“Ya,
Allah…huru-hara majlis dibuatnya!” Datok Husin yang termengah-mengah mengambil
tempat untuk duduk.
“Dah tu macam mana ni bang? I malu besar tahu tak?” Syikin pula
membuka kasutnya dan mencampakkan di atas lantai.
Datok Husin mengurut dadanya
berulang kali. “Baby, you ni fikir diri you aje. Ingat I tak tahu
malu ke apa?”
“Sabar Datok, Syikin. Yang penting
akad nikah dah selamat.” Aku cuba menenangkan keadaan yang agak tegang.
“Habis macam mana I nak bersanding malam ni? I yakin singa tua tu akan datang lagi
buat kacau!” Syikin mula membentak marah. Wajah yang sepatutnya berseri sebagai
pengantin baru sudah hilang serinya.
“Baby,
you boleh tak jangan marah-marah?
Bagi I fikir dulu.” Datok Husin cuba
meraih tangan isteri barunya tetapi segera ditepis kasar oleh Syikin.
“Macam ni ajelah Datok. Kita
ketatkan kawalan keselamatan. Hanya tetamu yang membawa kad jemputan dibenarkan
masuk. Beritahu semua pengawal yang Datin tidak dibenarkan berada disini.
Insyaallah persandingan akan tetap berjalan seperti yang kita rancangkan.” Aku
yang berdiri di sebelah Syaza memberikan pendapat.
“Baik. Saya akan tambahkan lagi
pengawal untuk menjaga pintu masuk.” Datok Husin mengangguk tanda bersetuju
dengan cadangan yang aku berikan.
“Boleh berjaya ke? I dah tak ada mood nak bersanding.” Syikin menarik muka masam. Tangannya memeluk
tubuh.
“Apa ni baby? Dulu you kata
sanggup terima risiko. Now you nak buat perangai budak-budak pula
pada I.” Datok Husin cuba memujuk.
Dipeluk isterinya dari belakang walaupun tubuh Syikin tetap membatu.
“Syikin, jangan risau. Awak dan
Datok dah selamat jadi suami isteri. Datin tak boleh buat apa-apa. Kita
teruskan majlis seperti biasa. Bersabar ye.” Aku juga sibuk memujuk. Syaza pula
sudah berpeluh-peluh di dalam bilik berpenghawa dingin ini.
Mana tidaknya, dia orang pertama
yang melihat aksi serang-menyerang sebentar tadi. Datin Kalsom datang bersama
anak perempuannya dan bertempik memaki-hamun tidak tentu arah. Sampai
dicekaknya leher Datok Husin dihadapan para tetamu. Nasib baik sebelum sempat
Syikin ditampar oleh anak tirinya, Syaza dapat menahan. Kemudian dilarikan pula
Syikin naik ke tingkat atas. Suasana hingar-bingar memang amat memalukan kedua
mempelai. Terpaksa aku memanggil pengawal untuk mengheret Datin Kalsom dan anak
perempuannya keluar dari dewan.
Patah hati aku melihat situasi
tersebut. Apatah lagi aku orangnya yang turut menjadi dalang membantu
pernikahan Datok Husin secara sembunyi dengan Syikin. Datok tua yang ingin
berbini dua itu rupanya penakut bini. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Katanya
terlalu terkejut. Tetapi dari riak wajahnya aku tahu dia takutkan Datin Kalsom.
Arghhh…maafkan saya Datin…Saya juga seorang wanita. Punya hati dan perasaan
yang sama. Saya terpaksa bertindak setegar itu kerana tugas. Kalau ikutkan hati
aku juga mahu mengganyang Datok tidak sedar diri itu.
“Baiklah, saya tinggalkan Datok dan
Syikin berehat dulu. Nanti setelah tiba waktu untuk bersiap, saya beritahu.
Saya nak turun ke dewan.” Ucapku setelah kedua-dua pengantin baru itu diam
tidak berkutik. Masing-masing melayan rasa.
Datok Husin hanya mengangguk dan aku
terus keluar dari bilik bersama Syaza. Kami menuju ke lif untuk turun ke
tingkat bawah.
“Dahsyat betul majlis kali ni.”
Syaza menggelengkan kepala.
Aku tergelak kecil. “Pengalaman
paling teruk kan?”
Syaza mengangguk. “Tak sempat buat
apa pun. Gambar selepas nikah langsung tak ada.”
Keluhan Syaza aku sambut dengan
gelak lebih besar. “Syukurlah sempat nikah. Dah selamat jadi suami isteri.
Sayangnya Datin terlewat sampai!”
“Apa ni Kak Dean? Gelak-gelak pulak.”
Syaza mencebikkan bibirnya.
“Kelakar dengan ragam manusia. Nak
kahwin banyak tapi main sembunyi-sembunyi. Kalau betul jaguh, hero sangat,
minta kebenaran terang-teranglah! Baru akak tabik spring.” Aku ketawa lagi dan
melangkah masuk ke dalam lif setelah pintu terbuka.
“Kalau macam tu, confirm tak dapat kebenaran punya. Tak
merasalah Datok tu nak berbini muda.” Syaza pula tersengih macam kerang busuk.
Aku menggelengkan kepala beberapa
kali. “Pusing juga akak dibuatnya. Harap-harap majlis persandingan berjalan
lancar.”
“Kasihan Datin Kalsom tu kan? Mesti
dia tengah sedih.”
Aku tunduk memandang lantai lif.
“Akak pun tak sampai hati, tapi apa pun kita kena selesaikan kerja kita hari
ni. We have to be professional.”
Syaza mengangguk lemah dan kami
beriringan keluar dari dalam perut lif setelah tiba di tingkat bawah. Masuk
sahaja kaki ke dalam dewan, terdapat sebilangan kecil tetamu yang datang
mendapatkan aku.
“Majlis malam ni jadi ke tak?”
Aku tersenyum dan mengangguk.
“Insyaallah majlis seperti yang dijadualkan. Datang ye malam nanti. Pengantin
sedang berehat.”
Mereka semua mengangguk dan
bersalaman denganku. Kemudian dewan kelihatan lengang. Yang tinggal hanyalah
pekerja-pekerjaku yang sedang menukarkan props
untuk majlis persandingan.
“Syaza, tolong monitor diaorang ye.” Aku berjalan ke hadapan meninggalkan Syaza.
“Fizal!” Aku melambaikan tangan.
Fizal menjenguk kebawah dan
mengangkat sedikit kepalanya.
“Turunlah sekejap.” Aku melambai
lagi.
Fizal yang sedang memanjat tangga
untuk memasang tirai belakang pelamin segera turun.
“Nanti orang catering datang, Fizal tolong uruskan ye. Siapkan pelamin tu cepat
sikit. Saya ada hal kena keluar sekejap.” Aku memberikan arahan kepada pekerja
sambilanku ini.
“Boleh, boleh. Lagipun Syaza ada kan?
Kalau saya tak sure, saya tanya dia.”
Fizal tersenyum dan mengesat peluh di dahi.
Aku mengangguk pantas. “Boleh rujuk
dengan Syaza. Tapi hal catering tu
Fizal dah biasa buat sendiri kan? Mesti boleh punya. Kalau tak cukup meja lauk
tu, minta tambah.”
“Orait.” Fizal menaikkan ibu jarinya
tanda bagus.
Aku tersenyum dan berpusing untuk
melangkah pergi. Ketika melintasi Syaza yang sedang sibuk memantau persiapan
tempat khas memotong kek, aku hanya melambaikan tangan. Wajah Syaza yang agak
berkerut mencuit hati dan membuatkan aku mengulum senyum. Biarlah, tak kan dua
puluh empat jam berkepit dengan dia aje.
Aku keluar dari dewan dan menuju ke
lobi. Apabila keluar dari pintu utama, aku menaiki teksi yang telah tersedia
disitu untuk pelanggan hotel. Destinasi diberikan dan teksi meluncur laju
membelah kesesakan jalan raya.
Sampai sahaja, aku mengeluarkan
telefon bimbit dari dalam beg tangan. Menaip sesuatu dan menekan butang send. Beberapa minit kemudian….
“Hai!” Sapaan itu membuahkan
senyuman manis di bibirku.
“Dah habis kerja?” Soalku pula.
Gelengan sebagai jawapan. “Belum
lagi. Kita ni kerja kerajaan sayang oi. Bukan kerja sendiri macam awak.”
Aku tergelak kecil mendengar jawapan
selamba lelaki kacak disisi. “Ingat kerja sendiri senang ke? Baru tadi majlis
nikah kena serbu tahu tak?”
Matanya membulat. “Siapa yang
serbu?”
“Isteri pertama Datok Husin. Habis
kecoh dibuatnya.” Aku membetulkan anak rambut yang jatuh di dahi.
“Biar betul? Majlis persandingan
jadi ke tak?”
“Insyaallah, budak-budak tengah buat
persiapan kat dewan. Saya lari sekejap kesini.”
Matanya mengecil comel. “Rindu eh?”
Aku mengerutkan dahi. “Siapa kata?”
“Dengar, hati awak cakap. Kalau tak,
takkan orang lain sibuk awak boleh lari datang sini.” Dia tergelak manja.
“Saja hilangkan stress. Nak check gigi
boleh?” Aku tersengih macam nak suruh check
sekarang.
“Tak kisah dapatkan perkhidmatan
klinik kerajaan?” Dia mengurut dagunya.
“Mana-mana pun sama. Asalkan
doktornya berkaliber.” Tingkahku pula.
“Sangat berkaliber. Jom!” Dia menarik
tanganku untuk masuk ke dalam.
Ketawa besar terhambur. Asmara
memandang aku dengan pandangan pelik. “Saya main-main ajelah. Tak ada gigi yang
rosak pun.”
“Naughty
girl! Jomlah saja nak tolong check.”
Asmara tetap tidak melepaskan tanganku.
Aku menggeleng. Buat apalah nak check gigi kalau tak rosak? “Eh, tak
payah. Pergilah sambung bertugas. Saya singgah sekejap aje. Balik dulu ye.”
“Jangan nak mengada. Datang naik
apa? Kereta mana?” Asmara merenung kedalam anak mataku.
“Naik teksi. Tak bawa kereta hari
ni.” Aku menarik tanganku dari dalam genggaman Asmara. Malu apabila ada
jururawat yang lalu-lalang di klinik pergigian ini memandang kami sambil
tersenyum simpul.
“Kan dah pandai bawa kereta? Penat
saya bagi tuisyen memandu selama dua minggu.”
Aku tersengih lagi. Tak apa, gigi
aku benar-benar cantik. Tak malu senyum macam iklan Colgate di hadapan seorang doktor gigi. “Memang dah bawa kereta
pergi kerja. Tapi hari ni naik van dengan Fizal. Senang.”
“Ada-ada aje minah comel seorang ni.
Kat dalam tak ada pesakit pun. Jomlah check
gigi.” Eh,eh! Kenapa beria-ia nak paksa aku periksa gigi ni? Tiba-tiba aku
jadi segan.
Aku menggeleng lagi. Namun Asmara
menarik juga tubuhku mengikutinya masuk ke dalam.
“Amboi doktor, nak periksa girlfriend ke?” Seorang jururawat dalam
lingkungan empat puluhan yang menjaga kaunter pendaftaran menegur.
Asmara tersenyum malu-malu. “Ini
pesakit sayalah kak. Pesakit istimewa.”
Merah berbahang wajahku saat ini.
Apalagi dua tiga orang jururawat turut datang menghampiri. “Cantiknya pesakit
istimewa doktor.”
“Memang cantik menawan. Kalau gigi
dia rosak, saya sanggup tukarkan dengan gigi saya.”
Waduh, waduh! Asmara jual minyak
pula dihadapan jururawatnya. Aku yang tidak senang berdiri sampai pegang
telinga, pegang rambut, pegang hidung, pegang semualah. Gelabah tak tentu
pasal.
“Asmara, saya nak cepat ni.” Bisikku
di tepi telinganya.
“Okeylah, saya nak buat kerja
sekejap. Kalau anak-anak akak nak kahwin atau bertunang bolehlah datang jumpa
Cik Asmira ni. Dia mak andam.” Asmara sempat mempromosikan perniagaan aku. Haru
betul mamat ni.
Aku tersenyum dan menunduk sedikit
tanda hormat sebelum masuk ke dalam bilik rawatan. Kedengaran suara-suara
mereka riuh bersembang mengenai kami. Namun Asmara hanya tersengih memandangku
sambil menjungkitkan sedikit bahunya.
“Baring sini.” Amboi, tegas pula
doktor ni apabila dah pakai penutup mulut.
Aku berbaring dan lampu yang silau
dihalakan ke wajah. Asmara sempat mencubit pipiku sebelum menyuruh aku membuka
mulut. Apa punya doktorlah! Main-main lebih, buat kerja kurang. Aku mengekek di
dalam hati.
“Nganga luas lagi ye sayang.” Suara
Asmara berkata disebalik penutup mulutnya.
“Janganlah main-main.” Kataku sambil
kemam cermin kecil yang dimasukkan ke dalam mulut.
“Buka mulutlah. Jangan bercakap.”
Eh,eh…dia sound kita pulak.
Setelah mulut aku ternganga luas,
dibelek menggunakan cermin kecil itu kekiri dan kekanan. Kadangkala
ditekan-tekan sedikit menggunakan sebatang besi. Ngilu juga rasanya. Seketika
kemudian, selesai sudah. Aku berkumur dan mengelap mulut menggunakan tisu yang
disediakan.
“Cantik gigi tak ada yang rosak
lagi. Cuma ada kesan tampal di gigi bawah. Kalau kesan tampal tu dah terasa
sakit apabila mengunyah makanan, boleh datang semula.” Asmara membuka penutup mulutnya
dan memberikan sedikit penerangan.
“Tampalan tu tebal lagi tak?” Soalku
pula ingin tahu.
“Boleh tahan setahun lagi, kut.”
“Okey, terima kasih. Nak balik dah.”
Aku menyangkut semula beg tangan ke bahu.
“Bawa kereta saya. Nanti habis
kerja, saya datang kat hotel. Tumpang makan kat sana boleh?” Asmara menyeluk
poket seluarnya untuk mengeluarkan kunci kereta.
“Nak datang naik apa?” Aku
teragak-agak untuk menerima kunci tersebut.
“Terbang. Saya kan Superman awak.” Dia mengenyitkan matanya
nakal.
“Tak naklah. Kalau jadi orang biasa
pun senang-senang boleh hilang, jadi Superman
tentu boleh hilang bila-bila masa aje.” Nada suaraku sudah berubah.
“Jangan ungkit kisah lama, sayang.
Semuanya tak sama macam dulu. Saya janji.” Asmara mencapai tanganku dan kunci
keretanya diletakkan di atas tapak tangan.
“Jaga diri baik-baik, ingat saya
sentiasa sayangkan awak. Jumpa petang nanti.” Asmara tenang memandang wajahku
yang sedikit mencuka.
Aku mengangguk. “Okey. Bertugas
elok-elok. Tengok gigi aje jangan nak tengok ke lain pula.”
Pesanan berbaur cemburu itu
meletuskan ketawa kecil dari bibir Asmara. “Seronoknya ada orang cemburukan
kitalah…”
Usikan Asmara itu membuatkan aku
terasa malu. Tentu wajah telah bertukar warna menjadi kemerahan. “Balik dulu.
Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam.”
Asmara ingin menghantarku sehingga
ke pintu depan tetapi aku menolak. Macamlah besar sangat klinik pergigian ni
nak main hantar-hantar. Sekangkang kera aje pun. Aku tidak mahu timbul gosip
dikalangan kakitangan bahawa Doktor Asmara membawa buah hatinya ke klinik.
Malulah!
Aku memandu kereta milik Asmara
dengan berhati-hati menuju semula ke hotel. Sejak dua menjak ini hari-hari aku
lebih bermakna dengan kehadiran Asmara. Pada mulanya Asmara sering datang
melawat aku di butik dan membelikan makanan tengah hari. Kemudian, dia
mengajarku memandu kereta pada setiap petang. Begitulah sehingga kami menjadi
rapat kembali. Hati aku pun keras-keras kerak nasi aje. Setelah setiap hari
ditaburkan dengan kebaikan Asmara, mulalah mencair dengan relanya.
Lagipun Daddy nampak senang dengan dia. Yelah, kami dah kenal sejak zaman
sekolah lagi walaupun aku tidak pernah memperkenalkannya dengan Daddy sebelum ini. Tapi pesanan Daddy aku tetap pegang. Jangan
terburu-buru, ambil masa dan fikir masak-masak sebelum membuat sebarang keputusan.
Andai aku benar-benar mahukan Asmara dalam hidup aku.
5 comments:
Salam.... Yezzaaaa.... Dean dah mula lupakn kisah silam... i loike!!
yayyyyyyyyyy sukanya!!
Hekhekhek!!!! Cute..chumel2!!
Karya yg baik sue..keep it up..rasanya dh sampai masa utk asmira lakukan perubahan dalam hidup agar menjadi insan yg lebih baik dari semalam..dugaan yang datang mungkin satu peringatan dari Yang Maha Kuasa akan kekhilafan kita..
thanks sgt untuk komen2 membina yg anda semua berikan..saya sgt hargai..doakan saya terus tabah dlm berkarya..=)
Post a Comment