam ni. Perjalanan malam
tidak terasa sangat berbanding waktu siang. Maklumlah dari Changlon ke Batu
Pahat mengambil masa selama hampir sepuluh jam.
“Batu
Pahat! Batu Pahat! Siapa turun Batu Pahat dah sampai!” Jerit pemandu bas dengan
lantangnya.
Aku menggeliat membetulkan urat-urat
yang terbelit akibat duduk terlalu lama. Kemudian aku membuka mata dan berjalan
untuk turun. Sementara menunggu pemandu bas membuka ruangan menyimpan bagasi di
bahagian bawah bas, aku menggeliat lagi. Lenguh seluruh badan. Sejuk pula tu di
dalam bas. Tentu bibirku pucat walaupun mengenakan sweater Nike kesayanganku.
Setelah mengambil bagasi aku menuju
ke kaunter teksi tidak jauh dari perhentian bas. Jam tangan aku kerling
sekilas. Enam empat puluh minit pagi. Kemudian aku menyewa sebuah teksi
memandangkan aku hanya seorang sahaja dan tidak mahu menunggu penumpang lain.
Aku mahu segera sampai ke rumah sebelum hari menjadi cerah. Lagipun aku tidak
mahu terlepas solat subuh.
Tidak sampai sepuluh minit teksi
telah pun menurunkan aku di hujung jalan menuju ke rumah. Sengaja aku turun
jauh sedikit agar tiada orang yang perasan aku pulang dengan menaiki teksi.
Sememangnya rumah aku terletak di tengah bandar. Berhampiran dengan perhentian
bas dan pusat membeli belah. Mahu berjalan kaki pun tidak mengapa namun larat
ke aku berjalan sambil menarik bagasi besar ini?
Perlahan-lahan aku membuka pintu
pagar. Kemudian setelah tiba di muka pintu aku membuka kasut dan meletaknya di
atas rak. Hati tiba-tiba rasa berdebar. Mampukah aku berhadapan dengan mak dan
ayah sebentar lagi? Aku menarik nafas dalam-dalam dengan bacaan Bismillah aku
membuka pintu. Aku masuk dan meninggalkan bagasi di depan pintu. Tak apa, Aini
boleh tolong angkat nanti, kata hatiku.
Kedengaran suara orang bersembang di
dapur. Nampaknya penghuni rumah ini telah pun bangun dari tidur. Langkah kakiku
atur ke dapur dan menjengukkan sedikit kepala.
“Assalamualaikum.” Aku memberikan
salam.
Mak, ayah dan Aini sedang bersarapan
rupanya.
“Waalaikumsalam. Akak dah sampai?
Amboi masuk senyap-senyap aje ye…” Mak menyambut aku dengan gembira. Aku
bersalaman dengan mereka dan duduk di sebelah Aini.
“Mana Hadif tak masuk sekali?”
Soalan ayah nampaknya lebih rumit daripada membuat statistik sains sosial yang
aku hanya mendapat B- untuk subjek itu. Sesungguhnya aku tidak gemar matematik
atau subjek pengiraan.
“Dia dah balik hotel.” Jawabku
sambil cuba buat-buat sibuk menuang air ke dalam cawan tanpa memandang mata
ayah yang sedang memerhati.
Kelihatan ayah mengangguk-angguk
beberapa kali. Nampaknya ayah percaya dengan jawapanku tadi. Maafkan akak ayah.
“Macam mana orangnya? Handsome kan?” Aini pula mengangkat
kening sambil tersengih.
Aku tersenyum tawar. Tiada hati
untuk menjawab. Sebenarnya akak tak tahu macam mana orangnya. Aci tak kalau aku
jawab macam tu saat ini? Mak datang sambil menatang sepinggan kuih-muih. Dia
meletakkan di atas meja makan dan duduk bersama kami. Mulutnya tidak lekang
dengan senyuman.
“Akak nak masuk bilik ye. Nak
solat.” Aku terus berdiri untuk melangkah ke dalam bilik setelah meneguk
sedikit teh panas di dalam cawan. Tidak sanggup aku melihat kegembiraan mak.
Tergambar jelas di wajahnya. Ayah juga…walaupun tidaklah senyum memanjang macam
mak tapi dari air mukanya aku nampak dia juga rasa gembira.
Selesai menunaikan solat subuh yang
berada dipenghujungnya aku berbaring di atas katil. Tanganku letakkan di atas
dahi. Semasa memakai telekung untuk bersolat tadi aku terpandang di atas almari
baju sudah tersedia barangan hantaran yang akan dibawa semasa majlis akad nikah
nanti. Semuanya pasti pilihan mak.
“Tok! Tok!” Terdengar bunyi ketukan
di pintu.
“Masuklah. Pintu tak berkunci.” Aku
menjawab acuh tidak acuh. Aini lah tu agaknya.
“Akak nanti siap-siap ye lepas zohor
keluarga Hadif datang.” Mak menghampiriku dengan senyum simpulnya.
“Hmm.” Jawabku sepatah. Penat badan
naik bas tadi masih belum hilang lagi. Hari ini juga aku perlu berhadapan
dengan perkara serumit ini.
“Akak penat ye? Tak apalah, akak
tidur dan rehat dulu. Nanti mak kejutkan. Best
balik dengan Hadif? Dia baik kan? Peramah orangnya.” Mak masih ingin bertanya
walaupun tadi suruh aku berehat.
Tangan di dahi aku turunkan. Aku
tatap mata mak yang bercahaya. Aku tarik nafas dalam-dalam. Otakku ligat mula
meyusun ayat yang sesuai.
“Mak, akak rasa…akak…” ayatku
tergantung disitu. Air liur aku telan perlahan.
“Akak tak berkenan dengan Hadif tu.
Akak belum kenal dia sangat. Apa kata kami bertunang setahun baru kahwin?”
Akhirnya dalam keraguan aku berjaya meluahkan rancangan di hati. Niatnya cuma
satu. Aku akan buat pelbagai cara nanti untuk memutuskan pertunangan kami.
Air muka mak berubah. Keruh. “Kan
mama papa dia nak berangkat ke Jakarta. Kesian dia tinggal seorang kat Malaysia
ni.”
“Alah, mak. Dia bukan budak kecik
pun mak nak risau. Akak jadi tunang dia pun akak boleh jaga dia kan?” Aku masih
cuba memancing mak.
Mak menggelengkan kepala. “Persiapan
semua dah siap. Tunggu hari nikah aje. Hadif tu baik tau akak. Handsome macam Baim Wong pulak tu. Anak
Datok…kalau akak tak hargai dia, berduyun perempuan kat luar sana tu sanggup
tawarkan diri.”
Ah,
sudah! Aku tahu mak memang peminat nombor satu sinetron Indonesia tapi tak
payah lah mak nak menantu pun macam pelakon Indonesia tu. Sebenarnya mak, bukan
akak yang tak hargai dia tapi dia yang langsung tak menghargai akak. Ayat itu
bergema di dalam hati.
“Mak, akak tak minat lelaki jambu
macam tu. Akak suka yang maskulin okey. Jantan sejati macam Adli. Lagi satu
akak bukan jenis mata duitan yang pilih calon suami anak orang kaya. Akak tak
pandang semua tu…” Aku masih memujuk mak. Tolonglah kali ini mak lembut hati
sedikit.
“Mak tau…mak kenal sangat anak
mak…Tapi dah rezeki kamu nak buat macam mana.” Mak tergelak kecil. Eh, mak ni!
Buat lawak pula dia.
“Dahlah, jangan fikir yang
bukan-bukan. Ingat mak beritahu kamu yang gerak hati mak semakin yakin selepas
buat solat istikharah dulu?” Soal mak lagi.
Aku mengangguk lemah. Ish, aku pasti
kalah dengan alasan mak yang satu ini. Aku juga sebenarnya yakin gerak hati
seorang ibu tidak pernah silap. Kalau mak boleh seyakin itu, mengapa tidak aku.
Namun sikap Hadif sahaja yang merunsingkan aku. Belum bertemu empat mata sudah
bagi aku makan hati berulam jantung. Esok-esok dah jadi isteri dia nak bagi aku
makan apa pula lah ye.
3 comments:
Erm, saya suka gaya bahasa ni. Tak sabar nak baca entri seterusnya. Tak nak hantar manuskrip ke mana2 publisher ke?
Terima kasih kak Shafriza..kerana sudi meluangkn masa mengikuti novel ni..=) Bukan Isteri Pilihan sedang disiarkn di penulisan2u & novel melayu kreatif. Juga dlm penilaian pihak kaki novel..harap2 ada lah berita baik =) amin..
saya pun suka sgt !!
Post a Comment