LIMA
TAHUN KEMUDIAN….
“Banyaknya orang kahwin bulan ni!
Tak menang tanganlah Cik Dean.” Rungut Syaza sambil membelek buku log di atas
meja.
“Itu rezeki namanya, Syaza. Tak baik
merungut tau. Bulan ni elaun awak ‘lebat’ nampaknya.” Aku mengingatkan sambil
tangan masih lincah menjahit manik di atas selendang. Selendang ini perlu aku
siapkan sebelum petang esok kerana majlis pernikahan Fuad dan pasangannya akan
berlangsung selepas Isyak.
Syaza tersengih sambil memasukkan
semula buku log ke dalam laci. “Saya bersyukur sebab kita banyak customer sejak dua menjak ni, tapi penat
sangat badan saya dibuatnya. Tak ada cuti.”
“Nak maju, kita kenalah berkorban
sikit Syaza. Lagipun baru enam bulan ni butik saya dapat ‘bernafas’. Maklumlah
baru setahun sebulan beroperasi. Awak pun dapat elaun lebih tiap-tiap bulan.”
Aku memandang wajah Syaza sekilas kemudian meneruskan kerja menjahit manik.
Semua yang ada di butik ini
merupakan hasil kerja tangan aku sendiri. Malah sehingga kini aku masih lagi
‘berguru’ dengan Mama Anis untuk membuat pelbagai kelengkapan pengantin
daripada baju, selendang, kasut, hantaran, pelamin dan sebagainya. Walaupun butik
ini masih terlalu baru untuk dibanggakan, aku tetap berpuas hati dengan
pencapaian aku setakat ini. Setidak-tidaknya aku mampu mengubatkan hati daddy yang kecewa setelah aku tidak mahu
bekerja dalam bidang perakaunan. Minat aku beralih kearah ini setelah tamat
belajar apatah lagi mendapat sokongan padu daripada ibu tiriku sendiri, Mama
Anis.
“Saya faham tu Cik Dean. Tapi,
hujung bulan nanti saya minta cuti ye. Saya nak balik jenguk keluarga saya kat
kampung.” Pinta Syaza sambil merapati aku yang masih duduk bersila di atas
permaidani.
Aku mengangkat wajah. Tanganku yang
sedang menjahit terhenti. “Hujung bulan nanti wedding anak D.O kan? Matilah saya tak cukup kakitangan.” Ujarku
memandang tepat anak mata Syaza.
Walaupun ia bukanlah kali pertama aku
menguruskan perkahwinan anak orang kenamaan, bantuan Syaza tetap sangat
diperlukan. Dia adalah tulang belakang aku selama ini dalam menguruskan butik.
Walaupun dia tiada kelulusan yang tinggi, tetapi dia gadis bijak yang
bercita-cita tinggi. Dia jenis yang mudah diajar dan bersemangat untuk belajar.
Malah, tidak dinafikan dia orang penting buat aku di dalam butik ini.
Syaza tersengih lagi. “Lepas habis
majlis tu, saya balik kampunglah. Esoknya baru saya cuti. Boleh ye Cik Dean?”
Syaza bersuara penuh mengharap.
Aku pantas mengangguk setelah Syaza
menerangkan hal yang sebenarnya. “Okey,okey. Awak boleh cuti. Tetapi make sure hari Selasa tu awak masuk
kerja semula. Ada banyak lagi hantaran masih belum siap.” Aku mengingatkan
Syaza.
“Baik bos! Terima kasih.” Ucap Syaza
sambil memberikan tabik kepadaku.
Aku hanya tersenyum dan kembali
meneruskan kerja yang tertangguh. Bukan aku tidak mahu menggaji lebih ramai
kakitangan di butik sederhana besar ini. Tetapi buat masa sekarang, cukuplah
hanya aku dan Syaza yang menguruskannya. Esok-esok apabila sudah semakin
stabil, pasti aku akan menambah pembantu agar Syaza tidak terbeban seperti
sekarang. Yelah nak cuti pun agak sukar akibat terlalu sibuk. Bagi pemasangan
pelamin, khemah dan juga catering,
terdapat sekumpulan pekerja lain yang akan menguruskannya.
Telefon bimbitku mengalunkan lagu
Kasih Tak Sampai. Berlari-lari anak Syaza datang menghulurkan telefon bimbit
yang berada di atas meja kepadaku.
“Assalamualaikum mama.” Ucapku
memberi salam kepada si pemanggil.
“Waalaikumsalam, Dean balik lewat
lagi ke hari ni? Kalau lewat, mama dengan daddy
datang hantar makanan kat butik ye.” Lembut suara Mama Anis yang penyayang itu.
“Sounds
good. Tapi, tak payah susah-susahlah mama. Pandailah Dean makan kat sini
dengan Syaza.”
Bertuah aku mempunyai ibu tiri
sebaik Mama Anis. Walaupun dia tidaklah secantik Siti Nurhaliza, ibu tiri
impian aku tetapi dia penyayang dan baik hati. Mama Anis adalah seorang anak
dara tua a.k.a andartu yang muda empat tahun daripada daddy. Mereka bertemu di bazar Ramadhan tiga tahun lalu. Setelah
tujuh bulan berkawan, akhirnya daddy
melamar Mama Anis. Keputusan daddy aku sambut dengan penuh kesyukuran
kerana aku sentiasa mahu yang terbaik buatnya. Aku tahu hati daddy telah lama sunyi dari cinta
seorang wanita. Aku hanya mahu melihat daddy
dijaga dan dicintai selayaknya seperti lelaki lain.
“Mama buat ketam masak lemak cili
api. Betul ni Dean tak nak? Nanti dah balik lewat, Dean terus tidur. Mana
sempat nak makan.” Umpan Mama Anis yang mengetahui masakan kegemaranku.
Aku menelan liur. Sedapnya! “Eh,
nak! Itu lauk kegemaran Dean tu. Mama hantar kat butik ye” Pintaku laju. Tidak
sabar rasanya hendak menjamah air tangan Mama Anis yang sememangnya lazat.
Terdengar gelak kecil di hujung
talian. “Okey, sayang. Nanti mama datang dengan daddy. Love you.”
Setelah aku memberi salam, talian
aku matikan. Hish, penangan si ketam. Apabila dah terbayang di ruangan mata,
aku nak buat kerja pun tak boleh. Perut mula terasa lapar secara mendadak.
Jangan nak buat gila, Dean. Selendang ni orang nak pakai masa nikah tahu tak?
Jangan nak buat aniaya pula tak siap selendang pengantin! Aku mengingatkan di
dalam hati. Okey,okey. Aku akan gigih menyiapkan selendang ini secepat mungkin.
Tangan aku mula menjahit semula.
******************************
Seperti
selalu suasana menjadi ceria apabila daddy
dan Mama Anis bertandang ke butik. Ada-ada sahaja yang daddy berceloteh atau memberi komen-komen membina. Aku dan Syaza
yang sedang enak menjamu makanan hanya tergelak melihat telatah daddy bersama isteri kesayangannya. Ada
hati daddy aku nak mencuba pakaian
pengantin berwarna hijau muda yang tergantung kemas. Jangan kata daddy nak kahwin lagi sudah!
“Uncle
bukannya apa Syaza. Saja nak cuba baju pengantin ni, sebab dulu masa uncle kahwin Dean belum pandai jahit
baju pengantin. Kalau tidak, confirm
tempah dengan dia. Bangga dapat pakai baju yang dijahit oleh anak sendiri.” Daddy masih mahu mencuba pakaian
pengantin tersebut. Disarungnya sahaja di tengah-tengah butik ini tanpa membuka
baju yang dipakai.
Aku menggelengkan kepala beberapa
kali. “Mengadalah daddy ni. Sejak
kahwin daddy semakin gemuk. Mana muat
baju tu.” Kataku sambil mencebikkan bibir.
“Amboi pandai aje cakap daddy dah gemuk. Tengok, muat elok aje
kat badan daddy.” Daddy memperagakan baju tersebut di
hadapanku. Kekiri dan kekanan tubuhnya dipusingkan tidak ubah seperti seorang
model.
“Sudahlah tu bang. Pakai baju
pengantin nanti teringin nak kahwin lagi pulak.” Mama Anis ketawa menutup mulut
melihat telatah suaminya.
“Sayang tetap dihati abang. Tiada
yang kedua, ketiga, keempat.” Daddy
tersenyum menawan dan mencium lembut tangan Mama Anis.
“Awak jangan tengok Syaza. Dia orang
ni suka buat drama 18SX tak kira dimana saja. Kat rumah lagilah sampai boleh
pengsan saya tengoknya.” Aku tergelak besar melihat Syaza asyik memerhatikan
aksi pasangan berusia yang bahagia.
“Jangan nak tipulah Dean. Takkanlah
setakat daddy dengan mama duduk tengok televisyen sambil beriba-riba tu pun Dean
boleh pengsan.” Sindir daddy yang
sedang membuka baju pengantin di badannya. Kemudian diberikan baju tersebut
kepada Mama Anis untuk digantung semula.
“Dean belum kahwin lagilah daddy. Mestilah boleh pengsan tengok
aksi romantik tak sedar diri macam tu. Lagi-lagi yang melakukannya pengantin
tua.” Aku tergelak lagi. Tidak tahan dengan ayat yang aku sendiri tuturkan.
“Inilah apabila anak dengan bapak
dah berlawan kata. Masing-masing tak mahu kalah. Dua-dua mulut laser.” Celah Mama Anis sambil
menggelengkan kepalanya.
Begitulah aku apabila bersama dengan
daddy. Perangai kebudak-budakan juga
yang aku buat. Tetapi nasib baik Mama Anis juga jenis yang boleh diajak
bergurau. Mungkin dia juga sudah lali dengan gurauan aku yang boleh dikatakan
mulut tiada insurans. Well, you know me.
Aku dengan daddy memang anak-beranak
yang sempoi.
“Daddy
suruh kahwin cepat-cepat tak nak. So,
jangan nak kompelin pula ye.” Daddy
melabuhkan punggung disisiku.
Aku yang sedang mengunyah nasi
hampir tercekik! Kahwin? No, not now.
“Belum bersedia lagilah daddy. Butik ni pun baru aje nak
‘bernafas’. Tunggulah sampai Dean dah berjaya nanti.” Aku yang baru meneguk air
berasa sedikit lega untuk menjawab soalan cepu emas itu. Nasib baik tak
tercekik.
“Tak baik hampakan harapan orang Cik
Dean. Encik Hazriq tu dah lama menunggu nak masuk line.” Syaza yang telah selesai membasuh tangan membuka mulut.
Hazriq? Kenapalah disebut-sebut nama
itu? Pemiliknya sudahlah seakan mempunyai kuasa ajaib. Pantang diseru, pasti
dia muncul. Takut aku!
“Dean ni sengaja jual mahal, kut.
Erm…atau Dean sengaja nak menguji sejauh mana usaha Hazriq untuk mendapatkan
Dean. Betul tak?” Teka Mama Anis yang tersenyum manis dengan busana muslimahnya.
Walaupun berhijab, Mama Anis sangat bergaya orangnya.
“Helo semua!” Tiba-tiba pintu utama
butik ini dibuka dari luar.
Terpacul wajah lelaki yang
disebut-sebut sebentar tadi bersama senyuman manis. Semua mata memandangnya
tidak berkelip. Mungkin terkejut dengan kemunculan secara tiba-tiba yang
dilakukannya. Aku dah kata dah! Jangan disebut nama itu, kerana dia pasti akan
muncul. Keturunan bomoh agaknya budak ni, getus aku di dalam hati.
Hazriq melangkah masuk dengan penuh
bergaya. Pakaiannya yang kemas menunjukkan dia dari tempat kerja atau baru
bertemu klien. Rambutnya rapi,
penampilannya segak, wajahnya kacak, tetapi entah mengapa aku masih tidak
terpaut hati pada lelaki bernama Hazriq Akid ini. Setiap kali berdampingan dengannya
aku agak tidak selesa. Caranya membuatkan aku lemas dan rimas. Malah lebih
tepat lagi membuatkan aku ‘mencair’. Bukan cair kerana sukakannya tetapi cair
dengan cara layanannya yang memualkan aku. Eeeii…meremang bulu roma apabila
teringatkan lelaki ini.
“Kebetulan Hazriq ada area sini. Jadi saja datang singgah. Apa
khabar uncle dan auntie?” Sapa Hazriq menghulurkan tangan bersalaman dengan daddy dan Mama Anis. Baik budi pekerti
budak Hazriq ni. Tetapi apa yang membuatkan aku kata dia melemaskan dan
merimaskan? Tunggu dan lihat!
“Baik, Alhamdulillah. Hazriq tak
kerja ke hari ni? Jemput duduk.” Pelawa daddy
yang bingkas bangun menarik kerusi untuk Hazriq.
Aku yang telah selesai mengemas
bekas makanan berlalu ke bahagian belakang. Lebih baik aku mengelakkan diri
sebelum aku tidak cukup oksigen untuk bernafas. Bekas-bekas makanan aku cuci
dan keringkan di atas rak pinggan. Setelah kering nanti, aku akan masukkan ke
dalam beg plastik untuk dibawa pulang ke rumah. Aku membuka pula peti sejuk
kecil untuk mengambil air soya. Aku tuangkan di dalam gelas dan meneguknya
laju.
“Cik Dean, daddy dengan mama Cik Dean nak balik tu. Pergilah temankan Encik
Hazriq kat depan.” Syaza yang datang ke bahagian dapur kecil ini berbisik.
Aku diam tidak menjawab. Setelah
habis segelas air soya di tangan, aku mencuci gelas tersebut. Syaza masih
berdiri di belakang memerhatikan pergerakanku. Temankan? Perlu ke menemani Hazriq?
Bukan dia datang sini nak tempah baju pengantin ke, tempah pelamin ke, tapi dia
datang sini nak tempah aku. Buang masa aje.
“Okey, jomlah kita ke depan.” Ujarku
dan terus berlalu ke bahagian depan.
Bayang daddy dan Mama Anis tiada lagi di dalam butik. Pasti mereka telah
pulang atau berjalan-jalan di shopping
complex berhampiran sini. Kelihatan Hazriq sedang duduk membelek majalah
pengantin yang disediakan untuk para pelanggan.
“Awak duduk dulu ye. Saya ada kerja
sikit nak siapkan.” Kataku sambil berdiri memandang Hazriq. Selain daripada
mahu mengelak dari melayani lelaki ini, aku memang perlu menyiapkan jahitan
manik pada selendang.
Hazriq mengerutkan dahi. Majalah
pengantin di tangannya diletakkan semula ke atas meja. “Saya datang sini nak
jumpa awak. Boraklah dengan saya sekejap, please.”
Pinta Hazriq separuh merayu.
Aku membetulkan anak rambut yang
terjuntai di dahi. Ruangan yang berpenghawa dingin ini terasa panas tiba-tiba. Boleh
sakit jiwa aku kalau selalu cari akal untuk menjauhkan diri tetapi lelaki hati
batu ini tetap buat selamba badak. Bukan dia terlalu bodoh untuk menilai bahawa
aku seperti tidak berminat untuk berkawan rapat dengannya. Apatah lagi untuk
lebih dari itu. Tak nak!
Melihatkan aku terdiam seperti ‘pak
pacak’ di dalam butik sendiri, Hazriq bangun dan memaut lenganku lembut. “Duduk
sini.”
“Okey, tanpa membuang masa
sebenarnya saya nak ajak awak dating
dengan saya malam ni.” Sambungnya lagi. Kemudian Hazriq meramas tanganku
perlahan.
Bulu roma aku telah mula ingin
berdiri tegak. Ah, apa sahaja perbuatan Hazriq pasti bulu roma ini juga tidak
setuju. Pasti memberontak ingin berdiri. Adakah aku kurang hormon keperempuanan
yang sejati? Sehingga setiap perlakuan tersebut tidak mampu diterima oleh badan
mahu pun hati. Akal lagilah kalau boleh nak menyumpah berbakul-bakul.
“Saya sibuklah. Bulan ni memang
sibuk sangat siang malam. Dua puluh empat jam terasa tak cukup. Awak dating dengan orang lain ajelah.” Aku
menolak ajakan Hazriq.
Hazriq bangun dan beralih kedudukan
pula di belakangku. Tangannya menyentuh kedua-dua bahuku dan diurut lembut.
Adoi, dia buat dah!
“Kesian awak penat ye. Tapi, kesian
juga kat saya yang tak dapat perhatian dari awak. Dah lama kita tak keluar
sama. Nak dating dengan orang lain
buat apa sedangkan hati dan fikiran saya ni asyik teringatkan awak aje.”
Perlahan suara Hazriq menuturkan kata. Kebiasaannya kata-kata Hazriq memang
sopan. Dia seorang yang soft spoken.
Aku bangun untuk melepaskan diri
dari urutan Hazriq. Tidak manis pula jika Syaza melihat kami dalam keadaan
begini. “Maaflah Hazriq. Tapi saya tak berminat untuk semua tu. Saya…saya…” Aku
tergagap untuk meneruskan kata.
“Syyy…” Hazriq meletakkan jarinya
dibibirku. Hey, habislah lipstick
aku!
Dia mendekatkan lagi dirinya
kepadaku. Matanya menikam tepat anak mataku sehingga aku sendiri terkedu tanpa
mampu berbuat apa-apa. Lelaki ini sering membuat aku serba-salah. Hendak
ditolak secara kasar, dia datang dengan cara baik. Hendak dilayankan pula, hati
aku tidak berminat. Eh, tak nak tipu-tipu. Minat sedikit tu ada juga sebab dia berjaya
dalam kerjaya, baik budi pekerti, rupa yang menawan cuma aku tidak suka dengan
cara pendekatannya.
“Saya tak boleh terima apabila
ditolak. Kalau awak tak nak keluar dengan saya malam ni, saya akan berdiri di
luar pintu butik awak dari sekarang sampai esok pagi.”
Ugutan lagi? Ini yang aku lemah dan
tak sampai hati. Walaupun usia perkenalan kami baru mencecah sepuluh bulan,
telah beberapa kali aku diugut dengan cara sedemikian. Aku juga pernah berdegil
dan membuat tidak peduli terhadap kata-kata Hazriq. Tetapi rupanya benar. Dia
tetap akan melakukan apa yang dikatakannya walau puas aku merayu. Siap drama
air mata segala bagai tetapi tidak berhasil. Dia pernah berdiri di luar pagar
rumahku semalaman sehingga jiran-jiran berasa curiga. Malah Hazriq juga pernah mencampakkan
telefon bimbitnya yang berharga ribuan ringgit ke dalam parit di depan butik
gara-gara aku berpesan agar tidak mencariku lagi. Telefon bimbit itu akhirnya
dibawa arus air yang agak deras.
Aku tersenyum pahit. “Jemput saya
jam sembilan malam. Maaf tak boleh diawalkan lagi sebab saya memang banyak
kerja kat butik.”
Aku mengalah juga dengan ugutan Hazriq.
Senyuman lebar menghiasi wajah kacak di hadapanku tanda dia berpuas hati. Nasib
baiklah kau kacak, Hazriq Akid. Kalau rupa buruk buat perangai macam ni pulak,
memang aku terus report polis aje.
Jahat pula bisikan hati aku saat ini.
“No
problem. See you tonight.” Hazriq menyentuh lembut pipi kananku sebelum perlahan-lahan
menjatuhkan tangannya.
Aku sekadar mengangguk dan
menghantar Hazriq keluar dari butik ini melalui pandangan yang kosong. Lambaian
Hazriq juga aku biarkan sepi tanpa balasan. Setelah beberapa minit dalam
keadaan begitu, aku akhirnya melangkah untuk meneruskan kerja.
***Asmira Ke Asmara? telah diupdate 2 bab terus untuk hari ini...selamat membaca dan ringankanlah tangan untuk mengomen ye...tQ
3 comments:
rindu juga kat Amira dan Asmara ni...mungkinkah mereka ni adik beradik kembar?
NB - dah tak dipanggil asmira ekkk?
Seri Ayu: Hihi tak..mereka bukan kembar..
NB: Asmira kini dipanggil Dean..nak tahu kenapa? tunggu bab demi bab ye =)
Post a Comment