Deandra Asmira Binti Mohamad. Aku
membelek kad pengenalan yang baru aku keluarkan dari dalam dompet. Terasa
sangat lama aku tidak mendengar sebutan nama penuhku sendiri. Semuanya sebab
dia! Perempuan yang paling aku benci. Perempuan yang melukakan hati daddy dan sanggup meninggalkan aku yang
masih bayi. Siapa dia dalam hidup aku? Dia adalah perempuan yang telah
melahirkan aku kedunia ini tetapi aku tidak pernah menatap wajahnya. Malah
sekeping gambar juga tiada dalam simpanan daddy
untuk aku melihatnya. Apa yang dia tinggalkan untuk aku hanyalah nama Deandra
berasal dari namanya iaitu Deanna Drawson.
Aku telah terjumpa diari lama daddy di dalam setor sewaktu aku mencari
barang permainan yang hilang. Ketika itu aku berusia sebelas tahun. Apa yang sering
disogokkan kepadaku sebelum itu ialah mummy
sudah lama tiada akibat kemalangan jalan raya. Oleh sebab itu aku hanya
dibesarkan oleh daddy seorang diri.
Namun sejak aku terbaca diari tersebut, hati aku hancur berkecai. Ternyata
semua cerita yang aku dengar adalah rekaan semata-mata. Malah sejak saat itu
juga aku tidak pernah memperkenalkan namaku sebagai Deandra Asmira. Cukuplah
sekadar namaku Asmira Binti Mohamad biarpun aku tidak dapat membuang darah
perempuan mat saleh itu dalam badan ini. Betapa aku terlalu bencikan dia!
“Asmira, buat apa tu sayang?” Daddy menjengah ke dalam bilikku yang
bersepah ini. Sememangnya aku tidak suka mengemas, mungkin kerana tiada wanita
bergelar ibu yang patut aku contohi. Aku membesar mengikut acuan daddy yang sebenarnya terlalu sibuk dan
jarang berada dirumah. Siapalah yang akan aku contohi atau dijadikan role-model? Akibatnya inilah diri aku
yang tidak berapa hendak menjadi perempuan sejati.
Aku segera menyimpan kad pengenalan
yang aku pegang ke dalam dompet. “Tak ada apa-apalah daddy. Asmira tengah belek-belek dompet ni. Macam dah tak cantik
aje, sebab dah lama pakai.” Aku tersenyum dan mengusap-usap dompet di
genggaman.
Daddy
melangkah masuk dan duduk disebelahku. “Yeke? Tak apalah. Nanti daddy bagi duit, Asmira beli yang baru
okey.” Daddy membelai kepalaku penuh
kasih.
Mataku mula bersinar gembira. “Betul
ni? Asmira memang nak keluar shopping
esok dengan Laila. Daddy bagi duit
lebih sikit ye.” Aku tersengih-sengih macam kerang busuk. Daddy memang tak pernah mengecewakan apabila aku berbicara soal
wang. Mungkin dia merasakan itu salah satu cara untuk membuktikan kasih sayang
terhadap puteri tunggalnya ini.
Pantas Daddy mengangguk sambil tersenyum. “No problem, Asmira. Anything
for you. Dah, jom keluar makan. Daddy
lapar ni.” Daddy menarik tanganku
untuk bangun dari atas katil.
“Okey, tapi daddy tunggu luar sekejap. Asmira nak tukar baju.” Kataku sambil
memandang wajah daddy yang masih
segak walaupun berusia dalam lingkungan empat puluhan. Sekali imbas aku tengok dah
macam rupa Datok K pula daddy aku ni.
Kalau Siti Nurhaliza terjumpa daddy
sebelum penyanyi nombor satu negara itu berkahwin, tentu boleh tangkap cintan
punya! Kan seronok kalau dapat mak tiri secantik dan sebaik Siti….
“Okeylah. Tapi jangan lama-lama. Daddy lapar sangat dah ni. Bilik yang
bersepah ni nanti esok Ibu Zai datang kemas.” Ujar Daddy dan terus keluar dari bilik anak daranya ini. Kalau
berlama-lama memang daddy akan
melihat ‘cermin mata’ yang bertaburan di bawah timbunan baju kotor di atas permaidani.
Pendek kata kalau ada sesiapa yang datang nak meminang aku, pasti akan cabut
lari setelah melihat keadaan dalam bilik ini. Hehehe!
Aku segera menyalin pakaian kepada
seluar jeans separas lutut dan t-shirt sendat berwarna putih. Kemudian
aku menggeledah laci almari untuk mengambil stoking Nike dan terus berlalu
keluar mendapatkan daddy.
“Jom, daddy! Asmira dah siap ni.” Ajakku sambil mengerling sekilas kearah
daddy yang duduk membaca surat khabar
di ruang tamu.
Tanpa menunggu daddy, aku duduk di muka pintu untuk memakai stoking dan kasut Nike
kegemaranku. Setelah siap, aku beredar menuju ke garaj dan berdiri disisi
kereta Toyota Estima kepunyaan daddy.
“Hish, anak dara bertuah ni. Bukan
pandai nak tutup kipas, kunci pintu semua. Ini dah siap berdiri tunggu tepi
kereta. Kalau dapat perempuan macam ni, memang sah daddy tak ajak dating.”
Omel daddy sayup-sayup ditelingaku
sambil melakukan tugas yang dia sebutkan sebentar tadi.
“Alah, daddy boleh buat sendiri semua tu. Asmira pun tak nak dating dengan lelaki tua macam daddy! Kuat membebel pulak tu.” Aku
memekik agar dapat didengari dengan jelas oleh daddy. Kemudian setelah terlihat kelibat daddy muncul berhampiran garaj, aku sengaja mencebikkan bibir tanda
mengejek.
Seperti biasa, daddy hanya tertawa kecil sambil menggelengkan kepalanya beberapa
kali. Itulah sikap daddy yang tidak
pernah marah-marah, jauh sekali untuk memukul aku. Daddy adalah lelaki terbaik yang pernah aku kenali selama aku hidup
lapan belas tahun didunia ini. Selain daripada tahap kekacakan yang aku
sebutkan tadi, daddy banyak duit, daddy pencinta setia dan daddy romantik. Walaupun aku dah promosi
daddy setinggi itu, tetapi maaflah
kepada wanita-wanita yang tertelan liur terhadap daddy kerana sehingga kini dia tetap tidak mahu berkahwin lagi.
Melepaslah kau orang!
*******************************
“Asmira
sayang, nak makan apa?” Hah, kan aku dah kata daddy atau Encik Mohamad ini sangat romantik orangnya! Soalan yang
keluar dari mulut dia sangat sweet
sehingga ada mata-mata nakal yang menjeling kearah kami.
“Asmira nak makan…erm…Zinger Burger
satu set. Lepas tu, air nak tukar kepada ice
lemon tea. Jangan lupa order aiskrim
sekali tau!” Jawabku sambil memandang wajah daddy
yang masih memakai kaca mata hitam.
“Okey sayang. Pergi duduk sana dulu,
nanti semuanya akan patik belikan ye.” Daddy
menunjukkan kearah meja kosong di bahagian hujung Restoran KFC ini.
Aku mengangguk dan tergelak kecil.
Geli hati melihat telatah daddy yang
sengaja mengada-ngada apabila mata-mata disekeliling kami memandang pelik. Aku
sudah biasa dengan situasi begini. Maklumlah wajah aku dan daddy tidak seperti seorang anak dengan ayahnya kerana aku berdarah
kacukan Melayu-Inggeris manakala daddy
pula Melayu tulen. Jawa mariii! Lebih-lebih lagi kami sering berjalan
berpegangan tangan tidak kira kemana sahaja. Sekali tengok, dah macam pasangan
kekasih pula. Mungkin kerana itu daddy
sukar didekati oleh wanita lain selama ini.
Aku melepaskan genggaman tangan daddy, kemudian melangkah untuk duduk
dimeja yang ditunjukkan. Masih tidak dapat menahan senyum akibat dipandang
serong oleh beberapa orang pelanggan yang turut sama beratur di belakang daddy. Mesti mereka fikir daddy tu adalah sugar-daddy aku kan. Alah, apa ada hal? Itu bapak akulah.
Hampir sepuluh minit menunggu
barulah kelihatan daddy menuju
kearahku sambil menatang dulang yang berisi makanan segera.
“Daddy
esok lepas keluar shopping dengan
Laila, Asmira nak ajak dia tidur rumah kita tau. Mak dengan ayah dia tak ada
balik kampung. Kita orang pulak ada kerja seni yang perlu disiapkan atas kanvas
tu. Jadi tak dapatlah Laila ikut balik kampung.” Aku meminta keizinan dari daddy walaupun sebenarnya hanyalah
sebagai pemberitahuan sahaja. Apa yang ingin aku lakukan tidak pernah dibantah
oleh daddy dan pastinya sentiasa
mendapat keizinan. Syok kan?
Kelihatan daddy mengangguk-angguk dan menyedut minumannya. Kemudian mula
menjamah ayam goreng yang berada di dalam pinggan dengan penuh berselera. Aku
juga turut melakukan perkara yang sama dan suasana menjadi sunyi seketika.
Hanya sesekali terbit ketawa kecil antara kami apabila daddy mengelap bahagian tepi mulutku yang agak comot terkena sos.
“Macam mana dengan sekolah baru?
Asmira suka?” Soal daddy setelah
habis seketul ayam dipinggannya. Matanya sesekali menyapa wajahku sambil
tangannya lincah mencubit seketul lagi ayam goreng untuk dimasukkan ke dalam
mulut.
Aku mengangkat kening. “Bolehlah…cuma
Asmira still rasa janggal sebab ada
kaum lelaki sebagai rakan sekelas. Tapi apabila memikirkan duduk kat sekolah tu
tak lama, Asmira buat-buat biasa aje.” Jawabku jujur. Sememangnya aku tidak
biasa berhadapan dengan kaum lelaki biarpun yang telah membela aku sehingga
besar panjang selama ini adalah seorang lelaki.
“Kenalah biasakan diri, sayang. Dari
sekolah rendah sampailah tamat SPM Asmira berada di girls school. Sebab tu untuk tingkatan enam ni daddy nak Asmira masuk sekolah campur. Kalau langsung tak jumpa
lelaki, memang sampai matilah daddy
tak merasa dapat menantu.” Selamba sahaja daddy
mengusik aku sambil mengulum senyum penuh makna.
Aku menjegilkan mata kepadanya. “Tak
ada maknanya daddy nak fikirkan pasal
menantu sedangkan Asmira baru aje lapan belas tahun. Sepatutnya daddy tu fikirkan untuk cari calon mummy untuk Asmira. Sunyilah rumah kita
tu, selagi daddy tak kahwin-kahwin.”
Bidasku pula.
“Kesitu pulak anak dara daddy ni. Dah berbelas tahun daddy hidup sendiri dengan Asmira, dah
tak ada rasa nak cari pasangan hidup. Daddy
bahagia macam ni. Kalau tak nak sunyi, Asmira kahwinlah cepat-cepat lepas tu
bagi daddy cucu. Tentu meriah rumah
kita.” Daddy tersenyum lebar. Sengaja
dia mengenyitkan matanya kepadaku untuk menyakat. Daddy kalau bab mengusik dan menyakat orang memang tak nak kalah.
Sampai letih melayannya.
Aku menjeling tajam. Kemudian aku
menyedut air sehingga berbaki separuh. Tiada gunanya berlawan cakap tentang hal
ini dengan daddy. Apabila aku suruh
dia berkahwin, dia pula yang menyuruh aku berkahwin. Aku menggelengkan kepala. Daddy tetap tidak berubah dengan
pendiriannya.
Mungkin
luka dihati daddy terlalu dalam
sampai masih terasa sehingga kini. Arghh, perempuan mat saleh itu memang kejam!
6 comments:
Saya suka baca semua karya awak. Bahasa yang pro. UUM yer dulu? Sama la...Slam kenal yer.
Terima kasih Shafriza.. =) sy penulis beginner yg masih blajar unt menulis dgn baik..owh uum thn bila? selamat berkenalan..
apa la yang daddy dia tulis dalam dairi tu ya, sampai anak dia betul2 bnci kan mummy dia. tapi betul, laki kalau da tluka, sukar dia nak cari pgganti :)
Nurul: hehe ikin nnt akak fotostat diari tu bagi baca ek..kihkih orang lelaki ni kadang2 lagi sentap dr pompuan..heee
erm best jugak cerita nih...romantik lah ayah dia..boley men2 syg dgn anak dia..kelas gitu :)
NB - permulaan yang menarikk...sukar nak jumpa lelaki yg terlalu pecinta setia...kalau perempuan kita dah biasa dgr...
(^_^)
Post a Comment