Shiz hanyalah seorang pencinta karya yang ingin berkongsi cebisan kisah yang dapat memberikan inspirasi serta motivasi terhadap pembaca. Yang baik semuanya dari Maha Pencipta, dan segala kekurangan harap dapat diperbaiki... =) Happy Reading semua...

Tuesday, January 22, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 22


               “Ya, Allah…huru-hara majlis dibuatnya!” Datok Husin yang termengah-mengah mengambil tempat untuk duduk.

            “Dah tu macam mana ni bang? I malu besar tahu tak?” Syikin pula membuka kasutnya dan mencampakkan di atas lantai.

            Datok Husin mengurut dadanya berulang kali. “Baby, you ni fikir diri you aje. Ingat I tak tahu malu ke apa?”

            “Sabar Datok, Syikin. Yang penting akad nikah dah selamat.” Aku cuba menenangkan keadaan yang agak tegang.

            “Habis macam mana I nak bersanding malam ni? I yakin singa tua tu akan datang lagi buat kacau!” Syikin mula membentak marah. Wajah yang sepatutnya berseri sebagai pengantin baru sudah hilang serinya.

            “Baby, you boleh tak jangan marah-marah? Bagi I fikir dulu.” Datok Husin cuba meraih tangan isteri barunya tetapi segera ditepis kasar oleh Syikin.

            “Macam ni ajelah Datok. Kita ketatkan kawalan keselamatan. Hanya tetamu yang membawa kad jemputan dibenarkan masuk. Beritahu semua pengawal yang Datin tidak dibenarkan berada disini. Insyaallah persandingan akan tetap berjalan seperti yang kita rancangkan.” Aku yang berdiri di sebelah Syaza memberikan pendapat.

            “Baik. Saya akan tambahkan lagi pengawal untuk menjaga pintu masuk.” Datok Husin mengangguk tanda bersetuju dengan cadangan yang aku berikan.

            “Boleh berjaya ke? I dah tak ada mood nak bersanding.” Syikin menarik muka masam. Tangannya memeluk tubuh.

            “Apa ni baby? Dulu you kata sanggup terima risiko. Now you nak buat perangai budak-budak pula pada I.” Datok Husin cuba memujuk. Dipeluk isterinya dari belakang walaupun tubuh Syikin tetap membatu.

            “Syikin, jangan risau. Awak dan Datok dah selamat jadi suami isteri. Datin tak boleh buat apa-apa. Kita teruskan majlis seperti biasa. Bersabar ye.” Aku juga sibuk memujuk. Syaza pula sudah berpeluh-peluh di dalam bilik berpenghawa dingin ini.

            Mana tidaknya, dia orang pertama yang melihat aksi serang-menyerang sebentar tadi. Datin Kalsom datang bersama anak perempuannya dan bertempik memaki-hamun tidak tentu arah. Sampai dicekaknya leher Datok Husin dihadapan para tetamu. Nasib baik sebelum sempat Syikin ditampar oleh anak tirinya, Syaza dapat menahan. Kemudian dilarikan pula Syikin naik ke tingkat atas. Suasana hingar-bingar memang amat memalukan kedua mempelai. Terpaksa aku memanggil pengawal untuk mengheret Datin Kalsom dan anak perempuannya keluar dari dewan.

            Patah hati aku melihat situasi tersebut. Apatah lagi aku orangnya yang turut menjadi dalang membantu pernikahan Datok Husin secara sembunyi dengan Syikin. Datok tua yang ingin berbini dua itu rupanya penakut bini. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Katanya terlalu terkejut. Tetapi dari riak wajahnya aku tahu dia takutkan Datin Kalsom. Arghhh…maafkan saya Datin…Saya juga seorang wanita. Punya hati dan perasaan yang sama. Saya terpaksa bertindak setegar itu kerana tugas. Kalau ikutkan hati aku juga mahu mengganyang Datok tidak sedar diri itu.

            “Baiklah, saya tinggalkan Datok dan Syikin berehat dulu. Nanti setelah tiba waktu untuk bersiap, saya beritahu. Saya nak turun ke dewan.” Ucapku setelah kedua-dua pengantin baru itu diam tidak berkutik. Masing-masing melayan rasa.

            Datok Husin hanya mengangguk dan aku terus keluar dari bilik bersama Syaza. Kami menuju ke lif untuk turun ke tingkat bawah.

            “Dahsyat betul majlis kali ni.” Syaza menggelengkan kepala.

            Aku tergelak kecil. “Pengalaman paling teruk kan?”

            Syaza mengangguk. “Tak sempat buat apa pun. Gambar selepas nikah langsung tak ada.”

            Keluhan Syaza aku sambut dengan gelak lebih besar. “Syukurlah sempat nikah. Dah selamat jadi suami isteri. Sayangnya Datin terlewat sampai!”

            “Apa ni Kak Dean? Gelak-gelak pulak.” Syaza mencebikkan bibirnya.

            “Kelakar dengan ragam manusia. Nak kahwin banyak tapi main sembunyi-sembunyi. Kalau betul jaguh, hero sangat, minta kebenaran terang-teranglah! Baru akak tabik spring.” Aku ketawa lagi dan melangkah masuk ke dalam lif setelah pintu terbuka.

            “Kalau macam tu, confirm tak dapat kebenaran punya. Tak merasalah Datok tu nak berbini muda.” Syaza pula tersengih macam kerang busuk.

            Aku menggelengkan kepala beberapa kali. “Pusing juga akak dibuatnya. Harap-harap majlis persandingan berjalan lancar.”

            “Kasihan Datin Kalsom tu kan? Mesti dia tengah sedih.”

            Aku tunduk memandang lantai lif. “Akak pun tak sampai hati, tapi apa pun kita kena selesaikan kerja kita hari ni. We have to be professional.”

            Syaza mengangguk lemah dan kami beriringan keluar dari dalam perut lif setelah tiba di tingkat bawah. Masuk sahaja kaki ke dalam dewan, terdapat sebilangan kecil tetamu yang datang mendapatkan aku.

            “Majlis malam ni jadi ke tak?”

            Aku tersenyum dan mengangguk. “Insyaallah majlis seperti yang dijadualkan. Datang ye malam nanti. Pengantin sedang berehat.”

            Mereka semua mengangguk dan bersalaman denganku. Kemudian dewan kelihatan lengang. Yang tinggal hanyalah pekerja-pekerjaku yang sedang menukarkan props untuk majlis persandingan.

            “Syaza, tolong monitor diaorang ye.” Aku berjalan ke hadapan meninggalkan Syaza.

            “Fizal!” Aku melambaikan tangan.

            Fizal menjenguk kebawah dan mengangkat sedikit kepalanya.

            “Turunlah sekejap.” Aku melambai lagi.

            Fizal yang sedang memanjat tangga untuk memasang tirai belakang pelamin segera turun.

            “Nanti orang catering datang, Fizal tolong uruskan ye. Siapkan pelamin tu cepat sikit. Saya ada hal kena keluar sekejap.” Aku memberikan arahan kepada pekerja sambilanku ini.

            “Boleh, boleh. Lagipun Syaza ada kan? Kalau saya tak sure, saya tanya dia.” Fizal tersenyum dan mengesat peluh di dahi.

            Aku mengangguk pantas. “Boleh rujuk dengan Syaza. Tapi hal catering tu Fizal dah biasa buat sendiri kan? Mesti boleh punya. Kalau tak cukup meja lauk tu, minta tambah.”

            “Orait.” Fizal menaikkan ibu jarinya tanda bagus.

            Aku tersenyum dan berpusing untuk melangkah pergi. Ketika melintasi Syaza yang sedang sibuk memantau persiapan tempat khas memotong kek, aku hanya melambaikan tangan. Wajah Syaza yang agak berkerut mencuit hati dan membuatkan aku mengulum senyum. Biarlah, tak kan dua puluh empat jam berkepit dengan dia aje.

            Aku keluar dari dewan dan menuju ke lobi. Apabila keluar dari pintu utama, aku menaiki teksi yang telah tersedia disitu untuk pelanggan hotel. Destinasi diberikan dan teksi meluncur laju membelah kesesakan jalan raya.

            Sampai sahaja, aku mengeluarkan telefon bimbit dari dalam beg tangan. Menaip sesuatu dan menekan butang send. Beberapa minit kemudian….

            “Hai!” Sapaan itu membuahkan senyuman manis di bibirku.

            “Dah habis kerja?” Soalku pula.

            Gelengan sebagai jawapan. “Belum lagi. Kita ni kerja kerajaan sayang oi. Bukan kerja sendiri macam awak.”

            Aku tergelak kecil mendengar jawapan selamba lelaki kacak disisi. “Ingat kerja sendiri senang ke? Baru tadi majlis nikah kena serbu tahu tak?”

            Matanya membulat. “Siapa yang serbu?”

            “Isteri pertama Datok Husin. Habis kecoh dibuatnya.” Aku membetulkan anak rambut yang jatuh di dahi.

            “Biar betul? Majlis persandingan jadi ke tak?”

            “Insyaallah, budak-budak tengah buat persiapan kat dewan. Saya lari sekejap kesini.”

            Matanya mengecil comel. “Rindu eh?”

            Aku mengerutkan dahi. “Siapa kata?”

            “Dengar, hati awak cakap. Kalau tak, takkan orang lain sibuk awak boleh lari datang sini.” Dia tergelak manja.

            “Saja hilangkan stress. Nak check gigi boleh?” Aku tersengih macam nak suruh check sekarang.

            “Tak kisah dapatkan perkhidmatan klinik kerajaan?” Dia mengurut dagunya.

            “Mana-mana pun sama. Asalkan doktornya berkaliber.” Tingkahku pula.

            “Sangat berkaliber. Jom!” Dia menarik tanganku untuk masuk ke dalam.

            Ketawa besar terhambur. Asmara memandang aku dengan pandangan pelik. “Saya main-main ajelah. Tak ada gigi yang rosak pun.”

            “Naughty girl! Jomlah saja nak tolong check.” Asmara tetap tidak melepaskan tanganku.

            Aku menggeleng. Buat apalah nak check gigi kalau tak rosak? “Eh, tak payah. Pergilah sambung bertugas. Saya singgah sekejap aje. Balik dulu ye.”

            “Jangan nak mengada. Datang naik apa? Kereta mana?” Asmara merenung kedalam anak mataku.

            “Naik teksi. Tak bawa kereta hari ni.” Aku menarik tanganku dari dalam genggaman Asmara. Malu apabila ada jururawat yang lalu-lalang di klinik pergigian ini memandang kami sambil tersenyum simpul.

            “Kan dah pandai bawa kereta? Penat saya bagi tuisyen memandu selama dua minggu.”

            Aku tersengih lagi. Tak apa, gigi aku benar-benar cantik. Tak malu senyum macam iklan Colgate di hadapan seorang doktor gigi. “Memang dah bawa kereta pergi kerja. Tapi hari ni naik van dengan Fizal. Senang.”

            “Ada-ada aje minah comel seorang ni. Kat dalam tak ada pesakit pun. Jomlah check gigi.” Eh,eh! Kenapa beria-ia nak paksa aku periksa gigi ni? Tiba-tiba aku jadi segan.

            Aku menggeleng lagi. Namun Asmara menarik juga tubuhku mengikutinya masuk ke dalam.

            “Amboi doktor, nak periksa girlfriend ke?” Seorang jururawat dalam lingkungan empat puluhan yang menjaga kaunter pendaftaran menegur.

            Asmara tersenyum malu-malu. “Ini pesakit sayalah kak. Pesakit istimewa.”

            Merah berbahang wajahku saat ini. Apalagi dua tiga orang jururawat turut datang menghampiri. “Cantiknya pesakit istimewa doktor.”

            “Memang cantik menawan. Kalau gigi dia rosak, saya sanggup tukarkan dengan gigi saya.”

            Waduh, waduh! Asmara jual minyak pula dihadapan jururawatnya. Aku yang tidak senang berdiri sampai pegang telinga, pegang rambut, pegang hidung, pegang semualah. Gelabah tak tentu pasal.

            “Asmara, saya nak cepat ni.” Bisikku di tepi telinganya.

            “Okeylah, saya nak buat kerja sekejap. Kalau anak-anak akak nak kahwin atau bertunang bolehlah datang jumpa Cik Asmira ni. Dia mak andam.” Asmara sempat mempromosikan perniagaan aku. Haru betul mamat ni.

            Aku tersenyum dan menunduk sedikit tanda hormat sebelum masuk ke dalam bilik rawatan. Kedengaran suara-suara mereka riuh bersembang mengenai kami. Namun Asmara hanya tersengih memandangku sambil menjungkitkan sedikit bahunya.

            “Baring sini.” Amboi, tegas pula doktor ni apabila dah pakai penutup mulut.

            Aku berbaring dan lampu yang silau dihalakan ke wajah. Asmara sempat mencubit pipiku sebelum menyuruh aku membuka mulut. Apa punya doktorlah! Main-main lebih, buat kerja kurang. Aku mengekek di dalam hati.

            “Nganga luas lagi ye sayang.” Suara Asmara berkata disebalik penutup mulutnya.

            “Janganlah main-main.” Kataku sambil kemam cermin kecil yang dimasukkan ke dalam mulut.

            “Buka mulutlah. Jangan bercakap.” Eh,eh…dia sound kita pulak.

            Setelah mulut aku ternganga luas, dibelek menggunakan cermin kecil itu kekiri dan kekanan. Kadangkala ditekan-tekan sedikit menggunakan sebatang besi. Ngilu juga rasanya. Seketika kemudian, selesai sudah. Aku berkumur dan mengelap mulut menggunakan tisu yang disediakan.

            “Cantik gigi tak ada yang rosak lagi. Cuma ada kesan tampal di gigi bawah. Kalau kesan tampal tu dah terasa sakit apabila mengunyah makanan, boleh datang semula.” Asmara membuka penutup mulutnya dan memberikan sedikit penerangan.

            “Tampalan tu tebal lagi tak?” Soalku pula ingin tahu.

            “Boleh tahan setahun lagi, kut.”

            “Okey, terima kasih. Nak balik dah.” Aku menyangkut semula beg tangan ke bahu.

            “Bawa kereta saya. Nanti habis kerja, saya datang kat hotel. Tumpang makan kat sana boleh?” Asmara menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan kunci kereta.

            “Nak datang naik apa?” Aku teragak-agak untuk menerima kunci tersebut.

            “Terbang. Saya kan Superman awak.” Dia mengenyitkan matanya nakal.

            “Tak naklah. Kalau jadi orang biasa pun senang-senang boleh hilang, jadi Superman tentu boleh hilang bila-bila masa aje.” Nada suaraku sudah berubah.

            “Jangan ungkit kisah lama, sayang. Semuanya tak sama macam dulu. Saya janji.” Asmara mencapai tanganku dan kunci keretanya diletakkan di atas tapak tangan.

            “Jaga diri baik-baik, ingat saya sentiasa sayangkan awak. Jumpa petang nanti.” Asmara tenang memandang wajahku yang sedikit mencuka.

            Aku mengangguk. “Okey. Bertugas elok-elok. Tengok gigi aje jangan nak tengok ke lain pula.”

            Pesanan berbaur cemburu itu meletuskan ketawa kecil dari bibir Asmara. “Seronoknya ada orang cemburukan kitalah…”

            Usikan Asmara itu membuatkan aku terasa malu. Tentu wajah telah bertukar warna menjadi kemerahan. “Balik dulu. Assalamualaikum.”

            “Waalaikumsalam.”

            Asmara ingin menghantarku sehingga ke pintu depan tetapi aku menolak. Macamlah besar sangat klinik pergigian ni nak main hantar-hantar. Sekangkang kera aje pun. Aku tidak mahu timbul gosip dikalangan kakitangan bahawa Doktor Asmara membawa buah hatinya ke klinik. Malulah!

            Aku memandu kereta milik Asmara dengan berhati-hati menuju semula ke hotel. Sejak dua menjak ini hari-hari aku lebih bermakna dengan kehadiran Asmara. Pada mulanya Asmara sering datang melawat aku di butik dan membelikan makanan tengah hari. Kemudian, dia mengajarku memandu kereta pada setiap petang. Begitulah sehingga kami menjadi rapat kembali. Hati aku pun keras-keras kerak nasi aje. Setelah setiap hari ditaburkan dengan kebaikan Asmara, mulalah mencair dengan relanya.

            Lagipun Daddy nampak senang dengan dia. Yelah, kami dah kenal sejak zaman sekolah lagi walaupun aku tidak pernah memperkenalkannya dengan Daddy sebelum ini. Tapi pesanan Daddy aku tetap pegang. Jangan terburu-buru, ambil masa dan fikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan. 

                 Andai aku benar-benar mahukan Asmara dalam hidup aku.
             

Wednesday, January 16, 2013

Asmira Ke Asmara? Bab 21


             Cerita aku dipukul Hazriq telah tersebar. Walaupun tidak seluas mana, tetapi sederet butik aku telah mengetahuinya. Namun aku tetap berterima kasih kepada Abang Ghani pemilik butik Al-Ikhsan itu. Pagi tadi aku telah menghadiahkannya kek yang dibeli dari Secret Recipe. Lelaki itu sangat bersimpati atas nasib yang menimpa aku seminggu lalu. Dua hari aku di hospital sehinggalah aku pulang ke rumah, Syaza terpaksa menguruskan butik seorang diri. Ada juga Mama Anis datang membantu dalam sehari dua. Itupun apabila Syaza tak menang tangan untuk menyiapkan kerja yang tertangguh.

            Aku hanya berehat dirumah sehingga badan terasa ringan sedikit. Daddy dan Mama Anis juga telah mengetahuinya. Puas aku dileteri buat pertama kalinya oleh Daddy. Masalah sebesar itu aku sembunyikan daripada dia? Memang mengamuk juga Daddy dibuatnya. Malah pertunangan aku dan Hazriq juga telah putus secara rasminya apabila Daddy sendiri menelefon Puan Jamaliah pada hari aku pulang ke rumah. Walaupun bercakap dengan cara berhemah, tetapi aku tahu Daddy amat marah. Sampaikan Aina dan Puan Jamaliah ingin datang melawat aku pun tidak dibenarkannya.

            “Akak betul rasa dah sihat ni? Nampak pucat aje.” Syaza memegang bahuku.

            Aku mengangkat kepala memandang tepat anak matanya. “Akak tak make up. Malas. Tapi badan akak dah sihat. Pergilah tolong siapkan hantaran untuk minggu ni. Bising Datok tu nanti.”

            Syaza mengangguk dan terus berlalu ke bahagian depan. Aku pula meneliti buku log yang sekian lama tidak dipandang. Tidak sabar untuk menyelesaikan tugas agar dapat bercuti panjang. Ada lagi empat majlis perkahwinan yang perlu diuruskan. Semoga aku diberi kesihatan yang baik untuk melakukan tugas. Orang dah bayar, kenalah melakukan kerja dengan baik. Aku tidak mahu mengecewakan raja-raja sehari yang telah memberikan sepenuh kepercayaan padaku untuk merealisasikan hari bahagia mereka.

            Buku log aku tutup dan aku simpan semula. Aku bangun dan menuju ke dapur. Niat dihati ingin membancuh secawan Horlicks.

            “Akak!”

            Aku pantas menoleh. “Ye?”

            “Daddy akak datang.” Syaza menudingkan jarinya.

           Aku meletakkan gelas di atas kabinet dan terus mengatur langkah menuju ke depan semula. Kelihatan Daddy datang seorang diri sambil membawa bungkusan plastik bersamanya. Aku menghadiahkan sebuah senyuman termanis buat Daddy.

            “Dean tak makan pagi tadi, kenapa?” Soal Daddy dengan wajah yang sedikit tegang.

            “Mama Anis bagitahu?” Soalku pula tidak menjawab soalannya.

            Daddy mengangguk. Bungkusan plastik ditangannya dihulurkan kepadaku. “Makanlah. Daddy belikan nasi lemak untuk Dean dan Syaza sekali.”

            Hulurannya aku sambut. “Terima kasih…” Perlahan suaraku sayu.

            Perasaan bersalah makin menggunung apabila Daddy semakin mengambil berat. Walaupun Daddy marah dan berkecil hati aku tidak berkongsi masalah itu dengannya selama ini.

            Tubuhku dirangkul erat. Seeratnya. Ubun-ubunku dikucup penuh kasih. Kasih seorang bapa yang tidak pernah berbelah-bahagi buat permata hatinya. “Jaga diri, sayang. Daddy tak akan maafkan diri kalau apa-apa jadi pada Dean.”

            “Bukan salah Daddy.” Aku menggelengkan kepala beberapa kali.

            “Dean bawah tanggungjawab Daddy. I love you sayang…Ingat lepas ni apa-apa semua kena cerita pada Daddy. Janji?” Daddy mengangkat jari kelingkingnya.

            Aku tersenyum senang. “Janji.”

            Jari kelingking kami bertaut rapat. Senyuman mekar di bibir masing-masing. Syaza juga yang memerhati dari jauh turut tersenyum sambil tangannya sibuk menggubah telekung untuk diletakkan di atas dulang hantaran.

            “Syaza, nanti makan dengan Dean. Uncle balik dulu. Ada apa-apa, cepat call uncle.” Pesanan Daddy sebelum keluar dari butik.

            Syaza mengangguk dan tersenyum lebar. Aku melambai kearah Daddy sebelum susuk itu hilang dari pandangan. Kemudian bungkusan nasi lemak aku keluarkan dari dalam plastik. Aku cium harumannya. Sedap!

            “Syaza, jom makan dulu. Akak buatkan air sekejap.” Panggilku dan terus beredar semula menuju ke dapur.


                                                ********************************


I dah dengar apa yang berlaku pada you.

            “I dah okey.” Senyuman terukir dibibir.

            “Tunang you memang teruk! Takut I  nak percayakan lelaki.”

            “Bukan semua lelaki sama Molly. You nak jadi nyonya tua ke?”

            Gadis itu menggeleng laju. “Tak mau, tak mau. Tapi I betul takut tengok video itu pada Ghani. Memang gila punya orang.”

            “Sekarang dah jadi kes polis. I tak nak fikir lagi pasal dia.”

            Molly mengangguk. “You sudah putus tunang sama dia?”

            “Tentulah. Siapa mahu tunang macam tu?” Aku menayangkan senyuman kelat.

            “Bagus, bagus. Okeylah, I datang nak bagi you buah. Take care Dean. Nanti you pasti jumpa lelaki yang baik punya.” Molly menjuihkan bibirnya yang merah kearah bakul buah-buahan yang dibawanya sejak tadi.

            “Thanks Molly.” Aku membelek seketika bakul buahan yang agak besar itu. Pelbagai jenis buah terdapat di dalamnya. Siap ada reben lagi.

            “I balik dulu I punya kedai. Senang-senang you datanglah.” Molly meminta diri.

            “Okey, thanks again.” Aku mengangguk dan berjabat tangan dengannya.

            Molly pemilik kedai barangan cenderahati yang terletak dua lot dari butik aku. Seorang gadis yang berusia pertengahan tiga puluhan dan masih belum berkahwin. Kami jarang dapat bersua muka kerana kesibukan masing-masing. Lagipun Molly jarang turun padang kerana terdapat perniagaan lain yang diuruskannya. Tetapi dia tetap menunjukkan sikap kejiranan apabila datang melawat aku.

            “Syaza, nanti bawak balik buah-buah ni sikit. Simpan kat rumah confirm tak habis.” Aku memandang sekilas kearah Syaza yang masih tekun menyiapkan kerjanya.

            “Entah-entah itu buah dia buat sembahyang kut?” Syaza tergelak besar.

            Aku mengerutkan kening. “Ish, ada pulak. Buah ni dia beli dah siap berhiaslah kat kedai. Boleh makan punya…”

            “Tahulah, saya saja bergurau.” Syaza tersengih menunjukkan muka tak bersalah.

            Aku tersenyum kecil dan kembali menyusun pakaian yang belum digantung mengikut warna baju. Selain itu aku meneliti terlebih dahulu setiap pakaian jika ada terdapat kerosakan seperti koyak dimana-mana. Maklumlah kadang-kadang pengantin pun agak ganas. Sibuk bergambar ke, apa ke, tak sedar kainnya tersangkut dimana-mana. Perkara sebegitu pernah terjadi.

            Leka aku membuat kerja sehinggalah petang. Itu pun setelah ditegur oleh Syaza baru aku tersedar jam sudah menunjukkan angka lima setengah petang. Segera aku berkemas dan bersiap-siap untuk pulang.

            “Kak Dean balik dengan Syaza kan?” Syaza duduk menunggu sambil memeluk beg tangannya.

            “Akak rasa nak call mama aje datang jemput. Syaza baliklah dulu.” Aku mengambil duit yang berada di dalam laci untuk dimasukkan ke dalam peti besi.

            “Balik dengan Syaza ajelah kak. Macam tak biasa pulak.” Syaza mencebikkan bibirnya tanda merajuk.

            “Sekejap.”

            Beberapa minit kemudian, kami telah berada di hadapan untuk mengunci pintu butik. Aku berdiri di belakang Syaza sambil memerhati keadaan sekeliling. Setelah selesai, kami beriringan menuju ke kereta.

            “Assalamualaikum.”

            Aku terkejut dan sepantas kilat menoleh. Namun hanya mampu menjawab salam di dalam hati. Tidak terluah di mulut kerana melihat senyuman semanis madu di hadapan mata. Namun segera aku melarikan wajah apabila sepasang mata itu mengecil meneliti raut wajahku yang sedikit pucat.

            “Saya dah nak balik ni. Awak buat apa kat sini?” Aku memandang Syaza sekilas memberi isyarat agar tunggu sebentar.

            “Saja datang melawat. Err…kenapa dengan muka awak? Itu…kesan lebam kan?” Jari telunjuknya menuding kearah pipi kiriku.

            Aku menarik rambut menutupi sebahagian pipi. “Eh, taklah.”

            Mata lelaki itu semakin mengecil. Menganalisa seperti seorang detektif. “Kat dagu ni apa? Luka?” Jarinya beralih pula pada tepi daguku sehingga hampir-hampir untuk menyentuh.

            Aku berundur setapak ke belakang. “Biasalah mak andam. Buat kerja berat.”

            Aku ketawa kecil semasa menuturkan ayat tersebut. Namun setelah terasa janggal ketawa seorang diri, aku terdiam. Mata Asmara masih terpaku pada seraut wajahku yang bertanda sana-sini. Nasib baik tak macam papan tanda. Aku yakin aku masih ayu buat tatapannya. Eleh!

            “Asmira, apa dah jadi? Bagitahu saya, please…” Rayunya sambil menjeling sekilas pada Syaza yang setia menanti.

            “Kenapa dengan bos awak ni? Dia kena pukul?” Asmara bertanya pula pada Syaza.

            Syaza hanya terdiam dengan mata yang berkelip beberapa kali. Mati kata untuk menjawab. Apatah lagi tuan punya badan sendiri tidak memberikan sebarang jawapan.

            “Cik Dean okey? Ada masalah lagi ke?” Tiba-tiba Abang Ghani datang dengan dua orang pekerja lelakinya. Siap bawa kayu hoki! Mungkin sebagai langkah berjaga-jaga akibat peristiwa tempoh hari.

            “Eh, saya tak apa-apa Abang Ghani. Ini kawan sekolah saya dulu.” Jawabku sambil kehadapan untuk melindungi tubuh Asmara.

            Abang Ghani tersengih menggaru kepalanya. Dia menghulurkan salam kepada Asmara. “Maaflah, abang ingat orang suruhan tunang Cik Dean ke. Mana tahu kejadian hari tu berulang lagi.”

            “Kejadian apa?” Soal Asmara penuh rasa ingin tahu.

            “Cik Dean kena pukul dengan tunang dia. Teruk juga sampai masuk hospital. Nasib saya sempat rakam dan buat laporan polis. Maaf sekali lagi ye saudara. Saya bawa kayu ni untuk keselamatan. Rasa bersalah juga hari tu tak dapat nak halang lelaki tu. Badan dia sasa.” Abang Ghani tersengih-sengih setelah membocorkan rahsia aku.

            Memang tidak dapat menahan mulut Abang Ghani yang lancar berkata-kata itu. Aku hanya menelan liur dan memandang wajah Asmara yang telah berubah riak. Setelah bersalaman sekali lagi, Abang Ghani dan ‘konco-konconya’ pun beredar masuk semula ke dalam kedai.

            “Asmira…” Suara itu perlahan dan sayu. Tangannya naik menyentuh pipi dan daguku yang masih berbekas.

            “Berikan saya satu lagi peluang. Untuk membahagiakan awak, Asmira.” Ayat itu berbisik lembut.

            “Maaf, I have to go.” Aku berpaling dan membolos masuk ke dalam perut kereta.

            Membiarkan Asmara yang berdiri tegak sambil memerhatikan aku. Maaf, aku tak mampu untuk berani. 

               Berani sekali lagi untuk mengambil risiko bersamanya….