Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Wednesday, August 1, 2012

Bukan Isteri Pilihan Bab 4


Bungkusan yang baru sahaja aku ambil di pejabat kolej kediaman dibawah tadi aku letak diatas katil. Beg tangan aku simpan ke dalam almari dan kasut aku letakkan di atas rak kasut yang berada di tepi almari baju. Aku membuka butang leher baju kurung hijau muda yang kupakai dan kutanggalkan kain baju kurung lantas aku membalingnya masuk kedalam baldi. Aku sempat menjenguk isi yang berada di dalam baldi tempat aku mengumpul pakaian kotor untuk dibasuh. Masih berbaki separuh lagi ruang kosongnya. Hujung minggu sahaja basuh baju. Aku bab-bab membasuh ini memang kureng sedikit minatnya. Kalau temuduga mencari calon isteri yang rajin membasuh baju setiap hari sudah tentu aku tersingkir tanpa perlu bertanding.

            Tangan kularikan mengambil bungkusan kotak sederhana besar yang berada di atas katil. Aku membelek belakang bungkusan tersebut ada tertulis nama dan alamat pengirimnya. Lebar senyumanku ketika ini. Dengan kasar aku mengoyak kertas pembalut hadiah bercorak abstrak dan isi di dalam kotak aku keluarkan. Wah! Koleksi beberapa buah novel terbaru di pasaran. Pandai makcik pilih hadiah. Getus hatiku lagi. Telefon bimbit aku tekan dan mula menaip mesej.


Terima kasih daun keladi ye makcik. Aku suka sangat hadiah kau bagi. Sayang kamu ketat-ketat. He he he.


Beberapa minit kemudian isyarat mesej masuk kedengaran di telefon bimbitku. Aku lantas menekan sambil membelek-belek dan membaca sekali imbas sinopsis di belakang novel-novel tersebut.


Happy Birthday in advanced. Maaf sebab nanti kau balik cuti dan masa hari jadi kau aku tak dapat bersama. Terpaksa ikut hubby aku berkursus sebulan di Terengganu. Ada masa nanti kita jumpa lain kali. Take care dear.


It’s okey babe. Aku faham sekarang aku terpaksa berkongsi kau dengan Izwan. He he he. Pastikan balik nanti bawa ‘isi’ dalam perut tau! Love you.


            Aku berbaring melepaskan lelah. Hari ini tugasan yang sibuk aku kerjakan selama hampir tiga minggu telah pun selamat sampai ke tangan Prof. Asmah Bee. Lega hati bukan kepalang. Terasa otak ringan sedikit berbanding semasa bertungkus lumus menyiapkan tugasan tersebut. Sampai waktu makan dan minum tidak menentu jadinya. Sudahlah orang tua itu cerewet bukan main lagi. Kedekut pula dalam memberikan markah. Kalau tidak mengikut betul-betul piawaian yang ditetapkan olehnya lingkup dan gelaplah masa depan aku dalam subjek Pertumbuhan dan Perkembangan Manusia ini. Semestinya aku tidak mahu perkara itu berlaku.

            Akhirnya aku tersedar apabila Ema pulang dari kuliah dan mengejutkan aku. Laa…tertidur rupanya aku tadi. Pantas tanganku mencapai telefon bimbit ditepi bantal. Sudah pukul tujuh petang rupanya. Aku bingkas bangun mencapai tuala yang tersidai di atas palang besi.

            “Thanks Ema kejutkan aku. Tak sedar pula tertidur. Penat sangat kut tadi.” Aku tersenyum sambil menjinjing bakul kecil yang berisi segala kelengkapan untuk mandi.

            “Tak ape lah. Hal kecik je tu. Kat sini kan kau jaga aku, aku jaga kau. He he he!” Ema juga melakukan perkara yang sama seperti aku. Kami memang suka mandi di bilik air yang bersebelahan. Sambil mandi pun mulut becok boleh berborak. Nasib baik ada empat bilik mandi yang sederet.

            Akhirnya kami sama-sama berlenggang ke bilik air untuk membersihkan diri. Selesai sahaja solat maghrib telekung kulipat dan kusimpan semula ke dalam almari. Aku duduk di atas meja belajar dan sekali lagi membelek novel-novel yang kuterima petang tadi. Semuanya nampak menarik sampai tak tahu nak mula membaca yang mana satu.

            “Siapa bagi tu? Banyak pula…” ujar Ema sambil merapatiku. Dia turut sama membelek novel-novel yang ada.

            “Kawan baik aku kat kampung. Sebab nanti birthday aku bulan depan dia tak ada. Ikut suami berkursus kat Terengganu. So dia pos lah hadiah siap-siap.” Betul ke kampung? Aku berfikir sejenak. Rumah aku betul-betul tengah bandar Batu Pahat yang menjadi bandar kedua terbesar selain Johor Bahru. Alah, kira kampung lah kan sebab itu tempat asal usul aku. Bila cuti pun orang tanya nak balik mana? Tentulah aku kata nak balik kampung. Takkan nak balik bandar pula!

            Ema menganggukkan kepala sambil mata tak berkelip turut membaca sinopsis di belakang novel. “Best nya kawan kau dah kahwin ye? Kita ni masih berhempas pulas mengejar ilmu…”

            “Kalau dapat kahwin anak orang kaya tentulah best. Buat apa nak susah-susah lagi ye tak? Degree yang ada ni pun anggap sebagai bonus sahaja. Eh, kalau kau nak pinjam ambillah yang mana pun. Lepas habis baca jangan lupa letak atas meja aku.” Aku mempelawa Ema apabila aku lihat reaksi wajahnya seakan berminat dengan novel-novel cinta yang dihadiahkan oleh Fana ini.

            Ema tersenyum sambil memeluk bahuku. “Ha…ini yang buat aku makin sayang kat kau…thanks roommate…” Ema terus mengambil sebuah novel dan berbaring di atas katil miliknya. Dah mula nak layan perasaan lah tu apabila membaca novel cinta.

            Telefon bimbitku berdering nyaring. Lagu Kembang Perawan nyanyian Gita Gutawa bergema seketika di dalam bilik yang sederhana besar ini. Aku melihat nama mak terpapar di skrin.

            “Assalamualaikum mak. Sihat ke semua?” Sapaku lembut. Mak rajin menghubungiku selang beberapa hari.

            “Waalaikumsalam, akak sihat? Kami semua sihat aje kat sini.” Mak ketawa.

            “Sihat mak. Cuma selsema sikit sebab kena hujan petang tadi. Tapi akak dah makan ubat. Mak rindu akak ke?” Aku pula yang ketawa dan begitu juga mak di hujung talian.

            “Rindulah…semua orang rindu akak. Baguslah cepat makan ubat jangan biar melarat nanti terganggu nak belajar. Erm…akak…mak nak cakap sikit ni…” kedengaran suara mak semakin perlahan dihujung sana.

            Apa hal pula ni? Aku mula tak sedap hati sebab aku tau mak jenis yang jarang serius. Mulut dan suaranya sahaja sering memetir kalah petir kat langit sana tu. Tapi nak cakap serius atau hal yang berat-berat memang tidaklah. “Cakaplah. Apa dia?”

            Lama aku mendengar bunyi deras nafas mak. Semakin membuatkan aku tak senang duduk. “Ada…ada orang…meminang Aida.”

            Papp!!! Macam satu batu besar menghempap kepala. “Hah?! Adli ke mak? Aida cakap nak bertunang sahaja…mana ada ajak dia kahwin lah mak…” Aku menjawab perlahan. Mana tau mak marah dan tidak suka dengan perkara ini. Yelah, aku masih muda baru berusia dua puluh satu tahun. Ops! Belum lagi…Bulan hadapan ye.

            “Bukan Adli lah sayang. Anak kawan ayah. Mak dengan ayah pun dah terima pinangan tu. Mak tengok gambar dia berkenan macam baik budaknya. Keluarga dia pun orang baik-baik. Ayah berbesar hati andai dapat berbesan dengan orang yang rapat dengan dia dulu.” Suara mak kedengaran mula ceria seperti biasa.

            “Mak…siapa yang nak kahwin ni…mak ke akak? Sampai hati mak…akak kan dengan Adli…” Aku kemudian bangun keluar dari bilik untuk menyambung perbualan di balkoni tingkat empat ini. Takut Ema terdengar pula perbualan yang aku rasakan semakin serius dan memeningkan.

            “Laa…setahu mak setahun setengah dah sejak akak masuk universiti akak dah putus dengan Adli. Akak pun tak ada cerita pasal dia macam dulu-dulu tu. Jadi mak ingat memang dah putus betul lah kan?” Kedengaran suara mak bimbang kembali.

            “Memang dah tak ada apa-apa. Kami cuma kawan biasa aje tapi tak lah terfikir sampai dipinang oleh orang lain. Berharap juga Adli tu tukar fikiran dan meminang akak cepat-cepat…” Airmata terus membasahi kelopak mata. Mungkin pengakuan itu ikhlas dari lubuk hati paling dalam tentang perasaan sebenar aku pada Adli. Aku buat semua ni dengan harapan Adli akan takut kehilangan aku dan segera masuk meminang.

            Mak melepaskan keluhan berat. “Macam ni lah ye akak. Baik akak ikut aje pilihan mak dengan ayah ni. Bukan mak tak suka Adli kamu tu. Tapi tengoklah sampai setahun setengah kamu mogok pun ada dia datang meminang kamu?” Mak seakan dapat membaca apa yang berada dalam fikiranku. Iya! Aku kecewa sangat sebab Adli tidak memahami tindakan aku selama ini. Tapi itu tidak bermakna aku sewenangnya menerima orang lain. Kenal pun tidak!

            “Mak tahu kamu muda lagi. Tapi mak dulu pun berkahwin masa umur macam kamu sekarang ni. Adli tu berat tanggungjawab dia pada adik-adik dan keluarga. Kamu pula jenis yang semua kehendak perlu dipenuhi. Dari kecik sampai besar kamu dimanjakan. Adli mungkin tak dapat ikut rentak kamu tu.” Mak kemudian menyambung lagi.

            “Kawan ayah ni orang senang. Anak lelaki dia tu anak tunggal satu-satunya. Dia pun berharap sangat dapat berbesan dengan ayah kamu yang dia kenal sejak kecil lagi. Mereka baru terjumpa masa ayah pergi ke Pulau Langkawi. Tak sangka dia pergi bercuti dengan keluarga dia dan masih kenal dengan wajah ayah kamu. Cincin mak dah terima. Kira sekarang ni kamu tunangan orang lah ye. Nanti masa birthday kamu, kamu akan dinikahkan. Majlis persandingannya awal tahun hadapan.”

            Aku masih belum jelas dengan semua ini. Amboi bukan main lancar pula mak mengatur itu dan ini. Bukan dia tidak kenal anak sulungnya ni tidak suka diatur-atur. Semua mesti ikut kehendak aku. Tiba-tiba hari ini aku tak dapat pula membuat keputusan. Lagi lah rasa nak merajuk bertahun-tahun….

            “Kenapa cepat sangat mak? Tunang saja lah dulu. Habis belajar baru kahwin.” Aku mencongak-congak untuk menjalankan rancangan nak mencantas perhubungan ini. Mungkin aku boleh suruh Adli kumpul duit dulu sementara aku menjadi tunangan orang. Sampai masa habis belajar aku bagi tahu aku nak kahwin dengan Adli. Boleh kut?

            “Kawan ayah tu nak berpindah ke Jakarta bulan depan. Anak dia tinggal di Malaysia seorang diri sebab masih menuntut sama universiti dengan kamu. Jadi kami dah sepakat lebih baik nikahkah saja dulu. Awal tahun depan mereka balik bercuti panjang boleh langsungkan majlisnya. Dah la…ayah kamu panggil mak tu. Mak belum pernah lagi memaksa dan minta kamu buat apa-apa untuk mak. Selama ini ikut kehendak kamu saja. Kalau kamu mengalah kali ni mak sangat berbesar hati ye nak…assalamualaikum.” Talian dimatikan tanpa sempat aku berkata apa-apa. Aku telan liur yang terasa semakin pahit. Bermula dengan selsema mungkin aku akan sakit tekak pula. Bonus lagi ialah pening kepala!

            Mak…akak lebih rela menggantikan selama dua puluh satu tahun hidup didunia ini dengan hanya mendengar kata mak. Berbanding selama ini mak mengikut segala kehendak akak tapi bab kahwin yang serius dan penting ni mak nak akak beralah pula. Aduh….apa semua ni….

 ***Bersambung =) novel ini turut dimuatkan dalam www.penulisan2u.my dan www.novelmelayukreatif.com 
       terima kasih atas sokongan kawan-kawan terhadap karya saya. LOL


5 comments:

ciknie said...

ksian plak ttiba je call kena khwin plak stdy pn abis ag

Shizukaz Sue said...

dah nasib badan aida nasuha..apa blh buat..ehehe

Unknown said...

urm kesian aida nasuha..daa kene kawin..muda lagii laaa...

khadijah said...

wahhh..untung la aida..besday dia dpt byk novel..heheheh..kita xpnah pown org nk bg mcm 2..hahahha.....tp sian dia kna kawin muda..tp apepown best kawin muda..heheheh

Tun Teja said...

Kalau mak aku ni jangan harap dia kasi aku kahwin masa belajar